Artikel "Politik" Terkini
Perpustakaan Digital Permudah Tugas ADUN
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 3 November - Pelancaran Perpustakaan Digital mempermudahkan lagi urusan dan tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu mencari sumber dan maklumat dengan hanya di hujung jari jari sahaja.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, sebagai ahli Badan Legislatif, mereka dicabar dengan kekangan masa untuk ke perpustakaan biasa bagi membuat ulangkaji sebelum bermulanya sesuatu persidangan DUN.
“Ahli Yang Berhormat (AYB) boleh membuat rujukan pada bila-bila masa dan di mana jua bagi mencari maklumat yang diperlukan terutama berkenaan Badan Legislatif termasuk hansard dan bahan-bahan penyelidikan.
“Pembangunan 'Digital Library' (perpustakaan digital) ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang diterjemahkan melalui Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu 2021 – 2030,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Pelancaran Perpustakaan Digital DUN Terengganu yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar di Damai Lounge, Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Menurutnya, pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri juga bersetuju untuk turut membantu membangunkan Perpustakaan Digital DUN dengan lebih lengkap dan memberi laluan dan akses sebahagian aplikasi serta bahan-bahan bacaan digital yang ada disana.
“Digital library DUN ini akan melalui beberapa fasa sebelum ianya benar-benar lengkap, bermula dari pembangunan sistem di peringkat asas.
“Kolaborasi dengan Perpustakaan Awam negeri dan pembangunan sistem yang lebih banyak hingga kepada kompleks khas ‘Digital Library’ untuk jangka masa panjang,” katanya.
Dato' Yahaya menambah, dengan adanya 'Digital Library' ini akan membantu menambahkan lagi keceriaan persidangan DUN dan seterusnya meningkatkan mutu perbahasan di kalangan Ahli-ahli Dewan.
“Di antara lain laporan atau 'blue print' tersebut mencadangkan beberapa reformasi kepada badan legislatif negeri kita supaya lebih bersifat inklusif.
“Ia turut memberi fokus untuk menambah baik khidmat rujukan dan pendidikan politik kepada ADUN selain dari peranan semak dan imbang melalui lawatan kerja apabila ada isu yang berbangkit dalam sesuatu persidangan DUN bagi tujuan mendapat penjelasan secara 'first hand' dari pihak berkenaan," ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap DUN Terengganu akan menjadi perintis kepada negeri lain dalam projek digital library ini sesuai dengan visinya, 'Menjadi DUN Yang Terunggul'.
03 Nov 21
159
Remaja Perlu Didedahkan Dengan Politik Islam
Oleh : Asraf Ikhwan
DUNGUN, 12 Oktober - Golongan belia perlu didedahkan dengan politik Islam supaya mereka mempunyai kesedaran untuk turut terlibat mendaftarkan diri sebagai pengundi dan bertanggungjawab memilih pemimpin.
Tokoh Belia Ma'al Hijrah 1442H Daerah Dungun, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, perkembangan politik mutakhir ini memerlukan kefahaman anak muda yang jelas tentang politik Islam.
"Anak-anak muda ini akan turut terlibat sebagai peserta demokrasi yang akan mewujudkan serta akan membentuk suasana yang baru kepada negara dalam memastikan pemimpin yang berakhlak baik, berintegriti dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah akan terpilih bagi menerajui negara.
"Konsep memilih pemimpin pada sesebuah negara juga amat dititikberatkan dalam Islam, gagalnya anak-anak muda untuk turut terlibat dalam menjadi pengundi apabila Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti, akan menyebabkan negara akan dikuasai oleh golongan tidak sepatutnya.
"Lebih teruk lagi apabila dikuasai oleh pemimpin yang berfikiran liberal, berideologi sekular, dan sebagainya yang akan membawa kesan yang buruk terhadap rakyat dalam negara ini serta negeri ini secara khususnya.
"Sebagai rakyat di negara ini, sewajarnya pemimpin yang benar-benar berintegriti, mencontohi akhlak Rasulullah SAW diangkat menjadi pemimpin di negara agar membawa kepada keadilan dan kesejahteraan untuk dinikmati seluruh rakyat," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika dihubungi pemberita, semalam.
