Artikel "Komuniti" Terkini
Sambutan Luar Biasa Warnai Majlis Hari Raya DUN Wakaf Mempelam
KUALA TERENGGANU, 31 Mei- Kira-kira 10,000 tetamu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN Wakaf Mempelam yang diadakan di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam.
Majlis yang dijadualkan bermula pada jam 11 pagi itu mula menerima kehadiran dari tetamu seawal jam 10 pagi yang telah mula memenuhi perkarangan majlis berlangsung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sambutan yang diterima pada tahun ini cukup luar biasa dengan peningkatan sekali ganda kehadiran tetamu mengatasi sasaran asal iaitu sebanyak 5,000 orang tetamu.
"Indikator kepada peningkatan jumlah ini berpandukan kepada hidangan yang disediakan yang telah habis awal. Seawal jam 11.30 pagi, banyak menu yang disediakan telah mula habis. Namun Alhamdulillah, kita berjaya mengatasinya dengan membuat penambahan menu nasi minyak.
"Saya tidak mahu ada tetamu yang hadir pulang dengan perasaan hampa, kerana itu saya meminta pihak jawatankuasa untuk segera tambah menu utama yang kita sediakan iaitu nasi minyak. Pihak jawatankuasa segera bertindak dengan memasak nasi dan gulai daging," katanya.
Sebanyak 10 gerai menyajikan pelbagai hidangan termasuk makanan tradisi Melayu Terengganu seperti laksa Terengganu, laksam, ketupat dan rendang serta nasi nasi minyak disediakan.
Antara gerai yang menjadi tarikan ramai ialah kambing golek, ayam golek, mi goreng, sate dan beraneka jenis minuman termasuk cendol, air batu campur, aiskrim dan kuih muih.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir disamping memohon maaf atas sebarang kekurangan.
"Saya juga mendapat maklumat ada tetamu yang terpaksa berpatah balik kerana ketiadaan ruang parkir yang mencukupi. Insya-Allah, kita akan membuat penambahbaikan untuk majlis tahun hadapan dengan lebih meriah.
Beliau dan isteri, Fadzilah Ismail turut meluangkan masa sepanjang majlis berlangsung mengambil peluang untuk beramah mesra dengan tetamu yang hadir disamping melayan tetamu untuk bergambar.
"Kita juga menyediakan duit raya buat 1,000 orang kanak-kanak yang hadir disamping menyajikan nyanyian nasyid dari kumpulan 'Voice of DACS' yang menampilkan lagu gema takbir," katanya.
31 May 22
683
Penerima I-Perantau Gembira, Prosedur Permohonan Tidak Rumit
PASIR GUDANG, 1 Jun – Penerima i-Perantau menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri serta gembira kerana prosedur permohonan yang tidak terlalu rumit .
Salah seorang penerima, Nurul Afizah Abdul Rashid dan pasangan yang berasal dari Kampung Pulau Musang dan kini menetap di Pasir Gudang, berasa amat bersyukur dengan pemberian 'buah tangan' kerajaan negeri untuk anak-anak perantau itu.
"Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua yang terlibat, terima kasih kerana kerajaan tidak meminggirkan juga golongan perantau ini.
"Permohonan sangat baik serta tidak merumitkan kerana semuanya secara dalam talian serta tidak perlu untuk pos borang dan sebagainya" katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis penyerahan i-Perantau negeri Johor, baru-baru ini.
Sementara itu, Firdaus Anuar yang berasal dari Batu Buruk dan kini menetap di Kempas juga bersyukur atas keprihatinan bantuan i-Perantau yang diterimanya.
"Walaupun kami bekerja di luar Terengganu tetapi masih diberi perhatian daripada pihak kerajaan negeri.
"Prosesnya sangat mudah dan saya sempat memohon sehari sebelum tamat tempoh permohonan tersebut.
"Saya berharap kerajaan sekarang dapat kekal untuk pilihan raya akan datang dan berjaya membangunkan Terengganu dengan lebih baik dan berkesan," katanya.
Manakala, bagi Safuan Sulaiman yang berasal dari Kuala Berang dan kini menetap di Johor Bharu selama empat tahun, turut menjadi antara penerima i-Perantau.
Beliau tidak ketinggalan menggambarkan rasa syukur atas pemberian yang membantu dari segi kewangan keluarganya.
“Saya berharap agar i-Perantau ini sentiasa dilaksanakan setiap tahun kerana selepas beraya kebiasaannya keluarga menghabiskan banyak duit dan bantuan ini amat diperlukan.
"Tiada lain, saya cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri" ujarnya.
