Artikel "Politik" Terkini
PRU15: Politik Matang Demi Rakyat- Amzad
KUALA TERENGGANU, 5 November- Penyandang Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang mewakili Perikatan Nasional (PN-PAS) bagi Parlimen Kuala Terengganu menyatakan akan terus mengamalkan budaya politik matang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, beliau juga akan berkempen secara sihat tanpa memburukkan keperibadian pihak lawan.
"Kita sejak dulu mempromosikan budaya politik matang dan sejahtera. Ini pada saya perlawanan matang sifatnya dan InsyaAllah kita akan saksikan pertandingan yang sihat.
"Apa yang penting, rakyat dapat yang terbaik demi agama, bangsa dan negara, " ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Parlimen Kuala Terengganu bertempat di Stadium Negeri Terengganu, hari ini.
Berkongsi kisahnya dengan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Ahmad Amzad memberitahu, mereka berdua mempunyai hubungan yang baik sejak dahulu lagi, malah mempunyai beberapa wawasan yang sama untuk pembangunan Kuala Terengganu.
"Kebetulan pula, kami berdua adalah bekas pelajar sekolah yang sama (Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di Kuala Nerus).
"Mohd Zubir adalah senior saya, jadi kami tak berkesempatan berada dalam sesi persekolahan yang sama, bagaimanapun hubungan kami terjalin erat dalam alumni sekolah melalui pelbagai program yang diadakan.
"Kami juga pernah tinggal sebilik sepanjang mengerjakan umrah pada tahun 1997 jadi, kami berdua akan mengamalkan pertandingan yang sihat supaya pengundi Kuala Terengganu dapat wakil yang terbaik," katanya.
Parlimen Kuala Terengganu yang mempunyai seramai 123,305 pengundi berdaftar bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru dalam PRU-15 kali ini.
Selain Ahmad Amzad dan Mohd Zubir, dua lagi calon ialah bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu serta Mohamad Abu Bakar Muda dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).
05 Nov 22
366
PRU-15: Wan Hassan Hadapi Cabaran Lima Penjuru
DUNGUN, 5 November - Penyandang kerusi Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli akan berhadapan cabaran lima penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Beliau akan menentang calon Barisan Nasional ( BN), Nurhisham Johari, Pakatan Harapan (PH), Mohasdjone @ Mohd Johari Mohamad, Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Noraisah Hasan dan Bebas, Ghazali Ismail.
Kertas penamaan calon terawal telah dihantar oleh calon daripada PH pada jam 9.02 pagi, diikuti PAS pada jam 9.05 pagi, Barisan Nasional (9.09 pagi), Bebas (9.12 pagi) dan PEJUANG (9.42 pagi).
Kesemua calon disahkan layak untuk bertanding oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Dungun, Jusman Ibrahim dengan nama masing-masing akan dipamerkan di kertas undi mengikut turutan nombor calon, Peguam Ghazali (Bebas), Noraisah Binti Hasan (Pejuang), Dato' Dr Mohd Johari (Pakatan Harapan), Ustaz Sham (Barisan Nasional), Dan Ustaz Haji Wan Hassan (PAS).
Pada PRU Ke-14 yang lalu, Wan Hassan Mohd Ramli telah menang dengan majoriti 13, 119 dengan jumalah undi sebanyak 40,850 dengan mengalahkan calon BN, Dato' Din (jumlah undi 27,731) dan calon Parti Keadilan Rakyat , Hj. ABD Rahman Yusof (jumlah 6,683 undi).
05 Nov 22
678
PRU15: Saingan Empat Penjuru Di Parlimen Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 November- Kerusi Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Perikatan Nasional (PN-PAS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Calon Parlimen Kuala Terengganu adalah Mohamad Abu Bakar Muda (PEJUANG), Datuk Mohd Zubir Embong (BN), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (PH) dan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-PAS).
Sebelum itu, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Faris Abd Razak menamatkan proses penamaan calon secara rasmi tepat jam 10 pagi yang berlangsung di Stadium Negeri Terengganu sebelum kesemua senarai calon yang bertanding diumumkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut memaklumkan penerimaan borang dari calon PH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah yang diterima pada jam 9.05 pagi bersama pihak pencadang dan penyokong.
Manakala calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar Muda menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.07 pagi.
Selain itu, SPR turut menerima borang pencalonan dari Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-PAS) pada jam 9.13 pagi serta calon parti BN, Datuk Mohd Zubir Embong pada jam 9.19 pagi.