Mengulas mengenai usaha kerajaan negeri ini dalam memartabatkan pemerintahan berteraskan Islam, beliau berkata ia sewajarnya dipertahankan.
"Untuk memastikan kerajaan sedia ada ini kekal adalah menjadi tanggungjawab anak-anak muda pada hari ini untuk mendaftarkan diri untuk turut menjadi pengundi dalam melaksanakan tuntutan sebagai rakyat Malaysia yang bercita-cita mahu melihat negara ini sentiasa berada dalam keadaan baik.
"Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, serta melaksanakan undang-undang Islam akan dapat dikekalkan demi kepentingan rakyat, serta masyarakat majmuk yang berbilang kaum dalam negara dapat hidup dalam suasana penuh harmoni," ujarnya.
Jelasnya, dalam menyedarkan anak muda terhadap Islam yang syumul meliputi politik, ekonomi dan sosial menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk kerajaan bagi digerakkan usaha-usaha tertentu.
"Mereka merupakan generasi pada hari ini yang terdedah kepada pelbagai sumber maklumat, penyampaian dakwah perlu dilakukan menerusi media sosial dengan kreatif dan inovasi yang menepati citarasa golongan berkenaan pada masa kini," ujarnya.
12 Oct 21
547
Lebih 30 Peratus Bajet Negeri Bagi Langsaikan Hutang Projek Mega
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober – Sehingga 35 peratus bajet kerajaan negeri terpaksa diguna bagi melangsaikan hutang pelbagai projek infrastruktur mega pentadbiran kerajaan terdahulu, menurut Menteri Besar Terengganu.
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Terengganu kaya dengan hasil minyak petroleum yang menyumbang kepada 75 peratus daripada bajet negeri, namun konteks sebenar itu perlu difahami.
Kata beliau, pihaknya perlu mengambil kira perancangan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan terdahulu bagi mengelakkan timbul masalah lain.
“Pertama, saya ucapkan terima kasih kerana telah menyediakan ruang bagi penyediaan program pembangunan infrastruktur, cuma apabila pelaksanaannya menggunakan pelbagai kaedah ia telah memberi tekanan kepada sumber kewangan kerajaan negeri.
“Banyak projek ini telah menggunakan kaedah pembayaran tertangguh dan pembayaran berjadual, maka sudah tentu ada faedah ‘interest’ dan sebagainya.
“Katakan satu projek bernilai RM1 bilion, oleh kerana pentadbiran negeri tidak biayai projek pada waktu permulaan tetapi menerusi kaedah tersebut, pembinaan berjalan dahulu dan tempoh pembayaran ditentukan dalam masa 5 hingga 10 tahun,” katanya.
Tambahnya, antara contoh diberikan seperti pada tahun 2021, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan hampir RM440 juta bagi pembayaran projek terdahulu.
“Bila sampai tahun ini, jumlah tersebut perlu dibayar sedangkan bajet negeri hanyalah sekitar RM1.42 bilion sahaja. Maknanya sehingga 34 peratus bajet telah digunakan bagi melangsaikan hutang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.
“Bukan kita tidak boleh membuat program pembangunan infra menggunakan hasil minyak, tapi perlu diambil kira bahan api fosil tersebut akan habis, oleh itu perancangan kini berbentuk timbal balik,” katanya lagi.
Mengulas lanjut tentang punca lain pengurangan hasil kerajaan negeri, Ahmad Samsuri menjelaskan, antaranya adalah penggunaan dana negeri bagi pembiayaan projek pembangunan yang sepatutnya diambil tanggungjawab oleh Kerajaan Persekutuan.
“Contohnya seperti pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2, yang menjadi tanggungjawab pusat tetapi Terengganu telah (dalam pentadbiran lalu) menggunakan dana kerajaan negeri hasil daripada petroleum sebanyak RM1.2 bilion untuk pembiayaan LPT2.
