lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Sedia Peti Sejuk Beku Di PPS
Sedia Peti Sejuk Beku Di PPS
Oleh : Muhammad Amiruddin  DUNGUN, 2 Oktober- Enam peti sejuk beku ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara(PPS) di daerah ini bagi memastikan barangan basah dan bahan dapat disimpan dalam tempoh lama Penyelaras DUN, Ghazali Sulaiman berkata ianya untuk memastikan stok makanan mentah dapat dibekalkan sekiranya kawasan yang terlibat terputus bekalan makanan.  "Jadi, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mengambil inisiatif membekalkan  peti sejuk beku untuk diagihkan kepada Pusat Pengkalan Hadapan. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan barangan berkenaan di PPS di sini, semalam. Menurut beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) bagi memastikan bekalan bahan mentah mencukupi sebelum dan semasa berlakunya banjir. “Dari segi barang dan stok seperti khemah dan bekalan makanan asas bagi menghadapi banjir turut diagihkan  oleh  Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) dengan kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat dan JPKK setempat ke lima pusat pengkalan hadapan dan berbaki lagi tujuh pengkalan hadapan pada keesokkannya." jelasnya. 
02 Nov 21
186
'Ngail Udang Galah' Atas Bot Cetus Fenomena Baharu
'Ngail Udang Galah' Atas Bot Cetus Fenomena Baharu
KUALA NERUS, 2 November - Pertandingan memancing udang galah diatas bot kini mencetus fenomena baharu dalam dunia penganjuran pertandingan buat warga kaki pancing tempatan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kebiasaannya acara memancing udang air tawar tersebut dibuat dari tebing sungai, namun kali ini ia diadakan menggunakan bot fiber. Ustaz Ridzuan Hashim membunyikan hon untuk memulakan pertandingan “Sebanyak 31 buah bot melibatkan 80 orang peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan pada hari ini. “Sambutan yang diterima sangat memberansangkan daripada komuniti setempat walaupun ianya pertama kali dianjurkan”, ulasnya lagi. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Ngail Udang Galah Atas Bot yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu, baru-baru ini. Menurutnya lagi, idea penganjuran pertandingan tersebut dicetuskan oleh para pemancing sungai berkenaan sempena Negeri Terengganu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), akhir Oktober lalu. Antara udang galah yang berjaya dipancing peserta pertandingan “Kunci kepada kejayaan penganjuran sesuatu program itu adalah permuafakatan. Tanpanya, tidak mungkin sesuatu anjuran itu berjaya dilaksanakan,” katanya lagi. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada juara kumpulan dengan tangkapan udang seberat 379 gram yang membawa pulang hadiah RM400 beserta hamper dan juara kategori individu dengan tangkapan udang seberat 273 gram yang membawa pulang hadiah RM300 beserta hamper. Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Penghulu Mukim Manir, Petai Bubus, Muhammad Shafiee Abdullah.  
02 Nov 21
614
Peruntukan RM123,000 Bangunkan CBT Daerah Besut
Peruntukan RM123,000 Bangunkan CBT Daerah Besut
BESUT, 2 November - Kerajaan negeri terus giat membangunkan produk pelancongan berteraskan Komuniti (CBT) di setiap daerah di negeri ini apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM123,000 untuk Besut. Suntikan dana berkenaan bertujuan untuk membantu pengusaha-pengusaha terlibat dalam menambah baik fasiliti sedia ada dan meningkatkan lagi daya tarikan pelancong untuk datang ke daerah terbabit  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata ia melibatkan sembilan lokasi termasuk Pusat Pembuatan Gasing Uri dan Gelanggang Seni Budaya warisan di Kampung (Kg) Gong Guchil, Trek Hiking di Bukit Keluang. "Sekain itu Bengkel Permainan Gasing Pakoh, Kg. Panchur, Air Terjun Felda Selasih, Kg.Kerandang, Kg.Pondok Batu dan juga dua Homestay terletak di Kg.Kubang Depu dan Kg.Kayu Kelat. "Setakat ini dua program pengindahan produk pelancongan telah dijalankan secara gotong royong iaitu membersihkan Lata Air Terjun FELDA Selasih dan Gotong Royong baik pulih Bengkel Permainan Gasing Pakoh. "Hari ini empat lagi program pengindahan produk pelancongan telah dilakukan yang mana hari ini merupakan hari ketiga, bermula dari Pusat Pembuatan Gasing Uri, Gelanggang Seni Budaya Warisan dan Homestay Kg.Kubang Depu. "Serta majlis perasmian telah diadakan di Homestay Kg.Kayu Kelat. Ini diantara sebagai persedian menerima kedatangan pelancong khususnya menerima pelancong tempatan yang dianggarkan 80 peratus datang ke negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), sempena Program Pengindahan Produk Pelancongan Daerah Besut, di sini kelmarin. Turut hadir, Pegawai Daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Produk) Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Fathil Abd Ghani, Pegawai Penyelaras DUN Jertih, Wan Azhar Wan Ahmad dan Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Mat Daik Mohamad. ​​​​​Jelasnya, dengan dimajukan CBT berkenaan ia juga akan turut menjadi pemangkin kepada produk-produk utama yang sedia ada di daerah terbabit. "Insya-Allah kita akan cuba promosikan lagi lokasi pelancongan yang ada selain dari tempat yang sudah sedia terkenal seperti Pulau Perhentian dan juga Bukit Keluang. "Jika hendak disebut semuanya terlalu banyak tarikan yang ada di daerah ini untuk diterokai dan dinikmati oleh pengunjung," ujarnya.        
