lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Khidmat Malaysia Kuala Terengganu Bersihkan 180 Rumah Mangsa Banjir
Khidmat Malaysia Kuala Terengganu Bersihkan 180 Rumah Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 27 Disember – Khidmat Malaysia Kuala Terengganu (KMKT) telah membantu membersihkan 180 buah rumah mangsa banjir di Kuantan, Pahang pada 23 Disember lalu. Misi bantuan tersebut telah dijalankan selama tiga hari dan disertai seramai 286 orang sukarelawan dari seluruh Kuala Terengganu. Pelancaran Konvoi Misi Bantuan Banjir ke Pahang oleh ADUN Wakaf Mempelam Menurut Pengarah Operasi Misi Bantuan Banjir Pahang, Ahmad Asyraf An-Nawawi, antara kawasan yang telah dibersihkan ialah Kampung (Kg) Chendering, Bukit Rangin dan Perumahan Awam Kos Rendah Sungai Pandan. “Selain membersihkan rumah mangsa, pihak kami juga telah mengadakan program dapur rakyat untuk mengagihkan makanan buat mangsa,” katanya kepada pemberita. Tambahnya lagi, sumbangan berupa wang ringgit, pakaian dan barangan keperluan asas juga telah diagihkan kepada mangsa banjir. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Hj. Ahmad Amzad Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah selaku Pengarah KMKT juga turut bersama dalam misi bantuan banjir ini. ADUN Batu Buruk turut sama menyertai gotong-royong membersihkan rumah mangsa  
27 Dec 21
220
Sabasun Sumbang Barang Keperluan Buat Mangsa Banjir Pahang
Sabasun Sumbang Barang Keperluan Buat Mangsa Banjir Pahang
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Melihat kesusahan dihadapi penduduk terkesan bencana banjir, Syarikat Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd menyalurkan bantuan barangan harian kepada mangsa terjejas di Kuantan, Pahang. Pengurus besarnya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, menerusi cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR), pihaknya bersama pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah menghantar sumbangan berbentuk dua lori ke daerah tersebut. “Antara bentuk sumbangan dihantar seperti makanan dan minuman harian yang telah disusun dan dibungkus, air mineral, lampin pakai buang, susu tepung dan lain-lain lagi. “Terima kasih kepada pejabat Ahli Parlimen yang memberi peluang untuk turut sertai usaha ini. “Setinggi-tinggi juga apresiasi kepada pelanggan Sabasun yang tidak putus-putus memberi bantuan dan kecaknaan kepada nasib ditimpa kepada saudara kita tidak kira dalam atau luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, pihaknya menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) menerima ketibaan barangan tersebut di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Pancing, pada 23 Disember. “Markaz ini bagi atur gerak kerja pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir khususnya di Paya Besar termasuk program agihan 2000 pek makanan menerusi Dapur Rakyat, termasuk sumbangan pada hari ini,” jelasnya.
25 Dec 21
1103
Amal Dungun Bantu Mangsa Banjir Di Kuantan
Amal Dungun Bantu Mangsa Banjir Di Kuantan
KUANTAN 24 Disember - Jabatan Amal Kawasan Dungun turun padang membantu mangsa banjir mangsa banjir di Kawasan Perumahan Taman Guru di sini. Pasukan yang terdiri 10 ahli itu turut bersama -sama lapan ahli Ameerah Dungun ditugaskan membersihkan setiap rumah yang terkesan banjir. Ketua Misi Bantuan Banjir Kemanusian Ke Pahang, Al Affan Wan Manam,  berkata, keadaan rumah berlumpur menyebabkan kerja-kerja membersih mengambil masa yang  agak lama. "Keadaan sama turut  dialami rumah tiga beranak, termasuk warga emas, yang Nik Esah Nik Mat yang menghidap kencing manis," katanya. Nik Esah 66, berkata  air mula memasuki rumah miliknya kira-kira jam 12.30 tengah malam. Kami tiga beranak mula mengambil barang yang penting sahaja untuk dialihkan. "Kejadian air meningkat mendadak yang berlaku pada malam isnin itu juga mengakibatkan beliau mengalami kerugian memcecah ribuan ringgit," katanya. Dia yang mengusahakan sate ikan sejak 10 tahun lalu turut mengalami kerugian apabila mesin pembuat sate dan tiga peti sejuk beku rosak. Turut hadir sama dalam aktiviti membersih rumah mangsa banjir ialah Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan ADUN Rantau Abang Cikgu Alias Harun.
