lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

INSYAAF Bantu Rakyat Hadapi Covid-19 Melalui Teknik Pernafasan
INSYAAF Bantu Rakyat Hadapi Covid-19 Melalui Teknik Pernafasan
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Total Life EMQR Motivation Academy (TALEMA) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ihsan Wanita Islam (PERKIWISA) akan mengadakan Simposium Anatarabangsa Nafas (INSYAAF) dengan membawa tema 'Nafas dan Pernafasan' dalam membantu rakyat menghadapi cabaran Covid-19. Jurulatih Konsultan, Mohd Nor Majnun berkata program peringkat antarabangsa pada 2 Februari itu menyasarkan 5,000 peserta Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Katanya, peserta akan didedahkan mengenai kepentingan nafas dan peranannya dalam melindungi diri, keluarga dan persekitaran terhadap ancaman pandemik. "Pakar-pakar ini akan berkongsi secara teori dan praktikal tentang teknik pernafasan serta kesan positif yang bakal dialami setelah mengamalkannya di samping para peserta akan mendengar perkongsian pengalaman daripada bekas-bekas pesakit yang telah sembuh setelah mengaplikasikan teknik yang diajar. "Secara umumnya, Insyaaf akan membantu masyarakat untuk keluar daripada perasaan takut dan trauma terhadap Covid-19 dan menyediakan diri untuk meneruskan kehidupan secara lebih positif dalam persekitaran endemik Covid-19 pada masa akan datang," ujarnya. Beliau berkata demikian, pada sidang media dalam menghebahkan program berkenaan, di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, di sini semalam. Terdahulu, beliau berkata, pihaknya hadir ke negeri ini dalam rangka kerja mempromosikan dan menyampaikan manfaat Insyaaf yang turut disokong Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dan Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. "Serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai 'Technical Adocator' untuk Program World Class Wholistic Motivation PSK Edisi khas Covid-19: Kursus Pengenalan Motivasi Menyeluruh di Empat Tahap Dimensi Insan. "Ia juga  turut mendapat kerjasama daripada beberapa pihak diantaranya Pertubuhan Kebajikan Ihsan Wanita Islam Malaysia, Akademi Motivasi 5K dan NEO Wellness Centre," ujarnya. Katanya lagi, sebelum ini seminar berkenaan telah diadakan sebanyak lima siri sepanjang tahun 2021 iaitu melibatkan negeri Sarawak, Melaka, edisi khas bersama KKM di Johor, serta akan diadakan pula untuk Edisi Pahang pada 22 Januari serta Terengganu pada 29 Januari hadapan. Tambah beliau, sesiapa yang berminat untuk hadir dan beroleh manfaat daripada program berkenaan boleh menghubungi Pengurus Program, Dr Julia Jamain di talian 012-9782598. Selain itu ia boleh disertai melalui platform media sosial melalui carian Life Wholistic Motivation melalui Facebook dan Telegram. Menerusi sidang media tersebut , pihaknya juga menawarkan peluang pekerjaan bagi menjana pendapatan sebagai Coach, motivator, dan Trainer melalui program 'Train Of The Trainer' dengan peluang pendapatan RM5,000 hingga ke RM10,000 sebulan.
