Artikel "Komuniti" Terkini
83 Penduduk Manir Terjejas Akibat Banjir
HULU TERENGGANU, 28 Febuari - Seramai 83 orang penduduk dari 20 keluarga telah terjejas akibat banjir di Dewan Undangan Negeri Manir setakat jam 1 awal pagi tadi.
Kesemua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah KebangsaanvTeluk Menara yang telah dibuka sejak semalam.
Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hilmi Harun berkata, beliau sejak petang semalam telah mula melawati PPS dan bersama pelbagai pihak menyelesaikan kelengkapan pusat pemindahan tersebut.
Beliau difahamkan, banjir yang berlaku sejak lewat petang semalam disebabkan pertembungan air laut pasang dan air besar sebelah hulu yang menjadi punca berlaku limpahan sungai Terengganu.
“Mangsa yang terlibat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir terdiri daripada 11 keluarga dari Teluk Menara, lima keluarga dari Manir, tiga keluarga dari Banggol dan satu keluarga dari Tualang.
“Juga menerima maklumat daripada JPKK, ada beberapa keluarga yang terlibat hanya berpindah dan menumpang dirumah saudara mara mereka yang tidak terlibat banjir.
“Marilah kita berdoa pada Allah SWT supaya warga Manir yang menjadi mangsa banjir diselamatkan dan tidak berlaku kemalangan jiwa," ujarnya kepada pihak media ketika membuat tinjauan ke PPS Teluk Menara, semalam.
Dalam pada itu, beliau juga mengarahkan Unit Kebajikan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat PKM Manir sentiasa membekalkan makanan kepada semua mangsa banjir dan para petugas.
Hilmi yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Manir berpesan agar penduduk jangan panik dan sentiasa menunggu arahan daripada pihak berkuasa.
"Bertenang dan turuti arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dengan situasi banjir luar jangka ini," katanya.
28 Feb 22
479
'Air Putih Menangis'
KEMAMAN, 28 Februari - Hujan lebat yang berlanjutan sejak beberapa hari lalu telah mengakibat banjir di Kemaman khususnya kawasan Air Putih.
Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Kampung Air Putih dan Kampung Teladas dimana hampir 80 peratus kawasan ini lumpuh dilanda banjir.
Selain Kampung Air Putih dan Teladas, kawasan lain seperti Kampung Bukit Mentok, Kampung Pasir Minal, Kampung Felda Seberang Tayur, Kampung Seberang Tayur Hulu, Kampung Seberang Tayur Hilir, Dadong, Pasir Gajah, Paman, dan Felda Cerul turut dinaiki air.
Mangsa yang terlibat telah selamat dipindahkan ke pusat perpindahan sementara (PPS) berhampiran oleh anggota keselamatan dan sukarelawan setempat.
Terkini, penduduk di Bandar Baru Bukit Mentok 1 dan 2 serta Kampung Tempurung turut diminta berpindah ke PPS SK Sri Iman memandangkan paras air yang kian meningkat.
Dilaporkan sebanyak 22 buah PPS di buka di seluruh daerah Kemaman yang mana melibatkan seramai 3,026 orang mangsa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, Ab Razak Ibrahim meminta semua penduduk di Kemaman untuk bersiap siaga menghadapi bencana banjir yang dijangka akan turut melanda di kawasan-kawasan lain.
“Setiap pihak perlu memainkan peranan dan cakna akan situasi air di kawasan berhampiran. Persiapan seperti menyimpan barangan berharga di tempat yang selamat dan tinggi perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku” ujar beliau kepada pemberita.
Katanya, masing-masing perlu rujuk dengan ketua kampung atau lebih dikenali dengan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum, semasa dan selepas kejadian berlaku.
"Bagi kawasan yang beriksiko, penduduk dinasihatkan untuk berpindah pada waktu siang memandangkan pergerakan dan penglihatan agak terbatas di waktu malam.
"Anggota keselamatan seperti Jabatan Amal Malaysia kawasan Kemaman, PDRM dan ATM akan terus memantau dan melakukan misi menyelamatkan mangsa banjir," ujarnya.
28 Feb 22
413
Banjir Di Hulu Dungun, Penduduk Diminta Berwaspada
DUNGUN, 27 Februari – Keadaan banjir di Hulu Dungun semakin membimbangkan apabila jalan yang menghubungkan lima buah kampung dinaiki air.
