lightning-solid
Berita :

Artikel "Politik" Terkini

Terengganu Siap Siaga Hadapi Risiko Banjir
Terengganu Siap Siaga Hadapi Risiko Banjir
HULU TERENGGANU, 13 November - Kerajaan negeri sudah bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Terengganu. Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata persediaan itu termasuk dari segi logistik, pengoperasian bilik gerakan, bekalan makanan dan pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir yang terlibat. "Memang kami telah bersedia sejak dari bulan Ogos lagi dengan pelbagai latihan yang diadakan oleh agensi-agensi yang terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) termasuk masyarakat tempatan. "Lebih kurang 10 peratus di antara pusat pengundian yang berpotensi untuk dijadikan pusat penempatan banjir dikenalpasti, juga telah bersiap sedia walaupun sebenarnya sebagaimana yang saya sebut sebelum ini tidak sesuai diadakan PRU pada musim begini kerana akan menyusahkan rakyat, tetapi dah berlaku juga, kerajaan kena hadap je lah,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santai Minum Petang Masyarakat Setempat di Kampung Buluh, di sini, semalam. Tambahnya, semua aset ada cara pengendalian tersendiri sekiranya berlaku banjir terutama di kawasan-kawasan kritikal dan itu adalah perkara yang dilihat di peringkat awal lagi oleh semua agensi dalam membuat persiapan masing-masing. Menurutnya lagi, pihak anggota amal juga sentiasa bersedia 24 jam dari semasa ke semasa di seluruh daerah di negeri ini sekiranya diperlukan. "Mereka ini hanya menunggu panggilan je sekiranya perlu untuk  berada di tempat-tempat tertentu untuk membantu masyarakat berpindah dan menyediakan kelengkapan yang sepatutnya," ujarnya. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan akan meningkat kepada 90 peratus pada waktu pagi, petang dan malam pada minggu ketiga iaitu minggu pengundian. “Tetapi bila kita kata ramalan, ia masih ramalan lah tapi saya percaya masyarakat samaada pengundi atau bukan pengundi, mereka ini akan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.        
13 Nov 22
313
PRU-15: Kemampuan PAS Tadbir Negara Baik, Punyai Rekod
PRU-15: Kemampuan PAS Tadbir Negara Baik, Punyai Rekod
HULU TERENGGANU, 13 November – Selepas lebih empat tahun menjadi kerajaan negeri dan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, PAS berjaya mematikan tuduhan pihak lawan selama berpuluh tahun kononnya parti berasaskan Islam itu mustahil untuk memerintah. Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata, PAS telahpun membuktikan kemampuan mereka dalam mentadbir negeri dan penglibatan dalam kerajaan persekutuan. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa negara akan berdepan lebih banyak masalah sekiranya rakyat memberi peluang kepada PAS untuk memerintah selepas PRU15. “Itu pandangan dia (Mahathir) ..terpulanglah kalau nak terima atau tidak tapi pada saya PAS telah membuktikan melalui penyertaan dalam kerajaan peringkat negeri-negeri dan nasional termasuk yang membina negara di peringkat pusat. “Jadi dalam  tempoh yang sangat singkat ini, kenapa pula PAS dilihat tidak mampu untuk bersama membentuk sebuah kerajaan gabungan  dalam kerajaan persekutuan dan ini kita akan teruskan di masa hadapan.InshaAllah selepas 19hb ini, kita akan bentuk kerajaan yang lebih kuat di peringkat nasional,” ujarnya kepada media selepas program Santai Petang Bersama Masyarakat di Kampung Tanggol, semalam.  Dalam masa yang sama menjawab tohmahan Mahathir bahawa PAS akan memperalat agama lebih banyak (jika menang PRU15), Ahmad Samsuri berkata soal itu tidak perlu menjadi satu isu besar kerana kehidupan semuanya akan berlandaskan agama termasuk politik yang berlapikkan panduan Islam. Mengikut rekod, kerajaan negeri Terengganu ketika mengambil alih pentadbiran selepas PRU14, kerajaan negeri telah menyelamatkan beberapa projek sakit termasuk menyelesaikan masalah anak-anak syarikat kerajaan negeri yang mengalami kerugian. Malah PAS juga membuktikan mereka mengotakan segala janji yang dibuat dalam manifeso sewaktu PRU14.
