Artikel "Komuniti" Terkini
Manfaatkan Kedatangan Bulan Ramadan
KEMAMAN, 28 Mac -Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya pengunjung dan peniaga di sekitar pusat beli beah Mesra Mall, Kerteh untuk manfaatkan kedatangan bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya.
Katanya, bulan Ramadan merupakan bulan latihan umat Islam bagi melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah SWT.
"Taqwa dengan erti kata lain takut kepada Allah SWT, ambillah peluang untuk kita manfaatkan bulan mulia ini dalam meningkatkan amal ibadah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Semarak Ramadan D'Hati Parlimen Kemaman yang berlangsung di pusat beli belah itu.
Program tersebut anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Kemaman dengan kerjasama Pejabat Khidmat Masyarkat (PKM) Ahli Parlimen Kemaman, PKM DUN Kemasik, PKM Penyelaras DUN Kijal, PKM ADUN Cukai dan PKM ADUN Air Putih.
Taqwim Ramadan dan beberapa cenderahati telah diagihkan kepada para peniaga dan pengunjung sejurus selesai pelancaran program.
Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa syukur di atas pelaksanaan solat tanpa penjarakan sosial di masjid-masjid dan surau di Terengganu selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Pandemik pada 1 April ini.
"Saya mengharapkan supaya kita dapat memanfaatkan peluang yang diberikan daripada awal sehingga akhir Ramadan tahun ini.
"Sebuah hadis menyebutkan: Bulan Ramadhan, awalnya rahmah, tengah-tengahnya maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka," ujarnya.
28 Mar 22
171
Jambatan Sementara Untuk Penduduk Belukar Bukit Sedia Digunakan
HULU TERENGGANU, 27 Mac - Jambatan sementara yang penghubung Kampung Belukar Bukit dan Kampung Betong, Ajil yang terputus akibat banjir baru-baru ini,sedia digunakan bagi memberi kemudahan kepada penduduk dalam aktiviti harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata pembinaan jambatan sementara ini adalah usaha bagi memulihkan laluan perhubungan penduduk dan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan terbabit.
"Jambatan sementara ini boleh digunakan untuk ibu-bapa menggunakan motosikal untuk menghantar anak anak ke sekolah memandangkan para pelajar di Kampung Belukar Bukit bersekolah di SK Betong.
"Sementara itu, cadangan untuk membina satu jambatan kekal baharu menelan kos antara RM5 hingga 6 juta yang dijangka siap dalam tempoh enam hingga lapan bulan pada tahun ini.
"Mudah-mudahan segala perancangan ini dapat dilaksanakan dengan baik demi kesejahteraan rakyat seluruhnya," katanya.
Mengulas lanjut Maliaman berkata, pihaknya memahami kesukaran dialami penduduk selepas jambatan yang menjadi penghubung utama untuk mereka bagi melakukan akitivi harian.
"Kita maklum penduduk minta pembinaan jambatan baharu dipercepatkan. Dalam isu ini Kerajaan Negeri berusaha untuk mempermudahkan keperluan penduduk kampung, mereka alami trauma kesan kejadian banjir besar yang pertama kali berlaku.
"Ketika ini penduduk kampung terpaksa melalui jalan lebih jauh selepas jambatan itu runtuh, jambatan itu adalah keperluan mereka terutama untuk pelajar ke sekolah serta orang ramai keluar ke Kampung Betong," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau aktiviti ibu bapa menghantar anak anak kesekolah menggunakan jambatan sementara terbabit, di sini hari ini.
Sementara itu, Guru Besar SK Betong, Azli Saad berterima kasih kepada ADUN Ajil dan Kerajaan Negeri atas usaha pembinaan jambatan sementara untuk keperluan penduduk di kawasan itu untuk menghantar anak anak ke Sekolah.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ADUN Ajil kerana begitu prihatin terhadap nasib dan keperluan penduduk. Beliau telah menunaikan janji beliau,” jelas Azli.
27 Mar 22
1025
Bukit Nenas VC Dinobat Juara Bola Tampar
SETIU, 28 Mac – Sebanyak 11 pasukan telah bertanding bagi merebut Piala Yang Berhormat Ahli Parlimen Setiu dalam Kejohanan Bola Tampar Tertutup Parlimen Setiu bagi kategori lelaki kelmarin.
Bukit Nenas VC telah dinobatkan sebagai Juara yang berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 beserta piala dan medal selepas mengalahkan pasukan Batu Rakit VC dan tempat ketiga bersama dikongsi oleh Banggol VC dan pasukan Tavos.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir merasmikan majlis penutup dan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.
