lightning-solid
Berita :

Artikel "Pertanian" Terkini

35 Jam 'Heret' Bot Nelayan Asing ke Jeti
35 Jam 'Heret' Bot Nelayan Asing ke Jeti
KUALA TERENGGANU, 7 Disember - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu memerlukan masa selama 35 jam untuk membawa dua bot nelayan asing Veitnam yang ditahan ke Jeti Maritim Negeri Terengganu berikutan cuaca buruk dan ombak bergelora. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abdul Majid berkata, kesukaran tersebut bagaimanapun tidak menghalang operasi Maritim apabila berjaya menahan dua bot terbabit bersama 19 kru termasuk tekong. "Kedua-dua bot ditahan oleh bot Maritim yang melaksanakan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat pada jam 10.15 malam, Isnin lalu ketika sedang melakukan tunda ganding di jarak lebih kurang 135 batu nautika dari muara Kuala Terengganu. "Kesemua kru termasuk tekong berumur antara 16 hingga 62 tahun ditahan bersama hasil tangkapan laut sebanyak 900 kilogram melibatkan 400kg ikan baja dan 500kg ikan campur. "Selain itu, turut dirampas adalah bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan dengan nilai keseluruhan hampir RM3 juta," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Maritim Malaysia Negeri Terengganu, hari ini. Jelasnya, bot serta kru yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963. "Maritim Negeri Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran. "Tahun ini, sebanyak 30 tangkapan direkodkan melibatkan kompaun sebanyak RM2.3 juta dan RM14 juta denda mahkamah dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM45 juta," tambahnya.        
07 Dec 22
552
Beruk dan Babi Boleh Ditembak, Tapi..
Beruk dan Babi Boleh Ditembak, Tapi..
KUALA TERENGGANU, 29 November- Pekebun-pekebun yang menghadapi ancaman hidupan liar daripada spesies kera dan babi boleh menembak haiwan terbabit sekiranya memiliki lesen senjata api. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kera dan babi merupakan hidupan liar yang tersenarai sebagai spesis dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 176), namun akta berkenaan turut membenarkan pemilik kebun atau pekerjanya yang mempunyai lesen senjata api untuk mengambil tindakan menembak sekiranya hidupan tersebut mengancam nyawa dan merosakkan harta benda. "Tetapi, selepas tembak dilakukan mesti (wajib) lapor kepada Jabatan Perhilitan. Jadi, selepas ini tidak timbul lagi isu kera dan babi yang mengganggu tidak boleh ditembak," katanya ketika menjawab soalan daripada ADUN Air Putih,  Abd Razak Ibrahim dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini. Tambahnya, sebanyak 130 aduan gangguan hidupan liar diterima Perhillitan dari Januari sehingga September 2022. "Watak utama haiwan perosak tanaman yang direkodkan ialah gajah, beruang, kera, babi hutan dan tapir. Dari tahun 2020 sehingga tahun 2022 nilai kerugian yang dicatatkan di Terengganu angkara makhluk Allah ini ialah RM2,621,130. "Langkah-langkah yang telah diambil kerajaan ialah operasi pembasmian dengan kerjasama antara Jabatan Pertanian, Jabatan Perhilitan dan pemilik lesen senjata api setempat selain memasang perangkap kera dan babi untuk dipindah alam (dimatikan). Manakala, beruang dan tapir yang ditangkap pula akan dipindahkan ke habitat asal yang jauh dari kawasan konflik.  "Bagi ancaman gajah, tiga kaedah digunakan iaitu pemasangan pagar elektrik, tembak halau dan tangkap pindah," katanya. Jelasnya, sistem pagar elektrik gajah (SPEG) telah dipasang di Kg. Lawit ke Kg. Belukar Bukit sejauh 29.5 km, Kg Pelong Setiu (35km) dan Kg Payong ke Chalok Barat (25km). "Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ada empat lokasi baru akan dibangunkan SPEG iaitu Kg Ban Hoo dan Kg Air Putih di Kemaman serta Kg Gerdong dan Kg Lubuk Periuk di Hulu Terengganu. "Bilangan gajah yang telah ditangkap pindah pula ialah sebanyak empat ekor pada tahun 2019, 2020 (6 ekor), 2021 (8 ekor) dan 2022 (3 ekor). Majoritinya dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum supaya tidak berkonflik dengan manusia di habitat asal," katanya.    
