lightning-solid
Berita :

Artikel "Pertanian" Terkini

Pelaburan RM320 Juta Wujudkan 2,000 Peluang Pekerjaan
Pelaburan RM320 Juta Wujudkan 2,000 Peluang Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 29 September - Kemasukan pelabur antarabangsa, Syarikat Mc cormick untuk melabur melalui perusahaan tanaman lada hitam secara komersial bernilai RM 320 juta disasarkan akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek mega berkenaan akan dibangunkan di Rhu Tapai. Katanya, Kerajaan negeri telah meluluskan tanah seluas 600 hektar untuk dijadikan ladang dan didirikan sebuah kilang pemprosesan tanaman berkenaan.  "Jadi apabila projek ini berjaya direalisasikan kita yakin kawasan Rhu Tapai ini  akan menjadi 'Pekan Lada Hitam' dan ini adalah percubaan pertama di atas tanah bris di Malaysia. "Setelah melalui tempoh percubaan melalui kaedah 'Proof Of Concept (POC)' dibuktikan ia boleh ditanam di atas tanah jenis ini, kerajaan telah membantu untuk memberikan kerjasama dengan sebaiknya untuk menyelesaikan urusan tanah ini. "Projek ini juga akan melibatkan komuniti setempat, bukan setakat kita hendak meraikan pelabur, dalam masa yang sama 'teknologi transfer' yang dibawa oleh mereka akan turut dipelajari oleh rakyat agar sosioekonomi kepada masyarakat setempat boleh dioptimumkan dengan sebaiknya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kabin Tanaman Pintar dan Penyerahan Peralatan Program Komuniti 2.0, di Pusat Informasi Pertanian Bandar, Batu Buruk, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, berdasarkan perancangan pada Oktober ini Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara syarikat berkenaan dengan kerajaan negeri akan diadakan, namun disebabkan situasi pandemik ia kemungkinan mengalami sedikit kelewatan. Katanya, Mc Cormick merupakan sebuah syarikat antarabangsa berpengkalan di Amerika Syarikat dan beroperasi di lebih 20 buah negara.  
29 Sep 21
925
Ceburi Kebuniti Alternatif Tambah Pendapatan
Ceburi Kebuniti Alternatif Tambah Pendapatan
KUALA TERENGGANU, 30 September - Projek Kebun Komuniti (Kebuniti) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri menjadi alternatif rakyat sama ada warga bandar dan pinggir bandar untuk menceburi bidang pertanian bagi menambah pendapatan setelah terkesan akibat pandemik Covid-19. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sehingga kini terdapat 2,800 peserta yang mengikuti prorgam berkenaan dengan peruntukan RM1.3 juta termasuk mengagihkan kit peralatan bagi membantu peserta untuk mengusahakan pertanian bandar itu. "Apa yang kita (kerajaan) hendak tekankan dalam situasi sekarang ramai diberhentikan kerja, sektor ini menjadi pilihan, jadi tidak timbul soal tiada tanah kerana boleh manfaatkan ruang tepi rumah, dewan orang ramai, masjid, balairaya atau seumpamanya. "Tidak akan jadi masalah tanah tidak konkrit atau berbatu dan sebagainya kerana boleh diusahakan melalui banyak kaedah, sama ada secara konvensional, hidroponik, fertigasi dan bermacam-macam lagi cara yang melangkaui kaedah menanam secara tradisi menggunakan tanah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas Program Penyerahan Peralatan Program Kebuniti 2.0 Dan Perasmian Kabin Tanaman Pintar di Pusat Informasi Pertanian Bandar, Batu Buruk di sini hari ini. Mengenai Program Kebuniti yang mula diperkenalkan pada tahun 2020 itu, Azman mengharapkan agar pada masa akan datang lebih ramai yang akan terlibat. "Dalam masa yang sama kita telah sematkan dalam minda bahawa pertanian