Artikel "Komuniti" Terkini
PAYUNG Santuni Anak Yatim, Beli Barang Keperluan Sekolah
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Pertubuhan Anak-Anak Yatim DUN Sura (PAYUNG) menjadikan sesi persekolahan tahun ini satu kegembiraan buat 69 anak yatim di DUN tersebut apabila dibawa membeli barang kelengkapan persekolahan sekitar bandar Kuala Terengganu semalam.
Pengerusinya, Zakariah Yusof berkata, ianya merupakan satu tanggungjawab sosial bagi memastikan anak-anak ini dapat meneruskan sesi persekolahan dengan sempurna.
"Langkah ini merupakan tanggungjawab pihak kami memastikan anak-anak yatim ini tidak terasa terpinggir dan memberi mereka peluang untuk belajar dalam keadaan lengkap seperti pelajar yang lain," ujarnya kepada pemberita.
Tambahnya, anak-anak yatim ini sangat gembira setelah dibawa membeli belah dan makan di Restoran DeeLight.
"Saya lihat respon anak-anak ini sangat ceria. Mungkin ada dikalangan mereka tidak pernah dibawa melancong dengan menaiki bas, selain dijamu dengan makanan yang mewah dan sukar didapati," ujarnya.
Program ini ditaja kira-kira 40 orang penyumbang dari pelbagai latar belakang untuk digunakan membeli barang keperluan persekolahan.
Zakariah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang dan terlibat menjayakan program tersebut.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih buat semua penyumbang dan juga setinggi penghargaan atas kerjasama semua pihak yang terlibat memastikan kelancaran program ini," ujarnya.
20 Feb 22
657
E-Sukan Kegilaan Ramai, Urus Waktu Agar Tidak Leka
SETIU, 19 Februari– Fenomena sukan elektronik e-sukan pada masa kini menjadi kegilaan ramai khususnya anak-anak muda di negara ini yang dilihat semakin berkembang pesat seiring dengan kebangkitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata perkembangan itu tidak menjadi masalah kerana ia berupaya menjadi aktiviti yang sihat kepada remaja pada masa kini namun pengurusan waktu sangat penting agar tidak membawa kepada kelekaan sehingga mengabaikan perkara wajib.
“Bermain tidak mengapa, tidak menjadi kesalahan cuma jangan sampai mengabaikan hubungan dan urusan kekeluargaan, terlalu leka bermain sebagai contoh, akibat sibuk bermain permainan elektronik ini sehingga malas dalam menolong ibubapa di rumah.
"Juga jangan sampai tahap meninggalkan dan melewatkan solat akibat sibuk bermain permainan ini,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang di Pertandingan E-Sport PUBG Tertutup DUN Permaisuri yang bertempat di Dewan Majlis Daerah Setiu Sg Tarom.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar teknologi baharu yang ada hari ini telah memudahkan rakyat untuk mencapai ilmu pengetahuan hanya dihujung jari segala maklumat akan didapati.
“ Namun peranan kita sebagai pengguna perlu menyelidik dahulu segala maklumat dan berita yang diterima dan jangan menyebar maklumat yang berunsur fitnah yang kita tidak tahu akan kepastianya.
“Gunakan teknologi baru hari ini untuk perkara yang memanfaatkan kita supaya tidak menjadi mudarat kita didunia dan di akhirat,"ujarnya
19 Feb 22
374
Pemuda Amal Wakili Malaysia
MARANG, 19 Februari - Pemuda dari Jabatan Amal Malaysia (JAM) Pengkalan Berangan berjaya mewakili Malaysia dalam sukan Bola Sepak Kudung Amputee Football World Cup.
Mat Ridwan Yah,31, berkata, minatnya dalam sukan tersebut tidak pernah luntur walaupun beliau kehilangan kaki kirinya akibat kemalangan beberapa tahun yang lalu.
"Alhamdulillah, pada 25 hingga 28 Februari ini saya akan ke Kuala Lumpur untuk meneruskan sesi latihan saya bersama dengan pemain lain bagi menghadapi perlawanan yang seterusnya yang mana ia akan diadakan di Bangladesh pada 11 hingga 16 Mac ini," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya.
