lightning-solid
Berita :

Artikel "Pertanian" Terkini

RM100,000 Peruntukan Bina Jeti Konkrit Nelayan Kampung Batin
RM100,000 Peruntukan Bina Jeti Konkrit Nelayan Kampung Batin
Oleh : Hidayah Azlin/Arifuddin Alias KUALA NERUS, 9 September – Sejumlah RM100,000 akan diperuntukan bagi pembinaan jeti konkrit nelayan di Kampung Batin, Seberang Takir di sini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek baharu itu juga akan menggantikan jeti lama yang telah berusia 10 tahun. Katanya, berita gembira itu bakal memberi manfaat besar kepada sekitar 25 buah bot nelayan. "Jeti Nelayan Kampung Batin, Seberang Takir ini sangat uzur. Untuk hari ini, kita baiki dulu untuk kegunaan sementara nelayan. Alhamdulillah, dengan kelulusan pembinaan jeti konkrit baharu ini, ia bakal  memberikan lebih keselesaan kepada rakan-rakan nelayan kita di sini. Pelaksanaan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan seberapa segera insya-Allah," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab melahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas komitmen untuk memudahkan urusan nelayan dan orang kampung. "Proses membaiki ini akan kita usahakan secepat mungkin sebagaimana yang telah diberi jaminan oleh Dr. Azman Ibrahim. “Insya-Allah kerja-kerja baikpulih jeti ini dijangka siap sebelum akhir tahun ini ,” ujar beliau. Menurut Mohd Fazil lagi, beliau berharap dengan tindakan segera daripada pihak kerajaan itu dapat memberi manfaat dan keselesaan serta keselamatan kepada nelayan untuk mencari rezeki. Dalam pada itu, seorang nelayan yang ditemui media, Hasmadi Ibrahim, 48, berkata, beliau mengalu-alukan tindakan pantas untuk mengatasi masalah iitu kerana jika berlarutan akan mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jeti tersebut. "Jeti menjadi tempat nelayan mencari rezeki, usaha pantas daripada pihak kerajaan diharap mampu menyelesaikan permasalahan ini yang menjadi kebimbangan kami," tambahnya.
09 Sep 20
1987
Hadiah Untuk Nelayan, 16 Tukun Akan Dilabuhkan Hujung Bulan Ini
Hadiah Untuk Nelayan, 16 Tukun Akan Dilabuhkan Hujung Bulan Ini
KUALA TERENGGANU , 7 September – Kerajaan Terengganu akan melabuhkan 16 tukun lagi pada hujung bulan ini bagi membantu memperkayakan sumber hasil laut di negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun konkrit seberat kira-kira 16 tan bagi setiap unit itu sudah siap dibina di Pulau Kambing di sini. "Insya-Allah program labuh tukun akan dilaksanakan pada akhir September ini di Perairan Benting Lintang, Besut dan Perairan Kuala Ibai, Kuala Terengganu. "Untuk tahun ini, sebanyak RM500 ribu diperuntukan bagi program tukun melibatkan RM300 ribu peruntukan kerajaan negeri manakala bakinya daripada Kerajaan Persekutuan.  "Kerajaan Negeri terus komited menyalurkan peruntukan bagi memperkayakan lagi sumber hasil laut kita. Di samping berfungsi sebagai rumah ikan, tukun seberat 16 tan ini juga akan menjadi penampan bagi kegiatan pukat tunda,’’ ujarnya. Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan ke Tapak Bina Tukun di Pulau Kambing dan Program Pemantauan Unjam di Kuala Ibai, di sini, hari ini.    Sementara itu, beliau turut turun melihat dan memantau keberkesanan unjam yang telah dilabukan di Kuala Ibai bersama Jabatan Perikanan sebelum ini. "Setelah dua minggu berlalu tempoh masa unjam dilabuhkan di Perairan Chendering, kita buat pemantauan dan ujian untuk mengenalpasti kewujudan spesis ikan yang mula menghuni unjam tersebut. "Pemantauan ini penting bagi melihat sejauh mana keberkesanan program labuh unjam dalam meningkatkan hasil tangkapan nelayan," katanya lagi.