Beliau dalam ucapanya,mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta. Dalam pada itu beliau juga mengatakan bersukan ini bukan sekadar mengejar kemenangan semata-mata.
“Tahniah kepada pemenang dan kepada yang tidak berjaya, jangan berputus asa. Dengan adanya program sukan seumpama ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kesukanan, yang penting sekali adalah terbinanya sebuah ukhuwwah antara kita semua,"katanya.
Bagi kategori wanita pula yang berlangsung pada hari jumaat disertai oleh sembilan pasukan dan lima pasukan sebagai jemputan kejohanan.
Pasukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah dinobatkan sebagai Johan. Naib Johan pula dimenangi oleh pasukan Fighter VC dan Banggol VC berkongsi tempat ketiga bersama Kemaman VC dan penyampaian hadiahnya disampaikan oleh Puan NorAzlin Farilah Hashim @ Abas, isteri Ahli Parlimen Setiu yang juga merupakan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu
Johan membawa pulang Rm700 beserta Piala dan Medal. Rm500 beserta Medal bagi Naib Johan dan Ketiga bersama membawa pulang Rm300 beserta Medal.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada semua hadirin tentang penjagaan aurat dan kepentingan solat.
“Solat boleh dilakukan di mana-mana tempat, tidak semestinya dilakukan di surau dan masjid sahaja walau tanpa kopiah dan kain pelikat. Dengan pakaian yang kita guna untuk bersukan walau dalam keadaan berpeluh tidak menjadi masalah untuk mengerjakan solat.
“InsyaAllah di masa akan datang kita akan menyediakan tempat solat di tempat kejohanan itu berlangsung.
“Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu akan terus menganjurkan pelbagai lagi jenis sukan pada setiap bulan selepas Aidilfitri ini, seperti sukan badminton, ping-pong, sepak takraw, futsal, bola jaring dan kemuncaknya ialah Bola Sepak,"üjarnya.
27 Mar 22
983
4 Masjid Di Hulu Terengganu Terima Sumbangan JAWI
HULU TERENGGANU, 27 Mac - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memperuntukkan sebanyak RM100 ribu bagi membantu empat masjid, di Hulu Terengganu yang terjejas akibat banjir luar jangka yang melanda pada akhir Februari lalu.
Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail berkata, jumlah tersebut diperuntukkan bagi membantu Masjid Kampung Gunung,Masjid Kampung Betong,Masjid Kampung Bukit Gemuruh dan Masjid Kampung Padang Setar yang terjejas teruk akibat bencana tersebut.
Menurutnya, hasil perbincangan bersama Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, Muhammad Ash-Shafie Abd Manan, kerosakan karpet dan peralatannya lain memerlukan penyelenggaraan serta mengambil kira bulan puasa yang hampir tiba telah dikenal pasti.
"Kami amat simpati dengan bencana banjir ini dan sumbangan RM25,000 ini adalah tanda ingatan daripada kami.
"Saya juga telah menghubungi Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Negeri Terengganu (JHEAT) sekiranya ada keperluan di masa akan datang untuk kita memberi bantuan sebagai tanda keprihatinan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Banjir Kepada Empat Buah Masjid Di Hulu Terengganu, semalam.
Sementara itu ADUN Ajil, Maliaman Kassim, berkata hikmah yang paling besar di sebalik banjir yang berlaku baru baru ini adalah keprihatinan masyarakat luar menghulurkan sumbangan,baik dari segi keperluan, kewangan dan tenaga.
"Di samping itu ramai lagi penyumbang dari luar Terengganu yang terus ke lokasi. Kepada mereka juga saya rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih.
"Sumbangan dari JAWI hari ini amat saya alu-alukan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban akibat banjir. Kehadiran JAWI membuktikan yang masyarakat Malaysia prihatin dengan nasib masyarakat yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini," katanya.
26 Mar 22
984
Manfaatkan Pengalaman Untuk Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Pesara polis diharap memanfaatkan pengalaman untuk mewujudkan masyarakat yang hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Parlimen Kuala Terengganu, Hamzah Ngah berkata usia sebagai pesara adalah anugerah Allah untuk sentiasa bermuhasabah dan menjadi diri lebih baik.
"Walaupun pesara polis tetapi 'aku' mampu mengubah diri menjadi hamba Allah yang bertakwa.
"Takwa ialah melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya," katanya.
Beliau yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato Tengku Hassan Tengku Omar berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Kuala Terengganu yang diadakan di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontigen Negeri Terengganu di sini, semalam.
Di dalam majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Mohd Din, Hamzah bagi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ladang telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada persatuan ituBeliau juga amat berbangga dengan kesungguhan anggota polis menjaga keamanan negara.
