Artikel "Pertanian" Terkini
Setiu Diisytihar Sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri
SETIU, 12 Julai - Kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 Jun lalu.
Katanya, pemilihan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu adalah disebabkan beberapa faktor antaranya daerah ini masih lagi mempunyai tanah pertanian berskala komersial untuk diusahakan di dalam sesuatu kawasan.
"Ini termasuklah tanah kerajaan atau tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk kegunaan pertanian.
"Pada ketika ini terdapat 2,104 hektar tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara yang dikhususkan untuk aktiviti pertanian sama ada penternakan atau tanaman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penuaian Ubi Vitato di pusat tanaman ubi vitato secara berkelompok di tanah seluas 28 hektar di Kampung Banggol, Permaisuri, hari ini.
Menurut Dr. Azman, pemilihan Setiu juga adalah bagi memaksimakan potensi kewujudan tanah terbiar di daerah ini.
"Setiu mempunyai kira-kira 1,214 hektar tanah terbiar yang tidak diusahakan bagi menjana pendapatan rakyat.
"Tanah-tanah terbiar disebabkan pelbagai faktor seperti penyediaan infrastruktur keupayaan modal pemilik tanah, kemahiran teknikal dan sikap pemilik tanah itu sendiri," jelasnya.
Dalam pada itu beliau berkata, bagi menggerakkan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, kerajaan negeri juga telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Setiu dan dianggotai oleh ketua- ketua jabatan yang berkaitan.
"Tugas jawatankuasa ini adalah untuk menyediakan pelan tindakan, mengenal pasti tanah-tanah untuk dimasukkan dalam program ini dan memproses permohonan- permohonan melibatkan program Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu," ujarnya.
Katanya, beliau turut berharap dengan pengisytiharan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, akan menjadi faktor penyumbang kepada sasaran Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 dalam meningkatkan purata pendapatan petani kepada RM3,000 sebulan bagi setiap isi rumah, meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada 10 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) serta meningkatkan jumlah guna tenaga dalam sektor pertanian daripada 42,900 orang kepada 44,000 orang.
"Semoga dengan usaha ini juga dapat mencapai sasaran kerajaan negeri pada tahun ini sebagai tahun pertanian sekali gus menjadi salah satu pemangkin kepada ekonomi negeri ini," ujarnya.
12 Jul 21
1326
Belanja RM1 Juta Bina 'Rumah Ikan'
KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Lebih RM1 juta dibelanjakan kerajaan negeri bagi membina tukun atau rumah ikan yang berfungsi untuk perkayakan sumber perikanan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebanyak 45 unit tukun dibina dengan dana kerajaan Terengganu manakala 12 unit tukun bernilai RM300 ribu adalah peruntukan Kerajaan Persekutuan.
"Setiap unit tukun seberat kira-kira 17 tan, menggunakan tetulang besi seberat kira-kira 1.1 tan dengan konkrit grade 35. Target jangka hayat mampu bertahan di dasar laut untuk tempoh 50 tahun.
"Insya-Allah dijadualkan menjelang bulan Oktober, tukun-tukun ini akan dimuatkan ke atas tongkang untuk menuju ke beberapa destinasi bagi dilabuhkan di perairan Terengganu.’
"Usaha berterusan kita bagi memperkayakan lagi sumber perikanan negeri untuk manfaat para nelayan," katanya
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan tukun di Pulau Kambing, Kuala Terengganu, hari ini.
Tambahnya, tukun-tukun ini sedang dalam pembinaan di Pulau Kambing, Kuala Terengganu.
"Sekarang masih dibina, insya-Allah siap nanti kita akan labuhkan," ujarnya.
07 Jul 21
524
Terengganu Luluskan RM100 Ribu, Jeti Baharu Buat Nelayan
SETIU, 2 Julai - Cakna terhadap keluhan warga nelayan di Kampung Fikri, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan jeti baharu bagi menampung jumlah bot-bot di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jeti sedia ada di pengkalan nelayan kampung tersebut adalah terhad buat penggiat lautan tempatan.
