lightning-solid
Berita :

Artikel "Politik" Terkini

‘Abang Long Sebuah Parti Mahukan Tiga Penjuru’
‘Abang Long Sebuah Parti Mahukan Tiga Penjuru’
KUALA TERENGGANU, 17 November – Sikap ‘abang long’ ketua sebuah parti politik menjadi punca kegagalan perundingan dua penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun persetujuan telah dicapai. Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada awalnya perbincangan untuk membentuk kerjasama tiga parti dalam PRN Melaka berjaya menemui jalan penyelesaian setelah pertemuan tiga parti berjaya diadakan. “Saya kena sebut bahawa pertemuan ini mendapat mandat ketua parti masing-masing, ia diadakan pada Rabu 27 Oktober 2021 yang diwakili lima pemimpin UMNO, dua PAS dan dua Bersatu kemudian kali kedua pada Jumaat 29 Oktober 2021 dihadiri enam UMNO, dua PAS, tiga Bersatu.  “Dalam pertemuan itu beberapa persetujuan telah dicapai, dan cadangan 'pre-election agreement' dirangka untuk kerjasama berlaku di PRN Melaka. “Namun begitu, langit tidak selalu cerah. Rabu, 3 November 2021, pasukan perunding dalam kekecewaan dimaklumkan bahawa ada seorang ketua parti yang akhirnya tidak bersetuju dan tetap mahu tiga penjuru.  “Memang semua kecewa, tapi apa nak buat, sikap Abang Long inilah yang mengganggu kerjasama bersama kita,” katanya ketika Ucapan Penggulungan Bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, hari ini. Justeru, bagi menjayakan agenda perpaduan beliau berkata semua pihak perlu berlapang dada, ikhlas dan mampu untuk mengelakkan dari mempunyai beberapa ciri yang boleh merosakkan usaha.  “Ciri yang boleh merosakkan usaha perbincangan atau perundingan antaranya ialah, sikap Abang Long dalam apa jua perundingan, sikap samseng Kampung Dusun, iaitu watak Sarip Dol dalam filem Seniman Bujang Lapok, dan sikap tamak haloba mementingkan diri seperti watak Abdul Wahab dan Abdul Wahib, iaitu anak Ismet Ulam Raja dalam Filem Tiga Abdul,” ujarnya. Terdahulu Ahmad Samsuri berkata,  generasi muda berumur 18 tahun dan ke atas kebanyakannya tidak berparti, mereka hanya mahu masalah mereka dibela dan dijaga oleh kita semua yang menjadi pemimpin. Oleh itu amat penting katanya, ketiga-tiga parti Melayu ini berganding bagi mengelakkan kerajaan ‘scammer’ yang memerintah 22 bulan kembali. “Kita semua ada kelemahan.  Kita harus melihat bahawa sekiranya kita gagal berpakat, ia adalah kerana kelemahan kita juga. Sekiranya tiga parti ini gagal merendahkan egonya, akan kembalinya sengsara 22 bulan semasa kerajaan 'scammer'. “Adakah kita lupa tempoh 22 bulan kita dikelirukan oleh mereka yang menjanjikan bulan dan bintang dalam PRU-14 dan apabila mereka menang mereka mengaku gagal melaksanakan janji pilihan raya,” tambah beliau.
17 Nov 21
3008
Jangan 'Panaskan' Dewan - ADUN Ajil
Jangan 'Panaskan' Dewan - ADUN Ajil
KUALA TERENGGANU, 16 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diingatkan agar tidak mengundang perselisihan yang boleh ‘memanaskan’ dewan sepanjang Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri. Kenyataan tersebut disuarakan ADUN Ajil, Maliaman Kassim yang menyarankan agar wakil rakyat bersidang mengelakkan kebangkitan isu lapuk dan memfokuskan perbincangan perbahasan bajet. “Diharapkan kita dapat berbincang dengan keadaan tenang dan munasabah sebagai wakil rakyat. “Perkara begini memberi kesan kepada generasi muda di mana mereka dapat bergaul mesra antara satu sama lain tanpa kira fahaman politik. “Apatah lagi kita yang matang tidak boleh mengeluarkan pandangan politik bersikap sebegini, ia mesti dilihat sebagai satu politik perhubungan lebih matang,” katanya. Terdahulu, Wakil Hulu Besut, Nawi Mohammad membangkitkan isu politik dihadapi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka iaitu Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO yang tidak lagi selari boleh menyebabkan perpecahan Melayu Islam seperti peristiwa sembahyang dua imam pada 1980-an dahulu.   Kenyataan ini dibidas oleh ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang menjelaskan wakil Hulu Besut perlu merujuk Piagam MN dan perhalusi semua isinya bagi melihat sejauh mana dakwaan dibuatnya. “Muafakat adalah kerjasama atas naratif Melayu dan Islam, jangan kelirukan dewan,” jelasnya. Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali turut mengingatkan Ahli Yang Berhormat (AYB) agar mengikuti ‘standing orders’ . “Mana-mana pihak tidak boleh menggunakan peluang untuk bercakap perkara yang tidak perlu,” tambahnya.