“Walaupun telah siap dibina, namun perundingan daripada awal peringkat sepatutnya diadakan bagi menuntut tanggungan kos yang perlu dibayar Kerajaan Persekutuan, tapi tiada perjanjian khusus diadakan maka tiada tarik tali.
“Hasilnya, apa yang kita laksanakan di Terengganu sehingga 2023 adalah mengurangkan projek pembangunan berskala mega kerana bagi memfokuskan kepada pemberdayaan rakyat sendiri,” jelas Ahmad Samsuri.
Menyentuh berkenaan perancangan pentadbirannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu menceritakan, antara fokus ‘empowerment’ adalah seperti mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan, suasana kepincangan ekonomi dan lain-lain lagi.
“Kita fokuskan kepada pendidikan dan memberi keupayaan dalam sektor tersebut, walaupun tiada hasil kewangan namun bagi jangka masa panjang bagi membantu keluarga dan masyarakat.
“Bukan sekadar beri bantuan kewangan secara terus, tetapi melalui inisiatif lebih produktif untuk mereka bertahan,” ulasnya.
Menjawab persoalan kesediaan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau menyifatkan pihaknya melaksanakan amanah diberi daripada rakyat.
“Rakyat akan menilai, kita percaya pertimbangan adil harus diberikan oleh masyarakat, berdepan dengan suasana netizen yang memberi gambaran salah, perkara ini perlu ditangani dengan penerangan.
“Itu adalah tugas kita semua sebagai rakyat yang bertanggungjawab yang akan menjawab di hadapan Allah SWT,” jelasnya lagi.
09 Oct 21
1465
Tiga Pendekatan Asas Jayakan Keluarga Malaysia
KUALA TERENGGANU, 23 September - Kerajaan dicadang melaksanakan tiga pendekatan iaitu tasaamuh siyaasi (tolak ansur dalam politik), taawun iktisadi (kerjasama ekonomi) dan takaful ijtima’i (solidariti sosial) dalam usaha merealisasikan semangat Keluarga Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, tolak ansur politik itu adalah asas bersama untuk negara ini bangkit kembali dengan kerjasama politik semua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.
“Saya yakin bahawa memorandum persefahaman (MOU) dikenali sebagai MOU transformasi dan kestabilan politik adalah lambang tolak ansur politik yang saya maksudkan.
“Bagi PAS, perkara ini bukan baharu tapi sudah diperkenalkan melalui konsep Kerajaan Perpaduan pada 2008 selain konsep Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) pada tahun 2016 bertujuan mengajak kerajaan dan pembangkang bersama-sama demi untuk kebaikan serta manfaat rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Selain itu, Khairuddin berkata, pendekatan kedua ialah taawun iktisadi atau kerjasama ekonomi amat sesuai dilaksanakan dalam suasana negara berhadapan krisis ekonomi yang sangat parah hari ini kesan pandemik COVID-19.
Katanya, lebih memburukkan keadaan hutang isi rumah Malaysia 93 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal pada Disember 2020, berbanding nisbah 82.7 peratus pada tahun sebelumnya.
“Ini menunjukkan rakyat sedang berhadapan suasana kritikal, maka sudah tentu kebersamaan, tolong menolong penting untuk negara kita.
“Ini yang dilakukan oleh Rasulullah SAW apabila membuka pasar di awal pembukaan Madinah dengan menyediakan ruang kepada rakyat berniaga untuk bangkit menguruskan ekonomi mereka.
“Hari ini, ramai hilang pekerjaaan, tak mampu bayar gaji pekerja dan sewa kedai. Jadi kerajaan perlu buka semula peluang-peluang ekonomi untuk rakyat bagi menggantikan apa yang mereka hilang khususnya golongan B40 dan marhaen seperti melalui TEKUN Nasional (TEKUN) contohnya, dengan sediakan ruang dan peluang perniagaan kecil-kecilan,” katanya.
Untuk itu, beliau memohon mohon TEKUN menggubal program khas untuk menggalakkan golongan B40 terlibat dengan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menampung kehidupan mereka selama sebulan.