31 May 22
118
Hadir, Dukung dan Bina Keluarga Malaysia
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru rakyat Terengganu untuk hadir beramai-ramai ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) yang akan berlangsung pada 2 sehingga 4 Jun ini di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus bagi sama-sama menghayati konsep diterapkan kerajaan itu.
"Sudah tentu apabila kita melaksanakan program ini kita mendukung semangat kerjasama, kesepaduan dalam satu masyarakat dan komuniti serta kebersamaan di Negeri Terengganu khususnya.
"Oleh kerana itu, kerajaan negeri menyokong dan mendukung Aspirasi Keluarga Malaysia ini daripada awal lagi dan bagi kita ia sangat bertepatan dengan keperluan dan suasana semasa ketika ini.
"Yang paling penting dalam program ini ialah bagaimana kita menggunakan ruang dan peluang yang ada ini untuk sama-sama membentuk satu keluarga malaysia dan juga menghidupkan kembali ekonomi seluruh anggota masyarakat setelah kita berdepan pandemik sejak dua tahun lamanya," katanya ketika ditemu bual TV AlHijrah, hari ini.
Sehubungan itu, beliau dan seluruh kepimpinan negeri menyeru masyarakat hadir dan meraikan pelbagai aktiviti yang disediakan.
"Kami diperingkat kerajaan negeri amat teruja dengan penganjuran JAKM dan kita ingin memaksimakan kehadiran dikalangan pengunjung, setakat ini persiapan diketuai kementerian peneraju iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia berjalan lancar.
"Oleh itu pelbagai tarikan dirancang untuk pengunjung terutama penglibatan kementerian dan jualan yang menjadi tumpuan pada program ini.
"Ada karnival kerjaya, jualan, dan pada salah satu malam ada Kuala Terengganu Berselawat, jadi kita cuba membuat pengisian jasmani dan rohani dalam memenuhi keperluan hidup bekeluarga," katanya.
30 May 22
276
Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Bertandang Ke Terengganu!
KUALA TERENGGANU, 30 Mei- Karnival Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) bakal berkampung di Terengganu bermula 2 sehingga 4 Jun 2022 (Khamis sehingga Sabtu) sebagai destinasi keempat selepas Johor, Perlis dan Sabah.
Program yang merupakan kesinambungan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia itu membawa fokus utama 'Keluarga Malaysia Keluarga Berilmu' dengan Kementerian Pendidikan dipilih menjadi kementerian peneraju bagi penganjuran kali ini.
JAKM akan berlangsung di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus dengan membawa objektif memastikan semua rakyat dapat menghayati konsep Aspirasi Keluarga Malaysia dengan lebih jelas selaras manifestasi usaha dan komitmen kerajaan dalam memenuhi keperluan serta kehendak rakyat.
Berlangsung dari jam 9 pagi sehingga 6 petang, JAKM menampilkan banyak reruai pameran kementerian, gerai-gerai jualan dan pelbagai aktiviti menarik sepanjang dua hari tersebut.
29 May 22
840
2,820 Wanita Terengganu Terima Manfaat WCaRe
KUALA NERUS, 29 Mei - Seramai 2,820 wanita negeri ini menerima manfaat melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sempena Sambutan Hari Ibu peringkat negeri pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kesemua penerima tersebut akan menerima peruntukan sehingga RM200,000 untuk menjalani saringan HPV DNA bagi mengesan kanser serviks dan mammogram untuk pengesanan awal kanser payudara.
"Kempen pada kali ini Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mempakejkan gerak promosi dengan mengabungkan dua perkhidmatan iaitu Program Subsidi Mamogram dan Pemeriksaan Papa Smear.
"Ia bertujuan untuk memberi pengetahuan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita, dengan fokus utamanya adalah kepada aspek pencegahan kanser reproduktif di kalangan wanita pada peringkat awal," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu dan Kempen Kesedaran dan WCaRe, di Taman Tasik Kuala Nerus, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah LPPKN, Muhamad Noh Abdullah dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan W\anita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa, justeru beliau menyeru kepada semua kaum ibu dan wanita Terengganu agar menjalni ujian saringan terbabit.
"Saya turut difahamkan LPPKN telah beranjak kepada kaedah 'Liquid Base Cytology (LBC) secara spesifik, rapi dan mudah di mana klien sendiri melakukannya dengan tunjuk ajar daripada jururawat terlatih.
"Kaedah ini sudah tentu lebih mudah, dan langkah diperkenalkan ini menjadi pilihan ramai terutama kepada wanita yang masih berasa malu untuk melakukan ujian sebagaimana sebelum ini.
"Perkhidmatan ini disediakan secara percuma di tiga buah Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di Kuala Terengganu, Dungun dan Besut,"ujarnya.