Setakat ini, kampung terlibat ialah Kampung Kuala Jengal, Kampung Rantau Panjang, Kampung Tepus, Kampung Minda dan Kampung Talong.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan berlakunya kenaikan air secara mendadak pagi tadi di beberapa buah tempat.
Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan bekalan bahan mentah mencukupi semasa banjir.
“Penduduk setempat diminta memberikan kerjasama terutamanya yang berada di kawasan rendah untuk sentiasa berwaspada dan bersiap sedia berpindah pada bila-bila masa sekiranya diarahkan pihak berkuasa," ujarnya.
Sementara itu, berdasarkan kenyataan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah Jalan Tepus-Kuala Jengai (Kampung Rantau Panjang) disini.
Pemerhatian di laman web Public Infobanjir mendapati, tiga stesen sungai melepasi paras bahaya dengan tiga daripadanya di Pasir Raja dan Kuala Jengai diikuti Jerangau.
27 Feb 22
358
90 Rumah Di Batu Buruk Rosak Dipikul RIbut
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Kira-kira 90 buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah terjejas akibat bencana ribut yang melanda kawasan terbabit semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerja-kerja membaik pulih rumah terjejas telah mendapat perhatian pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) hari ini.
ADUN Batu Buruk membantu kerja-kerja membaik pulih rumah
“Kami telah berhubung dengan pihak JPKK dalam DUN Batu Buruk untuk membaik pulih rumah-rumah yang terjejas dengan kadar yang segera.
“Alhamdulillah, cuaca pada hari ini lebih baik berbanding semalam. Namun, kami sentiasa berwaspada dan bersedia untuk sebarang kemungkinan,” kata Ustaz Muhammad Khalil kepada pemberita ketika meninjau dan membantu kerja membaik pulih rumah-rumah tersebut.
Sementara itu, DUN Batu Buruk telah mencatatkan satu perpindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, semalam.
Namun begitu, mangsa telah dibenarkan untuk pulang pada hari ini ekoran air kembali surut dan terkawal.
Ustaz Muhammad Khalil menyantuni mangsa yang berpindah ke PPS SK Chendering
27 Feb 22
454
649 Calon SPM Terima Cenderahati Suntik Semangat
DUNGUN, 27 Februari- Seramai 649 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menerima cenderahati sebagai penyuntik semangat untuk meraih kejayaan cemerlang.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun) Alias Harun berkata, dengan endemik COVID-19 yang menyelubungi negara, menjadi satu cabaran hebat kepada guru dan calon SPM untuk sentiasa kuat dan bersemangat bagi mengharungi hari-hari peperiksaan.
"SPM akan bermula pada 2 Mac dan mengambil masa sebulan, cabaran paling besar ialah menjaga diri untuk kekal sihat kerana jika dijangkiti COVID-19 ianya akan menganggu jadual peperiksaan calon berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengagihkan cenderahati kit SPM yang berupa alatulis kepada pengetua di enam buah sekolah menengah di DUN tersebut.
Alias bersama rombongannya yang terdiri daripada kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(i-MiTS) DUN telah mengunjungi tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai, SMK Kompleks Rantau Abang dan SMK Agama Kampung Kuala Abang.
Manakala isterinya, Rugayah Mahmood mengetuai satu lagi rombongan yang juga disertai kakitangan i-MiTS dan Ameerah DUN ke SMK Balai Besar, SMK Tengku Intan Zaharah dan SMK Padang Pulut.
"Kita semua berdoa agar Allah S.W.T sentiasa permudahkan urusan Calon SPM dan dihindari daripada dijangkiti COVID-19 serta dikurniakan kejayaan kepada anak-anak ini di dunia dan akhirat," ujarnya.
27 Feb 22
292
Minggu Al-Quds : Bangkit Kesedaran Rakyat Bebaskan Palestin
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Aid4Palestine dengan kerjasama Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah telah melancarkan sambutan Minggu Al-Quds pada Jumaat lalu bagi membangkitkan kesedaran tentang perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada rejim Israel.