Mohd Khairuddin berkata, pembahagian kek ekonomi negara juga perlu disusun semula dengan pembahagian yang adil khususnya kepada negeri Pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu.
“Tahniah saya ucapkan apabila kerajaan meluluskan pembinaan Fasa 3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada Ogos tahun lepas bernilai RM35 juta yang diawalkan, dengan itu akan menghidupkan kembali ekonomi di kawasan terbabit,” katanya.
Selain itu, bagi menambah dana kerajaan, beliau mencadangkan supaya pendanaan dalam Islam diperkasakan melalui wakaf dan zakat.
“Saya mohon agar Menteri Hal Ehwal Agama berunding dengan kerajaan negeri untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi memperkasakan konsep wakaf tunai dan agihan zakat untuk agihan lebih adil dan baik khususnya asnaf gharimin atau asnaf orang berhutang,” katanya.
Katanya, Pas juga mencadangkan pengenalan cukai-cukai baharu seperti yang dinyatakan sebelum ini iaitu cukai keuntungan saham yang mana perniagaan berkenaan pada ketika ini sedang rancak berlaku di seluruh dunia.
“Contohnya saham perniagaan hadapan atau dikenali sebagai Future Crude Palm Oil (FCPO) membabitkan minyak sawit mentah.
“Saya sendiri ada pengalaman peribadi di mana dalam sebulan lalu apabila saya melabur dengan modal sebanyak RM20,000 dan dalam masa tiga minggu saya mendapat keuntungan sebanyak RM6,000. Daripada sudut Islam keuntungan ini kita perlu bayar zakat sebanyak 2.5 peratus atau RM150,” katanya.
Katanya, dengan cukai-cukai baharu ini Kerajaan Persekutuan dapat mengumpulkan dana-dana baharu untuk pembangunan negara.
“Akhirnya takaful ijtimae atau solidariti sosial iaitu mewujudkan semangat solidariti dalam perkara kebajikan dalam kalangan rakyat.
“Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mesti diperkuatkan dengan menyediakan pengecualian cukai atau rebat cukai untuk golongan korporat bagi menggalakkan mereka menyumbang.
“Sebagai contoh perladangan sawit yang ketika ini untung tiga kali ganda, juga industri sarung tangan getah yang keuntungan mereka ratusan bilion ringgit, maka CSR mereka patut turun kepada rakyat,” katanya.
23 Sep 21
328
ADUN Kijal Disaran Serah Bukti Kepada SPRM
KUALA TERENGGANU, 17 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said disaran menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika merasakan dakwaannya semasa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 baru-baru ini benar.
ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, hak untuk menyiasat dan membuat keputusan terhadap kesemua tuduhan itu adalah kuasa SPRM.
“Banyak perkara yang telah diberitahu oleh ADUN Kijal tadi, kalaulah dikatakan ia sebagai salah laku anggota pentadbiran kerajaan, adakah perkara itu sudah berada dalam pengetahuan SPRM.
“Pada pandangan saya, jika ada bukti, serah kepada SPRM, biarkan mereka menyiasat dan membuktikan, kita (kerajaan negeri) sangat terbuka dalam hal ini,” tegas Hishamuddin menjawab tuduhan Ahmad Said dalam persidangan DUN.
Hishamuddin.
Dalam perkembangan sama, menjawab tuduhan adanya tangan ghaib sehingga menyebabkan kes itu tergantung dan tidak disiasat SPRM sepenuhnya, Hishamuddin berkata, tuduhan itu tidak mempunyai sebarang asas.
“Saya rasa tak timbul isu tangan ghaib di Putrajaya yang menyebabkan kes tergantung sebagaimana dakwaan ADUN Kijal, kerana yang berada di Putrajaya juga adalah daripada Barisan Nasional.
“Jadi kita serah kepada mereka untuk siasat dan buat keputusan, tak timbul tangan ghaib, ini tidak adil untuk kita bincang di sini, peraturan DUN juga tidak membenarkan, saya harap ADUN Kijal hormat perkara ini,” katanya.
