lightning-solid
Berita :

Artikel "Pertanian" Terkini

50 Pesawah Terengganu Terima Benih Padi Baka Mutasi
50 Pesawah Terengganu Terima Benih Padi Baka Mutasi
KUALA TERENGGANU, 3 Jun- Sebanyak 200 beg benih padi IS21 disumbangkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) kepada 50 pesawah kawasan Kuala Terengganu bagi membantu meningkatkan pengeluaran hasil padi dalam negeri. Menurut Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim, benih padi IS21 yang dijenamakan semula daripada benih NMR152 melalui kajian biak baka mutasi aruhan sinaran gama itu merupakan pencapaian terbaik dihasilkan Nuklear Malaysia bagi meningkatkan pengeluaran sara diri (SSL) padi negara. "Ini adalah satu kejayaan besar kerana benih padi ini mampu memberi bilangan tanih pengeluaran yang banyak. "Untuk makluman, antara masalah besar dalam pertanian adalah baja dan racun serangga dan kalau kita dapat kurangkan kebergantungan kepada kedua-duanya melalui jenis benih padi IS21 kita akan dapat menyelesaikan sedikit sebanyak masalah pengeluaran makanan ruji kita iaitu beras," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyeraha Benih Padi IS21 kepada pesawah Pertubuhan Peladang kawasan Kuala Terengganu di Kampung Kubang Tangga, baru-baru ini. Turut hadir, Timbalan Ketuas Setiausaha Pembangunan Teknologi MOSTI; Datuk Ts. Dr. Mohd Noor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan Sains MOSTI; Dr. Nagulendran A/L Kangayatkarusu, Ketua Pengara Nuklear Malaysia; Dr. Abdul Rahim Harun dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kuala Terengganu; Abdullah Bakar. Tambah Ahmad Amzad, benih padi berkenaan mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca ekstrem dan mempunyai daya rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering merugikan pesawah. Setakat ini, benih padi tersebut telah diagihkan di beberapa kawasan di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Kelantan, Melaka dan Perlis melibatkan enam peratus daripada kawasan bertanam di Semenanjung Malysia dengan kuota pengeluaran benih sebanyak 4,700 metrik tan setahun. "Daripada maklum balas yang diterima, benih padi ini amat bagus dan diyakini akan dapat sambutan, jadi kita harap pasaran bagi jenis IS21 ini akan meningkat pada masa akan datang. "Negara kita perlu tingkatkan produktiviti makanan ruji kita. Kalau kita dapat tingkatkan hingga sembilan atau sepuluh tan bagi setiap hektar, saya rasa kita boleh tingkatkan pengeluaran kita kerana berdasarkan rekod, pengeluaran padi negara ketika ini adalah sekitar 70 peratus," katanya. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa MOSTI turut diberi kepercayaan membantu mengatasi krisis pengeluaran ayam dan telur yang berlaku ketika ini.  "Selain teknologi yang kita aplikasikan dalam pertanian iaitu penggunaan teknologi dron dalam penyemburan baja dan racun serangga, kita juga diberi tugas berkait masalah sektor penternakan ayam, "Antara yang diusahakan ialah pengurusan baja menggunakan 'black soldier fly' yang sedang diusahakan untuk menghasilkan protien tinggi dalam makanan ternakan. "Selain itu, kita juga dicadang mengadakan stok penimbal berhubung bekalan ayam dan kita akan lihat bagaimana untuk bantu, terutama dari segi ruang penyimpanan yang dioptimumkan," katanya.              
