lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Impian Miliki Kediaman Sendiri Tercapai
Impian Miliki Kediaman Sendiri Tercapai
KUALA NERUS, 22 Mei – Peluang memiliki rumah sendiri menjadi perkara paling menggembirakan bagi seorang bapa yang sekian lama menyewa. Hussain Hafizi Din @ Yusof, 33, dari Kampung Tok Jembal, Seberang Takir di sini mengakui sebak dan terharu kerana hasrat untuk mempunyai kediamannya sendiri tercapai. “Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadzil Wahab atas usaha membantu mendapatkan saya sebuah rumah yang saya mohon sejak beberapa tahun lepas lagi. “Sekian lama saya nantikan kerana sebelum ni hanya mampu menyewa rumah di Batu Rakit yang agak jauh dari tempat kerja,” ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPTS DUN Seberang Takir yang disempurnakan Pegawai Penyelaras tersebut, semalam. Tambah Hussain, keputusan itu amat mengembirakan isterinya yang juga surir umah dan sentiasa menyatakan hasrat untuk mempunyai rumah sendiri. “Selepas ini bolehlah ada duit lebih sikit kerana duit bayaran sewa selama ini boleh membeli keperluan lain,” jelasnya. Sementara itu, Mohd Fadzil memaklumkan, objektif utama penyediaan kediaman baharu adalah memberi tempat tinggal yang selesa kepada asnaf fakir atau miskin sebagai salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di Seberang Takir. “Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah sendiri kepada rakyat Terengganu disamping menepati syarat-syarat yang ditetap,” ujarnya. #HajiFadhilKirimSalam
21 May 22
416
ADUN Batu Buruk Belanja Kek Sempena Hari Guru
ADUN Batu Buruk Belanja Kek Sempena Hari Guru
KUALA TERENGGANU, 18 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi mengagihkan sebanyak 28 biji kek bersempena sambutan Hari Guru yang diadakan pada 16 Mei lalu. Kek tersebut telah diagihkan kepada setiap sekolah menengah, sekolah rendah, madrasah tahfiz dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.  Penyelia i-MITS DUN Batu Buruk, Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh menghantar kek ke SMK Dato' Razali “Agihan kek bersempena hari guru ini merupakan program tahunan yang saban tahun kita akan adakan untuk dihantar kepada sekolah-sekolah yang ada dalam DUN ini. “Namun, agihan ini telah terhenti selama 2 tahun yang lalu ekoran penularan wabak Covid-19 yang mengakibatkan tiada sebarang penganjuran majlis diadakan. “Alhamdulillah, walaupun telah 2 tahun tidak diadakan majlis sambutan Hari Guru, pada tahun ini saya lihat sambutan yang diadakan pada tahun ini sangat meriah,” kata Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) DUN Batu Buruk, Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh ketika ditemui pemberita.  Beliau yang mewakili ADUN Batu Buruk dalam agihan kek tersebut berkata pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah terbahagi kepada dua kumpulan bagi memastikan kek tersebut dapat dihantar tepat pada masanya.  Sementara itu, ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil dalam satu hantaran di laman Facebook beliau mengucapkan tahniah kepada semua sekolah yang telah mengadakan majlis sambutan Hari Guru dan berharap agar dapat turut bersama dalam program-program yang akan datang.  “Semoga agihan kek ini sedikit sebanyak dapat terus mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dengan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk,” tambahnya.  
18 May 22
415
Pengunjung Teruja Sambutan Raya Buluh Gading
Pengunjung Teruja Sambutan Raya Buluh Gading
KUALA NERUS, 17 Mei - Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading yang rata-ratanya teruja setelah dua tahun sambutan sedemikian tidak dapat diadakan. Seorang pengunjung yang ditemui, Sha Afzan Che Manan, 34, merasai kemeriahannya walaupun sambutan yang sepatutnya berakhir pada jam 3 petang tetapi 4 petang masih lagi diteruskan dengan pelbagai juadah masih boleh dinikmati. "Anak-anakpun nampak ceria dengan suasana tempat yang santai setelah dua tahun mereka tidak merasai suasana begini, memang terbaik sambutan kali ini," kata bapa kepada tiga orang anak itu. Sha Afzan menyatakan demikian ketika ditemui di majlis tersebut yang diadakan bersebelahan Taman Rekreasi Kampung Teluk Pasu di sini baru-baru ini.  Manakala Norsahana  Sarif, 39, yang datang dari Kemaman seronok melihat kemeriahan sambutan tersebut, walaupun kehadirannya sudah agak lewat tetapi pengunjung masih ramai dan menu utama masih ada untuk dinikmati. "Dengan tempat yang mudah untuk disinggah dan anak-anakpun selamat untuk bermain, saya berharap tahun depan sambutan sebegini diadakan lagi di tempat ini," ujarnya.  Sementara itu, penganjur program, Muhammad Saufi Hashim memberitahu majlis yang sepatutnya bermula pada jam 11 pagi tetapi pengunjung telah datang seawal 9.30 pagi.  "Pukul 1 tengahari, menu-menu hampir kehabisan, jadi kami telah masak lagi untuk dihidangkan kepada pengunjung," katanya.
