Artikel "Komuniti" Terkini
Pasukan Bomba Sukarela Perlu Diberi Elaun Khas
KUALA LUMPUR, 7 Disember– Pasukan Bomba Sukarela merupakan diantara komponen penting membantu masyarakat terutamanya ketika berdepan kecemasan dan kebakaran yang tidak diduga.
Oleh kerana itu kerajaan perlu menjaga kebajikan mereka dengan diberi sedikit insentif dalam bentuk elaun khas.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir mencadangkan perkara berkenaan diatas khidmat mereka selama ini sebagai tenaga sukarelawan dalam membantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Tanpa dibayar sebarang elaun selama ini, mereka telah bertungkus lumus membantu dan menjadi pasukan awal yang tiba di setiap lokasi kejadian apabila berlakunya bencana atau kebakaran.
"Saya mendapat maklumat selama ini setiap pasukan hanya diperuntukkan RM3,000 setahun untuk kos peyelenggaraan, minyak dan lain-lain.
"Jika mereka berbelanja lebih daripada kos tersebut, mereka perlu menanggung sendiri kos berkenaan," katanya
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya dalam sesi perbahasan hari ini, di Dewan Rakyat, semalam.
Katanya, insentif berkenaan adalah untuk menjadikan mereka lebih bersemangat dalam menjalankan tugas mereka.
"Di samping itu juga perlu disediakan peralatan kebombaan yang mencukupi kepada pasukan sukarelawan ini supaya mereka dapat berperanan dengan lebih efisien dan efektif sebagai tenaga sokongan membantu anggota bomba ketika kes-kes kecemasan ini berlaku," ujarnya.
Dalam pada itu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Timbalan Menteri, Dato' Sri Ismail Abd. Muttalib menyatakan kerajaan mengambil maklum dan akan memperhalusi usul untuk menambah baik pasukan Bomba Sukarela dan mengakui bahawa setakat ini kerajaan hanya memperuntukkan RM3,000 bagi pasukan ini.
07 Dec 21
1893
Pelebaran Jambatan Kampung Gong Baru Hampir Selesai
KUALA TERENGGANU, 8 Disember – Penantian lebih 10 tahun penduduk Kampun Gong Baru untuk menaiktaraf jambatan yang sempit hampir menemui sinar penghujungnya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan perkembangan terkini jambatan tersebut telah 90% disiapkan dan berbaki 10 peratus lagi untuk disempurnakan.
“Alhamdulillah, isu yang sepatutnya telah lama di selesaikan ini telah berjaya diselesaikan dalam tempoh pemerintahan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
“Ini merupakan satu rahmat dan kita bersyukur kepada Allah SWT atas usaha ini demi keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan penduduk Kampung Gong Baru,” kata Muhammad Khalil ketika mengadakan tinjauan di lokasi tersebut.
ADUN Batu Buruk meninjau kerja-kerja pelebaran jambatan di lokasi tersebut
Sementara itu, Pengerusi Jabatan Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gong Baru, Abdul Razak Abdul Rashid menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan atas penyelesaian isu ini.
“Isu ini telah lama diadukan oleh penduduk setempat, lebih 10 tahun penduduk berdepan dengan keadaan jambatan yang sempit ini.
“Keadaan ini menyukarkan dan mengancam keselamatan Kampung Gong Nangka dan Kampung Gong Baru dan pernah suatu ketika jentera bomba terlewat tiba ke lokasi rumah terbakar kerana tidak dapat melalui jambatan tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada ADUN Batu Buruk dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu atas kecaknaan dan keperihatinan akan isu ini,” kata Abdul Razak.