20 Jan 22
921
GLOWAQAF Sasar Dana RM125 Juta Bantu Komuniti Terengganu
GLOWAQAF Sasar Dana RM125 Juta Bantu Komuniti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Global Al-Quran Waqaf Projek (GLOWAQAF) sedang giat memperkenalkan projek bantuan dana dengan menyasarkan sejumlah RM125 juta bagi membantu individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Amirah Izzati berkata ia juga termasuk bagi membantu institusi pendidikan seperti Maahad Tahfiz, Madrasah, Pondok dan rumah anak yatim yang selama ini hilang punca pendapatan sehingga terpaksa gulung tikar. Katanya, Pertubuhan Kebajikan Ihsan Wanita Islam Malaysia (PERKIWISA) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat juga telah bergabung melancarkan inisiatif tersebut. "Dalam masa yang sama projek ini juga turut berhasrat melahirkan daie al-Quran untuk menyebarkan ilmu mukjizat tersebut, di samping membantu komuniti di negeri ini dengan dana yang dikumpulkan. "Kita hendak membantu maahad tahfiz, madrasah, pondok pengajian al-Quran yang terjejas dengan menawarkan dana merangkumi pembangunan, pensijilan, pengurusan dan pendidikan, kita mahu ilmu agama yang mereka miliki diiktiraf. "Bermula dengan sijil, diploma sehinggalah PHD, silibus yang disediakan kita akan adakan kerjasama dengan beberapa universiti sama ada dalam dan luar negara," ujarnya. Beliau berkata demikian, pada sidang media bagi mengebahkan program berkenaan, di Duyong Marina & Resort, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahirhatim Solihotdin. Mengulas lanjut, pihaknya juga sedia menawarkan kerjasama kepada mana-mana anak syarikat (GLC), koperasi, pertubuhan, perbadanan atau yayasan yang berupaya untuk menguruskan projek yang diadakan itu di negeri ini. "Di samping bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang punca pendapatan kepada mereka yang layak dan berpotensi untuk menguruskan projek ini dengan potensi pendapatan di antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan" katanya. Jelasnya, apa yang istimewa mengenai porgram berkenaan, setiap pewaqaf akan diberikan baucer percuma program yang bernilai RM8,999 walau hanya mewaqafkan satu naskah al-Quran. "Segala sumbangan ini akan diserahkan sendiri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli parlimen di kawasan masing-masing. Semoga dengan usaha ini dapat membantu rakyat Terengganu dalam mendepani cabaran ini. "Untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh melayarinya melalui media sosial dengan carian Glowaqaf di Facebool atau websitenya ialah waqaf.glowaqaf.my," ujarnya lagi.
20 Jan 22
375
1,518 Warga Emas Air Putih Terima Pencen Rakyat
1,518 Warga Emas Air Putih Terima Pencen Rakyat
KEMAMAN, 20 Januari- Seramai 1,518 orang warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih menerima pencen rakyat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkata, bertepatan dengan hasrat kerajaaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri yang berkebajikan, pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir. "Baru-baru ini telah berlangsungnya Majlis Agihan Sumbangan Pencen Rakyat kepada golongan warga emas yang berada di sekitar Dun Air Putih. Program yang bertempat di Dewan Orang Ramai, Kampung Pasir Gajah dan Dewan Semai Bakti, Cheneh ini menyaksikan seramai 1518 orang penerima sumbangan. "Sumbangan ini telah dikhususkan kepada rakyat Terengganu berusia 60 tahun ke atas yang telah bersara dan bukan penerima bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan negeri dan persekutuan," ujarnya ketika berucap merasmikan majlis tersebut. Beliau turut menyatakan rasa syukur ke hadrat Illahi kerana tercapainya sebuah lagi manifesto PAS di dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) yang lalu iaitu untuk memberikan sumbangan kepada mereka yang telah bersara atau lebih dikenali sebagai Pencen Rakyat. “Diharapkan dengan terlaksananya Pencen Rakyat ini, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penerima memandangkan ramai yang terkesan berikutan pandemik COVID-19. "Terima kasih juga saya ucapkan kepada para penerima yang begitu sabar menanti memandangkan serahan ini sepatutnya dilakukan pada tahun lepas. Namun majlis serahan ini terpaksa ditangguhkan atas pelbagai kekangan yang melanda. “Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Air Putih, Pejabat Daerah Kemaman dan staf i-MiTS DUN Air Putih yang telah bertungkus-lumus membantu dari awal proses pencarian nama para penerima sumbangan ini sehingga majlis ini berjaya dijalankan dengan lancar," ujarnya.  
