lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Berpuluh Tahun Cuci Baju Guna Tangan, Keluarga Pekebun Dibantu
Berpuluh Tahun Cuci Baju Guna Tangan, Keluarga Pekebun Dibantu
SETIU, 18 November - Seorang pekebun tepi rumah, Che Nik Ibrahim meluahkan perasaan terharu apabila menerima sumbangan mesin basuh daripada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail Katanya, berpuluh tahun sebelumnya, dia terpaksa membasuh pakaian hanya dengan menggunakan kudrat sendiri untuk keluarganya kerana tidak mampu membeli sebuah mesin mencuci. “Saya gembira di atas pemberian ini dan sangat bersyukur, sebelum ini saya hanya membasuh baju dengan tangan sahaja di luar rumah. "Terima kasih atas keprihatinan Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit dan Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung disini,” katanya yang juga ibu kepada seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU). Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika diziarahi Pegawai Penyelaras DUN berkenaan untuk menyampaikan bantuan berkenaan, di kediamannya baru-baru ini. Shafizi memaklumkan selain menyampaikan bantuan mesin basuh berkenaan, rumah penerima berkenaan juga baru sahaja dibalik pulih melibatkan ruang tamu dan bilik tidur. "Saya berharap dengan sumbangan ini akan meringankan beban atau urusan keluarga,” ujarnya. Katanya tindakan yang diambilnya dalam menggembirakan rakyat di DUN tersebut setelah menerima aduan daripada Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Kampung Maras Hilir yang menyatakan ada seorang pekebun yang juga merupakan suri rumah memerlukan bantuan mesin basuh. "Dengan syarat-syarat yang dipenuhi, kami menyerahkan sebuah mesin basuh dengan segera untuk kegunaan hariannya sekeluarga,” katanya. 
18 Nov 21
74
Sidang DUN : Nasib Perantau Terbela, Tidak Dipinggir
Sidang DUN : Nasib Perantau Terbela, Tidak Dipinggir
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan negeri melalui Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan yang telah ditubuhkan berperanan untuk memantau kebajikan golongan terbabit dan membela nasib mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata melalui penubuhan sekretariat berkenaan pada Februari 2020 pelbagai perancangan telah diatur termasuk mengadakan jelajah seluruh Malaysia membabitkan kepimpinan utama negeri. "Namun ia hanya sempat diadakan di Johor bersama Menteri Besar,Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di mana untuk negeri-negeri lain ia terpaksa ditangguhkan kerana Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Namun begitu kerajaan mengambil langkah sepanjang berlakunya PKP dimana kerajaan meluluskan bantuan dua tahun berturut-turut dimana melalui persatuan anak-anak Terengganu pada tahun 2020 ketika mula-mula PKP dilaksanakan telah menyalurkan bantuan RM50,000. "Manakala bagi tahun 2021 kerajaan telah menyediakan bantuan kewangan secara 'one-off'  menerusi bantuan Covid-19 2.0 pada pertengahan Jun dengan jumlah RM100,000 dimana sebanyak 500 keluarga  di seluruh Malaysia. "Termasuk Sabah dan Sarawak terdiri daripada isi rumah yang berpendapatan rendah, kurang daripada RM3,000 setiap bulan telah menerima bantuan berkenaan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN PAS) Ajil, Maliaman Kassim pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, hari ini. Pada tahun hadapan katanya, kerajaan berhasrat menganjurkan suatu program khusus untuk mengadakan pertemuan dengan perantau seluruh negara. "Kita akan adakan mengikut zon bagi memberi penerangan berkenaan kejayaan yang telah dicapai melalui inisiati yang telah dilaksanakan oleh kerajaan menerusi kerjasama agensi yang ada," katanya.  
