Artikel "Pertanian" Terkini
Terengganu Salur Bantuan RM1 Juta Kepada Petani, Penternak
MARANG, 29 Mac - Kerajaan Terengganu akan mengagihkan bantuan RM1 juta kepada lebih 400 petani, penternak dan pengusaha ikan sangkar yang terjejas serta mengalami kerugian disebabkan banjir luar jangka baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan senarai akhir penerima sebelum menyalurkan bantuan itu ke akaun yang layak.
"Anggaran dalam tempoh sebulan ini yang mana paling teruk terjejas adalah sektor pertanian, akuakultur di daerah yang terlibat secara langsung dengan pertanian seperti di Hulu Terengganu, Setiu, Marang, Hulu Dungun dan Besut.
"Bantuan saguhati yang akan diberikan adalah pada10 peratus berbanding nilai kerugian sebenar bergantung kepada sektor, kalau tanaman kita beri RM1,000 hingga RM1,500 per hektar kerugian, lembu akan diberi RM500 bagi setiap ekor dan sangkar ikan 10 peratus daripada nilai kerugian yang mana pemberian ini telah diluluskan oleh jawatankuasa induk Tabung Pertanian negeri," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Pemberian Bantuan Baja Pertanian Kepada Pekebun Kecil B40 Parlimen Marang yang disempurnakan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Dewan Tok Guru, Rusila di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, fokus bantuan kerajaan adalah sentiasa mensasarkan golongan B40 yang merupakan majoriti penerima bantuan.
"Kita juga sedang bekerja keras untuk meningkatkan pendapatan mereka dan kembali bangkit setelah menghadapi musibah termasuk terjejas dengan pandemik yang melanda dengan pendapatan minima sebanyak RM3,000.
"Usaha ini bagi mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan di mana 70 peratus rakyat Terengganu berada di dalam sektor ini," katanya.
29 Mar 22
627
128 Ladang Ayam Penuhi Keperluan Rakyat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Terengganu mempunyai 128 ladang ayam di seluruh negeri yang mampu menghasilkan 3.3 juta ekor ayam bagi satu pusingan pengeluaran atau 17 juta ekor setahun melibatkan lima pusingan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pada tahun lalu, sebanyak 30,722 metrik tan ayam telah dihasilkan berbanding 42,880 metrik tan keperluan rakyat negeri ini dengan Tahap Sara Diri (SSL) sebanyak 64.18 peratus.
“Bagaimanapun, Terengganu belum mempunyai ladang ayam penelur dan keperluan telur ayam di negeri ini adalah sebanyak 465 juta biji setahun dibekalkan dari ladang-ladang ayam penelur luar Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.
Dr Azman juga berkata kerajaan negeri telah membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telaga Papan, Setiu dan TKPM Mengabang Bakong, Kuala Nerus sebagai Zon Penternakan Unggas lengkap dengan infrastruktur asas.
Tambah beliau, zon berkenaan merupakan antara langkah kerajaan memajukan industri ternakan ayam di negeri ini.
“Dalam masa yang sama, kita mengalu-alukan pemaju yang berminat dalam industri ternakan unggas memanfaatkan ruang lot di TKPM Telaga Papan dan Mengabang Bakong bagi meningkatkan pengeluaran ayam sekaligus mencapai keperluan ayam di negeri ini.
“Kadar sewaan lot tanah itu adalah murah iaitu sebanyak RM200 setahun bagi satu hektar yang lengkap dengan infrastruktur asas seperti jalan serta bekalan elektrik,” katanya
24 Mar 22
712
Tingkat Ekonomi Rakyat Melalui Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kerajaan negeri telah melaksanakan sebanyak 93 program dan menyiapkan 45 projek sepanjang Tahun Pertanian Terengganu 2021 demi mempertingkatkan ekonomi rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, seramai 13,702 orang golongan sasar telah menerima manfaat langsung daripada program tersebut.
“Sektor pertanian merupakan sumber ekonomi kepada kira-kira 70 peratus rakyat Terengganu.