Selain itu, dia juga bukan sahaja aktif dalam sukan bola sepak, tetapi juga turut aktif dalam hal-hal kebajikan yang lain apabila khidmat dan bantuan diperlukan.
"Saya sukarela menyertai Jabatan Amal Malaysia ini, bukanlah kerana nama atau wang, tapi saya kira ia adalah satu tanggungjawab bersama yang kita perlu lakukan dengan sekadar kemampuan yang kita ada.
"Apabila berlakunya sesuatu bencana contohnya, walaupun tiada arahan, tetapi saya merasa amat terpanggil untuk menyertai bersama dalam misi bantuan, seperti mana bencana banjir yang berlaku di Pahang dan Selangor baru-baru ini," ujarnya.
Menurutnya lagi selain dari ke Bangaladesh, pada tahun ini juga akan berlangsung satu lagi acara utama iaitu Kejohanan Bolasepak Orang Kudung Zon Asia Timur Piala Dunia Bolasepak Kudung Oktober nanti di Turki, dan mereka akan susuli dua acara utama ini dengan acara Perlawanan Persahabatan menentang Gaza pada tahun 2023 nanti.
19 Feb 22
276
Angkara Kereta Rumah Nyaris Dijilat Api
MARANG, 18 Februari - Angkara kereta sendiri terbakar secara tiba-tiba di garaj, rumah seorang peniaga kedai runcit di Kampung Atas Tol, Bukit Payung nyaris hangus dijilat api.
Suriani Said , 53, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di dalam rumah bersama enam anaknya.
“Sekitar jam 3 petang, saya sedang berehat di dalam rumah dan tiba-tiba anak jiran saya datang memaklumkan bahawa bonet hadapan kereta saya mengeluarkan asap berkepul-kepul.
"Tanpa berfikir panjang saya terus memanggil jiran untuk menolak kereta tersebut keluar daripada garaj rumah dan sekelip mata sahaja muncul api yang terus menjilat kereta sehingga hangus,” ceritanya kepada pemberita kelmarin.
Menurut ibu tunggal itu lagi, dia bersyukur kerana mempunyai jiran yang prihatin hingga menyelamatkan nyawa mereka sekeluarga.
"Selamat sempat tolak keluar dari garaj, kalau tak habis sekali dengan rumah terbakar.
"Saya anggarkan kerugian sekitar RM6 ribu, alhamdulillah hari ini (semalam) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah ada menziarahi saya dan menghulurkan sedikit bantuan,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Nor Hamzah berpesan kepada semua agar sentiasa peka dan lebih berhati-hati ketika berada di rumah masing-masing.
18 Feb 22
980
60 Juru Mandi Jenazah dan Pembantu Terima Sumbangan
DUNGUN, 17 Februari - Seramai 60 orang juru mandi jenazah dan pembantunya disini menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Penolong Kanan Pesuruhjaya Dakwah dan Tarbiah Jabatan Agama Hal Ehwal Terengganu, Zulfa Abdul Samad berkata, kerajaan negeri menyediakan insentif bulanan skim perkhidmatan jurumandi jenazah kepada rakyat negeri ini yang berkelayakan.
"Di samping itu, imbuhan penambahan jenazah, kemudahan insentif bulanan dan bantuan khairat kematian turut diperkenalkan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat ringkas dalam pertemuan dengan juru mandi jenazah dan pembantu yang diadakan di Pejabat Agama Daerah Dungun, hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Dungun, Mohd Amin Hamid mewakili Ahli Parlimen Dungun.
Menurut Zulfa setiap jurumandi dan pembantu layak menuntut insentif bulanan berdasarkan faktor keaktifan.
"Justeru kita bekerjalah dengan penuh pengorbanan, kesungguhan dan keikhlasan serta menjaga kerahsiaan atau aib jenazah supaya tidak didedahkan kepada orang ramai," katanya.
17 Feb 22
305
Gadis Kampung Buat Duit Dengan 'Bigo Live'
MARANG, 17 Februari - Bergiat aktif sebagai pempengaruh aplikasi 'Bigo live' sejak 2021, gadis dari Kampung Jerung Surau, Syafiqah Rashid, 25, mampu meraih pendapatan hampir RM6,000 sebulan.
Katanya, dia sangat meminati bidang berkaitan media sosial dan memasang tekad untuk terus memanfaatkan kelebihan platform itu.