29 Nov 22
2085
56 Ekor Penyu Mati Pada Tahun 2022
56 Ekor Penyu Mati Pada Tahun 2022
KUALA TERENGGANU, 29 November - Sebanyak 56 ekor kematian penyu dilaporkan antara Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat lima ekor berbanding tahun 2021. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim, berkata penyu mati ditemui dalam beberapa keadaan, antaranya bangkai penyu ditemui terperangkap dalam pukat nelayan dan mati ditemui terdampar di pantai. "Tiada bukti khusus kematian penyu akibat penggunaan pukat pari dan pukat palas, namun boleh disimpulkan, ia diakibatkan tangan-tangan manusia. "Pada tahun 2022, sebanyak 37 pukat pari dirampas di beberapa Pengkalan Nelayan Daerah Kemanan dan Dungun sebagai langkah mengatasi perkara ini. "18 nelayan terdiri dari dua nelayan tempatan dan 16 nelayan asing yang berpengkalan di Pahang telah ditangkap bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh kawasan santuari penyu dari Kuala Merchang Marang sehingga Tanjung Jara Dungun," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet), hari ini. Tambahnya, hasil usahasama kerajaan negeri bersama jabatan-jabatan terlibat, pada tahun ini sebanyak enam ekor penyu ditemui di pantai berjaya diselamatkan. "Selain itu, antara langkah yang diambil ialah penguatkuasaan undang-undang di bawah Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 pindaan 2021 dengan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan yang melibatkan kematian penyu," katanya.        
29 Nov 22
272
Maritim Terengganu Rampas Lima Tan Hasil Laut
Maritim Terengganu Rampas Lima Tan Hasil Laut
KUALA TERENGGANU, 16 November - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu berjaya menahan dua bot nelayan asing Vietnam kerana menceroboh perairan negara, sekitar 8.15 malam kelmarin. Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Majid@Razali berkata, penahanan dibuat semasa rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Naga Barat dan Op Kuda Laut di perairan Terengganu. "KM Gemia menahan medua-dua bot bersama 21 kru termasuk tekong pada kedudukan kira-kira 59 batu nautika dari Kuala Terengganu. "Kita juga merampas hasil tangkapan seberat lima tan, peralatan menangkap ikan dan diesel dengan nilai keseluruhan rampasan sekitar RM3 juta," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di ibu pejabat Maritim Malaysia Negeri Terengganu, hari ini. Khairulanuar turut memaklumkan, salah satu bot yang ditahan menggunakan pendaftaran Malaysia dan disyaki menyamar sebagai nelayan tempatan. Tambahnya, kesemua kru warga Vietnam yang ditahan berumur antara 19 hingga 45 tahun dan gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah. Bot dan kru kini ditahan Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut. "Kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.      
16 Nov 22
1003
Kerajaan Negeri Agih Bantuan Kepada Penternak Terjejas
Kerajaan Negeri Agih Bantuan Kepada Penternak Terjejas
HULU TERENGGANU, 3 November – Kerajaan Negeri mengagihkan bantuan kepada penternak akuakultur yang terjejas akibat bencana alam. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sektor pertanian dan penternakan di negeri ini mengalami kerugian sebanyak RM12 juta akibat pelbagai bencana terutamanya banjir. Katanya, banjir besar berlaku akhir Februari lalu meninggalkan kesan teruk terhadap pertanian dan penternakan di negeri ini. “Oleh itu, kerajaan negeri telah berusaha membantu golongan yang terjejas itu melalui Tabung Bantuan Bencana Negeri Terengganu. “Pemberian bantuan tersebut bertujuan untuk meningkatkan jumlah pendaratan ikan yang didaratkan oleh nelayan darat,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Penyerahan Bantuan Bencana Akuakultur dan Insentif Sektor Perikanan Negeri Terengganu bertempat di Projek Kluster Ternakan Ikan Dalam Sangkar, Kampung Getang, Hulu Terengganu semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh Tambah Dr Azman, bukan sekadar banjir sahaja, petani dan penternak yang terlibat dengan bencana alam seperti ribut, kemarau dan sebagainya juga diberikan bantuan. Sementara itu, seramai 140 orang nelayan darat di Terengganu menerima bantuan peralatan merangkumi set kelangkapan pusat tangsi, set memancing dan kotak keselamatan. “Hasrat kita supaya penternak yang ditimpa musibah tidak putus asa untuk terus membekalkan makanan kepada rakyat dan negeri kita,” jelasnya.  
