Artikel "Komuniti" Terkini
Gapeter Target Emas Piala Cyberjaya Untuk Melangkah Ke Turki
MARANG, 6 Mac - Gabungan Pemanah Tradisional Terengganu (GAPETER) menyasarkan kemenangan pada Kejohanan Memanah Tradisional Piala Cyberjaya di Padang Bola B Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini.
Kejohanan ini juga turut menawarkan pemilihan wakil Malaysia ke Kejohanan Antarabangsa Concuest Cup Fateh Kupasi Kali Ke 10 yang bakal diadakam di Istanbul Turki pada 27 hingga 29 Mei nanti.
Menurut Pengurus Kontinjen GAPETER, Mohd Ridhwan Talib, seramai 300 peserta dari seluruh negara akan hadir menyertai kejohanan yang berprestij ini.
Manakala penyertaan kontinjen GAPETER melibatkan 28 orang dan 12 orang daripadanya wakil dari Marang bagi menyertai perlawanan selama dua hari itu di Cyberjaya.
Bagi menyuntik semangat juang para peserta khususnya dari daerah Marang, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof yang mewakili Ahli Parlimen Marang Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyampaikan beberapa bentuk sumbangan bersempena kejohanan ini.
05 Mar 22
531
Air Mata Mangsa Banjir Berderai Terima Kunjungan Ayah Chik
MARANG, 4 Mac - Siapa sangka airmata mangsa banjir jatuh berderai diiringi laungan takbir kerana terlalu sebak atas kehadiran Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menziarahi kediamannya yang teruk dilanda banjir.
Demikian situasi Awi atau lebih dikenali Pok Awi yang tidak dapat menahan sebak atas kunjungan tersebut.
"Terima kasih Ayah Chik sanggup datang ziarah walaupun banyak tugas yang perlu ditunaikan. Siap bagi sendiri sumbangan ni terus kepada tangan kami mangsa-mangsa banjir.
"Seorang tokoh ulama. Tuan Guru sanggup melawat ke rumah saya pagi ini, jadi saya rasa seperti tidak percaya. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah S.W.T", katanya ketika ditemui wartawan UPDI dekat sini, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, banjir datang ada hikmahnya. Turunnya banjir, datangnya seorang ulama.
Baru-baru ni, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah turun ke Kuala Berang, Terengganu bersama Jabatan Amal Malaysia meninjau sekaligus mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Durian Badur, Jalan Sekayu dan sekitarnya.
04 Mar 22
422
Rumah Sendiri Tenggelam Banjir
HULU TERENGGANU,4 Mac - “Sebelum ini saya sibuk dengan tugasan membantu mangsa banjir, namun kali ini rumah saya sendiri ditenggelami air tanpa sempat untuk menyelamatkan harta benda,” kata Sukarelawan Terengganu (T-Volt), Rashidatul Nisa Azhar,24, kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Durian Bador, semalam.
Katanya, selama hidup dia hanya melihat mangsa sayu dan sedih dengan musibah terbabit, tetapi kini dirinya sendiri merasai perasaan itu.
"Apa yang berlaku ini sangat pantas, tidak pernah air naik di dalam rumah begitu tinggi melebihi hampir paras kepala di dalam rumah.
"Kejadian yang berlaku dalam pukul 6.30 pagi, perkara pertama saya fikir ketika kejadian tersebut adalah bagi menyelamatkan 'Tok Yang' (moyang) berumur 100 tahun dan 'Tok Wan' (nenek) berusia 76 tahun yang telah uzur.
"Pada waktu itu hanya saya, abang dan sepupu sahaja berada di rumah, ayah dan emak menyelesaikan urusan di Kuala Terengganu, jadi dalam keadaan cemas dan panik saya cuba meminta bantuan orang kampung," katanya yang turut dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Mengulas lanjut, Rashidatul berkata sepanjang hayatnya tidak pernah berlaku keadaan sedemikian yang dianggap sangat teruk.
"Namun kami sekeluarga pasrah, kerana daripada pengalaman selama ini setiap kali menyertai misi banjir, saya nasihatkan mereka agar bersabar dan tabah, dan pada kali ini apa yang dinasihatkan kepada orang ramai selama ini ternyata berguna kepada saya.
"Dalam masa yang sama, apa yang diuji kepada kami sekeluarga tidak lah seteruk keluarga lain.
