Artikel "Komuniti" Terkini
352 Mangsa Banjir Hulu Besut Terima BWI
BESUT, 7 April - Seramai 352 ketua isi rumah(KIR) bagi mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut menerima bantuan wang Ihsan (BWI) yang disampaikan Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Mat Daik Mohamad, semalam.
Dalam majlis penyampaian bantuan berkenaan di Kampung Pasir Akar, Mat Daik Mohamad berharap, sumbangan daripada kerajaan negeri itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penduduk terlibat lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini.
"Alhamdulillah, semoga penerima-penerima bantuan ini dapat menggunakan BWI dengan sebaiknya dalam menampung kos kerosakan yang dialami akibat banjir baru-baru ini.
"Terima kasih diucapkan kepada Pejabat Daerah Besut, Angkatan Pertahanan Awam(APM) Besut serta Jabatan Kemajuan Masyarakat(JKM) Besut kerana memudahkan urusan penyampaian sumbangan ini," katanya.
Seramai 415 Ketua Isi Rumah(KIR) yang melibatkan 1828 kesemua jumlah mangsa banjir dalam kejadian akhir februari, 25 hingga 28 haribulan yang lepas.
06 Apr 22
139
5,000 Kurma Diagihkan Dalam DUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 6 April – Sebanyak 5,000 pek kurma diagihkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bersempena menyambut kedatangan Bulan Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, agihan kurma dan takwim berbuka itu merupakan antara persediaan awal bagi menghadapi bulan puasa.
“Alhamdulillah, pada hari ini kami dari Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah mengagihkan 5,000 kotak kurma kepada 36 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk diagihkan kepada masyarakat setempat.
“Insya-Allah, ada banyak banyak lagi program yang akan dilaksanakan dalam bulan Ramadan bagi memastikan rakyat dalam DUN Batu Buruk dapat melaksanakan ibadah puasa dengan kebajikan yang terpelihara,” kata beliau ketika ditemu bual pemberita.
Tambah beliau lagi, walaupun negara kini sudah berada dalam fasa endemik Covid-19 yang membolehkan masyarakat membuat ibadah tanpa penjarakan fizikal, namun masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengikuti segala peraturan yang ditetapkan.
“Saya mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua.
“Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita,” katanya lagi.
ADUN Batu Buruk itu juga dijadualkan untuk menunaikan solat tarawih di surau-surau dan masjid-masjid sekitar DUN Batu Buruk sepanjang bulan Ramadan ini.
05 Apr 22
378
Jangan Pandang Ringan Pengambilan Ubat Kronik Ketika Puasa
KUALA TERENGGANU, 4 April - Orang ramai dinasihatkan agar tidak memandang ringan tentang pengambilan ubat-ubatan kronik seperti darah tinggi dan diabetes semasa berpuasa di bulan Ramadan.
Duta Kenali Ubat Anda Daerah Besut, Roslan Bidi, 65 berkata pesakit kronik perlu bertanya kepada pegawai perubatan dan farmasi sekiranya ada sebarang perubahan cara pengambilan ubat.
“Masuk bulan puasa, pesakit kronik kena bersedia supaya rawatan tidak terjejas sekali gus kesihatan terjaga untuk beribadah. Saya menghargai usaha pegawai farmasi yang turun padang ke kampung kami bagi menjalankan aktiviti penjagaan pesakit dalam komuniti.
“Melalui program Kampungku Celik Ubat di Kampung Kayu Kelat ini, banyak informasi ubatan yang kita dapat melalui kerjasama dengan kakitangan farmasi di Daerah Besut. Beberapa penduduk kampung kami juga telah dilatih untuk menjadi Duta Kenali Ubat Anda dan aktif menjalankan aktiviti di kampung ini.
“Sebagai salah seorang Duta Kenali Ubat Anda di kampung ini saya perlu lebih cakna akan kebajikan dan kesihatan warga emas terutamanya mereka yang berpenyakit kronik seperti kencing manis yang dijaga oleh anak-anak mereka. Saya yakin program sebegini mampu membuatkan mereka lebih cakna tentang pengurusan ubat-ubatan orang tua mereka,” katanya yang juga Penyelaras Komuniti Jawatankuasa Kampungku Celik Ubat Kampung Kayu Kelat, Besut.
Zahirah dan Roslan.
