Artikel "Pertanian" Terkini
Kerjasama Strategik, Perkasakan Ekonomi Bumiputera Islam
Dr Alias Razak.KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Kerjasama strategik antara kerajaan dengan setiap agensi akan memperkasakan sektor ekonomi bumiputera Islam di Terengganu khususnya dan negara amnya.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajan negeri sangat komited untuk menjana ekonomi dan mengembangkan taraf hidup setiap masyarakat melalui sektor pertanian.Katanya, usaha itu tidak akan mencapai objektif sekiranya agensi dan mana-mana pertubuhan tidak berfungsi dengan baik bagi menjalin kerjasama dengan kerajaan.“Kerajaan bersendirian tidak mampu untuk kita tangani semua kehendak dan keperluan rakyat setempat, yang memerlukan kehendak berbagai, melainkan ada bantuan dan kerjasama daripada koperasi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan jabatan-jabatan lain.“Sama ada memberi sumbangan idea dan sama-sama berfikir bagi membangunkan negeri ini, kita bekerja untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat terutamanya Islam dan Melayu,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-35 Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kuala Terengganu Berhad (KODATER), di Dewan Wawasan Peladang, Wisma Peladang, di sini semalam. Dr Alias bersama AJK KODATER.Turut hadir, Pengerusi KODATER, Yusof Musa, wakil pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri, Mohammad Kamal Abd. Rahman dan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu, Akram Hasan.Alias turut menegaskan, pembangunan dan kemajuan yang dicapai hasil kerjasama tersebut akan dapat dinikmati oleh rakyat keseluruhannya.“Apabila negeri dan negara maju, kuat dan teguh, kita akan sama-sama rasai nikmat.“Apabila berlaku sebaliknya, kita juga akan menanggung risiko, jadi kita perlu sama-sama pikul tanggungjawab yang besar ini," tambah beliau.Untuk rekod, kerajaan negeri menerusi Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) telah meletakkan agenda pertanian sebagai fokus utama yang perlu direncanakan dalam tempoh itu.
02 May 19
92
Tanaman Kontan Jadi Pilihan Anak Muda
Oleh : Hidayah AzlinFoto : Abd Muhaimin MuhammedSETIU, 18 April – Pelan hala tuju pertanian Negeri Terengganu tahun 2019-2023 memberi fokus kepada pertanian tanaman kontan yang menghasilkan makanan khususnya melibatkan generasi muda. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, ramai anak muda masa kini gemar melakukan perusahaan yang cepat membuahkan hasil kurang daripada setahun seperti jagung, ubi kayu dan ubi keledek. “Antaranya adalah dengan tanaman kontan. Kebiasaan tanaman kontan ini kitarannya 3 kali setahun produk dapat dikeluarkan."Dulu bila kita sebut program pertanian, biasanya orang 50an yang hadir. Sekarang ini anak muda 20an dan 30an turut hadir dan mereka mula melihat pertanian ini satu kerjaya yang boleh dijadikan satu sumber pendapatan jaminan masa depan. Bukan lagi bidang orang yang gagal, mestilah masuk pertanian,”katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan di Program Penerangan dan Soal Jawab bersama Exco di Laman Sri Sepuluh, di sini, semalam.Dr. Azman berkata, sepanjang program turun padang berdialog dengan masyarakat petani, penternak dan nelayan, golongan anak muda semakin memberi respon positif. “Setiu, Besut, Hulu Terengganu antara tempat yang masih banyak tanah kerajaan untuk kita majukan. Tempat-tempat lain dah terlalu padat dan lebih fokus kepada penempatan.“Setiu antara fokus untuk dijadikan satu daerah pertanian kerana dalam banyak-banyak daerah, Setiu yang paling ketinggalan dan kita tidak boleh berlawan dengan daerah lain menjadi daerah industri macam Kemaman,’’ katanya.Malah, katanya kemajuan daerah lain kerana terdapat faktor yang saling berkaitan termasuk kedudukan geografi, terdapat kemudahan pelabuhan dan pusat pentadbiran, bagaimanapun di Setiu perlu dimajukan dengan cara tersendiri, tanpa menjadi suatu ikut-ikutan.