“Hasil perbincangan dengan warga laut tempatan, kita telah memohon peruntukan daripada pihak kewangan negeri dan ia telah diluluskan untuk dilaksanakan pihak Pejabat Daerah Setiu.
“Insya-Allah, permintaan lain kita terima dan cuba untuk laksanakan satu demi satu, peringkat demi peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif.
Menurut Dr Azman, proses seterusnya akan dilangsungkan segera mungkin dan akan memberi manfaat buat komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang dan juga dari Daerah Besut.
Terdahulu, inisiatif pemasangan lampu limpah juga dijalankan bagi mencerahkan laluan di kawasan jeti, kini telah siap dibina hasil penerimaan aduan warga setempat.
02 Jul 21
603
CSR Nelayan Bersihkan Laluan Kuala Setiu
SETIU, 2 Julai – Usaha sama Kerajaan Negeri bersama nelayan komuniti Kampung Fikri dapat menyelesaikan masalah laluan air di Kuala Setiu yang dipenuhi beberapa batang pokok rhu yang tumbang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, muka kuala yang menjadi laluan nelayan daripada daerah Besut dan Setiu dicemari dengan pokok dihanyutkan arus deras.
Dr Azman Ibrahim bersama Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif membantu kerja gotong-royong
“Ada rintihan orang kelaut menceritakan bot-bot mereka bengkok akibat terlanggar dahan di sini.
“Hakisan tanah dan pohon tumbang menyebabkan laluan pelayaran keluar masuk nelayan melalui kuala terhalang dan merbahaya kepada bot nelayan
“Oleh itu, kita ambil tindakan segera meluluskan peruntukan kerja gotong-royong yang turut dibantu komuniti setempat diikuti Majlis Daerah Setiu, Polis dan Pejabat Daerah Setiu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif.
Katanya, usaha tersebut dijangka selesai melalui usaha pembersihan dalam masa dua hingga tiga hari.
Beliau turut berterima kasih kepada komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang yang turut serta dalam kolaborasi tersebut.
02 Jul 21
349
'Pak Belalai' Ancam Kawasan Pertanian Ditangkap
SETIU, 25 Jun - Seekor gajah liar jantan dianggarkan berumur antara 12 hingga 14 tahun yang mengancam kawasan pertanian di Mukim Hulu Setiu berjaya ditangkap anggota Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, usaha Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu khususnya pasukan operasi yang telah bertungkus lumus sejak seminggu lepas menjayakan tugas yang mencabar terbabit.
"Esok Sabtu 26 Jun operasi pemindahan akan dilakukan ke lokasi yang belum dimaklumkan,
"Gajah denak akan berperanan untuk mengiringi gajah yang baru ditangkap bagi proses pemindahan," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Kampung Seladang, Hulu Setiu.
Hadir sama, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Yusof.
Ujar Dr Azman, Kerajaan Negeri komited menjaga kepentingan survival hidupan liar dan ia perlu diuruskan dengan bijak.
Gajah denak 'Suria' dan 'Kala' yang tiba dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu malam tadi akan digunakan bagi proses pemindahan tersebut.
Gajah berkenaan yang hampir dua bulan berkeliaran di kawasan pertanian Kampung Bayas dan Kampung Seladang didakwa terlepas daripada kawanan gajah lain dan menyebabkan ia bersendirian.
25 Jun 21
280
OP Kuda Laut : 1,102 Pencuri Hasil Negara Berjaya Ditahan
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - OP Kuda Laut yang dilancarkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bemula 25 Jun 2020 lalu, telah berjaya menahan 103 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara sepanjang setahun ia dilaksanakan.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memaklumkan, tangkapan bot nelayan asing itu dianggarkan secara keseluruhan bernilai sebanyak RM154.5 juta.
“Antara yang ditahan melibatkan 61 bot dan 699 orang kru nelayan asing bagi fasa pertama dan kedua.
“Manakala, dari Januari sehingga Jun (fasa ketiga) kita telah tahan 42 bot melibatkan 403 orang kru, termasuk 42 orang yang ditahan semalam,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Maritim Terengganu, hari ini.
