Artikel "Pertanian" Terkini
Terengganu Salur RM300,000, Bantu Penanam Cili
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan negeri melancarkan bantuan khas input pertanian sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha cili di seluruh Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu diambil selepas kelompok terbabit antara yang sangat terkesan akibat kejatuhan mendadak harga lada di pasaran.
"Tinjauan kami mendapati penanam lada antara yang terkesan akibat kejatuhan harga secara mendadak sehingga mencecah RM1.50 satu kilogram. Malah ada yang membiarkan saja buah lada rosak di kebun kerana tiada pasaran.
"Keadaan ini meletakkan petani bukan setakat tidak mendapat keuntungan, malah kehabisan modal untuk memulakan penanaman baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Dr Azman, berdepan dengan keadaaan yang sukar di musim pandemik COVID-19 ini, langkah segera perlu diambil sebagai ‘suntikan’ kepada pengusaha cili agar kembali bangkit dan bersemangat.
"Memahami rintihan para petani khususnya untuk kitaran modal bagi penanaman semula, inisiatof perlu dibuat bagi memastikan petani mampu bangkit semula dalam situasi sukar sekarang.’
"Jabatan Pertanian Negeri Terengganu telah diarahkan untuk menyediakan data bagi tujuan penyaluran bantuan segera," tambah beliau.
02 Jun 21
323
'Lockdown' : Terengganu Mohon Kebenaran Untuk Pesawah
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Terengganu akan memohon kebenaran dengan pihak berkuasa supaya penanam padi di negeri ini diberi kelonggaran turun ke sawah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan bermula 1 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, permohonan itu akan diserah kepada Jawatankuasa Khas Negeri dalam masa terdekat untuk dinilai Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, kelonggaran itu penting supaya padi dapat ditanam seperti biasa mengikut jadual ditetapkan dan pengeluaran beras tidak terjejas.
“Jadual tanaman padi sepatutnya bermula 5 Jun tapi kerajaan umumkan PKP penuh pada 1 Jun. Jika betul-betul ikut jadual mula 5 Jun, kita jangka masa tuai padi adalah hujung bulan Oktober dan ia sudah hampir tibanya musim banjir.
“Jadi kita akan mohon kepada Jawatankuasa Khas Negeri untuk diaju kepada MKN supaya petani dibenar turun ke sawah dalam PKP penuh agar padi dapat dituai sebelum banjir,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada hari ini.
Menurut Dr Azman, terdapat kira-kira 6,000 penanam padi di seluruh Terengganu dengan sebahagian besar kawasan jelapang padi bertumpu di daerah Besut dan Setiu melibatkan keluasan tanaman 4,876 hektar.
Beliau berkata, selain penanam padi pihaknya juga akan memohon kelonggaran sama kepada sektor pertanian lain seperti nelayan dan petani bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan.
“Dari segi pemasaran hasil pertanian seperti buah tembikai pula, kita jamin tiada lambakan HB besar-besaran sebagaimana PKP pertama tahun lepas. Kebanyakan tembikai sudah dituai dan dianggarkan tinggal kira-kira 10,000 hektar lagi.
“Jika ada berlaku lambakan pun, ia tidak banyak dan kita akan tempatkan di pasaran sedia ada seperti pasar tani kekal dan sebagainya,” katanya.
30 May 21
593
Peserta Ladang Kontrak Peroleh Pendapatan Lumayan
SETIU, 26 Mei - Beberapa peserta ladang kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperolehi pendapatan lumayan hasil jualan tembikai termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mereka mengakui walaupun pendapatan diperolehi tidak selumayan sebelum PKP dikuatkuasakan, tetapi tiada lambakan berlaku selepas FAMA membeli semua tembikai yang diusahakan.
Seorang peserta, Baharudin Ibrahim, 52, dari Kampung Rhu 10, di sini, mengakui memperolehi pendapatan bersih melebihi RM2,800 selepas kira-kira 180 tan metrik tembikai dibeli FAMA.
"Kami mula menanam tembikai di tanah pertanian berkelompok seluas empat hektar mulai pertengahan Mac lalu.
"Pada mulanya timbul kebimbangan akan berlaku lambakan tembikai yang diusahakan, tetapi selepas kami menandatangani kontrak sebagai peserta ladang, masalah pasaran seperti dialami ke atas pengusaha tembikai di beberapa negeri selesai," jelasnya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Norzulali Hussin, 43, berkata, walaupun FAMA menawarkan harga belian tembikai terus dari ladang 80 sen sekilogram, tetapi peserta masih mendapat keuntungan, meskipun tidak seperti musim lalu.