Proses penamaan calon bagi Parlimen Kuala Terengganu kelihatan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini termasuk kawalan rapi pihak berkuasa.
05 Nov 22
1385
PRU15: Saingan Empat Penjuru Cabaran Alias Pertahan Kemaman
KEMAMAN, 5 November- Penyandang parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dari Parti Islam SeMalaysia (PAS), berdepan saingan empat penjuru dalam mempertahankan kedudukannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau yang memenangi parlimen Kemaman pada PRU-14 itu, bakal menentang bekas Menteri Besar Terengganu, Dato'Seri Ahmad Said selaku calon Barisan Nasional (BN), Rosli Ab Ghani dari Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Hasuni Sudin yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Terdahulu, Alias tiba di pusat penamaan calon yang diadakan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) pada jam 8.30 pagi.
Manakala, Ahmad Said tiba pada jam 8.50 pagi.
Kehadiran dua calon berkenaan turut diiringi oleh kira-kira 2,000 penyokong kedua-dua parti.
Ahmad yang kali pertama bertanding di peringkat parlimen menyerahkan kertas penamaan calon pada 9.02 pagi, diikuti Alias pada 9.06 pagi, PEJUANG pada (9.12 pagi) dan PH (9.16 pagi).
Penamaan calon disahkan pegawai pengurus bahagian Pilihan Raya Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab dengan kesemua calon layak untuk bertanding.
Sebelum ini, Alias memenangi kerusi parlimen Kemaman dengan 39,879 undi menewaskan penyandang terdahulu dari BN, Ahmad Shabery Cheek dengan majoriti 2,163 undi.
05 Nov 22
916
PRU15: 2,000 Penyokong Iringi Amzad Ke Pusat Penamaan Calon
KUALA TERENGGANU, 5 November- Hujan renyai tidak mematahkan semangat kira-kira 2,000 penyokong PAS yang hadir ke Pusat Penamaan Calon bagi memberikan sokongan padu kepada calon parti itu bagi Parlimen Kuala Terengganu.
Calon Perikatan Nasional (PN- PAS) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim tiba di stadium Negeri Terengganu di sini pada jam 8.55 pagi bagi menyerahkan borang penamaan calon.
Sebelum itu, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Shah bersama kira-kira 100 penyokong setia menjadi calon pertama tiba di Pusat Penamaan Calon Parlimen Kuala Terengganu pada jam 8.45 diikuti calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar pada Pejuang pada jam 8.49 pagi.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zuber Embong bersama kira-kira 200 penyokong hadir ke pusat penamaan calon pada jam 9.12 pagi.
Pertembungan empat penjuru itu dijangka menarik kerana empat calon bertanding masing-masing mempunyai reputasinya yang tersendiri.
05 Nov 22
377
PRU15 : Rosol Calon PN Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 3 November - Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Rosol Wahid diumumkan calon pertama Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.
Perkara itu diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Jelajah Prihatin dan Pelancaran Jentera PN PRU-15 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini, malam tadi.
“Saya hendak tengok (Parlimen) Hulu Terengganu diisytiharkan memang (PRU15). Calon yang bertanding tidak lain dan tidak bukan ialah Rosol Wahid untuk Hulu Terengganu.
“Sepatutnya esok (hari ini) diisytihar (calon-calon PN Terengganu), tetapi kerana dia calon Bersatu, mewakili PN di kawasan Hulu Terengganu. Biar saya isytihar,” katanya.
Rosol yang juga penyandang kerusi Parlimen akan berhadapan dengan tiga pencabar iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rozi Mamat; calon Pakatan Harapan (PH), Alias Ismail dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd. Khadri Abdullah.
Terdahulu, PN Terengganu akan mengumumkan calon yang akan bertanding di lapan kerusi parlimen pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU-15 di Dewan Tok Guru Rusila Marang hari ini.
Daripada jumlah itu, PAS akan bertanding di tujuh kerusi parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Setiu, Kemaman dan Besut manakala Bersatu akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu.
Kesemua calon PN di Terengganu akan menggunakan simbol bulan (PAS).
03 Nov 22
1039
Rayu Undi Di Universiti Malukan Diri
KUALA NERUS, 2 November - Tindakan 'merayu undi' di universiti dengan memaksa mahasiswa mengundi calon tertentu disifatkan sebagai keterlaluan dan memalukan diri sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, perbuatan itu mencalarkan imej institusi pengajian tinggi dan merendahkan martabat sistem pendidkan.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana universiti awam bebas daripada politik kepartian.