"Di kesempatan ini saya juga ucapkan terima kasih kepada EXCO Terengganu serta rakan-rakan sukarelawan lain yang hadir bagi membantu memberikan keringanan buat kami, maaf juga pada kali ini saya tidak turut bersama sebagaimana biasa," ujarnya.
Sementara itu ayahnya, Mohd Azhar Omar berkata, 53, berkata ujian menimpa mereka cukup memberi kesan.
"Namun apa yang berlaku adalah kehendak Allah untuk menghadirkan sesuatu yang lebih baik selepas dilanda musibah berkenaan. Kami sekeluarga insya-Allah mampu menghadapi semua ini," katanya.
Untuk rekod, Rashidatul pernah tercalon untuk menerima Anugerah Tokoh Belia Terengganu kerana aktif sebagai sukarelawan manakala abangnya, Amirul Firdaus Azhar pula pernah tercalon Anugerah Tokoh Belia Negeri Terengganu untuk kepimpinan muda.
04 Mar 22
1505
Bakal Raja Sehari Redha Majlis Kahwin Ditangguh
DUNGUN, 4 Mac- Walaupun majlis perkahwinannya terpaksa ditangguhkan ekoran banjir yang melanda Kampung Delong, bakal 'raja sehari' Che Norfazila Che Anera, 27, tetap redha.
Disebabkan rumahnya turut dinaiki air, Che Norfazila dan keluarga terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bertempat di Sekolah Kebangsaan Delong.
"Majlis sepatutnya diadakan pada hari Jumaat, 4 Mac tapi tak apalah kena cari tarikh lain, saya redha je," katanya.
Norfazila ditemui ketika lawatan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang ke PPS di dalam DUN tersebut.
"Persiapan sudah hampir separuh, tidaklah rasa kecewa sangat, mungkin ada hikmahnya, kita hanya mampu merancang, ketentuannya adalah dari Allah " katanya.
03 Mar 22
191
KETENGAH Lancar PASKET Tawar Harga Terendah Pada Rakyat
KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mengumumkan usaha membantu pengusaha dan masyarakat setempat dengan pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia Pasar Prihatin Wilayah KETENGAH (PASKET) di 17 lokasi yang akan bermula di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Sabtu ini.
Pengerusi KETENGAH, Senator Datuk Razali Idris berkata, PASKET dilihat sebagai satu usaha membantu terutama kepada golongan B40 yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang berdepan situasi sukar meneruskan kehidupan seharian.
"Biasanya program jualan ini cuma diadakan sekali-sekala, namun kami melihat untuk mengadakan PASKET dalam dua fasa. Fasa pertama melibatkan tujuh lokasi di tujuh lokasi dalam daerah Dungun sebanyak tiga lokasi, Kemaman (2) dan Hulu Terengganu (2) yang berlangsung dari Mac hingga Mei.
"Manakala fasa kedua kita jadualkan berlangsung dari Jun hingga September melibatkan 10 lokasi iaitu di Dungun (4 lokasi), Kemaman (2) dan Hulu Terengganu (2) yang mana kita utamakan kawasan dalam wilayah KETENGAH," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, program berkenaan berbeza dengan program jualan lain kerana diadakan dalam skala besar melibatkan lebih 80 pengusaha tempatan dengan kos subsidi kira-kira RM2 juta untuk memastikan harga ditawarkan pada kadar rendah.
"Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) termasuk para pengusaha yang datangnya dari pasar tani, pasar malam dan pasar besar di wilayah KETENGAH.
"Untuk kehadiran, kita jangka akan menerima kedatangan sekitar 70 peratus penduduk kerana PASKET diadakan pada skala besar kali ini. Sebagai tambahan, kita melangsungkan PASKET di AMBS ini selama dua hari satu malam dengan diserikan persembahan buskers-buskers yang kitaa panggil dari seluruh Terengganu.
"Kita juga adakan permainan rakyat seperti memanah, silat, cabutan bertuah untuk menarik minat pengunjung hadir memeriahkan PASKET ini," katanya.
Antara barangan yang akan dijual terus kepada rakyat ialah ikan segar dan beku, sayur dan buah-buahan, barangan kawalan seperti minyak masak, barangan proses dan tin, daging dan ayam serta produk-produk industri kecil sederhana (IKS).
03 Mar 22
608
Jalinan Kerjasama Masjid, AADK Dekati Komuniti Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Satu Program 'Community Empowerment' telah diadakan sempena Majlis Sambutan Hari Isra’ Mikraj di Masjid Tengku Nik Haji, Batu Buruk anjuran pihak masjid tersebut dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Majlis tersebut telah dimulakan dengan solat maghrib berjemaah diikuti kuliah maghrib khas bersempena peristiwa Isra' dan Mikraj yang disampaikan oleh Pegawai Agama Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS), Ustaz Syukri Harun.
