Artikel "Politik" Terkini
Pasang Bendera Dengan Memanah
KUALA TERENGGANU, 9 November – Pemasangan bendera dengan menggunakan kaedah memanah merupakan satu pendekatan 'lain daripada lain' yang digunakan oleh pemuda-pemuda di Kawasan Kampung Tanjung, Paya Bunga dan Ladang Titian di sini.
Thaqif Kamaluddin, 32, berkata, seramai 15 orang pemuda di Unit Daerah Mengundi (UDM) Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di tiga Kampung tersebut berganding bahu bagi memasang bendera PAS dalam menghadapi pilihan raya.
Katanya, pemuda-pemuda yang terlibat dalam kerja pemasangan bendera ini tidak mengambil sebarang upah serta mempunyai disiplin dan semangat tinggi.
“Kebiasaannya kerja pemasangan ini dijalankan bermula pada pukul 10 malam iaitu ketika waktu yang sesuai dengan suasana dan kenderaan di jalan raya dalam keadaan tenang dan terkawal.
“Pemilihan Parti Perikatan Nasional bagi pemuda di kawasan ini adalah kerana mudarat paling kurang berbanding kebanyakan parti lain yang bertanding," jelasnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Aktiviti Menaikkan Bendera di Kampung Tanjung Paya semalam.
Tambah Thaqif, pemimpin di peringkat Perikatan Nasional mempunyai pengalaman dan ilmu yang luas dalam pemerintahan justeru Perikatan Nasional adalah pilihan yang tepat.
Dia yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Kampung Ladang berkata, pemasangan bendera ini penting untuk menarik minat orang muda untuk keluar mengundi.
"Apabila orang ramai melihat bendera banyak di sekitar jalan raya maka akan menimbulkan perasaan teruja dan semangat untuk keluar mengundi.
"Di samping, dapat membawa mereka untuk memilih pemimpin yang telus dan berwibawa dalam pemerintahan," jelasnya.
09 Nov 22
994
Rosol Fokus Kempen Bertemu Pengundi
HULU TERENGGANU, 9 November - Berbaki sepuluh hari kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid menggandakan usaha meraih sokongan daripada golongan sasar.
Menurutnya, tempoh berkempen 14 hari yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan digunakan semaksimum mungkin untuk berjumpa dengan akar umbi.
Tambah Rosol, kempen yang dilaksanakan sudah melebihi 50 peratus di parlimen Hulu Terengganu meliputi empat Dewan Undangan Negeri(DUN) iaitu Kuala Berang, Manir, Ajil dan Telemong.
"Alhamdulillah, sambutannya cukup menggalakkan dan saya nampak akar umbi menyokong perpaduan dan kebersamaan parti-parti melayu ini yang menjadi satu kelebihan kepada kita dalam menghadapi PRU15.
"Jadi insya-Allah dengan sokongan, dokongan dan juga semangat yang ditunjukkan oleh akar umbi sama ada mereka yang berparti dan tidak berparti, atas pagar..mereka mengharapkan perpaduan dan juga kesatuan parti-parti melayu di Malaysia ini, itu mesej yang saya terima setakat ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas bertemu penerima Bantuan Pencen Rakyat, OKU dan Ibu Tunggal Dun Manir di Kompleks al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, di sini hari ini.
Katanya, jentera parti sudah menyusun gerak atur beliau sebagai seorang calon untuk berkempen menyantuni penduduk di seluruh Hulu Terengganu dan juga para pengundi di situ.
Tambah beliau, perhatian juga diberikan terhadap pemilih baharu pada PRU15 yang kebanyakan daripada mereka terdiri daripada pengundi tidak berparti dan kumpulan pengundi muda.
"Pengundi kali pertama ada peningkatan terutama kalangan anak muda yang mahir dengan media sosial yang tahu masalah dan isu negara.
"Mereka memahami hal tersebut dan mengakui itu perlu dihentikan serta merta dengan menolak parti yang bersahabat dan bersama dengan mereka yang tidak amanah...supaya negara lebih berjaya dan aman," katanya.
09 Nov 22
318
Dakwaan Idris Hanya Provokasi Murahan
HULU TERENGGANU, 9 November - Calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menganggap tuduhan yang menyatakan dirinya masih berjiwa UMNO sebagai satu provokasi pihak pembangkang bagi meraih undi di Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Katanya, tohmahan itu bertujuan untuk melemahkan sokongan rakyat di Hulu Terengganu terhadapnya terutama penyokong PAS.