Pengerusi Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sambutan tahun ini diadakan dalam skala lebih besar denganmelibatkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh masyarakat serta pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, tanggungjawab serta kepentingan membesarkan bumi Palestin itu bukan hanya perlu disedari oleh orang Islam sahaja tetapi juga bukan Islam kerana ia turut membabitkan isu kemanusiaan.
"Harapa saya sangat tinggi agar seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan agama untuk bersama-sama membantu dan berkerjasama bagi membebaskan Baitulmaqdis ini yang sekian lama kita melihat rakyat Palestin berada dalam kesengsaraan kerana dizalimi Zionis Yahudi," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Al-Quds yang disempurnakan perasmiannya oleh Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang, di Dataran Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, di sini, pada kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Pelancaran minggu Al-Quds tersebut turut diserikan dengan gimik perasmian dengan pelepasan 500 peserta konvoi bermotorsikal, pacuan empat roda dan juga berbasikal.
Selain itu, program kemuncaknya pada 5 Mac nanti di Putrajaya akan turut melibatkan pelbagai golongan lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dengan aktiviti mewarna, memanjat bukit serta pelbagai aktiviti lagi dalam usaha mendidik masyarakat agar peka dengan isu yang melanda di Palestin.
"Kita berhasrat pada awalnya untuk turut mengadakan Le tour De Al-Quds yang konsepnya seperti Le Tour De Langkawi, dimana penunggang basikal akan mengelilingi seluruh Malasyia namun kerana masih lagi bimbang dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang masih melanda jadi kita tangguhkan dahulu.
"Pada tahun akan datang kita pastikan ia lebih meriah,"ujarnya Muhammad Khalil.
Justeru, pihaknya berbesar hati untuk mengajak seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama berkongsi rasa dalam menjayakan program berkenaan dalam memperteguh solidariti Al-Quds dengan umat Islam di Palestin.
27 Feb 22
341
40 Kilogram Bekalan Ikan Segar Diagihkan Kepada Mangsa Banjir
DUNGUN, 27 Februari –Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mengambil inisiatif membekalkan ikan segar untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi Ghazali Sulaiman berkata, sebanyak 40 kilogram ikan segar itu diagihkan kepada enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Hulu Dungun.
"Dua jalan utama yang menghubungkan Kampung Dendang Ke Kampung Tepus dan Kampung Jerangau Sungai Ke Kampung Tepus turut dinaiki air dan menyebabkan jalan ditutup bagi kenderaan ringan.
"Justeru, lima pacuan empat roda daripada pasukan Jabatan Amal, Padat, Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jerangau turut sama membantu mengagihkan ikan segar kepada PPS yang terlibat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan barangan basah berkenaan di sini.
Katanya, jika hujan masih berterusan sehingga pagi esok, dijangkakan banjir pada kali ini mungkin berulang seperti tahun lepas.
"Bagaimanapun, pihak DUN Bukit Besi akan terus memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa banjir terjaga," katanya.
27 Feb 22
254
Banjir, Angin Kencang Luar Jangka Cemaskan Penduduk
KUALA NERUS, 26 Februari - Rata-rata penduduk di daerah ini menyatakan perasaan cemas dengan cuaca buruk luar jangka yang melanda Terengganu pada ketika ini.
Dalina Awang, 45, berkata hujan lebat berserta angin kencang yang menyebabkan rumahnya dinaiki air dengan cepat menggusarkan hati mereka sekeluarga selepas mengalami kejadian serupa pada tahun 2014.
"Teruk juga pada kali ini, boleh dikatakan saya dan jiran-jiran yang ada di sini berada dalam keadaan panik, kami segera mengambil tindakan menaikkan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi.
"Air sangat cepat naik, jika hujan lebat berterusan maka kawasan ini akan ditengelami air untuk kali kedua," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI hari ini.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Hangus, Kamaruddin Salleh pula berkata, beliau difahamkan air naik di kawasan terbabit adalah disebabkan sistem perparitan.
"Sebenarnya isu ini telah dibawa kepada pihak Jabatan pengairan dan Saliran (JPS), kita minta agar disegerakan.
"Jika ia dipercepatkan maka masalah penduduk di sini akan dapat diselesaikan, kita dimaklumkan ia membabitkan kos yang agak tinggi namun telah diluluskan kita berharap agar ia berjalan dengan secepat mungkin.