Mengenai sambutan hari ibu peringkat negeri itu, jelasnya sangat bermakna kerana pada tahun ini dapat disambut secara fizikal.
"Kasih Ibu Selamanya, itulah tema yang dipilih untuk sambutan pada tahun ini, untuk mengajak pelbagai lapisan masyarakat untuk menghargai dan memberi tumpuan kepada peranan ibu dan bapa dalam memastikan keluarga terus sejahtera, terutamanya dalam kesihatan mental dan keselamatan keluarga agar kekal harmoni walaupun berdepan pelbagai cabaran.
"Kesejahteraan keluarga bermula dengan ikatan kasih sayang yang erat daripada seorang ibu dan disusuli dengan kepimpinan unggul oleh seorang bapa, kedua-duanya merupakan tunggak kekuatan bersama dalam sesebuah keluarga,"ujarnya.
Untuk rekod Program sambutan hari ibu pada kali ini telah berjaya mengumpulkan 300 kaum ibu beserta ahli keluarga dari seluruh negeri dengan pelbagai pengisian aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, senaman tai chi batik, demo makanan sihat, sudut bergmbar bersama ibu.
Antaranya lagi ialah permainan keluarga, pertandingan untuk ibu dan anak serta kembara kaunseling dan juga Mama Care.
29 May 22
606
Senyum Lebar, 320 Orang Bersyukur Genggam Geran Tanah
SETIU, 28 Mei - Seramai 320 orang penerima geran tanah bergembira dan bersyukur setelah penantian bertahun lamanya untuk mengenggam geran tanah akhirnya tercapai dan menganggap ia merupakan hadiah istimewa dari kerajaan negeri, yang telah mengotakan janjinya selama ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata pemberian ini bukanlah pertama kali dibuat setelah mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri malah telah berulang kali diadakan pengagihan geran seperti ini kepada penerima-penerima.
"Tahniah kepada semua penerima. Rakyat senyum kita tumpang gembira. Banyak kali dah kita buat program agih geran tanah di Setiu. Pagi ini sejumlah 320 lagi Geran Hak Milik Tanah sudah berada dalam tangan penerima dari Dun Langkap dan Permaisuri Setiu. Ia sebahagian dari usaha keras kumpulan kami untuk menyelesaikan isu-isu tanah di Daerah Setiu.
"Isu-isu berkaitan hak milik tanah memang tak akan mampu diselesaikan 100% kerana ia suatu urusan yang sentiasa timbul dan berbangkit. Kalau selesai sepenuhnya ia bermakna kita boleh tutup Pejabat Tanah,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Daerah Setiu bagi tahun 2022, di Dewan Terbuka Sungai Tarom, Setiu.
Turut hadir Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif, Pegawai Penyelaras Langkap, Azmi Maarof serta Pengawai Penyelaras Permaisuri, Ustaz Zul Bahri.dir Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.
"Contohnya kita bagi hak milik sebidang tanah kepada seseorang. Selepas itu mungkin ada urusan tukar syarat guna tanah, pecah lot, pindah hak milik, jual beli dan bila tuan meninggal jadi faraid pula. Begitulah seterusnya dan seterusnya sehingga kiamat. Sebab itu ambe berani kata, siapa yang boleh selesai sepenuhnya hal tanah, dia adalah insan ajaib yang mungkin bukan berasal dari planet bumi ini,"ujarnya.
28 May 22
544
Zulfikri Hadiahkan Emas Untuk Negara
DUNGUN, 26 Mei - Zulfikri Zulkifli, 22 yang mewakili skuad berbasikal MTB kebangsaan mencipta sejarah tersendiri apabila dia bersama rakan sepasukan berjaya merangkul pingat emas pertama acara berganti-ganti rentas desa campuran di Sukan SEA ke-31 di Hanoi baru - baru ini.
Anak kelahiran Kampung Gong Pasir itu tidak menyangka minatnya terhadap sukan berbasikal sejak kecil nyata membuahkan rezeki buat dirinya.
"Saya bersama-sama Ahmad Syazrin Awang Ilah, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon mengondol pingat emas ke -20 negara.
"Kepada remaja yang berminat dalam apa sahaja jenis sukan buatlah bersungguh-sungguh dan berdisiplin kerana mereka mampu pergi jauh, banyakkan usaha, doa dan tawakal," katanya yang mula menceburi secara serius sukan itu sejak lima tahun lalu.
Zulfikri ditemui pemberita pada majlis meraikan kejayaannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Restoran Nasi Arab Anwaar Al Yaman di sini.
Sementara itu, Alias turut berbangga dengan kejayaan remaja itu yang merupakan jiran sekampung beliau.