KM NUSA sedang membawa bot nelayan asing yang ditahan, semalam ke jeti Maritim Terengganu. Foto: Maritim Terengganu.
Jelasnya, OP Kuda Laut turut meletakkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang ketat iaitu saringan di laut untuk memastikan tahanan yang ditangkap selamat daripada jangkitan Covid-19 sebelum dibawa ke jeti Maritim untuk siasatan lanjut.
“Kita terpaksa menahan mereka sehingga proses ‘swab test’ daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat keputusan. Selain tahanan, pegawai terlibat akan turut dikuarantin sehingga keputusan ‘swab test’ tahanan di perolehi,” katanya.
OP tersebut jelasnya, merangkumi tiga fasa pelaksanaan melibatkan penangkapan dan pengusiran nelayan asing.
“Fasa pertama melibatkan penangkapan penceroboh, tetapi pada fasa kedua kita berhenti menangkap, sebaliknya melakukan pengusiran kerana penularan Covid-19 sangat tinggi melibatkan lokap tahanan dan juga penjara pada waktu itu.
“Operasi ini melibatkan pelbagai aset Maritim di perairan Terengganu, Pahang dan Kelantan yang dikawal selia sepenuhnya oleh Pusat Pengawasan Operasi Maritim (MOCC) di Kuala Terengganu,” katanya.
23 Jun 21
453
Maritim Terengganu Tahan Empat Bot, Rampas RM6 Juta
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu telah menahan empat bot asing di perairan negara kelmarin.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim, Muhammad Suffi Mohd Ramli, kesemua bot tersebut ditahan oleh Kapal (KM) NUSA yang sedang melaksanakan OP KUDA LAUT pada kedudukan antara 77 hingga 78 batu nautika dari Kuala Terengganu.
"Ini merupakan tangkapan kelapan dan terkini bagi KM NUSA. Pada saya, tangkapan ini boleh dikatakan agak luar biasa kerana dengan saiz KM NUSA yang kecil dengan kapasiti 12 anggota, kita berjaya menahan empat bot dengan 46 awak-awak serta tekong bot Vietnam.
"Hasil daripada tangkapan ini kita telah merampas tujuh tan ikan campur dan tujuh tan ikan baja, 1,000 liter diesel yang dianggarkan bagi setiap bot dengan anggaran keseluruhan termasuk peralatan, minyak dan hasil bernilai RM6 juta," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Maritim Terengganu, hari ini.
Jelasnya, kesemua awak-awak dan tekong bot berusia antara 15 hingga 62 tahun sedang menjalani 'swab test' sebelum siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.
Muhammad Suffi turut memaklumkan, pihaknya percaya bot-bot terbabit telah berada dalam perairan negara lebih sebulan. Ketika ini ditambah pula sepanjang musim sotong ini, kita percaya kemasukan mereka tidak akan berhenti dan kita akan terus menghantar aset walaupun dengan keupayaan terhad," katanya.
Beliau berharap, nelayan-nelayan tempatan akan turut memberikan kerjasama dalam usaha Maritim Malaysia untuk menjaga perairan negara daripada nelayan asing yang mengaut hasil laut tanpa kebenaran dan merugikan negara.
23 Jun 21
928
TADC Bangunkan Tapak Semaian Buah Di Kijal
KEMAMAN, 18 Jun - Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) mula membangunkan prasarana untuk dijadikan tapak semaian buah-buah di tanah seluas lima ekar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh menyatakan bahawa ia adalah kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Kijal dan Koperasi Dhuha Kemaman Berhad.
"Alhamdulillah, tanah seluas 2.5 hektar ini telah diluluskan oleh Pejabat Tanah Kemaman bagi dijadikan tapak semaian dalam usaha menyahut seruan kerajaan negeri iaitu '2021 Tahun Pertanian Terengganu'.
Penyediaan jalan ke tapak semaian.