16 May 22
438
Kekalkan Sokongan Kepada Kerajaan
Kekalkan Sokongan Kepada Kerajaan
DUNGUN, 16 Mei- Rakyat Terengganu diminta mengekalkan sokongan kepada kerajaan yang memerintah ketika ini agar agenda yang belum terlaksana dapat disempurnakan. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, kerajaan negeri telah membina agenda dalam satu pelan induk yang diberi nama Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) yang merangkumi setiap komponen dalam pembangunan Negeri Terengganu.  "Semua aspek sudah ada dan sebahagiannya telah dilaksanakan dan kita telah buktikan dalam janji 20 manifesto telah kita tunaikan.  "Termasuk yang berkait dengan soal tanah, kepentingan kesihatan dengan Kad Sejahteranya, bidang perumahan dengan i-Rahman,  "Memberi satu pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang layak secara Al-Qardul Al-Hassan, kepada orang muda - muda, kita ambil tanggungjawab, lesen motor dan keperluan asas, air percuma," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Cakna Komuniti Wilayah Lembaga Kemajuan Trengganu Tengah (KETENGAH) di Masjid Serdang di sini, semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Ketua Pegawai Eksekutif KETENGAH Holding Sdn. Bhd, Mohd. Zaid Sulaiman dan wakil Ahli Parlimen Dungun, Mohd Amin Hamid.  Pada majlis tersebut seramai 50 orang telah menerima sumbangan bakul makanan manakala 30 orang mahasiswa menerima komputer riba yang disumbangkan oleh KETENGAH. Sementara itu Alias berterima kasih kerana pengurusan KETENGAH telah memilih DUN Rantau Abang untuk program tersebut. "Penerima-penerima adalah daripada lapan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) iaitu Serdang, Delong, Bukit Merah, Burung Baru, Padang Pulut, Kampung Wa, Pinang Baru dan Ladang Pinang Mas  terpilih, menjayakan hari ini sebanyak RM170, 000 telah diperuntukkan oleh pihak KETENGAH untuk program hari ini," katanya.  Sebelum itu, beliau telah menziarahi lima buah rumah orang sakit sambil menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mereka. Orang ramai yang hadir turut berpeluang melakukan rawatan kesihatan dan menukar minyak hitam motosikal .
15 May 22
229
Sayu Dapat Sambut Aidilfitri Di Rumah Baharu
Sayu Dapat Sambut Aidilfitri Di Rumah Baharu
Oleh : Syahida Mohd KUALA NERUS, 14 Mei - Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun in lebih bermakna bagi pasangan suami isteri di kampung Gong Pak Jin, Tepoh  selepas impian untuk tinggal di rumah lebih selesa akhirnya tercapai.  Reme Dzulkifli, 37, dan pasangan Nur Asyikin, 30, bersama tiga orang anak yang merupakan salah satu keluarga daripada keluarga yang dalam rumah yang serba kekurangan. Kini mereka menikmati kediaman baharu lebih selesa dilengkapi tiga bilik tidur, dapur, tandas dan bilik mandi melalui Projek Perumahan Rakyat Terengganu Sejahtera (PPTS) mengantikan kediaman lama yang usang. Reme yang bekerja sebagai pemotong rumput dengan hanya pendapatan RM1,100 sebulan itu berkata, tanpa bantuan kerajaan dia dan isteri hanya mampu tinggal di rumah usang. "Kami berterima kasih kepada kerajaan terutama kesungguhan dan usaha dari wakil rakyat kami yang sudi membantu mendapatkan rumah baharu. "Saya dan isteri tidak berkemampuan langsung untuk membina rumah kerana memerlukan kos yang tinggi" katanya ketika ditemui media kelmarin Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berharap usaha yang dicurah oleh kerajaan negeri dapat diteruskan untuk masa akan datang. "Isya-Allah kita akan cuba sedaya upaya membantu dan berusaha memenuhi hasrat rakyat negeri Terengganu untuk mendapatkan rumah seperti PPTS atau rumah mampu milik di mana-mana tempat. "Kita harap mereka selesalah duduk di rumah baharu bersama dengan ahli keluarga masing-masing," katanya  Selain rumah tersebut, terdapat dua buah rumah lagi yang turut diserahkan kunci iaitu di Kampung Padang Nenas dan di Kampung Tok Jiring.