Sementara itu, ahli farmasi komuniti, Zahirah Razani, 34, yang juga merupakan Duta Kenali Ubat Anda Daerah Besut berkata orang awam perlu mengambil tahu tentang cara pengambilan ubat yang betul terutamanya pesakit kronik sewaktu bulan puasa.
Katanya, sebagai contoh, ubat yang perlu dimakan tiga kali sehari boleh dimakan ketika bersahur, berbuka puasa dan sebelum tidur, jika ubat empat kali sehari pesakit perlu merujuk kepada doktor jika perlu ubat tersebut diubahsuai dos atau ditukarkan kepada ubat lain.
“Bagi pesakit kencing manis, saya nasihatkan agar mereka lebih peka terhadap kondisi mereka ketika berpuasa terutamanya mereka yang selalu mengalami keadaan hiperglisemia atau hipoglisemia kerana ianya boleh membawa maut jika tidak diuruskan dengan betul. Jadi mereka perlu berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang dos insulin jika perlu diubahsuai ketika berpuasa.
“Selain itu, pesakit digalakkan memantau sendiri paras gula dalam darah di rumah menggunakan alat glukometer. Sekiranya paras gula lebih rendah daripada 4 mmol/L, pesakit hendaklah berbuka puasa untuk mengelakkan hipoglisemia menjadi lebih serius.
“Sebagai ahli farmasi yang berperanan terhadap komuniti, saya menyeru agar masyarakat mengambil peluang dan meningkatkan kesedaran tentang pengurusan dan pengambilan ubat yang betul menerusi program sebegini,"ujarnya yang juga pemilik Farmasi Pharmaco Plus.
04 Apr 22
906
KETENGAH, Muafakat Sejahtera Sumbang 300 Bakul Makanan Kepada Asnaf Kijal
KEMAMAN, 4 April - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bersama sebuah badan bukan kerajaan, Muafakat Sejahtera menyumbang sebanyak 300 bakul makanan kepada golongan asnaf di kawasan Kijal.
Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, selain membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan, program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara pegawai Ketengah dengan masyarakat di dalam wilayahnya.
"Salah satu tujuan program sebegini diadakan adalah untuk merapatkan jurang yang ada diantara Ketengah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan masyarakat didalam wilayah Ketengah.
"Selain daripada membantu golongan asnaf dan mereka yang berpendapatan rendah ianya juga memberi peluang untuk kita mendengar degup jantung, keluhan dan masalah yang ada disekitar mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Cakne Komuniti Wilayah Ketengah Bersama Maufakat Sejahtera di Dewan Orang Ramai Seri Bandi, baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn. Bhd, Mohd Zaid Sulaiman serta Penghulu Kanan Kemaman, Mohd Zazarin Abdul Ghani.
Katanya, pelbagai pengisian diadakan antaranya aktiviti gotong-royong kawasan perkuburan, sumbangan kepada penduduk yang kurang berkemampuan, ziarah penduduk yang ditimpa penyakit kronik dan acara sukan, selain pemeriksaan kesihatan turut dijalankan secara percuma oleh PAPISMA.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang turut berucap di majlis tersebut menyeru agar rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan.
"Saya menyeru dan mengharapkan agar hadirin yang ada ini dan masyarakat yang diluar sana agar terus memberi sokongan kepada kerajaan yang ada pada hari ini.
"Kepimpinan yang ada sekarang samada pada kerajaan negeri maupun kerajaan persekutuan perlu dikekalkan memandangkan prestasi mereka sangat cemerlang dengan pelbagai bantuan yang dikecapi rakyat sekarang," katanya.
Beliau juga berharap agar syarikat atau badan bukan kerajaan yang lain perlu mencontohi apa yang dilakukan oleh Ketengah dan Muafakat Sejahtera dalam membantu kerajaan negeri meringankan beban rakyat.
04 Apr 22
634
342 Penguat Kuasa Kesihatan Pantau Bazar Ramadan
KUALA NERUS, 3 April-Seramai 342 anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu(JKNT) akan digerakkan untuk memantau tahap kebersihan dan keselamatan makanan di 4,938 gerai membabitkan 59 lokasi bazar Ramadan tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata anggota penguat kuasa itu akan dibahagikan kepada 130 pasukan operasi bagi memastikan semua 9,666 pengendali makanan di bazar Ramadan mematuhi semua peraturan ditetapkan.