17 Apr 19
394
Sidang DUN : Projek Pertanian Rimbunan Kaseh Rantau Abang Terengganu Dimajukan Kembali
Dr. Azman Ibrahim.KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri akan memajukan kembali aktiviti ekonomi berasaskan pertanian di Tapak Rimbunan Kaseh, Rantau Abang dalam masa terdekat selepas dihentikan pada April 2017.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim berkata, Kerajaan Terengganu bersama IRIS Corporation Berhad (IRIS) selaku badan pelaksana asal kini dalam proses memulihkan kembali aset yang rosak.Jelasnya, pihak kerajaan juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi merancang strategi baharu yang lebih berkesan untuk membangunkan tapak itu di samping menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.“Kerosakan yang berlaku pada aset akan diperbaiki menggunakan wang jaminan projek daripada IRIS yang ada pada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) tanpa menggunakan dana kerajaan negeri dan insya-Allah proses pembaikan akan siap menjelang bulan Jun akan datang,”.“Kita memandang ke hadapan untuk mengambil alih pengurusan program rimbunan kaseh dan satu jawatankuasa khas rimbunan kaseh telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada 5 Disember 2018 ,” jelasnya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini pagi tadi. Sidang DUN Terengganu.Dr. Azman turut berkata, pembaharuan program itu akan meliputi dua segmen utama iaitu isu kebajikan peserta dan pelan pembangunan program.Ujarnya, isu pemilikan rumah peserta dan strategi untuk memajukan kembali tapak berkenaan akan diselesaikan secepat mungkin tanpa mengabaikan segala aspek.“Kerajaan telah buat keputusan, kesemua 85 peserta yang menetap di rumah dalam program rimbunan kaseh ini akan terus diberikan kebenaran tinggal dan mereka tidak akan dikeluarkan kecuali mereka memilih untuk keluar.“Segmen kedua bagi memajukan projek ini, pada 2 Januari 2019 kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Terengganu (UPEN) telah menghantar surat tawaran kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mengoperasikan insfrastruktur pertanian yang ada dalam program rimbunan kaseh ini.“Dan pihak LPP menyambut baik dan dalam rangka untuk menyiapkan kertas cadangan bagaimana pelan mereka untuk membangunkan projek ini,” tambah beliau.Projek Rimbunan Kaseh merupakan program yang merangkumi beberapa komponen utama iaitu 100 buah rumah, 26 ‘Greenhouse’ Struktur Pelindung Hujan (SPH), 400 tangki penternakan ikan serta ladang tanaman Limau Kasturi dan Golden Melon.
