Artikel "Komuniti" Terkini
Nelayan Hadapi Detik Cemas
KUALA TERENGGANU, 13 April – Seorang nelayan menghadapi detik yang mencemaskan apabila bot yang dinaikinya terbalik akibat dipukul ombak pada sekitar jam 8 pagi, kelmarin.
Mangsa, Salin Jusoh, 66, pada ketika itu sedang membawa bot bersendirian untuk turun ke laut bagi menjalankan pekerjaan hariannya sebagai nelayan.
“Kalau mengikut perkiraan saya kebiasaannya ombak pada waktu itu sudah mula kecil, tetapi tiba-tiba datang ombak besar.
“Jadi, bila datang ombak besar terus dia ‘baling’ bot saya dan bot saya terbalik.
“Kemudian, saya berpaut pada tong ikan dan cuba pergi ke daratan,” kata beliau ketika ditemui pemberita di Jeti Kuala Ibai.
Tambah beliau lagi, setelah tiba di daratan dalam keadaan yang letih, beliau telah mendapatkan bantuan rakan-rakan nelayan yang ada di sekitar untuk membantu dan menunda bot miliknya.
ADUN Batu Buruk menemui mangsa
Kejadian tersebut telah menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang telah turun menemui mangsa di Jeti Kuala Ibai.
“Alhamdulillah, mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Namun, bot milik beliau mengalami sedikit kerosakan dan peralatan yang digunakan untuk menangkap ikan telah tenggelam.
“Justeru, sedikit sumbangan telah diserahka untuk sekurang-kurangnya dapat menampung sebahagian daripada kerugian yang beliau alami,” kata Ustaz Muhammad Khalil kepada pemberita.
Keadaan bot mangsa selepas kejadian tersebut
13 Apr 22
756
Tindakan Berani Pemandu Lori Jual Mercun Undang Padah
DUNGUN, 13 April - Tindakan berani pemandu lori cuba mengaut keuntungan berlipat kali ganda melalui jualan mercun sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba mengundang padah apabila ditahan pihak polis bersama 19 jenis mercun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, lelaki berusia 39 tahun itu telah berjaya diberkas di rumahnya di Ketengah Jaya, kelmarin hasil risikan pihaknya serta maklumat daripada orang awam.
Beliau tidak menolak kemungkinan bekalan mercun yang disembunyikan di dalam sebuah stor berdekatan rumahnya itu diseludup daripada negara jiran untuk dipasarkan di sekitar Dungun.
"Ini adalah tangkapan dan rampasan kali pertama di daerah ini, kesemua hasil rampasan ini berjumlah hampir RM10 ribu dan apabila dijual pada musim perayaan boleh mencecah sehingga empat atau lima kali ganda.
"Kes disiasat di bawah seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,"katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), semalam sebagaimana yang dilaporkan Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut katanya, antara jenis mercun dirampas ialah bola, happy boom, happy festival magic shot, thunder clap di samping cake 168 shot.
Jelasnya, berdasarkan jumlah rampasan tersebut, suspek diyakini pernah terbabit menjalankan aktiviti jualan mercun sebelum ini dalam kuantiti kecil.
Dalam pada itu beliau turut memberikan peringatan kepada masyarakat agar tidak alpa dan sedar bahawa bermain mercun yang menjadi amalan kebiasaan menjelang hari raya adalah merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
13 Apr 22
1495
Tarmizi Cabar Diri Teroka Tiga Aktiviti Pertanian Serentak
Oleh: Fatimah Din
MARANG, 13 April - Keberanian usahawan muda ini meneroka tiga aktiviti agro pelancongan serentak harus dipuji dan sewajarnya menjadi ikutan kepada anak muda di luar sana.
Mohd Tarmizi Mamat, 34, pemilik Mizi Agro Farm Durian Jerung yang menjalankan perniagaan '3 dalam 1' sekali gus di kebun durian miliknya.
"Saya memulakan perniagaan ini secara rasmi semenjak 2019 lagi antaranya menyediakan pakej kepada pengunjung untuk makan durian dalam kebun, nurseri untuk menjual anak benih buah durian, buah-buahan serta tanaman lain dan turut menjalankan perusahaan kayu cengal," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang di bengkel perabot kayu cengalnya, di sini baru-baru ini.