“Antara langkah kerajaan negeri dalam membantu taraf ekonomi penduduk termasuk menyelesaikan isu utama berkaitan tapak tanah pertanian, perikanan dan penternakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, semalam.
Katanya, menyedari ramai rakyat tiada tapak untuk diusahakan, kerajaan membuka ruang untuk rakyat memanfaatkan tanah kerajaan secara Lesen Menduduki Sementara (LMS).
“Turut dilakukan, pemutihan tanah-tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan menamatkan peserta yang tidak produktif dan mengisi lot-lot kosong dengan peserta baru.
“Menyelesaikan isu penerokaan haram melalui pemberian LMS, membangunkan tanah terbiar dan lain-lain lagi,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan bantuan serta latihan kemahiran untuk sektor pertanian.
“Salah satunya bantuan perkhidmatan pengembangan seperti khidmat nasihat teknikal dan kursus kemahiran.
“Manakala bantuan pula seperti bekalan makanan ikan kepada penternak terjejas PKP, warga tani positif COVID-19,bantuan one off input pertanian kepada 227 penanam cili terjejas kejatuhan harga, RM300,000 bantuan one off mekanisasi ladang kepada 52 petani seluruh negeri serta bantuan input dan peralatan sepert baja,racun, foliar, benih, plastik UV, pam air, GPS, kawat bubu, pukat tangsi, kit memancing,” ujarnya.
22 Mar 22
222
Bekal Benih Padi Bukan Bidang Kuasa Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 19 Mac - Proses membekalkan benih padi kepada petani adalah urusan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan Terengganu tidak mempunyai kuasa dalam perkara tersebut dan adalah tidak benar pihaknya mengagihkan kepada pihak tertentu sahaja.
"Ia di bawah bidang kuasa MAFI dengan sembilan syarikat pembekal benih padi berlesen dilantik dan tidak ada satu pun syarikat tersebut dari Terengganu.
"Urusan membekalkan benih padi kepada pesawah kemudian diuruskan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan Pertubuhan Peladang Kawasan masing-masing. Tiada penglibatan Kerajaan Negeri dalam urusan ini," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga tidak pernah menyediakan sebarang peruntukan untuk skim bantuan benih padi kerana skim subsidi benih padi telah disediakan MAFI.
"Fakta ini saya nyatakan untuk menjawab fitnah yang tersebar kononnya Exco Pertanian Terengganu hanya agih bantuan benih padi kepada penerima tertentu sahaja dan tak adil dalam agihan.
"Fakta yang sebenar ialah pihak Pertanian Negeri Terengganu tidak pernah mengagihkan sebarang bantuan benih padi kepada mana-mana petani kerana ia bukan kuasa kami," katanya.
19 Mar 22
524
157,000 Benih Ikan Dilepaskan Di Tasik Kenyir
KUALA TERENGGANU, 16 Mac – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melepaskan 157,000 ekor benih ikan ke perairan Sungai Leban Kerbat, Tasik Kenyir dalam Program Pelepasan Sejuta benih Ikan semalam.
Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, pelepasan benih tersebut dilakukan bagi tujuan menambahkan sumber ikan air tawar bagi aktiviti perikanan tangkapan.
“Kali ini kita lepaskan benih ikan Lampam Sungai, Baung serta Udang Galah bagi tujuan menambahkan populasi spesies tersebut di sekitar kawasan ini.
“Peningkatan sumber ini dijangka akan memberi manfaat kepada 32 orang nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu di samping aktiviti eko-pelancongan di Tasik Kenyir,” katanya dalam satu kenyataan.
16 Mar 22
443
MAFI Komited Bantu Petani Terjejas
KUALA LUMPUR , 15 Mac – Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa berusaha mencari jalan dalam membantu semua golongan serta para petani yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata langkah proaktif telah diambil dengan mengaktifkan bilik gerakan bencana.