20 Jan 22
738
Penternak Lembu Bimbang Ancaman Harimau
Penternak Lembu Bimbang Ancaman Harimau
KUALA TERENGGANU, 18 Januari - Selepas penduduk Kampung Air Putih di Kemaman mendakwa haiwan ternakan mereka terancam kerana diserang harimau sejak Disember lepas, kini penternak lembu di Kampung Chabang, Kerteh pula dilanda kebimbangan sama. Seorang penternak, Ramli Mohamad, 62, berkata seekor daripada 25 lembunya ditemukan mati dipercayai dibaham harimau Jumaat lepas. "Saya hanya menyedari perkara itu apabila pergi ke kebun untuk memberi lembu makan, namun pelik kerana seekor lembu betina berusia lebih setahun tiada di situ. "Saya cari lembu itu di sekeliling kebun, kemudian saya jumpa bangkai lembu di kawasan alur sungai, dan yang paling mengejutkan kepalanya terpisah dari badan. Saya syak ini adalah serangan harimau kerana ada kesan koyakan di rahang lembu itu," katanya ketika dihubungi pemberita. Ramli berkata, beliau turut menemui beberapa kesan tapak kaki, dipercayai harimau yang menyerang lembu itu di kebunnya dan telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu. Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata anggota Perhilitan memantau kawasan selepas menerima laporan mengenai perkara itu. Empat hari lepas Perhilitan Terengganu telah memasang dua perangkap di Kampung Air Putih untuk menangkap harimau yang dipercayai berkeliaran di sekitar kawasan ladang sawit dan membaham beberapa ternakan penduduk kampung berhampiran. Serangan harimau terhadap haiwan ternakan sebelum ini sering berlaku di sekitar Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4 di daerah Dungun bermula sejak 2019. Pada Februari tahun lepas, seekor harimau belang jantan yang dinamakan 'Awang Rasau' berjaya ditangkap Perhilitan di Felda Kerteh 3, diikuti seekor lagi harimau belang 'Atan Kerteh' yang masuk ke perangkap di Kerteh 4 pada Ogos tahun lepas, namun dipercayai masih ada kumpulan haiwan itu di sekitar hutan berhampiran.- BERNAMA.
18 Jan 22
615
Ingat Pesanan Ibu Bapa- Hazri
Ingat Pesanan Ibu Bapa- Hazri
KEMAMAN, 18 Januari - "Solat jangan tinggal dan jangan meninggikan suara dengan kedua ibu bapa," pesan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh ketika mengunjungi pelajar yang mengikuti Tuisyen Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang, baru-baru ini. Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kijal memperuntukkan sejumlah wang kepada sekolah terlibat bagi mengadakan pecutan terakhir kepada pelajarnya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Sebahagian pelajar yang mengikuti program Tuisyen Rakyat Seramai 291 calon SPM mengikuti program yang dianjurkan oleh PKM DUN Kijal dengan kerjasama sekolah terlibat diantaranya SMK Seri Bandi dan SMK Kijal. Sementara itu, Pembantu Penyelia Hal Ehwal Belia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) Kijal, Mohamad Roslan Ab Rahman berkata, selepas ini akan ada lagi program bersama pelajar iaitu Lambaian Menara Gading (LAMEGA) dan Motivasi Pelajar Bersama Ibubapa dalam masa terdekat ini. "Kami di PKM DUN Kijal amat komited dalam menyantuni belia dan pelajar disekitar Kijal dan harapan saya agar mereka berjaya samada didunia maupun diakhirat," katanya ketika ditemui pemberita dipejabatnya, kelmarin.  
18 Jan 22
394
Tuisyen Rakyat Bantu Pelajar Tingkat Kefahaman
Tuisyen Rakyat Bantu Pelajar Tingkat Kefahaman
DUNGUN, 18 Januari- Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang terpilih menyertai Tuisyen Rakyat diharap dapat meningkatkan kefahaman masing-masing sekaligus membantu mengekalkan kecemerlangan anak Terengganu dalam peperiksaan tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, tuisyen anjuran kerajaan negeri  itu diadakan secara percuma di 32 DUN  dalam Terengganu.  "Di DUN Rantau Abang seramai 283 orang pelajar terpilih, mereka merupakan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut, SMK Balai Besar, SMK Pulau Serai dan SMK Kompleks Rantau Abang(KORA) sebagai pecutan akhir untuk menduduki SPM pada Februari nanti," katanya. Alias berkata demikian dalam ucapan ringkas di Dewan Sivik Seberang Pintasan yang merupakan tempat Tuisyen Rakyat untuk pelajar-pelajar SMK Pulau Serai dan SMK KORA. Nurul Iftiliana(bertudung putih) bersama rakan-rakan sekelasnya yang turut terpilih ke Tuisyen Rakyat  " Peluang untuk menyiapkan diri menjawab soalan SPM dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik seharusnya digunakan sebaiknya dengan memberi tumpuan sepenuhnya memandangkan yang memberi tunjuk ajar ini adalah guru-guru pakar dalam bidang masing-masing, "ujarnya.  Manakala untuk pelajar-pelajar SMK Balai Besar dan SMK Padang Pulut masing-masing di Dewan Masjid Balai Besar dan Dewan Serbaguna SMK Padang Pulut. Sementara itu seorang pelajar yang ditemui, Nurul Iftiliana Mohd Syukri dari SMK Pulau Serai, gembira berpeluang dipilih untuk mengikuti kelas tuisyen tersebut. "Saya gembira sebab tidak semua pelajar dapat disamping, banyak ilmu saya dapat sepanjang kelas di sini yang tidak dapat di kelas tuisyen berbayar, ini akan membantu saya dalam menjawab soalan-soalan mata pelajaran terutama subjek  yang saya lemah iaitu matematik, " jelasnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang kaunselor. 