Sementara itu, ADUN Paka, Satiful Bahari Mamat berkata, persidangan DUN bukan mahkamah untuk menyiasat, menangkap dan menjatuhkan hukuman kepada pesalah jika terbukti bersalah.
"Jika ada bukti bawa ke SPRM, persidangan DUN bukan mahkamah, bukan tempat untuk bincang dan buat keputusan mengenai isu terbabit, ia melibatkan tuduhan dan memerlukan siasatan, jadi tak sewajarnya dibincangkan di sini.
“Penahanan orang yang didakwa bukan bidang kuasa persidangan DUN, ia kuasa pihak berkuasa seperti SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelas Satiful menjawab kenapa individu tersebut tidak ditangkap.
Satiful.
Terdahulu, Ahmad Said mendakwa wujud kemungkinan salah laku membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar dalan satu projek pelaburan pelitup muka.
Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, turut membuat penegasan supaya semua pihak memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu.
“Kerajaan negeri memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat. Biarlah pihak berkuasa menjalankan kerja mereka, sebarang spekulasi dibimbangi akan menimbulkan fitnah.
“Ia juga boleh mengakibatkan proses siasatan terganggu,” katanya.
Ahmad Said.
17 Sep 21
6882
Manifesto PRU14 : Impian Peserta RTB Mak Chili Jadi Kenyataan
KEMAMAN, 10 September - Tarikh 8 September, kelmarin menyaksikan tertunainya salah satu daripada manisfesto Kerajaan Negeri Terengganu yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu iaitu untuk mengembalikan semula tanah lot kediaman berkelompok (RTB) yang telah dirampas oleh kerajaan terdahulu semenjak tahun 2003.
Bertempat di PASTI Adam Mak Chili, seramai 107 orang peserta RTB terkilan dari Kampung Mak Chili, Kemaman kini mampu menarik nafas lega apabila kembali menerima lot tanah masing-masing di dalam majils undi lot yang diadakan.
Mereka yang terlibat merupakan para peserta yang telah dinafikan hak milik mereka ke atas tanah yang telah dianugerahkan semenjak dari tahun 2003 oleh kerajaan negeri terdahulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika ditemuramah berkata, kejayaan yang dikecapi pada hari ini merupakan hasil usaha sama daripada pelbagai pihak dalam memastikan RTB terkilan itu dapat dikembalikan kepada pemilik asal khususnya penduduk Kampung Mak Chili.
“Pihak kami akan terus komited dalam menyelesaikan isu berkaitan RTB terkilan ini. Proses yang memakan masa agak lama ini perlu diselesaikan secara berperingkat bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan tiada peserta yang tercicir,” ujar beliau kepada wartawan.
"Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat khususnya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mak Chili dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih yang telah bertungkus-lumus membantu menyelesaikan permasalahan terbabit.
Sementara itu, rata-rata para peserta yang hadir di majlis tersebut melahirkan rasa kesyukuran atas penyerahan semula tanah terkilan tersebut setelah hampir 20 tahun menanti.
Mereka juga sewajarnya diberi pujian kerana telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses mendapatkan semula tanah terkilan berkenaan dijalankan.
11 Sep 21
838
Institusi Hisbah Boleh Dipertimbangkan Untuk Diwujudkan Semula
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 4 September – Kerajaan boleh mempertimbang untuk mewujudkan semula institusi hisbah dalam suatu mekanisma yang lebih sesuai di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, jawatankuasa itu mampu berperanan bagi menyemak dan mengimbang pentadbiran kerajaan negeri untuk jangka masa panjang.
“Kita ada satu istilah pada zaman Rasulullah SAW yang disebut sebagai hisbah. Jadi mungkin boleh dilihat dari segi jangka panjang, sistem ini boleh diaturkan di negeri Terengganu.