“Saya menghormati Tan Sri Idris Jusoh sebagai ‘sifu’ saya yang banyak mengajar cara mengurus dan juga menjadi pemimpin. Sebelum saya berhijrah parti, saya dah maklum kepada beliau dan pada peringkat awal dia bersetuju saya berhijrah daripada UMNO kepada Bersatu.
“Kalau dia kata saya masih berjiwa UMNO walaupun bersama PAS, itu adalah provokasi sebab saya nampak tiada isu orang nak ‘serang’ saya berkaitan rasuah, tidak berakhlak, isu projek dan sebagainya setakat ini sejak 1999 lagi hingga sekarang, Alhamdulillah.
“Pembangkang akan mencari isu untuk melemahkan saya. Paling penting saya berhijrah daripada satu kelompok yang dipimpin oleh mereka-mereka yang tidak amanah kepada kelompok yang setakat ini amanah,” katanya kepada pemberita di Kompleks al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, di sini hari ini.
Rosol yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Ahli Parlimen Besut, Idris Jusoh bahawa, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah individu yang berjiwa Umno.
Dalam masa yang sama, Idris percaya penyokong PAS di Parlimen itu berat hati untuk membantu kempen dan menyokong calon PN, Datuk Rosol Wahid yang merupakan bekas pemimpin UMNO.
09 Nov 22
827
Pengundi Muda Mahu Pemimpin Bersih, Amanah
KUALA NERUS, 9 November - Pengundi kali pertama, golongan yang menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini rata-rata cenderung memilih pemimpin bersih dan tidak khianat bagi menerajui negara.
Pelajar kolej, Qatrunnada Che Sor, 21, akan mengundi buat kali pertama tahun ini berkata, dia lebih memilih pemimpin yang boleh mengangkat dan berpegang teguh kepada prinsip Islam.
Pengundi di parlimen Kuala Nerus itu mengakui, biasa mengikuti perkembangan politik semasa melalui media sosial terutama Instagram dan Tik-Tok bersama rakan-rakannnya.
"Bagi saya, tiada isu tentang umur calon pemimpin sama ada tua atau muda, yang penting beliau bersih dan amanah," katanya ketika ditemui dalam kunjungan calon parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak di Pulau Duyong, semalam.
Calon dari Perikatan Nasional (PN) itu, melakukan ziarah bersama Ameerah menemui ibu-ibu yang baru bersalin, orang sakit dan pengundi-pengundi kali pertama di sekitar Kampung Pulau Duyong.
Salah seorang belia yang turut diziarahi, Najwa Ilyana Mortar, 21, juga menyatakan keterujaan untuk mengundi pada tahun ini.
"Saya rasa gembira dapat menunaikan tanggungjawab mengundi pada kali ini. Saya berazam memilih pemimpin yang baik dan bertanggungjawab dalam membangunkan negara," jelas gadis yang menderita penyakit Talasemia itu.
Dalam pada itu, ibu muda dari Pulau Duyong, Syazwani Mazlan, 25, mahukan pemimpin yang adil dan bersih.
"Saya banyak mengikuti perkembangan politik melalui media sosial terutama Tik-Tok, dan medium-medium ini boleh dijadikan platform menyampaikan maklumat kepada golongan muda.
"Muda atau tua tidak menjadi isu, yang penting beliau (pemimpin) dapat bekerjasama dengan baik dalam memimpin negara," katanya.
09 Nov 22
305
Anak Muda Pilih Calon Berbanding Parti
KUALA TERENGGANU, 9 November – Keperibadian seseorang calon menjadi keutamaan anak muda dalam memilih pemimpin berbanding daripada melihat sesuatu parti.
Imran Muhamad, 25, berkata calon Perikatan Nasional (PN) di Terengganu dilihat kesemuanya mempunyai jati diri yang baik, pengalaman dan ilmu luas dalam pemerintahan.
“Anak muda perlulah keluar mengundi bagi memastikan kepimpinan negara dipegang oleh pemimpin yang telus dan berwibawa.
“Oleh kerana, tanggungjawab mengundi merupakan perkara penting yang akan mempengaruhi masa depan negara dan generasi akan datang dalam jangka masa yang panjang,” jelasnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di sekitar Pasaraya Kuala Terengganu City Centre (KTCC) semalam.
Sementara itu, Afifah Nasir, 25, berkata inilah masanya untuk memilih dan menentukan hala tuju kepimpinan negara memandangkan pelbagai isu yang melanda negara pada saat ini.
“Jadi inilah peluang terbaik untuk anak muda terbabit aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara," katanya.
Dia berkata pertambahan jumlah pemilih menjadikan kumpulan pengundi baharu serta kehadiran mereka mampu mengubah senario politik semasa negara.