14 May 22
368
Ribuan Pengunjung 'Serbu' Rumah Terbuka DUN Telemong
Ribuan Pengunjung 'Serbu' Rumah Terbuka DUN Telemong
HULU TERENGGANU, 13 Mei – Lebih 5,000 orang pengunjung menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Pusat Khidmat Masyarakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, ia disifatkan sebagai sambutan paling meriah sejak memegang tampuk pemerintahan.  Pegawai Penyelaras DUN Telemong Mohd Safari Abu berkata, kehadiran rakyat dari segenap lapisan masyarakat terutamanya kalangan anak-anak muda adalah sesuatu yang diluar telahan. “Ledakan hadirin dari segenap penjuru masyarakat khususnya anak muda sangat memberangsangkan dan diluar apa yang kita jangkakan,” katanya. Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Telemong berkata demikian ketika ditemui sebaik usai program tersebut yang diadakan di Dataran Kuala Ping, baru-baru ini. Beliau turut memohon kemaafan sekiranya ada yang ‘kurang’ serta tidak dapat memenuhi hajat disepanjang majlis itu berlangsung. “Walau bagaimana pun kami pohon maaf diatas kecacatan dan kekurangan yang mungkin berlaku disepanjang majlis ini berlangsung, “Terima kasih kepada petugas, tetamu dan hadirin yang menjayakan dan memberi sokongan kepada majlis ini, semoga ukhuwwah yang dijalin diantara kita berkekalan,” jelas beliau. Menurutnya, para tetamu mula membanjiri Dataran seawal jam 8.30 malam, untuk merayakan Aidilfitri bersama pemimpin setempat pada majlis yang dijadual bermula dari jam 9.00 malam. Majlis berlangsung sehingga jam 12.00 tengah malam Ahad 8 mei.  Turut hadir memeriahkan majlis ialah Speaker DUN Terengganu, Dato Yahaya Ali, Yang DiPertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim, Pengarah i-MiTS, Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan Ustaz Mohd Harun Esa mewakili Pemuda PAS Negeri Terengganu.  
13 May 22
337
Kira-kira 5000 Pengunjung Meriahkan Majlis Raya DUN Batu Buruk
Kira-kira 5000 Pengunjung Meriahkan Majlis Raya DUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Kira-kira 5,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam.  Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, meskipun telah dua tahun majlis seperti itu tidak diadakan ekoran penularan wabak Covid-19, namun sambutan daripada orang ramai pada tahun ini sangat menggalakkan.  “Saya sangat teruja melihat kegembiraan wajah semua yang hadir pada hari ini dari segenap usia, baik dewasa hingga kanak-kanak. Kemeriahan sambutan Majlis Hari Raya DUN Batu Buruk “Program ini dijadualkan bermula pada pukul 10.30 pagi tetapi saya dimaklumkan orang ramai telah mula hadir seawal jam 10.00 pagi lagi. “Alhamdulillah, makanan yang kita sediakan cukup untuk semua yang hadir,” katanya. Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.  Turut diraikan dalam majlis itu ialah golongan kanak-kanak yang diberikan duit raya dan disampaikan sendiri oleh ADUN Batu Buruk serta isteri, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah.  Antara juadah yang disediakan ialah nasi minyak, ketupat, rendang, laksa Kg. Nibong, sate, kuih muih dan banyak lagi.  
