lightning-solid
Berita :

Artikel "Pertanian" Terkini

Tak Salah Ternak Lembu
Tak Salah Ternak Lembu
KEMAMAN, 11 Oktober - Minat yang mendalam dengan bidang penternakan membuatkan seorang anak muda sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat swasta dan kini memberikan sepenuh masa dan tumpuan dalam bidang penternakan lembu.  Ahmad Safwan Syukri Saderi, 23, yang tinggal di Kampung Geliga Pantai mula menceburi bidang penternakan lembu sejak Februari 2018.  Safwan berkata pada mulanya dia membeli seekor lembu betina daripada rakannya. Setelah itu dia mula merasakan minat dan melihat potensi dalam bidang ini dan mula membeli beberapa ekor lembu lagi. Sejak daripada itu, lembunya semakin bertambah.  "Setakat ini hanya saya saja yang menternak lembu di kampung ini. Saya ingin membuktikan kepada remaja dan orang sekeliling di mana bidang penternakan seperti ini mampu menjana pendapatan yang lumayan untuk jangka mangsa panjang. Penjagaan lembu ini sebenarnya sangat mudah. Ianya tidak seperti menternak binatang lain seperti kambing dan lain-lain yang lebih sukar dan memerlukan lebih tumpuan dalam beberapa perkara," ujarnya. Apabila ditanya, tidak malukah memilih kerjaya ini, beliau mengingatkan kepada golongan muda agar tidak perlu malu untuk memilih bidang penternakan seperti ini.  "Buanglah sifat malu. Saya sangat menggalakkan anak muda yang masih mengganggur, agar menceburi bidang perternakan seperti ini. Marilah kita sama-sama majukan bidang penternakan yang juga merupakan salah satu cabang di bawah skop pertanian," katanya lagi.  Anak sulong daripada lima adik-beradik ini turut menerima banyak tunjuk ajar dan  khidmat nasihat daripada Jabatan Veterinar Kemaman. Beliau juga telah menerima sumbangan sebuah kenderaan roda tiga daripada Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid untuk memudahkan urusannya mengangkut rumput untuk makanan lembu dan sebagainya. Beliau juga pernah menerima sumbangan dan tajaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat bagi membina pagar kandang lembunya itu.  Beliau turut berharap dan berazam suatu hari nanti dapat memperbesarkan lagi penternakan lembu yang beliau usahakan sekarang ini.  "Sekarang ini kita lebih banyak 'import' lembu dan saya juga berharap suatu hari nanti saya dapat menjadi salah seorang penternak yang mampu bersaing di pasaran dan memenuhi permintaan daging lembu di dalam negara kita ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kandang lembu miliknya itu, baru-baru ini.
10 Oct 20
5390
Burung Helang Daripada Sabut Kelapa
Burung Helang Daripada Sabut Kelapa
SETIU , 10 Oktober - Kreativiti seorang petani yang mencipta 'burung helang' daripada sabut kelapa mengundang rasa kagum segelintir masyarakat di sini. Petani tersebut, Bidin Salleh, 50, berkata ia bagi menghalau haiwan ternakan memakan padi yang dijemur di halaman rumahnya. Katanya, dia hanya memanfaatkan idea yang terlintas di kepala tambahan pula ia tidak melibatkan sebarang kos. "Hanya menggunakan ranting pokok rambutan, sabut kelapa, tali, dan polisterin, ia dapat menghasilkan seakan-akan seekor burung helang. Matanya pula dicucuk dengan api lidi sahaja, "Kalau 'orang-orang', mungkin sudah menjadi perkara biasa kita lihat. Dalam buku pun ade. Yang ni tiada dalam buku ni, "Burung-burung ini digantung pada tali, diserikan lagi dengan bunyi batu yang diletakkan ke dalam botol. Bila bunyi, ayam itik  pun tak berani nak masuk dekat," katanya kepada pemberita ketika dihubungi semalam. Kaedah ini juga turut digunakan di sawah padi untuk menakutkan tikus.
