lightning-solid
Berita :

Artikel "Pertanian" Terkini

RM1.08 Juta Bantu Nelayan Tingkat Pendapatan
RM1.08 Juta Bantu Nelayan Tingkat Pendapatan
SETIU, 9 Mei - Untuk tahun 2023, Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.08 juta khusus untuk program bantuan langsung bagi sektor perikanan daripada RM4.7 juta bajet kerajaan negeri kepada sektor ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, dalam tempoh lima tahun, ia merupakan bajet terbesar kerajaan negeri kepada Jabatan Perikanan Malaysia (Perikanan), hampir tiga kali ganda berbanding dana persekutuan iaitu sebanyak RM1.3 juta. Jelasnya dari jumlah itu, sebanyak RM300,000 diagihkan sebagai bantuan peralatan kepada 468 nelayan pantai, RM80,000 untuk perolehan bantuan peralatan nelayan darat (dan RM700,000 untuk bantuan input akuakultur negeri Terengganu. "Setiu menjadi lokasi pertama sebelum kita menjelajah seluruh negeri untuk program sama.  "Merangkumi bajet pembangunan dan program, ini titik mula dan akan menyusul program labuh unjam dan tukun dengan beberapa pengkalan nelayan dalam negeri menjadi tuan rumah, kita akan turun ke laut sebagaimana tahun-tahun sudah," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan kepada Nelayan Pantai, Nelayan Darat dan Pengusaha Akuakultur di Pejabat Perikanan Setiu, semalam. Hadir sama, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dan Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Ahmad Rizal Mamat. Dr. Azman menambah, daripada jumlah tersebut, seramai 56 nelayan pantai, 15 nelayan darat dan 24 pengusaha akuakultur di Setiu menjadi penerima pertama dana berkenaan. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Jabi itu turut berpesan kepada para nelayan untuk sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri. "Berdepan fenomena tidak dijangka khususnya cuaca panas terik dan El-Nino yang sedang melanda, kita nasihatkan nelayan kita mengambil langkah berhati-hati, minum air secukupnya dan jaga kesihatan untuk mengelakkan kita terlibat sindrom strok haba. "Dalam masa kita mencari rezeki, kerajaan negeri bantu dengan peralatan dan sebagainya, kita harap nelayan kita dapat turun ke laut dengan lancar dan selamat. Kita sama-sama bekerja untuk memperkayakan sumber makanan daripada sektor perikanan," katanya.  
09 May 23
398
Hanya Terengganu Wujudkan Tabung Bencana Pertanian
Hanya Terengganu Wujudkan Tabung Bencana Pertanian
BESUT, 18 April - Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang mewujudkan tabung bencana pertaniannya sendiri dalam negara ini selepas mula diperkenalkan sejak lebih dua tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata tabung itu menerima peruntukan sebanyak RM1 juta setiap tahun sejak ia mula diaktifkan. "Sejak 2020 sebenarnya Tabung Bencana Pertanian Terengganu ini telah banyak membantu petani, penternak, nelayan dalam kita berhadapan dengan musibah bencana yang tidak dijangka. "Seperti berlakunya bencana alam seperti banjir, ribut, ombak besar, petir tanah runtuh wabak penyakit, binatang buas dan haiwan liar meliputi tiga sektor (perternakan, pertanian dan perikanan)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bantuan Bencana Pertanian 2023, di Dewan Sivik Jabi, di sini, semalam. Mengulas lanjut, Dr Azman berkata walaupun Tabung Bencana Pertanian yang diwujudkan itu peruntukanya sebanyak RM1 juta setiap tahun namun dalam berhadapan bencana besar seumpama tahun lalu ia tidak mencukupi. "Jadi dalam berhadapan bencana seumpama bulan Februari dan Disember tahun lalu kerajaan negeri bersetuju untuk menambah jumlahnya berdasarkarkan musibah di luar jangka yang berlaku itu," ujarnya. Dalam itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Terengganu akan sentiasa berusaha bagi menghasilkan pengeluaran yang mencukupi dan memberi jaminan bahawa bahan mentah terutama ayam dan daging segar berupaya memenuhi permintaan menjelang perayaan nanti. "Insya-Allah mencukupi, kita sehabis daya berusaha untuk mengeluarkan makanan demi keperluan rakyat bukan setakat di bulan Ramadan dan musim perayaan tetapi sepanjang tahun," ujarnya lagi.  