07 Sep 20
3335
Pusat Penyelidikan Buluh Pertama Malaysia Dibina Di Terengganu
Pusat Penyelidikan Buluh Pertama Malaysia Dibina Di Terengganu
Oleh : Suriati Ali KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Surau Buluh yang akan berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan Buluh akan dibina dalam tempoh terdekat di Dataran Tembesu, Kuala Nerus. Menteri Perusahaan, Perladangan dan  Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pusat bernilai RM400,000 itu menjadi rujukan pengkaji dan penyelidik termasuk Lembaga Perinsustrian Kayu Malaysia (MTIB). Katanya, ia akan mengguna pakai manual aplikasi buluh dalam industri pembinaan yang terbaharu. "Manual ini akan menjadi rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin membina bangunan menggunakan buluh sebagai struktur utama. "Penggunaan buluh dalam industri tradisional juga perlu ditranformasikan termasuk menghasilkan papan komposit, papan lantai, perabot, bahan binaan bangunan dan pelbagai produk biomas," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) diantara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini. MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Mohd Kheiruddin Mohd Rani manakala BJA diwakili Pengarah Urusannya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan dan Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak. Majlis bersejarah berkenaan turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim. Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, langkah itu secara tidak langsung berupaya menjadikan Dataran Tembesu sebagai pusat pelancongan dengan adanya surau dan pusat penyelidikan yang diperbuat daripada buluh. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membangunkan projek ‘Model Ladang Hutan Buluh’ di Terengganu. "Pelaksanaan projek ini adalah selama lima tahun dan diharapkan projek tersebut akan menjadi panduan kepada pemain-pemain industri yang lain untuk menceburi bidang perladangan dan seterusnya menyumbang kepada bahan mentah bagi pembuatan produk berasaskan buluh," katanya.  
29 Aug 20
3264
PIKAT Kunjungi Pusat Pertanian Bandar Isteri MB
PIKAT Kunjungi Pusat Pertanian Bandar Isteri MB
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Setelah dikunjungi oleh pelbagai peminat dan pengusaha pertanian, kini giliran Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Kedah (PIKAT) pula yang mengunjungi Pusat Informasi Pertanian Bandar milik Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Seri Setia semalam. Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Isteri Menteri Besar Kedah, Puan Jusmalailani Jusoh sendiri yang bersama-sama rombongan seramai hampir 24 orang. Antara hasil tanaman salad di Seri Setia Tuan Faizah berkata, beliau menyambut baik kedatangan rombongan ini ke negeri Terengganu kerana dengan pertemuan ini, akan memberi pelbagai manfaat dan kebaikan dari kedua-dua belah pihak. "Di sini terdapat satu Pusat Informasi Pertanian Bandar yang diusahakan sendiri sebagai contoh dan kempen pertanian bandar di negeri Terengganu. "Rasa teruja untuk menunjukkan hasil tanaman dan sayur-sayuran yang terdapat di sini, malah sesiapa yang datang ke sini, saya akan benarkan mereka membawa pulang dan mengambil hasil tersebut." "Aktiviti tanaman ini juga boleh dipraktikkan di tempat atau rumah masing-masing sebagai menyokong aktiviti kempen pertanian bandar." Beliau berkata ketika berucap dalam majlis kunjungan hormat tersebut di Kediaman Rasminya, Seri Setia. Di samping itu, beliau yang juga Pengerusi Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') sempat menunjukkan hasil seni lukisan, dan jahitan yang dihasilkan sendiri olehnya.  
23 Aug 20
1818
100 'Penebuk Buah' Ditembak Mati
100 'Penebuk Buah' Ditembak Mati
SETIU, 21 Ogos – 100 ekor tupai ditembak mati dalam program Mengurangkan Musuh Tanaman Tupai di sekitar kebun durian Kampung Kuala Kubang, Jabi hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti itu merupakan program komuniti untuk mengurangkan makhluk perosak yang memusnahkan kualiti durian dan buah-buahan lain.  "Di sini adalah antara kawasan kebun durian tersohor di Jabi. Durian Kuala Kubang ada jenama dan kualiti tersendiri. Sayangnya banyak yang ditebuk tupai.  "Saya sedar pencinta haiwan tidak akan bersetuju dengan langkah ini. Peminat lagu 'Anak Tupai' Halim Yazid pun akan marah. Tapi operasi ini dah jadi satu keperluan disebabkan banyaknya buah yang rosak angkara tupai. "Apabila berlaku konflik, akan ada pihak yang terpaksa menjadi mangsa. Kita memahami sesama makhluk Allah, tetapi manusia menjadi keutamaan kita," katanya selepas program terbabit. Katanya lagi, program seumpama itu akan dibuat secara berterusan kerana ia merupakan isu utama yang dibangkitkan oleh orang kampung. Sementara itu jelasnya, Jabatan Pertanian juga akan menekankan sistem pengairan serta pembajaan yang teratur di kebun-kebun durian bagi menghasilkan buah yang berkualiti. "Persetujuan telah dibuat bersama Perhilitan. Insya-Allah, program selepas ini mensasarkan khinzir dan kera. "Mudah-mudahan langkah yang diambil di samping banyak lagi program di bawah Jabatan Pertanian, kita boleh tingkatkan lagi hasil untuk orang kampung kita khususnya dalam musim buah," tambah beliau.
