Artikel "Pertanian" Terkini
Pertanian Pacu Pembangunan Rakyat Setiu
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos – Kerajaan negeri menyasarkan pembangunan di daerah Setiu melalui sektor pertanian selepas pelbagai faktor tempatan dan projek besar yang sedang dijalankan diambil kira.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, sasaran tersebut menjadi keutamaan kerana keistimewaan Setiu adalah 70 peratus rakyatnya terlibat dalam sektor perikanan, pertanian, penternakan.
“Berdasarkan faktor sedemikian, menerusi Pelan Strategik Pertanian Negeri 2019-2023, pada tahun ini 73 program dan 13 projek dijalankan dan sebahagian besar bertumpu di sini.
“Antaranya seperti pemilihan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu melihat kepada beberapa faktor antaranya daerah ini masih lagi mempunyai tanah pertanian berskala komersial untuk diusahakan di dalam sesuatu kawasan.
“Kita melihat keperluan rakyat setempat, oleh itu antara dasar yang kita letakkan buat syarikat dan pelabur luar adalah tiga persoalan iaitu apakah tujuan datang di sini?, bagaimana kerajaan negeri boleh bantu dan apa rakyat boleh tukar?,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa siaran langsung Dialog Rakyat Terengganu Peringkat Setiu, di Facebook TVDI, baru-baru ini.
Sementara itu, Dr Azman turut menceritakan pelaburan asing dari Amerika Syarikat melalui McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn Bhd yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada penggiat tani di sekitar daerah itu.
“Dengan tanah seluas 500 hektar, 100 hektar daripada itu akan digunakan untuk rakyat kita seperti petukaran kemahiran dan teknologi dengan bakal pengeluar komersil yang terbesar lada hitam di Asia Tenggara itu," jelasnya.
Tambahnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, beliau menyeru agar semua pemain taruh dalam industri tersebut bergerak sebagai satu pasukan.
“Rantaian pembuat dasar, pegawai pelaksana dan rakyat yang mendapat manfaat tidak boleh putus, kita perlu saling melengkapi dan sasaran agar rakyat boleh kebaikan dari inisiatif ini,” katanya lagi.
22 Aug 21
1595
137 Nelayan Terengganu 'Drive Thru' Terima Lesen Sampan
KUALA NERUS, 12 Ogos - Seramai 137 nelayan dari daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus memperolehi lesen sampan khas daripada kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Malaysia (Jabatan Perikanan) Terengganu, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, penyerahan lesen tersebut dilakukan secara pandu lalu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Alhamdulillah, kita dapat menyelesaikan salah satu isu utama yang dihadapi nelayan iaitu perlesenan. Berdasarkan pemutihan yang dibuat, kita ada sekitar 800 orang nelayan sampan zon A di seluruh Terengganu dan kita berjaya mendapatkan kelulusan khas 600 lesen bagi tahun ini.
"Hari ini, sebanyak 137 lesen diserahkan kepada nelayan di sini sebagai usaha membantu para nelayan zon A yang menjadikan aktiviti menangkap ikan sebagai punca pendapatan utama. Bagi nelayan daerah lain, penyerahan akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan di Pangkalan Batu Rakit, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.
Menurut Dr. Azman, penyerahan lesen itu turut memberi keistimewaan kepada nelayan tempatan daripada pelbagai sudut.
"Mereka telah berpuluh tahun menangkap ikan, tetapi tiada lesen. Apabila tiada lesen, nelayan dinafikan banyak hak antaranya elaun sara hidup nelayan, minyak bersubsidi dan kalau ada berlaku kemalangan di laut mereka tidak layak mendapat bantuan bencana.
"Hari ini, 137 orang nelayan kini menerimanya selepas penyerahan pertama yang dibuat bagi nelayan Besut dan Setiu sebanyak 84 lesen, awal tahun ini. Mudah-mudahan, mereka boleh cari rezeki dengan lebih tenang selepas ini," katanya.
Dalam program tersebut, kerja-kerja melabuhkan unjam turut diadakan di perairan Batu Rakit. Sebanyak 40 unjam dilabuhkan dan ia akan memberi manfaat kepada 20 hingga 30 orang nelayan bagi setiap pangkalan.
Bagi tahun 2021, Jabatan Perikanan melaksanakan tujuh program Melabuh Unjam iaitu di Pangkalan Tanjung bagi Kuala Terengganu, Pangkalan Bari di Setiu dan Pangkalan Kijal di Kemaman.