18 Apr 23
333
Mangsa Bencana Pertanian Terima Bantuan RM891,880
Mangsa Bencana Pertanian Terima Bantuan RM891,880
BESUT, 17 April - Simpati dengan nasib yang menimpa 724 petani, penternak dan pengusaha ikan sangkar akibat musibah banjir, kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan berjumlah RM891,880 kepada mangsa bencana terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan itu dimasukkan ke dalam akaun masing-masing bermula hari ini. Katanya, kesemua yang layak telah ditapis oleh Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Terengganu. "Saya kira rakyat sangat beruntung kerana Terengganu satu-satunya negeri yang mempunyai Tabung Bencana Pertanian sendiri. "Dalam masa yang sama kita turut berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang turut menghulurkan bantuan melalui jabatan dan agensi yang berkaitan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Bantuan Bencana Pertanian 2023, di Dewan Sivik Jabi, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Pertanian negeri, Dato' Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr Anun Man. Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, daripada 743 memohon untuk mendapatkan bantuan berkenaan, 19 daripadanya ditolak kerana tidak cukup syarat. "Antaranya sebagai contoh sektor penternakan lembu yang diternak secara lepas bebas, ada juga yang mengemukakan kepada kita angka sehingga beratus-ratus ekor tetapi tidak dinyatakan secara jelas di mana lembu itu ditenak.  "Kita tidak mengiktiraf kaedah penternakan seperti itu. Antaranya lagi permohonan ditolak kerana tidak mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan seperti tidak membuat laporan polis, selain itu juga perlu menunjukkan gambar di tempat berlakunya kejadian. "Sebab kita menguruskan ramai rakyat, ada yang jujur serta ada yang mengambil kesempatan, kerana itu kita menetapkan peraturan walaupun dilihat agak menyusahkan tetapi dilaksanakan untuk kita menjaga kepentingan semua pihak," ujarnya. Untuk rekod, sektor pertanian Terengganu mengalami kerugian paling teruk dalam tempoh lima tahun akibat banjir besar pada 18 Disember lepas, setelah kali terakhir mengalaminya sebelum itu pada Februari 2022 yang hanya mengakibatkan sekitar RM2 juta.
17 Apr 23
743
Jana Pelaburan RM717 Juta Daripada Gedung Pengeluaran Makanan
Jana Pelaburan RM717 Juta Daripada Gedung Pengeluaran Makanan
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Projek Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) di bawah Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 dijangka mampu menjana pelaburan daripada awam dan swasta berjumlah RM716.96 juta. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, 18 projek baru dan sedia ada telah dikenalpasti berupaya meningkatkan pendapatan rakyat. "Agenda utama GPMT adalah untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan kita mensasarkan lebih ramai golongan belia berminat untuk menceburi bidang ini. "Sememangnya, kita optimis mampu mengangkat martabat sektor pertanian di negeri ini, lebih-lebih lagi apabila kita mula mewujudkan GPMT ini, insya-Allah," ujarnya menerusi facebook rasminya, semalam. Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Samsuri berkata Setiu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan mengikut potensi dan kelebihan yang dimiliki. "Dengan kewujudan tanah-tanah yang berskala komersil dan ekosistem pertanian serta kewujudan petani-petani dan tenaga kerja sedia ada. "Oleh itu, potensi ini perlu dimanfaatkan dan dimaksimakan bagi menjana pendapatan rakyat dan memacu pembangunan Daerah Setiu,"ujarnya.  