"Biarlah kerja-kerja kita itu mendapat ganjaran pahala di sisi Allah," katanya.
26 Mar 22
269
Individu Islam Bertanggungjawab Seru Laksana Solat
DUNGUN, 24 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik menegaskan, umat Islam mesti mengambil perhatian dalam menyeru masyarakat menunaikan solat secara berjemaah di masjid.
Wan Hapandi berkata, perkara ini perlu dilazimi umat Islam untuk mendidik generasi akan datang mendekati masjid.
"Kita perlu memenuhi ruang saf masjid setiap kali tiba waktu solat dan perkara ini perlu menjadi satu kelaziman supaya generasi akan datang menjadikan solat jemaah ini suatu kewajipan dan kebiasaan," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) peringkat DUN Sura, baru-baru ini.
Pelancaran majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahri Mamat.
Wan Hapandi turut berpesan supaya setiap tempat dihidupkan dengan suasana solat kerana solat itu mencegah kemungkaran dan ia pastinya memberi kesan kepada akhlak setiap individu.
"Solat ini mestilah dilaksanakan dimana sahaja kerana ia mempengaruhi akhlak setiap individu. Kerana itulah kerajaan negeri Terengganu mengambil pendekatan menganjurkan BPIS bagi membentuk akhlak yang baik dikalangan masyarakat.
"Dengan pelancaran program ini, kita dapat menghayati dan memenuhi hasrat kerajaan negeri Terengganu serta menyokong program BPIS ini agar ia berterusan dan diamalkan," ujarnya.
25 Mar 22
407
DUN Sura Buka Kaunter Permohonan Bantuan i-Fitri
DUNGUN, 23 Mac - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura mengambil inisiatif membuka kaunter permohonan bantuan i-Fitri untuk memudahkan masyarakat setempat yang tiada kemudahan internet membuat permohonan.
Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera DUN Sura, Mohd Hanafiah Hitam berkata, pihaknya melihat kepentingan membuka kaunter perkhidmatan tersebut setelah mendapat aduan serta maklum balas awam.
"Kami meneliti keperluan untuk membuka kaunter permohonan ini berdasarkan maklum balas awam yang masih keliru tentang kaedah pelaksanaan serta prosedur yang betul membuat permohonan Bantuan i-Fitri ini yang perlu dilakukan secara maya", katanya kepada pemberita.
Mohd Hanafiah berkata, kaunter itu dibuka selama empat hari bermula hari ini dan dilakukan secara berpusat mengikut zon.
"Ia dibuka pada 23, 24 , 27 dan 28 Mac ini secara berpusat mengikut zon yang ditetapkan iaitu melibatkan 23 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK)
"Kesemua kaunter beroperasi bermula jam 9 pagi sehingga 12 tengahari dan lokasinya adalah seperti yang ditetapkan mengikut zon," katanya.
Permohonan bantuan i-Fitri untuk seluruh rakyat Terengganu mula dibuka semalam (22 Mac).
Pemohon yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan boleh memohon melalui portal
https://ibantuan.terengganu.gov.my
23 Mar 22
1211
20,691 Warga Emas Sudah Terima Bantuan Pencen Rakyat
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Seramai 20,691 warga emas di negeri ini telah menerima bayaran pertama Bantuan Pencen Rakyat membabitkan peruntukan sebanyak RM6,207,300.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata bayaran kedua akan diagihkan pada sekitar Ogos tahun ini menjadikan jumlah agihan keseluruhan bernilai RM12,378,600.
"Untuk bayaran pertama mengikut pecahan setiap daerah di Kuala Terengganu membabitkan 1,799 penerima dengan kos RM539,700, Kemaman 3,718 orang (RM1,115,400), Dungun 1,624 orang (RM487,200), Besut 2,798 orang (RM839,400).
"Bagi Hulu Terengganu pula 3,424 orang telah terima (RM1,027,200), Marang 2,437 orang (RM731,100) manakala Setiu 2,809 orang (RM842,700) serta Kuala Nerus pula 2,082 orang (RM624,600)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan (PAS), Sulaiman Sulong, ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman (BN) dan ADUN Kuala Besut (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Bagi tahun ini kata Hanafiah, permohonan baharu akan dibuka pada April bagi memastikan mereka yang memenuhi kriteria tiada tercicir daripada menerima bantuan tersebut.
"Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) akan membuat surat arahan pada pejabat daerah untuk mengemukakan kembali kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) untuk mencari nama baharu yang baru memasuki umur 60 tahun ataupun yang tercicir sebelum ini.