16 Nov 21
556
Pemimpin Perlu Membuat Keputusan Secara Kolektif
Pemimpin Perlu Membuat Keputusan Secara Kolektif
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 13 November – Pemimpin tidak harus membuat keputusan bersendirian dalam semua perkara tetapi mesti mempunyai sikap pendengar yang sangat baik untuk turut mendengar pandangan dan cadangan dari ahli-ahli bagi memajukan sesebuah persatuan. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, kekuatan segi organisasi bukan sahaja bergantung kepada kepimpinan tetapi juga dengan sokongan dari seluruh ahli. “Pasukan keselamatan khususnya anggota tentera sudah tentu sentiasa dipandang tinggi oleh semua pihak. Merekalah selama ini dari sejak negara kita mencapai kemerdekaan berkorban menjaga keselamatan rakyat dan negara ini. "Negara tidak boleh maju sekiranya keselamatan terancam dan tidak ada pihak yang berminat untuk mengadakan hubungan perdagangan atau melabur dalam negara kita.  “Pengorbanan mereka sehingga ke peringkat nyawa perlu diberikan penghargaan terutama dalam menghadapi ancaman komunis dan penceroboh luar serta segala anasir subversif yang lain. Ancaman keselamatan bukan perkara yang mudah dijangka tetapi pasukan ini perlu sentiasa bersedia pada bila-bila masa,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Terengganu kali ke-62 di Terengganu Equestrian Resort (TER), pada hari ini. Menurutnya, ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19, pasukan tentera juga dikerah berganding bahu dengan pasukan polis sebagai 'front liners' memikul tugas bagi mengawal orang ramai untuk memutuskan rantaian COVID-19 dari terus merebak. “Mereka bertugas tidak kira hujan panas, siang malam dan kadang-kadang terpaksa menggadai nyawa mereka sendiri akibat wabak ini. "Oleh sebab itu saya turut bersama merasa sangat dukacita dan marah apabila ada pihak yang mempertikaikan kedudukan anggota keselamatan tentera kita yang dihubung kaitkan dengan makan gaji buta dan perlu dihantar ke ladang-ladang dan seumpamanya. “Mereka ini adalah golongan yang tidak mempunyai sifat patriotik kepada negara, bahkan dari satu sudut tidak layak menjadi rakyat negara ini kerana buta atau jahil sejarah selepas mereka sendiri menikmati kemakmuran hasil dari pengorbanan pasukan keselamatan,” ujar Dato’ Yahaya. Justeru beliau memandang tinggi kesungguhan persatuan ini bergerak dan berharap agar semua ahli perlu banyak bermuhasabah dan mempertingkatkan serta memperbaiki agar menjadi lebih baik daripada sebelum ini.
13 Nov 21
786
PAS Terbuka Bekerjasama Bentuk Keluarga Malaysia Lebih Harmoni
PAS Terbuka Bekerjasama Bentuk Keluarga Malaysia Lebih Harmoni
KUALA TERENGGANU, 7 November-Sebagai komponen dalam kerajaan  PAS sedia untuk berunding dengan semua pihak bukan sahaja UMNO serta parti-parti politik yang ada dalam negara termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak-pihak tertentu ke arah pembentukan keluarga Malaysia yang lebih harmoni. Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerana itu pada muktamar kali ini, bertemakan penyatuan ummah dan perpaduan. "Kita PAS masih lagi melihat kepada asas yang global dan besar melalui penyatuan melibatkan parti-parti politik dan sebagainya. "Jangan jadikan faktor berbeza pandangan seperti dalam pilihan raya, ada masa kita cuba elak, ada masa kita tidak boleh hendak elak, tetapi jangan sampai memabawa masalah kepada penyatuan ummah. "Kerana ia merupakan satu gagasan yang lagi besar yang kita hendak bawa," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, pada Muktamah Tahunan PAS Kali Ke-67, di Duyong Marina & Resort, di sini, semalam. Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri(PRN) Melaka, beliau mengakui sedikit rasa kecewa dengan tindakan UMNO untuk bertanding semua kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka namun ia bukan memberi gambaran sebenar pada jangka masa akan datang terutama ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15. "Pada awal perbicangan positif, agar tidak bertembung sesama parti komponen dalam kerajaan melalui rundingan awal, namun berlaku sebaliknya pada hujungnya. "Bila UMNO isytihar nak bertanding 28 kerusi maka Perikatan Nasional (PN) tidak ada pilihan, terpaksa menghadapi bersama dengan komponen-komponen yang lain. Jadi kita sedia untuk PRN. "PAS bertanding atas tiket PN kerana ia berdaftar sebagai parti politik, sebaliknya Muafakat Nasional (MN) tidak berdaftar sebagai parti politik, namun bagi kami (PAS) MN merupakan satu medan besar untuk penyatuan ummah bukan semata-mata untuk menghadapi pilihan raya sahaja yang mana ia juga merupakan gagasan ummah," ujarnya lagi.    