Keadaan jambatan Kg. Gong Baru sebelum ini
07 Dec 21
896
TDM Ganding Bahu Bantu Golongan Memerlukan
DUNGUN, 7 Disember - Semua pihak termasuk badan-badan korporat seperti TDM Berhad digalak untuk terus berganding bahu membantu golongan yang memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tanggungjawab menjaga masyarakat dan kebajikan mereka tidak seharusnya dipikul oleh sesebuah organisasi sahaja, ia memerlukan komitmen dan usahasama semua lapisan masyarakat, sektor swasta, ahli akademik, masyarakat mahupun individu.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat wabak pandemik dan menjadi pemangkin kepada penglibatan orang ramai.
“Waktu kini adalah tempoh yang mencabar untuk semua orang, tetapi kita perlahan-lahan semakin pulih daripada kesan pandemik dan memacu perubahan ke arah memulihkan ekonomi tempatan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Program TDM Prihatin Mesra Komuniti di Dewan Balora, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, semalam.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin serta Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Hamdan Ibrahim.
Pada majlis itu, TDM turut memberikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan kepada 60 keluarga terpilih.
Sementara itu, Najman dalam ucapannya berkata, program yang bertemakan 'Mesra Komuniti' tersebut merupakan salah satu program CSR TDM untuk mendekati dan menjalin hubungan rapat bersama masyarakat.
"Program ini menjadi sebuah platform bagi syarikat untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dan serta terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Pihak kami berbesar hati dapat meneruskan penganjuran program 'TDM Prihatin', dimana kali ini di Kompleks Bukit Besi," ujarnya.
Jelas beliau, program tersebut walaupun tujuan utamanya untuk mendekati masyarakat, ia turut menyaksikan kakitangan Kumpulan TDM bekerjasama untuk membawa perubahan dan senyuman kepada komuniti yang hadir.
"Kira-kira 55 kakitangan daripada ibu pejabat TDM dan ladang TDMP hadir beramah mesra dan menyertai acara yang diadakan.
"Saya secara peribadi ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan syarikat kerana berusaha keras untuk memberi impak positif kepada komuniti.
Saya berbangga melihat ramai warga kerja TDM yang meluangkan masa untuk berada di sini. Walaupun tujuan utama perlaksanaan program adalah untuk membantu kumpulan sasaran, saya dapat melihat ia secara tidak langsung memupuk dan menggalakkan nilai perpaduan, kerjasama, dan tolak ansur dalam kalangan kakitangan syarikat bersama masyarakat," tambahnya lagi.
Katanya, warga kerja TDM bersama peserta yang hadir berpeluang untuk bersuai kenal serta mengeratkan hubungan kebersamaan melalui pelbagai aktiviti yang telah disusun atur seperti “Smart Solat”, taklimat zakat oleh Pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Kemaman, dan sukaneka.
"Setiap aktiviti dijalankan mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak COVID-19," ujarnya.
Katanya, program 'TDM Prihatin' syarikat, kali ini bersama komuniti daripada Kompleks Bukit Besi, khususnya berhampiran Ladang Gajah Mati, Ladang Majlis Agama Islam, Ladang Pinang Emas dan Ladang Jerangau.
07 Dec 21
530
Penduduk Setiu Diminta Terus Waspada
SETIU, 6 Disember– Ekoran dilanda gelombang banjir pertama penduduk Setiu diminta terus waspada.
Ahli Parlimenya, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, ekoram itu beliau sempat melawat beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas berlakunya bencana berkenaan.
Katanya dalam kejadian tersebut seramai 48 keluarga yang terpaksa berpindah ke PPS.
“Di PPS SK Kompleks Mengabang Telipot, melibatkan tiga keluarga, PPS di Kg Bukit Mak Som dua keluarga, PPS Masjid Gong Terap 33 keluarga, PPS di Masjid Kg Chalok Kedai, empat keluarga, PPS Kg Merbau Menyusut, lapan keluarga yg terlibat, dan PPS KG Besut, Hulu Seladang, seramai empat keluarga, "katanya ketika ditemui pemberita, pada hari ini.