Beliau berkata, penguat kuasa ini juga akan mengambil sampel makanan secara rawak di bazar Ramadan untuk dianalisis, bagi menjamin makanan dijual kepada pelanggan bebas pencemaran yang boleh menyebabkan mudarat dan membahayakan kesihatan.
"Jumlah sampel ini tidak akan dihadkan, pegawai penguat kuasa akan mengambilnya mengikut kesesuaian terutama makanan berisiko seperti bersantan dan penggunaan bahan mentah seperti kerabu," katanya selepas majlis perasmian Kempen Nafas Baharu Bermula Ramadan dan Pelancaran Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Dr Alias Razak di sini, hari ini. – BERNAMA
03 Apr 22
307
MBKT Seru Masyarakat Julang Budaya Bersih Sempena Ramadan
KUALA TERENGGANU, 3 April- Orang ramai yang berkunjung ke bazar Ramadan dan mereka yang mengambil peluang berbuka puasa di taman-taman awam Kuala Terengganu dinasihatkan agar tidak membuang atau meninggalkan sampah sehingga mencemari keindahan bandaraya tersebut.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rozali Salleh berkata, rakyat negeri itu sepatutnya mencontohi sikap masyarakat di Asia Timur seperti Jepun dan Korea yang mempunyai kesedaran yang tinggi dalam mengangkat budaya menjaga kebersihan sebagai amalan.
"Mereka tidak akan buang sampah merata-rata walaupun tiada tong sampah sekalipun, itu yang perlu menjadi contoh kita dalam menerapkan amalan baik ini untuk memastikan bandar kita ini terus dipandang indah oleh pelancong lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.
"Tiada masalah untuk berbuka puasa di dataran Shahbandar, Batu Buruk dan mana-mana kawasan serta taman rekreasi di Kuala Terengganu ini, cuma nasihat saya tolong jaga kebersihan dan jangan tinggalkan segala sisa makanan sehingga bersepah, saya cadangkan bawa beg plastik khas untuk sampah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu hadir pada Program Aspirasi Keluarga Malaysia TerengganuFm Sempena Hari RTM Ke-76, di Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu, Bukit Pak Apil, di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, untuk menerapkan nilai budaya menjaga kebersihan itu bukan perkara mudah.
"Memang sukar, semalam saya dengar ucapan Menteri Kanan Pendidikan menyebut bahawa amalan menjaga kebersihan ini suatu perkara yang sering diterapkan oleh Kementerian Pendidikan hampir 38 tahun namun masih gagal.
"Bersama-sama kita berusaha untuk memastikan masalah seumpama ini tidak berlaku lagi, saya juga ingin berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini telah terlibat secara langsung dalam usaha untuk mengekalkan kebersihan bandar ini.
"Dimana mereka sering memberikan kerjasama pada setiap masa tanpa meminta pertolongan sepertimana 'Geng Plastik Ija' (GPI) cuma mereka minta kita sediakan lori, tong dan juga beg plastik,"ujarnya.
Bagi penyelesaiaan masalasah sampah di Drawbridge pula katanya, di samping menasihati rakyat menerapkan budaya bertanggungjawab tersebut pihaknya juga akan menambahkan bilangan tong sampah.
01 Apr 22
197
Syarikat Bakri Auto Sumbang Van Jenazah
DUNGUN, 30 Mac – Masjid Kampung Rantau Panjang menerima sumbangan van jenazah daripada Syarikat Bakri Auto untuk kegunaan masyarakat setempat yang memerlukan bantuan pengurusan jenazah.
Pengerusi Masjid Kampung Rantau Panjang, Azman Zakaria berkata, van berkenaan akan ditempatkan di kawasan khas pengurusan jenazah berhampiran surau dan akan memberi manfaat kepada tiga buah kampung.
‘’Jawatankuasa untuk menguruskan van jenazah ini telah diserahkan sepenuhnya oleh ahli jawatankuasa masjid meliputi segala urusan van termasuk perkhidmatan servis. Antara kampung menerima manfaat ialah Kampung Minda,Kampung Tepus, dan Kampung Talong," ujarnya.
Azman berkata, pihaknya berharap khidmat van jenazah itu dapat memberi manfaat serta kemudahan kepada tiga buah kampung berikutan kadar kematian yang rendah disini.