ini adalah hak semua, bukan menjadi milik kelompok tertentu sahaja, semua orang layak bertani dengan skala masing-masing. "Yang paling penting sekali pertanian adalah suatu kerja yang boleh menghasilkan sumber makanan untuk kita semua," ujarnya. Katanya, jika sekalipun tidak sampai ke tahap boleh dijual, kaedah berkenaan difikirkan mampu untuk menampung keperluan sendiri, keluarga dan jiran-jiran dalam sesebuah komuniti. Mengenai Kabin Tanaman Pintar yang menggunakan teknologi kaedah 'plant factory' melalui peruntukan RM20,000 pula, katanya, ia menjadi model bagaimana pertanian boleh dibuat dalam bangunan. Sementara itu, peserta Kebuniti, Sabri Ali, 48, berkata, beliau memohon projek berkenaan sejurus mengetahuinya dan terus merujuk kepada Jabatan Pertanian Terengganu. "Alhamdulillah usaha ini boleh menambah pendapatan, bagi saya apa yang diusahakan oleh kerajaan ini merupakan langkah terbaik membantu kami yang tinggal di bandar ini dengan kapasiti tanah terbatas boleh turut bercucuk tanam," ujarnya. Manakala seorang lagi penerima, Aziz Mohd Yassin, 61, pula berkata, langkah berkenaan telah mengubah minda masyarakat yang selama ini menganggap bahawa bertani hanya boleh dilakukan melalui kaedah tradisi semata-mata. "Sekali gus menghapuskan tanggapan orang bahawa hendak bertanam perlukan kepada tanah. Apabila sebut pertanian sudah tentu kita hanya memikirkan cara demikian. "Saya sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana beri peluang untuk turut terlibat dengan projek ini, ia akan dapat menambah pendapatan saya dan juga memberi galakan kepada yang lain yang selama ini hanya bergantung kepada tanah semata-mata untuk mengusahakannya," ujarnya yang merupakan bekas guru.    
29 Sep 21
458
Peruntukan RM1.4 Juta Bina Baru Rumah Nelayan Terengganu
Peruntukan RM1.4 Juta Bina Baru Rumah Nelayan Terengganu
MARANG, 28 September - Sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan bagi pembinaan baru rumah nelayan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di negeri Terengganu tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek membina rumah berharga RM56,000 seunit itu membabitkan 25 nelayan di seluruh Terengganu. "Melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, kita telah menerima peruntukan sebanyak RM 1.4 juta untuk melaksanakan 25 buah bina baru rumah nelayan di seluruh negeri Terengganu. "Sehingga sekarang kita telah berjaya menyiapkan 12 buah rumah baru kepada nelayan termasuk di Paka, Marang, Setiu dan Besut. "Baki 13 unit lagi bina baru dijangka akan dimulakan pada tahun ini bergantung kepada situasi semasa berikutan pandemik Covid-19," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bina Baru Rumah Nelayan di bawah PKPN LKIM Terengganu di Kampung Alor Ketitir Merchang di sini hari ini. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pengarah LKIM Malaysia. Menurut Azman, selain bina baru rumah, kerajaan turut menyalurkan bantuan yang diberikan kepada nelayan berpendapatan rendah untuk membaikpulih rumah dan membangunkan penempatan semula nelayan. Mengulas lanjut, tambah beliau, ia tidak lain bertujuan untuk memberi kesejahteraan kepada keluarga nelayan agar dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa. Sementara itu, penerima rumah patuh syariah PKPN, Mohd Zulkifli berkata, penantiannya untuk memiliki rumah sejak turun ke laut pada usia 17 tahun sebagai nelayan akhirnya berakhir. Beliau sangat bersyukur atas keprihatinan kerajaan terhadap nasib para nelayan.