03 Nov 22
334
Bantu Usahawan Melalui Penternakan Kambing
Bantu Usahawan Melalui Penternakan Kambing
SETIU, 28 September - Seramai enam usahawan dipilih sebagai perintis pembangunan usahawan kambing tenusu yang akan dilatih selama dua tahun dan peserta akan menerima elaun sebanyak RM1,200 sebulan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.8 juta menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 bagi melaksanakan projek rintis penternakan kambing tenusu di Ladang Induk Pengganda Kambing Tenusu, di sini. Katanya, projek ini dijayakan bersama dengan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC). “Program ini bukan semata-mata berorientasikan keuntungan tetapi yang menjadi adalah objektif besar menggandakan induk dan melatih usahawan tempatan kita. “Negeri ini belum mempunyai pengeluaran induk baka kambing tenusu yang mendapat pensijilan dan berdaftar dalam sistem e-baka,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas ladang berkenaan bertempat di Kampung Bari, Setiu semalam. Turut hadir Pengurus Besar Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd, Azhar@Wahab Jusoh. Tambah Dr Azman, sehingga 2020, sebanyak 3,259 ekor induk kambing tenusu diternak oleh 90 penternak berskala kecil dan sederhana. “Sehari sebanyak 500 liter susu mampu dikeluarkan di seluruh negeri dan Terengganu kini mempunyai kilang pemprosesan susu dengan fokus kepada susu kambing yang pertama di Malaysia dengan kapasiti 500 liter sejam di Kampung Jenang, Marang,” katanya. Mengulas lanjut, usahawan yang telah tamat menjalani latihan, setiap seorang akan mendapat lima hingga enam ekor kambing termasuk 20 peratus hasil penjualan susu untuk mereka jadikan modal permulaan.  
27 Sep 22
1024
10 Rumah Sembelihan Haiwan Dibina di Seluruh Negeri
10 Rumah Sembelihan Haiwan Dibina di Seluruh Negeri
MARANG, 15 Ogos - Sebanyak 10 rumah sembelihan ruminan telah siap dibina di semua daerah di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kesemua rumah itu termasuk yang baru dirasmikan hari ini iaiti di Wakaf Tapai di sini. Katanya, kos pembinaan melibatkan peruntukan sebanyak RM490,000 telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk membina rumah sembelihan itu. “Kawasan seluas 0.57 hektar ini telah digunakan untuk mendirikan rumah sembelihan ruminan di daerah Marang sekali gus melengkapkan sasaran 1 Daerah 1 Rumah Sembelihan. "Rumah sembelihan ruminan ini juga berkeluasan 50x60 kaki dengan fasiliti yang mampu mencapai kapasiti sembelihan sehingga 15 ekor lembu atau kerbau dan juga 25 ekor kambing atau bebiri. Tempat sembelihan ini bukan sahaja untuk ruminan malahan non ruminan (khususnya arnab) juga dapat disembelih disini.  “Empat buah rumah sembelihan ruminan telah dibina dibawah kerajaan persekutuan, tiga daripada kerajaan negeri (PBT) dan tiga lagi daripada pihak swasta," katanya. Beliau berkata demikian semasa ditemu bual oleh wartawan Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pusat Sembelihan Daerah Marang pada harini ini. Dalam perkembangan sama, Dr Azman turut berkata,  bagaimanapun 10 rumah sembelihan yang dilesenkan oleh veterinar masih belum mencukupi untuk menampung  keperluan sembelihan terutamanya pada musim-musim perayaan (waktu puncak). "Sebab itulah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu juga mengeluarkan permit-permit khas untuk sembelihan di luar daripada rumah sembelihan pada waktu-waktu yang tertentu," jelasnya. Tambah beliau, sektor penternakan di negeri Terengganu mahupun di Malaysia masih belum dapat bersaing sepenuhnya dengan negara-negara penternakan. "Oleh itu kerajaan negeri berusaha sebaik yang mungkin untuk mempertingkatkan sektor penternakan dan juga pertanian di negeri Terengganu," jelasnya.  
15 Sep 22
447
367 Nelayan Terengganu Terima Bantuan
367 Nelayan Terengganu Terima Bantuan
KEMAMAN, 13 September - Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menyalurkan bantuan kepada 367 orang nelayan di seluruh daerah di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sejumlah RM300,000 diperuntukkan bagi perolehan bantuan kepada nelayan. Katanya, seramai 62 orang nelayan pesisir pantai dari daerah Kemaman menerima bantuan berupa peralatan nelayan. “Bantuan peralatan tersebut adalah seperti pukat tangsi, alat mengesan ikan dan kawat bubu yang bersaiz 1.5 inci. “Bagi bantuan alat mengesan ikan, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu akan mengadakan kursus khas untuk para nelayan bagi menggunakan peralatan tersebut,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi dan Penyerahan Bantuan Peralatan kepada Nelayan Pantai bertempat di Pantai Kuala Penunjuk, Kijal di sini hari ini. Turut hadir, Pegarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat. Tambah Dr Azman, kerajaan negeri juga telah berusaha membantu para nelayan untuk mendapatkan lesen nelayan. “Terengganu merupakan satu-satunya negeri  menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertindak bagi menyelesaikan masalah isu lesen nelayan. “Penting bagi para nelayan untuk mendapatkan lesen nelayan untuk mendapatkan elaun sara hidup nelayan, minyak subsidi dan sebagainya,” katanya.  