“Ia tak semestinya sama dengan institusi hisbah yang pernah ditubuhkan sewaktu kerajaan PAS Terengganu berkuasa pada tahun 1999 - 2004. Tak semestinya begitu, nak letakkan di mana itu terpulang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sebagai respons pertanyaan daripada moderator dalam satu program Wacana Pembaharuan Institut Parlimen dan DUN di Malaysia anjuran oleh Institut Darul Naim dan Reform, secara atas talian, baru-baru ini
Menurutnya, perkara tersebut boleh dibincangkan di peringkat atasan untuk menjadikan perjalanan kerajaan lebih bertanggungjawab dan efisien.
“Jadi jawatankuasa hisbah ini diletakkan di mana pun termasuklah nak diletakkan di bawah badan legislatif DUN, boleh memainkan peranan untuk membantu kerajaan supaya menjadi lebih cekap dan bersih,” ujarnya.
Sementara itu, beliau juga berharap komposisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik selain daripada mewakili wanita dan bukan Islam boleh diperluaskan lagi dan ini akan melibatkan pindaan undang-undang tubuh negeri.
"Untuk jangka panjang kerajaan boleh mempertimbangkan pelantikan yang lebih luas, bukan sekadar mewakili wanita dan bukan Islam tetapi kelompok-kelompok tertentu yg mewakili pelbagai latar belakang dlm masyarakat supaya DUN berpotensi menambah kepakaran dan pandangan,” tambah Yahaya.
Beliau juga berharap dengan pertambahan penduduk dan pengundi di negeri ini kerusi DUN dan Parlimen perlu ditambah.
"Kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini tidak bertambah selepas 1984. Sudah sampai masanya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kajian mendalam untuk menambah bilangan kerusi di negeri ini.
"Memandangkan jumlah pengundi setiap kawasan pilihanraya samada DUN dan Parlimen terlalu besar dan tidak sepadan dengan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh seorang wakil rakyat," katanya lagi.
03 Sep 21
274
Muafakat Nasional Masih Kekal - Tuan Ibrahim
KUALA TERENGGANU, 2 September - “Kerajaan yang ada ini adalah gabungan tiga parti dan kita mahu terus kekal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang,” ujar Timbalan Presiden Pas, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, gabungan tiga parti iaitu PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih kekal dan perjumpaan terakhir semua pemimpin gabungan tiga parti adalah beberapa hari sebelum pembentukan kerajaan pada 17 Ogos lalu.
"Sebelum ini pertemuan dengan UMNO hanya dilakukan secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19, namun hubungan kita terus berjalan.
"Cuma mesyuarat rasmi Muafakat Nasional(MN) yang pertama selepas pembentukan Kabinet baharu dijangka dilakukan dalam masa terdekat di pejabat MN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berdekatan Pulau Sekati di sini semalam.
Walau bagaimanapun katanya, tarikh khusus mesyuarat berkenaan belum diputuskan lagi ketika ini.
03 Sep 21
465
Terengganu Zahirkan Ucapan Tahniah Atas Pelantikan Perdana Menteri
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Terengganu merakamkan ucapan tahniah buat Perdana Menteri ke-9 yang baharu mengangkat sumpah hari ini.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri Terengganu menzahirkan setinggi ucapan tahniah kepada Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
"Menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah atas perkenan dan kebijaksanaan menyelesaikan kemelut politik negara ini.
"Diharapkan pelantikan ini akan menamatkan segala spekulasi berkenaan pelantikan Perdana Menteri baharu," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Dr. Samsuri, beliau juga berharap semua barisan pimpinan dapat bekerjasama dan bersatu hati untuk lebih fokus kepada agenda memulihkan negara daripada pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat.
"Semoga diberikan kemudahan dan petunjuk daripada-Nya untuk meneraju negara tercinta dengan amanah dan bijaksana," ujarnya.
21 Aug 21
1168
Ismail Sabri Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.
"Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
"Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9," katanya melalui kenyataan rasmi di media sosial Istana Negara, hari ini.
Tambah beliau, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada esok (21 Ogos 2021), jam 2.30 petang, di lstana Negara.
Kenyataan itu dikeluarkan pasca Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung selama dua jam setengah bermula pada jam 2.30 petang tadi.
Dalam perbincangan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu.
Istana Negara juga telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021 lalu.
20 Aug 21
179