"Walaupun kita tahu umur 18 sudah diberi kelayakan untuk mengundi, tetapi cara terbuka macam itu akan mengakibatkan parti-parti politik lain juga akan minta untuk memasuki institusi-institusi pendidikan dengan menggunakan pihak pentadbiran untuk mengumpulkan para pelajar dan mengasak mereka dengan politik kepartian ini sesuatu yang tidak wajar.
"Nampak sangat terdesak untuk meraih sokongan daripada mahasiswa, mereka ini golongan yang terpelajar jadi saya rasa tindakan ini kadang-kadang memperbodokan diri sendiri, "ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Penyelidikan Pendidikan, Penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pengajian Guru (IPG) Kampus Dato' Razali Ismail, di sini, semalam.
Menurut Satiful, anak muda perlu diberikan pendedahan ilmu politik secara baik yang tidak menjurus kepada kepartian.
Katanya, semua pihak perlu memberi kebebasan untuk menentukan pendirian parti mana yang lebih baik.
"Kita masih lagi berharap agar institusi ini bebas daripada unsur-unsur politik kepartian, tetapi pada hari ini usia 18 melayakkan mereka mengundi jadi perlu untuk difahami akan ilmu sains politik cuma kita minta jangan menjurus kepada kepartian,"ujarnya lagi.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial, pemimpin sebuah parti politik merayu undi dalam satu program.
Dalam video berkenaan, pemimpin parti BN itu telah bertanya kepada pelajar yang hadir sama ada untuk memberi undi atau tidak kepada partinya, tetapi mahasiswa mengatakan tidak.
02 Nov 22
1920
Pengundi Kali Pertama Mahu Calon Bersih, Berintegriti
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Sebahagian besar pengundi kali pertama di negeri ini meletakkan keutamaan untuk memilih wakil rakyat yang bersih daripada salah laku dan rasuah serta mengutamakan kebajikan rakyat.
Intan Nursyahira Azmi, 20, dari Kampung Baloh, Manir berkata, ciri-ciri tersebut penting bagi memastikan negara berada di landasan tepat untuk keluar daripada masalah ekonomi dan ketidakstabilan politik.
"Saya sangat teruja untuk mengundi kali pertama, sebagai anak muda sudah tentu saya bercita-cita mahu melihat sebuah negara yang aman sejahtera, serta pemimpinnya bersih daripada rasuah, mengutamakan kebajikan rakyat serta berpolitik bukan untuk kepentingan sendiri.
"Sudah tentu antara ciri-ciri lain yang diingini ialah pemimpin yang memiliki ciri-ciri Islamik dan berpengetahun serta hebat memimpin," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut Nur Farah Shuhadah, 25, dari Kampung Pulau Duyong berkata, sebagai anak muda dirinya merasa teruja dan berdebar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Saya tidak akan mengecualikan diri, mengundi ini penting untuk memilih pemimpin yang baik kepada negara, mengambil sikap tidak mengeluar mengundi akan mengakibatkkan negara akan diperintah oleh pemimpin tidak bertanggungjawab.
"Saya beserta rakan-rakan telah membuat pendirian, akan undi parti atau gabungan yang tidak terpalit dengan sebarang isu salah laku.
"Ini penting bagi membolehkan dasar kerajaan berjalan baik, tidak diseleweng untuk agenda peribadi dan sebagainya, malah pelabur luar juga akan yakin dengan negara jika unsur rasuah tiada, bila semuanya baik maka negara akan stabil," katanya.
Bagi, Wan Aminuddin Wan Omar, 25 dari Kuala Ibai pula berkata, dia sudah tidak sabar untuk keluar mengundi.
Katanya, dirinya dan kawan-kawan sudah mempunyai parti untuk diundi pada 19 November ini.
"Ketika negara sedang menghadapi wabak pandemik Covid-19 yang begitu serius, kita lihat kepimpinan semua parti diuji, dan dari situ kami menilai pemimpin mana yang baik, pemimpin yang tidak meletakkan agenda peribadi sebagai keutamaan kami pilih.
"Pemimpin yang dipilih juga adalah yang akan mendidik dan membawa rakyat bukan untuk semata-mata kesenangan dan kesejahteraan hidup di dunia, tetapi juga untuk kehidupan di akhirat kelak," jelasnya.
Menurut Farah Hanani Shafie, 23, dari Kampung Binjai Kertas Hulu Terengganu pula, anak muda menjadi generasi yang akan menentukan masa hadapan negara.
