Artikel "Politik" Terkini
Perumahan Padang Setengge Yang Terbengkalai Bercahaya Semula
KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Projek Perumahan Padang Setengge yang terbengkalai ketika era pemerintahan kerajaan terdahulu akan bercahaya kembali selepas proses baik pulih selesai sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, projek itu hanya menunggu kelulusan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam masa terdekat.
Katanya, perkembangan tersebut sekali gus menafikan dakwaan liar pihak tertentu bahawa kerajaan PAS Terengganu gagal menyelesaikan isu terbabit.
“Projek perumahan tersebut sepatutnya siap pada Ogos 2014 ketika Dato' Seri Ahmad Said menjadi Menteri Besar namun terbengkalai sehingga PAS mengambil alih kerajaan dan berjaya menyelesaikan isu tersebut.
“Saya dimaklumkan kontraktor petang tadi (semalam) bahawa projek tersebut telah siap sepenuhnya, sekarang menunggu kelulusan elektrik daripada TNB sahaja,” tambahnya dalam Ceramah Perdana Teguh Pertahan 1.0 di Besut, semalam.
Antara dakwaan yang tidak diketahui sumbernya berlegar di media sosial.
Dr Alias turut berkata, para pembeli perumahan telah berjumpa dengannya dan meminta campur tangan kerajaan semasa kerana projek tersebut terbengkalai walaupun bayaran bulanan kepada bank sudah berlaku.
Terdahulu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM8.5 juta hingga RM10 juta bagi kos pembaikan rumah terbengkalai di Padang Setengge yang berjumlah 234 unit rumah.
31 Mar 22
1059
Idea ADUN Belia Cermin Pandangan Generasi Muda Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Persidangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu yang berlangsung bermula semalam perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan wakil generasi muda negeri.
Timbalan Yang Dipertua Dewan ADUN Belia Terengganu, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, cadangan-cadangan yang dikemukakan harus diambil serius supaya pihak bertanggungjawab dapat melihat pandangan-pandangan daripada kalangan mereka sendiri yang berada dalam kelompok belia.
"Idea-idea yang baik dapat kita implementasikan sebagai satu gerakan untuk menjayakan suatu visi dan misi kerajaan Terengganu ke arah melahirkan belia yang mempunyai sikap proaktif dalam melaksanakan ataupun menzahirkan perkara-perkara yang kita katakan sangat mustahak untuk membentuk generasi yang akan datang.
"Saya fikir, usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan negeri adalah usaha yang terkehadapan.
"Maknanya, kerajaan sendiri cuba untuk melihat ke dalam pemikiran masyarakat belia sendiri. Bukan kita yang mencadangkan, bukan pihak lain yang melangkaui usia belia yang cadangkan tetapi kita mengambil input itu daripada kalangan belia itu sendiri," katanya ketika ditemui selepas mengendalikan Persidangan ADUN Belia Terengganu, hari ini.
Tambahnya, usaha tersebut pasti dapat menghidupkan idealisme yang cuba ditampilkan oleh pelbagai pihak dalam negeri yang sekaligus mampu mencambah idea-idea baru yang lebih baik.
"Saya juga fikir bahawa antara perkara yang aa mereka berjaya tonjolkan ialah kesepakatan dalam melahirkan idea-idea baru. Ini amat menarik.
"Kajian yang mereka buat juga bukan sahaja menyentuh soal dalaman negara tetapi juga melangkaui sejarah-sejarah silam dengan mengambil sisi kegemilangan yang berlaku dalam aspek pemerintahan, aspek pendidikan, kekeluargaan dan seumpamanya," katanya.
29 Mar 22
426
Penyatuan Melayu-Islam Asas Kestabilan Politik
KUALA TERENGGANU, 27 Mac – Penyatuan antara orang Melayu-Islam merupakan formula terbaik bagi mencapai kestabilan politik negeri dan negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak perlu bekerjasama bagi menyatukan atau mengurangkan perselisihan antara parti politik.
“Penyatuan ini perlulah bersifat inklusif dan bukanlah eksklusif serta terhad kepada pihak-pihak tertentu atau hanya satu-dua parti politik sahaja.
“Saya juga berharap, apa jua yang berlaku janganlah kita menggugat keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang telah kita kecapi sebelum ni,” tambahnya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.
Beliau turut menegaskan kesedaran rakyat terhadap amalan berpolitik secara matang dan sejahtera tanpa mengira warna parti politik perlu dikekalkan.
27 Mar 22
300
Tiada Keperluan Bubar DUN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mac- PAS menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam tempoh terdekat.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar senada dengan pendirian Presiden parti, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya itu sehingga habis penggal tahun depan.
"Kita telah buat keputusan hari itu, sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden PAS.
“Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak ada keperluan untuk bubar DUN.