01 Apr 19
395
Lembu Sado Trend Baharu Jana Pendapatan Lumayan
Oleh: Khalid AbdullahKEMAMAN, 27 Mac - Penternakan lembu sado di Terengganu kini menjadi fenomena dan trend baharu dalam kalangan anak muda khususnya untuk menjana pendapatan lumayan.Di daerah Kemaman umpamanya, Mohamad Taufik Mohamad Nor, 30, dari Kampung Baru, Kertih ialah antara golongan muda yang menjadikan ruminan baharu ini sebagai lubuk menjana ekonomi.“Ramai golongan muda berjinak-jinak dalam industri penternakan lembu sado kerana hasilnya sangat lumayan dan harga seekor lembu sado jantan dewasa bernilai belasan ribu ringgit berbanding harga lembu tempatan atau kacukan Kedah-Kelantan.“Mungkin bermula dengan minat atau mewarisi baka induk dari ibu bapa seperti saya, penternakan lembu sado sudah menjadi aset atau pelaburan bernilai bagi golongan muda selain memenuhi permintaan. Ia adalah trend terbaharu di Terengganu dan mampu membantu negara mengurangkan import daging,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di sini baru-baru ini (25 Mac).Mohamad Taufik yang juga bapa kepada tiga orang anak memberitahu, kenangan manis sepanjang melibatkan diri dalam penternakan lembu sado adalah memenangi tempat kedua Pertandingan Lembu Sado sempena Road To MAHA di perkarangan Pejabat MARDI, Manir pada 26 Oktober tahun lalu.“Membawa cabaran baka Limousine bergelar Davic, akhirnya muncul naib juara dan membawa pulang hadiah kemenangan RM1,000 berserta piala dan sijil.“Davic kini berumur empat tahun tujuh bulan, sudah mencapai harga RM18,000 dengan berat terkini 940 kilogram.“Jumlah keseluruhan lembu sado pelbagai peringkat umur yang dibela kini mencecah lebih 30 ekor dan terdiri daripada pelbagai baka seperti Belgian Blue, Charolais dan Limousine,” ujar beliau.Tambahnya, seekor anak lembu sado boleh mencecah harga RM5,000 apabila berumur lima bulan dan kandang ternakan beliau tidak putus-putus dikunjungi golongan muda yang berminat mendapatkan anak lembu sado untuk memulakan projek penternakan atau mengembangkannya.“Orang muda tidak seharusnya berasa malu untuk menjadi penternak kerana ia memberikan hasil yang amat lumayan,” ujar beliau lagi.
26 Mar 19
1063
Tanaman Salak Dendang Perlu Dibangunkan Semula
Program Hari Bertemu Pelanggan peringkat daerah Dungun.Oleh: Adli MohamadDUNGUN, 29 Februari - Industri tanaman buah salak di Kampung Dendang, Bukit Besi perlu dipulihkan kembali kerana ianya mendatangkan pulangan yang lumayan kepada penduduk setempat.Penghulu Mukim Jerangau, Abdul Ghafar Abu Bakar berkata, tanaman buah yang juga dikenali sebagai salak dendang itu merupakan mata pencarian orang ramai.Jelasnya lagi, para petani sekitar kampung itu akan dikumpulkan agar usaha membangunkan kembali tanaman itu tercapai."Jika diusahakan semula, ianya boleh menjadi satu sumber pendapatan kepada penduduk Bukit Besi."Dan perkara ini kita nak fokuskan dan saya pun dah berbincang dengan timbalan pengawai pertanian dimana kita akan kumpulkan petani-petani salak ini untuk kita pulihkan balik," ujarnya. Pegawai penyelaras Dun Bukit Besi, Ghazali Sulaiman (kanan) melihat jualan buah kelapa.Beliau berkata demikian pada sidang media ketika program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Peringkat Daerah Dungun di Pusat Pembangunan Pertanian Jerangau, kelmarin.Hadir sama dalam majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Dungun itu ialah Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli serta pegawai-pegawai dari pejabat pertanian daerah Dungun.Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang hadir berkata, rata-rata penduduk Bukit Besi turut berminat dalam bidang pertanian tersebut.Tambah beliau, hasrat orang ramai itu akan direalisasikan dengan adanya program Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri. Kehadiran penduduk sekitar."Dan sebagai penduduk kampung ini (pertanian) sahajalah hasil dan sumber pendapatan penduduk."Telah banyak tanah yang diusahakan oleh penduduk, dan kita sekarang dalam proses mengangkat RTB dan kita berharap agar perkara ini disegerakan oleh pihak tertentu, bagi memberi jaminan dan galakkan semangat untuk penduduk terlibat dengan pertanian," tambahnya.