09 Oct 20
914
Terengganu Jadi Pusat Rujukan Model Ladang Buluh
Terengganu Jadi Pusat Rujukan Model Ladang Buluh
KUALA NERUS, 1 Oktober – Terengganu akan membuka jalan bagi langkah awal pembangunan sektor perladangan buluh di Malaysia melalui pembinaan model ladang buluh di Pusat Latihan Industri Kayu Malaysia (TTITC), Kuala Berang. Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) , Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, majlis pecah tanah dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kementeriannya dengan Kerajaan Negeri Terengganu dalam bidang terbabit akan diadakan pada 4 Oktober ini. “Penghasilan model ini adalah penting sebagai rujukan kepada pemain industri buluh dan para pengkaji supaya dapat membangunkan sektor perladangan buluh. Ini kerana, kepentingan buluh pada masa kini adalah sebagai industri yang berpotensi untuk ke peringkat dunia. “Pasaran global untuk produk buluh kini dianggarkan bernilai USD68 bilion, dan digunakan dalam sektor bahan binaan, perabut, teksil, makanan dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu mulakan dengan kewujudan perladangan kerana kebergantungan kepada sumber hutan amat tidak stabil untuk masa depan. “Kempen memperkasakan buluh di peringkat perladangan dalam skala besar disahut oleh Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perak. Langkah awal bermula dengan pembinaan model di Terengganu dan sekarang penilaian cadangan pelbagai syarikat sedang dibuat untuk meluluskan pinjaman,” katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Syarahan Perdana YB Menteri di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus (UniSZA) Kampus Gong Badak, Kuala Nerus malam semalam. Hadir sama, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan. Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, sasaran adalah untuk tiga tahun kehadapan supaya negara mempunyai industri buluh yang mampu membekalkan hasil bagi memenuhi keperluan pasaran seperti ke kilang pulpa kertas berasaskan buluh, kilang arang dan kilang tekstil. “Cabaran buat masa kini dari segi perladangan kerana para pelabur memerlukan sumber pengeluaran yang stabil. “Oleh itu, dalam fasa ketiga tahun 2020 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2025, kita berharap agar ia berjaya bergerak di peringkat sumber,” ulasnya.
01 Oct 20
931
JPV Terengganu Bantu Penternak Tangani Masalah Haiwan
JPV Terengganu Bantu Penternak Tangani Masalah Haiwan
KUALA TERENGGANU, 29 September – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPV) sentiasa mengadakan pelbagai inisiatif bagi membantu penternak dalam menyelesaikan masalah berkaitan kesihatan haiwan ternakan di negeri ini. Pengarah JPV Terengganu, Dr. Mohd Termizi Ghazali berkata, tugas JPV meliputi pengawalan dan pencegahan penyakit haiwan, pemantauan kualiti makanan dan ternakan serta beberapa lagi tanggungjawab berkaitan industri penternakan dan makanan "Kita turut mengkaji penyakit dan melibatkan sembilan jenis bidang perkhidmatan, 33 disiplin dan 112 aktiviti. "Contohnya, untuk meningkatkan liputan dan keberkesanan kawalan penyakit haiwan ternak, tindakan awal sentiasa dibuat seperti Program Mesra Penternak iaitu program sehari bersama enam atau tujuh penternak, serta melawat, merawat dan memberi nasihat berkaitan dengan haiwan ternak mereka. "Selain itu, Program Jenguk-Jenguk Kandang untuk melatih penternak berkaitan topik penjagaan haiwan ternak. Program lain juga seperti Halaqah Veterinar melibatkan perbincangan dua hala bersama penternak tentang isu-isu secara terperinci," katanya ketika siaran langsung di TVDI hari ini. Mengulas lanjut beliau berkata, program tersebut adalah berdasarkan permintaan penternak dan dihebohkan dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). "Kerjasama tiada masalah cuma kekangan pertama adalah mencari masa untuk bertemu dengan penternak. Oleh itu, JPV mengambil inisiatif dengan menyantuni golongan penternak di tempat mereka," tambah beliau. Dalam perkembangan lain, Mohd Termizi memaklumkan, program suntikan berkala turut dijalankan secara berperingkat memandangkan jumlah lembu dan kerbau di Terengganu dianggarkan sekitar 95,000 ekor. "Mengikut statistik terkini, suntikan vaksin penyakit kuku dan mulut (FMD) sebanyak 15,000 ekor manakala 11,013 ekor menerima suntikan vaksin hawar berdarah, kalau tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jumlah tersebut mungkin tinggi lagi. "Penvaksinan adalah percuma di seluruh negeri kerana kos vaksin ditanggung kerajaan, jadi tiada sebab untuk tidak mengambil peluang ini. Hanya perlu kandangkan haiwan dan kita suntik," ulasnya lagi.