24 Dec 21
557
Jihad Dadah 2.0 Bukti Komitmen PDRM Terengganu Hapus Dadah
Jihad Dadah 2.0 Bukti Komitmen PDRM Terengganu Hapus Dadah
SETIU, 20 Disember - Pelancaran Jihad Dadah 2.0 membuktikan komitmen Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontijen Terengganu dalam mencegah dan membanteras aktiviti jenayah berkaitan dadah. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dalam ucapannya berkata, penglibatan semua pihak adalah penting dalam usaha mencegah aktiviti yang tidak sihat terutama aktiviti yang cenderung kepada najis dadah. “Ibu bapa harus memainkan peranan yang terbaik dalam memantau aktiviti anak-anak, sekatan awal perlu dilakukan supaya tidak terjebak dengan aktiviti dadah seperti rokok elektronik atau ‘vape’, air ketum dan aktiviti yang tidak bermoral lain.  “Dan infakkanlah (hartamu)  di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik, Al-baqarah : 195, "ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Pelancaran Program Jihad Dadah 2.0 Peringkat Daerah Setiu di Dewan Komuniti Kampung Telaga Papan disini semalam. Terdahulu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Mohd Marzukhi Bin Mohd Mokhtar  mewakili Ketua Polis Terengganu turut berucap.  Hadir sama, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif, Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin, ADUN Langkap, Sabri Mohd Noor, ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh, Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman dan ketua-ketua jabatan.
20 Dec 21
504
Sembilan Keluarga Terputus Hubungan, Terima Bantuan
Sembilan Keluarga Terputus Hubungan, Terima Bantuan
Oleh: Amiruddin Zamri DUNGUN, 20 Disember – Sembilan keluarga melibatkan 25 mangsa di Kampung Pelambor, Kuala Jengai, di sini yang terputus hubungan akibat jalan utama  ke kampung itu dinaiki air,  menerima bekalan makanan dan ubat-ubatan daripada pihak berkaitan. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, Jarak untuk pergi ke Kampung yang terputus hubungan adalah sejauh kira-kira 3 kilometer.  Katanya, dia telah memaklumkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) untuk menyegerakan penghantaran bekalan kepada mangsa yang terlibat.   ‘’Pihak JPKK juga sudah maklum tentang perkara ini dan tindakan pantas telah diambil bagi memastikan warga penduduk Kampung Pelambor menerima bekalan.’’ Katanya ketika ditemui media disini, petang semalam. Jabatan Amal Dun Bukit Besi yang diketuai Izwan Mohammad mengerahkan anggota untuk turut serta memberi bantuan menghantar bekalan makanan ke Kampung yang terputus bekalan makanan.
20 Dec 21
407
Warga Emas Positif Covid-19 Terlibat Banjir Diberi Rawatan Segera
Warga Emas Positif Covid-19 Terlibat Banjir Diberi Rawatan Segera
DUNGUN,19 Disember - Pasangan warga emas, Salleh Che Mat, 70, dan isterinya Tengku Ramlah Tengku Bujang, 56, dari Kampung Minda yang terperangkap dalam banjir dan positif Covid-19 diberi rawatan segera. Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Jerangau, K.Balu Mahendra berkata, pihaknya mendapat panggilan menyatakan keadaan mangsa yang pada awalnya mengalami gejala serta demam teruk. "Pada awalnya ingatkan kedua-keduanya telah berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Minda, sebaik saya tiba bersama pasukan saya pada ketika itu turut hadir pada waktu itu anggota polis,Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan juga Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. "Kami segera mendapatkan bantuan masyarakat di sini untuk menyediakan dua buah bot fiber bagi mengangkut pesakit, mengambil masa 10 minit untuk sampai ke kediaman mereka dengan bantuan anggota polis dan APM bagi memudahkan perjalanan kami ke tempat yang sukar dilalui. "Ketika kami sampai salah seorang mangsa iaitu Pak Salleh berada dalam keadaan sejuk dan terketar-ketar, saya segera membuat pemeriksaan awal  ke atas pesakit tersebut. "Selepas mendapati keduanya positif segera dibawa keluar dari kawasan terbabit, serta mangsa dibawa segera menaiki ambulan untuk dihantar ke klinik dan bagi mendapatkan pemeriksaan selanjutnya kemudiannya telah dibawa ke pusat kuarantin (PKRC)," ujarnya Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, pada hari ini. Katanya, walaupun terpaksa berhadapan risiko dan kesukaran dalam operasi membantu warga emas berkenaan, pihaknya tetap bertanggungjawab menyelamatkan anggota masyarakat bagi menghalang jangkitan merebak. "Itu lebih utama bagi saya, saya juga mengambil kesempatan bagi menasihatkan masyarakat sekiranya berlaku perkara sebegini segera buat laporan dan panggilan kecemasan. Amalkan penjarakkan sosial,basuh tangan sentiasa serta ikuti segala arahan serta Prosedur operasi Standard (SOP) sebagaimana yang telah diarahkan," ujarnya. Sementara itu, Timbalan Pegawai Pertahanan Awam daerah, LT.(PA) Mohd Jeffri Johari berkata dalam hal membabitkan pesakit yang bergejala, PPS khas telah disediakan oleh kerajaan. "Oleh itu adalah penting supaya semua mangsa mengambil sikap untuk sentiasa berjaga-jaga sebagai langkah keselamatan, apabila bergejala elakkan dari berjumpa dengan orang ramai supaya tidak menjadi penyebab kepada tersebarnya virus covid-19 ini," ujarnya.  