06 Nov 21
161
'MN Tidak Terhad PAS, UMNO Sahaja'
'MN Tidak Terhad PAS, UMNO Sahaja'
KUALA TERENGGANU, 6 November – Kerjasama PAS dalam Muafakat Nasional (MN) tidak hanya terhad dengan UMNO sahaja kerana ia melanggar matlamat asal gabungan terbabit. Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS juga tidak boleh dihalang untuk berkerjasama dengan parti melayu Islam lain dan bukan Islam yang tidak ekstrem. “Dengan sebab itu juga, PAS tidak boleh dipaksa melanggar muafakat ini, contohnya PAS dengan UMNO sahaja, bahkan kita lebih fleksibel sehingga kita bersetuju mendaftarkan Perikatan Nasional. “Ini dengan melibatkan parti-parti bukan Islam yang dan termasuk rakan-rakan di Malaysia timur sehingga kita telah mencapai kejayaan sehingga mengambil alih kerajaan pusat, ini mesti dipertahankan. “Seperti dalam piagam MN, penyertaan tidak terikat kepada dua parti ini sahaja, kita turut menjemput BERSATU untuk sama-sama menyertai sama dalam MN,” katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini. Sementara itu, apabila disoal berkenaan kemungkinan berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) di Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka, beliau menjawab, pihaknya berpegang kepada asas bekerjasama. “Bila ada parti yang tidak ingin bekerjasama, terpulang kepada mereka. Bila sebut kerjasama mestilah berlaku pembahagian kerusi antara parti-parti bukan sahaja MN termasuklah PN,” jelasnya.
06 Nov 21
411
‘PAS Tidak Tamak’
‘PAS Tidak Tamak’
KUALA TERENGGANU, 6 November - PAS menegaskan parti itu tidak tamak dalam isu pembahagian kerusi di Piliharaya Negeri (PRN) Melaka. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pengagihan dalam Perikatan Nasional (PN) adalah positif dan pihaknya membayangkan akan mendapat sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kerusi yang dipertandingkan.  “Kita tak tamak, kerana kita ada tiga parti (yang akan bertanding) dalam PN,” katanya dalam sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-67 di Duyong Marina & Resort, di sini hari ini. Ditanya mengenai kawasan bakal PAS tandingi, Abdul Hadi berkata, ia telah dinilai berdasarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai cawangan dan jentera PAS. “Ia akan diumumkan nanti, kita juga ada tolak ansur dengan parti Bersatu,” jelas beliau. Dalam perkembangan sama, PAS dan PN dijangka akan mengumumkan calon PRN Melaka pada petang ini.
