Artikel "Komuniti" Terkini
Pemuda BC2 Agih 500 Bekas Bubur Lambuk
DUNGUN, 21 April - Komuniti Pemuda Kampung Bukit Chatak Dua telah mengagih sebanyak 500 bekas bubur lambuk kepada warga penduduk Kampung Bukit Chatak Dua. Program yang diberi nama “Jom Kucar Bubur Lambuk”.
Pengarah program, Nafizal Nafis berkata, bubur lambuk juga diagih kepada beberapa buah rumah Asnaf disekitar Kampung Bukit Chatak Dua.
Katanya agihan itu dibuat sempena hari Nuzul Al-Quran, juga menjadi acara tahunan bagi mengimarahkan bulan Ramadan.
“Program ini adalah sebahagian daripada usaha murni komuniti pemuda merapatkan hubungan silaturahim sesama mereka serta warga penduduk setempat.
“Selain itu, kita adakan majlis Iftar bagi meraikan petugas pemuda kita agar merapatkan lagi ukhwah diantara kita.
“Turut serta bersama dalam program agihan bubur lambuk, Adun Sura, Wan Hapadi Wan Nik.
“Program seperti ini akan menjadi program tahunan bagi kami dan saya berharap kerjasama yang terjalin ini dapat dieratkan lagi,” katanya selepas Program Pengagihan Bubur Lambuk di pekarangan Surau Haji Wan Ahmad Bukit Chatak Dua di sini, semalam.
21 Apr 22
217
Borong Kuih Muih Bazar Ramadan Beri Kepada orang Ramai
SETIU, 21 April – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir mengambil kesempatan sepanjang Ramadan untuk menyantuni pengunjung di seluruh bazar Ramadan yang ada di parlimen Setiu dan memborong segala kuih muih serta juadah untuk berbuka buasa bagi diagihkan kepada orang ramai.
Katanya, selain dapat beramah mesra dengan pengunjung yang hadir ia juga dapat membantu para peniaga di bazar terbabit yang baru sahaja mula bangkit setelah ia mula dibenarkan beroperasi seperti sedia kala pada tahun ini.
"Alhamdulillah, dengan kebenaran untuk mereka berniaga ini dapat membantu para peniaga kecil ini setelah dua tahun tidak dapat berniaga di bazar Ramadan.
“Saya akan pergi ke seluruh bazar yang ada untuk saya lawati dan bertemu dengan rakyat setakat ini yang telah saya pergi adalah di Wakaf Tengah, Sungai tarom, Kampung Bintang, Jabi, Telaga papan, Penarik,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, baru-baru ini.
tahun ini.”
21 Apr 22
160
PSMZA Ringan Beban Orang Kampung
DUNGUN 21 April - Kakitangan dan pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah meringankan beban orang kampung dengan pelbagai bantuan yang dilakukan sempena Program Khidmat Masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun melahirkan rasa terharu diatas kesudian mereka memilih tiga kampung iaitu Kampung Teluk Bidara, Balik Bukit dan Seberang Pintasan yang berada dibawah DUN Rantau Abang.
"Saya sangat berbesar hati diatas kesudian mereka menabur bakti untuk membantu orang - orang kampung yang hidup susah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Khidmat Masyarakat tersebut di Teluk Bidara, baru-baru ini.
Program yang turut disertai oleh Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail itu melibatkan lebih 50 orang kakitangan dan pelajar institusi pengajian teknikal itu bersama masyarakat dengan mengagihkan sumbangan barangan dapur dan wang tunai kepada 40 orang penerima.
Di samping bergotong royong membersihkan surau, acara menukar minyak hitam enam buah kereta serta 32 buah motosikal telah melegakan penduduk yang terpilih.
Sementara itu, Mohd Fikri berkata program mendapat kerjasama dari Pejabat ADUN Rantau Abang, JPKK ketiga-tiga buah kampung itu bertujuan untuk mendekati komuniti setempat dengan menyumbang khidmat kepakaran staf Automotive Technology Center (ATeC) dalam bidang automotif.
"Disamping memperkenalkan lagi Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan PSMZA dengan lebih meluas kepada komuniti setempat," katanya lagi.
