Artikel "Pertanian" Terkini
Tanam Nanas Di Tanah Terbiar, Kaut Hasil RM14.4 Juta
SETIU, 5 Disember - Projek tanaman nanas MD2 di tanah terbiar seluas 350 ekar di Kampung Pak Kancil di sini bakal memberi pulangan sebanyak RM14.4 juta pada Februari 2023.
Buat permulaan sebanyak 1.8 juta pokok MD2 akan ditanam di kawasan 60 ekar melibatkan 30,000 pokok yang akan diuruskan oleh lapan peserta terdiri daripada penduduk setempat.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek itu merupakan usahasama antara Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), Pejabat Daerah Setiu dan syarikat Ras Tanura Sdn. Bhd dengan pelaburan sebanyak RM10 juta.
Katanya, penanaman nanas berskala besar itu bakal membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat dan mampu melahirkan lebih ramai usahawan tani pada masa hadapan.
“Melalui projek sama, satu Program Usahawan Tani akan dibangunkan melibatkan penyertaan usahawan nanas dari kalangan penduduk setempat berumur 18 hingga 50 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan penawaran pendapatan tetap sebanyak RM6,000 sebulan.
“Usahawan Nanas MD2 yang menyertai selama tiga tahun bakal memperoleh pelbagai manfaat.
“Antaranya diberi sejumlah dua ekar tanah yang bertanam, jaminan hasil yang akan dibeli oleh pihak TADC dan Ras Tanura, khidmat nasihat, tunjuk ajar serta bantuan mudah cara pinjaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Penanaman Nanas MD2 hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim dan Pegawai Daerah Khidmat Pengurusan Pejabat Daerah Setiu, Rosli Latif.
Ahmad Samsuri turut memberitahu, kerajaan akan terus bekerjasama dengan pemain sektor industri pertanian dalam menjamin dasar kecukupan bekalan makanan.
“Hingga kini pelbagai bentuk bantuan, projek atau program bagi menjamin kecukupan bekalan makanan khususnya untuk rakyat Terengganu telah disalurkan,” katanya.
.
05 Dec 21
2093
Agih Bantuan Input Pertanian Elak Bebanan Lonjakan Harga Barang
SETIU, 2 Disember – Kerajaan Negeri memfokuskan pemberian Bantuan Input Pertanian berbanding subsidi dalam membangkitkan kembali para petani sektor pertanian khusus yang terkesan akibat kejatuhan harga mendadak.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan tersebut telah melibatkan lebih 400 petani berdaftar di seluruh negeri sejak 2018 secara berterusan sehingga Tahun Pertanian Terengganu 2021.
“Sebelum ini kita menghadapi isu kejatuhan harga lada secara mendadak sehingga petani kita tidak mengeluarkan hasil, dan sebahagian lada dibiarkan rosak kerana tiada pembeli.
“Kita telah peruntukkan RM300,000 khusus bagi membangunkan balik industri lada, ini mengelakkan petani habis modal dan berputus asa menyebabkan keputusan bekalan.
“Bantuan berkenaan adalah sebagai suntikan pelbagai bentuk seperti baja, racun, benih, plastik hitam, pam air dan peralatan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Projek Penternakan Rusa Nukleus di Ladang Informasi Veterinar Bari, Setiu, baru-baru ini.
Jelasnya, usaha tangani bekalan diutamakan kerana kenaikan harga sayur-sayuran dikaitkan dengan konsep bekalan dan permintaan.
“Sektor selain lada turut mengalami naik dan turun, tapi ia tidak ketara,” katanya lagi.
Terdahulu, harga borong pasaran cili antara RM5.50 hingga RM6 sebelum ini menjunam kepada RM1.50 sekilogram sejak April mengakibatkan pendapatan mereka terjejas teruk.
01 Dec 21
331
Projek Rusa Nukleus Terengganu Sasar Keluar Hasil 2023
SETIU, 29 November – Kerajaan negeri memperkenalkan Projek Penternakan Rusa Nukleus di Ladang Informasi Veterinar Bari sebagai pusat pembiakaan baka dan mensasarkan pengeluarannya untuk keperluan penternak terutama dalam negeri Terengganu pada tahun 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek itu bermula pada tahun 2020 dengan peruntukan RM240 ribu.
Katanya, dana itu digunakan untuk membangunkan kawasan berpagar seluas 20 ekar yang dibahagikan menjadi empat 'paddock'.
“Setiap 'paddock' yang dibangunkan berkeluasan lima ekar bertujuan untuk melakukan penggiliran 'paddock' bagi sumber makanan hijau rusa.