28 Feb 19
315
Ahli Baharu PPK, Boleh Isi Borang SBMT
Dr.Azman IbrahimKUALA TERENGGANU, 25 Februari - Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang baharu mendaftar boleh memohon Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) tanpa dikenakan sebarang syarat.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, SBMT merupakan pinjaman dengan dana dari kerajaan negeri yang dikecualikan dari syarat ini kepada ahli PPK.“Saya ada menerima maklum balas rakyat yang memaklumkan bahawa selepas daftar ahli PPK, mereka perlu menunggu selama enam bulan barulah boleh isi permohonan SBMT sebagaimana yang termaktub dalam peraturan pinjaman sebelum ini.“Namun pagi ini saya sudah sahkan dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang merupakan urusetia SBMT tentang isu ini. Sebenarnya syarat daftar enam bulan sebagai ahli baharu boleh buat pinjaman ialah merujuk kepada pinjaman biasa dengan dana dari Lembaga Pertubuhan Peladang dan ianya tidak berkait dengan SBMT,” katanya dalam satu kenyataan kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.Tambah Dr.Azman, selepas mendaftar dan disahkan menjadi ahli PPK, mereka boleh mengisi borang SBMT tanpa bergantung kepada syarat menunggu enam bulan yang dikenakan ke atas pinjaman-pinjaman lain sebelum ini.Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas kesungguhan Pengarah dan seluruh warga staf LPP yang bekerja keras dalam menjayakan Program Jelajah Penerangan dan Dialog SBMT ke seluruh negeri.Untuk rekod, Terengganu memperuntukkan sejumlah RM5 juta sebagai kemudahan pinjaman SBMT patuh syariah tanpa faedah kepada mereka yang menceburi sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini yang mana skim bantuan dalam bentuk barangan, perkakas, enjin, anak benih, peralatan dan bantuan kewangan itu akan diuruskan LPP Terengganu sebagai urusetia.Setiap individu layak membuat pemohonan SBMT tidak melebihi RM50,000 atau nilaian kelulusannya bergantung kepada jenis sektor yang diceburi dan tempoh bayaran pinjaman bergantung kepada jenis perusahaan.
24 Feb 19
288
Tanaman Nanas Sumber Kekayaan Baru Di Kemasik Terengganu
Oleh: Khalid Abdullah KEMAMAN, 22 Februari - Kerajaan Terengganu telah mengenal pasti nanas sebagai satu sumber kekayaan baharu khususnya di Kemasik.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, ianya mampu meraih pulangan yang sangat memuaskan jika diusahakan secara serius dan bersungguh-sungguh."Dengan potensi yang sangat luas, Kemasik dilihat mampu membantu melonjakkan industri nanas negeri ini dan peluang ini patut direbut oleh setiap rakyat."Kita telah bersetuju memulakan usaha ini dengan memperuntukkan tanah seluas 34 hektar di Kampung Semayor sebagai projek perintis untuk kita usahakan dalam masa terdekat."Bentuk tanah di kampung ini amat sesuai bagi tanaman nanas yang mampu dijadikan tanaman komersial baharu di Kemasik."Sebagai ADUN, saya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk pembangunan industri nanas di Kemasik.Tumpuan bukan sahaja untuk membangunkan industri nanas, tetapi juga melahirkan usahawan dengan matlamat utama adalah peningkatan pendapatan petani," ujar beliau.Terdahulu, beliau menerima kunjungan Pegawai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Terengganu Selatan, Mohd Hazman Jusoh di pejabatnya, di Kertih, di sini, pada petang semalam.Menurut Mohd Hazman, Kemasik dilihat berpotensi besar sebagai pengeluar nanas dan LPNM sebagai agensi peneraju utama pembangunan industri nanas bersedia membantu."Pengusaha tanaman nanas akan dibantu secara langsung menerusi bantuan seperti bahan tanaman, input pertanian serta khidmat nasihat dan teknikal.Pegawai LPNM tersebut yang bertanggungjawab kepada daerah Kemaman dan Dungun juga berkata, nanas yang disyorkan pada ketika ini adalah MD2 kerana ia merupakan nanas premium yang mendapat permintaan tinggi di peringkat domestik dan luar negara.“Nanas yang berasal dari Hawaii ini tahan lasak dan tidak mudah rosak. Ia mengandung vitamin C iaitu empat kali lebih tinggi daripada nanas biasa.“Harga pasaran nanas MD2 ini boleh mencecah harga RM3.50 sekilogram dan dijangka memberi pendapatan purata RM6,000 sehektar,” katanya lagi.