Seorang ibu tunggal yang ditemui, Hartina Muda 43, bersyukur dengan kecaknaan yang sekali gus meringankan beban kehidupannya yang tidak dapat berniaga di bulan Ramadan.
"Kalau hari biasa saya berniaga pisang goreng kat tepi pantai Teluk Bidara, jadi bila bulan puasa, warung goreng pisang tidak dapat beroperasi, tambah lagi tolong 'servis' kereta, tukar minyak hitam.
"Sejak saya beli kereta hampir dua tahun lepas tidak pernah sekalipun tukar minyak hitam, sayapun tak berani memandu jauh - jauh hanya berulang alik dari rumah ke tempat berniaga je, kalau hantar ke bengkel paling kurang habis jugak dalam RM100," kata ibu tunggal anak tiga itu.
20 Apr 22
392
Beramal Dengan Ajaran Al-Quran
DUNGUN, 19 April - Umat Islam diingatkan supaya sentiasa membaca al-Quran dan beramal dengan ajarannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, lazimkan diri membaca kalam Allah itu dengan memahami maknanya.
"Bukan baca hanya untuk khatam cepat, tajwid dan makna tak tahu, apa yang Allah nak beritahu, tak tahu,"ujarnya.
Alias berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah Tarawih di Masjid Pulau Serai di sini, baru-baru ini.
Sebelum itu, seramai 76 Ketua Isi Rumah (KIR) orang muda telah menerima sumbangan sempena Program Cakna Ramadan dan diikuti majlis tadarus dan berbuka puasa.
Beliau turut berharap golongan bapa menjadi pendakwah kepada ahli keluarga dengan mengajak anak-anak mendirikan solat jemaah.
""Kalau kita dan anak-anak datang ke masjid atau ke surau berjemaah bukan sahaja pahala 27 kali ganda daripada solat seorang diri tetapi juga dapat menuntut ilmu dengan kuliah - kuliah maghrib," katanya lagi.
Menurutnya, kerajaan negeri Terengganu telah menjadikan Bulan Rejab yang lepas sebagai Bulan Penghayatan Solat Berjemaah adalah sebagai latihan untuk persiapan membiasakan diri rakyatnya bersama - sama bersolat jemaah.
"Dan apabila tibanya bulan Ramadan, sikap itu sudah sebati dalam diri, " ujarnya
17 Apr 22
236
100 Anak Yatim Dan Asnaf Dirai Di DUN Ajil
HULU TERENGGANU, 17 April -100 anak yatim dan asnaf dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) ajil kelihatan gembira tatkala diraikan dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di Dewan Yayasan Salim, di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, majlis yang dilakukan secara tahunan itu merupakan salah satu program kebajikan untuk meraikan golongan kurang bernasib baik sepanjang bulan Ramadan.
“Saya begitu seronok melihat mereka gembira dan teruja apabila dapat berkongsi kegembiraan bersama anak-anak ini. Kami berharap inisiatif kecil ini mendorong masyarakat serta warga korporat lain untuk turut menyokong dan program seperti ini bagi meringankan bebanan mereka.
"Walaupun serba ringkas, tapi kami sebagai penganjur mahu meraikan mereka sebagai tetamu kenamaan yang sangat istimewa," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan duit raya kepada anak yatim dan asnaf pada majlis berbuka puasa itu.
Bagi Nur Alieya Syakira,12, anak ke 5 dari 7 beradik dari Kampung Jak, peluang menghadiri program itu bukan setakat menggembirakannya, malah berasa dikasihi oleh insan lain yang tiada pertalian persaudaraan dengannya.
“Arwah abah, meninggal dunia 3 tahun lepas akibar kemalangan jalan raya,kini hanya ada ibu dan abang yang bekerja untuk menampung keluarga” katanya.
Muhammad Firash Irfan Mohd Zaki, 8, berkata. dia hanya dapat menikmati kasih sayang ayah sementara sahaja kerana arwah bapanya meninggal dunia ketika dia berusia lima tahun.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi membawa saya dan anak yatim lain untuk berbuka puasa dan menerima sumbangan duit raya,” katanya.
16 Apr 22
456
Keenakan Kuih Nganang 'Mok' Tiada Tandingan
MARANG, 16 April- Keenakan kuih ‘nganang’ di Kampung Batu 10, Padang Mengkuang, di sini menjadi pilihan penduduk tempatan dan masyarakat luar sepanjang Ramadan.