"Saya juga ada terbaca kenyataan daripada Pakatan Harapan (PH) untuk negeri-negeri di bawah PH juga tidak akan membubarkan (DUN) atas sebab-sebab mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membacakan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Laporan media sebelum ini memaklumkan, pendirian yang dimuktamadkan Abdul Hadi itu adalah bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.
“Pas mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, di samping fokus yang perlu diberikan terhadap usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik.
“Justeru, Pas berpendirian DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya,” katanya.
21 Mar 22
949
PAS Pertahan Politik Matang
KUALA TERENGGANU,15 Mac- Budaya politik matang masih teguh dipertahan malah terus dihayati di semua peringkat hingga kini,” tegas Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Justeru katanya, Pas menolak dakwaan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali kononnya budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi dasar parti itu sudah lenyap.
“Tentang dakwaan itu kena tanya dia (Mohd. Khairuddin), saya pun tidak faham apa maksudnya kerana budaya itu ada dan sentiasa ditekankan oleh kepemimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Sejarah Dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Primula Beach Hotel, semalam.
Dalam laporan media sebelum ini, Mohd. Khairuddin mendakwa budaya politik matang dan sejahtera itu sudah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan susulan serangan bertali arus oleh kepemimpinan tertinggi parti dan Perikatan Nasional (PN) terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, tindakan menyerang UMNO/BN yang masih lagi rakan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) tidak mampu menarik penyokong BN untuk menyokong PN.
15 Mar 22
239
Pembebasan Al-Quds Isu Akidah Yang Wajib Diperjuangkan
KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyatakan bahawa isu pembebasan Al-Quds merupakan isu akidah yang wajib diperjuangkan sehingga umat Islam berjaya mengecap kemenangan.
Tambah beliau, isu pembebasan Al-Quds ini bukan sahaja isu rakyat Palestin atau serantau Arab semata-mata tetapi ia juga merupakan isu kemanusiaan yang wajar disambut diperingkat global.
“Minggu Al-Quds Sedunia ialah satu inisiatif yang digerakkan serentak di serata dunia bagi mencetuskan gelombang kesedaran berkenaan perjuangan pembebasan Al-Quds dan Palestin.
“Alhamdulillah, sepanjang kita melangsungkan program ini saya telah menerima mesej daripada rakan-rakan di Turki, Jordan, Tunisia, Pakistan dan lain-lain lagi yang begitu bersemangat melihat bagaimana sambutan yang diadakan di peringkat Malaysia,” katanya dalam Majlis Kemuncak Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia di Dewan Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya, baru-baru ini.
Turut hadir dalam majlis itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ustaz Idris Ahmad, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Binti Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Dato' Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berharap agar usaha kecil ini dapat menjadi pemacu bagi membangkitkan rasa cinta dan kasih kepada Al-Quds.
Majlis tersebut turut diisi dengan sebuah forum bersama aktivis Malaysia di Palestin, Nadir Al-Nuri yang berkongsikan ilmu serta pengalaman sepanjang berada di sana.
Di samping itu, majlis tersebut juga dimeriahkan lagi dengan persebahan oleh kumpulan Inteam dan deklamasi sajak oleh Bonda Nor dan Haji Rafi.
07 Mar 22
340
Aid4Palestine Lancar Minggu Al-Quds Sedunia
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Aid4Palestine dengan kerjasama Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah akan melancarkan Minggu Al-Quds Sedunia pada 25 Februari hingga 3 Mac 2022.
Pengerusi Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, inisiatif itu diadakan bagi mengangkat solidariti ummah seantero dunia untuk bangkit bersama ke arah pembebasan Al-Quds.
Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
"Minggu Al-Quds Sedunia yang digerakkan serentak di seluruh dunia ini ialah satu inisiatif cetusan daripada gabungan persatuan-persatuan ulama' Islam dari pelbagai negara.
"Penganjuran Minggu Al-Quds Sedunia di peringkat Malaysia pada tahun ini akan merangkumi pelbagai program yang mensasarkan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO, tokoh-tokoh masyarakat serta pelbagai lapisan masyarakat," jelas Ustaz Muhammad Khalil.
Tambah beliau lagi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang minggu tersebut ialah Karnival #Malaysia4AlQuds, Kayuhan serta Konvoi Solidariti #Malaysia4AlQuds dan Khutbah Perdana Al-Quds.
Justeru, Aid4Palestine dan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berbesar hati untuk mengajak seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama menjayakan Minggu Al-Quds Sedunia ini.
21 Feb 22
780
'Kami Tidak Merungut Walau Dibebani Projek Terbengkalai'
BESUT, 20 Februari – Kerajaan negeri tidak pernah merungut walaupun terpaksa memikul beban projek terdahulu yang terbengkalai sebaliknya mengambil inisiatif membaik pulih semula kesemua 'pembangunan separuh masak' itu demi manfaat masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha tersebut boleh diibaratkan sebagai 'anak yang kotor akan dimandikan dan dicantikkan kembali'.
“Bila kita kahwin dengan janda, anak tiri kita juga perlu jaga, ia sebahagian daripada tanggungjawab kita.