28 Sep 21
1689
415 Nelayan Pesisir Pantai Terima Bantuan 'Touch Point'
415 Nelayan Pesisir Pantai Terima Bantuan 'Touch Point'
DUNGUN, 24 September - Seramai 415 nelayan pesisir pantai (Zon A) di negeri ini menerima bantuan 'touch point' untuk menambah keupayaan mereka menangkap ikan dan menambah pendapatan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antara bantuan yang diberikan ialah peranti pengesan ikan (fish finder), peralatan memancing, kawat kubu dan pukat tangsi. "Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000 secara keseluruhan manakala di Kemaman diperuntukkan sebanyak RM46,000 Nelayan Zon A ini merupakan jumlah teramai berbanding Zon B dan C "Penggunaan peralatan menangkap ikan secara tradisional merupakan kaedah utama yang digunakan oleh nelayan ini. Diharapkan dengan bantuan peralatan tangkapan ikan yang diberikan ini sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan setelah menerima kesan akibat daripada penularan wabak Covid-19 di negara ini," ujarnya. Beliau berkata demikian melalui suatu kenyataan, pada Program Pelepasan Benih Ikan Serentak Seluruh Negeri, Pemyerahan Lesen Sampan Nelayan, Bantuan 'Touch point', kerja-kerja Melabuh Unjam dan Bantuan 'One Off' Covid-19 Sektor Pertanian di Dungun, baru-baru ini. Pecahan penerima bantuan berkenaan di daerah ini adalah seramai 49 penerima dengan bilangan peralatan sebanyak 164 dengan jumlah keseluruhan RM34,500. Manakala bagi daerah lain pula mengikut pecahan, Kemaman (66), Marang (78), Kuala Terengganu (40), Kuala Nerus (71), Setiu (60), Besut (51). Terdahulu Azman turut menyerahkan sebanyak 109 lesen sampan khas kepada penerima di daerah ini, yang merupakan antara yang teramai di Terengganu. Selain itu, sebanyak 40 unit unjam telah dilabuhkan di Kampung Sura yang turut memberi manfaat kepada 20 nelayan di Dungun.  
25 Sep 21
475
Nelayan Dungun Teramai Terima Lesen Sampan Khas
Nelayan Dungun Teramai Terima Lesen Sampan Khas
Oleh : Nooreni Abu Bakar & Naim Fadhilah DUNGUN, 24 September - 109 orang nelayan di Dungun menerima lesen sampan khas yang merupakan daerah teramai menerimanya di  Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata sebanyak 40 unit unjam turut dilabuhkan di Kampung Sura, Dungun.  "Untuk memberi manfaat kepada 20 nelayan, kami juga menyampaikan bantuan one-off Covid-19 kepada empat penerima termasuk nelayan, penternak dan usahawan," katanya dalam suatu kenyataan, semalam. Terdahulu beliau turut melepaskan 42,750 benih ikan di Sungai Dungun.
24 Sep 21
385
Pelepasan 440,200 Benih Ikan Manfaatkan 273 Nelayan Darat
Pelepasan 440,200 Benih Ikan Manfaatkan 273 Nelayan Darat
DUNGUN, 23 September - Pelepasan 440,200 benih ikan dan udang secara serentak seluruh negeri ke perairan umum Terengganu bakal memberi manfaat kepada 273 nelayan darat di negeri ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha yang membabitkan kos sebanyak RM141,800 dilakukan mampu menjamin kelestarian sumber perikanan darat. Katanya, program itu menjadi penutup pelepasan anak ikan daripada pelbagai spesies ikan darat pada tahun ini. "Ini menjadikan sebanyak 1.35 juta benih ikan telah dilepaskan dengan nilai RM340,000 sepanjang tahun 2021. Sumber ini kita sama-sama jaga dan pelihara agar ia membiak dan menjadi rezeki para nelayan kita. "Elakkan daripada menggunakan kaedah-kaedah tangkapan yang bertentangan yang boleh menyebabkan kerosakan dan kemusnahan seperti renjatan elektrik, bom, tuba dan sebagainya yang akan memusnahkan sumber ekologi dan sumber perikanan yang akan merugikan kesemua