Seterusnya, Penolong Pegawai AADK, Wan Mohd Nazarnoor Wan Ramli telah menyampaikan taklimat kepada jemaah masjid yang hadir.
“Kehadiran kita pada malam ini ialah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya dadah.
“Di samping itu, pihak kami juga telah mengedarkan nombor talian ‘hot line’ bagi memudahkan orang ramai untuk membuat aduan,” kata Wan Mohd Nazarnoor dalam ucapannya.Beliau juga menjawab beberapa soalan yang ditanya oleh hadirin yang hadir baru-baru ini.
Taklimat disampaikan oleh Penolong Pegawai AADK
Majlis tersebut juga telah dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
“Kita sebagai orang Muslim bukan sahaja perlu menjadi seorang yang soleh, tetapi juga perlu menjadi orang musleh untuk memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.
“Justeru, majlis yang diadakan pada malam ini sangat bermanfaat dan semoga ia dapat diamalkan dalam kehidupan kita,” kata Ustaz Muhammad Khalil dalam ucapan beliau.
Tambahnya, beliau mengucapkan tahniah atas penganjuran ini dan terima kasih atas jemputan.
Di samping itu, majlis tersebut juga telah dimeriahkan lagi dengan acara cabutan bertuah dan pameran yang telah disediakan oleh pihak AADK.
ADUN Batu Buruk Menyampaikan Ucapan
02 Mar 22
585
'Terima Kasih YB Hadir Beri Semangat'
KUALA TERENGGANU, 1 Mac- Madrasah Moden Terengganu (MMT) Hulu Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim atas sumbangan kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada sekolah berkenaan.
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid MMT, Nor Azliyani Muhammad Aziz berkata, sumbangan sebanyak RM3,000 itu sedikit sebanyak dapat membantu keperluan para pelajarnya.
"Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan YB pada masa akan datang.
"Alhamdulillah, Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah juga menerima kedatangan kami dengan baik.
"Sebelum ini, kami dipindahkan ke Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT). Jadi, emosi pelajar agak terganggu," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan berkenaan di SMA Khairiah, malam ini.
Tambahnya, selepas dipindahkan ke SMA Khairiah, suasana dan kemudahan lebih selesa dan membantu calon-calon daripada MMT.
Dalam pada itu, ketua pelajar MMT, Nur Anisa Maisarah Abdul Wahab menyifatkan, pemindahan calon-calon SPM ke SMA Khairiah menaikkan kembali semangat dan emosi mereka.
"Semasa dipindahkan, kami tidak dapat bawa banyak bahan-bahan dan rujukan.
"Jadi, ketika sampai di sini semalam, kami lebih banyak 'recall' pelajaran secara 'study group'.
"Hari ini, kami telah dapat menggunakan buku teks dan menerima bantuan -bantuan dari pelbagai pihak, ia menaikkan semangat kami semula untuk peperiksaan esok," katanya.
01 Mar 22
818
Banjir Surut, Jabatan Amal Mula 'Main Lumpur'
KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Seiring cuaca yang kembali cerah, Jabatan Amal Malaysia (Jabatan Amal) mula menggerakkan anggotanya bagi membantu proses pembersihan pasca banjiri di sebahagian kawasan di Terengganu.
Pegawai Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Wan Mohd Nasiruddin Wan Ahmad berkata, selepas dua hari banjir di kawasan , Jabatan Amal cawangan DUN terbabit mula bergerak membantu membersihkan rumah-rumah terjejas.
"Di sini kita buka tiga pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan kira-kira 35 buah rumah berdaftar.
"Jadi, hari ini kita pecahkan kepada dua pasukan pembersihan, yang pertama di kampung ini dan kedua, di kawasan kampung Pulau Duyong dengan kekuatan 30 orang setiap kumpulan.
"Untuk hari ini, Jabatan Amal Cawangan DUN Bukit Tunggal berjaya membersihkan sembilan buah rumah dan satu surau," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Kampung Seberang Tuan Chik, hari ini.
Jelasnya, sekiranya kejadian air pasang besar tidak menyebabkan banjir lagi, proses pembersihan akan dapat disiapkan dalam masa terdekat.
"Bagaimanapun, kita bergantung kepada keperluan.