Menurut Tarmizi, dia sentiasa mendapat sokongan daripada Persatuan Kayu Kayan Malaysia untuk terus memajukan perniagaan yang diusahakan itu dan turut mendapat sokongan padu daripada pelanggan luar negeri.
"Alhamdulillah, sambutan terhadap apa yang saya usahakan mendapat sambutan yang baik setakat ini, lebih menggembirakan untuk tempahan perabot, kira-kira 80 peratus pelanggan saya adalah dari luar Terengganu," ujarnya.
Tidak mahu berhenti di tengah jalan, anak muda berwawasan tinggi ini tetap ada perancangan untuk terus memajukan perniagaannya.
"Insya-Allah, kita mahukan agro pelancongan ke arah yang lengkap, dimana saya akan usahakan konsep berkhemah dalam kebun dengan menyediakan tiga perkara asas iaitu khemah, air dan api," jelasnya.
12 Apr 22
296
Fasa Peralihan Endemik Hasil Dari Kesabaran
KUALA TERENGGANU, 13 April- Setelah dua tahun rakyat berhadapan pandemik Covid-19, hasil daripada kesabaran rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), negara kini memasuki fasa Peralihan Endemik.
Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ahmad Kamal Ali berkata musibah yang menguji kesabaran rakyat itu banyak mendidik diri untuk bersabar.
"Kebetulan pula, kelonggaran SOP bersamaan kehadiran bulan Ramadan, iaitu bulan mendidik seseorang itu bersabar," katanya.
Ahmad Kamal berkata demikian ketika berucap di Majlis Kempen Keluarga Malaysia, Pembudayaan Norma Baharu Fasa Peralihan Endemik Negara Dan Vaksin COVID-19 di perkarangan Surau Bukit Kecil, semalam.
Majlis anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu itu diadakan gimik pelancaran kempen dengan mengenakan 'vest' kepada lima orang wakil komuniti. Kempen tersebut turut dihadiri Wakil Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Zakaria Abdul Rahman dan Wakil Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Saharudin Mamat.
Menurut Ahmad Kamal, ketakwaan seseorang tidak dapat dilihat kecuali dengan amalan yang dilakukan seseorang.
"Dia ada sifat sabar dalam berhadapan pelbagai masalah dan pemurah, suka menderma," katanya.
Majlis diakhiri dengan acara berbuka puasa dan solat maghrib secara berjemaah di Surau Flat Bukit Kecil.
12 Apr 22
146
KETENGAH Peruntuk RM825,000 Untuk Program Back To School
KUALA TERENGGANU, 11 April- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukkan sebanyak RM825,000 untuk diagihkan kepada pelajar sekolah menengah dan rendah yang terpilih di negeri ini menerusi Program Back To School.
Menurut jurucakap KETENGAH, Peruntukan tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) KETENGAH melalui Ketengah Holding Sdn. Bhd.
“Program yang diadakan setiap tahun ini telah memberi manfaat kepada lebih 5,500 orang pelajar negeri ini,” ujarnya.
Pengerusi KETENGAH, Senator Datuk Razali Idris baru-baru ini telah menyampaikan bantuan kepada mereka yang terpilih dalam satu majlis bertempat di Balai Orang Ramai (BALORA), Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun.
Hadir sama, YM Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH.
11 Apr 22
376
Batu Burok Beach Teruskan Tradisi Santuni Golongan Asnaf
KUALA TERENGGANU, 9 April – Batu Burok Beach kembali mengadakan majlis berbuka puasa bersama golongan asnaf setelah kerajaan mula membenarkan aktiviti sosial sedemikian.
Pengurus Besar, Kama Rezuan Kamaruddin berkata, aktiviti berbuka puasa itu dilaksanakan oleh pihaknya setiap kali Ramadan bagi menyantuni warga istimewa, anak yatim serta ibu tunggal.
“Program berbuka puasa ini antara acara tahunan Batu Burok Beach Resort bersama masyarakat namun dua tahun kita terhalang disebabkan COVID-19.
“Majlis kali ini kita raikan warga istimewa daripada enam buah Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman dalam Majlis Iftar bersama warga istimewa kelmarin.
Kama Rezuan turut berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan golongan sasaran yang menjadi tetamu istimewa dalam majlis yang dianjurkan.
Seramai 38 orang kelainan upaya (OKU), 12 anak yatim serta ibu tunggal diraikan pada majlis tersebut turut menerima sumbangan duit raya daripada pihak penganjur.