02 Nov 21
625
Besut Siap Siaga Hadapi Banjir
Besut Siap Siaga Hadapi Banjir
BESUT, 1 November - Besut telah melakukan persediaan dalam menghadapi banjir pada tahun ini setelah daerah itu dijangka menjadi kawasan terawal menghadapi musibah berkenaan berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi. Pegawai daerah tersebut, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat melibatkan Ahli Jawatankuasanya untuk mengambil keputusan serta tindakan dalam memastikan lokaliti yang biasa menghadapi banjir dapat melakukan persiapan sewajarnya. "Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berada dalam keadaan yang baik dengan segala kemudahan serta fasiliti termasuk tandas diperbaiki awal untuk memastikan keselesaan mangsa-mangsa banjir. "Mengenai bekalan makanan pula kerajaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah melakukan persiapan awal dalam memastikan keperluan asas berkenaan mencukupi sebagai persediaan menghadapi banjir," ujarnya. Beliau berkata demikian, selepas ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Perasmian Program Pengindahan Produk-Produk Pelancongan Daerah Besut, di sini, semalam. Dalam pada itu beliau berharap, penduduk daerah berkenaan tidak mengambil mudah mengenai bencana berkenaan dengan sentiasa bersedia untuk berpindah segera ke PPS apabila keadaan memerlukan.  "Terutama yang berada di tepi pantai seperti Kuala Besut dan juga berhampiran sunga-sungai, perlu segera berpindah terutamanya golongan warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), wanita hamil dalam memastikan tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," ujarnya.
01 Nov 21
304
Hulu Dungun Siap Siaga Hadapi Banjir Besar
Hulu Dungun Siap Siaga Hadapi Banjir Besar
Oleh: Amiruddin Zamri/ Afiq Fahmi  DUNGUN, 31 Oktober - Kawasan Hulu Dungun bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir akhir bulan ini berikutan ramalan awal taburan hujan lebat luar biasa bermula akhir Oktober hingga Disember.  Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, sebagai persediaan, pihaknya telah menjemput Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk mengendalikan segala latihan dan tunjuk ajar secara profesional memandangkan apabila berlaku banjir wujud situasi yang kelam kabut disebabkan kekangan terutamanya kekurangan tenaga terlatih untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir.  "Program ini akan memberi peluang seluas-luasnya kepada anak-anak muda yang menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Bukan Kerajaan (NGO) Jabatan Amal Malaysia (JAM) untuk turut sama terlibat dengan panduan yang sewajarnya dalam operasi kemanusiaan ini.  "Semangat yang dimiliki oleh mereka perlu dipuji kerana sifat ikhlas mereka untuk meringankan beban agensi-agensi penyelamat ketika musim banjir melanda kelak," ujarnya.  Wan Hassan berkata demikian ketika berucap merasmikan Latihan Pengukuhan Penyelamatan Menggunakan Bot dan Penyelamatan di Air peringkat Daerah Dungun di Tasik Puteri, Bandar Bukit Besi, di sini semalam.  Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun, Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Terengganu, Md Hilman Abdul Rashid dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa.  Sehubungan itu, Ghazali berkata, program tersebut sebagai langkah persediaan  menghadapi banjir terutamanya di DUN Bukit Besi yang kebiasaannya kebanyakan kawasan akan terlibat.  “Di peringkat DUN, pemasangan radio amatur sudah siap dipasang di lapan lokasi di Pasir Raja, Shukur, Jongok Batu, Kuala Jengal, Minda, Talong, Rantau Panjang dan Tepus.  “Semakan pengkalan hadapan oleh pihak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dijalankan bagi memastikan barangan kelengkapan seperti khemah dan stok bekalan makanan untuk ditambah dari semasa ke semasa bagi menghadapi persediaan banjir," jelasnya lagi.