"Kebanyakan penduduk masih tidak berani pulang ke rumah lagi kerana bimbang air kembali naik.
"Manakala, bagi penduduk yang sudah pulang kita akan turun membantu," katanya.
Selain membersihkan rumah terjejas, hari ini pihaknya dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN di bawah ADUN, Dr. Alias Razak turut mengadakan edaran 'dapur rakyat' bagi mangsa terlibat.
01 Mar 22
737
'Solat' Kunci Kebahagiaan Rumah Tangga
KUALA NERUS, 1 Mac - Ibadat solat merupakan kunci serta rahsia kebahagian dalam sesebuah rumahtangga.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata oleh kerana itu kerajaan berusaha mengadakan kempen Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) agar timbul kesedaran dalam masyarakat untuk menjalankan kewajipan tersebut.
"Terbentuknya sebuah masyarakat yang hebat bermula daripada rumah, dengan suami menyuruh atau mendidik isteri dan anak-anaknya menjaga solat kerana daripada situ akan terbentuknya sebuah masyarakat yang baik.
"Kempen yang digerakkan ini berhasrat untuk membangunkan modal insan serta mendidik mereka agar mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah dan hadir pada majlis ilmu kerana ia menjadi aspek kemajuan kepada negeri ini.
"Kemunduran sesebuah negara atau negeri bukannya diukur melalui tertegaknya bangunan tinggi tetapi apabila masyarakatnya jauh daripada masjid," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadat Solat Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Kampung Tajung Sabtu, di sini, pada hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hasim dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M.Rozi Bidin.
Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata majlis yang dimulakan dengan Solat Tahajud dan Solat Hajat secara berjemaah adalah bagi mendidik seluruh rakyat di negeri ini agar memperbanyakkan ibadat sunat pada waktu malam kerana mengandungi hikmahnya cukup besar.
"Inilah yang dididik oleh Rasulullah kepada para sahabatnya sehingga menjadi generasi yang terhebat dalam sejarah kegemilangan Islam dan juga disampaikan oleh baginda melalui khutbahnya kepada sahabat apabila sampai ke Madinah dalam peristiwa hijrah.
"Dengan bangun solat pada waktu malam, di waktu ramai yang sedang tidur lena mampu melahirkan kembali masyarakat Islam yang hebat sebagaimana ketika era keemasan pemerintahan Islam.
"Ia juga menjadi perantara seorang hamba kepada Allah untuk mengadu dan merintih bertaubat dan meminta agar wabak Covid-19 ini segera diangkat," ujarnya.
01 Mar 22
458
250 Pelajar Asnaf Terima Zakat MySutera
Gambar : Amirullah Mansor
DUNGUN, 1 Mac- Seramai 250 pelajar asnaf menerima zakat MySutera dalam bentuk simpanan di akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime@Simpan SSPN Prime.
Ketua Pegawai Korporat, My Sutera Sdn. Bhd. ,Mohd Erfino Johari berkata, sumbangan zakat tersebut adalah hasil inisiatif dan kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Sebagai usaha menyubur didik para ibu bapa dan penerima bantuan agar memberikan fokus kepada keperluan pendidikan, budaya dan tabiat menabung serta menyuntik keyakinan bahawa kecemerlangan pendidikan adalah wadah terbaik untuk generasi muda mengorak langkah berbakti kepada agama, bangsa dan negara di masa hadapan, " ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Wakalah Zakat MySutera Sdn. Bhd. Dengan Kerjasama PTPTN yang diadakan di Dewan Darul Bayan, Paka, baru-baru ini.
Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat itu turut dihadiri ADUN Wanita, Zuraida Md Noor dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.
Beliau turut menerima 'mock check' bernilai RM25, 000 sebagai gimik penyerahan zakat yang melibatkan 50 orang pelajar asnaf di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka, Chukai, Rhu Rendang, Wakaf Mempelam dan Batu Buruk.
Ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, Satiful berkata Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan membantu pelajar-pelajar kelahiran Terengganu untuk menyambung pengajian di dalam bidang agama di luar negara.
"Ini termasuklah yang ingin melanjutkan pelajaran ke Mesir, Jordan, Turki dan negara terbaharu Algeria," katanya.
Tambahnya lagi, manakala kepada yang ingin memilih bidang kedoktoran, kerajaan negeri tidak akan menghantar keluar negeri.
"Sebaliknya mereka boleh menyambung di Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA) atau Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) memandangkan kos yang tinggi di luar negeri," jelasnya.
01 Mar 22
365