Artikel "Komuniti" Terkini
Tetamu Teruja Beraya Di Rumah Terbuka ADUN Tepoh
KUALA NERUS, 9 Mei - Ribuan tetamu mengakui teruja dapat hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tepoh di Dewan Serbaguna Tepoh di sini kelmarin.
ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul karim berkata rata-rata pengunjung gembira dengan penganjuran rumah terbuka berkenaan setelah dua tahun tidak dapat menikmati suasana perayaan akibat pandemik COVID-19.
Katanya, program yang bermula jam 11 pagi sehingga jam 3 petang itu turut dikunjungi masyarakat Cina sekitar.
"Seawal jam 10.00 pagi, Dewan Serbaguna Tepoh telah mula dikunjungi orang kunjungan orang ramai mulai tiba tanpa putus.
"Agak ramai pengunjung sehingga saya tidak sempat untuk santuni semua pengunjung samada dari dalam dan luar DUN Tepoh serta perantau Terengganu amat dihargai oleh saya dan semua pasukan kerja kami.
"Penat lelah pasukan kerja kami melaksanakan kerja-kerja persiapan cukup berbaloi melihat senyum tawa semua pengunjung," ucap Hishamuddin.
Pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang bergambar bersama ADUN Tepoh sambil beramah mesra di samping anak-anak mereka turut menerima duit raya daripada beliau.
Pelbagai menu disediakan untuk tetamu yang hadir bagi memberi peluang suasana kemeriahan Hari Raya yang telah 2 tahun tertunda akibat pandemik termasuklah nasi minyak dan gulai kerbau yang menjadi menu utama pada hari tersebut.
09 May 22
397
89 Asnaf, Anak Yatim Terima Bantuan
DUNGUN, 8 Mei - 36 orang asnaf dan 56 orang anak yatim di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka mendapat bantuan wang saku dan barangan dapur daripada kerajaan negeri baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat berkata agihan itu melibatkan kampung Gong Gemia, Bukit Merah, Kuala Paka, Bandar Paka, Kg Kolam dan Kg Limbong.
"Sebahagian agihan hari ini melibatkan kawasan belah bandar dan ia akan menyusul ke kawasan lain pula," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Fakir Miskin di Surau Ar Rayan, Bukit Merah, Paka.
Reaksi ceria daripada salah seorang penerima ditemani anaknya menerima bantuan barangan dapur dan wang saku
Dalam pada itu, pemberian berkenaan merupakan hasil derma tabung jemaah surau berkenaan dan penduduk sekitar.
"Jutaan terima kasih dihadiahkan kepada para penyumbang yang menghulurkan bantuan kewangan, beras dan barangan dapur bagi mereka yang berkeperluan."
"Tanpa sumbangan anda, majlis hari ini tidak dapat dilangsungkan dengan jayanya dan semoga Allah membalas dengan kebaikan kepada anda semua," jelasnya lagi
08 May 22
338
Pertambahan Kenderaan Secara Mendadak Punca Petrol Habis
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Kekurangan petrol di negeri ini melibatkan beberapa stesen minyak sehingga dilaporkan berpuluh kenderaan tersadai di salah sebuah stesen minyak di Setiu adalah disebabkan peningkatan jumlah kenderaan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, masalah kekurangan bekalan bahan bakar itu melibatkan sebahagian stesen yang terletak di laluan mempunyai trafik tinggi dan berlaku kesesakan luar biasa.
"Berdasarkan maklum balas pengusaha stesen minyak terlibat, ia hanya melibatkan penggunaan RON 95, kerana berlaku permintaan yang tinggi ia menyebabkan bekalan petrol meraka pada kapasiti penuh telah habis dengan pantas tanpa sempat lori tangki tiba untuk melakukan pengisian semula.
"Kebanyakkan yang terjejas berada di laluan utama dari Besut ke Kuala Terengganu kerana menjadi tumpuan utama kepada pengguna jalan raya," katanya dalam suatu kenyataan, kelmarin.
Beliau berkata, walau bagaimanapun pihaknya telah memberi jaminan keadaan itu akan pulih sepenuhnya secara berperingkat.
08 May 22
253
Tengku Paduka Meriahkan Jamuan Aidilfitri ADUN Ladang
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Lebih 2,000 pengunjung telah membanjiri Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato Tengku Hassan Tengku Omar yang teruja dengan kehadiran tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat yang bertali arus seawal 9.00 pagi sehingga majlis berakhir pada jam 6.00 petang.
"Mereka kelihatan gembira datang bersama keluarga dan sanak saudara makan-makan, 'berselfi' dan beramah mesra,
"Orang ramai yang datang ini bukan sahaja daripada DUN Ladang sahaja malah dari luar pun ada, agensi-agensi kerajaan dan pemain-pemain Industri yang datang sebagai kunjung hormat," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis berkenaan yang diadakan di perkarangan rumahnya di Padang Negara di sini hari ini.
Turut memeriahkan majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dan YM Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Menurutnya, beliau sekeluarga sangat gembira dengan majlis yang sudah dua tahun tidak diadakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pandemik Covid-19 telah menceriakan tetamu-tetamu yang hadir dengan menjamu selera dengan juadah disediakan.