Ujarnya, FAMA membeli tembikai diusahakan peserta ladang kontrak antara RM1.20 dan RM1.50 sekilogram tahun lalu.
"Walaupun harga belian musim ini merosot, tetapi peserta masih memperolehi keuntungan selepas mengusahakan tanaman dalam tempoh dua bulan mulai pertengahan Mac lalu," katanya yang memperolehi keuntungan sebanyak RM2,000 hasil jualan tembikai diusahakan.
Dalam perkembangan sama, Pengarah FAMA negeri, Che Ghani Che Wan memberitahu, setakat ini pihaknya membelanjakan sebanyak RM727,716 untuk membeli 411 tan metrik tembikai daripada usahawan ladang kontrak.
Katanya, 20 peratus tembikai diusaha petani dibekalkan kepada pasaran tempatan, 10 peratus membabitkan jualan secara langsung oleh FAMA manakala 70 peratus melalui agihan pemasaran melalui FAMA di seluruh negara.
"Berdasarkan pengaturan pemasaran oleh lima pemborong tempatan tembikai, sebanyak 250 tan metrik adalah untuk pasaran tempatan dan luar Terengganu," katanya kepada media selepas menyaksikan urusan belian daripada peserta ladang kontrak di Kampung Rhu 10, Setiu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, tambahnya, setakat ini tembikai terutama membabitkan gred satu iaitu lima kilogram ke atas masih mendapat permintaan.
"Kita juga turut membeli tembikai diusahakan 50 orang petani yang bukannya peserta ladang kontrak," katanya sambil menegaskan tidak berlaku lambakan tembikai di negeri ini.
--BERITA HARIAN
26 May 21
413
Kerajaan Negeri Usaha Mudahkan Petani Kawasan PKPD
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 buah kampung di Mukim Pelagat, Besut, bermula hari ini, Kerajaan Terengganu berusaha membantu memudahkan petani, peladang, pesawah dan penternak di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, mereka perlu mendapatkan surat pengesahan terlibat dalam rantaian pengeluaran makanan dari jabatan-jabatan yang berkenaan.
“Dengan surat pengesahan dari jabatan, permohonan pergerakan untuk turun ke sawah, ladang, kebun, kandang dan lain-lain boleh dipohon kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kebenaran pergerakan adalah di bawah bidang kuasa PDRM.
“Jabatan berkenaan adalah sama ada Jabatan Pertanian, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), Peladang, KETARA atau Jabatan Veterinar Daerah Besut bagi mereka meneruskan aktiviti rantaian pengeluaran makanan yang dikategorikan sebagai ‘essential services’,” jelasnya dalam satu status Facebook miliknya, semalam.
Tambahnya, beliau turut mengarahkan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu supaya membantu dan mempermudahkan urusan penduduk yang terlibat serta menyelaraskan pengeluaran surat pengesahan dengan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu.
“Saya juga telah berbincang sekejap tadi dengan ASP Sabri, Ketua Balai Polis Jerteh agar permohonan boleh diajukan ke Balai Polis Jerteh seterusnya diangkat ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Besut bagi pertimbangan Ketua Polis Daerah.
“Ia bagi memudahkan para petani, peladang dan penternak yang berada dalam kawasan PKPD,” ujarnya.
20 May 21
462
600 Nelayan Terengganu Terima Lesen
BESUT, 22 April - Sebanyak 600 Lesen Sampan Khas diluluskan ibu pejabat Jabatan Perikanan Malaysia buat nelayan-nelayan negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim berkata, Terengganu menjadi negeri pertama yang menerima kelulusan lesen dengan jumlah sebanyak itu.
"Tidak keterlaluan juga jika saya katakan, selain menjadi negeri pertama mengangkat permohonan lesen bagi rakyat, Terengganu juga menjadi perintis ke arah penyelesaian isu lesen nelayan sampan bagi seluruh negara yang berjumlah puluhan ribu.
"Ini kerana, ekoran permohonan ini pihak kementerian dan Jabatan Perikanan Malaysia telah membuka kembali permohonan dari seluruh negara sejak ia dibekukan pada tahun 1982,' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan lesen kepada 85 nelayan di Beting Lintang, semalam.