“Kini ia menempatkan 50 ekor rusa betina dan lima ekor jantan dengan kini melahirkan tujuh anak baka Timorensis, sejak September tahun ini.
“Pada tahun 2021, projek ini diteruskan dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM485 ribu merangkumi Rumah Gelap untuk pengurusan ternakan rusa, penambahan bim konkrit pada kawasan pagar luar untuk mengelakkan pencerobohan oleh babi hutan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Projek Penternakan Rusa Nukleus di Ladang Informasi Veterinar Bari di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Hilmi Harun, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif serta Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, Dr. Anun Man.
Menurut Dr Azman, kos sebanyak RM725 ribu turut digunakan bagi pembangunan satu ekar foder baru dan penyelenggaran foder sedia ada seluas enam ekar.
“Manfaat buat rakyat akan diikuti selepas kita menyelesaikan tapak pembiakan yang mencapai sasaran lebih 200 ekor rusa pada satu atau dua tahun hadapan.
“Pembangunan penternakan rusa ini dilaksanakan adalah kerana ia sebagai satu sumber penternakan alternatif dalam menyahut Dasar Jaminan Bekalan Makanan (sumber daging merah) yang mana rusa adalah sangat sesuai kerana telah diperkenalkan,” katanya lagi
Tambah Dr Azman, penternakan rusa tidak lagi asing di dalam negeri dengan lebih 50 penternak terlibat dalam sektor tersebut secara kecil-kecilan.
29 Nov 21
2014
Minimakan Impak Buruk Banjir Di Sektor Pertanian - Dr Azman
BESUT, 23 November – Kerajaan Negeri mengambil langkah meminimakan impak buruk sekiranya berlaku bencana banjir akibat musim tengkujuh serta menyeru warga tani agar terus berwaspada akan sebarang kemungkinan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antara risiko impak selesai dikurangkan seperti sektor padi yang telah selesai musim penuaian.
“Antara kebimbangan kita bila musim kedua atau padi luar musim, selalunya kita agak kesuntukan waktu kerana terpaksa berkejar dengan musim banjir.
“Namun begitu, Alhamdullilah hasil warga petani telah menyelesaikan kerja menuai dan dalam bulan Disember atau Januari tahun hadapan, musim utama dalam sektor penanaman padi dapat dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program penyerahan Bakul Makanan MAFI Prihatin Peringkat Negeri Terengganu 2021 di Dewan Sivik Jabi, semalam.
Tambah beliau, peringatan turut dikeluarkan buat warga penternak ikan terutamanya ikan air paya yang bergiat di kawasan laguna atau kuala untuk peka dengan keadaan cuaca dan sekeliling.
“Apabila berlaku hujan di kawasan tersebut, air tawar turun akan menyebabkan kadar kemasinan air di kuala menurun yang boleh menyebabkan berlaku kematian ikan ternakan.
“Perkara ini sudah dimaklumkan buat para penternak akuakultur kita, seperti bias akita akan cuba mengurangkan impak apabila berlaku bencana sedemikian.
“Walaupun tidak dapat mengelakkan bencana, kita sediakan Tabung Bencana Pertanian Terengganu bagi membantu penggiat tani yang mengalami kerosakan tanaman dan kematian ternakan akibat bencana,” katanya lagi.
23 Nov 21
277
200 Warga Tani Terima Bantuan MAFI Prihatin
BESUT 23 November – Seramai 200 orang warga petani telah menerima sumbangan bakul makanan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyerahkan bantuan MAFI Prihatin
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan berbentuk barangan keperluan harian tersebut melibatkan sumbangan pelbagai agensi pertanian.
Menurutnya, pemberian sumbangan MAFI Prihatin dilaksanakan bagi membantu mereka yang terkesan akibat musibah yang melanda negara seperti banjir dan pandemik Covid-19.
“Saya istilahkan inisiatif ini sebagai merapatkan hubungan di antara petani, penternak dan nelayan dengan jabatan-jabatan yang sebenarnya memainkan peranan besar dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan.
“Contohnya, seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Terengganu (LKIM), Kawasan Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan lain lagi agensi dibawah MAFI.
“Sehingga kini, pelbagai inisiatif dan bantuan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat telah diagihkan dari Januari hingga November tahun yang memberi manfaat kepada lebih 6,000 warga tani dengan nilai RM3 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program penyerahan Bakul Makanan MAFI Prihatin Peringkat Negeri Terengganu 2021 di Dewan Sivik Jabi, semalam.
Turut hadir, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.
Setakat Oktober, seramai 125,724 orang telah menerima bantuan MAFI Prihatin di seluruh negara melalui 626 program MAFI Prihatin yang dilaksanakan oleh jabatan serta agensi di bawah MAFI.