29 Sep 20
870
Berbaki RM3 Juta, Rebut Bantuan Modal Tani Segera
Berbaki RM3 Juta, Rebut Bantuan Modal Tani Segera
BESUT, 28 September – Rakyat Terengganu yang menceburi sektor pertanian diseru untuk merebut Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dengan segera kerana peruntukan itu masih berbaki RM3 juta. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, SBMT merupakan ‘kail dan umpan’ yang disediakan bagi kesemua peringkat umur rakyat dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani. "Untuk tahun ini, masih berbaki RM3 juta. Pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 yang diberi dalam bentuk barangan. "Barangan apa yang diperlukan boleh dicari sendiri, kerajaan akan bayar terus kepada pembekal. Ini kerana ingin mengelakkan timbul isu barangan yang diterima tidak sama dengan apa yang dimahukan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Al-Furqan, Kampung Pak Demalik di sini semalam. Katanya, dana di bawah kerajaan negeri itu disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). "Sehubungan dengan itu, sesiapa yang berminat perlu mendaftarkan diri sebagai ahli Peladang terlebih dahulu di PPK terdekat. "Sebagai kerajaan kita mahu memudahkan supaya ia tidak membebankan rakyat. Pinjaman patuh syariah, tiada faedah sebab ia bukan hasrat kerajaan untuk berniaga. Cuma bila ia dibayar balik, boleh dibagikan kepada orang lain pula. "Kaedah bayaran balik turut menggunakan kaedah yang tidak membebankan rakyat. Ia bergantung tempoh hasil yang dapat dituai atau diperolehi. RM1 juta sebulan yang perlu dihabiskan sebelum akhir tahun ini," tambah beliau.
28 Sep 20
6746
Tukun RM500,000 Kayakan Sumber, Halang Aktiviti Haram
Tukun RM500,000 Kayakan Sumber, Halang Aktiviti Haram
BESUT, 28 September – Sejumlah RM500,000 telah diperuntukan kerajaan bagi membina tukun tiruan yang berfungsi memperkayakan sumber laut dan menghalang aktiviti haram pukat tunda.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata daripada jumlah itu, RM300,000 adalah dana daripada kerajaan negeri dan bakinya kerajaan persekutuan. "Tukun bukan sahaja mampu jadi tempat pembiakan ikan, tetapi ia juga mampu menghentikan aktiviti pukat tunda nelayan asing kerana apabila pukat tersebut tersangkut pada tukun ini ia akan merosakkan pukat tunda sekali gus menghentikan aktiviti yang dilakukan secara haram tersebut. ‘’Usaha kita demi nelayan. Bermula semalam dan hari ini, 16 bongkah tukun tiruan seberat 16 tan setiap unit telah dilabuhkan di perairan Kuala Ibai Kuala Terengganu dan Benting Lintang Besut,’’ katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Labuh Tukun dan Agihan Bubu 2020 di Benting Lintang, di sini semalam. Dalam pada itu, Dr Azman turut mengharapkan para nelayan terus menyemai sifat kebersamaan tanpa mementingkan diri sendiri dalam menjaga ‘hadiah’ tersebut. "Tolong jangan potong pelampung penanda tukun ini. Ini adalah tukun rekreasi untuk kegunaan umum. Siapa pun boleh mari memancing dan sebagainya. "Tukun yang kita labuhkan sebelum ini telah hilang pelampungnya, dipotong oleh mereka yang tak nak orang lain tahu bahawa di situ ada tukun. Mudah sebut, dia nak bolot hasil sorang. Lepas tanda GPS, pelampung dipotong. Kalau kita guna kabel besi pun masih boleh dipotong. Ini sikap yang sangat tak murni,"  tegasnya.