19 Dec 21
273
Jualan Keluarga Malaysia Tawar Potongan Harga Sehingga 20 Peratus
Jualan Keluarga Malaysia Tawar Potongan Harga Sehingga 20 Peratus
KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di setiap daerah yang menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus berjaya membantu masyarakat Terengganu yang terbeban dengan peningkatan harga barang. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, usaha kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat meringankan beban kos rakyat terutamanya dalam pembelian barangan harian. “Penduduk di Kuala Terengganu tidak terkecuali dengan masalah harga barangan, tentulah program ini dapat beli harga borong sehingga 20 peratus bagi ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan yang telah diproses. “Harga jauh lebih murah berbanding pasar biasa, misalnya ayam turun kepada RM8 daripada RM9.30. “Diharapkan agar inisiatif sebegini dapat dipanjangkan lagi dalam masa sehari atau dua lagi kerana pembeli dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah,” katanya. Beliau berkata demikian selepas meninjau serta menyantuni para pengunjung sempena PJKM di perkarangan hadapan Muzium Negeri, Bukit Losong Terengganu, pagi semalam. Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNEHP) Negeri Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Tambahnya, antara agensi kerajaan dan rakan strategik dalam kalangan pemain industri yang terlibat pada hari ini ialah KPDNHEP Negeri Terengganu, FAMA, LKIM, NEKMAT, TADC, TKPM Setiu, PENENTU, Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Pasaraya Xiri Sdn Bhd, Pasar Raya Besar Mydin dan HDA Poultry Sdn Bhd. Terdahulu, Program ini juga dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan bagi tempoh tiga bulan bermula 4 Disember 2021 merangkumi 222 kawasan parlimen. Tarikh-tarikh PJKM di Daerah-daerah dalam Terengganu  
19 Dec 21
1807
Orang Buta Tunjuk Bakat Memasak
Orang Buta Tunjuk Bakat Memasak
KUALA NERUS, 16 Disember- Ditakdirkan mengalami cacat penglihatan selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, bukan alasan bagi  Sharifah Shariza Said Salleh, 41 untuk  bergantung harap kepada belas ihsan suami. Shariza yang juga suri rumah sepenuh masa, berkahwin dengan lelaki normal Sharul Shahid  Mohd Sharif, 38 pada 2008, mampu menguruskan rumah tangga tanpa bantuan sesiapa termasuk memasak setiap hari. Keupayaan tersebut mendorong ibu kepada empat cahaya mata berusia 4 sehingga 13 tahun itu menyertai Pertandingan Pencarian Blind Chef sempena Sambutan Hari OKU di Pusat Khidmat Masyarakat  DUN Seberang Takir, hari ini. Pertandingan anjuran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu itu disertai 13 peserta terdiri enam OKU buta dan tujuh OKU rabun di mana setiap peserta perlu menyediakan menu masakan berasaskan ayam. Ada di antara mereka mempamerkan kebolehan memasak, kari ayam, sup ayam, singgang ayam, masak lemak cili padi, paprik ayam dan ayam goreng merah. Shariza yang juga bekas pelajar Diploma Syariah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) berkata, cabaran memasak tidak mendatangkan masalah baginya kerana sudah menjadi rutin harian malah dia juga pandai menjahit pakaian. “Dalam pertandingan itu, saya pamerkan kebolehan ayam masak santan berlado. Walaupun tidak memenangi sebarang nombor, saya tetap bangga kerana mampu bersama-sama rakan senasib menyertai pertandingan itu. “Saya berharap apa yang dilaksanakan penganjur dapat dicontohi dan diteruskan pada masa akan datang, jika boleh anjurkan pelbagai pertandingan lain, termasuk menjahit,” katanya yang sebelum ini pernah  menjawat jawatan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa). Sementara itu, Pengerusi PERTIS, Mohd Fauzi Mansor, berkata pertandingan yang julung kali dianjurkan itu pasti dapat membuka mata masyarakat bahawa golongan OKU boleh melakukan semua perkara. Katanya, jika bijak guna peluang dan serap ilmu yang ada, tidak mustahil golongan itu boleh berada setaraf dengan mereka yang berjaya. “Pendekatan itu antara langkah awal untuk mengetengahkan bakat, menghindarkan perasaan rendah diri, mengurangkan sifat malu golongan ini ketika berdepan dengan orang ramai dan berani berdepan cabaran,”katanya.  