pihak," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Pelepasan Benih Ikan Serentak di Seluruh Negeri, di Sungai (Sg) Dungun,di Kampung Jerangau pada hari ini. Turut hadir, Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Mengulas lanjut Dr Azman berkata antara lokasi yang terlibat selain kawasan berkenaan ialah di Sg Nerus, Terengganu, Marang, Berang, Leban di Tasik Kenyir, Kertih, Empangan jajar manakala di Gerung Kampung Apal di Jabi akan dilakukan program berkenaan pada 3 Oktober ini. "Antara spesies ikan yang dilepaskan pada hari ini ialah Udang Galah, Baung, Lampam Sungai, Kelah, Sebarau, Siakap dan Haruan. "Program yang kita adakan ini adalah diantara program memperkayakan sumber perikanan bersempena Tahun Pertanian Terengganu 2021," katanya. Untuk Rekod jumlah nelayan darat yang berdaftar di negeri ini mengikut daerah ialah di Besut (39), Setiu (24), Kuala Nerus (8), Kuala Terengganu (9), Marang (10), Hulu Terengganu (34), Dungun (79) dan Kemaman (70). Sementara itu, Ghazali mengakui bahawa pihaknya menerima rungutan daripada nelayan darat setempat bahawa hasil sungai kini berkurangan tidak sebagaimana dahulu. "Sungai Jerangau ini cukup terkenal sebagai lubuk Udang Galah dan Ikan Baung, dengan usaha dilakukan kerajaan ini kita mengharapkan agar ia menjadi pemangkin kepada nelayan-nelayan yang terlibat secara langsung ini meraih pendapatan yang bertambah. "Saya bagi pihak masyarakat di sini, mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian EXCO memilih tempat ini bagi merasmikan program melepaskan benih ikan ini. "Kita minta agar nelayan mengikuti saranan kerajaan agar jangan buat tangkapan dengan cara yang salah sebagaimana dinyatakan dalam usaha memelihara sumber ikan darat ini," ujarnya.  
23 Sep 21
596
Terengganu Sasar Jadi Pengeluar Utama Susu Segar
Terengganu Sasar Jadi Pengeluar Utama Susu Segar
KUALA TERENGGANU, 21 September – Terengganu bakal memperluaskan sektor industri susu segar melalui kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sejajar dengan sasaran untuk menjadi pengeluar utama produk tenusu di Malaysia. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara terbabit telah dibincangkan melalui pertemuan kerja bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Mersing, baru-baru ini. “Saya telah menghadiri satu sesi taklimat tentang agrofood@ECER dan Pembangunan Mampan di kepulauan ECER yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat. “Dalam pada itu, ECERDC telah menandatangani Perjanjian Kerjasama untuk membangunkan projek Lembah Tenusu Jamaluang (JDV) untuk mewujudkan dan memperkembangkan industri tenusu di negara kita yang melibatkan beberapa buah negeri termasuk Terengganu,” katanya menerusi ciapan di Facebook rasminya. Sementara itu, Baidzawi menjelaskan, JDV adalah salah satu komponen Lembah Tenusu ECER yang dirancang oleh ECERDC bagi mewujudkan industri tenusu yang cekap dan mampan merentasi ECER, di Setiu, Terengganu, Pahang Barat, Lojing, Kelantan serta Jemaluang, Mersing. “Ini bertujuan meningkatkan Tahap Mampu Diri (Self-sufficiency Level – SSL) susu segar di negara ini sebanyak 40% bagi mengurangkan kebergantungan kepada susu import. “Matlamatnya adalah untuk membangunkan rantaian nilai yang kukuh merangkumi aktiviti huluan dan hiliran, termasuk pembangunan pusat-pusat pemprosesan susu. “Dengan cara ini, ECERDC menyasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan juga peluang keusahawanan dalam industri tenusu sebagai Peladang Satelit, pengedar dari rumah, dan pembekal makanan haiwan,” tambahnya.