28 Feb 23
717
Tanah Bris 8,000 Hektar Peluang Rakyat Tanam Kelapa
Tanah Bris 8,000 Hektar Peluang Rakyat Tanam Kelapa
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Kerajaan negeri membuka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk rakyat negeri ini bagi mengusahakan tanaman kelapa yang memberikan pulangan sangat lumayan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Terengganu masih memiliki sekitar 8,000 hektar tanah bris yang sangat sesuai untuk tanaman tersebut diusahakan serta dimanfaatkan oleh rakyat. "Pengusaha cuma perlu jelas tujuan kelapa ditaman untuk apa samada hendak memasarkan produk kelapa tua atau muda, kepelbagaian apa yang hendak ditanam, juga boleh menghasilkan produk hiliran seperti air nira. "Di Terengganu ini alhamdullilah memang kita tidak dengar aduan menyatakan produk kelapa tidak boleh dipasarkan, ini mengambarkan ia menerima permintaan yang tinggi dimana kalau ditanam tidak perlu fikir lagi mengenai pasaran kerana ia sangat diperlukan oleh rakyat kita. "Kerana kedudukan Terengganu yang berada di negeri pesisir pantai yang paling panjang di semenanjung menyebabkan kita masih memiliki tanah bencah yang berpotensi untuk pembukaan kebun-kebun baru ataupun untuk kita pulihkan kebun-kebun yang sudah terlalu tua serta tidak lagi produktif," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyempurnakan Program Seminari Kelapa Terengganu 2023, di Dewan Permata, Hotel Permai, di sini, semalam. Mengulas lanjut katanya, menerusi Pelan Strategik Pertanian 2019-2023 permohonan tanah baru kerajaan tidak lagi dipertimbangkan untuk tanaman komoditi seperti sawit atau getah, sebaliknya untuk tanaman kelapa sangat dialu-alukan. "Antara rangka utama kita untuk memajukan industri kelapa ini adalah untuk mencapai kepada satu tahap sehingga Kadar Sara Diri (SSR) adalah mencukupi bagi penggunaan kelapa untuk rakyat kita. "Setakat ini kita mencakap kadar SSR 67 peratus masih lagi jauh hendak cukup, dan penggunaan kelapa kalau mengikut purata standard kebangsaan adalah 23 kilogram (kg). Namun di Terengganu penggunaannya melebihi standard kebangsaan," ujarnya. Dalam pada itu menurutnya, pengeluaran kelapa per hektar di negeri ini adalah antara yang tertinggi dalam negera dengan 7.12 metrik tan mengatasi standard kebangsaan 6.6 metrik tan per hektar. Justeru katanya, tindakan yang dilakukan oleh rakyat sebelum ini yang mengantikkan tanaman kelapa dengan sawit perlu dikaji semula. "Kerana hasil kelapa lebih besar daripada kelapa sawit iaitu 1 hektar kelapa memberikan pulangan hasil 10 hektar kelapa sawit dengan teknik yang betul bagi setiap hektar boleh menghasilkan keuntuntungan RM1,400 lebih tinggi daripada kelapa sawit," ujarnya lagi.
28 Feb 23
1088
Thailand Sedia Kongsi Kepakaran Cantuman Anak Pokok
Thailand Sedia Kongsi Kepakaran Cantuman Anak Pokok
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Beberapa pengusaha tapak semaian (nurseri) di wilayah Narathiwat, Thailand sedia membantu kerajaan Terengganu dengan memberi khidmat nasihat serta berkongsi kepakaran mengenai kaedah cantuman anak pokok yang betul. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kesudian kerjasama tersebut memandangkan industri anak pokok semaian mampu memberikan pulangan ekonomi yang sangat memberangsangkan. Katanya, anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) diberi kepercayaan untuk menguruskan tujuh projek agro makanan bernilai RM30.44 juta daripada geran dana Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Kementerian Kewangan. Menurut beliau, kesemua tujuh projek itu kini sedang berjalan mengikut jadual yang telah dirancang dan salah satunya adalah nurseri anak-anak pokok bernilai tinggi yang diusahakan di Kemaman, Setiu dan Marang. “Industri anak-anak pokok ini terutama anak-anak pokok bernilai tinggi seperti durian Musang King sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar dan memberikan pulangan ekonomi yang sangat baik. “Dan bila TADC buat nurseri, tentu sekali kita perlu contohi pencapaian negara jiran seperti Thailand yang lebih kehadapan dari segi cantuman anak pokok,” ujarnya ketika bersiaran di TV Darul Iman, semalam. Mengulas lanjut katanya, dalam lawatan kerja beliau bersama pasukan TADC ke beberapa nurseri di Narathiwat minggu lalu, pengusaha nurseri disana menunjukkan reaksi positif untuk menjalin kerjasama pintar antara kedua-dua negara. “Mereka akan kongsi kepakaran untuk bantu kita bagi kita menghasilkan anak-anak pokok yang bernilai tinggi dan sektor ini sebenarnya turut membuka peluang ekonomi kepada rakyat untuk bekalkan anak pokok penanti. “Dalam masa yang sama, kita ambil pencantum-pencantum yang akan buat proses cantuman mata tunas untuk bekerja bagi membolehkan anak-anak pokok ini dijadikan tanaman buah-buahan bernilai tinggi,” jelasnya.  