Dalam lawatan ke PPS, beliau turut menyerahkan bantuan bakul makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya telah melawat PPS Kg Besut bersama Pegawai Daerah Setiu, Pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Daerah Setiu, Pengerusi Khidmat Malaysia Setiu, para petugas dari APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Setiu, Petugas Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
"Saya ingin berpesan kepada semua penduduk yang menghadapi musibah banjir ini agar berwaspada selalu, awasi anak-anak supaya perkara yang tidak diigini berlaku dan patuhi arahan pihak berkuasa.
“Juga saya memohon kepada mereka yang berada di kawasan rendah, apabila diarahkan berpindah, sila patuhi arahan tersebut,"tegasnya.mereka.”
06 Dec 21
265
Tiga Sekawan Johan Explorace Terengganuku Comel 2021
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Tiga sekawan muncul juara dalam acara Explorace Terengganuku Comel 2021, baru-baru ini.
Muhamad Muda, 52, bersama dua rakannya iaitu Bahri Chik, 54, dan Mohd Ikhwan Yusof, 36, menyertai acara berkenaan kerana minat mereka terhadap aktiviti seperti itu.
Kata mereka, ia sangat menarik kerana peserta didedahkan dengan keindahan yang terdapat di Terengganu, serta soalan-soalan disediakan pihak penganjur amat mencabar.
"Alhamdulillah rezeki pada kami, kita pun tidak menjangkakan meraih tempat pertama, ingatkan hanya akan tersenarai di antara 10 yang terbaik semata-mata, bersyukur kepada Allah.
"Setiap kali menyertai acara kami ada buat 'homework', 'study' dari segi bentuk soalan-soalan yang lepas, dari pengalaman yang lalu kami jadikan satu panduan untuk buat yang terbaik dimana selama 10 tahun setiap kali diadakan kami akan menyertainya.
"Bagi kami peserta lain juga 'profesional hunter' cuma rezeki lebih menyebelahi kami. Kalau hendak dikutkan pening kepala juga hendak menjawab soalan, tambahan pula dalam keadaan musim sekarang beri halangan dari sudut untuk fokus pada pemanduan dalam masa yang sama hendak menjawab setiap soalan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, pada kejohanan Explorace Terengganu Comel 2021, selepas diumumkan juara pada Majlis Perasmian Penutup, di Muzium Negeri Terengganu, semalam.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razzab.
Program berkenaan dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama UBSNT dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.
Penyertaan terhad kepada 100 buah kenderaan atas dasar 'Siapa Cepat Dia Dapat' itu bermula Drawbridge kemudian meneruskan perjalanan ke Muzium Bukit Besi dan Muzium Negeri Terengganu menjadi lokasi penamat program berkenaan pada sebelah petang.
Dengan menawarkan hadiah di tempat pertama wang tunai sebanyak RM3,000, naib juara RM 2,000, tempat ketiga RM1,500, keempat RM800, manakala tempat kelima sehingga ke lapan RM200.
Dalam pada itu Wan Sukairi berkata, melihat kepada penyertaan yang memberangsangkan itu pihak negeri bersetuju untuk mengadakannya lagi pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai serta menawarkan hadiah lebih menarik memandangkan ia mendapat sambutan
sangat menggalakkan.
"Ini juga merupakan suatu inisiatif untuk memperkenalkan Terengganu kepada para peserta terutama mereka yang luar dari negeri ini mengenai keindahan dan keunikan yang terdapat di negeri ini, dari sudut makanan, budaya, tradiri, kesenian dan sebagainya," katanya mengulas
mengenai program yang diadakan itu.
Manakala, Mohd Nasir pula menyifatkan program tersebut agak kompetitif namun ia memberi impak yang sangat baik.
"Sekali gus program seumpama ini membolehkan setiap rakyat melakukan aktiviti bersama keluarga, sanak saudara, juga bersama rakan-rakan.
"Melalui program ini menghasilkan satu aura dan semangat baru untuk melakukan rutin harian termasuk di bidang pekerjaan dengan lebih bersemangat," ujarnya.