16 Jan 22
476
133 Undian Lot RTB Pondok Pasir Dan Payoh Di Kijal
133 Undian Lot RTB Pondok Pasir Dan Payoh Di Kijal
KEMAMAN, 13 Januari - Seramai 133 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Pondok Pasir dan Kampung Payoh di Kijal membuat undian lot bagi menentukan tapak kediaman masing-masing. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, RTB Pondok Pasir merupakan RTB yang dialih lokasinya setelah kawasan asalnya di Tasik Bukus telah diwartakan sebagai kawasan perlombongan oleh kerajaan negeri. Manakala RTB Payoh katanya adalah penempatan baharu bagi generasi muda. "Alhamdulillah, akhirnya proses undian RTB ini diselesaikan setelah melalui beberapa proses yang agak rumit dayri sudut teknikal dan perundangan. "Berkat kesabaran dan kerjasama, kita berjaya menunaikan hasrat rakyat untuk memiliki tapak kediaman bagi mereka meneruskan kehidupan berkeluarga dengan lebih sempurna. Peserta undian lot bergambar bersama daif sebagai kenangan. "Tahniah dan terima kasih kepada pihak Pejabat Tanah Kemaman, pegawai serta kakitangannya yang bekerja keras untuk melunaskan salah satu janji kerajaan kepada rakyat setelah diberi mandat untuk memerintah Terengganu pada pilihanraya umum lalu," ujarnya ketika berucap di majlis undian lot di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal, baru-baru ini. Hazri Jusoh (kanan) meraikan peserta. Sementara itu, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh yang turut berucap di majlis tersebut menerangkan proses selanjutnya selepas undian lot kepada peserta. "Kepada peserta yang bermasalah dari segi kewangan untuk membuat pembayaran premium tanah ini didalam tempoh ditetapkan, bolehlah merujuk kepada pihak kami untuk dipermudahkan. "Tempoh tiga bulan pertama yang berikan kepada peserta boleh lagi dilanjutkan ke tiga bulan seterusnya dengan memaklumkan kepada kami sebelum tamat tarikh tersebut. "Tetapi sebaik-baiknya carilah daripada mana-mana sumber kewangan untuk menjelaskan bayaran 10 peratus ini di dalam tempoh yang diberikan bagi memudahkan pihak kami untuk ke proses selanjutnya iaitu geran," ujarnya lagi. Peserta meninjau lokasi tanah yang bakal dimiliki. Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan turut dihadiri oleh Penolong Kanan Pentadbir Tanah, Mohamad Hafiz Che Awang beserta kakitangan, Ketua Biro Tanah Kijal, Zabidin Awang dan kakitangan Imits Kijal.