01 Feb 23
188
Berlesen, 'Aktif' Baru Layak Terima Elaun
Berlesen, 'Aktif' Baru Layak Terima Elaun
KUALA NERUS, 30 Januari - Pemilik lesen khas nelayan sampan perlu aktif menangkap ikan bagi membolehkan golongan terbabit menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim. Beliau berkata, ramai yang menganggap bahawa dengan memiliki lesen tersebut ESHN akan terus diberikan  secara automatik. "Ramai yang marah, kata lesen dah dapat tetapi masih tidak menerima elaun, apabila ditanya sama ada turun atau tidak ke laut katanya jarang-jarang menangkap ikan, hasil laut pula tidak diisytiharkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). "Bila tidak isytihar hasil tangkapan maka tidak cukup syarat, kena betul-betul faham ESHN akan diberikan kepada nelayan tulen yang aktif turun ke laut paling kurang 120 hari setahun, kalau hanya turun pada hujung minggu itu dikenali sebagai nelayan rekreasi, tidak cukup syarat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap ketika menyempurnakan perasmian Program Halatuju Sektor Pertanian Terengganu Untuk Masa Hadapan, di Dewan Perdana Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam. Untuk rekod, pada tahun 2021, sekitar 600 orang nelayan telah mendapat kelulusan khas lesen telah diserahkan oleh kerajaan negeri Dalam pada itu katanya, Kuala Nerus merupakan antara kawasan lautnya yang diberikan tumpuan khas bagi menjayakan program melabuhkan unjam dan tukun. "Jangan sampai ada yang memonopoli sehingga menjadi hak peribadi, kerana ia merupakan milik kerajaan yang diperuntukkan kepada semua nelayan negeri ini, sebaliknya tukun dan unjam ini adalah milik bersama," katanya.  
30 Jan 23
647
Terengganu Bakal Wujudkan Industri Penternakan Ayam Penelur
Terengganu Bakal Wujudkan Industri Penternakan Ayam Penelur
KUALA TERENGGANU, 12 Januari- Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan industri penternakan ayam penelur di negeri ini bagi mengatasi masalah kekurangan telur selain mengelak kebergantungan kepada sumber luar untuk tempoh jangka panjang.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya telah mengenal pasti tanah seluas 120 hektar di daerah Setiu untuk dimajukan sebagai hab penternakan ayam telur. Menurut beliau, setakat ini pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak dan ada yang menunjukkan minat untuk membuka ladang ternakan ayam telur di kawasan berkenaan. "Kebetulan sebenarnya sebuah syarikat yang mengusahakan ladang ayam penelur di Melaka turut mempunyai ladang ayam pedaging di Negeri Terengganu. "Jadi kita akan berbincang supaya mereka kembangkan lagi daripada sektor penternakan ayam pedaging sahaja kepada sektor penternakan ayam penelur sekali," ujarnya selepas melakukan tinjauan agihan telur di Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Chendering, hari ini. Katanya, projek ternakan ayam penelur itu dijangka dimulakan pertengahan tahun ini dengan menggunakan model sama seperti projek pertanian lain di negeri ini. Tambah beliau, kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama sebaiknya dengan para pelabur yang berminat mengusahakan projek ternakan ayam penelur ini termasuk menyediakan infrastruktur, tapak dan sebagainya.  "Dalam pelan strategik pertanian Negeri Terengganu ke arah 'food security', kita sebenarnya tidak mahu bergantung kepada bekalan daripada luar tetapi hendak jadi pengeluar yang menghasilkan makanan untuk negeri dan kalau ada berlebihan boleh dikongsi dengan negeri lain, " ujarnya. Dr Azman berkata, kerajaan negeri juga tidak berhasrat untuk mengimport telur dari negara lain termasuk Thailand bagi memenuhi permintaan pasaran, kerana harganya lebih mahal dan kurang berkualiti "Setakat ini, kita masih boleh bergantung kepada sumber tempatan disamping harganya yang lebih murah, kita yakin telur tempatan ini lebih berkualiti sebab kalau telur import dari luar negara mungkin memakan masa berminggu-minggu untuk sampai ke outlet-outlet jualan.  "Dalam masa yang sama kita sedia maklum, Kadar Sara Diri (SSR) pengeluaran telur dalam Malaysia mencatat 120 peratus, sudah melebihi daripada keperluan tetapi yang menjadi isu dan persoalannya telur ini dieksport ke luar negara yang menyebabkan bekalan dalam negara kita mengalami ketidakcukupan. "Saya melihat ini adalah isu utama yang perlu diselesaikan di peringkat kementerian khususnya perbincangan dengan pengusaha dan pengeksport supaya ada satu jalan tengah yang boleh diambil, " jelasnya.