Pembuat nganang, Hasnah Mat Zin, 72, atau lebih mesra dengan panggilan mok berkata, adunan untuk membuat pemanis mulut yang berlemak manis itu disediakan sendiri olehnya dengan menggunakan resepi turun temurun keluarga sejak 30 tahun lalu.
Katanya, setiap hari sebaik sahaja selesai menunaikan solat Subuh, dia akan membancuh adunan untuk penyediaan kuih nganang dan dapur arang digunakan bagi membakar kuih tersebut supaya aroma aslinya tidak hilang.
“Sekarang nie, mok buat dok banyak macam dulu, anak-anak pun dok bagi sebenornya mok buat nganang sebab masuk usia warga emas doh, tapi sebab minat mok buat jugak.
“Biasanya dalam pukul 11 habis doh. Dengan dibantu dua pekerja, mok buat nganang telur, nganang kacang dan kuih bakar. Peminat nganang sanggup tunggu kuih siap dibakar asalkan dapat rasa nganang mok untuk juadah berbuka puasa," katanya ketika ditemui UPDI baru-baru ini.
Hasnah berkata, pada tahun ini dia terpaksa menjual sebiji nganang dengan harga sekitar RM8 kerana kenaikan harga bahan mentah, namun tetap mendapat sambutan daripada pelanggan.
"Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelanggan tetap malah ada juga pelanggan baru yang mahu mencuba sendiri keenakan kuih nganang yang diberitahu rakan-rakan," katanya.
Tambah Hasnah, dia bersyukur kerana resepi turut temurun keluarganya itu terus diwarisi oleh anak cucunya.
“Alhamdullillah, anak sulong mok sanggup berhenti kerja kerajaan untuk jual nganang yang turut dibantu oleh anak-anaknya di Kampung Bukit Bayas, dan mok harap sangat ianya terus dipertahankan agar generasi akan datang dapat merasai keenakan kuih tradsional negeri kita ini,”ujarnya.
16 Apr 22
1017
Lukisan Mural Jadi Tarikan Baru Di Kemaman
KEMAMAN, 16 April - Lukisan-lukisan mural yang sangat cantik dan kreatif menggambarkan identiti daerah ini telah menjadi tarikan baru bagi masyarakat setempat dan masyarakat luar untuk datang ke sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat menghargai usaha yang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dalam menjayakan kewujudan mural ini.
"Pada pendapat saya, secara tidak langsung, ianya telah mewujudkan satu elemen pelancongan baru di Bandar Cukai khususnya.
"Lorong tersebut akan menjadi satu tarikan baru di bandar ini yang mana orang ramai boleh mengabdikan kenangan dengan bergambar di lukisan-lukisan ini.
"Saya amat berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan di dalam menaikkan identiti daerah Kemaman untuk lebih dikenali oleh masyarakat luar," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
Hanafiah berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Mural dan Laman Rumohku Comey serta Selfie & Tiktok Ewaste dan Barangan Kitar Semula yang diadakan di Medan Letak Kereta 6, Jalan Sulaimani, kelmarin.
Dalam majlis berkenaan, Hanafiah turut menyampaikan sijil dan hadiah kepada semua pemenang. Pertandingan ini diadakan bersempena Ulang Tahun Pemasyhuran MPK Kali ke-20.
16 Apr 22
681
Mangsa Banjir Seberang Takir Terima Bantuan RM1,000
KUALA NERUS, 16 April - Mangsa banjir yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mula menerima bantuan berjumlah RM1,000 pada kelmarin.
Antara mangsa yang terlibat adalah dari Kampung Hulu Takir, Taman Permint Perdana, Tok Jembal dan Kampung Batin.
Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, kelayakkan menerima bantuan adalah mereka berdaftar dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan.
"Ini yang ditetapkan oleh Jabatan Kebaikan Masyarakat(JKM) kita kena akur walaupun ada yang mungkin tidak berpuas hati"
"Walaupun nilai bantuan tidak sama dengan kerugian dialami tetapi sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit sebanyak kerugian," tambahnya lagi.
Salah seorang penerima Zainal Abidin Sharif, 49, meluahkan kesyukuran dan gembira dengan bantuan ini.