Selain pelabuhan unjam di Pangkalan Batu Rakit bagi Kuala Nerus hari ini, unjam akan turut dilabuhkan di Pangkalan Kuala Besut bagi Besut dan Pangkalan Pasir Putih di Marang.
12 Aug 21
632
Belia Tok Lawit Manfaatkan Tanah Terbiar Untuk Pertanian
HULU TERENGGANU, 6 Ogos – Kelab Belia Sahabat Sejahtera Kampung Tok Lawit berjaya manfaatkan kawasan tanah kosong atau yang terbiar dengan aktiviti pertanian.
Pengerusi Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu, Mohamad Yusuf Abdullah berkata usaha tersebut membantu ekonomi belia setempat selain turut mendatangkan hasil yang baik kepada negeri.
“Terdapat tanah yang terbiar milik perseorangan mahupun milik kerajaan yang hanya menjadi lalang dan semak samun tanpa diusahakan dan ia amat merugikan.
“Ia adalah peluang kepada belia yang terkesan dengan pandemik dengan galakan kerajaan dan sinergi bersama agensi yang berkenaan malah sekarang adalah masa yang tepat untuk memajukan sektor pertanian dan mengorak langkah mencapai kejayaan," katanya.
Beliau berkata ketika mengadakan lawatan di tapak projek tanaman padi Kelab Belia Sahabat Sejahtera (KBSS) Kampung Tok Lawit dan menyampaikan sumbangan kepada wakilnya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Belia Sahabat Sejahtera Kampung Tok Lawit, Rizuan Sulong berkata, untuk permulaan kelab belia Sahabat Sejahtera Kampung Tok Lawit akan menumpukan usaha tanaman padi.
“Kita nak gunakan tanah terbiar sebagai usaha memartabatkan sektor pertanian dalam negeri Terengganu dengan penyertaan belia dan masyarakat kampung dalam bidang berkenaan.
“Ia seiring dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencadangkan tahun 2021 sebagai Tahun Pertanian Negeri," ujarnya.
Menurutnya lagi, pada peringkat awal usaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Tok Lawit mengadakan perbincangan bersama dengan pengusaha tanaman padi selepas melihat peluang kepada belia kampung yang tiada pekerjaan untuk mengusahakan tanah yang terbiar sekitar 10 hektar lebih dengan aktiviti bertani.
“Semoga usaha yang dilakukan ini berjaya mendapat hasil dan natijah yang baik,"katanya.
05 Aug 21
1036
Tahun Pertanian Terengganu Rancak Berjalan Walau Alami Kekangan
SETIU, 5 Ogos - Hasrat Kerajaan Terengganu menjayakan program Tahun Pertanian terus berjalan di saat sedang berhadapan kekangan akibat pandemik Covid-19 pada waktu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui sektor pertanian, penternakan dan perikanan, inisiatif berkenaan tetap diteruskan mengikut segala perancangan dalam keadaan agak terbatas.
"Sebagaimana yang diwarwarkan sebelum ini sebanyak 73 program dan 13 projek disusun, perancangannya tetap diteruskan dengan sempurna, sebab itu sektor ini agak meriah walaupun dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Kerana kita cuba mencari jalan bagi memastikan setiap perancangan berjaya, walaupun dalam skala terhad agar berjalan dengan lancar.
"Tidak boleh ditangguhkan kerana setiap bulan terdapat sekitar tiga atau empat program perlu dilakukan, jika tidak ia mengakibatkan kita tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan kesemuanya. Di antara programnya adalah memperkayakan sumber perikanan sebagaimana termaktub dalam agenda Tahun Pertanian Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Melabuh Unjam Komuniti Perikanan (myKP) Bari dan myKP Rhu 10, di perairan Setiu, kelmarin.
Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif, Pemangku Pengarah Pertanian negeri, Zulkifli Amin Mat Jusoh dan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Afandi Husin.
Program tersebut katanya merupakan siri yang kedua bagi tahun ini di mana ia mempunyai beberapa siri lagi yang membabitkan kesemua daerah dalam negeri ini.
"Di mana setiap daerah akan mendapat bahagian sama ada tukun ataupun unjam, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta oleh kerajaan negeri dan ditambah sebanyak RM300,000 oleh Kerajaan Persekutuan menjadikan jumlahnya RM1.5 juta.