21 Aug 20
10196
Kerajaan Pacu Industri Perikanan Guna Teknologi Dan Bahan Komposit
Kerajaan Pacu Industri Perikanan Guna Teknologi Dan Bahan Komposit
Oleh: Azkar Zahidi KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang berusaha memacu industri perikanan negara menggunakan bot nelayan yang dihasilkan berasaskan bahan komposit serta berteknologi tinggi.  Timbalan Menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata, MOSTI sedang menggerakkan perkara ini bersama kementerian yang mempunyai kepentingan langsung dalam aspek pembangunan industri perikanan terutamanya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang turut mengelola jabatan perikanan. Beliau turut memaklumkan telah memulakan perbincangan bersama Timbalan Menteri kementerian tersebut, Dato' Che Adullah Mat Nawi. "MOSTI sedang melihat bagaimana industri ini dimajukan oleh negara-negara maju seperti Jepun, Hong Kong dan Eropah yang telah terlebih dahulu menggunakan teknologi pembuatan bot berasaskan bahan komposit. "Sekiranya ini dapat dijalankan melalui kaedah 'mass production', nelayan boleh membeli bot pada harga yang jauh lebih murah, moden, tahan lasak dan dilengkapi oleh teknologi penangkapan ikan kaedah baharu yang memberi pulangan dan hasil yang jauh lagi tinggi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas jawapan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin kepada Wakil Setiu, Shaharizukirrnain tentang usaha MOSTI bagi memacu industri perikanan dengan penggunaan Teknologi dan Inovasi pada penggulungan di peringkat Jawatankuasa Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Peruntukan Semula) 2020. Mengulas lanjut, Amzad berkata, inisiatif itu akan melibatkan kajian keseluruhan ekosistem, nelayan, pemasaran serta pengenalan bot nelayan moden daripada bahan komposit bagi menggantikan penggunaan sumber kayu yang semakin mahal dan berkurangan. Ia juga bagi mengkaji pembiayaan pemilikan bot, teknik dan peralatan menangkap ikan yang memberi hasil lebih tinggi, latihan serta penggunaan teknologi satelit dan sonar dalam pengesanan ikan.
18 Aug 20
503
Berita Gembira Untuk Nelayan Terengganu, 800 Permohonan Diluluskan
Berita Gembira Untuk Nelayan Terengganu, 800 Permohonan Diluluskan
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos - Kerajaan Terengganu mengumumkan berita gembira untuk golongan nelayan di negeri ini apabila sebanyak kira-kira 800 Lesen Nelayan Sampan Zon A (kategori pesisir pantai) telah diluluskan permohonan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perikanan Malaysia. Dr Azman Ibrahim (tengah). Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jumlah lesen sampan yang diluluskan itu melibatkan seramai hampir 1,600 orang nelayan di seluruh Terengganu yang bakal mendapat manfaat. "Kita telah melakukan pemutihan sebelum ini melalui jawatankuasa khas yang dibentuk dan mengenal pasti 800 sampan nelayan yang belum berlesen. Dengan bilangan dua orang nelayan bagi tiap-tiap sampan, ini bermakna hampir 1,600 nelayan di Terengganu akan menerima manfaat. "Ini sedaya mampu kerajaan negeri lakukan, kita sudah libatkan semua jabatan dan persatuan yang mewakili para nelayan dalam jawatankuasa bertindak tersebut untuk mendapatkan senarai sampan nelayan yang tiada lesen. Sekiranya ada lagi yang tercicir, kita akan angkat permohonan dalam fasa seterusnya. "Justeru, bagi pihak kerajaan negeri, saya amat berterima kasih kepada MAFI yang mengambil berat permohonan kerajaan negeri dengan kelulusan ini. Ini merupakan satu detik besar bagi para nelayan pantai yang perlu kita syukuri dan raikan. "Lebih menarik, saya dimaklumkan Terengganu menjadi perintis dalam usaha permohonan Lesen Nelayan Sampan Zon A setelah ia dibekukan selama ini. Kita percaya negeri-negeri lain juga bakal mendapat manfaat yang sama dengan pengumuman MAFI membuka semula permohonan lesen ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Program Melabuh Unjam myKP (myKomuniti Perikanan) Kuala Ibai dan myKP Chendering di perairan Kuala Terengganu di sini pagi tadi. Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali. Sesi ramah mesra turut diadakan bersama komuniti nelayan yang hadir. Sebanyak 37 unit unjam dilabuhkan di setiap lokasi (myKP Chendering dan Kuala Ibai) bersama pemberat konkrit dengan jarak lima batu nautika dari pantai, iaitu zon tangkapan nelayan pantai dan zon larangan pukat tunda. Mengulas lanjut, katanya, dijangkakan lesen sampan terbabit akan diterima oleh nelayan pantai di seluruh negeri Terengganu dalam tempoh sebulan lagi. "Secara asasnya permohonan sudah diluluskan. Kita akan buat susulan dengan pentadbiran di Putrajaya dan kita jangka insya-Allah ianya akan selesai dalam tempoh sebulan ini," jelasnya. Dalam pada itu, ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan langkah yang diambil kerajaan negeri tersebut sudah menyelesaikan satu sudut masalah besar yang dihadapi oleh nelayan-nelayan. "Ribuan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Exco dan agensi yang terlibat dalam usaha ini. Ia sekali gus membuka peluang yang lebih luas untuk nelayan di Terengganu dan DUN Batu Buruk khususnya bagi mencari rezeki dan sumber hasil laut di negeri kita sendiri," ujarnya.
18 Aug 20
5608
12 Ribu Hektar Tanah Pertanian Masih Terbiar
12 Ribu Hektar Tanah Pertanian Masih Terbiar
KUALA NERUS, 12 OGOS - Sebanyak 12 ribu hektar daripada keseluruhan 251 ribu hektar tanah berstatus pertanian di negeri Terengganu masih lagi terbiar dan tidak diusahakan. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata, tanah terbiar itu bukannya milik kerajaan, tetapi dimiliki individu yang tidak mengusahakan tanah tersebut selama tiga tahun berturut-turut. "Keluasannya adalah sekurang-kurangnya 0.4 hektar, sama ada ada tanah yang bersambung ataupun berasingan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Pertanian Dan Penggunaan Tanah Terbiar Bersama Pegawai Jabatan Pertanian kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading di sini kelmarin. Empat orang wakil dari setiap MPKK hadir mendengar taklimat. "Pada tahun lepas, di bawah Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, telah dilancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 yang telah menggariskan pelbagai strategi dan juga program-program ke arah memajukan pertanian di negeri kita ini. "Alhamdulillah, hasil kesungguhan yang telah ditunjukkan, sektor pertanian telah berkembang pada tahun 2019 apabila ia meningkat sehingga enam peratus (6%) berbanding tahun sebelumnya yang jatuh di bawah peratus negatif 2.5 peratus," ujar beliau. Ridzuan yang juga ADUN Buluh Gading bersetuju bahawa sekarang merupakan waktu yang tepat untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar bagi mencapai Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 sebagaimana yang telah dititahkan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Pembukaan Penggal Ketiga DUN Terengganu pada Mac lalu. Mohd Muazzam menyampaikan taklimat tentang penggunaan tanah terbiar. "Kita dapat lihat kesungguhan kerajaan negeri dalam bidang pertanian ini sehingga ianya dijadikan salah satu daripada tujuh teras Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030. "Saya berharap dengan pencerahan dan taklimat daripada pegawai pertanian akan dapat membuka dimensi baharu agar tanah terbiar dapat dimanfaatkan untuk menjana hasil pendapatan sama ada secara berskala besar atau kecil-kecilan," tambah beliau lagi. Turut hadir, Pegawai Pertanian Pejabat Pertanian Daerah Kuala Terengganu, Mohd Muazzam  Abdullah. Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim mengumumkan kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa (Task Force) Pemulihan Tanah Terbiar bagi mencari solusi untuk memajukan kira-kira 8,000 hektar tanah terbiar di seluruh negeri pada 6 Mei lalu.  Katanya, fungsi jawatankuasa berkenaaan antaranya bertujuan mengenal pasti tanah terbiar dan pemilikan di setiap daerah yang melebihi 0.4 hektar dalam satu kawasan.          