31 Oct 21
285
T-HRDC Sedia Peluang Pekerjaan
T-HRDC Sedia Peluang Pekerjaan
Foto: Naim Abdillah Oleh: Amiruddin Zamri DUNGUN, 31 Oktober - Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu(T-HRDC) mengadakan Program Outreach Kesejahteraan Rakyat Negeri Terengganu bagi memberi peluang pekerjaan kepada yang memerlukannya. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri,  Wan Hapandi Wan Nik berkata, ia sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kadar penganguran di Negeri Terengganu.  " Kita bergerak pantas di lapangan bersama rakyat bagi mendapatkan pekerjaan, dan peluang ini perlu digarap oleh para belia di Dungun ini segera kerana peluang seumpama ini amat jarang ditemui di sepanjang hayat kita," katanya.  Wan Hapandi berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, di sini semalam.  Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Menurutnya lagi, kerajaan persekutuan juga menyediakan  pelbagai insentif Pakej PEMULIH telah disediakan, melalui PERKESO kepada mereka yang berkelayakan.   "Kerajaan jegeri, melalui T-HRDC, juga telah mengadakan perjanjian persefahaman(MOU) bersama sebuah syarikat multinasional dari Jepun, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn. Bhd.(PAPAMY) bagi membuka sebanyak 800 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini. "Oleh itu, saya menyeru kepada para belia di Dungun ini, dan juga di seluruh negeri Terengganu agar berusaha mendaftar dan menghadiri temuduga yang kita sediakan ini," ujarnya. Dalam masa yang sama, Wan Hapandi berkata, T-HRDC bersama pasukan Sumber Manusia PAPAMY ini akan menjelajah di daerah lain bagi menemui rakyat Terengganu yang berminat.
31 Oct 21
297
"Rindukan Panggilan Ibu..."
"Rindukan Panggilan Ibu..."
MARANG, 29 Oktober - “Setiap hari selepas bangun tidur, saya harap sangat dia sebut perkataan ibu dan ayah seperti sebelum ini," kata Suria Aziela Mansor, 34, ibu kepada Mohammad Haris Mohd Hisyam, 13, yang lumpuh seluruh badan. Keadaan Haris yang lumpuh seluruh badan menyebabkannya tidak mampu bercakap dipercayai berpunca daripada jangkitan kuman dalam darah dihidapinya tiga tahun lalu. "Anak sulung saya adalah seorang anak yang aktif dan ceria sejak kecil namun selepas menjalani tiga kali pembedahan pada tahun 2018, dia terus lumpuh dan sejak itu hanya terlantar di katil. "Ibu mana yang tak sedih apabila melihat anak kesayangan jadi begitu, redha dengan ketentuan tapi sungguh saya rindu nak dengar suara dia panggil ibu macam biasa dan mengharapkan ada keajaiban pada satu hari nanti," ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kijing, di sini hari ini. Terdahulu, Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah meluangkan masa menziarahi Muhammad Haris di samping menyampaikan sumbangan. Ibu kepada tiga anak itu berkata semasa Muhammad Haris sihat, mereka sekeluarga menetap di kuaters Felcra di Besut kerana suaminya, Mohd Hisham Hussin, 36 bekerja di situ. "Selepas kesihatan Muhammad Haris semakin merosot pada pertengahan 2018 akibat jangkitan kuman dalam darah, kami sekeluarga berpindah menumpang ke rumah ibu saya di Kampung Kijing kerana lebih mudah untuk menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan," katanya lagi. Dalam masa yang sama, dia mengucapkan rasa syukur kerana terdapat perubahan positif apabila anaknya itu menunjukkan reaksi terhadap kesakitan. Suria Aziela berkata kos  perbelanjaan bulanan Muhammad Haris mencecah lebih RM2,000 termasuk kos ambulans untuk rawatan susulan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah. "Namun kami rasa bersyukur kerana beban yang kami tanggung agak berkurangan kerana mendapat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM). "Kami diberi bekalan susu dan lampin pakai buang dari Maidam serta wang tunai bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.    
