Artikel "Komuniti" Terkini
Khairol Fiber : Berjaya Tembusi Pasaran Global
DUNGUN, 5 Januari - Khairol Fiber bukan jenama asing kepada peminat-peminat bot gentian kaca malah pengalamannya dalam dunia itu selama 26 tahun membolehkan syarikat itu menembusi pasaran global.
Pengarah Urusan Khairol Fiber Group Sdn. Bhd., Wan Ahmad Khairuddin Wan Mohd Yusof menjelaskan, beliau mula berkecimpung dalam pembuatan bot dengan menimba pengalaman selama 15 tahun di sebuah bengkel membuat bot di Dungun.
"Setelah itu, pada 2010 saya memberanikan diri membuka perniagaan sendiri dalam pembuatan bot bermodalkan sebanyak RM3,000 di belakang rumah dengan hanya menggunakan wang deposit yang dibayar pelanggan, masa itu saya dapat mencipta tiga buah bot nelayan," katanya.
Khairol (berbaju biru) memberi penerangan kepada Alias (berkaca mata) di bengkel botnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang ke bengkel botnya di Kampung Bemban, Jalan Tok Kah di sini baru-baru ini.
Turut sama dalam lawatan berkenaan ialah kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rantau Abang dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bemban.
Menurut Khairuddin, pada masa itu beliau hanya mengambil tempahan sahaja memandangkan belanja yang besar diperlukan bagi pembuatan bot siap untuk dijual.
Kini, katanya setelah 11 tahun menceburi bidang tersebut syarikatnya telah mengeluarkan beribu buah bot pelbagai jenis iaitu nelayan, pelancong dan rekreasi.
"Misi kami menguasai 80 peratus industri pembuatan bot fiberglass di Malaysia menjelang 2030 insya-Allah.
"Dalam perancangan kita juga membina kilang fiber di Kawasan Perindustrian Batu 7, tanah yang disewa hak milik kerajaan negeri.
"Dengan terbina kilang baharu ini, tidak secara langsung membuka lebih peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, boleh dikatakan hampir semua pekerja dari pengurusan dan pembuatan adalah penduduk sekitar sini," jelasnya.
Selain itu, beliau turut mengalu-alukan anak-anak muda yang berminat untuk mendapatkan latihan membuat bot selama enam bulan dengan diberi elaun bulanan.
"Bekas pelatih boleh mohon bekerja di negeri masing-masing kerana saya mempunyai hubungan baik dengan semua ahli Persatuan Pembuat Bot Malaysia setelah tamat latihan," katanya yang percaya tidak ada kerja keras yang tidak membuahkan hasil.
06 Jan 22
2723
1,026 Anggota ATM Digerakkan Bantu Mangsa Banjir Terengganu
KUALA NERUS, 6 Januari – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Terengganu sedia menggerakkan 1,026 anggota ke seluruh negeri Terengganu melalui Operasi Murni (Op Murni) sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir.
Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara skop lain op tersebut ialah membantu melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir terutama di kawasan tumpuan seperti kediaman, rumah ibadat, sekolah dan klinik kesihatan.
“Ini termasuk kerja-kerja baikpulih jambatan yang terjejas, membantu Kementerian Kesihatan Malaysia melakukan ujian pengesanan COVID-19 terutama terhadap mangsa-mangsa banjir serta bersiap siaga bagi mendepani sebarang kemungkinan gelombang banjir seterusnya.
“Biarpun situasi banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya, komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri serta setiap agensi berkepentingan tidak berganjak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media khas Op Murni ATM di Terengganu di Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Seri Pantai, Seberang Takir hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Menurut Hishamuddin, sebarang keperluan tambahan lain akan ditambah mengikut keperluan dan permintaan kerajaan negeri.
“ATM akan bantu apa jua yang terdaya demi keselamatan dan kebajikan rakyat Terengganu,” jelasnya.
06 Jan 22
754
YPK Serius Bentuk Usahawan Ibu Tunggal
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) serius mahu melahirkan usahawan daripada kalangan ibu tunggal.
Timbalan Pengarah YPKT, Kamarulzaman Awang berkata bahawa aspek disiplin sangat dititikberatkan sepanjang peserta armalah (ibu tunggal) menyertai kursus usahawan di bawah kendalian YPKT.
"Kami menyediakan sejumlah pinjaman kepada ibu tunggal yang mahu menjalankan perniagaan tetapi dengan syarat, mereka perlu melalui kursus-kursus yang telah kami tetapkan.
"Kami akan letakkan peserta-peserta secara berkumpulan, tiga orang satu kumpulan dan dari sini kita akan menilai disiplin mereka, dari segi ketepatan masa, kerjasama. Kemudian kita akan nilai bagaimana prestasi mereka." ujarnya.