16 Dec 21
687
Khatan Percuma Ringankan Beban Kos Ibu Bapa
Khatan Percuma Ringankan Beban Kos Ibu Bapa
KUALA NERUS, 15 Disember - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mengambil usaha tepat dengan Program Khatan Percuma di klinik swasta terpilih melibatkan seramai 28 orang peserta bagi meringankan beban ibu bapa. Menurut seorang bapa, Mohd Sabri Muhammad, 45, berkata, dia bersyukur kerana anjuran tersebut diadakan dengan anaknya menyertai sebagai peserta serta terharu kerana golongan keluarga kurang berkemampuan terus mendapat perhatian dan kecaknaan. "Program ini sangat membantu kami golongan berpendapatan rendah dan mampu mengurangkan beban kewangan ibu bapa kerana kos untuk seseorang berkhatan agak tinggi dan dimaklumkan berlaku kenaikan pada tahun ini," katanya ketika ditemu bual pemberita, hari ini. Seorang lagi penjaga, Noriah Faridah Said,43, yang turut menghantar anaknya untuk berkhatan dalam program hasil sebaran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). "Kalau tak percuma, kena menabung juga lah, suami pula bekerja dan menampung kos kekeluargaan lain jadi susah sikit,” tambahnya. Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab menjelaskan, memandangkan kos yang serba meningkat pada masa kini amat membantu mereka yang kurang berkemampuan. “Pelaksanaan ini banyak memberi kemudahan kepada ibu bapa yang menghadapi masalah kewangan untuk menghantar anak mereka berkhatan di hospital atau klinik swasta dengan kos yang agak mahal,” ujarnya Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, aktiviti tersebut telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan ekoran penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda.
15 Dec 21
656
Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia Disambut Baik
Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia Disambut Baik
PUTRAJAYA, 15 Disember – Usaha kerajaan dalam melancarkan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia  sebagai sebuah badan berperanan membantu golongan mahasiswa yang memerlukan merupakan suatu usaha efektif dalam menjaga kebajikan golongan tersebut. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata ia merupakan suatu langkah bagi mengelakkan golongan terbabit terdesak untuk terlibat dalam kancah aktiviti yang tidak bermoral. Sebagaimana negara pernah digemparkan  tentang keterlibatan mahasiswa dalam isu gejala 'sugar daddy' menerusi aplikasi 'Sugarbook' bagi membiayai kos sara hidup bagi meneruskan pengajian di universiti. "Dimana kita pernah dikejutkan dengan isu ini sehinggakan tersebar satu poster berkenaan senarai top 10 universiti yang paling ramai pelajarnya mendaftarkan diri di aplikasi berkenaan. "Saya kira dengan adanya yayasan yang ditubuhkan ini ia akan dapat membantu bagi membendung masalah yang berlaku ini," ujarnya. Beliau berkata demikian di Persidangan Dewan Rakyat, semalam. Dalam pada itu beliau turut menyarankan pihak kerajaan agar menitiberatkan isu mental yang dihadapi oleh penuntut universiti pada ketika ini. "Sebanyak 223,990 panggilan talian bantuan sokongan psikososial diterima dan golongan ini tidak terkecuali turut memerlukan sokongan emosi dan kaunseling. Ia sangat penting untuk diatasi bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan. "kerajaan perlu melakukan pelbagai usaha bagi memastikan lebih banyak sumber dana untuk yayasan ini bagi memastikan kelangsungan operasinya tidak tergendala akibat kekurangan dana," katanya. Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia tersebut dimana penubuhannya adalah seiring prinsip kerajaan bagi memastikan tiada seorang penuntut yang akan tercicir atau terpinggir. Dimana peruntukan dana permulaan RM5 juta turut diumumkan sebagai tanda sokongan pihak kerajaan bagi memastikan kelangsungan operasi serta matlamat penubuhannya tercapai. Secara tidak langsung mempamerkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa seperti yang terkandung dalam Konsep Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.    
14 Dec 21
345