13 Nov 22
456
PRU15:Perang Bendera Makin Rancak
PRU15:Perang Bendera Makin Rancak
KUALA TERENGGANU, 10 November - Menjelang seminggu lagi tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) menyaksikan perang bendera semakin rancak di seluruh negeri termasuk di Terengganu. Tinjauan mendapati hampir keseluruhan kawasan parlimen dipenuhi bendera parti yang bertanding sebagai strategi ‘perang’ psikologi bagi menunjukkan kekuatan parti masing-masing. Setakat ini, PN dan BN dilihat lebih ke depan khususnya dari segi pemasangan bendera dan kewujudan bilik-bilik gerakan serta markas di sekitar negeri ini. Rata-rata penduduk yang ditemui berkata pemasangan bendera menjelang setiap pilihan raya bertujuan menambah kehangatan ‘demam’ itu yang berlangsung sekali setiap lima tahun. Pemasangan bendera di sekitar pinggir jalan dilakukan pada waktu petang dan malam agar tidak menganggu lalu lintas di sekitar laluan oleh jentera parti-parti terlibat. SPR telah menetapkan tarikh pengundian awal pada 15 November ini manakala 19 November sebagai hari mengundi. Terdapat seramai 922,586 pengundi berdaftar yang layak mengundi di seluruh Terengganu pada PRU-15 bagi lapan parlimen nanti.      
12 Nov 22
356
Lelaki Bakar Bendera Parti Politik Ditahan Polis
Lelaki Bakar Bendera Parti Politik Ditahan Polis
KUALA TERENGGANU, 11 November - Tindakan seorang lelaki membakar bendera parti politik yang tular di media sosial baru-baru ini telah disiasat dan akan ditahan oleh pihak polis dengan segera. Ketua Urusetia Pilihan Raya Umum -15 (PRU15) Polis Kontinjen Terengganu, Superintendan Mohd Aluwi Husain berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu telah melakukan siasatan mengenai kejadian tersebut dan telah mengenalpasti individu berkenaan. “Terdapat dua kejadian yang melibatkan lelaki membakar bendera Parti Islam Semalaysia (PAS) dan seorang lagi membakar bendera Malaysia. “Melalui hasil daripada siasatan mendapati bahawa kedua-dua kejadian tersebut dilakukan oleh individu yang sama,” jelasnya. Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan media semalam. Mohd Aluwi berkata, maklumat awal juga telah diperolehi dan mendapati bahawa lelaki berkenaan merupakan seorang pesakit mental. “Kedua-dua kejadian tersebut telah tular melalui pemilik akaun Tiktok 'Mohammad farhan 2953' ,” katanya.  
11 Nov 22
1056
Pembangunan Infrastruktur di Marang Terus Dirancakkan - Abdul Hadi
Pembangunan Infrastruktur di Marang Terus Dirancakkan - Abdul Hadi
MARANG, 11 November - Pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di Marang akan terus dirancakkan bagi memastikan keselesaan penduduk. Penyandang kerusi Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, daerah itu yang terletak di kawasan pinggir bandar sudah mempunyai banyak kemudahan asas namun perlu ditambah baik sesuai dengan keadaan semasa. Katanya, perkara itu akan terus dilaksanakan demi kepentingan masyarakat Marang. “Marang kedudukan di pinggir bandar, infrastruktur dah ada, kerajaan mesti melaksanakan pembangunan di sini, sesiapa memerintah kena buat, pinggir bandar ini harus didahulukan,” katanya. Mengulas mengenai peluang pekerjaan di Marang, Abdul Hadi berkata, rata-rata penduduk di Marang bekerja sendiri terutama sebagai petani dan nelayan. “Jadi tidak timbul banyak isu berkaitan hal itu, kita cuba usaha bantu untuk pelbagaikan peluang,” katanya ketika ditemui media selepas program bersama komuniti Marang pagi tadi. Untuk rekod, projek mega menaiktaraf jalan dan membina jambatan baharu yang bernilai RM338.5 juta antara pembangunan sedang berjalan di Marang. Selain itu, projek tebatan banjir dan pemuliharaan Pantai Rusila, Marang turut dijalankan bagi keselesaan penduduk. Sementara itu, projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang sedang dilaksanakan bermula 15 Disember tahun lalu dengan kos projek bernilai RM30.5 juta. Jumlah pendaratan ikan di negeri ini dijangka meningkat semula selepas kerja-kerja mendalamkan muara sungai dilakukan untuk memudahkan nelayan mendaratkan hasil laut.      