Sementara itu, Pengurus Bakri Auto Encik Harizan Zahiran berkata, ini adalah kali ketiga kami bekerjasama dengan pihak masjid dari segi pemberian van jenazah yang disediakan untuk kemudahan masyarakat," katanya.
31 Mar 22
437
Jangan Biarkan Pantai Tercemar
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Orang ramai diseru agar tidak membiarkan pantai yang menjadi destinasi pelancongan utama Terengganu tercemar dan menjejaskan imej negeri.
Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Abdul Fatah Hussin berharap pengunjung-pengunjung sentiasa mengambil sikap bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan pantai.
"Kebelakangan ni kalau kita tengok terlalu banyak sampah-sampah yang bertaburan dan berselerakan di atas pasir dan ditambah lagi sampah yang di bawa ombak ke pantai, ini sudah tentunya memalukan," katanya.
Abdul Fatah berkata demikian ketika ditemui selepas gotong-royong yang diadakan sepanjang pantai Batu Buruk bermula di KTCC Mall di sini pagi tadi.
Program bersepadu melibatkan jabatan-jabatan di MBKT seperti Jabatan Landskap Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kejuruteraan dan Infrastructur Awam seramai 40 anggota serta pelajar-pelajar Kolej Yayasan Terengganu.
Beliau turut menasihati pengunjung-pengunjung yang datang berkelah supaya membawa plastik sampah dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya.
"Buang sampah berkenaan di tong sampah berdekatan ataupun letak satu tempat dan kontraktor sampah akan mengambilnya," jelasnya.
31 Mar 22
449
Kerjasama PSMZA Dan FAMA Lahirkan Usahawan Baharu
DUNGUN, 31 Mac- Kerjasama Politeknik Sultan Mizan Zainal (PSMZA) dan FAMA Negeri Terengganu bakal melahirkan 450 orang usahawan baharu menerusi Program New Breed Marketing Entrepreneur (NBME).
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat, PSMZA berkata, program tersebut menyediakan khidmat latihan 'Integrated Digital Marketing' dan pendaftaran di sistem Agrobazaar Online (ABO) sebagai asas bimbingan kepada para pelajar sebelum ke fasa berikutnya.
"Program ini mampu membimbing para pelajar dalam hal berkaitan pemasaran dalam talian serta memberi idea bagi membuka perniagaan sendiri sejurus tamat belajar kelak," jelasnya dalam satu kenyataan.
Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik antara Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dan FAMA Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Dagang, PSMZA, semalam.
Timbalan Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Azhar Jamaludin telah merasmikan program berkenaan yang turut dihadiri Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail,
Kerjasama tersebut akan melibatkan pelajar - pelajar daripada empat jabatan iaitu Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) dan Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA).
"Ini bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan baharu dalam negara," katanya.
30 Mar 22
538
RM50,000 Peruntukan Ihya' Ramadan Kepada 50 Masjid Di Kemaman
KEMAMAN, 29 Mac -Sebanyak RM50,000 diperuntukkan kepada 50 buah masjid di daerah Kemaman bagi menyemarakkan sambutan Ihya 'Ramadan.
Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, Pengerusi-pengerusi masjid, imam-imam, bilal serta jawatankuasa masjidlah yang merupakan barisan hadapan yang penting dalam mengimarahkan rumah ALLAH S.W.T.
"Sekiranya kita jawatankuasa masjid tidak menyusun program-program bagi mengimarahkan masjid-masjid ini, nescaya anak qaryah kita jauh lagi akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini. Justeru, menjadi peranan kita untuk merangka dan membuat pelan tindakan.
"Kita peruntukkan sumbangan sebanyak RM1,000 untuk setiap masjid di Kemaman ini. Selain itu, Pejabat Ahli Parlimen turut belanjakan sebanyak RM300,000 dalam hal lain (kurma, taqwim) untuk menyambut Ramadan," katanya ketika berucap di di Majlis Sumbangan Ihya' Ramadan Kepada Masjid Kemaman di Dewan Sri Amar DiRaja, Chukai, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Che Alias Hamid turut menyampaikan sumbangan kurma, taqwim Ramadan, kordial dan jubah kepada 30 orang Jurunikah di Kemaman.
Tambahnya, kelebihan yang diberikan pada tahun ini wajar disambut dengan kemeriahan, keceriaan dan penuh keinsafan dan tawaduk kepada Allah SWT.
29 Mar 22
170