"Apabila berlaku banjir ia akan membabitkan 25 buah rumah yang melibatkan 180 orang mangsa, jadi tindakan kita bila tiba musim hujan memang berhubung dengan pihak JPS agar kerja mencuci parit dapat dilakukan, cuma pada kali ini apa yang berlaku di luar jangkaan," katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim telah turun padang bagi menyantuni mereka yang terkesan dalam kejadian kepala angin melibatkan penduduk di kampung Gong Pak Jin, Padang Nanas, Bukit Bayas dan Kampung Kubur Sharif.
Hishammuddin berkata, rumah yang terjejas akibat ribut akan segera dibaiki.
"Segala proses untuk membantu bagi membaiki kembali rumah terbabit akan dilakukan secepat mungkin selepas cuaca kembali pulih sepenuhnya," ujarnya.
26 Feb 22
788
Aplikasi Smart Besut Mudahkan Pengguna, Jimatkan Masa
BESUT, 24 Februari - Penggunaan aplikasi Smart Besut secara langsung menambah baik kemudahan sistem tempat letak kenderaan (parking) dan membiasakan komuniti dengan proses urusan yang lebih efisyen.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, beberapa penambahbaikan telah dibuat kepada aplikasi seperti pengguna tidak lagi perlu mengisi nombor lot kotak parking disamping kad gores yang akan disediakan untuk warga emas.
"Ini benar-benar memudahkan pengguna. Dengan penggunaan aplikasi Smart Besut, pengguna tidak perlu lagi bersedia dengan syiling, tidak perlu berkejar mencari kiosk (gerai) pembayaran dan tidak bermasalah dengan mesin tempat letak kereta (TLK) yang rosak.
"Lebih daripada 70 peratus TLK tidak mempunyai kadar setengah jam. Oleh itu, kemudahan pembayaran untuk tempoh setengah jam pada kadar 30 sen ini dilihat sebagai satu langkah penjimatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepa sesi penerangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Hulu Besut, baru-baru ini.
Tambahnya, kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga telah bersetuju untuk meneruskan penggunaan aplikasi Smart Besut bagi bayaran di daerah Besut.
"Kerajaan negeri turut meminta syarikat konsesi Smart Besut untuk mempergiatkan penerangan kepada pengguna supaya rakyat tahu untuk menggunakan aplikasi ini selain menyebarkan kebaikan penggunaan aplikasi TLK ini berbanding sistem mesin TLK," tambahnya lagi.
Untuk pengetahuan, sebarang pertanyaan dan masalah berhubung penggunaan aplikasi Smart Besut boleh hubungi Pejabat Pengurusan Smart Besut di talian 09-6930998 atau melalui WhatsApp rasmi 0125454700.
24 Feb 22
1898
'Main-main Juga, Solat Tetap Keutamaan'
MARANG, 23 Februari - Program Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) yang dianjurkan kerajaan negeri sepanjang bulan Rejab setiap tahun semenjak 2019 tertumpu kepada setiap genap masyarakat termasuklah anak-anak muda yang sinonim dengan aktiviti bersukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata, anak muda digesa menyahut Kempen Jom Solat Berjemaah sempena Bulan Penghayatan Ibadah Solat.
"Kita berada pada bulan Rejab. Sambil-sambil kita bermain dan tengok bola, kita juga mesti ingat bahawa bulan Rejab ini bulan peristiwa Israk Mikraj, bulan mengingati ibadah solat. Jangan lupa hubungan kita dengan Allah, utamakan solat dalam setiap urusan yang kita lakukan.
"Saya harap insya-Allah anak muda berada di hadapan saya, para penonton dan para pemain agar dapat juga meluangkan masa bersama untuk kita singgah dan beriktikaf di masjid dan surau," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala YB ADUN Bukit Payung, dekat sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pelaksanaan BPIS ini tertumpu kepada Kempen Solat Secara Berjemaah di masjid atau surau disamping seruan menghayati solat sebagai benteng daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Beliau menyeru agar anak muda bijak mengimbangkan tuntutan agama dan diri dengan utamakan mencari ilmu di masjid atau surau sebagai bekalan kita untuk bertemu dengan Allah SWT.
23 Feb 22
411