11 Nov 22
547
PAS Tiada Masalah Sesiapa Nak Isytihar Harta
PAS Tiada Masalah Sesiapa Nak Isytihar Harta
MARANG, 11 November - PAS tiada masalah dengan mana-mana pihak atau individu yang ingin menyisytiharkan harta pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. Presiden PAS, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang walau bagaimanapun berkata, tindakan itu boleh dianggap sebagai wayang jika ia hanya dibuat menjelang hari pengundian. Katanya, langkah itu sebenarnya boleh dibuat sebelum musim PRU dan bukan semata-mata demi mengaburi mata orang ramai. "Pengisytiharan harta bukan hanya boleh dibuat pada minggu atau waktu pilihan raya ini, ia boleh dibuat bertahun-tahun dulu atau pada bila masa-masa. "Masyarakat setempat boleh menilai dan lebih tahu (harta) calon PAS yang kita ketengahkan, harta kita tak sampai juta-juta, PAS tiada kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa macam parti lain, namun PAS tiada masalah sesiapa nak umum," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila pagi tadi. Abdul Hadi ketika berprogram bersama masyarakat di marang hari ini. Untuk rekod, DAP juga merupakan antara parti yang tidak mewajibkan calonnya yang bertanding pada PRU15 mengisytiharkan harta. Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP tidak mempunyai polisi yang mana mewajibkan calon-calon pilihan raya perlu mengisytiharkan harta mereka Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan beliau mengabaikan tugas sebagai Ahli Parlimen, Abdul Hadi berkata pengerusi PH itu tidak layak bercakap soal itu. "Rakyat yang menilai, penduduk di kawasan saya menilai, buktinya saya terus diberi kepercayaan menjadi Ahli Parlimen Marang. "Saya mendapat sokongan majoriti rakyat bukan hanya orang islam, bahkan bukan islam contohnya yang ada di Wakaf Tapai, Marang. "Kita dengar penilaian pengundi kita, bukan orang yang duduk jauh," tambah beliau.
11 Nov 22
291
Dr. Alias Saran Lawan Jangan Cipta Provokasi Murahan
Dr. Alias Saran Lawan Jangan Cipta Provokasi Murahan
KUALA NERUS, 11 November- Calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus, Dato'Dr Alias Razak menafikan beliau bersikap sombong atau kurang mesra ketika bersua calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Hasnim sebagaimana kenyataan yang tular di portal Malaysiakini, semalam. Dalam kejadian yang berlaku di Pasar Malam Serdang, Kuala Terengganu itu, Alias berkata, beliau hanya bertegas untuk menjaga dirinya. "Isunya kecil sahaja, kami bertembung di pasar malam itu, kami bersalaman dan beliau menarik saya untuk berpeluk, tetapi saya menolaknya. "Ada beberapa sebab, ketika itu saya dalam keadaan basah lencun. "Sebagai seorang doktor dan juga exco kesihatan negeri, saya juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai. "Saya bertegas untuk mengutamakan perkara lebih penting ketika itu berikutan musim COVID-19 masih belum tamat dan saranan menjaga batas serta pergaulan dalam masyarakat masih ditekankan, cukuplah bersalaman kerana disitu bukan tempat dan keadaan yang sesuai untuk berpelukan," katanya. Tambahnya, sebagai calon pemimpin, Suhaimi seharusnya tahu keutamaan dan keperluan, bukannya menjadikan isu remeh sebagai provokasi murahan. "Virus itu masih ada walaupun kita telah dibenarkan bebas melakukan aktiviti harian. Ketika berkempen, kita juga sering diingatkan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan masing-masing. "Kalau kita terlalu bebas, kemungkinan menyebabkan jangkitan merebak semula. "Saya ambil kesempatan ini untuk turut berpesan, jaga kesihatan masing-masing, cukup salam dan tidak perlulah berpeluk-pelukan," katanya.