"Bagi melancarkan program ini, Pejabat Penyelaras memberi amanah kepada Koperasi Dhuha untuk menyelia dan memantau perkara yang baik ini," ujar Hazri semalam.
Di samping itu juga katanya, projek berkenaan mampu membuka peluang kepada petani kecil dan penduduk sekitar untuk menjual benih buah-buahan mereka yang telah disenaraikan kepada TADC.
"Insya-Allah kalau ia diuruskan dengan teratur dan cemerlang dengan kepakaran 'research and development' (R&D) yang ada tidak mustahil penghasilan benih ditapak semaian TADC ini dapat menembusi pasaran antarabangsa," tambah beliau.
18 Jun 21
1151
Terengganu Salur RM500 Kepada Warga Tani Positif COVID-19
KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Kerajaan Terengganu bersetuju untuk menyalurkan bantuan ‘one-off’ tambahan sebanyak RM500 kepada warga tani dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan yang dijangkiti COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri , Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan itu akan disalurkan dengan kadar segera.
“Jabatan-jabatan yang terlibat telah mngumpul data lengkap dari setiap daerah dalam usaha memastikan tiada yang tercicir atau terpinggir.
“Data terkini menunjukkan seramai 60 orang telah disahkan positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihaknya mengambil serius perkara itu kerana rata-rata rakyat Terengganu berkecimpung dalam industri terbabit.
“Kesemua mereka bergantung nasib sepenuhnya kepada rezeki daripada hasil pertanian untuk menyara hidup. Apabila disahkan positif COVID-19, mereka melalui tempoh rawatan dan kuarantin, ini telah menjejaskan kehidupan serta pendapatan mereka.
“Sumbangan ini bukanlah besar, namun ia cukup menggambarkan keprihatinan pentadbiran negeri kepada mereka yang telah menyumbang tenaga membekalkan sumber makanan negeri, seterusnya menghadirkan sedikit khabar gembira buat warga tani,” jelasnya.
Dr Azman.
Untuk rekod, sebelum ini kerajaan negeri turut memberikan bantuan sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha tanaman cili yang terjejas akibat 'total lockdown'.
Ujar Dr Azman, langkah itu diambil selepas kelompok terbabit antara yang sangat terkesan akibat kejatuhan mendadak harga lada di pasaran.
"Tinjauan kami mendapati penanam lada antara yang terkesan akibat kejatuhan harga secara mendadak sehingga mencecah RM1.50 satu kilogram. Malah ada yang membiarkan saja buah lada rosak di kebun kerana tiada pasaran.
"Keadaan ini meletakkan petani bukan setakat tidak mendapat keuntungan, malah kehabisan modal untuk memulakan penanaman baru," katanya.
Dr Azman berharap agar bantuan itu dapat memberikan suntikan motivasi kepada warga tani untuk terus berbakti seterusnya menyemarakkan lagi kejayaan Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021.
07 Jun 21
856
PKP : Kebenaran Pergerakan Boleh Dimohon Dengan Surat Jabatan Pertanian Berkaitan
KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Penggiat pertanian dalam negeri kini boleh menggunakan surat pengesahan jabatan atau agensi dalam sektor tersebut untuk mendapatkan kebenaran pergerakan daripada pihak berkuasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) adalah antara kementerian yang dikecualikan daripada mengguna pakai Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 daripada MITI.
"Ini bermakna warga pertanian boleh terus menggunakan surat pengesahan pergerakan dalam tempoh PKP 3.0 dan PKPD daripada MAFI yang telah dikeluarkan sebelum ini.
"Bagi yang belum memohon, permohonan boleh diajukan di Pejabat Pertanian, Veterinar, Perikanan,Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Peladang dan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) di daerah masing-masing mengikut sektor yang berkaitan," katanya menerusi laman Facebook rasminya, semalam.
Tambahnya, beliau turut menasihati golongan industri tersebut supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
Sebelumnya, kgeerajaan negeri turut melancarkan bantuan khas input pertanian sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha cili di seluruh Terengganu dalam menangani kesan ekonomi di musim pandemik ini.
05 Jun 21
1050