07 Jun 22
454
Guna Teknologi IoT Dalam Penanaman Cili
Guna Teknologi IoT Dalam Penanaman Cili
KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Bahagian Perladangan (TDMP) dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat menggunakan teknologi pertanian pintar Internet of Things (IoT) dalam projek tanaman cili. Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, PPK Kuala Langat telah menyemai 20,000 polibeg cili yang ditanam melalui teknik IoT iaitu dengan sistem bantuan penderia dan mengautomasikan sistem pengairan. Katanya, teknik itu menjanjikan hasil berkualiti premium dan meningkatkan hasil pengeluaran serta pada yang sama mengurangkan kos operasi. "Projek penanaman cili siap guna ini dijalankan juga bagi mengoptimumkan kawasan berpotensi dan memanfaat aset sedia syarikat bermula dengan lima ekar atau dua hektar tanah di Ladang Tayor dan akan diperluas sehingga 200 ekar menjelang tahun 2025. "Kami ingin memanfaatkan peluang ini dengan kepakaran PPK Kuala Langat  dalam perniagaan pertanian, khususnya penanaman cili, memaksimumkan hasil mengikut keluasan tanah sambil turut menyumbang kepada jaminan dan bekalan makanan di Malaysia," ujarnya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berharap dapat melihat lebih banyak lagi kerjasama tersebut dalam usaha memacu sektor pertanian kehadapan. “Saya merakamkan sekalung tahniah  kepada TDMP kerana memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaminan makanan tempatan melalui kerjasama berimpak bersama rakan industri yang berpengalaman," katanya kepada media selepas merasmikan Projek Usahawan Tanaman Cili TDMP dan PPK Kuala Langat baru-baru ini.      
03 Jun 22
698
Kerajaan Sasar Tingkatkan Hasil Pertanian, Penternakan
Kerajaan Sasar Tingkatkan Hasil Pertanian, Penternakan
SETIU, 20 Mei - Kerajaan negeri menyasarkan peningkatan pengeluaran hasil daripada sektor pertanian dan penternakan Terengganu pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata peningkatan hasil tersebut sedikit sebanyak mampu mengurangkan kebergantungan sumber makanan terhadap hasil dari luar.  “Sehingga hari ini, petani Terengganu berupaya hasilkan 56 peratus padi tempatan sebagai makanan ruji dan selebihnya kita memerlukan dari luar. “Ibaratnya seramai lima daripada 10 orang boleh makan beras tempatan, selebihnya perlu beli dari luar. “Selain padi tempatan itu, hasil daging tempatan pula sebanyak 30 peratus dan ayam pedaging (64 peratus),” katanya dalam Perasmian Majlis Penyerahan Sumbangan Pendapatan Daripada Projek Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu semalam. Turut hadir Pengarah JPV Terengganu, Dr Anum Man dan Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh.  Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut merasmikan pengagihan sumbangan wang tunai RM350 hasil projek JPV kepada 60 peserta e-Kaseh dari Besut dan Setiu di Dewan Sivik Jabi.
20 May 22
518
Kerajaan Agih RM84,000 Kepada Penternak
Kerajaan Agih RM84,000 Kepada Penternak
SETIU, 20 Mei – Kerajaan negeri akan mengagihkan RM84,000 hasil daripada projek penternakan kepada 240 peserta e-Kaseh bagi semua daerah. Buat permulaan seramai 60 orang Peserta e-Kaseh menerima bantuan sebanyak RM350 seorang dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Pendapatan Daripada Projek Ternakan di Bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata 60 penternak dari Besut dan Setiu menerima bantuan tersebut di Dewan Sivik Jabi. “Hari ini kita mulakan untuk daerah Besut dan Setiu seramai 60 orang, iaitu 30 orang bagi setiap daerah. “Dijangka pada 25 Mei bagi agihan terakhir untuk daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu di Dataran Kaprima Jabatan Perkhidmatan Verterinar Negeri Terengganu,” katanya kepada pemberita. Katanya, dana hasil daripada projek ternakan tersebut antaranya ternakan ayam pedaging secara reban tertutup, lembah kamprima iaitu penternakan kambing dan lembu pedaging secara integrasi di ladang sawit. "Kesemua projek ini hasil keuntungan yang dipulangkan balik kepada penternak-penternak yang berada dalam senarai e-Kaseh. "Saya berharap bantuan yang diagihkan boleh meringankan beban kepada para peserta," katanya.