13 Jan 22
1065
Mimpi Ngeri Pak Zaid Berakhir
Mimpi Ngeri Pak Zaid Berakhir
KUALA NERUS, 12 Januari - “Tiada kata mampu menggambarkan perasaan saya ketika ini melainkan rasa lega dan bersyukur kerana masalah hakisan yang menghantui kami telah selesai,” kata seorang penduduk Kampung Tanjung Bunut, Jantan Ismail, 59, setelah isu itu diselesaikan oleh kerajaan negeri. Dia yang lebih mesra disapa sebagai Pak Zaid berkata, sebelum ini ketika musim tengkujuh tidur mereka tidak lena apabila memikirkan risiko hakisan tebing Sungai Nerus yang telah membelenggunya sejak 10 tahun dan semakin menghampiri kawasan kediaman. Keadaan tebing sungai yang runtuh kerana hakisan. "Kini saya boleh menarik nafas lega kerana tebing berdekatan rumah telah diperkuatkan semula menggunakan 'armour rock' bagi menahan kesan alam," katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan proses mengukuhkan curam tersebut mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan oleh Pejabat Daerah Kuala Terengganu. Ustaz Ridzuan Hashim mencadangkan laluan masuk lori untuk ditambak batu kepada Pok Zaid. “Alhamdulillah, proses penambahbaikan segera telah berjalan lancar serta tiada insiden yang tidak diingini berlaku, ia disebabkan oleh faktor kawasan yang mudah di akses menyebabkan ia dapat disiapkan dengan cepat. “Saya berharap agar Pak Zaid akan dapat menjalani kehidupan yang normal selepas ini,” ulas beliau ketika meninjau kawasan tambakan di belakang rumah Pak Zaid di Kampung Tanjung Bunut.
12 Jan 22
1114
Pemuda Terengganu Baiki Motosikal Mangsa Banjir Secara Percuma
Pemuda Terengganu Baiki Motosikal Mangsa Banjir Secara Percuma
MENTAKAB, 9 Januari - Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di Pahang, 120 pemuda PAS dari Terengganu menawarkan perkhidmatan membaik pulih motosikal secara percuma. Pengarah Alternative Riding Club (ARC) Terengganu, Mohd Rahim Rozali berkata, pihaknya telah membuka empat bengkel bergerak di Pahang dengan menempatkan ahli ARC yang berkemahiran untuk membaiki kenderaan. Katanya, ARC terdetik untuk menghulurkan bantuan itu apabila mengenangkan nasib mangsa banjir yang bukan sahaja perlu menanggung kos membaik pulih kenderaan malah pelbagai kos lain. "Alhamdulillah kami mula berkampung di sini sejak semalam untuk membaiki motosikal secara percuma. "Setiap motosikal mengambil masa antara satu dan dua jam untuk dibaik pulih dengan semua kos penggantian seperti palam pencucuh, minyak hitam dan penapis udara akan ditanggung kami termasuk mencuci kesan lumpur pada motosikal," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Menurut beliau, kelab permotoran di bawah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Pemuda PAS itu turut menyediakan 400 botol minyak hitam percuma untuk keperluan penduduk. "Kami hanya memanfaatkan kemahiran yang kami ada untuk berbakti kepada masyarakat. "Selain itu rakan-rakan Pemuda PAS kami daripada sektor lain turut menyumbang dalam kepakaran yang mereka ada, contoh Jabatan Amal Malaysia, mereka bergerak membantu membersihkan rumah terjejas pasca banjir," katanya. Baru-baru ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kasim dan Naib Ketua Pemuda PAS Terengganu, Hamdi Harun melakukan pelepasan pasukan ARC tersebut.
09 Jan 22
989
500 Belia dan Beliawanis Diraikan Di Program 'Youth Brilliant Community (YBC)'
500 Belia dan Beliawanis Diraikan Di Program 'Youth Brilliant Community (YBC)'
KEMAMAN, 9 Januari - Hampir 500 orang belia dan beliawanis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai diraikan dalam program "Youth Brilliant Community (YBC)", kelmarin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata mereka yang berumur sekitar 18 hingga 25 tahun merupakan  orang-orang yang sangat hebat dan merupakan golongan muda yang bakal menentukan hala tuju sesebuah negara. Katanya, mereka juga adalah pelapis kepada pemimpin yang akan membawa kepada satu perubahan yang lebih baik dan berwawasan. "Buat mereka yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belajarlah dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Bawalah pulang kejayaan, kamu akan menjadi pemimpin pada masa hadapan. "Saya sangat mengharapkan kalian yang hadir pada malam ini akan menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat dengan mengikut teras Islam berpandukan Al-quran dan hadis," katanya ketika berucap dalam majlis itu yang berlangsung di Dewan Dato' Seri Amar Diraja. Hanafiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri turut menasihatkan mereka agar tidak melupakan jasa-jasa ibu bapa apabila sudah mencapai kejayaan nanti. "Jadikanlah ibu bapa dan keluarga sebagai sandaran dalam kehidupan kita," ujarnya.    
09 Jan 22
338