Artikel "Pertanian" Terkini
Jualan Terus Dari Ladang Bantu Rakyat
KUALA NERUS, 28 Julai - Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) membantu rakyat dalam membeli barangan keperluan asas dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hilmi Dato’ Harun berkata program berkenaan juga dapat membantu usahawan dan peniaga kecil untuk mengembangkan lagi produk mereka.
Katanya, usahasama kerajaan negeri dan FAMA di Pasaraya Mydin Gong Badak itu akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 28 hingga 30 Julai 2022.
“Sasaran jualan selama tiga hari ini dianggarkan sebanyak RM150 ribu serta harga jualan dikurangkan sebanyak 5 hingga 15 persen kepada pembeli,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Jualan Terus Dari Ladang dan Pesta Orkid semalam.
Turut hadir Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Nukman Hashim.
Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan kepada pengunjung yang hadir seperti pertandingan sukan rakyat, pertandingan gubahan bunga dan flora, mewarna batik dan pelbagai lagi.
Nukman Hashim memaklumkan bahawa sambutan dari segi usahawan memberangsangkan dan mereka sentiasa ingin mengikuti program FAMA setiap kali diadakan kerana banyak memberi manfaat dan faedah kepada mereka.
“Antara jualan di program JTDL hari ini adalah jualan buah-buahan tempatan, jualan produk industri makanan, jualan pokok bunga ros serta pelbagai lagi dan pengunjung dapat membeli barangan tersebut dengan harga yang sangat berpatutan,” katanya.
28 Jul 22
477
Kerajaan Tambah Baik Projek Melon Manis – Dr Azman
KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Kerajaan negeri akan menambah baik projek Melon Manis Terengganu (MMT) bagi menghasilkan kualiti terbaik disebabkan permintaan terhadap MMT makin meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, antara pembaharuan yang dilakukan ialah penggunaan teknologi terkini.
Katanya, rakyat perlu diberikan kefahaman tentang pemindahan teknologi kerana penggunaan teknologi baharu dalam sektor pertanian terutamanya penanaman melon manis bukan perkara asing.
"Antara usaha yang dibuat oleh Jabatan Pertanian untuk mencapai target 250 metrik tan adalah pemulihan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
"Hal ini kerana melon manis ini perlu ditanam dalam tempat yang tertutup (close system) menggunakan struktur pelindung hujan yang perlu melalui proses pemulihan.
“Oleh itu, kita nak kembangkan secara perkara ini secara berperingkat dan kalau kita lihat dalam kalangan peserta tadi, sebahagian besarnya adalah orang muda yang kebiasaaanya berpendidikan, bercita-cita dan sedia untuk belajar ilmu-ilmu baharu.
“Hal ini sebenarnya adalah satu kelebihan kepada kerajaan Negeri Terengganu apabila sektor pertanian ini banyak diceburi oleh orang muda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika menghadiri Seminar Melon Manis Terengganu Tahun 2022 bertempat di Dewan Seri Kenari, Batu Buruk semalam.
Menurut Dr Azman, sehingga bulan Jun 2022, negeri Terengganu mengeluarkan sebanyak 100 tan metrik dgn nilai anggaran RM800 ribu.
Oleh itu katanya, nilaian Melon Manis Terengganu hampir mencecah jutaan ringgit di pasaran luar dan dalam negara.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof berkata, jumlah pengeluaran pada tahun ini mencapai 250 metrik tan namun ia masih belum mencukupi bagi menampung jumlah permintaan yang terus meningkat, sejak ia mula dipasarkan di 'hyper market dan 'supermarket' dalam negara.
"Jabatan Pertanian berusaha memperbanyakkan lagi usaha pengeluaran MMT dalam memastikan ia boleh mengeluarkan hasil yang banyak melalui 127 orang pengusaha yang ada di seluruh Terengganu,” ujarnya.
27 Jul 22
270
432,000 Anak Penyu Dilepas Ke Laut
KUALA TERENGGANU, 26 Julai- Sebanyak 432,000 anak penyu telah dilepaskan ke perairan Terengganu oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, jumlah tersebut merupakan hasil penetasan yang berjaya dilepaskan daripada program pengeraman 582,000 telur penyu pada tahun 2021.