"Ada nasi dagang, nasi minyak, ketupat, laksa dan banyak lagi, kanak-kanak pun gembira dengan buah tangan sumbangan raya dari DUN," katanya.
07 May 22
1524
Cipta Kelainan Ubah Persepsi Anak Muda Terhadap Ramadan
KUALA TERENGGANU, 29 April - Program Nurani Belia : Indahnya Ramadan (Karnival Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Terengganu 2022) bertujuan mengubah persepsi belia negeri ini terhadap bulan Ramadan dan difahami ertinya agar rukun Islam ketiga itu dilakukan dengan penuh kesungguhan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kerana itu program yang asalnya dicadangkan dianjurkan di masjid diubah untuk disambut di tempat yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya anak muda iaitu di Dataran Awam Batu Burok.
"Hendak menyatakan kepada mereka bahawa bulan ini bukan sekadar untuk 'duduk saja' dan tidur tanpa berbuat apa sehingga waktu puasa berakhir begitu sahaja, sebaliknya bulan ini boleh diisi dan dilakukan dengan pelbagai aktiviti sama ada dalam bentuk keagaaman dengan mendirikan solat Tarawih, mendekatkan diri dengan al-Quran dan juga melakukan kerja-kerja kebajikan.
"Perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin peluang dan kesempatan pada bulan ini untuk melakukan kerja yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat, juga untuk melakukan aktiviti riadah dan bersukan, agar sentiasa sihat dan kekal aktif bukannya dibiarkan ia berlalu begitu sahaja,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tersebut, di sini, pada semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Mengulas lanjut , Wan Sukairi berkata program yang julung-julung kali diadakan di kawasan terbuka dengan penglibatan 700 peserta itu pada asalnya dicadangkan agar dianjurkan di masjid sebagaimana kelaziman kerana antara pengisian programnya adalah khatam al-Quran.
"KIta memilih untuk mengadakannya di tempat yang menjadi tumpuan belia dan beliawanis negeri ini dengan memilih tempat terbuka seperti ini, tempat mereka biasa berada, kita berusaha mendatangkan pengisian agama di sini, serta berbuka puasa bersama-sama.
"KIta murnikan tempat ini dengan laungan bacaan al-Quran yang disampaikan oleh qari jemputan khas iaitu Ustaz Abdul Hadi yang merupakan bekas johan pertandingan al-Quran peringkat negeri, dan mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan terdahulu telah ada pertandingan azan, pidato dan hafazan serta operasi mengagihkan Program Dapur Rakyat kepada penduduk sekitar melalui Sukarelawan Terengganu (T-VOLT).
"Kemudian diadakan pengisian tambahan dengan persembahan hiburan 'busking' oleh Sahabat Akustika dan mengadakkan program sembang santai bersama Pencetus Ummah (PU) Rahmat selain itu diadakan hadiah cabutan bertuah semua ini kita adakan khusus untuk belia dan beliawanis bermula jam 2 petang dan berakhir dengan majlis berbuka puasa.
"KIta akan meneruskan program ini di masa akan datang dengan skala yang lebih besar, serta akan ditambah baik untuk dijadikan acara tahunan menjelang Ramadan dalam usaha kerajaan memastikan bulan ini disambut dengan penuh penghayatan dengan matlamat melahirkan insan yang bertakwa bagi memastikan seluruh rakyat sentiasa beroleh keredaan-Nya,"katanya lagi.
30 Apr 22
449
Penerima i-Fitri Luah Rasa Syukur, Terima Kasih
HULU TERENGGANU, 28 April – Rata-rata 4876 penerima agihan bantuan perayaan i-Fitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil hari ini meluahkan rasa syukur dan gembira atas bantuan yang dihulurkan.
Mat Zin Ibrahim, 70, yang menerima Bantuan Khas i-Fitri sebanyak RM400 berasa bersyukur atas bantuan yang diberikan.
Katanya, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam mendapatkan barangan dapur dan keperluan hari raya tidak lama lagi.
Bagi Matitah Mamat, 54, dia bersyukur walaupun bagi sesetengah orang jumlah itu tidaklah seberapa, namun bagi dia sekeluarga, sumbangan itu sememangnya banyak membantu.
“Memang bagi orang lain yang banyak duit, duit i-Fitri ini tidak banyak mana, tetapi bagi saya memang sangat membantu kami beli barangan keperluan raya. Kami tidak simpan pun duit i-Fitri ini, memang belanja sepenuhnya untuk sambut raya,” katanya kepada pemberita.
Gimik Penyerahan Mock Cheque kepada penerima i-Fitri disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim di sini hari ini.
28 Apr 22
305
'Alhamdulillah, Boleh Buat Tambah Belanja'
DUNGUN, 26 April- "Alhamdulillah, boleh buat tambah belanja," ujar Sazali Muhammad Sari, 28, graduan Pengurusan Tanah, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
Sazali yang juga seorang kelainan upaya (OKU) antara 5,582 orang penerima Bantuan Khas i-fitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.
Dia yang sebelum ini tidak pernah menerima dana raya melahirkan rasa gembira apabila terpilih sebagai penerima sumbangan i-fitri.