Dalam program tersebut, sebanyak 53 nelayan sampan Besut dan 31 nelayan dari Setiu menerima lesen bagi sesi agihan pertama oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT).
Jelas Dr. Azman, daripada 800 permohonan yang diangkat, sebanyak 600 lesen diluluskan bagi fasa pertama dengan Setiu serta Besut menjadi daerah pertama menerimanya.
"Untuk baki 200 permohonan lagi, saya telah mohon dengan JPNT untuk kita buat rayuan bagi fasa kedua.
"Mungkin ada beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan dan kita yakin akan dapat diselesaikan," katanya.
Tambahnya lagi, dengan adanya lesen maka dapatlah nelayan menikmati beberapa kemudahan dari kerajaan dan mereka dapat turun dengan tenang ke laut serta tidak dinafikan darpada dapat elaun sara hidup nelayan, bantuan bencana dan sebagainya.
Beliau berharap, dengan usaha tersebut sektor perikanan akan berkembang dan hasil tangkapan yang didaratkan akan dapat direkodkan.
"Sebelum ini, memang ada ikan didaratkan nelayan sampan tetapi banyak yang tidak direkodkan kerana mereka tidak mempunyai lesen.
"Tujuan asal direkodkan supaya mereka dapat subsidi minyak. Tetapi, apabila mereka tiada lesen maka mereka tidak layak dapat subsidi minyak," katanya.
Tegasnya, kejayaan memperoleh lesen tersebut merupakan kejayaan bersama para nelayan dan agensi.
"Kita mahu industri perikanan kita melonjak lebih jauh selepas ini.
"Kita jauh ditinggalkan oleh Perak dari segi jumlah pendaratan hasil dan tidak seiring dengan panjang pantai dan keluasan zon tangkapan kita kerana beberapa isu berbangkit sebelum ini.
"Satu daripada isu besar yang dihadapi nelayan iaitu perlesenan berjaya diselesaikan, sekurang-kurangnya kita sudah mengorak langkah," katanya.
24 Apr 21
1477
Teknologi Digital Hasilkan Melon Manis Berkualiti
DUNGUN, 21 April - Teknologi Digital Automation yang dipraktikkan di Ladang Melon Manis Terengganu (MMT) Rimbunan Kaseh, Rantau Abang berjaya menghasilkan buah secara berterusan dan kualitinya terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, menerusi teknologi digital tersebut, kepekatan baja dan PH air dapat dikawal sepenuhnya berdasarkan pertumbuhan semasa pokok melon.
"Maknanya kita boleh campur dengan lebih tepat dari segi kepekatannya, dari segi nisbah, di masa yang sama dapat memastikan PH air berada pada tahap optimum sekaligus boleh meminimakan 'human error', selain itu dapat menjimatkan ruang serta tenaga kerja untuk menjamin produktiviti yang lebih baik," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Teknologi Digital Automation MMT di Rimbunan Kaseh, Rantau Abang.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (Ekonomi Makro), Ahmad Ridzwan Abd. Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Wan Adnan Wan Derahman, Pengurus Besar Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), Azhar Jusoh dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkipli Amin Mat Jusoh.
Menurutnya, dengan penggunaan teknologi, projek MMT terus mengorak langkah pada masa hadapan memandangkan pengeluaran buah tersebut masih lagi tidak mencukupi.
"Tanah yang terbiar di Rimbunan Kaseh ini akan dimanfaatkan untuk tanaman Melon Manis Terengganu di dalam menjayakan Tahun Pertanian Terengganu," katanya.
21 Apr 21
1037
Hasrat Nelayan Kemaman Miliki Jeti Tambatan Tercapai
KEMAMAN, 8 April - Hasrat nelayan di daerah ini untuk memiliki jeti tambatan bagi menambat vesel yang dimiliki untuk mengelakkan ia dibawa arus yang kuat pada musim hujan lebat serta air pasang tinggi akhirnya tercapai.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri , Dr Azman Ibrahim berkata, pembinaan jeti tambatan tersebut telah pun siap melalui peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan sebanyak RM100,000 bagi dimanfaatkan 32 orang nelayan setempat.
"Kita cuba selesaikan perkara yang selama ini menjadi rungutan nelayan di sini di mana saya menerima laporan berkait dengan hal ini pada September 2020.