"Kalau ikut statistik umum, daripada 1,000 ekor yang dilepaskan ke laut, seekor akan kembali ke pantai ia menetas.
"Jadi, dengan program ini kita mengharapkan sekurang-kurang 432 ekor penyu akan balik ke tempat ia menetas iaitu di sini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat berkaitan tindakan kerajaan negeri dalam meningkatkan pendaratan penyu di perairan Terengganu dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, program berkenaan merupakan salah satu daripada usaha kerajaan negeri meningkatjan pendaratan penyu di pantai Terengganu.
Dr. Azman memaklumkan, pada 2021 sebanyak 7,378 sarang pendaratan penyu direkodkan yang menunjukkan tidak berlaku kekurangan pendaratan penyu di pantai Terengganu.
"Selain itu, apabila dikuatkuasakan enakmen Pemuliharaan Penyu 1991 pindaan 2021 yang mengharamkan penjualan semua jenis telur penyu, maka jabatan (perikanan) membeli semua telur dari pemajak untuk tujuan penetasan.
"Bagi tahun 2022, peruntukan bagi pembelian telur penyu ini dinaikkan daripada RM600 ribu (2021) kepada RM900 ribu," katanya.
26 Jul 22
360
Kerajaan Salur RM100 Ribu Buat Penternak Ruminan
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 sebagai bayaran insentif bernilai RM100 seorang kepada 1,000 penternak ruminan tradisional dan berskala kecil.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata insentif itu dapat membantu golongan penternak yang terus cekal menternak bagi membekalkan bekalan daging kepada rakyat.
“Kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian terhadap rungutan yang disuarakan oleh para penternak berkaitan kutipan fi Prosedur Permohonan Pindah atau Sembelihan Luar daripada Rumah Sembelih yang dikenakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, kutipan fi sebanyak RM35 bagi kebenaran atau permit sembelih luar daripada rumah sembelihan, telah diwartakan di seluruh negara sejak tahun 2009 di bawah seksyen 82 Akta Binatang 1953 [Akta 647] (Penetapan Pusat Veterinar dan Fi Bagi Perkhidmatan Lain).
“Cuma dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lepas, kerajaan negeri memberi pertimbangan untuk tidak menguatkuasakannya setelah mengambil kira situasi yang sedang dilalui oleh rakyat," katanya.
Tambah Dr Azman Prosedur ini ditetapkan dalam usaha memastikan ternakan yang disembelih bebas daripada sebarang penyakit serta menjamin keselamatan daging sembelihan.
29 Jun 22
449
'Suria' Antara Tarikan Ke HPPNT2022
SETIU, 24 Jun - Seekor gajah betina yang dikenali sebagai 'Suria' antara yang menjadi daya tarikan pungunjung di Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu 2022 (HPPNT) yang membuka tirainya semalam.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka Hulu Terengganu, Jimmy Anak Unau berkata, 'Suria' merupakan gajah denak yang telah dilatih untuk memudahkan operasi pemindahan gajah liar yang ditangkap seluruh semenanjung.
"Lebih 60 operasi pemindahan gajah liar melibatkan 'Suria' yang berusia 22 tahun ini dan kebiasaan bergandingan dengan 'Abot' dan 'Kala'," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di khemah pameran Jabatan Perhilitan.
Program yang berlangsung selama tiga hari tu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan kehadiran Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Dr. Ronald Kiandee pada semalam.
Tambahnya lagi, orang ramai boleh bergambar bersama 'Suria' dengan dipantau oleh pasukan Jabatan Perhilitan yang sentiasa berada di tapak program 24 jam.
HPPNT 2022 turut menarik perhatian pengunjung dengan pameran rangka ikan paus spesis Sei atau nama saintifiknya 'Balaenoptera Borealis' disamping diadakan pameran Jabatan dan agensi terbabit serta jualan produk makanan dan agro.
24 Jun 22
915
Terengganu Dipilih Untuk Tanam Jagung Bijirin
KUALA TERENGGANU, 15 Jun- Kawasan seluas 12,140 hektar di Terengganu dan Kelantan telah dikenalpasti oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk diusahakan tanaman jagung bijirin.