18 Nov 21
158
Kompaun Serta Merta Pengunjung Buang Sampah Merata
Kompaun Serta Merta Pengunjung Buang Sampah Merata
KUALA TERENGGANU, 15 November - Dalam usaha memastikan negeri ini bersih, kerajaan menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menjalankan operasi penguatkuasaan di lokasi-lokasi tumpuan melalui kaedah penyamaran dan tindakan kompaun dikenakan serta merta kepada pengunjung yang membuang sampah merata-rata. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata usaha terbabit adalah untuk mengekalkan keceriaan dan kebersihan seluruh negeri ini terutama di kawasan yang menjadi tumpuan ramai termasuk pantai dan pulau peranginan. "Antara usaha yang dijalankan ialah mengadakan  aktiviti plogging bersama PBT, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat di kawasan menjadi tumpuan, menjalankan kerjasama dengan pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam mencari penyelesaian masalah kebersihan dan pengurusan pepejal termasuk di pulau-pulau. "Menjalankan kempen kesedaran menjaga kebersihan melalui aktiviti gotong royong yang melibatkan persatuan dan NGO kebersihan, serta melibatkan kanak-kanak sebagai kempen kesedaran dalam memupuk sikap menjaga kebersihan bermula dari peringkat kanak-kanak. "Menyediakan tong sampah daripada bersi bergalvani yang lebih tahan lasak dan kalis api berbanding tong plastik bagi mengurangkan masalah vandalisme di tapak pengumpulan sampah," ujarnya. Beliau berkata demikian sebagai menjawab secara bertulis soalan bertulis dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 (BAJET), di Wisma Darul Iman (WDI), pada hari ini. Dalam memupuk kesedaran di kalangan rakyat dan pengunjunng katanya, tong sampah kitar semula juga telah diwujudkan di kawasan pantai bagi mengalakkan aktiviti kebersihan dan pengasingan sampah dikalangan pengunjung. "Juga melancarkan kempen 'no plastic' dan menghentikan penggunaan plastik sekali guna di kalangan penjaja dan peniaga di kawasan pantai bagi mengurangkan masalah sampah yang melibatkan plastik sekali guna," katanya.
15 Nov 21
234
Lebih 19 Ribu Warga Emas Terima RM300 Akhir Bulan Ini
Lebih 19 Ribu Warga Emas Terima RM300 Akhir Bulan Ini
KUALA TERENGGANU, 15 November – Kerajaan Negeri bakal merealisasikan satu lagi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan menyalurkan Pemberian Pencen Rakyat Warga Emas kepada 19,230 orang penerima pada 21 November ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pelaksanaan manifesto itu pada tahun ini hanya melibatkan suku kedua, bermula Jun sehingga Disember atau sebanyak RM300. “Pada tahun 2022, kerajaan meluluskan RM13 juta bagi menampung lebih ramai penerima dengan jumlah sebanyak RM600 seorang. “Lebih 19 ribu penerima adalah hasil daripada 20,560 ribu permohonan diperoleh pada 31 Disember tahun lepas. “Antara syaratnya adalah warga emas berusia 60 tahun yang bukan penerima pencen dan bantuan daripada agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan lain-lain,” katanya. Beliau berkata demikian semasa ditemu bual Urus setia Penerangan Darul Iman, di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mengumumkan Pusat Integrasi Sosial Warga Emas (PISWE) serta pusat jagaan harian warga emas muslimah, Baitul Ummi peruntukan sebanyak RM500 ribu, bagi membela nasib warga sasar tersebut.
15 Nov 21
1641
250 'Mat Motor' Jelajah Ke Kenyir, Madrasah
250 'Mat Motor' Jelajah Ke Kenyir, Madrasah
HULU TERENGGANU, 13 November – Kerajaan negeri meraikan seramai 250 penunggang motosikal sempena program Jelajah Ilmuan 'Ride To Kenyir' bagi meningkatkan semangat warga belia serta melawat pusat-pusat ilmu, di sini. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, acara tersebut melibatkan jarak lebih 100 kilometer dengan penyertaan dari seluruh daerah dalam negeri. “Kita turut menjelajah ke pusat ilmu pendidikan agama di daerah ini seperti Madrasah Darul Ansar, Madrasah Darul Zahra dan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi. “Pihak saya mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada setiap pusat ilmu dikunjungi sebagai suntingan pembangunan buat madrasah di sini. “Antara pengisian juga adalah lawatan ke Pulau Herba di Tasik kenyir, saya melihat banyak potensi boleh dibangunkan daripada herba-herba tempatan dari segi aspek kajian saintifik terutamanya buat MOSTI,” katanya. Beliau berkata demikian semasa program Jelajah Ilmuan ‘Ride to Kenyir’ di Madrasah Darul Ansar, Kampung Basung, petang tadi. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood. Tambah Amzad, beliau turut mengingatkan warga muda termasuk masyarakat bahawa negeri tidak akan kekal selamat dari segi penularan COVID-19 jika Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak terus dipatuhi. “Kita baru sahaja berpindah kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Oktober lalu, oleh itu kita perlu kekal mengambil langkah menjaga keselamatan diri dan keluarga," katanya.