06 Nov 21
404
Muktamar PAS Angkat Tema ‘Islam Menyatukan Ummah’
Muktamar PAS Angkat Tema ‘Islam Menyatukan Ummah’
KUALA TERENGGANU, 6 November - Muktamar PAS Pusat kali ke-67 yang berlangsung di Duyong Marina & Resort hari ini mengangkat tema ‘Islam Menyatukan Ummah’ sebagai kesinambungan parti itu untuk menjadi ejen perpaduan. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan pihaknya berkewajipan menyatukan umat Islam bermasyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum. Namun katanya, dalam usaha itu pastinya akan ada satu kelompok umat Islam yang melampaui batas dan suka bertelagah.  “Surah al-Hujurat telah memberikan petunjuk supaya kita memperbaiki hubungan yang bertelagah, namun jika masih ada suatu pihak yang melampau, maka dibolehkan kita bertindak sekadar yang diperlukan supaya dapat diajak kembali kepada ajaran Islam dan memperkukuh persaudaraan Islam yang telah terbina,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian Muktamar sebentar tadi. Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata PAS mesti mempelajari pengalamannya yang lalu bagi menyatukan parti-parti Melayu Islam sebagai teras politik negara. “Termasuklah menyelamatkan UMNO yang cedera parah dalam PRU-14 dan BERSATU yang baharu ditubuhkan oleh asal usul UMNO yang berpecah. Kedua-dua buah parti ini telah berjaya ditemukan semula oleh PAS melalui wadah penyatuan MN dan PN, dengan peranan PAS sebagai pendamai.  “Ternyata, usaha penyatuan ummah tidaklah mudah kerana memerlukan kesungguhan dan jiwa besar, saling bertoleransi dan bersabar demi mencapai kejayaan yang didambakan.  “Kita wajib menghadapi PRU-15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan kerana sikap tamak, mementingkan diri atau dendam kesumat sehingga keputusan PRU-14 berulang lagi. Menurut Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu lagi, kemunculan Muafakat Nasional (MN) pada mulanya hanya dianggotai oleh PAS dan UMNO sahaja, kemudian, kedua-dua buah parti tersebut bersetuju untuk menjemput BERSATU, sekali gus menjadi asas permulaan kepada konsep Islam Memimpin dan Perpaduan Ummah yang lebih kukuh. “Seterusnya, ia dilangsungkan kepada pembentukan gabungan yang lebih majmuk iaitu Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan.  “Gabungan ini menerima asas Perlembagaan Persekutuan dan terbuka penyertaannya kepada semua parti yang tidak menyeleweng daripada Perlembagaan. Inilah acuan perpaduan nasional yang kita ingin perkenalkan kepada semua,” jelasnya.
06 Nov 21
362
Muktamar PAS Bermula Esok Mengikut SOP KKM
Muktamar PAS Bermula Esok Mengikut SOP KKM
KUALA TERENGGANU, 5 November - Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 bermula esok hingga 7 November ini akan mematuhi ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia bertepatan dengan keadaan negara yang kini dalam proses pemulihan pasca Covid-19. "PAS Pusat mempunyai perwakilan seramai 1,546 orang membabitkan perwakilan kawasan, dewan-dewan dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Sendiri dan juga Majlis Syura Ulama, daripada jumlah tersebut yang akan berada di Kuala Terengganu adalah seramai 694 orang. "Manakala perwakilan dari negeri akan berada di negeri masing-masing, namun begitu bagi memeriah negeri yang menjadi tuan rumah kita telah memutuskan untuk membuat ketetapan supaya semua*Yang DiPertua PAS (YDP) di seluruh negara membabitkan 197 kawasan juga perlu berada di sini. "Perwakilan kawasan pula akan berada di negeri masing-masing, sebagaimana biasa oleh kerana Terengganu menjadi tuan rumah, semua perwakilan PAS negeri ini menerusi lapan kawasan akan hadir secara fizikal, juga akan turut melibatkan perwakilan dari negeri jiran Pahang dan Kelantan menjadikan jumlah kesemuanya 694 orang membabitkan perwakilan sahaja," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata demikian pada sidang media,sempena muktamar  di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Muktamar Tahunan PAS pada kali ini, Dr Alias Razak. Kata Takiyuddin, bagi memastikan perjalanan muktamar berkenaan berjalan dengan lancar, ia akan melibatkan perkara-perkara yang menjadi keutamaan sahaja. "Sebagai contoh pada tahun ini kita tidak menjemput rakan-rakan politik yang lain, samada yang ada hubungan dengan PAS ataupun tidak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga tidak dijemput. "Kita hanya menjemput mereka yang tertentu sahaja, sebagai contoh, veteren PAS, jemputan dari luar negara, itu memang jelaslah tidak ada," katanya. Selama dua hari muktamar berkenaan diadakan katanya,Majlis Perasmian akan dimulakan dengan ucapan dasar Presiden, selain membentangkan peringatan mesyuarat yang dahulu dan membentangkan laporan. "Kemudian kita akan adakan sesi pemilihan kemudia kita akan teruskan dengan usul-usul yang mana kita jangkakan akan berakhir pada 10.30 malam hari pertama. "Manakala pada hari kedua akan meilbatkan dua agenda sahaja, termasuk mengumumkan keputusan pemilihan parti, yang mana diumumkan pada hari kedua kerana terpaksa menunggu keputusan daripada setiap negeri yang akan menjalani proses penggundian menggunakan 'E-Voting'," ujarnya lagi.        