NAFAS bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan memulakan projek berkenaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan penternak ayam di negara ini terhadap bekalan makanan import untuk haiwan ternakan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembabitan kerjasama dua pihak tersebut diyakini berupaya menjamin sekuriti makanan negara selain turut menyasarkan menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran 144 juta ekor ternakan setahun, manakala 30 juta lagi dikeluarkan oleh ANGKASA.
Jelasnya, dua pihak berkenaan akan terlibat secara langsung dalam ekosistem industri ayam.
"Bermula daripada anak ayam, bekalan makanan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga memastikan bekalan sampai kepada pengguna," katanya dalam suatu kenyataan, semalam.
Beliau turut memaklumkan telah bertemu Ahli Jemaah Pengarah NAFAS dan Anggota Lembaga ANGKASA bagi membincangkan langkah untuk menjamin sekuriti makanan negara.
Dalam pada itu katanya, ANGKASA juga sudah mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dimana setiap hektar yang diusahakan itu mampu mengelurkan lima tan jagung bijirin.
Justeru katanya, langkah itu berupaya untuk membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam yang selama ini dijual di pasaran pada kadar yang tinggi kerana bekalan makanan kepada haiwan ternak yang diimport itu berlaku peningkatan.
15 Jun 22
1353
Terengganu Hasilkan Silaj, Baja Kompos Dari Rumput Napier
SETIU, 13 Jun - Rumput Napier di Terengganu bakal memberi manfaat berganda kepada negeri serta golongan tani apabila tanaman itu boleh dijadikan silaj dan baja kompos untuk makanan ternakan dan pemulihan tanah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, silaj dan baja kompos itu kemudiannya akan diproses bagi pemulihan tanah untuk projek penanaman lada hitam syarikat McCormick di Lembah Bidong.
"Projek ini bukan hanya melibatkan TADC, tetapi dalam masa yang sama melibatkan usahawan-usahawan tempatan melalui terma-terma perjanjian yang telah ditetapkan. Di antaranya adalah, mereka akan membekalkan rumput yang ditanam itu kepada TADC untuk dijadikan makanan ternakan dan baja kompos ini.
"Dengan adanya projek ini, kita harap rakyat setempat mampu mengambil sebanyak mungkin manfaat yang ada.
"Dalam masa sama, projek di bawah Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu sebanyak 18 projek ini dapat menyokong di antara satu sama lain kerana di antara salah satu projek ini, kita ada juga penternakan kambing tenusu, sekaligus memerlukan sumber pemakanan dari projek ini.
"Rantaian yang dapat kita lihat berdasarkan projek ini adalah saling melengkapi antara satu sama lain," katanya ketika ditemu bual semasa Majlis Perasmian Projek Ladang Rumput Napier dan Kompos bertempat di Kampung Setia Jaya, Merang, semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Terengganu Agrotech Development Corp Sdn.Bhd (TADC), Azhar @ Wahab Jusoh memaklumkan, setiap usahawan akan diberikan lima ekar tanah untuk diusahakan ladang rumput napier.
Katanya, dianggarkan 20 metrik tan hasil dapat dituai dalam jangka masa 40 hingga 45 hari untuk seekar tanah.
"Selain bahan asas seperti baja, racun dan benih akan dibekalkan oleh TADC, kita juga akan membeli hasil ini dengan harga rm80/metrik tan. Para pengusaha tidak perlu untuk mengeluarkan sebarang modal untuk mengusahakan projek ini.
"Paling menarik, sebanyak RM8,000 akan dibayar untuk usahawan yang mengusahakan lima ekar tanah bersamaan dengan hasil yang dapat dituai selama 45 hari sekali gus dapat mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan yang membelenggu rakyat negeri ini," katanya.
13 Jun 22
1811
Terengganu Gerakkan Kempen 'Cakna Penyu'
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Kerajaan negeri menggerakkan kempen Cakna Penyu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya memelihara haiwan ikonik yang menjadi salah satu tarikan utama pelancong ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kempen berkenaan mampu menimbulkan rasa bertanggungjawab untuk sama-sama menjaga penyu yang semakin mengalami kepupusan.