05 Dec 21
1059
Kerjasama Agensi Bukti Kesiapsiagaan Tangani Bencana Musim Tengkujuh
MARANG, 6 Disember - Kesiapsiagaan semua pihak melibatkan diri dan berkerjasama dalam membantu menangani bencana yang menimpa masyarakat wajar dipuji.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, ini dapat dilihat dalam khidmat membantu mengalihkan pohon yang menimpa sebuah rumah sehingga menghalang laluan di Kampung Bukit Kemas.
"Semua sama-sama turun selepas mendapat maklumat dan menerima aduan pada jam empat petang tadi, di mana masalah tersebut selesai pada jam 9.00 malam.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan yang datang membantu terutamanya Anggota Pertahanan Awam yang paling awal sampai.
"Di samping itu, kami juga telah hubungi pihak Majlis Daerah Marang, Jabatan Kerja Raya Marang, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia.
Menurutnya lagi, pihaknya sangat teruja atas sikap kebersamaan dan kerjasama ini dalam menangani bencana terutamanya ketika musim tengkujuh serta melibatkan orang awam.
"Terima kasih juga kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Kemas yang menyampaikan maklumat dan bersama dari awal sehingga akhir.
Katanya, ini membuktikan kesiapsiagaan semua pasukan dan agensi dalam menghadapi bencana seperti ini.
"InsyaAllah, bantuan baik pulih akan disalurkan melalui Tabung Darul Iman setelah dinilai oleh Jurutera Pejabat Daerah untuk kos baik pulih.
Orang ramai yang terlibat dalam bencana boleh membuat aduan kepada JPKK, Anggota keselamatan, PKM masing-masing, tambahnya lagi.
04 Dec 21
166
Laporan Audit : Tidak Timbul Isu Tuntutan Palsu
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Isu tuntutan palsu daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat sebagaimana disebut dalam laporan Ketua Audit Negara 2019 siri 2 tidak berbangkit.
Pegawai Khas Ahli DUN Alur Limbat, Mohd Faisal Mizan Ambak berkata, terdapat sedikit kekeliruan berkait tuntutan RM19,000 kepada Pejabat Daerah Kuala Terengganu itu.
Baju yang ditempah telah siap dan dibekalkan kepada PKM.
Walau bagaimanapun katanya, PKM DUN Alur Limbat telah membuat bayaran balik wang itu kerana tempahan pakaian tidak dapat disiapkan dalam tahun tersebut.
“Percanggahan ini berlaku disebabkan kelewatan pemilik kedai pakaian dalam menyiapkan tempahan tersebut pada tahun 2019 sehingga kerja audit dijalankan ketika itu.
"Disebabkan itu pihak PKM memulangkan semula tuntutan itu pada 2020, dan mendahulukan duit sendiri untuk tujuan itu.
"Tuntutan semula pada tahun 2020 telah dibuat setelah proses membuat baju siap sepenuhnya,” katanya.
03 Dec 21
1178
'Terima Kasih Dr Khairuddin' - Petugas Pusat Kuarantin
KUALA NERUS, 2 Disember – Meskipun menghala fasa endemik, pertarungan ‘frontliners’ masih berterusan pada masa kini, justeru, Ahli Parlimen Kuala Nerus sekali lagi mengambil cakna menerusi sumbangan kepada 55 orang petugas kesihatan di Pusat Kuarantin COVID-19 (PKRC) Gong Badak.
Wakil Pusat Khidmat kawasannya, Raja Arizal Raja Arif berkata, biarpun negara menuju fasa endemik, petugas-petugas kesihatan masih terus giat melakukan tanggungjawab sebagai satu amanah untuk dilaksanakan untuk kebaikan rakyat.
“PKRC di Gong Badak masih aktif menjaga 200 pesakit yang dirawat dan memerlukan pengawasan sebaiknya dalam usaha mengawal penularan virus.
