lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Kerajaan Lancar RPP-2 Bagi Tingkat Pemuliharaan Zon Pesisir Pantai
Kerajaan Lancar RPP-2 Bagi Tingkat Pemuliharaan Zon Pesisir Pantai
SETIU, 14 Jun- Kerajaan Persekutuan melancarkan dokumen Rancangan Fizikal Zon Pesisiran Pantai Negara ke-2 (RPP2) sebagai panduan perancangan pembangunan di zon pesisiran pantai. RPP2 dilancarkan bagi menggantikan dokumen pertama pada tahun 2012 selepas diluluskan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada Oktober 2021. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, pelancarang dokumen berkenaan amat signifikan dan mempunyai impak yang cukup tinggi kerana ia memperincikan satu kanvas persekitaran yang berlaku di sepanjang lebih 3,800 km pesisiran pantai seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. “Malah, keberadaan kita di Terengganu ini juga sebenarnya cukup signifikan kerana Terengganu merupakan negeri yang mempunyai pantai berpasir paling panjang iaitu 123.5km atau 28 peratus daripada keseluruhan 440km pantai berpasir di seluruh kawasan kajian RPP2 ini. “RPP2 ini memperincikan pendekatan yang boleh diambil dalam isu-isu berkaitan perubahan iklim seperti kenaikan paras air laut, hakisan pantai dan risiko bencana tsunami yang memerlukan satu mekanisma perancangan yang komprehensif dan berkesan di pelbagai peringkat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran RPP2 di Laman Seri Rhu Sepuluh, di sini hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri selaku wakil rasmi Menteri Besar Negeri Terengganu; Dr. Alias Razak, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Dato’ Sri Dr. Ismail Abd Muttalib, Ketua Setiausaha KPKT; Datuk M Noor Azman Taib serta Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Turut hadir, Ketua Pengarah PLANMalaysia; Town Planner (TPr)  Dr. Alias bin Rameli dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu; Ahmad Rizal Mamat. Razak Merican turut menyatakan,  RPP2 merupakan satu dokumen yang cukup sarat dengan maklumat dan menjadi rujukan kepada dalam merencana persediaan, kesiapsiagaan, perancangan, kawalan dan tadbir urus pembangunan bandar dan kawasan penempatan yang berkesan dalam tempoh jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang berkaitan kesan-kesan yang terhasil daripada kejadian kenaikan paras air laut, hakisan pantai serta geo bencana yang lain. “RPP2 ini buat pertama kalinya juga memperkenalkan satu indikator penting iaitu INDEKS KERAPUHAN PANTAI NEGARA ATAU NATIONAL COASTAL VULNERABILITY INDEKS (NCVI). "Malah, suka untuk saya berkongsi bahawa penyediaan indeks ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang pertama menyediakan NCVI bagi keseluruhan kawasan persisiran pantai negara. “Dengan ini, saya ingin mengajak semua pihak agar menjadikan RPP2 ini sebagai satu kanvas pemetaan dalam sebarang pemajuan dan aktiviti yang melibatkan pesisiran pantai,” katanya.  