21 Sep 21
825
279 Petani Terengganu Terima Bantuan RM650,000
279 Petani Terengganu Terima Bantuan RM650,000
Oleh : Nooreni Abu Bakar  DUNGUN, 7 September - Seramai 279 petani di seluruh Terengganu menerima pelbagai bentuk bantuan pertanian berjumlah RM650,000 daripada kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian.  Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof berkata, bantuan berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan negeri bagi membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi sektor tersebut. "Memandangkan 70 peratus rakyat Terengganu terlibat di dalam sektor pertanian, banyak masalah yang dihadapi oleh golongan ini dan kerajaan negeri amat mengambil berat," katanya.  Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Input Dan Mekanisasi Ladang oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim di Pusat Pembangunan Pertanian Jerangau di sini semalam. Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.  Dalam majlis tersebut, seramai 35 orang penerima, 29 orang dari Dungun dan sembilan orang dari Kemaman menerima bantuan dalam kategori Input Pertanian dan Mekanisasi Ladang.  Bantuan Input Pertanian merangkumi penanam cili yang terkesan akibat kejatuhan harga pada tahun 2021 (Jan-Jun 2021, mereka menerima baja fertigasi, Cocopeat, benih cili Sakata 10gm  dan Foliar.  Manakala Mekanisasi Ladang pula menerima Pam Air Diesel 3”, Pam Air Diesel 2”  dan Pam Elektrik.  Jelas Zulkepli, fokus bantuan adalah kepada peserta yang aktif dan mempunyai masalah pam air sedia ada rosak serta tidak praktikal untuk dibaiki atau tiada kemudahan pam. Dalam pada itu, penerima bantuan, Muhamad Abdullah dan rakannya, Ghani Abu Bakar yang merupakan Peserta Berkelompok Kampung Baru Kerteh bersyukur atas bantuan terbabit. "Berterima kasih sungguh kepada kakitangan Pejabat Pertanian yang sentiasa tahu apa keperluan petani," katanya yang telah menceburi bidang pertanian sejak tahun 70-an.
08 Sep 21
916
'Kalau Kemalangan Di Laut, Ibarat Mati Katak Sajalah'
'Kalau Kemalangan Di Laut, Ibarat Mati Katak Sajalah'
KEMAMAN, 7 September- "Kalau tiada lesen, ibarat kalau kemalangan di laut dan mati, kita mati katak sajalah," luah Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Kemaman, Aziz A. Razak, 59. Jelasnya, usaha kerajaan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) Terengganu mendapatkan lesen khas nelayan sampan bagi nelayan-nelayan negeri tersebut amat dihargai. Aziz A. Razak. "Bagi kita, nelayan ini memerlukan lesen kerana banyak manfaatnya, antaranya dari segi minyak subsidi, elaun sara hidup, perlindungan insuran yang dipotong dari elaun sara hidup serta urusan pinjaman bank. "Contoh, kita hendak buat pinjaman membeli pukat, kalau tiada lesen sebagai dokumentasi utama, mereka (bank) tidak akan luluskan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima lesen khas nelayan mewakili 32 nelayan Kuala Kemaman di Pantai Pangkalan Kijal, hari ini. Tambahnya, selama ini rakan-rakan nelayan terpaksa 'menumpang' kuota mereka yang memiliki lesen untuk membeli minyak secara subsidi bagi menjimatkan sedikit kos operasi ke laut. "Seperti saya yang ada kouta subsidi minyak sebanyak 6,000 liter, jadi apabila ada masa saya kurang 'turun' ke laut, bolehlah rakan-rakan meminjam kouta tersebut, jika tidak mereka terpaksa beli dengan harga komersial iaitu RM2.05 berbanding harga dengan subsidi (RM1.65)," katanya. Manakala menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kijal, Yusuf Mamat, 74,  apabila mempunyai lesen, para nelayan rasa lebih selamat dan bebas untuk menangkap ikan. Yusuf Mamat. "Tambahan pula pada musim Covid-19 ini, jika tiada lesen pihak maritim (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) tidak galakkan kita labuh sauh.  "Hari ini, saya dapat bantuan kawat bubu dan mewakili rakan-rakan nelayan Kijal sekitar 10 orang menerima lesen. Bantuan ini ringankan beban kami sedikit, jadi kalau boleh teruskan bantuan dan yang penting untuk lesen. "Terima kasih yang telah menyalurkan bantuan. Ada lagi rakan-rakan nelayan yang tak dapat dan kami memohon agar baki yang lain akan dapat (lesen) juga nanti," katanya. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, penyerahan lesen tersebut menamatkan penantian lama golongan terbabit menjadi nelayan yang sah, berlesen dan mendapat hak serta keistimewaan sebagaimana yang lain.  Dr. Azman menyerahkan lesen kepada nelayan secara pandu lalu. "Tahun ini, sebanyak 600 lesen diluluskan daripada lebih 800 yang dipohon. Dalam proses pengeluaran lesen, sebahagian mereka juga tidak memenuhi kriteria, jadi kita akan isi semula dan JPM sedang memperincikan aspek teknikal dan beberapa pemutihan yang perlu. "Lebih mudah, baki seramai 200 lebih ini insya-Allah akan dapat hak mereka setelah isu-isu teknikal dan perkara berkaitan diuruskan sebaiknya oleh JPM," katanya. Beliau yang menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Khas Nelayan Sampan secara pandu lalu itu, hari ini turut menyampaikan bantuan touch point berbentuk barangan keperluan peralatan nelayan kepada 164 nelayan tempatan. Turut hadir, ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kemaman. Dalam program berkenaan, sebanyak 45 unjam rekreasi turut dilabuhkan bagi memperkaya hasil perikanan di kawasan tersebut. Dr. Azman menyempurnakan kerja-kerja melabuh unjam di perairan Kijal, Kemaman.            
07 Sep 21
1318
Enakmen Perladangan Unggas Dilaksana Tahun Hadapan
Enakmen Perladangan Unggas Dilaksana Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 6 September – Kerajaan negeri memutuskan penguatkuasaan Enakmen Perladangan Unggas Negeri Terengganu 2015 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun hadapan bagi memastikan sektor penternakan tersebut dapat berjalan dengan lebih tersusun, sistematik dan mesra alam. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, antara bidang pertanian tumpuan kerajaan negeri dalam mencapai tahap pencukupan sara diri (SSL) adalah penternakan unggas sebagai satu daripada sumber makanan. “Oleh itu kita gerakkan, selangkah demi selangkah untuk mencapai sasaran tersebut, dari segi bekalan daripada sumber mesti dipertingkatkan. “Di bawah enakmen ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu akan memastikan sektor ini dapat berjalan bagi memastikan industri unggas maju secara mampan,” katanya ketika berucap dalam program Jerayawara Kesedaran Penternakan Unggas Siri 1, baru-baru ini. Tambahnya, beliau turut menyeru para penternak agar mematuhi dan memberi kerjasama erat kepada JPV bagi menjayakan kerja perlesenan secara tidak langsung dapat membantu penternak ke arah pertanian moden. “Ini bukan untuk membebankan penggiat pertanian dengan komitmen kewangan, tetapi untuk mengawal selia dalam masa sama bagi memacu penternak ke langkah lebih jauh,” katanya lagi. Sementara itu, Pengarah JPV Terengganu, Dr Anun Man berkata, perkembangan sektor penternakan unggas seperti ayam kampung, itik pedaging/penelur, ayam pedaging dan sebagainya bermula dengan peningkatan reban sistem tertutup dengan kapasiti besar lebih 50,000 ekor setiap ladang. “Dengan sistem berteknologi tinggi menjelang tahun 2022, pihak JPV mensasarkan sebanyak 139 premis perladangan ternakan dilesenkan dengan pelaksanaan enakmen tersebut,” jelasnya.
06 Sep 21
929