11 Nov 22
530
PRU15 : PN Mampu Gugat Kubu Kuat BN Di Telemong
PRU15 : PN Mampu Gugat Kubu Kuat BN Di Telemong
HULU TERENGGANU, 11 November - Calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini. Katanya, UMNO dan BN DUN Telemong tidak mampu lagi mendabik dada dengan menganggap satu kawasan dalam parlimen Hulu Terengganu itu sebagai kubu tradisional mereka. "Saya tak nampak bahawa UMNO boleh 'claim' DUN Telemong kubu kuat mereka kerana beberapa lubuk UMNO telah dapat ditembusi PAS. "Contohnya, Felcra Bukit Kepah dan Kampung (Kg) Hulu Sat dah naik satu bendera besar PAS. Begitu juga di Kg Padang Setar selama 50 tahun PAS tidak boleh masuk ke kawasan tersebut tetapi sekarang dah boleh masuk. "Keadaan yang juga berlaku di Kg Bukit Tadok dan Kg Lubuk Batu, dalam sejarah PAS boleh masuk ke kawasan berkenaan.Jadi UMNO tidak boleh berkata bahawa DUN Telemong masih kubu kuat mereka," ujarnya kepada pemberita selepas program ziarah pengundi di PPSK Menerong, Ajil, di sini hari ini Menurut Rosol, tidak mustahil kawasan berkenaan akan memberi kejutan yang mampu membawa perubahan yang tidak pernah dijangka dalam PRU15 tidak lama lagi. Tambahnya lagi, kempen berjalan lancar malah sambutan orang kampung memberangsangkan terutama golongan muda memberikan atas dasar isu nasional. Rosol akan bertanding menggunakan logo PAS pada PRU-15 dan kali ini beliau dicabar Datuk Rozi Mamat (BN), Alias Ismail (PH) dan Mohd Khadri Abdullah (GTA). Saingan Rosol untuk mempertahankan kerusi itu adalah Rozi yang pernah menjadi anak didiknya dan juga ADUN Telemong. Rozi adalah bekas Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu dan pernah mengajar di beberapa sekolah menengah, sebelum menyertai politik pada 2004 (PRU-11). Rozi yang berasal dari Kampung Chapu menjadi ADUN Telemong sejak memenangi PRU12 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dan PRU14.      
11 Nov 22
611
Pengundi Muda Harap Angin Perubahan Berlaku di Besut
Pengundi Muda Harap Angin Perubahan Berlaku di Besut
BESUT, 10 November – Sebahagian besar pengundi muda Besut ketika ditemui menyatakan hasrat untuk mengubah parti politik yang bakal membawa suara rakyat di sini. Salah seorang pengundi, Siti Aisyah Shahrul Zamani, 18, menyatakan rasa teruja kerana bakal mengundi buat kali pertama bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. “Politik ini pengurusan negara yang diketuai pemimpin. Pemimpin perlulah dalam kalangan yang baik demi kestabilan negara. Jika salah memilih pemimpin, kesian kepada rakyat. “Pemimpin yang baik itu adil, tidak pula terlibat dengan aktiviti rasuah. Kita orang muda sangat berharap agar seorang wakil rakyat yang dipilih itu meletakkan agama di depan, bukan pula kepentingan diri sendiri,” katanya ketika ditemubual hari ini. Seorang mahasiswi, Che Ku Najwa Alia Che Ku Nizam Aswad, 19, pula berkata, dia bersyukur menjadi rakyat Terengganu yang melihat usaha kerajaan negeri menjaga maslahah agama.  “Saya secara peribadi berbangga dengan inisiatif kerajaan dalam mengasingkan tempat duduk di panggung wayang. “Begitu juga dengan penganjuran Karnival Jom Heboh tempoh hari yang berlandasakan Syariat, kita yang perempuan ni rasa selamat,” ujarnya.  Perikatan Nasional melalui Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meletakkan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh atau lebih dikenali ‘Abe Zul’ sebagai calon dalam usaha merampas kerusi parlimen Besut daripada Barisan Nasional (BN). Parlimen Besut menjadi medan empat penjuru apabila beliau bakal bertanding dengan Dato' Nawi Mohamad (BN), Abdul Rahman @ Abdul Aziz Abas mewakili Pakatan Harapan (PH) serta Datuk Ir Wan Nazari Wan Jusoh daripada Gerakan Tanah Air (GTA). 