“Sumbangan wang tunai, lampin pakai buang kanak-kanak serta beberapa keperluan lain adalah sebagai tanda kebersamaan kita untuk saling membantu antara satu sama lain.
“Dato’ Dr Khairuddin sentiasa menghargai pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan bahkan cakna untuk terus membantu jika diperlukan,” katanya selepas menyampaikan bantuan di PKRC Gong Badak, baru-baru ini.
Turut serta dalam penyampaian sumbangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tanjung Angsa, Mohd Rabbani dan Pegawai Khas (Hal Ehwal DUN Seberang Takir) Azmi Mokhtar.
Mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, beliau mengharapkan ia dapat menjadi penyunting semangat buat petugas-petugas agar terus berbakti kepada masyarakat, negeri dan negara.
02 Dec 21
525
100 Anggota Bomba Terengganu Dijangkiti Covid-19
KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Seramai 100 anggota serta Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di negeri ini dijangkiti Covid-19 sejak Mac 2020.
Pengarah JBPM, Md.Hilman Abd.Rashid berkata daripada jumlah berkenaan seramai 12 kakitangan masih dalam proses pemulihan dan menjalani kuarantin di rumah.
Jelasnya, kesemua mereka dikategorikan sebagai pesakit tahap satu dan dua.
"Setakat ini tiada kematian direkodkan dan secara keseluruhan seramai 405 petugas kita diarahkan menjalani kuarantin sejak pandemik Covid-19 melanda," katanya sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia.
Dalam perkembangan berbeza, Md Hilman berkata sejumlah 700 anggota dan pegawai JBPM Terengganu telah menerima dos penggalak sebagai persediaan mereka untuk bertugas bagi menghadapi Monsun Timur Laut.
01 Dec 21
1507
Nelayan Hanyut Di Laut Bersyukur Masih Hidup
MARANG, 29 November - Seorang yang hanyut di perairan Pulau Kapas pada Sabtu lalu bersyukur kerana masih hidup selepas tragedi malang itu.
Mohd Nasir Othman, 45, berhadapan detik cemas apabila hanyut selama lapan jam kerana bot yang dinaikinya karam.
Dia berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 10 pagi ketika keluar memancing seorang diri.
Katanya, bot yang dinaiki telah terbalik akibat dipukul ombak besar.
"Berbekalkan sedikit pengalaman dan tidak panik, saya cuba mencari pelampung dan terus berpaut pada bot yang hampir tengelam sehingga ditemui dan diselamatkan oleh kru bot tunda Macallam 9.
Menurut Pengarah Zon Maritim, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid melalui Facebook rasmi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia memaklumkan mereka telah menerima aduan oleh Bot Tunda Macallam 9 yang dalam perjalanan dari Thailand ke Indonesia tentang penemuan seorang nelayan hanyut.
“Mohd Nasir yang hanyut sehingga di posisi 10 batu nautika dari Kuala Kemaman akhirnya dibawa oleh bot Penggalan 16, Maritim Kemaman ke pusat rawatan.
“Kira-kira jam 3. 40 pagi, mangsa tiba di jeti zon Maritim Kemaman dan dipindahkan ke ambulans untuk dibawa ke Hospital Kemaman.
“Komuniti maritim juga perlu menyediakan peralatan kecemasan sebelum ke laut dan sentiasa memakai jaket keselamatan semasa berada di laut,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rhu Rendang, Mohd Najmuddin Rani berkata, pihaknya juga bersyukur kerana mangsa dapat kembali ke pangkuan keluarganya dengan selamat.
“Kita juga mengharapkan agar semua nelayan yang keluar mencari rezeki di laut agar berhati-hati tambahan pula ketika musim tengkujuh ini," katanya selepas mengunjungi dan menyerahkan sedikit sumbangan kepada mangsa di Kampung Rusila.
30 Nov 21
612