"Alhamdulillah melalui peruntukan segera ia dapat dibina. Saya mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Kemaman kerana mempercepatkan proses ini.
"Inisiatif yang kita buat ini adalah untuk rakyat. Alhamdulillah dalam tempoh tidak sampai dua bulan dari akhir September sehingga pertengahan November ia dapat disiapkan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jeti Nelayan Kampung Geliga di sini semalam.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri sentiasa cuba memahami dan menyelesaikan apa sahaja masalah dihadapi oleh golongan tersebut melalui pelbagai program.
"Sebab itu dari segi perancangan untuk mereka, memang kita telah gariskan mengikut kesesuaian dan keperluan dengan turun ke lapangan bertemu sendiri dengan para nelayan.
"Di antara program yang menjadi keutamaan untuk nelayan adalah memperkayakan sumber perikanan melalui pelabuhan unjam dan tukun dengan Terengganu satu-satunya negeri tunggal dalam negara ini yang mengeluarkan peruntukan tersendiri.
"Tahun 2019 dan 2020 peruntukan dikeluarkan sebanyak RM300,000 dan digabungkan peruntukan Persekutuan sebanyak RM200,000 menjadikan jumlah sebanyak setengah juta (RM 500,000)," katanya.
Namun, bersempena Tahun Pertanian 2021, katanya, peruntukan tersebut telah ditingkatkan kepada RM1.2 juta.
"Peruntukan naik empat kali ganda di samping Kerajaan Persekutuan tetap memberikan sumbangan sebanyak RM200,000.
"Insya-Allah kita akan manfaatkan sebaik mungkin dan nelayan di sini akan turut mendapat manfaat di mana pada Ogos nanti kita akan labuhkan unjam secara komuniti di sini," katanya.
07 Apr 21
420
Beras Terengganu myGAP Tampil Ke Pasaran Bulan Ini
KUALA TERENGGANU, 8 April - Pertengahan April ini, rakyat Terengganu buat kali pertamanya akan menikmati beras jenama Terengganu dengan persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian sebagai pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan amalan pertanian bagi menghasilkan produk berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kejayaan itu diperoleh hasil perancangan rapi semua pihak berkaitan.
"Sebelum ini, kita ada padi yang bertaraf myGAP, tetapi sayangnya kita tiada beras myGAP.
"Kesilapan kita adalah kerana rantaian kita tidak lengkap. Kita ada sawah myGAP, petani myGAP dan penerima insentif dari myGAP tetapi apabila kita mesin padi, kita campur dengan padi-padi lain menyebabkan ia tidak mencapai kualiti ditetapkan myGAP," katanya.
Khabar gembira itu disampaikan Azman kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Hari terbuka Jabatan Pertanian Negeri, di Ajil, baru-baru ini.
Jelasnya, melalui perancangan dan penyusunan rapi dari peringkat awal sehingga akhir, rakyat Terengganu kini akan dapat menikmati beras jenama Terengganu yang lebih berkualiti.
"Segala rantaian dari petak sawah sehingga mesin padi, pengangkutan untuk di bawa ke kilang, pembungkusan dan pemasaran telah kita persiapkan dengan rapi.
"Persiapan kita ini bukan semata-mata pada satu tahap, sebaliknya kita menyusun rantaian lengkap dari sawah padi sehinggalah kepada pemasaran," katanya.
Menurutnya, Terengganu memiliki sekitar 413 hektar iaitu lebih 1,000 ekar sawah padi samada dalam IADA Ketara atau di luar kawasan jelapang di bawah Jabatan Pertanian Malaysia yang telah mendapat persijilan myGAP.
Dari jumlah itu, sekitar 3,000 metirk tan padi dapat dihasilkan.
"Berapa beras yang akan dihasilkan? Selalunya dalam 60 peratus daripada padi akan jadi beras,jadi itulah anggaran keluaran beras myGAP yang akan kita hasilkan dari sawah-sawah negeri Terengganu.
"Dua hari lepas, kita telah merasmikan penuaian padi myGAP di Kubang Lembu, Besut iaitu dalam kawasan Jelapang IADA Ketara. Sekarang, musim menuai telah bermula dan akan sampai kemuncaknya pada pertengahan April. Insya-Allah, pertengahan bulan ini kita kan dapat menikmatinya," katanya.