12 Jan 23
981
Keluarga Pertanian Terengganu Terima Penghargaan
Keluarga Pertanian Terengganu Terima Penghargaan
KUALA TERENGGANU, 5 Januari – Keluarga Pertanian Terengganu menerima anugerah penghargaan dalam acara tahunan di sini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata Keluarga Pertanian Terengganu tersebut terdiri daripada semua Jabatan Pertanian di seluruh daerah dalam negeri ini. Katanya, acara ini bertujuan untuk menyampaikan amanat tahunan dan anugerah-anugerah dalam pelbagai kategori kepada semua Jabatan Pertanian. “Di samping, kita mengimbas kembali kejayaan-kejayaan yang dicapai bersama sepanjang tahun 2022. “Tidak dinafikan juga kekurangan yang perlu diperbaiki bagi menghadapi 12 bulan akan datang pada tahun 2023 nanti,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Sektor Pertanian Negeri Terengganu Tahun 2023 bertempat Dewan Permata, Permai Hotel di sini semalam. Turut hadir, Timbalan Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Hilmi Harun. Tambah Dr Azman, pelbagai cabaran sukar yang kita lalui terutamanya berdepan dengan wabak COVID-19 yang menjejaskan banyak perkara dalam sektor pertanian. “Pelbagai usaha juga kita lakukan demi untuk bangkit semula. "Justeru melalui data-data peningkatan hasil pertanian menunjukkan kita berjaya melepasi serta mengatasinya,” katanya. Pada majlis itu, Dr Azman turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Persijilan Skim Amalan Pertanian Baik (myGAP) dan Skim Persijilan Organik (myOrganic) 2022 kepada 52 peserta.    
05 Jan 23
436
Kerugian Sektor Pertanian, Penternakan, Perikanan Lebih RM88 Juta
Kerugian Sektor Pertanian, Penternakan, Perikanan Lebih RM88 Juta
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini mengalami kerugian lebih RM88 juta akibat bencana yang melanda pada tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata jumlah tersebut melibatkan semua daerah dalam negeri ini. Katanya, jumlah bagi keseluruhan petani, penternak dan nelayan yang mengalami kerugian pada tahun lalu adalah seramai 3,697 orang. “Setakat rekod diterima dalam sektor pertanian adalah mengalami kerugian sekitar RM39.2 juta yang melibatkan seramai 2555 orang warga tani. “Manakala bagi sektor penternakan pula jumlah kerugian adalah sebanyak RM3.4 juta dengan seramai 781 penternak,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Sektor Pertanian Negeri Terengganu Tahun 2023 bertempat Dewan Permata, Permai Hotel di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Hilmi Harun. Tambah Dr Azman, sektor perikanan pula mengalami kerugian melebihi RM6 juta yang melibatkan seramai 361 orang penternak akuakultur dan juga nelayan. Justeru, jumlah kerugian sehingga hari ini melebihi RM 88 juta dengan seramai 3697 orang warga tani, penternak dan nelayan yang terlibat dalam sektor pertanian dan terkesan dengan banjir pada baru-baru ini. Untuk makluman, sektor pertanian dan perikanan di negeri ini kerugian kira-kira RM49.6 juta akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL), pertengahan bulan lalu.     
04 Jan 23
277