13 Nov 21
887
Kerjasama Antara Agensi Bantu Sejahterakan Rakyat
Kerjasama Antara Agensi Bantu Sejahterakan Rakyat
MARANG, 13 November - Kerjasama agensi negeri dan persekutuan merupakan antara asas kesejahteraan dan pembangunan dakwah di Terengganu.  Pengerusi Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata kerajaan negeri sentiasa komited dalam memperkukuh hubungan dan interaksi dengan badan-badan bukan kerajaan persekutuan Islam dalam menyampaikan mesej dakwah di negeri ini. "Kita bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti YADIM, JAKIM, YAPeIM, dan JaPen bagi memastikan agenda pembangunan insan itu tercapai. "Kolaborasi yang baik antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan sangat diperlukan bagi pelaksanaan gerak kerja dengan lebih berkesan kepada rakyat Terengganu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Komuniti Sejahtera Darul Iman Di Hatiku (K.O.S.D.I) @Marang, dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) peringkat daerah ini, di Dewan Sebaguna Kg. Sena Rendang , di sini, pada hari ini. Turut hadir, Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin, Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan Malaysia, Aszahari Abdul Rahman dan Pengurus YAPeIM negeri, Kartina Ahmad. Tambah Mohd Nor, usaha berterusan untuk melaksanakan aktiviti dakwah di negeri ini perlulah disokong oleh semua pihak. "Maka sudah pasti agenda untuk menyeru masyarakat kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran dapat kita lestarikan dengan sebaik mungkin apabila wujudnya kerjasama dan sokongan tersebut. "Marilah sama-sama kita jadikan dakwah sebagai suatu kebiasaan dalam hidup kita," katanya.
13 Nov 21
256
Setelah 20 Tahun Tertangguh, 397 Suratan Hak Milik Dan Borang 5A Diserahkan
Setelah 20 Tahun Tertangguh, 397 Suratan Hak Milik Dan Borang 5A Diserahkan
SETIU, 13 November- Setelah menunggu hampir 20 tahun akhirnya seramai 397 penduduk di sini lega setelah menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Rhu Tapai dan Tanah Pertanian. Daripada Jumlah terbabit seramai 147 merupakan penerima Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Rhu Tapai, Setiu. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail berkata, sekian lama penduduk di sini menunggu akhirnya ia menjadi kenyataan yang sangat mengembirkan rakyat. “Saya memanjatkan syukur ke atas Ilahi kerana diberikan kesempatan untuk menunaikan hak rakyat di kawasan saya dengan kerja keras daripada semua pihak terutama kakitangan Pejabat Tanah Daerah Setiu proses penyerahan hak milik RTB ini menjadi kenyataan. “Ia merupakan Hari yang sangat bersejarah kerana kita berjaya merealisasikan janji dan manifesto kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi mengembalikan tanah-tanah terkilan,” ujarnya pada majlis penyampaian Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis Borang 5A RTB Terkilan, Rhu Tapai di Dewan Sungai Tarom, Permaisuri Setiu baru-baru ini. Seorang penerima, Novianti binti Mohd Zam, 41, berkata, dia menzahirkan perasaan sangat gembira kerana permohonan yang dibuat pada tahun 1999 akhirnya diluluskan. “Alhamdulillah, syukur sangat kerana penantian hampir 20 tahun untuk memiliki tanah ini akhirnya berakhir dan saya tidak menyangka permohonannya begitu cepat diproses dibawah keraaan PAS. “Terima kasih kepada kerajaan negeri dibawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail yang sangat cakna kepada keperluan rakyat seperti kami,” ujarnya yang berasal dari Kampung Pasir Puteh Batu Rakit. Hadir merasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dr Azman Ibrahim, Pegawai Daerah Setiu, YBrs Tuan Rosli latif dan Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari Abdul Rahman.
12 Nov 21
332
Tiga PPS Seberang Takir Tanda Kesiapsiagaan Hadapi Banjir
Tiga PPS Seberang Takir Tanda Kesiapsiagaan Hadapi Banjir
KUALA NERUS, 9 November – Tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah disediakan di Seberang Takir bagi menempatkan mangsa banjir menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula pada hujung bulan ini. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika membuat tinjauan berkata, persiapan rapi telah dibuat pelbagai pihak dan agensi di ketiga-tiga PPS sebagai persediaan menanti segala kemungkinan. “Pada tahun ini, logistik sedikit berbeza kerana semua PPS akan menyediakan bilik khas bagi mangsa bergejala atau positif COVID-19. “Mereka yang terkesan akan dikuarantinkan ke bilik rawatan khas ini atau ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC). “Saya berpuas hati dengan persediaan yang dibuat, terima kasih pihak sekolah yang memberi kerjasama yang baik dalam menghadapi sebarang potensi pada masa hadapan,” ujarnya lagi Buat guru yang mengendali salah sebuah PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir, Mohd Zuki Muda, persediaannya melibatkan dua buah kelas setakat ini dengan setiap kelas mampu memuatkan sehingga enam buah khemah. “Kita mengharapkan apabila berlaku nanti, pihak terlibat seperti RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan warga guru yang bertugas akan segera bertindak segera berdasarkan peranan masing-masing. "Jangkaan kami adalah kesan banjir tahun ini akan menjadi sama dengan tahun lalu, Insya-Allah dengan kapasiti sedia ada in kita mampu tangani walaupun masih berdepan dengan pandemik," jelasnya. Antara dua lagi lokasi PPS tersebut adalah di SK Seberang Takir dan SK Tok Jembal.