04 Nov 21
401
Presiden PAS, Timbalan Menang Tanpa Bertanding
Presiden PAS, Timbalan Menang Tanpa Bertanding
KUALA TERENGGANU, 4 November - Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang serta Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PAS  selepas kedua-duanya menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi sesi 2021-2023 Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan perkara berkenaan pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 yang diadakan bermula 6 November ini, di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong. Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, untuk jawatan Naib Presiden, pemilihan kali ini menerima empat pencalonan termasuk Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai penyandang jawatan berkenaan, di samping Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah. "Serta menerima satu pencalonan baru yang dicalonkan oleh perwakilan daripada kawasan iaitu Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, yang juga merupakan bekas calon Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 di Shah Alam. "Juga merupakan Setiausaha Politik kepada Timbalan Presiden PAS, seterusnya dalam muktamar ini juga ditetapkan dalam perlembangan untuk memilih 18 orang AJK PAS Pusat dan kita menerima pencalonan yang disahkan seramai 36 orang akan bertanding untuk mengisi 18 kedudukan berkenaan," ujarnya. Menjawab kepada media, mengenai isu penarikan diri Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor daripada bertanding jawatan Naib Presiden katanya, itu menjadi amalan biasa dalam parti. "Mungkin memikirkan tugas yang lebih berat kerana sekarang ini beliau merupakan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, dan telah ada kedudukan di situ yang selama ini telah berperanan begitu baik," katanya.  
04 Nov 21
1134
Muktamar Tahunan PAS Fokus Isu Ekonomi, Perpaduan
Muktamar Tahunan PAS Fokus Isu Ekonomi, Perpaduan
KUALA TERENGGANU, 4 November - Isu nasional melibatkan kesihatan, pendidikan, pemulihan ekonomi serta sosial dan perpaduan akan menjadi fokus utama pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 yang diadakan di Terengganu bermula Sabtu ini. Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia relevan selaras dengan kedudukan parti berkenaan yang kini merupakan sebahagian daripada kerajaan di peringkat persekutuan dan muktamar yang diadakan itu akan mencuri tumpuan seluruh negara. "Oleh sebab itu fokus kita berbeza pada kali ini apabila telah berperanan menjadi kerajaan persekutuan, tidak hanya membincangkan kepentingan kerajaan negeri yang dikuasai PAS, tetapi fokus kita lebih inklusif membabitkan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. "Saya jangka itu akan dibangkitkan oleh perwakilan, di samping akan turut menyentuh isu-isu antarabangsa, jadi dijangka muktamar diadakan di Terengganu ini semuanya menarik dan akan mendapat perhatian seluruh dunia. "Sebagaimana kelaziman akan turut didatangi dan dihadiri oleh perwakilan dari luar negara, tetapi untuk tahun ini mereka tidak datang secara fizikal mungkin mereka akan mengikutinya secara hibrid," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbarnya, sempena Muktamar Tahunan PAS yang diadakan itu, di Duyung Marina & Resort, di Pulau Duyong, di sini, pada hari ini. Mengulas mengenai agenda perpaduan, katanya PAS konsisten mengenai perkara tersebut yang mana pada tahun ini tema yang diangkat ialah 'Islam Menyatukan Ummah'. "Ini menjadi agenda yang kekal dan tetap kepada PAS kerana ia merupakan seruan, dan juga merupakan 'move', usaha kita untuk menyatukan ummah. "Kita bukan sahaja hendak berbincang untuk menjadi pendamai antara UMNO dan BERSATU tetapi kita sekarang ini berperanan 'will play a major role' untuk satukan ummah ini yang selama ini menjadi hasrat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan didokong oleh semua. "Kita memiliki kesefahaman yang jelas mengenai agenda ini, ia akan diteruskan dan diterjemahkan dalam pelan tindakan agar ia menjadi keutamaan. "Kta mahu ia berlaku dalam negara, melibatkan kalangan orang Melayu Islam, parti-parti dalam kerajaan, di kalangan parti-parti lain yang mempunyai aspirasi yang sama , dalam Perikatan Nasional sendiri turut dianggotai oleh Ahli-ahli Bukan Islam. "Tiga parti  Melayu, PAS, UMNO dan BERSATU sebagai tonggak dalam kalangan kabinet yang ada pada hari ini," ujarnya.      
04 Nov 21
220