28 Sep 20
835
Petani Kerugian Hampir RM40,000 Akibat Ribut
Petani Kerugian Hampir RM40,000 Akibat Ribut
DUNGUN, 23 September - Seorang petani terpaksa berputih mata apabila kebun tanaman miliknya musnah dalam satu kejadian ribut baru-baru ini sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM40,000. Petani tersebut, Wan Abd Rahim Wan Jalil berkata, kejadian itu berlaku dalam masa yang sangat pantas dan dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan tanamannya di Kampung Tebing Tembah, Paka. "Saya tidak sangka ribut yang datang baru-baru ini lebih kuat daripada biasa.  "Kerugian yang terpaksa saya tanggung dianggarkan bernilai hampir RM40,000," katanya ketika ditemui pemberita di kebunnya baru-baru ini. Walau bagaimanapun katanya, dia redha dengan ujian yang berlaku dan menganggap ia sebagai pemangkin untuknya terus bergerak ke hadapan. "Saya sangat sedih namun saya anggap ini ujian daripada Allah dan saya terimanya dengan redha," ujarnya yang berasal dari Kampung Kubang Miang. Perkara tersebut turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik. Wan Hapandi dalam satu lawatan baru-baru ini telah memberikan sedikit sumbangan bagi meringankan kerugian ditanggung Abd Rahim. “Insya-Allah sedikit sumbangan turut dihulur bagi meringankan beban beliau. Diharap beliau terus kuat untuk mengusahakan tanaman ini," tambah beliau.
22 Sep 20
242
Pesawah Terjejas Ribut Akan Dibantu
Pesawah Terjejas Ribut Akan Dibantu
BESUT, 21 September – Kerajaan Terengganu akan membantu pesawah di negeri itu yang terjejas akibat ribut beberapa hari lalu.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan data lengkap bagi kerosakan dialami kira-kira 160 orang pesawah. "Setakat ini, kawasan sawah yang terlibat ialah seluas 97.2 hektar, melibatkan daerah Besut dan Setiu. "Ia membabitkan kawasan seluas 82.2 hektar sawah padi  di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) dan selebihnya terletak di luar kawasan jelapang tersebut. "Kerugian keseluruhan setakat ini dianggarkan berjumlah RM567,000 yang dikira berdasarkan potensi hasil dan harga pasaran semasa bagi satu tan hasil padi," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tanaman padi yang terjejas di baruh Gong Telikong, Jabi dan baruh Kampung Dengir, Kuala Besut, di sini semalam. Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, selain berusaha mendapatkan bantuan kerajaan pusat, kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan menerusi Tabung Bencara Pertanian Negeri  Sementara itu, salah seorang petani, Ab Halim Zakaria, 41, berkata kerugian yang dialaminya pada musim ini kira-kira RM12,000 melibatkan seluas dua hektar di Kampung Dengir setelah tanamannya rosak dilanda ribut pada 3.30 petang, Khamis lepas. “Padi yang saya tanam sepatutnya dah boleh dituai dalam tempoh 10 hari lagi namun ia tidak menjadi kenyataan apabila musnah dipukul ribut,” katanya.