Kamarulzaman berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada rombongan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (KHAIRUNNISA') dan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Kompleks Ibu Tunggal YPKT, kelmarin.
Rombongan Kunjungan Hormat daripada KHAIRUNNISA', USWa dan Pejabat ADUN Wanita.
Kunjung hormat itu diketuai oleh Timbalan Pengerusi KHAIRUNNISA', Zuraida Md Noor yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu.
Turut bersama-sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, Setiausaha Kehormat KHAIRUNNISA' Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din.
Zuraida menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak YPKT yang menerima kunjungan hormat daripada mereka serta berharap agar ada kerjasama yang dapat dibentuk antara pihak yang terlibat dalam program itu.
Zuraida ketika menyampaikan ucapan.
"Saya sangat tertarik dengan produk-produk YPKT seperti Taska Permata Keluarga, Klinik Kaunseling, Skim Permata Sejahtera, Baitul Urus dan lain-lain, yang saya lihat selari dengan objektif YPKT.
"KHAIRUNNISA' dan USWa juga mesti dimanfaatkan untuk menjadi ejen penerangan, berfungsi untuk menyebarkan maklumat dan hebahan mengenai program-program YPKT agar lebih ramai Rakyat Terengganu dapat merasai manfaatnya," tambahnya lagi.
06 Jan 22
1051
Pasca Banjir : Pasukan Bantuan PSMZA Ke Kuala Balah
JELI, 5.Januari- Warga Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin(PSMZA) turut terpanggil untuk bersama-sama pasukan sukarelawan lain membersihkan beberapa kawasan banjir lumpur di Kuala Balah, di sini.
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat institusi itu berkata Pasukan Bantuan Pasca Banjir 2021 terdiri 45 kakitangan dan pelajar itu diketuai oleh Pengurus Pembangunan Pelajar, Yaswadi Mat Yasim.
"CSR selama empat hari bermula 3 hingga 6 Januari 2022 telah mendapat kerjasama Politeknik Jeli Kelantan (PJK)," katanya menerusi hantaran di 'facebook' unit itu.
Tambahnya lagi, bermula seawal 9. 00 pagi, mereka telah memulakan kerja-kerja membantu mangsa-mangsa banjir.
" Antara bantuan yang dihulurkan ialah membersihkan rumah-rumah yang terjejas teruk akibat lumpur banjir dan membaik pulih serta menyenggara pendawaian letrik rumah-rumah yang mengalami kerosakan bekalan letrik," jelasnya lagi.
05 Jan 22
499
Sukarelawan 'Hero' Dalam Mengangkat Mesej Perpaduan - Ir Saiful
KUALA TERENGGANU, 5 Januari-Rakyat di negara ini yang menyertai sukarelawan dalam menjayakan misi kemanusian serta menghulurkan pelbagai bantuan ketika bencana banjir yang berlaku boleh dianggap sebagai 'hero' dalam mengangkat mesej perpaduan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata kesemua mereka telah bersatu hati dalam menyampaikan sumbangan dan bantuan serta mengenepikan segala perbezaan tanpa mengira bangsa, budaya serta fahaman politik untuk sama-sama menyertai aktiviti kemanusian dalam meringankan beban dialami mereka yang terkesan.
"Ini merupakan suatu perkara yang sangat positif , mereka semua bolehlah dianggap sebagai wira.
"Walaupun tidak dibayar dan diberikan upah mahupun ganjaran namun kesemua mereka gigih membantu membersihkan rumah-rumah, masjid dan sebagainya," ujarnya kepada pemberita, di sini, baru-baru ini.
Katanya, seruan kerajaan melalui Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang telah menjadi platform yang baik untuk rakyat di negeri ini tampil membantu sedaya upaya bukan hanya mengikuti info serta perkembangan semata-mata bahkan telah turut turun padang.
"Kita mengharapkan agar selepas ini akan lebih ramai lagi terutamanya belia dan beliawanis dari negeri ini yang akan tampil bagi menyertai kegiatan kemanusiaan ini.
"Saya yakin serta percaya dengan jumlah yang lebih ramai kita akan bersedia untuk menjayakan misi bantuan ke mana-mana sahaja bukan hanya bertumpu dalam negeri semata-mata.
Tambahnya, secara tidak langsung misi tersebut berjaya merealisasikan bahawa gagasan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan malaysia bukan hanya retorik semata-mata.
05 Jan 22
412
322 Nelayan Seberang Takir Terima Bantuan Tengkujuh
KUALA NERUS, 4 Januari – Lebih 300 orang nelayan di sekitar Seberang Takir yang rezekinya terjejas teruk akibat musim tengkujuh dapat menarik nafas lega selepas menerima bantuan kewangan dan barangan dapur daripada Kerajaan Negeri.