“Ia telah diaktifkan bermula 27 Februari 2022. Warga agro yang terkesan boleh berhubung terus bilik gerakan bencana atau berhubung dengan wakil jabatan atau agensi daerah di negeri yang berhampiran," ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir mengenai nasib para petani yang mengalami kerugian akibat kesan banjir, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata lagi, sehingga 7 Mac 2022, sebanyak 4,343 golongan sasar yang terkesan akibat banjir di Pantai Timur sedang dalam proses untuk dibantu.
“Kawasan yang terlibat adalah sebanyak 17,860 hektar dan jumlah kerugian dialami dianggarkan sebanyak RM42.5 Juta.
Dalam pada itu, tafsiran kerugian telah selesai dinilai dalam jawatankuasa teknikal program pembangunan semula agro makanan mengikut sektor masing-masing dan penyaluran akan dibuat dalam masa terdekat.
“Kerajaan akan terus komited dalam usahanya bagi meringankan beban semua golongan yang terjejas akibat banjir dan sentiasa bersedia dalam menyediakan bantuan yang sewajarnya," ujarnya.
15 Mar 22
169
Solusi Jangka Panjang Beri Manfaat Buat Nelayan Setiu
SETIU, 11 Mac – Kerajaan semestinya sentiasa peka dengan keluhan para nelayan yang terlibat dengan permasalahan muara cetek yang menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, kelulusan pemuliharaan muara sungai Setiu merupakan solusi jangka panjang yang sangat baik buat para nelayan.
"Saya ingin berterima kasih diatas kelulusan pemuliharaan sungai Setiu dan majlis perlancaran telah diadakan pada 25 februari yang lalu oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Projek ini melibatkan empat komponen iaitu pembinaan struktur pemecah ombak, struktur training wall, lapis lindung (revetment), penyuburan pantai (beach nourishment),*katanya.
Beliau berkata demikian didalam ucapanya di Dewan Rakyat, kelmarin.
Mengulas lanjut katanya, sebelum ini Kerja-kerja dredging works atau pengorekan sejauh 14 Kilometer telah melibatkan kawasan cetek penternakan ikan Kg Gong Batu.
"Ini menyebabkan kawasan tersebut cetek dan adanya beting pasir dan kalau tidak dikorek ia akan menghalang kemasukan air, sekali gus menyebabkan kawasan tersebut kekurangan oksigen yang membawa kepada kematian ikan saban tahun,"ujarnya.
Justeru, beliau mencadangkan agar pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) atau Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengkaji balik hal ni agar kerja kerja pengorekan ni disambung sehingga ke kawasan penternakan ikan.
"Mengikut maklumat yang saya perolehi, pembinaan beach nourishment yang bakal dibina ini hanya mampu bertahan selama lima tahun dan kos pembinaan sebanyak RM33 juta bagi setiap kali pembinaan. Ianya sudah pasti melibatkan satu kos yg besar terpaksa ditanggung oleh kerajaan.
"saya juga ingin mencadangkan agar satu lagi solusi jangka panjang juga dapat dibuat sebagaimana Pantai Batu Burok sehingga ke Kuala Ibai yang dulunya dilanda hakisan tetapi selepas dipasang geotektile dan terbukti sehingga ke hari ini isu tersebut tidak lagi melanda pantai tersebut,"ujarnya.
10 Mar 22
356
Hampir RM8 Juta Berjaya Disalurkan Manfaat Daripada SBMT
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) mencatatkan rekod pengagihan dana hampir mencecah RM8 Juta sejak ia mula dilancarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata Negeri Terengganu antara satu-satunya negeri yang menyediakan kemudahan bantuan modal seperti ini kepada warga tani, penternak dan nelayan.
"Untuk rekod, sejak SBMT mula diwujudkan pada tahun 2019, sebanyak RM7,658,693 telah disalurkan kepada 424 orang penerima.
"Walau kita akui SMBT ini masih ada kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki tapi jangan dinafikan jasa dan sumbangan SBMT kepada warga tani Terengganu dalam menyelesaikan isu masalah kekurangan modal.