"Saya mengenalinya sejak kecil dan memang setiap hari dengan basikal, semoga bakatnya sentiasa bersinar dan terus mengukir nama di persada antarabangsa dengan sokongan kuat kerajaan," katanya.
26 May 22
902
Impian Miliki Tanah Sendiri Tercapai
DUNGUN, 26 Mei - Para peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri menamatkan tiga tahun penantian mereka untuk memiliki tanah sendiri.
Salah seorang peserta, Zakaria Mohammad, 30, sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menunaikan impian untuk memiliki tanah yang sudah lama dimohon.
“Proses permohonan ini agak sukar, namun ketua kampung dan pihak yang terlibat bekerja keras memudahkan urusan terutamanya pihak kerajaan sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita.
Zakaria yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel milik abangnya merupakan salah seorang daripada 514 peserta RTB yang menerima borang 5A bagi geran lot tanah sendiri di Balai Orang Ramai, Bandar Al-Mukhtafi Billah Shah, Bukit Besi di sini hari ini.
Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik dan Borang 5A itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim serta Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Seorang lagi peserta, Mohd Saifullizam Mustafa, 52, memuji komitmen kerajaan dalam menyelesaikan pemilikan tanah buat rakyat Terengganu.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri dengan komitmen memberi lot tanah ini yang menonjolkan salah satu kebaikan pihak kerajaan.
“Dengan kelulusan ini, saya berhasrat untuk mengusahakan ia sebagai kawasan ternakan,” ujarnya.
Peserta yang menerima borang 5A perlu membuat pembayaran premium tanah sebanyak 10 peratus daripada nilaian sebenar tanah dalam tempoh tiga bulan.
24 May 22
232
SATUCare Bantu Pasang Paip Rumah Buruh
MARANG, 26 Mei - SATUCare telah membantu keluarga seorang buruh, Muhamad Khairul, 36, bagi pemasangan paip bekalan air daripada pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) baru-baru ini.
Pegawai Khas Menteri Besar, Wahad Osman berkata, saluran paip air sepanjang 250 meter dapat disambungkan ke rumah mereka melalui inisiatif ini di Kampung Tertak Batu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.
"Sebelum ini, mereka hanya menggunakan sumber air hujan yang ditadah ke dalam tangki air di luar rumah untuk kegunaan harian.
"Ada satu ketika mereka terpaksa balik ke kampung ibu bapa atau ke surau berdekatan untuk mendapatkan bekalan air," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Tangki yang digunakan untuk menadah bekalan air hujan di luar rumah
Muhamad Khairul yang berkerja sebagai buruh kecil, juga tinggal bersama isteri dan dua anaknya yang dibina secara berperingkat telah tinggal di situ selama lebih dua tahun.
Menurutnya lagi, dengan bantuan ini sekaligus dapat memberikan keselesaan dan mengurangkan beban mereka lebih-lebih lagi sumber bekalan air bersih sangat penting dalam kehidupan seharian.
Kerja-kerja pemasangan paip sedang dijalankan
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pihak SATU bagi merealisasikan hasrat tersebut.
"Alhamdulillah, siasatan dan tinjauan dibuat sendiri dengan kerjasama pihak SATU ke rumah mereka, dan setelah beberapa siri mendapatkan maklum balas, mereka telah menerima bantuan CSR daripada SATUCare.
"Kami juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak SATU atas bantuan dan usahasama yang dilakukan, malah telah memberi banyak manfaat kepada masyarakat," tambahnya lagi.
24 May 22
370
Terus Jaga SOP
DUNGUN, 22 Mei- Anggota masyarakat diingatkan agar terus menjaga SOP walaupun negara kini telah memasuki fasa endemik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kebenaran orang ramai untuk berhimpun tetapi mereka sepatutnya menjaga kebersihan diri.
"Kita jaga kita, teruskan menjaga SOP yang ditetapkan, bila berada di tempat tertutup, pakai topeng muka, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengalu-alukan tetamu yang menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DUN Rantau Abang yang diadakan di tapak Pasar Minggu Padang Pulut di sini, semalam.
Majlis itu turut dihadiri Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shafawi Abdul Rani dan Naraza Muda serta Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik serta Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Sementara itu, Azman Syafawi mengajak umat Islam untuk merebut ganjaran berpuasa enam hari dalam bulan Syawal yang seolah-olah berpuasa setahun.
"Memang sangat banyak dugaan untuk melaksanakannya memandangkan hampir setiap hari ada jemputan rumah terbuka.
"Kita buatlah samada puasa pada hari Isnin dan Khamis ke, atau macamana asalkan cukup enam hari, alangkah ruginya kalau kita tidak berusaha mendapatkannya," katanya.
22 May 22
146