20 May 22
305
Kerajaan Terengganu Sokong Rakyat Usahakan Ayam Telur
Kerajaan Terengganu Sokong Rakyat Usahakan Ayam Telur
SETIU, 20 Mei - Kerajaan negeri mengalu-alukan rakyat yang berminat untuk mengusahakan ternakan ayam telur bagi meningkatkan hasil sumber makanan.   Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata Terengganu masih belum ada penternak ayam telur sehingga hari ini.  “Hasil telur ayam daripada negeri Terengganu adalah kosong peratus, bermakna kita bergantung sepenuhnya hasil dari luar. “Kerajaan membuka peluang kepada sesiapa yang berminat mengusahakan penternakan ayam telur dengan menyediakan tanah penternakan di Setiu. “Sekiranya ada pemain yang berminat, kita akan bantu mendapatkan bantuan pembinaan reban melalui kerajaan negeri,” katanya dalam Perasmian Majlis Penyerahan Sumbangan Pendapatan Daripada Projek Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu semalam. Beliau turut berkata kerajaan negeri sentiasa menyasarkan peningkatan pengeluaran hasil bagi sektor pertanian dan penternakan.  Terdahulu beliau menyempurnakan pelepasan lebih 30,000 benih ikan dan udang galah di Tasik Telabak, Durian Telur dalam usaha membantu meningkatkan hasil buat nelayan darat. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut merasmikan pengagihan sumbangan wang tunai RM350 hasil projek JPV kepada 60 peserta e-Kaseh dari Besut dan Setiu di Dewan Sivik Jabi.  
20 May 22
710
Dua Program Mega Gegarkan Bumi Jabi Bulan Hadapan
Dua Program Mega Gegarkan Bumi Jabi Bulan Hadapan
BESUT, 12 Mei – Dua program mega bakal menggegarkan bumi Jabi, Besut yang mensasarkan kehadiran ribuan pengunjung seluruh Malaysia pada bulan hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu (HPPNNT) bakal kembali ke Dataran Pekan Jabi disusuli dengan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur (HLSPT) setelah dua tahun tidak dapat dilaksanakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). ‘’ Antara sebab Dataran Pekan Jabi menjadi pilihan sebagai tuan rumah kerana sudah tersedia dengan infra untuk acara seumpama ini. Kerajaan sudah keluarkan belanja untuk menyediakan infra ini dan ianya boleh digunakan berulang-ulang. Ini boleh menjimatkan kos, ‘’ Walaupun Jabi DUN Exco Pertanian, di sini tak ada tanah untuk kita buat projek pertanian dan tak ada laut untuk program nelayan dan perikanan. Jabi antara kawasan yang paling sedikit peruntukan pertanian diturunkan. Ada program mega seperti ini menghadirkan sedikit kecerian di sini. Pelbagai projek dan program kita sudah agihkan ke seluruh negeri. Semua dah ada bahagian masing-masing.’’ Jelasnya. ‘’ Antaranya labuh tukun, labuh unjam, jeti nelayan, bilik sejuk, ‘slip way’, empangan pengairan, rumah sembelihan, perumahan nelayan, kilang padi, kilang proses beras, projek pembenihan ikan marin, bantuan ‘one-off’ nelayan, kit peralatan menangkap ikan. ''Lesen sampan nelayan, projek pembangunan tanah terbiar, projek lembu semi fidlot, tapak semaian, ladang nenas MD2, projek pertanian bandar, halaqah veterinar, seminar durian, hari terbuka Jabatan Pertanian, projek lada hitam, projek tanaman musang king, projek kambing tenusu, kilang memproses susu, projek tanaman napier dan macam-macam lagi. ‘’ Semua projek dan program yang disenaraikan tiada satu pun rezeki orang Jabi. Kita agihkan ke serata negeri supaya pakat rasa sikit sorang. Harap boleh berlapang dada bila ada satu dua program mega seperti HPPNNT pada 23-25 Jun dan HLSPT  30 jun sehingga 2 julai 2022 ini. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pelancaran Halaqah Veterinar di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, walaupun ini program kerajaan, tapi kejayaannya didokong oleh lebih 50% tenaga tempatan dari segi persiapan tempat, keselamatan, lalu lintas, makan minum dan lain-lain lagi. ‘’ Kami mempunyai petugas sukarela yang sanggup berjaga malam berhari-hari di Jabi demi kejayaan program. Tambahnya, program-program pertanian ini dibawa ke kawasan luar bandar seperti Jabi kerana di pusat bandar seperti Kuala Terengganu sudah banyak pelbagai acara dianjurkan. ‘’ Setakat ini kejayaannya sangat membanggakan walaupun sebuah DUN luar bandar yang jadi tuan rumah dan ianya lebih dekat dengan rakyat. ‘’ Malah, bajet DUN Jabi turut digunakan untuk menampung sebahagian kos program. Ini kebersamaan kami untuk menjayakan program dan walaupun Jabi tuan rumah, ruang berniaga dibuka untuk penyertaan dari seluruh negeri. Sayang semua  rakyat kita. Jemput datang semua. Kecik tapak tangan, Dataran Pekan Jabi kami tadahkan.’’