“Banyak projek terbengkalai melibatkan ratusan juta, antara projek yang diperbaharui seperti projek Ladang Rimbunan Kasih bernilai RM27 juta di Rantau Abang, kita hidupkan kembali Ladang Kelapa Matag di Langkap yang sebelum ini diperuntukkan kira-kira RM5 juta tapi terbengkalai.
“Beberapa projek Lembah Kaprima di setiap daerah di Terengganu, Pusat Veterinar Jenang juga antara yang dihidupkan kembali menjadi pusat penghasilan tenusu," katanya bagi membalas tohmahan kononnya tiada sebarang bentuk pembangunan dibuat kerajaan PAS Terengganu selepas merasmikan program Agihan Pencen Rakyat di Dewan Sivik Jabi, baru-baru ini.
Tambah beliau, projek padang ragut terbiar digunakan kembali sebagai padang ragut rakyat dan hab lembu sado.
"Banyak jika kita senaraikan apa yang telah ditinggalkan kita pikul kembali, ia bukan suatu beban buat kita,” katanya.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu, konsep pembangunan bukan sahaja melibatkan bangunan semata-mata dan bukan satu-satunya kaedah dipraktikkan kerajaan.
“Saya ambil contoh iaitu sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021, sebanyak 45 projek telah berjaya dilaksanakan manakala 93 daripada 94 program telah dijalankan.
“Kita mengutamakan pembangunan yang hasilnya boleh dinikmati dan dikecapi rakyat, jika ambil contoh daripada portfolio saya sebuah bentuk bangunan tidak dapat dilihat adalah pelabuhan tukun melibatkan kos RM1.2 juta.
“Kemajuan ini tidak dapat dilihat kerana ia dibawah laut, namun faedahnya adalah memperkayakan sumber laut, Alhamdullilah ia dinikmati dalam bentuk peningkatan pendapatan nelayan.
20 Feb 22
746
Pekeliling Benar Guru Kemas Berpolitik Keluar Dalam Masa Terdekat
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - "Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam peringkat akhir untuk mengeluarkan pekeliling berhubung kebenaran guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berpolitik," jelas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali.
Menurut beliau, draf pekeliling berkenaan kini sudah disiapkan dan dalam proses penelitian.
"Pekeliling atau garis panduan kebenaran golongan pendidik seperti guru dan kakitangan Kemas bergiat aktif dalam politik akan dikeluarkan dalam masa terdekat," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sign Off Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Agensi Dibawahnya Bagi Tempoh 2021-2025 di Wisma Darul Iman, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Seperti yang dilaporkan media, Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob bulan lalu mengumumkan guru dan petugas Kemas dibenarkan bergiat aktif dalam politik sebagaimana rakyat lain, berkuat kuasa serta-merta.
Serentak dengan itu pekeliling terdahulu yang memberi amaran dan menyekat golongan pendidik daripada berpolitik sudah tidak terpakai.
14 Feb 22
429
'Muafakat Nasional Masih Hidup'
KUALA NERUS, 12 Disember - PAS menegaskan bahawa gagasan Muafakat Nasional (MN) yang dibina pada September 2019 tidak pernah terkubur sebaliknya masih lagi hidup.
Presidennya, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, secara umumnya hubungan parti itu dengan UMNO dalam keadaan baik.
"Alhamdulillah masih baik, kita bekerjasama dengan UMNO secara parti dan keseluruhan, bukan dengan individu-individu tertentu.
"Sebagai contoh kita masih kekal berkerjasama dalam mempertahankan kerajaan yang ada hari ini, UMNO masih tak tarik diri daripada kabinet Bersatu dan PAS," katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Pas Ke-70 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu turut berkata, pihak yang melanggar piagam MN tidak mewakili UMNO secara kolektif.
"Saya tak kata UMNO, saya kata ada orang-orang yang langgar, Ahli Majlis Tertinggi UMNO ramai, bukan seorang, mereka bergerak secara bersama bukan mengikut individu.
"Saya tak tuju kepada sesiapa, saya 'tembak dalam gelap', terpulang kepada sesiapa kena atau tidak 'tembakan' itu," katanya.
Abdul Hadi turut mengatakan pihaknya kekal dengan agenda perpaduan ummah yang tidak terhad kepada UMNO dan PAS sahaja sebagaimana termaktub dalam piagam MN.
"Penyatuan ini melibatkan parti melayu dan bukan melayu yang tidak ekstrem termasuk badan bukan kerajaan, Bersatu parti melayu tidak bersama DAP.
"DAP ekstrem, Parti Amanah Negara (Amanah) masih bersama DAP, kita tak terima mereka kerana masih bersama DAP," ujarnya ketika ditanya mengenai jemputan kepada Amanah untuk menyertai MN.
Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah memaklumkan PAS bersedia menerima Amanah menyertai MN jika parti itu tidak bersama DAP.
12 Dec 21
722