"Pagi ini kita melabuhkan unjam di sini dengan kerjasama di antara komuniti nelayan Rhu 10 dan Pantai Bari, dalam jarak lima batu nautika dari pantai bagi mengelakkan unjam rosak, di mana zon A ini dilarang bagi setiap aktiviti berkaitan pukat tunda bagi manfaat nelayan pantai," ujarnya.
Katanya, aktiviti berkenaan akan diteruskan dalam tempoh terdekat untuk diselesaikan segera sebelum Oktober, bagi persiapan menghadapi laut bergelora.
03 Aug 21
258
Warga Tani Terengganu Positif COVID-19 Terharu Terima Bantuan 'One-Off'
SETIU, 3 Ogos - Nasib warga tani daripada sektor pertanian, penternakan dan juga perikanan di negeri ini yang positif Covid-19 terbela apabila kerajaan Terengganu memberikan bantuan 'one-off' kepada mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, bantuan sebanyak RM500 kepada 90 individu itu diharap mampu meringankan sedikit beban dialami sepanjang menjalani tempoh rawatan dan kuarantin.
Katanya, kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada yang terlibat dalam sektor berkenaan kerana mereka adalah penyumbang utama bekalan makanan untuk seluruh rakyat.
"Kalau kita tengok daripada angka positif Covid-19 yang melibatkan sektor pertanian, nelayan dan penternakan ini boleh kita simpulkan bahawa masih berada pada tahap yang sangat rendah risiko terdedah kepada jangkitan.
"Walaupun begitu peringatan dan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu diberi keutamaan dalam rangka kita hendak memastikan perkhidmatan sektor ini terus berjalan, dan rantaiannya tidak terputus walaupun dalam pelbagai situasi sekatan dan kekangan yang sedang kita lalui bersama ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan berkenaan bagi daerah ini, pada Program Melabuh Unjam Komuniti Perikanan (myKP) Bari dan myKp RHU 10, di Perairan Setiu, pada hari ini.
Turut hadir, Pegawai daerah, Haji Rosli Latif, Pemangku Pengarah Pertanian negeri, Zulkifli Amin Mat Jusoh dan Ketua Polis daerah tersebut, Deputi Superitendan Afandi Husin.
Sementara itu salah seorang penerima sumbangan, Norizan Ali, 53, berkata pihaknya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan itu.
"Saya dengan isteri didapati positif pada Jun lalu. Bantuan ini sangat besar bagi kami dalam meringankan beban perbelanjaan kami sekeluarga.
"Kami masih mempunyai lima orang anak di bawah tanggungan saya, sepanjang tempoh itu tidak boleh kemana-mana untuk bekerja seperti biasa. Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan," ujarnya.
Seorang lagi penerima bantuan, Amran Derahat, 54, juga menyatakan bahawa bantuan berkenaan sangat membantu.
"Saya merupakan salah seorang pesawah, sangat bersyukur mendapat bantuan ini daripada pihak kerajaan untuk membantu golongan seperti kami.
"Jadi dapatlah menampung perbelanjaan kami sekeluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup," ujarnya yang juga merupakan seorang imam di Masjid Kampung Banggol.
03 Aug 21
431
Sektor Perladangan Buka Peluang Buat Tenaga Kerja Tempatan
KUALA NERUS, 31 Julai - Berdepan situasi semasa Covid-19 hari ini, sektor perladangan terutama industri kelapa sawit mungkin berpeluang melepaskan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pergantungan sepenuhnya sektor sawit kepada khidmat pekerja asing adalah sekitar 250 ribu pekerja
"Sejak Covid-19 melanda, kita berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja dalam industri sawit kerana kita bergantung kepada tenaga pekerja asing, tetapi kita 'cover' sedikit demi sedikit dan mula bergantung kepada rakyat tempatan termasuklah dengan membekalkan mekanisasi serta automasi dalam pengurusan ladang.
"Melaluinya, kita berjaya kurangkan sebahagian ruang pekerjaan untuk diisi dengan rakyat tempatan. Sebab itu, kita terus buat promosi besar-besaran dari sudut peluang pekerjaan di ladang kepada rakyat yang menjanjikan pulangan lumayan sebenarnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kios Amal Kongsi Rezeki di Sabasun Hypermarket Wakaf Tembesu, hari ini.
Menurutnya, usaha itu turut membawa kepada peningkatan tenaga kerja tempatan dalam sektor perladangan.
"Memang ada peningkatan, cuma angka tepat belum dapat dikumpulkan sepenuhnya daripada syarikat-syarikat terlibat.