Malah, bukan hanya bagi modal melalui SBMT bahkan kita perkukuhkan lagi dengan Kursus Pemantapan Projek bagi menjayakan perlaksanaan projek-projek berjalan dengan sebaiknya dalam satu rantaian lengkap,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kursus Pemantapan Projek (SBMT) Siri 1/2022 di Pusat Sains Dan Kreatif Terengganu, kelmarin.
Dalam pada itu, beliau turun melawat beberapa tapak projek yang diusahakan petani dan penternak yang terpilih sempena Program Walkabout Projek Usahawan SBMT Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Payong dan Alor Limbat, Marang.
Diantara yang terpilih ialah Suhairi dan Suhaizi, merupakan dua beradik dari Kampung Tok Dir Marang gigih mengusahakan ternakan lembu secara ‘feedlot’.
"Kita telah bagi bantuan modal kepada anak muda bersemangat tinggi ini sebanyak RM60 ribu melalui SBMT Kerajaan Negeri Terengganu. Bantuan dalam bentuk bagi kail dan umpan inilah yang menjadi keutamaan kita berbanding bantuan bagi ikan.
"Manakala Mohd Syafiq dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat Marang juga antara anak muda usahawan tani yang dibiayai dengan dana ini dibawah bimbingan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Payong Marang.
"Tahniah anak muda ini yang gigih mengusahakan tanaman Cili Sakata atau Cili Minyak sebanyak 1200 polibeg. Harga kini di pasaran RM11/kg,"ujarnya.
09 Mar 22
582
Kerajaan Negeri Akan Salur Bantuan Kepada Penternak Terjejas
KUALA TERENGGANU, 9 Mac – Kerajaan Terengganu akan menyalurkan bantuan kepada penternak yang terjejas banjir di baru-baru ini selepas proses penelitian terhadap kerugian selesai.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, seramai 142 penternak akuakultur di seluruh Terengganu mengalami kerugian sekitar RM6.9 juta kesan daripada bencana tersebut.
Katanya, hampir seluruh pengusaha tersebut merupakan penerima Skim bantuan Modal Tani Kerajaan Negeri Terengganu, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Agro Bank.
"Kebanyakkan ternakan ikan yang mati bersaiz matang dijangka akan dipasarkan menjelang Ramadan, namun ia musnah secara keseluruhannya," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penyelarasan bagi penstrukturan semula pinjaman telah dilakukan antara kerajaan negeri dan agensi pemberi pinjaman bagi membantu penternak kembali bangkit selepas bencana banjir.
08 Mar 22
275
Banjir : Terengganu Aktifkan Tabung Bencana Pertanian Serta Merta
BESUT, 15 Februari - Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu diaktifkan serta-merta setelah kejadian banjir berlaku sehingga memusnahkan tanaman padi di sekitar Besut, pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata hujan yang turun berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa sawah padi milik penduduk ditenggelami air menjadi serupa laut.
Katanya, beliau turun meninjau kawasan baruh Gong Telikong, Besut dan mendapati padi yang baru berusia 20 hari telah rosak.
"Namun terdapat beberapa sawah lain seperti di Gong Pasir dan Lapan Tuai, Gong Nibong berada dalam keadaan baik, kamu juga masih mengumpulkan laporan kemusnahan lain.
"Insya-Allah Kerajaan Terengganu menyediakan bantuan sewajarnya melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu supaya petani dan pesawah kita bangkit kembali menghadapi banjir," jelas beliau kepada UPDI.
Menurutnya, kejadian banjir pada bulan ini memang berada di luar jangkaan semua pihak.
"Apabila perkara yang tidak dijangka ini berlaku, maka kita perlu persiapkan dari segi persiapan bantuan.
"Saya harapkan para pesawah kita bersabar dengan ujian yang menimpa ini. Insya-Allah kerajaan negeri dan jabatan pertanian akan bersama," katanya. - FOTO : Syafiq Halim.
15 Feb 22
999