Pegawai Penyelarasnya, Mohd Fadhil Wahab berkata, bantuan ini memperlihatkan keprihatinan pentadbiran Terengganu terhadap golongan pelaut terkesan pendapatannya kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.
“Seperti kebiasaan, di pantai timur akan mengalami tengkujuh pada bulan November sehingga Mac.
“Pada waktu ini, mereka tidak dapat keluar menangkap ikan dan tiada sumber pendapatan lain dan sampingan.
“Situasi sebegitu mengakibatkan situasi kewangan mereka sempit untuk menyara hidup,” katanya selepas ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, baru-baru ini.
Menemubual salah seorang penerima, Norbaizura Zainal Abidin, 41, menyuarakan apresiasinya kepada Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus dan Seberang Takir atas sumbangan tersebut.
“Sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit sebanyak perbelanjaan barangan harian semasa musim hujan ini.
“Jadi, dengan adanya bantuan RM100 dan barangan dapur, kami bagi pihak Persatuan Nelayan Seberang Takir mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian pimpinan setempat memberi bantuan ini,” katanya
Sementara itu, Azanizan Abdullah turut menyuara sentiment sama melahirkan rasa terharu atas bantuan khusus tersebut.
“Terima kasih kepada pusat khidmat dan kerajaan negeri kerana mewujudkan bantuan ini khususnya nelayan di sini.
“Bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan ini cukup bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” ujarnya.
04 Jan 22
454
NISA’ Santuni Mangsa Banjir Pahang
Foto oleh: 3N NISA' Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Pertubuhan Kasih Nur Insani Terengganu (NISA’ Terengganu) turut sama-sama menyantuni rakyat sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab yang ditimpa ujian banjir, baru-baru ini.
Pengarahnya, Tengku Fatimah Tengku Hashim berkata ahli NISA’ dengan 20 anggota dari daerah Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kemaman, Setiu dan Besut telah dihantar untuk sama-sama menyertai Misi Bantuan Pasca-Banjir Pahang dianjurkan kerajaan negeri baru-baru ini.
Sukarelawan NISA' membantu mangsa banjir.
“Tujuan kami turun misi banjir untuk misi pembersihan dan agihan barang. Kami bahagikan kepada kumpulan misi bersih dan kumpulan misi agih.
“Pengagihan Kit Keceriaan Kanak-Kanak sumbangan daripada Ikon Syabab Resorces. Paling utama agihan kami berupa bentuk pakaian dalam wanita yang sangat dinanti-nantikan oleh para wanita di sana.
“Paling seronok masa pengagihan kit keceriaan dan pakaian dalam wanita. Kami santuni anak kecik dan nampak wajah ceria apabila dapat file yang berisi alat tulis dan buku, terus mereka buka dan tulis. Untuk pakaian dalam wanita, kami bawakan beberapa bungkus untuk mereka sendiri pilih mana yang sesuai. Nampak riak gembira sebab ia merupakan bantuan yang jarang-jarang ada,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, baru-baru ini.
Fatimah juga turut menzahirkan harapan agar seluruh anak muda wanita tidak merasa serik untuk memberikan sumbangan berupa tenaga, masa dan wang bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.
Sebahagian sukarelawan NISA'.
“Hari ini hari mereka, mungkin esok lusa hari kita. Teruskan melakukan kebajikan untuk dana pahala akhirat kelak.
“Sesiapa yang berminat melakukan aktiviti sukarelawan, boleh sahaja sertai NGO Nisa' di peringkat negeri dan daerah masing-masing,” sambungnya lagi.
04 Jan 22
246
Remaja 18 Tahun Layak Jadi YB, Perlu Matang
DUNGUN, 2 Januari - Menerusi pindaan perlembagaan yang diluluskan di Dewan Rakyat, remaja seawal umur 18 tahun layak mengundi dan juga berpeluang untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata sudah sewajarnya mereka perlu bersikap matang dan mengambil tahu perkembangan politik negara.
"Apalagi di bahu mereka terpikul amanah yang besar sebagai seorang Islam, mesti ada cita-cita untuk meletakkan Islam di tempatnya, 'Islam itu Tinggi dan Tiada Yang Lebih Tinggi Daripadanya'," ujar Alias lagi.
Beliau menjelaskan demikian kepada hampir 20 orang tetamu yang hadir di Majlis Sambutan Hari Lahir Bersama YB Cikgu Alias Harun yang diadakan di sebuah restoran di sini baru-baru ini.
Majlis tersebut telah berjaya mengumpulkan golongan muda yang berusia 18 hingga 24 tahun dan dilahirkan pada bulan Disember.