08 Nov 22
243
Polis Terengganu Lulus 27 Permit Ceramah
KUALA TERENGGANU, 8 November - Polis Terengganu meluluskan 27 permohonan permit ceramah bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh tiga hari bermula hari penamaan calon lalu.
Ketua Urus Setia PRU15 PDRM Kontinjen Terengganu, Supt Mohd Aluwi Husain berkata, Perikatan Nasional (PN) menerima kelulusan tertinggi iaitu 22 permit, Barisan Nasional (BN) empat dan Pakatan Harapan (PH) satu.
“Pada 7 November 2022, hari ketiga tempoh berkempen polis Terengganu telah mendapati sebanyak (27) aktiviti ceramah telah diadakan seluruh negeri, kesemua telah diluluskan oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan aktiviti kempen, beliau berkata sehingga kini Polis Terengganu belum menerima insiden-insiden yang keterlaluan
“Semua pihak diharapkan agar terus meneruskan kempen secara berhemah tanpa menimbulkan sebarang bentuk kekacauan dan provokasi.
“Pemerhatian pihak polis kebanyakan kempen-kempen calon dan parti bertanding berkisar kepada lawatan ke pasar-pasar dan tempat tumpuan orang ramai berbanding dari mengadakan ceramah-ceramah,” tambah beliau.
08 Nov 22
342
Manisfesto PN Berpijak Di Bumi Nyata
HULU TERENGGANU, 8 November - Calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid menyifatkan manisfesto yang ditawarkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara keseluruhannya adalah sangat baik, menyeluruh dan rasional serta dinanti-nantikan oleh rakyat.
Katanya, 12 tunjang PRU15 yang ditawarkan PN itu, menjadi antara pilihan yang terbaik untuk rakyat dan negara khususnya oleh golongan B40, anak muda dan belia di negara ini.
"Manifesto PN berpijak di bumi nyata dan yang mampu direalisasikan ...bukan satu janji kosong.
"Kita janji dan kita buat, saya yakin dengan tawaran yang diberikan ini akan ditunaikan oleh PN jika diberi kuasa memerintah pada 19hb ini,"ujarnya ketika ditemui pemberita.
Sebelum ini, PN menawarkan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran menerusi manifestonya sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertemakan 'Prihatin, Bersih dan Stabil' atau PN Best.
Antaranya membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus merupakan antara 12 tunjang yang ditawarkan PN sekiranya mendapat mandat rakyat pada PRU15 nanti.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran itu digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara yang dianggap penting oleh mereka.
08 Nov 22
402
Tiga Fokus Utama Cikgu Rosol Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 8 November - Tiga fokus utama akan diberi tumpuan calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid jika Perikatan Nasional (PN-PAS) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Katanya, beliau tekad mahu terus menambah baik segmen kebajikan, pendidikan dan pembangunan bagi meningkatkan kelestarian hidup rakyat.
"Saya berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini dengan utamakan anak orang susah, anak yatim dan orang miskin.
"Contohnya kita akan bina lebih banyak rumah untuk elak rakyat membayar sewa bagi yang tidak ada rumah lagi.
"Keduanya, agenda pendidikan yang memastikan setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran ke universiti mempunyai laptop dan jika terdapat orang susah, anak yatim yang tidak mampu membiayai pelajaran kerana masalah kewangan, boleh maklum kepadanya," katanya ketika ditemui selepas program ziarah di Kampung Tajin, di sini hari ini.
Seterusnya beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, perkara ketiga ialah pembangunan setempat.
"Banyak aset yang perlu diketengahkan, kita ada Tasik Kenyir, Sekayu, Belukar Bukit, ada banyak bukit untuk program pendakian (hiking) yang perlu dijenamakan semula dan dibangunkan.
"Contohnya Sekayu yang menjadi tumpuan satu ketika dulu, sekarang hilang serinya, jadi kita akan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk kembalikan kegemilangan kawasan tersebut," tambah beliau lagi.
Berdepan saingan empat penjuru, beliau menghadapi tentangan Datuk Rozi Mamat (Barisan Nasional), Alias Ismail mewakili Pakatan Harapan (PH) sementara Mohd Khadri Abdullah calon Pejuang.
Rosol yakin mampu memenuhi kemahuan rakyat andainya diberi mandat pada PRU15 ini.
"Banyak perkara yang terbantut dan ketinggalan sebelum ini dan semuanya perlu diperbetulkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ini," ujarnya.