12 May 22
915
Terengganu Negeri Pertama Bagi Amalan Pertanian Baik
Terengganu Negeri Pertama Bagi Amalan Pertanian Baik
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Terengganu berjaya meraih tempat pertama dalam Malaysia dari aspek kejayaan Program Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGap) dan (MyOrganic) pada tahun 2021.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata, kejayan itu membanggakan seluruh rakyat Terengganu. “Semua kejayan yang diraih ini dapat dikecapi dengan usaha, kesungguhan dan penat lelah pasukan petani-petani Terengganu kita,” katanya.  Beliau berkata demikian di laman sosial ‘facebook’ miliknya pada hari ini.   Dalam perkembangan berkaitan, pada 4 Ogos 2019, Kerajaan negeri telah merangka 128 program pertanian dalam tempoh lima tahun menerusi Pelan Strategik Hala Tuju Pertanian Terengganu hingga tahun 2023.  Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri berkata, penggarisan enam teras strategik yang mengandungi keseluruhan 61 strategi telah dirancang dalam masa tempoh lima tahun tersebut.  “Fasa pemulihan pelbagai kemudahan infrastruktur pertanian dan asas tani sedia ada merupakan pendekatan yang difokuskan pada tahun 2019,” ujarnya.
12 May 22
567
Bekalan Barangan Basah Cukup Menjelang Raya
Bekalan Barangan Basah Cukup Menjelang Raya
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan barangan basah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran mencukupi menjelang Hari Raya Aidilfitri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rakyat tidak perlu bimbang mengenai perkara itu. "Kita menjangkakan tidak akan berlaku situasi di luar jangkaan melihat kepada keadaan yang ada serta usaha yang telah dijalankan bagi mencukupkan segala barangan keperluan termasuk membawa masuk sayur dari luar. "Dengan penyelesaian ini kita mengharapkan agar lebaran pada kali ini dapat disambut dengan baik dan meriah serta tidak akan menjejaskan persiapan untuk menyambutnya lebih-lebih lagi ramai perantau dijangka akan pulang ke Terengganu setelah diberikan kelonggaran," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Pasar payang Kuala Terengganu, di sini, pada hari ini. Turut hadir, Pengarah KPDHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof. Mengulas mengenai tinjauan itu, Dr Azman berkata ia bertujuan untuk memastikan barangan keperluan mencukupi bagi memenuhi permintaan rakyat serta harga dipamerkan adalah berpatutan sepanjang ramadan dan Aidilfitri yang bakal disambut nanti. "Kesemua peniaga mematuhi penetapan harga Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) insya-Allah perkara ini akan dipastikan berkekalan dengan pemantauan berterusan oleh penguatkuasa," ujarnya.  