Batu Burok Beach Resort turut menawarkan pilihan berbuka puasa di premis mereka dengan tema suasana pemandangan pantai dan dekorasi tradisional sepanjang Ramadan ini dengan harga yang berpadanan.
09 Apr 22
605
LPP Negeri Terengganu Agihkan 1,050 Pek Bubur Lambuk
KUALA TERENGGANU, 8 April – Dianggarkan kira-kira 1,050 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada seluruh anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu dan Pertubuhan Peladang (PP), semalam.
Agihan tersebut telah diadakan semasa program ‘Jom Masak Bubur Lambuk’ bertempat di perkarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Terengganu yang dianjurkan oleh LPP Negeri Terengganu dan Pertubuhan Peladang.
“Ini merupakan julung kalinya pihak kami mengadakan program masak bubur lambuk dan sebelum ini pernah mengadakan pertandingan memasak bubur asyura di antara Pertubuhan Peladang.
“Program ini diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota LPP dan PP di seluruh negeri Terengganu,” kata Pengarah LPP Negeri Terengganu, Hasmila Abas ketika ditemui pemberita.
Tambah beliau lagi, terdapat pelbagai program yang dirancang oleh LPP Negeri Terengganu bersama Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.
“Antara program yang terdekat ialah Majlis Amanat dan Berbuka Puasa bersama Yang Berhormat Dr. Azman Ibrahim untuk mengeratkan hubungan antara LPP dan PP dengan Kerajaan Negeri disamping dapat berkongsi maklumat,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi turut hadir ke program ‘Jom Masak Bubur Lambuk’ untuk menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.
Mengulas berkenaan program itu, Ustaz Muhammad Khalil mengucapkan tahniah atas penganjuran tersebut dan berharap agar ia dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
Puan Hasmila bersama ADUN Batu Buruk
08 Apr 22
366
Kempen Solat Jumaat Semarak Usaha Dakwah
KUALA NERUS, 8 April- Kempen Solat Jumaat diketengahkan Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JPM) Terengganu dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tuntutan ibadah tersebut.
Pengerusinya, Mohd Nor Hamzah berkata, kempen tersebut diuar-uarkan supaya masyarakat lebih peka dengan ibadah berkenaan lebih-lebih lagi selepas kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam ibadah solat jemaah tanpa penjarakan sosial dikuatkuasakan awal April ini.
"Sesiapa yang mendengar kempen kita pada hari ini dan seterusnya, mohon agar ambil peringatan supaya jangan meninggalkan ibadah wajib ini. Ibu-ibu, kakak-kakak, tolong ingatkan suami kita. Tolong ingatkan anak-anak lelaki kita agar bersiap khususnya di bulan Ramadan untuk mendapat pahala dan ganjaran di sisi Allah SWT.
"Jangan kita mengundang murka Tuhan. Denda dan penjara itu (hukuman) atas dunia sahaja, yang kita takutnya adalah azab Allah SWT di Akhirat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi peringatan kepada orang awam dalam kempen yang diadakan di Pasar Teluk Ketapang dan Dataran Austin, di sini hari ini.
Tambahnya, dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 Seksyen 16, Tidak Menunaikan Sembahyang Jumaat (Pindaan 2016), menjelaskan mana-mana orang lelaki yang mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua- duanya.
"Kami turun ke kawasan ini untuk berkempen bersama kedua-dua jabatan, kita sedarkan masyarakat dan semua umat Islam agar jangan lupa untuk menunaikan sembahyang Jumaat hari ini dan hari-hari Jumaat yang lain.
"Ingatlah semua, jaga ibadat, Allah Taala akan jaga hidup kita insya-Allah," katanya.
08 Apr 22
469
Bukan Islam Teruja Hadir Karnival Perpaduan
Oleh : Sofiah Ali
KUALA Nerus, 7 April - Keterujaan mereka yang bukan Islam untuk hadir ke Karnival Perpaduan terpancar di wajah masing-masing yang seolah-olah menantikan program sedemikian sejak sekian lama.
Seorang surirumah, Tan Leng Lyan, 43, memberitahu, dia datang awal pagi ke tapak karnival bertempat di Taman Desa Jaya Kampung Pak Damat, Bukit Tunggal.