22 Feb 19
372
Kerajaan Negeri Pacu Industri Pertanian Melalui Teknologi Moden
Dr. Azman melihat benih pokok yang diusahakan oleh Nasarudin Mohamed di Tapak Semaian Nasaruddin, Jabi Oleh : Hidayah AzlinSETIU, 21 Februari-Kerajaan negeri terus mempergiatkan usaha memajukan industri pertanian dengan pelbagai teknologi moden bagi mendapat impak yang lebih besar.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkembangan teknologi dalam sektor pertanian ini terus bergerak tanpa batas dan sentiasa maju ke hadapan. “Apabila teknologi mainkan peranan, kita akan mendapat hasil berganda walaupun tidak mempunyai keluasan yang luas…siapa yang bergerak lambat dan kekal dengan dunia tradisi , dia akan ketinggalan ke belakang.“Contohnya penggunaan teknologi oleh sahabat kita di ladang durian Musang King dengan keluasan 300 hektar, dapat diatur tanpa buah luruh serentak. Bila luruh sekali gus, pelbagai risiko yang akan ditanggung seperti harganya akan jatuh, melebihi permintaan, tidak sempat dijual dan sebagainya.Inilah ilmu yang diperuntukkan untuk ‘mengajar’ pokok,” katanya yang turut menegaskan kepentingan penguasaan ilmu.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Penyediaan Benih dan Cantuman Pokok di Tapak Semaian Nasaruddin, Jabi yang dianjurkan oleh Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar (LATAS) Setiu, baru-baru ini. Add caption Menurutnya, LATAS merupakan satu syarikat yang akan bergiat lebih komersial dalam sektor pertanian. Setakat ini, yang diloporinya adalah Ubi Sweet LATAS dan akan berperanan dalam beberapa sektor pertanian dalam negeri antaranya membaikpulih semula ladang Kelapa Matag di Kubang Puyu di Langkap dengan keluasan 35 hektar yang terbiar sejak 2011. Jelas Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu, mengikut Institut Kajian Ekonomi, Terengganu terbelakang dalam bidang lain kecuali pertanian dan ia amat serasi di bumi Jabi. Kelompangan dan peluang yang ada membuka banyak peluang untuk diceburi sektor ini bagi menjamin ‘food security’ bagi negeri Terengganu.“ Kita nak ubah minda rakyat yang selama ini berfikir bahawa bidang ini bidang yang gagal. Harapan yang saya nampak sangat cerah untuk menjadikan pertanian ini satu kerjaya dan perniagaan.“Sepanjang kita turun padang seluruh Terengganu, ramai yang datang dari generasi muda menunjukkan bahawa mereka melihat pertanian ini satu kerjaya yang boleh jadi sumber ekonomi.Yang ni yang kita nak, bukan lagi setakat apa yang diwarisi oleh orang dulu-dulu,”ujarnya.