29 Oct 21
894
APM Terengganu Siap Siaga Bantu Mangsa Banjir
APM Terengganu Siap Siaga Bantu Mangsa Banjir
KUALA NERUS, 28 Oktober - Seramai 2,779 petugas daripada enam agensi penyelamat di negeri ini bersiap siaga digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir, tahun ini. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Rosman Abdullah berkata, mereka terdiri daripada 833 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di samping 803 polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (517 orang), Jabatan Sukarelawan Malaysia (376 orang), Angkatan Tentera Malaysia (208 orang) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (42 orang). Katanya, dari segi logistik, kesemua agensi berkenaan memiliki 163 bot, 132 kenderaan pacuan empat roda, 62 lori dan 24 ambulans. “Besut diramal daerah terawal dilanda banjir pada awal November sebelum merebak ke daerah lain. “Sehubungan itu, kita sudah mempersiapkan sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan sehingga 270,000 mangsa dengan 80 peratus daripadanya merupakan bangunan sekolah,” katanya dalam sidang media persediaan menghadapi monsun timur laut di sini hari ini. Sementara itu, Mohd. Rosman berkata, hampir RM6 juta bantuan wang ihsan disalurkan kepada lebih 11,000 ketua isi rumah yang terjejas banjir, tahun lalu. Katanya, bantuan kewangan berkenaan ditingkatkan sekali ganda daripada RM500 kepada RM1,000 seperti diumumkan kerajaan, September lalu.
28 Oct 21
915
Proses Pembersihan Laluan Air Elak Banjir Mula Dijalankan
Proses Pembersihan Laluan Air Elak Banjir Mula Dijalankan
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kerja-kerja pembersihan saliran air di Kampung Kolam dan Kampung Padang Luar bagi mengelakkan kejadian banjir mula dijalankan pada Isnin lalu. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi kerja-kerja pembersihan tersebut merupakan antara persiapan awal untuk menghadapi musim tengkujuh.  “Kawasan ini antara yang selalu naik air dan setiap tahun kita akan buat operasi pembersihan laluan air untuk memastikan sisitem saliran air berjalan dengan lancar, tidak tersumbat. “Setakat yang biasa kita buat, ia berkesan untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan ini,” kata Ustaz Muhammad Khalil ketika membuat tinjauan di kawasan tersebut selepas turun padang meninjau operasi itu. Tambah beliau lagi, cadangan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk penyelesaian masalah banjir di kawasan tersebut telah diterima dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.  “Pada tahun ini, fokus kami di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk ialah untuk menyelesaikan isu banjir di Mukim Kuala Ibai,” katanya lagi.  Sementara itu, sebuah longkang baharu telah dibina di Kampung Gong Kemunting untuk melancarkan aliran air di situ.  
28 Oct 21
418
Beri 'Kail' Sudah Cukup Untuk Saya Buat Lebih Baik
Beri 'Kail' Sudah Cukup Untuk Saya Buat Lebih Baik
MARANG, 27 Oktober - "Dapat mengikuti kursus dan ilmu pertukangan kayu pun sudah cukup, untuk saya pelajari supaya saya boleh buat kerja dengan lebih baik, berkemahiran dan lebih bagus lagi."  "Saya tidak mahu ikan semata-mata, lebih baik bagi mata kail, nanti saya boleh cari ikan sendiri, kerana saya juga tidak mahu hanya terus mengharapkan bantuan semata-mata, walaupun bantuan itu adalah bonus," ucap Kamaruzaman Mohamad, 50, yang berasal daripada Kampung Batangan. Menurutnya lagi, sebelum ini dia berkerja sebagai seorang nelayan tetapi beralih untuk mengetengahkan bakatnya dalam bidang perkayuan ditambah lagi dirinya memang meminati bidang pertukangan itu. "Walaupun saya baru dalam bidang ini, produk dan perabot kayu yang saya buat semakin mendapat tempat di kalangan pembeli, kebiasaannya saya mendapat tempahan melalui 'Facebook' dan rakan-rakan terdekat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dikunjungi oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang untuk melihat bengkel kecil dan hasil kerja di rumahnya baru-baru ini. Sementara itu, Pegawai Khas PKM ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya dapat melihat sendiri bakat Kamaruzaman dan akan menyokong usahanya untuk terus memajukan kerjayanya. "Insya-Allah, kita akan cuba bantu permintaannya melalui agensi berkaitan sama ada Yayasan Pembangunan Usahawan ataupun Kraftangan sekiranya terdapat ruang kursus kemahiran ataupun sumbangan lain yang boleh membantunya meningkatkan produktiviti produk pertukangannya. "Mudah-mudahan kemahiran tersebut dapat dijadikan sebagai kail yang memberikan manfaat kepadanya sekeluarga, bukan hanya menunggu ikan atau kata lain, hanya bantuan semata-mata," tambahnya. Katanya, usahawan kecil yang bersemangat besar seperti itu wajar dibantu supaya mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup di samping memajukan produknya ke peringkat lebih tinggi. "Kita juga berharap semoga Pak Kamal terus maju dalam bidang ini, tidak mudah berputus asa dan terus berdaya saing dalam mengeluarkan perabot-perabot berasaskan kayu pine ini setanding dengan pengusaha lain," tambahnya lagi.  
27 Oct 21
347