10 Nov 22
1045
Pemimpin Berkaliber, Negara Stabil Pilihan Belia
Pemimpin Berkaliber, Negara Stabil Pilihan Belia
HULU TERENGGANU, 10 November - Rata-rata pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun yang bakal mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mahukan calon yang mengubah nasib rakyat dan bukannya atas dasar manifesto sahaja. Tinjauan mendapati mereka ini juga mahukan wakil rakyat yang berperanan mengharmonikan kawasan tanpa membezakan parti, warna kulit dan agama, selain efisien mendengar suara rakyat. Seorang pengundi kali pertama, Anis Atirah Ismail, 21, berkata dia inginkan kestabilan negara semakin baik dan aman setelah pilihan raya serta mahukan pemimpin yang membuat kerja dan patuh ajaran agama. “Saya nak tengok aman, tiada pergaduhan, tak mahu tengok pergaduhan menteri-menteri dan ahli politik dalam parlimen rebut jawatan. “Kalau calon ini hanya sekadar cakap dan tak buat apa yang dia cakap itu calon yang tak berfungsi lah. Saya pilih calon yang banyak bantu rakyat dan ikut ajaran agama,” katanya. Beliau yang bakal pulang mengundi di parlimen Hulu Terengganu pada 19 November ini berkata, dia juga lebih melihat kepada calon yang diketengahkan berbanding parti politik sebagai rujukan memilih wakil rakyat. "Kami orang muda mengambil tahu mengenai perkembangan politik semasa namun melihat kepada ketidakstabilan sejak kebelakangan ini menyebabkan  bukan sahaja saya tetapi golongan muda menjadi bosan. "Suasana politik sekarang sudah jauh berubah dengan pengundi lebih bijak membuat pilihan dalam menentukan pembentukan sesebuah kerajaan lebih stabil dari kerajaan yang mengamalkan korupsi dan tidak amanah," katanya ketika ditemui pemberita. Seorang lagi pengundi muda, Ahmad Nizam Mukhtar, 19, berkata, berkata, dia turut melihat kepada calon yang diketengahkan terlebih dahulu sebelum membuat pilihan. “Saya membuat rujukan melalui media-media sosial sekarang maklumat mengenai perkembangan politik kerana mudah diperoleh.  "Oleh sebab itu, calon-calon perlu agresif mendekati pengundi muda yang dilihat mampu menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti politik itu," ujarnya lagi. Seorang lagi remaja yang bakal mengundi kali pertama, Muhammad Amaluddin Mat Jusuh, 22, berkata dia mahukan calon yang menjaga kebajikan rakyat, turun padang dengar keluhan rakyat bagi ringankan beban mereka. "Saya tidak mahu calon yang menjanjikan bulan bintang tetapi tidak amanah selepas menjadi wakil rakyat tetapi calon yang mampu menegakkan dan melaksanakan undang-undang Islam dan menjaga rakyat sebaik mungkin," katanya. Berdasarkan statistik umur Daftar Pemilih setakat 9 Oktober lalu sebanyak 5,467 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun akan mengundi kali pertama pada PRU-15 di Parlimen Hulu Terengganu dan ini tidak termasuk 19,733 pemilih berusia 21 hingga 29 yang sebahagianya juga merupakan pengundi kali pertama.
10 Nov 22
291