"Saya akui untuk sampai ke tahap sekarang bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia bukanlah menjadi satu halangan apabila ada usaha daripada kita.
"Sebelum ini saya merasakan cukup sukar untuk meraih pendapatan bulanan sedemikian, namun setelah belajar daripada beberapa 'influencer' saya mampu melangkah ke depan.
"Dulu, sukar untuk saya jadi seperti sekarang, kena kerja dari pagi sampai malam, penat lagi, nak dapat RM2,000 pun susah, dengan pendapatan sekarang, sekurang-kurang saya mempu membantu keluarga," jelasnya ketika ditemui UPDI semalam.
Syafiqah Rashid yang sedang dalam pengambaran untuk dimuat naik ke You Tube.
Menurut lulusan Diploma Pengurusan Zakat Wakaf, Kolej profesional Baitulmal itu, 'gaji' tersebut diperolehi selepas dia berjaya mengumpulkan 26 ribu pengikut.
Katanya, setiap kali bersiaran langsung di aplikasi berkenaan, dia menjadikan topik atau tips masakan kampung dan penjagaan kecantikan serta tutorial penggunaan alat solek sebagai bahan menjana wang.
"Daripada 26 ribu pengikut itu, ramai yang meminati topik berkenaan dan memberi galakan setiap kali saya bersiaran," jelasnya.
Ditanya mengenai 'Bigo live' yang mempunyai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kerana kandungan melampaui batas, Syafiqah berkata dia mahu merubah persepsi itu.
"Sama juga juga tik tok sebelum ini, banyak kandungan negatif kerana kurang individu yang mengetengahkan 'content' positif.
"Bagi saya, selagi kita menggunakan sesuatu platform itu untuk memberi manfaat kepada orang ramai, ia tiada masalah,
"Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pun pernah mengeluarkan kenyataan tiada masalah untuk menggunakan aplikasi itu selagi bukan bertujuan untuk melakukan kemaksiatan dan perkara yang diharamkan," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syafiqah turut menjelaskan dia sedang memperluaskan 'content' media sosialnya ke You Tube.
"Saya juga boleh menambah pendapatan dengan menjual biskut buatan tangan secara atas talian di dalam aplikasi shopee dan juga instagram," jelasnya.
17 Feb 22
5648
Rejab : Latih Diri Hadapi Ramadan
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Rejab merupakan bulan haram dalam Islam dan ia juga menjadi medan umat Islam melatih diri sebelum datangnya Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata bulan Rejab sangat sesuai untuk meningkatkan amalan kepada Allah.
"Antara amalan yang disarankan ialah seperti membaca Al-quran, berpuasa dan solat sunat dan bersedekah.
"Perbanyakkan amalan di bulan Rejab. Biasakan diri kita dengan membaca al-quran, berpuasa dan sembahyang (sunat) serta perbanyakkan sedekah. Selain ia mendapat pahala di sisi Allah SWT.
"Kita perlu membuat persiapan untuk diri kita sebelum bertemu bulan Ramadan yang dijanjikan oleh Allah dengan pelbagai ganjaran," beliau berkata demikian ketika melakukan aktiviti ziarah ke kelas pengajian al-quran di Kampung Tok Ku di sini.
Ahmad Shah (berbaju putih) ketika turun ziarah di Kampung Tok Ku.
Tambah Ustaz Ahmad Shah, umat Islam turun disaran mengamalkan doa yang diajar oleh para ulama untuk dipertemukan dengan bulan Ramadan.
"Selalulah berdoa dengan menyebut ‘Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaban dan sampaikanlah kami kepada Ramadan’, walaupun ianya bukanlah doa yang dilafazkan oleh Nabi SAW, namun ia sangat baik untuk diamalkan.
17 Feb 22
226
Pengusaha Kedai Gunting Syukur Terima Sumbangan
KUALA TERENGGANU, 17 Februari – Pengusaha kedai gunting Yen Hairstyle, Mohd Azreen Chik, 30, bersyukur apabila menerima sumbangan kerusi gunting rambut daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Menurut Mohd Azreen, bantuan itu sedikit sebanyak membantunya melancarkan operasi kedai.
“Sebelum ini saya hanya menggunakan kerusi rumah saya untuk gunting rambut pelanggan.