11 May 22
687
Projek Naik Taraf Jalan Terengganu Lebih Rancak Tahun Depan
Projek Naik Taraf Jalan Terengganu Lebih Rancak Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Projek baharu termasuk melibatkan kerja menaif taraf jalan raya di negeri ini akan berjalan dengan lebih rancak bermula tahun 2023. Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir. Md Ridzwan Chik berkata, perkara itu dijangka akan mampu dilakukan apabila kerajaan meluluskan projek besar kepada pihaknya. Katanya, kini terdapat 52 projek persekutuan dan 14 projek bersaiz kecil. "Kita akan 'upgrade' balik jalan-jalan rosak dan agak berbahaya kepada pengguna yang diistilahkan sebagai 'black spot' dan juga jambatan-jambatan kecil akan dibesarkan. "Seperti Jambatan Marang yang dijangka akan menjadi ikon baharu di negeri ini ia akan mampu memberikan keselesaan serta dan menyelesaikan masalah kesesakan yang berlaku selama ini terutamanya apabila tibanya musim perayaan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran langusng di TV Darul Iman, Bicara Jabatan : JKR Peneraju Utama Teknikal Terengganu, di sini baru-baru ini. Katanya dengan pelbagai pembangunan yang dijangka akan dilakukan pada tahun hadapan ia menjadi bukti bahawa Terengganu pesat membangun dan bertambah maju. "Silap jika mengatakan Terengganu tidak maju, sedangkan sekarang ini sedang bersaing dengan negeri lain, insya-Allah JKR ada matlamat bagi membantu kerajaan negeri untuk terus mencapai kemajuan serta setanding dengan Kuala Lumpur," katanya. "Kita sebagai agensi teknikal bekerjasama dengan kerajaan negeri, berperanan memberikan nasihat dan menerima apa-apa peruntukkan pembangunan yang disalurkan kepada JKR untuk melaksanakan projek-projek yang dirancang oleh kerajaan negeri. "Amtara perancangannya ialah bandar baharu Kuala Nerus dimana ia akan menjadi pencetus serta platform untuk terus membangun," ujarnya.  
10 May 22
4404
Himpunan Raya Keluarga Tebakang Meriah
Himpunan Raya Keluarga Tebakang Meriah
Oleh : Fatimah Din  MARANG, 9 Mei- Dengan kehadiran lebih 5000 orang iaitu 70 peratus daripada penduduk Kampung Tebakang telah memeriahkan Program Himpunan Raya Keluarga Tebakang. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Tebakang (JPKK), Mohd Zaki Deraman berkata, slogan "Orang Tebakang Anok Wanok Kite Belake" yang digunakan berjaya menyuntik semangat cinta dan kerjasama dalam komuniti. " Kita pun ada lagu kampung sendiri yang dinyanyikan oleh anak jati Tebakang Imam Muda Fakhrul dan liriknya dicipta oleh Pengarah Program Cikgu Hussien yang merupakan ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Marang yang mengetengahkan irama dan loghat Terengganu," jelasnya lagi.   Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis anjuran bersama pihak JPKK bersama Masjid Kampung Tebakang itu, baru-baru ini.  Menurutnya sebanyak tujuh kawah gulai dan menu raya telah disediakan untuk meraikan kehadiran orang kampung.  " Majlis turut diserikan dengan penyampaian pelbagai anugerah kepada penduduk, cabutan bertuah serta Forum Bual Bicara yang menampilkan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang  dan Selebriti TV, Ustaz Badlishah Alauddin," ujarnya lagi. 
09 May 22
631
Sesak, Kehadiran Luar Biasa Tak Pernah Berlaku
Sesak, Kehadiran Luar Biasa Tak Pernah Berlaku
MARANG, 9 Mei - Kehadiran pengunjung ke Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan sangat luar biasa dan mengejutkan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, kehadiran tetamu daripada pelbagai kaum, umur dan parti politik tidak sebagaimana biasa serta di luar jangkaan pihaknya. “Jika tahun-tahun sebelum ini (waktu tiada pandemik) pengunjung sambutan Aidilfitri sudah ramai, namun kali ini kehadiran mereka di luar jangkaan. “Sejak dibuka majlis, pengunjung tidak putus-putus datang bagi memeriahkan lagi suasana sambutan, lebih lima ribu yang hadir. “Alhamdulillah ini menjadi medan bertemu mata dan merapatkan hubungan ukhuwwah sesama warga N20, Pengkalan Berangan,” katanya selepas sambutan kelmarin. Dalam perkembangan lain, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Zuwislan Awang yang hadir sama memaklumkan bahawa kompleks sukan Wakaf Tapai akan beroperasi pada tahun ini.  “Walau bagaimanapun, saya tidak mahu mengumumkan tarikh rasmi pembukaan, sebaliknya menunggu pengumuman secara rasmi daripada ADUN Pengkalan Berangan,” tambahnya.
09 May 22
394