"Ia juga untuk menghebahkan kepada masyarakat tentang penguatkuasaan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) mengenai pengharaman penjualan serta memiliki telur semua jenis penyu yang telah dikuatkuasakan bermula pada 1 Jun baru-baru ini.
"Kerajaan juga tidak membenarkan apa jua aktiviti pelancongan yang membabitkan penyu sama ada menyentuh, berenang bersama, memberi makan kepada haiwan tersebut dan sebagainya kerana dalam Seksyen 7A (11) Enakmen Penyu 1951 juga memberi peringatan tiada sesiapa boleh mengiklan, mempromosi atau mempamerkan penyu dan telurnya dalam apa-apa bentuk medium kecuali bagi tujuan pemuliharaan dan mendapat kebenaran.
"Beberapa pindaan kepada larangan memiliki telur penyu ini juga telah dinaikkan kadar dendanya dari RM3,000 ke RM50,000 sehingga RM250,0000 atau penjara tidak kurang dari satu tahun atau kedua-duanyanya sekali," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Penyu Negeri Terengganu 'Cakna Penyu' di Galeri Jambatan Angkat (Drawbridge), di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat serta Pengarah Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof.
Kata Dr Azman, kerajaan negeri juga konsisten mengadakan penguatkuasaan bagi menangani masalah kematian penyu yang berlaku saban tahun.
Laporan kematian penyu bagi tahun ini sejak Januari hingga Jun dilaporkan sebanyak 41 ekor.
Jabatan Perikanan turut mengambil inisiatif mengadakan rondaan di laut melalui Ops Penyu bagi mengesan penggunaan pukat tunda, pukat pari dan penggunaan alat Peranti Penyisih Penyu (TED).
Operasi tersebut telah membawa kepada kejayaan menahan tiga buah bot yang salah satunya ditemui penyu terperangkap dalam pukat tunda.
"Bagi usaha memelihara ikon negeri Terengganu ini juga kerajaan membelanjakan lebih RM500,000, iaitu belanja mengurus sebanyak RM400,000 bagi membayar upah kepada pekerja penyu, pembelian telur penyu daripada pemajak manakala sebanyak RM240,000 diperuntukkan untuk pembangunan telah disalurkan kepada Jabatan Perikanan untuk menaiktaraf Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang," ujarnya.
Selain itu menurut beliau, kerajaan persekutuan juga telah memperuntukkan sebanyak RM210,000 untuk pengurusan penyu dan pembaikian hatcheri di negeri ini.
"Saya juga ingin berterima kasih kepada kesemua rakan strategik kita membabitkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Lang Tengah Turtle Watch, World Wide Fund (WWF), FUZE ECOTEER, Kapas Community, Bubble Dive dan Terengganu Silica yang telibat bersama kerajaan negeri untuk sama-sama menyumbang usaha ke arah memelihara spesies penyu di negeri ini," ujarnnya.
Pihak kerajaan negeri turut berharap agar masyarakat bersama-sama mengurangkan ancaman kepada penyu termasuk tampil membuat laporan kepada jabatan jika ada menjumpai penyu mati, kecurian telur, mendarat di luar kawasan jagaan jabatan, jika terperangkap dalam jaring bebaskannya kembali ke laut tanpa mencederakannya.
10 Jun 22
569
Air Tuak Kini Digelar 'Sweet Nira Terengganu'
MARANG, 7 Jun - Kerajaan negeri menjenamakan semula nira kelapa atau lebih dikenali air tuak oleh penduduk Terengganu sebagai minuman isotonik dengan nama Sweet Nira Terengganu bagi meluaskan pasaran produk berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim berkata, industri air nira merupakan industri yang dapat menjana pendapatan jutaan ringgit.
"Jabatan Pertanian Terengganu melihat air nira adalah satu produk berpotensi besar yang boleh dikomersialkan. Tambahan pula, minuman ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia kerana khasiatnya yang tinggi dan juga semula jadi, tanpa bahan pengawet, bahan kimia dan pewarna.
“Insya-Allah dengan adanya potensi ini, kerajaan negeri akan mengambil langkah-langkah yang sebaiknya melalui Jabatan Pertanian Terengganu agar industri ini mampu menjadi industri yang mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi rakyat kita dalam masa yang sama menyumbang ke arah jaminan makanan (food security) negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Minuman Isotonik (Air Nira) Negeri Terengganu bertempat di Dataran Batu Putih, hari ini.