08 Nov 22
699
RM33 Juta Pembangunan Infrastruktur Dan Kemudahan Dilaksana
KUALA TERENGGANU, 7 November – Sebanyak RM33 juta diperuntukkan untuk membangunkan infrastruktur dan memenuhi keperluan rakyat dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Haji Amzad Hashim berkata, banyak rancangan berkaitan dengan pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat masih dalam pelaksanaan.
“Beberapa projek utama yang telah saya usahakan sehingga mendapat kelulusan antara lain berkaitan masalah nelayan di Sungai Ibai yang pada tahap sekarang telah mendapat kelulusan peruntukan dan dalam proses pemberian kontrak kepada pelaksana.
“Yang ni saya rasa akan dilaksanakan dengan kadar yang segera, melibatkan kos lebih daripada RM23 juta dan juga di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kita usahakan projek pembangunan KTCC Promenade yang menghadap waterfront melibatkan peruntukan RM10 juta,” jelasnya.
Beliau yang juga calon PN Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas penamaan calon di Stadium Tertutup, Kuala Terengganu, pada kelmarin.
Kata Ahmad Amzad, pelbagai isu yang menjadi keutamaan berkait masalah kemiskinan, infrastruktur, perparitan dan memperkasakan pendidikan anak-anak di kawasan Kuala Terengganu.
“Ini sentiasa menjadi tumpuan saya lebih-lebih lagi di era kita perlu menyediakan anak-anak yang boleh menyesuaikan diri dengan pelan hala tuju pembangunan negara memerlukan kemahiran dalam teknologi dan juga sains.
“Jadi inilah perkara yang penting di dalam era revolusi perindustrian IR 4.0 sekarang,” ujarnya.
Selain itu katanya, tumpuan juga akan diberikan tentang aspek keusahawanan melibatkan kelompok komuniti penjaja, persatuan penjaja kecil dan peniaga melayu terutamanya pasar dan pasar malam.
“Ini adalah perkara yang sentiasa kita perjuangkan kerana ia melibatkan komuniti yang ramai di kalangan warga rakyat Terengganu.
“Dan sudah tentu sebagai parti PAS soal berkaitan dengan memperkasakan penghayatan Islam itu sendiri memperjuangkan syariah perkara yang akan terus kita perjuangkan di peringkat parlimen di peringkat negara kita,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap PAS dan Perikatan Nasional (PN) mendapat kemenangan yang lebih besar dalam PRU bukan sahaja di Kuala Terengganu tetapi di seluruh negara.
“Saya memohon supaya sokongan gelombang yang telah ada ini dalam bentuk sokongan pada hari mengundi. Itu yang lebih penting. Saya tahu dikalangan anak muda terutama sekali mempunyai hasrat untuk melihat penubuhan sebuah negara yang mana kerajaan bersih dan stabil.
“Kalau kita bercakap di kedai kopi semata-mata ia tidak membawa apa-apa, merungut tidak menyelesaikan masalah.
"Caranya adalah dengan mengundi PAS untuk di Terengganu ini yang menjadi kompenan kepada PN dan seruan secara umumnya ke seluruh negara iaitu untuk undi PN kerana menjanjikan kerajaan yang bersih dan juga stabil serta kerajaan terbaik.
"Kita tak mahu 'good' kita tak mahu 'better' kita maju yang 'best' yang terbaik yang akan membentuk sebuah kerajaan yang mempunyai potensi untuk dilonjak lagi di dalam memajukan negara kita," tambah beliau lagi.
07 Nov 22
350
Wan Hassan Ajak Rakyat Dungun Bina Malaysia Sejahtera
DUNGUN, 6 November- Calon Pilihan Raya Umum ke 15 Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli mengajak seluruh rakyat Dungun untuk membina Malaysia Sejahtera yang bersih dan stabil.
Beliau yang mempertahankan kerusi yang disandang pada PRU14 lalu dapat dipertahankan Parlimen demi kesejahteraan rakyat dan daerah Dungun.
"Untuk semua rakyat Dungun terima kasih kerana telah memberikan amanah kepada saya dalam dua penggal yang lepas," katanya ketika dihubungi media hari ini
Menurutnya, beliau dengan penuh berat hati dan rasa bertanggungjawab menerima taklifan jemaah sebagai calon P039 Parlimen Dungun mewakili Parti Islam Semalaysia (PAS).
"Saya sedar bahawa taklifan ini satu tugas yang cukup berat kerana setiap amanah akan dipersoalkan di hadapan Allah.
"Saya berjanji akan menunaikan amanah yang telah diberi dengan baik. Saya akan cuba buat sehabis baik dan bekerja sepenuh daya agar Dungun terus berdaya maju dan berdaya saing," katanya.
06 Nov 22
577