13 Sep 22
454
SMK Guntong Terima Insentif Kebitaraan Projek Nanas Terengganu
SMK Guntong Terima Insentif Kebitaraan Projek Nanas Terengganu
BESUT, 24 Ogos - Sekolah Menengah Kebangsaan Guntong dari daerah Setiu menerima insentif Projek Kebitaraan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Terengganu atas pelaksanaan program tanaman nanasnya. Sekolah tersebut bakal menerima bantuan berupa bahan tanaman (sulur) serta input pertanian berupa 1,000 polibeg, peralatan pertanian, media tanaman (Top Soil) dan khidmat nasihat kaedah tanaman secara polibeg. Selain itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Hulu Terengganu serta Balai Bomba dan Penyelamat (BOMBA) Setiu turut menerima bantuan 1,500 polibeg di bawah projek berkenaan dalam gimik penyerahan pada majlis penutup Kursus Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas dan Agropreneur Muda 2022 di Bukit Keluang Beach Resort, hari ini. Pengarah LPNM Terengganu, Nor Hidayah Ab Halim berkata, insentif berkenaan adalah program transformasi teknologi bagi melaksanakan program tanaman nanas yang melibatkan komuniti setempat seperti Sekolah/Taman Perumahan/Jabatan/Institusi Awam dan Swasta. "Kebitaraan ini untuk menggalakkan agensi, sekolah dan lain-lain menanam nanas, bukan secara komersial sebaliknya, bagi tujuan modul pembelajaran, promosi, landskap serta pengenalan kepada umum berkenaan pengurusan tanaman nanas. "LPNM Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM10,000 pada tahun untuk kebitaraan yang mana kita berikan berdasarkan permohonan kelulusan daripada setelah pemantauan dilaksanakan," katanya. Jelasnya, LPNM juga sentiasa mengadakan kursus dalam usaha mendidik penanam-penanam baru bagi mencapai matlamat melahirkan lebih ramai usahawan nanas. "Objektif kursus hari ini, kita hendak melahirkan lebih ramai pengusaha dan memberi ilmu kepada penanam nanas, terutama peserta baru yang mendapat kelulusan daripada kita. "Setakat ini, kita merekodkan sebanyak 300 hektar tanaman nanas di seluruh Terengganu yang mana majoritinya di Setiu. "Kita dalam proses tambah peserta dan keluasan tanaman dalam sekitar 110 ekar bagi tahun hadapan dalam usaha memenuhi keperluan dan permintaan dalam negeri," katanya. Tambahnya, setakat ini tidak berlaku lambakan buah nanas dalam Terengganu walaupun ketika berlakunya sekatan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu. Dalam kursus yang berlangsung selama tiga hari itu, seramai 60 penanam nanas dari seluruh Terengganu hadir menyertainya.          
24 Aug 22
444
Nelayan Besut Rangkul Anugerah Perdana MAHA
Nelayan Besut Rangkul Anugerah Perdana MAHA
SERDANG, 8 Ogos – Pesatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Sektor Agromakanan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022. PNK Besut menerima replika cek berjumlah RM50,000 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Perasmian MAHA 2022 di MAEPS, Serdang di sini baru-baru ini. Pengurus Besar PNK Besut, Mat Aziz Omar, 60, berkata anugerah tersebut amat bermakna bagi mereka yang dianggotai seramai 1,450 orang ahli.  “Kriteria dalam penentuan anugerah ini merangkumi projek ekonomi, kebajikan serta pengurusan organisasi yang holistik. “Kita (PNK Besut) berkembang merentasi industri makanan apabila pihak persatuan turut mampu membekalkan minyak diesel serta ais kepada para nelayan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika dihubungi hari ini. Mat Aziz turut berkata, anugerah tersebut menjadi satu kenangan istimewa buatnya sepanjang mengemudi PNK Besut sebelum menamatkan khidmatnya.  “Pada 4 Ogos, kita turut menerima Anugerah Persatuan Nelayan Terbaik Peringkat Kebangsaan, membawa pulang sebanyak RM30,000 menjadikan jumlah keseluruhan bernilai RM80,000," ujarnya. MAHA 2022 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diadakan bermula 4 sehingga 14 Ogos mengumpulkan berbagai-bagai produk yang dihasilkan daripada agensi kementerian itu. Turut hadir ke Majlis Perasmian tersebut, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.
08 Aug 22
515