Jelas Dr Azman, Sweet Nira Terengganu akan dikomersialkan serta-merta melibatkan 28 orang pengusaha berdaftar untuk menghasilkan air nira yang menghasilkan lebih 900,000 liter dengan. pendapatan tahunan dalam RM6.3 juta.
Menurut beliau, pasaran lokal telah lama ditembusi dan sijil amalan pertanian baik (MyGap) diperlukan untuk menembusi pasar raya ternama di Malaysia.
"Untuk makluman, sebatang pokok kelapa tanpa pengairan boleh menghasilkan sekitar 2.3L sehari. Jika seorang pekebun itu mempunyai 100 batang pokok, pekebun itu akan untung sebanyak RM2,300 sehari bersamaan dengan RM69,000 sebulan.
“Selain produk air nira, gula merah (nissan kerek) juga akan turut dikomersialkan ke pasaran. Gula merah turut menjadi tumpuan orang ramai kerana telah dijadikan bahan alternatif untuk gula putih biasa dan terbukti lebih berkhasiat khususnya untuk yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes)," katanya.
07 Jun 22
1360
Terengganu Teraju Langkah Atasi Krisis Makanan
MARANG, 7 Jun- Dalam krisis yang mencetuskan keselamatan makanan (food security), diam-diam negeri Terengganu telah berada di landasan terbaik untuk muncul sebagai negeri pengeluar makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Luar Bandarnya, Dr. Azman Ibrahim berkata, sejak sebelum krisis melanda sebenarnya kerajaan negeri telah melaksanakan Pelan Strategik Terengganu 2019-2023 untuk menjadikan negeri pesisir pantai itu sebagai negeri pengeluar makanan.
"Sebelum orang lain bercakap tentang 'food security', Terengganu telah bercakap tentang perkara ini dan kita sedang bergerak sebagaimana dirancang.
"Sebagai contoh bahan makanan asas kita iaitu beras padi. Pada tahun 2018, penghasilan kita ada sebanyak 43 peratus, tetapi setahun kemudian kita berjaya naik kepada 48 peratus. Manakala, pada tahun 2020 kita meningkat kepada 53 peratus dan tahun lalu, kita berjaya capai penghasilan beras padi pada 55 peratus, cuma kurang satu peratus dari sasaran asal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Minuman Isotonik Terengganu di Dataran Batu Putih, hari ini.
Tambahnya, selain peningkatan hasil daripada pertanian, program memperkaya sumber perikanan turut menampakkan hasil apabila data tangkapan ikan yang direkodkan daripada Januari sehingga April baru-baru ini menunjukkan peningkatan sekitar 10 peratus.
"Begitu juga dengan bekalan ayam yang menjadi isu utama ketika ini. bekalan ayam di negeri kita kini adalah sebanyak 64 peratus dan hanya 30 peratus lebih sahaja dibawa dari luar.
"Namun, kita berusaha membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Telaga Papan, Setiu sebagai Zon Penternakan Unggas dan kita mempelawa pemaju-pemaju untuk melabur dengan infrastruktur asas yang telah tersedia bagi meningkatkan bekalan sedia ada," katanya.
Selain itu menurutnya, kerajaan negeri juga sedang berusaha mewujudkan kilang makanan ternakan bagi menyelesaikan masalah sumber makanan ternakan di Bukit Kor, Marang.
"Kilang ini akan dibangunkan hasil usahasama anak syarikat kerajaan negeri dan swasta yang mana kita akan memanfaatkan sehingga 80 peratus sumber bahan mentah sedia ada.
"Isu peningkatan harga makanan ternakan adalah disebabkan kebergantungan keterlaluan kita kepada bahan mentah yang diimport iaitu di antaranya jagung bijian dan juga kacang soya.
"Jadi, jagung bijian akan kita ganti dengan esktrak sisa isi rung kelapa sawit (PKC) dan sumber protein kacang soya pula akan digantikan dengan isi ikan tilapia yang menjadi satu daripada sumber protein di samping kita manfaatkan sumber tempatan," katanya.
07 Jun 22
925