20 Feb 19
201
Isteri MB Teruja Sahut Kempen Pertanian Bandar
Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman (dua dari kanan).Oleh: Aslam WiraHULU TERENGGANU, 20 Februari - Jaulah sempena Kempen Pertanian Bandar meninggalkan kesan yang mendalam kepada peserta yang terlibat.Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat (Khairunnisa’), Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman berkata, pelbagai input berguna diperoleh oleh mereka yang mengikuti jaulah ini untuk digunakan dalam kehidupan seharian.Jelasnya, pengetahuan baru tentang pertanian seperti cara dan kaedah bercucuk tanam melahirkan rasa seronok dan teruja dalam diri setiap peserta program.“Jaulah ini memberi banyak manfaat kepada peserta tentang cara-cara dan kaedah bercucuk tanam dalam menyahut seruan Kempen Pertanian Bandar.“Ini sekaligus memberikan ilmu baru kepada peserta jaulah ini lebih-lebih lagi kaum wanita untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam di rumah masing-masing,” katanyaTuan Faizah, mendengar taklimat bercucuk tanam.Beliau berkata demikian semasa program Jaulah Kempen Pertanian Bandar, di sini, kelmarin.Hadir sama dalam program itu ialah Isteri Ahli Parlimen Marang, Toh Seri Puan Hajah Zainab Awang Ngah, Ahli Persatuan Khairunnisa’, Halwa Dun Rhu Rendang dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang.Beliau yang juga isteri Menteri Besar, menjelaskan bahawa kaedah pertanian dapat dipraktikkan dengan hanya menggunakan bahan-bahan terpakai walaupun di sesuatu tempat yang terhad atau tanah yang tidak luas.“Bahan-bahan terpakai juga boleh gunakan untuk aktiviti, di mana-mana tempat sama ada kawasan terhad atau tanah luas ,” ujarnya.Sementara itu, Ketua Sekyen Horticulture Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Nor Aini Mamat berkata banyak info dan ilmu tentang penanaman pokok boleh dipelajari dengan senang.Dalam masa yang sama, orang ramai yang berminat dalam bidang usahawan tani digalakkan hadir secara peribadi atau melalui rombongan ke pejabat pertanian untuk menuntut ilmu pertanian bandar.Peserta program jaulah.“Sekarang ini kita banyak mendedahkan kepada orang awam tentang agroponik, akuaponik, dan penggunaan kaedah untuk pengeluaran serta pembiakan anak pokok.“Lebih-lebih lagi, dalam masa terdekat kita tidak mempunyai ramai ahli yang dan tenaga pengajar yang ada ilmu berkenaan pertanian ini,” jelasnya lagi.
19 Feb 19
316
Perlu Pelan Tindakan Segera Tangani Kejatuhan Harga Minyak Sawit
Ahli parlimen Kemaman, Che Alias Hamid-Foto ihsan Buletinonline.netKEMAMAN, 23 Januari - Ekoran kejatuhan harga minyak sawit menerusi data yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Kerajaan Pusat disaran supaya menyediakan pelan tindakan segera bagi membantu memulihkan pendapatan pekebun kecil.Ahli Parlimen Kemaman, Tuan Che Alias Hamid berkata, pelan tindakan segera yang holistik dan konsisten itu sangat perlu berikutan kesan kejatuhan harga minyak sawit menyebabkan pendapatan pekebun kecil terjejas. Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata produk minyak sawit seharusnya diperluaskan bukan hanya tertumpu kepada kegunaan pengeluaran seperti minyak masak semata-mata yang tidak memberi kesan yang banyak kepada pekebun kecil . “Pendapatan lebih kurang 650 ribu pekebun kecil terjejas dan sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai sumber pendapatan lain untuk menyara keluarga."Saya menyarankan supaya Kerajaan menyediakan pelan tindakan segera bagi membantu pendapatan pekebun kecil akibat kejatuhan harga minyak sawit. Walaupun Kerajaan hari ini melakukan pelbagai insiatif dan usaha untuk memulihkan harga pasaran komoditi minyak sawit, namun apa pun usaha dilakukan memerlukan kajian secara holistik dan konsisten", katanya dalam satu kenyataan media, semalam.Merujuk kepada data daripada MPOB harga minyak sawit berlaku penurunan iaitu pada paras RM 2,057.50 berbanding RM 2,232 untuk satu tan pada tahun lepas. Ini disebabkan daripada stok minyak negara yang melebihi paras 2 juta tan dan ketidakstabilan pasaran global sejak tahun lalu.Pada 17 Januari lalu, Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Industri Utama, Teresa Kok memaklumkan kerajaan komited untuk melaksanakan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO) bermula 1 Januari 2020 bagi mengatasi masalah ini.
23 Jan 19
63