25 Apr 22
333
Kilang Tepung Ubi Vitato Terbiar Bakal Pulih
Kilang Tepung Ubi Vitato Terbiar Bakal Pulih
BESUT, 10 April - Kerajaan negeri berhasrat memulihkan kembali kilang Tepung Ubi Vitato yang terbiar sejak tahun 2012. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pelan pemulihan yang lebih teliti akan digerakkan dengan menyemak faktor-faktor kegagalan. "Kos pembinaannya adalah RM4.8 juta merupakan jumlah yang sangat besar dan sayang apabila ia terbiar begitu sahaja tanpa dimanfaatkan, oleh kerana itu kita telah melihat beberapa perkara secara asas yang menjadi punca kenapa kilang ini tidak boleh berfungsi dengan baik untuk diselesaikan. "Terdapat beberapa langkah yang akan kita ambil bagi memajukan kembali kilang ini, sebelum itu kita akan melakukan perbincangkan terlebih dahulu dari segi isu pentadbiran dan pemilikan untuk diperkemaskan semula secara khusus kemudian tindakan seterusnya akan dilakukan. "Bersama dengan pemilih tanah dan agensi yang terlibat ketika dibangunkan kilang ini iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang Mardi, Jabatan Pertanian dan IADA Ketara  dengan penyelarasan bertindak daripada kerajaan negeri," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan lawatan di kilang berkenaan, di Kampung Pengkalan Kubor, Tembila, di sini, pada hari ini. Turut hadir, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof. Mengulas lanjut, Dr Azman berkata kerajaan sangat optimis projek itu akan dapat dipulihkan serta akan memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini khususnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan. "Ia telah menjadi hasrat dan cita-cita kerajaan negeri sejak tahun 2018 yang telah kita senaraikan sebagai salah satu projek yang tidak mencapai objektif yang perlu kita pulihkan," ujarnya lagi.    
10 Apr 22
1229
Kerajaan Berusaha Penuhi Permintaan Tinggi Melon Manis Terengganu
Kerajaan Berusaha Penuhi Permintaan Tinggi Melon Manis Terengganu
BESUT, 11 April- Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pertanian negeri berusaha bagi memastikan Melon Manis Terengganu (MMT) mencukupi bagi memenuhi permintaan tinggi pengemarnya di seluruh negara. Pengarahnya, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof berkata, walaupun jumlah pengeluarannya pada tahun ini mencapai 250 metrik tan namun ia masih belum mencukupi bagi menampung jumlah permintaan yang terus meningkat, sejak ia mula dipasarkan di 'hyper market dan 'supermarket' dalam negara. "Jabatan Pertanian berusaha memperbanyakkan lagi usaha pengeluaran MMT dalam memastikan ia boleh mengeluarkan hasil yang banyak melalui 127 orang pengusaha yang ada di seluruh Terengganu. "Koperasi Melon Manis Terengganu (KOPMET) akan mengatur jadual penanaman supaya ia dapat dikeluarkan sepanjang tahun membabitkan seluruh daerah yang terlibat dengan tanaman ini supaya peningkatannya bersesuaian dengan permintaan pasaran. "MMT telah menjadi ikon buah di supermarket seluruh negara dan menjadikan ia sangat popular, dengan pasaran yang cukup baik ini saya menggalakkan ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat swasta menceburi bidang ini agar secara tidak langsung peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya kepada belia akan dapat diwujudkan," katanya. Beliau berkata demikian keika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika mengadakan lawatan ke Tapak Projek PRE-Tanaman Fertigasi MMT, di Pengkalan Kubor, di sini baru-baru ini. Lawatan yang diadakan secara 'walkabout' itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim. Dalam pada itu Zulkepli berkata,rakyat khususnya belia di negeri ini juga digalakkan untuk mengusaha tanaman berkenaan dalam usaha kerajaan meningkatkan hasil pengeluaran. "Terdapat inisiatif disediakan untuk membantu mereka dengan kita menyediakan pakej pinjaman mudah melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) di mana mereka perlu mengikuti kursus serta mendapatkan pendedahan dan perlu juga mendapatkan nasihat daripada mereka yang telah berjaya,"katanya. Sementara itu, Dr. Azman berkata, MMT mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjana pulangan yang lumayan walaupun kosnya penanamannya agak besar. "Disebabkan itu, ia menjadi sebahagian daripada program pembangunan di tanah terbiar yang menjadi sasaran kerajaan negeri dan kita juga telah mengadakan perbincangan untuk mendapatkan pensijilan MyGAP supaya produk ini boleh menembusi pasaraya-pasaraya ternama untuk dipasarkan,"ujarnya.
10 Apr 22
862