11 Aug 20
598
Dakwaan Pengusaha Nanas Dihalau Kerajaan Tidak Benar
Dakwaan Pengusaha Nanas Dihalau Kerajaan Tidak Benar
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri menghalau pengusaha nanas MD2 di Bujal, Kijal sehingga menyebabkan kerugian RM350,000 adalah tidak benar. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemilik tanah termasuk pihaknya tidak pernah mengganggu atau menghalau Sofea Pineapple Farm yang sedang mengusahakan 15 ekar tanaman. "Sewa tanah pun pemilik tanah tak ambil daripada pengusaha. Malah pengusaha menambah lagi lima ekar keluasan kawasan bertanam menjadikan 20 ekar kesemuanya. "Kebun nanas tersebut masih ada sampai hari ini. Projek ini dalam kawasan Kijal. Saya pernah menjadi orang tengah bagi mencari titik persepakatan antara tuan tanah dan pengusaha," katanya ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah DYMM Sultan pada Persidangan DUN Terengganu Penggal Ketiga Kali ke-14 hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mengelakkan pengusaha mengalami kesukaran selepas tuntutan tanah oleh pemilik, Sofea Pineapple telah diberi lot tanah kerajaan secara Lesen Menduduki Sementara (LMS) di belakang SM Imtiaz Kijal. "Proses bagaimana tanah tersebut dikembalikan kepada tuan yang berhak telah melalui prosedur yang sepatutnya. Tanah tersebut milik Hamdan Ahmad, Geran Pajakan Negeri bernombor 1815 dengan tempoh pajakan selama 30 tahun, seluas 44.2 ha.  "Tempoh pajakan tamat pada 18 Februari 2009. Tahun 2008 lagi Hamdan sudah mengisi Jadual 1 dan angkat permohonan untuk sambung pajakan tetapi tak ada keputusan.  "Malah sebahagian tanah telah diberi milik kepada orang lain. Selepas pertukaran kerajaan Mei 2018, barulah permohonan diproses semula. Urusan permohonan tanah tersebut dua kali masuk Jawatankuasa Tanah Daerah (JKTD) Kemaman sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan dibuat keputusan," tambah beliau. Semalam, ketika sesi perbahasan usul perutusan titah Diraja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato' Seri Dr Ahmad Said turut membangkitkan isu berkenaan dan memohon penjelasan kerajaan.
11 Aug 20
5193
Kerajaan Negeri Komited Maksimakan Potensi Tanah Terbiar
Kerajaan Negeri Komited Maksimakan Potensi Tanah Terbiar
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Terengganu komited memaksima potensi tanah-tanah terbiar dan tanah kerajaan yang belum dieksploitasi sepenuhnya. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa (Task Force) Pemulihan Tanah Terbiar bagi mencari solusi untuk memajukan kira-kira 8,000 hektar tanah terbiar di seluruh negeri pada 6 Mei lalu.  Katanya, fungsi jawatankuasa berkenaaan antaranya bertujuan mengenal pasti tanah terbiar dan pemilikan di setiap daerah yang melebihi 0.4 hektar dalam satu kawasan. "Selain mengenalpasti punca dan faktor yang menyumbang kepada tanah-tanah tersebut terbiar tidak diusahakan, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab menyediakan pengkalan data dan pelan tindakan tanah terbiar. “Termasuk mengemukakan cadangan ‘business model’ yang bersesuaian bagi pemulihan tanah terbiar termasuk aspek pemasaran, penyertaan petani tempatan dan pelabur luar,” ujarnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut Dr Azman berkata, setakat ini ia sudah berada di peringkat akhir penyedian pengkalan data. Sementara itu katanya, Pelan Strategik Pertanian Negeri 2019-2023 sedang diterjemahkan di tapak tanah pertanian, laut, kolam, tasik, ladang, kandang dan kilang.  “Kerja keras di peringkat pentadbiran disokong arahan atasan yang jelas akan membawa sektor pertanian negeri melangkah ke hadapan dengan lebih kemas,” ujarnya.
11 Aug 20
528