21 Sep 20
1611
Program Informasi Pertanian Bandar Galak Masyarakat Berkebun
Program Informasi Pertanian Bandar Galak Masyarakat Berkebun
KUALA TERENGGANU, 16 September - Program Informasi Pertanian Bandar yang dilaksanakan di Masjid Gong Tok Nasek pada hari Ahad lepas mampu menggalakkan penyertaan lebih ramai penduduk Bandar dan luar Bandar dalam aktiviti itu. Timbalan Pengerusi Masjid Gong Tok Nasek, Ustaz Soleh Jusoh berkata, inisiatif Biro Helwani Masjid tersebut merupakan platform  terbaik untuk menerapkan ilmu pertanian kepada masyarakat. “Ini sebagai medium penting bagi memberi pendedahan kepada semua orang tentang kaedah yang betul untuk bertani terutama bertani di kawasan rumah dalam skala yang kecil. “Rata-rata hadirin yang hadir menunjukkan minat bertani yang mendalam dengan pelbagai soalan yang diajukan sepanjang program berlangsung. “Tidak kurang juga masing-masing mengambil peluang mendapatkan air baja, baja dan anak benih yang dijual oleh usahawan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu (JPNT),” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. Katanya lagi, pihak masjid sentiasa mengalu-alukan kehadiran JPNT  dan agensi lain untuk mengadakan program seumpama itu pada masa akan datang. “Sudah tentu kita membuka tangan seluas-luasnya kepada semua pihak umtuk mengadakan aktiviti seperti ini. “Melalui program ini, ramai masyarakat menjadi lebih celik dan terbuka terhadap bidamh pertanian Bandar  sekali gus mampu memberi pendapatan tambahan kepada mereka selain mampu memanfaatkan masa dan tanah yang meraka ada. “Dalam masa yang sama dalam aktiviti pertanian ini boleh mengurangkan penggantungan kepada bekalan makanan yang diimport,” tambah beliau.    
16 Sep 20
512
Hiduplah Secara Harmoni, Haiwan Juga Punya Hak
Hiduplah Secara Harmoni, Haiwan Juga Punya Hak
KUALA TERENGGANU, 14 September – Manusia adalah khalifah di atas muka bumi untuk menjaga, mentadbir dan mengurus muka dunia ini agar ia dikongsi secara harmoni antara semua makhluk Allah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sebagai makhluk Allah, haiwan juga mempunyai hak untuk dapatkan makanan,  kebebasan daripada ketidakselesaan dan bebas daripada ketakutan serta penderitaan.  "Haiwan juga makhluk yang punya rasa. Cuma tak mampu berkata-kata. Dijadikan haiwan oleh Allah untuk faedah manusia, tapi bukan untuk dizalimi, disakiti, dianiayai dan diabaikan. "Apabila ini semua diharmonikan, kita pun boleh hidup secara menumpang atas muka bumi Allah. Tapi apabila terdapat manusia yang mencipta konflik dengan alam, kena ingat kita juga terbatas. Kita bimbang kita berada di pihak yang kalah.   "Akta atau undang-undang tentu sekali bukan untuk menghukum tetapi lebih kepada usaha menolak budaya penganiayaan serta menjaga kebajikan haiwan itu sendiri seperti yang disarankan oleh agama," katanya.    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kempen Kesedaran Akta Kebajikan Haiwan, di Hotel Paya Bunga di sini, hari ini.   Sementara itu menurutnya, di Terengganu, kes yang pernah didakwa di bawah Akta Kebajikan haiwan ialah kes tetak lembu dan sabung ayam.  "Membiarkan lembu berkeliaran di jalan raya sehingga ternakan dilanggar kenderaan juga boleh didakwa bawah Akta ini. Jangan main-main. Hukumannya boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara. "Jadi kita mengharapkan semua memahami akta kebajikan haiwan dan sama-sama bekerja untuk melaksanakannya. Kita boleh cipta suatu suasana yang harmoni. Kebajikan manusia terjaga dalam masa yang sama kebajikan haiwan pun terjaga.  "Islam sangat mementingkan keadilan. Adil ini maknanya meletakkan sesuatu pada tempatnya," tegasnya.
14 Sep 20
580