"Atau mereka yang layak boleh memohon terus ke pejabat daerah melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ataupun melalui Pusat Khidmat Masyarakat atau pejabat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS)," ujarnya.
Mengulas lebih lanjut katanya, pelaksanaan program tersebut ternyata memberi kesan dan impak yang cukup positif kepada rakyat di negeri ini.
"Juga dia ntara objektif pelaksanaannya adalah untuk membantu mengurangkan bebanan warga emas ini dari sudut kewangan untuk menampung perbelanjaan mereka," ujarnya.
Bantuan pencen rakyat untuk warga emas sebanyak RM600 setahun merupakan manifesto PAS pada PRU-14 lalu.
23 Mar 22
975
Beri 90 Hari Cuti Bersalin Langkah tepat
KUALA LUMPUR, 22 Mac – Melalui Rang Undang-Undang (RUU) Kerja (Pindaan) 2021yang dibentangkan diputuskan kerajaan untuk memberi cuti bersalin kepada 90 hari berbanding hanya 60 hari sebelum ini merupakan suatu langkah tepat bagi menjaga kebajikan pekerja wanita di negara ini.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata sewajarnya ia disokong dan disambut baik oleh seluruh rakyat.
“Hal ini kerana cuti bersalin jelas sekali memberi impak yang besar kepada pembentukan sesebuah keluarga, sekaligus mengurangkan kegusaran golongan wanita untuk bersama-sama berkecimpung dalam apa jua bidang pekerjaan.
“Namun begitu, yang menjadi kebimbangan saya ialah berkenaan sesetengah majikan yang mendiskriminasi golongan wanita disebabkan pemberian cuti bersalin yang agak panjang . Ini kerana sesetengah majikan lebih cenderung untuk memilih pekerja lelaki berbanding wanita kerana beralasan bahawa pekerja wanita diberi cuti bersalin yang lama.
"Adalah perlu untuk kerajaan memastikan diskriminasi pekerja wanita tidak akan berlaku walaupun setelah pindaan akta dilaksanakan selain serta memastikan akta ini turut perlu memasukan denda terhadap majikan yang memotong gaji ataupun tidak membayar gaji pekerja yang bercuti melebihi 60 hari. Hal ini kerana,terdapat kes dimana pekerja wanita diberi cuti bersalin tetapi gajinya tidak dibayar terutamanya di sektor swasta.”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Rang Undang- undang (RUU) Kerja di persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Dalam pada itu beliau juga menyentuh berkaitan Fasal 36 berhubung kewajipan majikan untuk mempamerkan notis bagi meningkatkan kesedaran terhadap kesedaran gangguan seksual. Isu ini amat kerap berlaku dalam kalangan pekerja kerana apabila ia menyebabkan ketidakselesaan kepada mangsa itu adalah merupakan gangguan seksual.
“Namun ramai dalam kalangan masyarakat hari ini, wanita khususnya tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap masalah tersebut. Malah kebanyakan mangsa lebih memilih untuk memendam rasa dan hanya berkongsi luahan kepada orang terdekat.
“Saya berpendapat untuk mempamerkan notis ini adalah langkah yang tepat bagi memastikan hak pekerja dilindungi dan sekaligus isu ini dapat dibendung, "tegasnya.
22 Mar 22
476
Kari Daging Buat 300 Keluarga Di Tok Kah
DUNGUN, 21. Mac- Sebanyak 300 keluarga di Kampung Tok Kah menerima gulai kari daging buah tangan 'Soup Kitchen' daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun.
Edaran yang dilakukan dari rumah ke rumah itu merupakan acara rutin di setiap Program YB DUN Rantau Abang Bersama Rakyat.
"Tok Kah merupakan lokasi ketujuh saya bersama rakyat yang mengikut Unit Daerah Mengundi (UDM) iaitu Gong Pasir, Pulau Serai, Padang Pulut, Pinang Mas, Delong dan Seberang Pintasan," katanya.
Menurutnya, Slot YB Bersama Rakyat, selain 'Soup Kitchen' ialah Tukor Minyak Hitam Muto, Sumbangan Seekor Ayam dan Sekampit Beras dan Ziarah.
"Bagi Sumbangan Sekampit Beras Seekor Ayam, 50 orang penduduk yang kurang berkemampuan telah menerima bantuan tersebut.
"Kita terpaksa bahagi-bahagikan peruntukan yang ada untuk bantuan yang kurang mampu dan juga mereka yang dikuarantin, jadi ini sahaja yang kita mampu membantu," katanya di dalam ucapan ringkas sebelum agihan dilakukan di perkarangan Surau Haji Din, Tok Kah di sini baru-baru ini.
"
21 Mar 22
255