"Tetapi pada masa yang sama, unjuran kerugian kita disebabkan kekurangan tenaga kerja ini adalah kira-kira RM6 bilion setahun berikutan kerajaan masih menutup sempadan kepada warga asing untuk masuk bekerja," katanya.
Jelasnya, ada beberapa pengecualian yang sedang dibincangkan pada peringkat kementerian untuk mendapatkan sekitar 30 ribu pekerja asing khusus bagi pekhidmatan penuaian buah kelapa sawit bagi menampung kekurangan tersebut.
"Namun, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan melibatkan kementerian-kementerian lain dan kita mengkhususkan keperluan khidmat tenaga kerja itu hanya dalam bidang penuaian sahaja.
"Jumlah tenaga kerja dianggarkan yang masih ada dalam sektor perladangan ialah sebanyak 80 ribu pekerja yang masih lagi ada permit," katanya.
Terdahulu, Khairuddin pada April lalu telah menyuarakan saranan dan galakan kepada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan 32 ribu peluang pekerjaan dalam sektor perladangan.
Tambahnya, kementerian telah melaksanakan karnival kerjaya dan iklan secara besar-besaran termasuk menerusi laman web JobsMalaysia dan berharap rakyat terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19 mengambil peluang tersebut.
31 Jul 21
208
12 Tukun Tiruan Konservasi Pulihara Ekosistem Marin
MARANG, 24 Julai – Sebanyak 12 tukun tiruan konservasi telah dilabuhkan di kawasan perairan taman laut Pulau Kapas bertujuan untuk pemuliharaan khazanah laut sekali gus memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun di bawah peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM300,000 itu akan menjadi tempat pembiakan kepada pelbagai spesis ikan.
“Ramai penggiat laut bertanya justifikasi labuhkan di kawasan yang tidak boleh memancing, jawapannya tukun bertindak sebagai rumah kepada hidupan lautan yang kemudian akan keluar ke laut untuk jadi rezeki tangkapan akan datang.
“Spesifikasi 12 tukun tiruan ini adalah berat sekitar 17 tan dibuat daripada bahan konkrit gred 35 akan bertahan di dasar laut sekitar 50 tahun.
“Ia turut berfungsi sebagai zon penampan untuk pukat tunda menghalang kepada pencerobohan di kawasan ini,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas kerja melabuh tukun konservasi di perairan Pulau Kapas, pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkipli Amin Mat Jusoh.
Tambah Dr Azman, jangkaan hasil tukun tiruan tersebut akan mengambil masa dalam beberapa bulan untuk ditumbuhi hidupan laut dan spesis marin.
“Sejak tahun 2006 lagi, banyak tukun konservasi telah membuahkan hasil dan pelbagai kejayaan yang boleh didokumentasikan termasuk hasil spesis ikan gred A yang bertandang dan menjadikannya sebagai tempat perlindungan,” jelasnya lagi.
24 Jul 21
407
Durian Terengganu Imbang Harga Pasaran
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menjangkakan musim durian di negeri itu bakal memberi impak kepada harga pasaran durian semasa.
Pengarah FAMA Terengganu, Che Ghani Che Wan berkata, pengeluaran hasil durian di Terengganu sehingga September 2021 dianggarkan sebanyak 7,080 metrik tan.
"Musim durian telah pun bermula dengan pengeluaran utama di daerah Besut. Mengikut maklumat yang diperolehi, harga ladang di sana masih lagi sekitar RM4 ke RM5 sekilogram.
"Jadi, saya rasa penghujung bulan ini atau Ogos nanti, harga akan menurun sedikit berikutan pengeluaran hasil dan bekalan yang lebih banyak," katanya.
Jelasnya, dengan harga ladang yang lebih rendah, pihak FAMA akan mengambil langkah-langkah proaktif dengan mengadakan program-program jualan serta agihan bekalan di sekitar negeri Terengganu dan pasaran luar.
"Buat masa ini, kita menumpukan pasaran di Terengganu kerana durian-duiran yang dijual dalam negeri ketika ini adalah durian-durian dari luar.
"Apabila harga lebih rendah, FAMA akan mengagihkannya ke kawasan-kawasan lain supaya kita boleh mengimbangi harga semasa.
"Pandangan saya, durian terengganu ini dikatakan durian organik di mana ketika musim pengeluarannya tidak memakan kos yang tinggi dari segi baja dan sebagainya. Ini membolehkan petani-petani kita menjual dengan harga yang lebih berpatutan," katanya.