Kerusi yang digunakan sebelum ini
“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Yang Berhormat kerana sudi hantar sendiri kerusi ini ke premis saya,” kata Mohd Azreen ketika ditemui pemberita di premis perkhidmatannya di Kampung Tok Adis, semalam.
Menurut beliau lagi, perkhidmatan menggunting rambut telah dimulakan sejak tahun 2009 namun hanya mengambil upah daripada rakan-rakan.
“Saya mulakan perniagaan Yen Hairstyle ini pada tahun 2019 dan alhamdulillah menerima sambutan yang baik daripada penduduk setempat,” tambahnya lagi.
Kerusi baharu diserahkan oleh ADUN Batu Buruk
17 Feb 22
334
Liputan Rangkaian Telekomunikasi Negeri Terengganu Dipertingkatkan
Oleh: Anis Nurhanan
KUALA TERENGGANU, 17 FEBRUARI - Liputan rangkaian telekomunikasi Negeri Terengganu bakal dipertingkatkan apabila Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 telah dimulakan pelaksanaannya melalui mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Terengganu (JITNT).
Pengarah Negeri MCMC Terengganu, Zahari Ismail berkata bahawa empat syarikat telah dilantik oleh Kerajaan dibawah pelaksanaan projek JENDELA Fasa 1.
Katanya, pelaksanaan projek ini terbahagi kepada dua peringkat yang mana peringkat pertama iaitu pembinaan infrastruktur menara dan aksesori akan dilaksanakan oleh Theta Telecoms dan FGV Prodata Systems; dan Peringkat kedua iaitu penyediaan sistem elektronik dan rangkaian perkhidmatan yang akan disediakan oleh Celcom dan Digi.
“Theta Telecoms dan FGV Prodata Systems masing-masing merupakan syarikat milik penuh Tabung Haji dan FGV Holdings.Syarikat-syarikat tersebut mahir dan mempunyai kepakaran dalam industri pembinaan menara telekomunikasi.
“Sebanyak 65 menara komunikasi baharu dan satu struktur komunikasi ‘repeater’ dijangka siap dibina pada penghujung Julai 2023 di bawah pelaksanaan projek JENDELA Fasa 1 ini,” jelasnya.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman, dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh.
JITNT merupakan jawatankuasa yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Terengganu.
Ia berperanan dalam memantau dan memudahcara urusan kelulusan tanah bagi pelaksanaan projek telekomunikasi yang telah dirancang agar dapat dilaksanakan dan siap mengikut garis masa yang telah dipersetujui.
Sementara itu, Dr Mamad Puteh berkata bahawa pelaksanaan projek JENDELA dilihat boleh membantu memenuhi keperluan orang ramai dan mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat Terengganu terutama dalam situasi pandemik yang membuktikan internet adalah antara keperluan yang sangat penting dalam kehidupan masa kini.
“Harapan saya adalah untuk memastikan penyediaan liputan jalur lebar talian tetap dan mudah alih yang dapat memberi perkhidmatan komunikasi yang berkualiti di seluruh negeri Terengganu terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” ujarnya.
Beliau juga menyarankan agar semua pengguna dapat mengakses portal JENDELA MAP (https://jendela.my) bagi membuat semakan liputan dan memberi maklum balas bagi kawasan-kawasan yang perlu ditambah baik bagi memastikan perkhidmatan komunikasi yang berkualiti dapat disediakan dan bermanfaat kepada masyarakat setempat.
16 Feb 22
309
Guru Dan Pelajar Tionghua Di Rai
DUNGUN, 16 Februari- Seramai 120 orang murid dan 24 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Chone disini diraikan dalam Majlis Ramah Mesra sempena Tahun Baharu Cina 2022.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, tahun lalu sambutan tahun baru Cina tidak begitu dirasai kerana situasi COVID-19 ketika itu sangat membimbangkan.
"Ternyata rata-rata masyarakat Cina menggunakan kesempatan pada tahun ini untuk memeriahkan suasana perayaan kali ini," ujarnya ketika dihubungi.
Majlis yang disambut dengan penuh meriah itu diserikan lagi dengan tarian singa dan persembahan lain dengan kehadiran kira-kira 150 orang mengikut standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap persekolahan dan pembelajaran tahun ini berada dalam keadaan yang baik.
16 Feb 22
201