Sazali yang kini membuka kedai runcit di hadapan rumahnya di Kampung Rhu Batil, memandu sendiri ke Dewan Arena Merdeka untuk mengambil wang bantuan tersebut, semalam.
Sumbangan i-fitri di DUN Rantau Abang diagihkan di dua lokasi berbeza untuk mengelakkan kesesakan.
Salah satu lokasi lagi ialah di Dewan Al-Husna, Markas Tarbiah Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah, Pulau Serai.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri dengan jumlah yang besar diperuntukkan kepada penerima di DUN tersebut.
"Kerajaan Terengganu telah membelanjakan RM58.99 juta untuk i-fitri dan RM2,194,150 kepada penerima di DUN Rantau Abang," katanya.
Beliau berharap supaya penerima-penerima menggunakan sebaiknya untuk keperluan sahaja.
"Berbelanjalah dengan berhemah," katanya.
25 Apr 22
438
3,000 Terima i-Fitri, Rakyat Lafaz Syukur
KUALA NERUS, 24 April - Pemberian i-Fitri yang mula diagihkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, hari ini diterima dengan penuh syukur di kalangan penerima.
Salah seorang penerima, Mazini Said, 48, berkata, bantuan berkenaan sedikit sebanyak telah meringankan beban beliau dalam penyediaan persiapan hari raya tahun ini.
"Saya amat berterima kasih dengan Kerajaan Terengganu atas bantuan sebanyak RM 400 hari ini, sekurang-kurangnya ia dapat juga membantu mengurangkan kos membeli baju raya untuk keluarga," katanya.
Seorang lagi penerima, Mohd Razi,32, dari Kampung Telaga Daeng menyifatkan, bantuan yang disalurkan kerajaan negeri itu sesuai dengan keadaan semasa hari ini di mana rakyat dapat menggunakannya bagi menyambut hari raya nanti.
"Selain itu, sebenarnya ia turut meringankan beban rakyat dalam menghadapi situasi semasa ekonomi hari ini," katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan i-Fitri yang disampaikan dalam majlis ringkas di Dewan Serbaguna Tok Jembal, hari ini.
Penyelaras DUN, Mohd Fadhil Wahab memaklumkan, seramai 3111 ketua isi rumah di DUN berkenaan menerima bantuan i-Fitri yang mula diagihkan hari ini dan esok.
"Agihan i-Fitri hari ini dikeluarkan merangkumi dua kategori penerima iaitu RM 400.00 bagi penerima isi rumah berpendapatan bawah RM2,5000 dan sebanyak RM250.00 bagi penerima isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000.
"Untuk makluman, selain bantuan yang ada ini, kerajaan negeri juga telah membuka bantuan i-Perantau sebagai sokongan daripada kerajaan kepada perantau dari negeri Terengganu sebagaimana diumumkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.
"Jadi, anak-anak perantauan pastikan memohon sekiranya layak untuk kerajaan negeri agihkan dana khas berjumlah RM1.5 juta itu," katanya.
Tambahnya, maklumat berkaitan permohonan boleh dirujuk pada sistem i-Bantuan kerajaan negeri bermula hari ini.
Hadir sama dalam majlis agihan i-Fitri hari ini ialah Penghulu Mukim Seberang Takir, Khairil Ghazali dan Timbalan Pengarah Majlis Tindakan Dun Seberang Takir(MTD), Rashid Abdullah.
24 Apr 22
726
231 Anak Yatim DUN Paka Dirai
DUNGUN, 24 April - Seramai 231 anak yatim di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menerima sumbangan kelengkapan raya sempena menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata program sumbangan tersebut digabungkan dengan program sumbangan Back To School yang tertangguh.
"Setelah sekian lama para pelajar belajar secara atas talian, sumbangan Back To School ditangguhkan seketika.
"Tapi hari ini apabila Menteri Pendidikan mengumumkan pembelajaran boleh secara bersemuka secara penuh, kita melaksanakan kembali sumbangan Back To School," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program Sumbangan Aidilfitri dan Back To School 2022, disini.
24 Apr 22
191
Ketengah Sumbang RM21,000 Kepada Pelajar Tahfiz Sempena Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 24 April- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyumbangkan sebanyak RM21,000 kepada 210 pelajar tahfiz sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, meskipun sumbangan tersebut mungkin dilihat tidak seberapa namun beliau yakin sumbangan itu sangat membantu dalam mengurangkan beban pengurusan perbelanjaan keluarga terutama menjelang musim perayaan ini.
“Kerajaan sentiasa komited dan akan memberikan komitmen yang tinggi untuk terus menyalurkan bantuan tanpa diskriminasi kepada mana-mana masyarakat yang memerlukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Dan Kenyir Bermunajat di Dapur Kenyir, Tasik Kenyir Hulu Terengganu, kelmarin.
Tambah beliau, Ketengah menganjurkan pelbagai program yang secara keseluruhannya adalah program menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan terutamanya ketika menjelang musim perayaan.
“Diharapkan usaha murni ini memberikan sedikit kegembiraan kepada para penerima,”ujarnya.
24 Apr 22
234