06 Apr 21
960
Kerjasama APMM-Vietnam Coast Guard Selesai Isu Pencerobohan Nelayan Asing
KUALA TERENGGANU, 5 April- Isu pencerobohan nelayan asing khususnya dari negara Vietnam bakal berakhir dengan perjanjian persefahaman yang bakal dimeterai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Vietnam Coast Guard.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som memaklumkan, dengan persefahaman yang dipersetujui kedua-dua negara itu, beliau percaya isu pencerobohan nelayan Vietnam ke perairan negara dapat diselesaikan.
Jelasnya, draf persefahaman tersebut sedang disemak pada peringkat Peguam Negara sebelum langkah terakhir diputuskan.
"Apabila kedua-dua pihak bersetuju, kita akan ada kerjasama dua hala dari segi penguatkuasaan dan latihan.
"Hubungan ini memudahkan kita melaporkan secara terus pencerobohan bot-bot nelayan mereka ke perairan negara," katanya.
Menurut Mohd Zubil, draf persefahaman itu dijangka akan dimeterai tahun ini.
Beliau yang ditemui dalam sidang media di pejabat APMM Terengganu hari ini menyatakan, perairan pantai timur khususnya sering menjadi sasaran nelayan Vietnam berikutan jarak yang lebih dekat dari negara mereka selain hasil laut yang lebih banyak dan bernilai.
"Sejak APMM ditubuhkan pada 2006 hingga kini, kita telah berjaya menahan dan melupuskan hampir 2,000 bot nelayan asing terdiri daripada pelbagai negara.
"Sepanjang Op Naga dan Op Kuda Laut yang dilancarkan pada April 2019 sehingga 2021 iaitu selama dua tahun, sebanyak 159 bot serta 1609 kru berjaya kita tangkap dengan nilai tangkapan sebanyak RM493.5 juta," katanya.
05 Apr 21
565
TDM Plantation, Syarikat Perladangan Pertama Diiktiraf ISCC EU
KUALA TERENGGANU, 5 April – Bahagian perladangan TDM Berhad, TDM Plantation (TDMP) menjadi syarikat perladangan Terengganu pertama yang menerima pengiktirafan daripada Suruhanjaya Eropah (ISCC EU).
Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Mohd Ghozali Yahaya berkata, pengiktirafan kepada anak syarikat TDM itu diberikan selepas penilaian teknikal dijalankan terhadap rantaian bekalan, operasi dan gas rumah hijau (GHG) syarikat oleh badan pensijilan yang berdaftar dengan ISCC di unit operasi Zon Selatan TDMP.
“Ia telah diperakui dengan Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa yang diluluskan oleh ISCC EU berkuatkuasa mulai 17 Mac 2021 hingga 16 Mac 2022.
“Keputusan penilaian menunjukkan bahawa pendekatan kelestarian syarikat memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, TDMP telah diaudit pada 10 serta 11 Februari 2021 dan keputusan mengenainya diumumkan pda 13 Mac 2021 .
"Kami sangat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan yang memperkuatkan lagi komitmen berterusan syarikat terhadap amalan lestari.
"Kejayaan ini juga merupakan bukti dedikasi kami dalam menghijaukan operasi dan amalan syarikat melalui inovasi dan teknologi untuk mengurangkan jejak karbon dan kesannya terhadap persekitaran di samping menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, komitmen jangka panjang TDM terhadap kelestarian tidak hanya terhad di semua ladang dan kilang syarikat tetapi juga dapat dilihat dengan jelas di bahagian penjagaan kesihatan TDM.
“Empat hospital komuniti kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) yang menawarkan penjagaan sekunder dalam semua bidang utama kesihatan.
“Saya berbesar hati dapat menyaksikan satu lagi hasil titik peluh pasukan perladangan yang telah membawa syarikat ke arah kejayaan, satu perakuan nilai tambah diatas penghargaan dan penanugerahan yang sedia ada.
"Pencapaian yang signifikan ini juga memberikan inspirasi kepada kami untuk terus mengurus dengan teliti kesan operasi perniagaan terhadap alam sekitar, memberikan sokongan kepada komuniti di kawasan syarikat beroperasi, dan mengekalkan persekitaran kerja yang selamat," tambahnya lagi.
Untuk rekod, TDM berdiri sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Malaysia pertama yang memperolehi 100 peratus Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
05 Apr 21
1035