09 Nov 21
303
Gotong-Royong Bina Rumah
Gotong-Royong Bina Rumah
  DUNGUN, 7 November - Tradisi gotong royong yang menjadi amalan masyarakat perlu sentiasa dihidupkan kerana cara ini berjaya menjimatkan kos dan masa dalam menyelesaikan kerja-kerja ahli qaryah. Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata apabila ramai orang kampung menyertainya, kerja yang berat menjadi ringan. "Macam hari ini, gotong-royong mendirikan tiang rumah, di mana empat tiang telah didirikan untuk sambung rumah Saudara Wan Wahab, jadi kalau upah tukang, boleh mengambil masa dua tiga hari jugok, tapi bila buat ramai - ramai empat-empat tiang boleh didirikan hanya pagi ini sahaja," katanya. Alias berbaju ungu turut serta dalam gotong royong berkenaan. Caption Alias berkata demikian selepas hadir di program gotong royong mendirikan tiang untuk membina rumah Wan Wahab Wan Yaakob, penduduk Kampung Bukit Merah di sini jumaat lepas. Program anjuran Unit Daerah Mengundi(UDM) Padang Pulut  yang terdiri daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) Padang Pulut, Burung Baru dan Bukit Merah serta  ketiga-tiga PAS Cawangan  juga Kumpulan Rukun Tetangga(KRT).  Menurutnya, dengan kerja-kerja gotong royong tersebut juga tuan rumah berjaya menjimatkan kos yang sepatutnya dibayar kepada tukang rumah.  "Saya rasa bangga dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh masyarakat dari ketiga - tiga kampung dan saya lihat Pengerusi JPKK Padang Pulut, Burung Baru dan Bukit Merah juga turut sama ada tadi," ujarnya dengan penuh teruja.  Sementara itu, Wan Wahab  berkata, beliau tidak menyangka hasrat yang pernah di suarakan kepada salah seorang JPKK untuk membesarkan rumahnya mendapat perhatian pihak berkenaan.  " Dan hari ini kerja - kerja mendirikan tiang selesai dilakukan pagi ini dan selebihnya dinding dan lantai, saya akan buat sikit - sikit," jelasnya yang berterimakasih dan merasa amat bangga dengan sikap saling membantu di kalangan masyarakat dan tidak menyangka ADUN Rantau Abang juga hadir untuk menyertai gotong royong itu. 
07 Nov 21
448
Ambil Tindakan Segera Elak Insiden Pokok Tumbang Berulang
Ambil Tindakan Segera Elak Insiden Pokok Tumbang Berulang
KUALA TERENGGANU, 4 November - Operasi besar-besaran memangkas pokok besar di sekitar kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu sedang giat dilakukan bagi mengelak insiden pokok tumbang berulang lagi di musim tengkujuh.  Ahli Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Azrin Mohd Aris berkata kerja-kerja berkenaan dilaksanakan rentetan daripada perkara yang disuarakan pihaknya baru-baru ini.  "Apabila tiba musim tengkujuh, hujan dan ribut berlaku, banyak pokok-pokok besar tumbang dan boleh membahayakan orang ramai, jadi pihaknya dengan kerjasama MBKT, memangkas pokok-pokok besar dalam mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," ujarnya.  Azrin berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau kerja-kerja berkenaan dilakukan di Taman Awam Batu Buruk di sini hari ini. Turut hadir sama ialah Mohamad Umbaidah Tengah, Jefri Chua dan Khairuddin Mohamad yang juga Ahli Majlis MBKT.  Kata Azrin, MBKT telah menghantar dua buah 'skylift' dan beberapa buah lori sampah dan lori 'roro'.  "Terima kasih kepada MBKT khususnya kepada Datuk Bandar, Pengarah Kesihatan Persekitaran MBKT, Abdul Fatah Husain dan Pengarah Landskap MBKT, Mohd Shahril Mohd Yusof yang bertungkus lumus menjayakan program pada pagi ini .  "Insya-Allah kita mengharapkan agar kerja-kerja memangkas pokok ini bukan sahaja dilaksanakan di Taman Awam Batu Buruk sahaja malah juga di kawasan-kawasan yang boleh dikatakan 'hotspot' bagi pokok-pokok tumbang ini," ujarnya.  Menurut Azrin, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan MBKT dan pemantauan akan terus dilakukan dari masa ke semasa.  "Program berkenaan turut juga dilaksanakan di Taman Shah Bandar dan di kampung-kampung, kerja-kerja sebegini agak giat dilakukan kebelakangan ini," jelasnya lagi.
04 Nov 21
815