"'Auntie bangun awal hari ni, pukul 7 pagi mari doh, auntie masuk semua acara senamrobik, langkah perpaduan, mewarna auntie dapat nombor tiga, seronok program macam ni," kongsinya.
Bagi Nur Aisyah Cheng, 25 seorang mualaf berkata, dia seronok mendapat info-info baharu tentang ajaran Islam.
"Aisyah rasa bangga dapat ikut program dialog ni, Aisyah dapat belajar ilmu baru terutamanya tentang apa maksud dari perkataan kafir, sebab bagi orang bukan Islam mereka sangat sensitif dengan perkataan kafir," katanya yang baharu memeluk Islam tahun lepas.
Karnival tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) Pertumbuhan Cakna Sahabat Kuala Nerus, Terengganu dengan kerjasama Lajnah Dakwah PAS Kawasan Kuala Nerus.
Ianya dimeriahkan dengan pelbagai acara antaranya Sukaneka Perpaduan, 'Explorace Ameerah, Langkah Perpaduan, Jamuan Rakyat, Dialog dan Ziarah Perpaduan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Program, Tuan Che Roslina Tuan Sulaiman berkata, karnival tersebut mensasarkan masyarakat bukan Islam untuk mereka mendapat maklumat sehingga akhirnya memeluk Islam.
Beliau yang lebih mesra dipanggil Che Na tidak menyangka sambutan masyarakat terhadap program tersebut di luar jangkaan.
"Pada mulanya, Che Na bimbang program tidak mendapat sambutan tetapi apabila sampai di tapak program, Alhamdulillah orang ramai datang sama ada pemuda muslimat muda serta Ibu bapa, kehadiran yang sangat menggalakkan,ramai yang turun untuk menyertai pelbagai acara program yang telah disusun.
"Karnival seperti ini boleh dianjur lagi ditempat lain supaya sasaran itu lebih luas seperti Tepoh, di sana ramai masyarakat yang bukan Islam," Katanya.
07 Apr 22
231
Polis Pantau Bazar Ramadan
KUALA TERENGGANU, 6 April - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Terengganu telah mengerakkan anggotanya untuk meningkatkan kawalan keselamatan di bazar Ramadan bagi memastikan orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, seramai 107 anggota telah ditugaskan bagi mengawal premis perniagaan di 59 lokasi bazar Ramadan di negeri ini.
"Untuk masa sekarang kita masih lagi mengambil pendekatan memberikan nasihat bagi membangkitkan kesedaran orang ramai untuk mematuhi SOP ditetapkan, walaupun kita telah beralih ke fasa endemik namun kita masih lagi berkuasa untuk mengambil tindakan mengenakan kompaun.
"Untuk permulaan ini kita akan berikan saranan yang baik agar pengunjung sedar akan tanggungjawab menjaga SOP ini demi menjaga keselamatan diri dan orang lain dalam keghairahan mereka untuk mendapatkan juadah berbuka puasa setelah lama tidak dapat berbuat demkian.
"Antara perkara yang kita dapat lihat pada hari ketiga Ramadan di bazar ini ialah kesesakan berlaku kerana tidak menjaga penjarakkan, sehingga mengakibatkan sesetengah gerai itu agak padat, dan kita telah mengambil tindakan menyuraikan para pengunjung,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika pemberita ketika mengadakan tinjauan pematuhan SOP, di Bazar Ramadan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya juga telah meminta pihak penganjur bazar untuk memainkan peranan mengetatkan kawalan di gerai-gerai serta kaunter yang padat pengunjung.
"Agar penjarakkan sosial dapat dipatuhi, dimana setakat yang saya perhatikan dari sudut lain seperti pemakain pelitup muka telah dapat dipatuhi, dimana ia turut disediakan oleh penganjur sekiranya pengunjung terlupa membawanya.
"Daftar masuk ke bazar juga tiada sebarang masalah dimana jika pengunjung lupa membawa 'smart phone' untuk imbas MySejahtera mereka boleh menulis nama di buku log yang disediakan.
"Saya juga turut menyarankan kepada orang ramai yang ingin mengunjungi bazar jika sekiranya merasakan dirinya mengalami gejala agar tidak datang ke sini, sebaliknya meminta ahli keluarga yang lain datang ke bazar untuk mendapatkan juadah berbuka puasa," ujarnya.
06 Apr 22
890