Bagaimanapun, Che Ghani tidak menjangkakan penurunan harga terlalu drastik akan berlaku.
"Mungkin sekitar tiga ke empat ringgit pada harga ladang, manakala sekitar lima ke lapan ringgit pada harga runcit.
"Bagi negeri Terengganu, daerah Marang, Kemaman dan Dungun juga banyak hasil durian. Namun, setakat ini hanya Besut sudah mula keluarkan hasil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program agihan MAFI (Kementerian Pertanian & Industri Makanan) Prihatin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, hari ini.
Dalam program tersebut, FAMA mengagihkan sebahagian hasil pertanian dan produk keluaran industri kecil sederhana (IKS) kepada petugas-petugas barisan hadapan di sana.
14 Jul 21
665
Minat Dorong Iqmal Haikal Jadi Petani Muda
SETIU, 14 Julai - Minat yang mendalam terhadap bidang pertanian mendorong lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana, Muhammad Iqmal Haikal Ab Mueei untuk menjadi petani muda.
Biarpun baru berusia 19 tahun, Muhammad Iqmal Haikal nekad menjadi salah seorang peserta program tanaman ubi vitato secara berkelompok di Kampung Banggol di sini kerana yakin bidang pertanian menjanjikan pendapatan lumayan sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Anak kelima dari tujuh beradik itu berkata, biarpun tidak mempunyai pengalaman, dia tidak malu untuk belajar selok belok pertanian dengan peserta lain.
“Saya terlibat dengan aktiviti pertanian ini baru dua..tiga bulan lepas, sebelum ini saya kerja di sebuah kedai makan di Penarik, tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedai tersebut terpaksa ditutup.
“Apabila mula menanam ubi vitato ini dan lihat ianya mula membesar, menjadikan saya lebih bersemangat untuk serius dalam bidang pertanian, apatah lagi peserta lain tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada peserta termuda seperti saya,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di ladang tanaman ubi vitato di Kampung Banggol.
Muhammad Iqmal Haikal merupakan salah seorang dari 70 peserta Program Tanaman Ubi Vitato secara berkelompok di atas tanah seluas 28 hektar itu.
Katanya, dia turut berdepan kesukaran pada awalnya bagi memastikan hasrat menjadi usahawan tani tercapai.
“Mula-mula nak tanam ubi nie susah juga terutamanya dari segi kewangan dan tenaga buruh, saya hanya tanam sendiri dan tidak ada pekerja, mujur emak dengan ayah datang tolong.
“Sekarang tanaman ubi vitato seluas satu ekar yang saya usahakan ini sudah berusia sebulan dan ia dijangka dapat dituai pada September nanti,” ujarnya yang turut mengeluarkan modal lebih dari RM1,000 hasil simpanan sendiri dan sumbangan bapa serta adik-beradiknya.
Menurut anak muda berjiwa cekal itu, walaupun bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini, dia tidak akan sesekali akan melupakan bidang pertanian yang menjadi fokus utamanya sekarang.
14 Jul 21
676
Projek Keledek Vitato Di Setiu Keluarkan 350 Tan Hasil
SETIU, 12 Julai - Projek penanaman keledek vitato di Kampung Banggol di sini mampu mengeluarkan hasil sebanyak lima tan setiap ekar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman secara berkelompok yang berkeluasan 70 ekar itu melibatkan seramai 70 orang peserta.
"Projek berkenaan hasil usahasama kerajaan negeri Terengganu melalui Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan penduduk setempat," kata ringkas pada Majlis Penuaian Ubi Vitato di Kampung Banggol semalam.
Terdahulu, beliau turut memaklumkan kerajaan Terengganu bersetuju menjadikan daerah Setiu sebagai gedung pengeluaran makanan negeri itu.
Jelasnya, pemilihan daerah Setiu disebabkan beberapa faktor antaranya keluasan tanah sekitar 5,200 ekar yang diwartakan di bawah seksyen 62 yang dikhususkan bagi aktiviti pertanian samada penternakan dan tanaman.
"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 16 Jun yang lalu bersetuju mengisytihar dan menjadikan daerah Setiu sebagai gedung pengeluaran makanan Negeri Terengganu.
"Untuk itu, MMKN bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Setiu dan dianggotai oleh ketua-ketua jabatan berkaitan," tambah beliau.
13 Jul 21
545