23 Nov 21
421
SIDANG DUN : Hampir Enam Ribu Warga Tani Nikmati Manfaat Bernilai RM3 Juta
KUALA TERENGGANU, 17 November – Pelaksanaan pelbagai program dan bantuan daripada Kerajaan Negeri dari Januari hingga November tahun ini telah memberi manfaat kepada sejumlah 5,949 orang warga tani dengan nilai RM3 juta.
Data tersebut dilaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim yang memperincikan jumlah tersebut melibatkan 3,447 orang petani.
“Disamping itu, seramai 622 penternak dan 1880 nelayan turut menerima nikmat pelbagai bantuan sejak bermulanya Tahun Pertanian Terengganu (TPT) 2021.
“Apabila tamat pelaksanaan TPT 2021 pada Januari 2022 nanti, Sekretariat TPT bertanggungjawab mengukur pencapaian dan keberkesanan kepada semua golongan sasar melalui soal selidik di lapangan.
“Sekretariat TPT turut bertanggungjawab memantau pelaksanaan serta menyediakan perancangan untuk menambahbaik Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, semalam.
Tambahnya, Terengganu turut menyediakan perancangan kearah penubuhan Perbadanan Pertanian Negeri Terengganu.
“Negeri-negeri lain yang menjadikan pertanian sebagai teras ekonomi rakyat mempunyai perancangan yang bersistematik melalui Perbadanan Pertanian Negeri.
“Terengganu juga mempunyai perancangan ke arah penubuhan Perbadanan ini melalui perancangan yang tuntas dan berbekalkan data yang tepat,” katanya lagi.
18 Nov 21
208
UniSZA Jalin Kerjasama Antarabangsa, Fokus Pembiakbakaan Jagung
KUALA NERUS, 23 Oktober – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa institusi penyelidikan dan pengajian tinggi berpusat di Mexico dalam memfokuskan bidang pembiakbakaan jagung.
Menerusi satu kenyataan, antara institusi yang menyertai adalah daripada industri utama yang terlibat dalam pembangunan biji benih dan penyelidikan berkaitan jagung di dunia.
“The International Maize and Wheat Improvement Center (CIMMYT), Colegio de Postgraduados en Ciencias Agricolas (COLPOS) dan Universidad de Guadalajara dan Pengarah Green World Genetics (GWG) yang telah berbincang sekali sejak bulan September lalu.
“Kerjasama ini adalah melibatkan penyelidikan dan pembelajaran bagi meningkatkan pengetahuan dan skil dalam bidang pembiakbakaan tumbuhan terutamanya jagung dan beberapa jenis tanaman lain.
“Antara aktiviti yang dirancang oleh kedua-dua pihak adalah sesi perkongsian pengetahuan melalui webinar antara pakar bidang daripada kedua-dua negara, perkongsian budaya Malaysia dan Mexico, latihan kepada staf dan pelajar,” katanya menerusi laman web rasmi UniSZA.
Tambahnya, kolaborasi berkaitan dengan pembiakbakaan tumbuhan, penanaman benih jagung yang akan dibekalkan oleh pihak CIMMYT di ladang UniSZA serta pembangunan bank biji benih jagung di Malaysia dengan kerjasama industri iaitu Green World Genetics (GWG).
“Semoga kerjasama ini akan berterusan dan dapat membantu pihak FBIM untuk meningkatkan pengetahuan dan teknik dalam bidang pembiakbakaan tumbuhan di disamping menjadi salah satu hub rujukan dalam bidang pertanian di pantai timur.
22 Oct 21
407
Terengganu Sasar Peningkatan Lima Peratus Hasil Ikan Zon A
KUALA NERUS, 9 Oktober – Kerajaan negeri menyasarkan pengeluaran ikan di pesisir pantai (Zon A) sekitar lima peratus sempena Tahun Pertanian 2021 selepas melaksanakan inisiatif memperkayakan sumber hasil laut tersebut di perairan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sasaran dibuat melihat kepada peningkatan sebanyak 4.8 peratus tahun 2020 masing-masing 17,266.1 tan matrik berbanding tahun 2019 sebanyak 16,462.2 tan matrik
“Bermula tahun 2018, kerajaan negeri telah mula bergiat dalam program membina dan melabuh unjam di seluruh negeri Terengganu, kenaikan hasil program memperbanyakkan sumber nelayan boleh dibuktikan dengan data terkini.
“Fokus kita adalah nelayan pantai, kerana kategori zon A ini kelompok masyarakat yang berada di bawah golongan B40.