Ia turut diserikan acara memotong kek sebagai 'gimik' dan juga penyampaian hadiah harijadi.
Katanya, mereka juga seharusnya menjadi penggerak kepada rakan-rakan sebaya yang lain untuk terus mengekalkan kerajaan yang ada pada hari ini.
"Dengan pelbagai inisiatif yang diberikan kepada orang muda oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan dengan antaranya lesen motor percuma, pinjaman serta biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan menyediakan peluang pekerjaan, tanda cakna kepada mereka.
"Sebagai 'first voters'(pengundi pertama kali) yang sudah tentu teruja untuk mengundi tetapi keterujaan itu diharapkan tidak sampai anak-anak tersalah memilih,"
katanya lagi.
02 Jan 22
348
Hasrat Tak Kesampaian
DUNGUN, 2 Januari - "Sayu melihat keadaan rumah mangsa banjir bersalut lumpur, lahir rasa keinginan untuk membersihkannya sebanyak mungkin tetapi apakan daya hasrat tidak kesampaian," luah sukarelawan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Jabatan Amal DUN Rantau Abang yang menyertai Misi Bantuan Pasca Banjir ke Pahang baru-baru ini.
Pembantu Operasi I-MiTS, Utbah Hassan berkata, dalam sehari kumpulannya hanya mampu membersihkan tiga buah rumah kerana lumpur yang tebal dan tekanan air yang perlahan.
"Memandangkan rumah-rumah yang kami ditugaskan adalah rumah warga emas yang sakit memang mereka tidak dapat buat apa-apa, memang mengharap kepada kami 100 peratus.
"Jadi sebelum kami lakukan kerja-kerja mencuci rumah, kami keluarkan dulu barang-barang yang ada dalam rumah, kami akan tanya dulu tuan rumah, barang mana perlu dibersihkan dan perlu dibuang," katanya yang juga Timbalan Ketua JAM DUN Rantau Abang.
Beliau menyertai dua misi yang diadakan pada 23 hingga 25 di Kuantan dan 28 hingga 30 Disember di Mentakab.
Manakala Penolong Penyelia IMITS DUN itu, Roshaili Ramli berkata semasa mereka tiba keadaan rumah mangsa banjir, bau lumpur amat kuat.
"Memang barangan semua diselaputi dengan lumpur, pingan mangkuk semua sudah seminggu berendam dalam lumpur, kita akan cuci semua.
"Boleh dikatakan seolah-olah untuk memulakan kehidupan seharian dengan permulaan baru, dari segi perabot, pakaian, peralatan elektrik dan semuanya, kebanyakkan tidak boleh digunakan," jelasnya.
02 Jan 22
306
Penduduk Dungun Perlu Bersedia Hadapi Banjir Besar
DUNGUN, 2 Januari - Khidmat Malaysia Dungun bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir besar berlaku berikutan daerah ini kembali banjir pada Jumaat lalu.
Ketika ini, cuaca di kampung berkenaan berada dalam keadaan mendung dan paras air sungai Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun juga direkodkan melepasi paras amaran dengan bacaan 38.36 meter (m) melebihi paras normal 34.5m.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Terengganu sehingga jam 10.00 pagi ini, masih terdapat mangsa ditempat di Dua Pusat Permindahan Sementara (PPS) di daerah ini.
Ghazali( kiri), Khairul(tengah) dan Tarmizi (kanan)
PPS itu adalah Dewan Orang Ramai, Pasir Raja yang mencatatkan jumlah 22 Keluarga dengan bilangan mangsa 69 orang, dan Dewan Orang Ramai Kampung Shukor pula merekodkan 20 keluarga membabitkan 68 mangsa .
Pengarah Khidmat Dungun, Khairul Ismail berkata pihaknya meminta kerjasama penduduk setempat terutama yang berada di kawasan rendah sentiasa berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah pada bila masa-masa.
“Bawa barang keperluan, dokumen penting dan ubat-ubatan, jaga kesihatan dan keselamatan diri dan anak-anak,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa melakukkan tinjauan bersama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Komander Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun, Tarmizi Hilmi Mohamad Zuber di sini semalam.
Sehubungan itu, JAM Dungun sudah bersiap sedia untuk mengerakkan anggotanya serta aset mereka yang terdiri sebuah kenderaan pacuan empat roda, bot dan van, pada bila-bila masa sahaja.
Menurut Tarmizi, pihaknya dalam proses menghantar bot ke Bukit Besi dalam masa terdekat.
"Begitu juga aset-aset lain dan daripada tinjauan Pasir Raja akan berlaku banjir lagi, kalau tahun lepas berlaku enam fasa banjir yang memakan masa selama dua bulan dan ini baru gelombang pertama," ujarnya.
01 Jan 22
2527