"Oleh itu jangan tersilap langkah, lakukan pemilihan yang tepat, pilih pemimpin yang faham agama agar negara tidak berada dalam keadaan huru hara, jangan pilih pemimpin yang terlibat rasuah.
"Saya sangat bersedia untuk menjalankan tanggungjawab mengundi, dan pilihan saya sudah ada," ujarnya.
31 Oct 22
689
Rakyat Tak Setuju Bubar DUN
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Langkah yang diambil oleh kerajaan negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan suatu keputusan yang tepat sebagai persediaan membantu rakyat ketika menghadapi banjir.
Mantan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, seandainya berlaku pembubaran DUN secara serentak rakyat akan protes dan kecewa kerana dalam situasi berhadapan banjir menyelamatkan nyawa menjadi keutamaan berbanding melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Kepada realiti yang pada kebiasaanya dihadapi akhir tahun ialah berlakunya banjir disebabkan monsun timur laut, jadi langkah diambil setelah berupaya untuk mengurangkan risiko ketika berlakunya bencana, itu adalah lebih utama.
"Kita mesti meminimakan risiko yang membebankan rakyat, sebaliknya fokus kerpada usaha membantu dan menyelamat kalau ditakdirkan berlakunya banjir," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika ditemui di Seminar Undang-Undang Pilihan Raya dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Lepasan Pelajar Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM Care) Terengganu, di Hotel Paya Bunga, semalam.
Tegasnya, paling dikhuatiri seandainya kerajaan yang dibentuk seandainya diteruskan juga pembubaran DUN adalah tidak menepati kehendak rakyat akibat peratusan keluar mengundi yang dicapai tidak sebagaimana yang dihasratkan.
"Dengan bilangan yang sedikit keluar mengundi, sebagai contoh katakan 38 peratus ini dianggap gagal walaupun akan tetap membentuk sebuah kerajaan, sudah tentu kerajaan yang dibentuk itu tidak sebagaimana dikehendaki rakyat dan bukan yang terbaik kalau ramai yang mengambil keputusan tidak keluar mengundi kerana mengutamakan keselamatan di waktu menghadapi musibah banjir,"ujarnya lagi.
16 Oct 22
549
MN Belum Berkubur, Politik Baru Perlu Ditekuni
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober- Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan Naib Presiden PAS menyifatkan, usaha menyatukan parti-parti terbesar Melayu belum berakhir.
"Kalau dihayati kuliah dan penjelasan Tuan Guru (Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang) semalam, kita boleh faham bahawa Muafakat Nasional (MN) bukan berkubur.
"Tetapi, kita ambil nafas yang agak panjang sedikit atas sebab-sebab tertentu dalam MN, bukan bermakna ia terus berkubur dan diletakkan nisan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), hari ini.
Jelasnya, perkara tersebut (kerjasama) boleh sahaja berlaku pada pasca Pilihan Raya Umum (PRU) melihat kepada suasana politik semasa.
"Suasana yang ada hari ini termasuk kedudukan Pakatan Harapan (PH) tidak sama seperti dahulu, mereka tidak sekuat sebagaimana dahulu.
"Dahulu, turut bersama mereka adalah kepimpinan negara kita, kali ini mereka tidak mempunyai kepimpinan Melayu yang kuat, jadi jauh berbeza.
"Ada kategori tertentu dan pelbagai segmen yang akan dinilai, itulah suasana baru dalam demokrasi kita yang perlu kita tekuni.
"Kedudukan pengundi bandar, semi-bandar dan luar bandar juga tidak sama tentang bagaimana mereka melihat calon," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan, pembahagian calon antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) akan dibincangkan dalam masa terdekat.
"Sudah ada tarikh, insya-Allah tengah minggu depan sudah ada dan kita akan perhalusi.
"Kita percaya PAS melalui pilihanraya bersama PN bukan untuk menjadi pembangkang kita ingin menjalankan tanggungjawab memerintah secara bersama kerajaan pasca pru-15.
"Tentunya calon yang ingin diketengahkan harus merangkumi pelbagai kriteria untuk menjadi ketua kepada masyarakat, ciri-ciri tertentu, berkepimpinan dan paling penting berintegriti, memilik pengetahuan dan mempunyai hubungan baik dengan masyarakat.
"Selain itu, lihat kesesuaian tempat yang mana untuk ditonjolkan dan kita akan timbang secara menyeluruh," katanya.
15 Oct 22
324