“Sehingga kini, 188 orang nelayan di tujuh daerah mendapat manfaat program pembinaan unjam 2021 dengan 320 unit berjaya dilabuhkan dengan peruntukkan kerajaan negeri sebanyak RM160,000,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Labuh Tukun Tiruan, di perairan Tok Jembal Kuala Nerus, pagi Khamis.
Turut hadir, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab.
Menurutnya lagi, sebanyak 27 unit tukun tiruan rekreasi telah dilabuhkan pada siri jelajah keempat di Kuala Nerus, diikuti dengan Setiu (Kuala Setiu) pada 17 Oktober ini.
09 Oct 21
277
Orang Ramai Diseru Sertai Penanaman Kenaf
SETIU, 4 Oktober - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyeru orang ramai menyertai industri penanaman kenaf dalam usaha meningkatkan penghasilan produk berasaskan tanaman tersebut.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kenaf memiliki potensi tinggi untuk menjadi produk pasaran semasa melalui pelbagai penghasilan produk akhir terutama dalam industri pembuatan.
"Perkembangan industri kenaf dalam sistem binaan berindustri (IBS) ini mengurangkan kos tenaga kerja dalam industri pembuatan sehingga sekitar 20 peratus, cuma produksinya belum meluas kerana kita risau bekalan kenaf masih tidak mencukupi.
"Kita sedang menilai keperluan penggunaan kenaf dalam pembuatan rumah dan ini menjadi pelan jangka masa panjang untuk LKTN. Ketika ini, kita mempunyai tanaman kenaf seluas 2,000 hektar yang mampu digunakan bagi pembinaan 4,000 buah rumah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja Pusat Pemprosesan dan pengeluaran Produk Kenaf Saujana, di sini, hari ini.
Menurutnya, pelan pemasaran yang lebih jelas dan komprehensif perlu dilaksanakan dalam menentukan hala tuju industri berkenaan supaya pengeluaran kenaf mendapat permintaan yang tinggi.
"Bagi menggalakkan peningkatan tanaman kenaf, LKTN turut menyediakan insentif penanaman kenaf yang merangkumi bantuan bekalan biji benih, baja , input pertanian dan perkhidmatan mekanisasi dengan nilai keseluruhan sebanyak RM2,385 bagi satu hektar tanaman.
"Tanaman kenaf memerlukan kitaran selama empat bulan sebelum dituai dan pengusaha mampu mendapat sekitar RM4,000 sekali musim tuaian. Kini, kita baru ada dalam 1,000 pengusaha kenaf seluruh negara," katanya.
04 Oct 21
656
58 Unit Tukun Akan Dilabuhkan Bulan Ini
KEMAMAN, 2 Oktober - Sebanyak 58 unit tukun rekreasi dan konservasi akan dilabuhkan di perairan Terengganu sepanjang bulan Oktober ini sebagaimana perancangan Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021.
Setiap daerah yang terlibat bermula dari Kemaman sehingga Besut akan menerima sembilan tukun untuk dilabuhkan ke dasar laut bagi memperkayakan sumber dan mengawal tangkapan laut secara rekreasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Pulau Kapas menjadi lokasi pertama dilabuhkan sembilan unit tukun rekreasi kelmarin.
"Pagi ini (semalam) sepatutnya kita labuhkan lagi sembilan unit di Perairan Kemasik yang terpaksa ditangguhkan kerana keadaan tidak mengizinkan rentetan laut bergelora dengan tiupan Angin Tenggara yang berkelajuan 13 Knott.
"Paling penting kami telah berusaha untuk turun ke medan dengan tongkang yang memuatkan sembilan unit tukun seberat 17 tan dimana ia akan terus berada di sini, apabila cuaca mengizinkan, operasi akan diteruskan dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Program Melabuhkan Tukun Rekreasi di Perairan Kemaman, di sini.
Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.
Walau bagaimanapun Azman berkata, pihaknya akan tetap berusaha bagi menyelesaikan program berkenaan pada Oktober ini, walaupun mengalami sedikit kekangan.
"Kiranya misi di sini tertangguh seketika, terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi iaitu ADUN Chukai, Kemasik, Jabatan Perikanan dan Pertanian serta semua yang telah bersama pada hari ini,"ujarnya.
Untuk rekod, program memperkayakan hasil laut sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021 itu membabitkan peruntukan sebanyak RM 1.2 juta oleh kerajaan negeri, dan RM300,000 oleh Kerajaan Persekutuan meliputi aktiviti melabuhkan tukun dan juga unjam. Foto - Hafiz Muhammad.
01 Oct 21
365