“Memang ada barang yang rosak semasa banjir tempoh hari tetapi saya mahu menggunakan bantuan ini bagi persiapan puasa dan lebaran tidak lama lagi," katanya selepas majlis penyerahan bantuan
Seorang lagi penerima wang ehsan, Shukri Mohamed, 56, mengucapkan terima kasih dan menyifatkan proses agihan hari ini cepat dan mudah.
"Alhamdulillah atas bantuan ini dengan wang ini boleh belanja untuk menambah serba sedikit membaiki kerosakan rumah akibat banjir,” katanya.
16 Apr 22
469
290 Peserta RTB Pertanian Di Kijal Terima Borang 5A
KEMAMAN, 16 April - Seramai 290 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian Kelapa Sawit Felcra Lubuk Dalam IV dan RTB Pertanian Darat Datuk A menerima borang 5A.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh ketika berucap di majlis perasmian merakamkan ucapan tahniah kepada peserta yang terpilih menyertai RTB tersebut.
"Alhamdulillah, sempena bulan yang mulia ini marilah kita bersyukur kehadrat ilahi diatas kurniaanNya. Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan RTB ini dan semua yang terpilih menyertainya.
"Sebanyak mana pun geran yang kita ada dan banyak mana pun harta kita, jika tiada keampunan dari Allah maka ianya tidak berguna," katanya.
Hazri berkata demikian ketika berucap di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal, baru-baru ini.
Menurut Hazri, nilai semasa tanah RTB tersebut adalah RM100 ribu seekar dan peserta perlu membayar RM40 ribu (empat ekar) dalam kadar 10 peratus daripada harga tersebut.
Sebelum ini sudah ada pertemuan dengan Pengerusi Felcra di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu premium ini.
"InsyaAllah, bayaran pendahuluan dari Felcra," ujarnya.
Turut hadir Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh, Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kemaman Mohamad Hafiz Che Awang dan Zabidin Awang, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman.
Sementara itu, Pegawai Pemasaran Felcra Wilayah Timur, Mohamad Ismail yang turut berucap dimajlis tersebut menerangkan tentang pembayaran dividen dan aktiviti yang ada setelah mereka disahkan menjadi warga Felcra.
"Bayaran dividen akan dibuat dalam tempoh tiga kali setahun iaitu empat bulan sekali mengikut keuntungan pada harga semasa kelapa sawit ketika itu.
"Peserta juga layak menjadi ahli koperasi Felcra samada Koperasi Lubuk Dalam maupun Koperasi Darat Datuk dan boleh menyertai badan bukan kerajaan yang ada didalam Felcra," jelas beliau.
15 Apr 22
698
RM1.6 Juta Diagihkan Kepada Mangsa Banjir Dungun
DUNGUN, 13 April - Sebanyak RM1,662,000 Bantuan Wang Ihsan (BWI) disampaikan kepada seramai 1662 Ketua Isi Rumah(KIR) mangsa banjir 2021 dan 2022 di Dungun, semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Dungun, Kapten (AP) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, bagi fasa 1 seramai 1094 KIR telah menerimanya dan selebihnya akan menerima bantuan tersebut dalam fasa 2, tidak berapa lama lagi.
"Mereka yang terjejas banjir ini akan menerima RM1,000 bagi setiap keluarga melibatkan mangsa - mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.
Ahmad Kamal berkata demikian ketika ditemui di majlis agihan BWI berkenaan yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Dewan Sivik Jerangau, di sini.
Berhubung bantuan yang diterima, beliau turut menasihati para penerima supaya berfikir dahulu sebelum berbelanja.
"Memandang kita mendapat rezeki dalam suasana menyambut bulan Ramadan dan di dalam membuat persiapan hari raya, berpada-pada dalam berbelanja supaya bantuan itu turut dapat menyelesaikan keperluan kita yang sebenar," katanya.
Sementara itu Alias pula memberitahu, penerima fasa 1 melibatkan mangsa banjir di Kampung Wa dan sebahagian Kampung Pinang Baru.
"Manakala kampung-kampung lain yang terlibat banjir di DUN Rantau Abang akan menerima bantuan ini pada fasa kedua," katanya.
13 Apr 22
392