14 Jun 22
477
Terengganu Hasilkan Silaj, Baja Kompos Dari Rumput Napier
Terengganu Hasilkan Silaj, Baja Kompos Dari Rumput Napier
SETIU, 13 Jun - Rumput Napier di Terengganu bakal memberi manfaat berganda kepada negeri serta golongan tani apabila tanaman itu boleh dijadikan silaj dan baja kompos untuk makanan ternakan dan pemulihan tanah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, silaj dan baja kompos itu kemudiannya akan diproses bagi pemulihan tanah untuk projek penanaman lada hitam syarikat McCormick di Lembah Bidong. "Projek ini bukan hanya melibatkan TADC, tetapi dalam masa yang sama melibatkan usahawan-usahawan tempatan melalui terma-terma perjanjian yang telah ditetapkan. Di antaranya adalah, mereka akan membekalkan rumput yang ditanam itu kepada TADC untuk dijadikan makanan ternakan dan baja kompos ini. "Dengan adanya projek ini, kita harap rakyat setempat mampu mengambil sebanyak mungkin manfaat yang ada. "Dalam masa sama, projek di bawah Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu sebanyak 18 projek ini dapat menyokong di antara satu sama lain kerana di antara salah satu projek ini, kita ada juga penternakan kambing tenusu, sekaligus memerlukan sumber pemakanan dari projek ini. "Rantaian yang dapat kita lihat berdasarkan projek ini adalah saling melengkapi antara satu sama lain," katanya ketika ditemu bual semasa Majlis Perasmian Projek Ladang Rumput Napier dan Kompos bertempat di Kampung Setia Jaya, Merang, semalam. Sementara itu, Pengurus Besar Terengganu Agrotech Development Corp Sdn.Bhd (TADC), Azhar @ Wahab Jusoh memaklumkan, setiap usahawan akan diberikan lima ekar tanah untuk diusahakan ladang rumput napier. Katanya, dianggarkan 20 metrik tan hasil dapat dituai dalam jangka masa 40 hingga 45 hari untuk seekar tanah.  "Selain bahan asas seperti baja, racun dan benih akan dibekalkan oleh TADC, kita juga akan membeli hasil ini dengan harga rm80/metrik tan. Para pengusaha tidak perlu untuk mengeluarkan sebarang modal untuk mengusahakan projek ini. "Paling menarik, sebanyak RM8,000 akan dibayar untuk usahawan yang mengusahakan lima ekar tanah bersamaan dengan hasil yang dapat dituai selama 45 hari sekali gus dapat mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan yang membelenggu rakyat negeri ini," katanya. 
13 Jun 22
1815
Keindahan Pantai 'Musnah' Di Tangan Manusia
Keindahan Pantai 'Musnah' Di Tangan Manusia
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Geng Plastik Ija menyeru kepada orang ramai untuk bekerjasama dalam memastikan pantai-pantai di Terengganu terus bersih, selamat dan cantik untuk dilawati. Ketua Geng Plastik Ija Kuala Terengganu, Dr Mohd Ariff Hafizi Fouzi berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan 11 program kutipan sampah di pantai-pantai sekitar Terengganu sejak awal tahun ini. “Sejak diasaskan pada tahun 2018, Geng Plastik Ija telah mengadakan pelbagai program serentak di Kerteh, Dungun, Kuala Terengganu dan Besut. “Contohnya seperti program diadakan di Pantai Kuala Ibai bermula dari Ibai Beach Guesthouse sehingga belakang SMK Sultan Sulaiman (SMKSS) dengan hasil kutipan mencecah 340kg. “Program hari ini (kelmarin) turut disertai pegawai-pegawai daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), guru-guru, ibu bapa serta pelajar SMKSS,” katanya ketika ditemu bual pemberita. Tambahnya, hasil kutipan sampah dijalankan oleh pihaknya mendapati terdapat bahan buangan kategori berbahaya dijumpai seperti picagari, serpihan kaca, besi, dawai dan paku. Sementara itu, wakil daripada KBS, Nurul Afifa Sofina Azmi menjelaskan, pihaknya berharap golongan belia lebih melibatkan diri dalam usaha-usaha murni seperti dijalankan NGO tersebut. “Kita turut menggalakkan golongan belia agar menyertai NGO-NGO dan kelab-kelab yang menjurus kepada penjagaan alam sekitar seperti geng plastik ija dan kelab rakan muda,” katanya.  
12 Jun 22
489
Kutip 256 Kilogram Sampah Di Pantai Benting Lintang
Kutip 256 Kilogram Sampah Di Pantai Benting Lintang
BESUT, 10 Jun - Geng Plastik Ija (GPI) Besut mengutip 256 kilogram sampah dalam aktiviti gotong-royong di Pantai Benting Lintang, Besut, pagi tadi. Afifah Ab Aziz, 40, yang bertindak sebagai penyelaras program ini berkata, seramai 45 orang sukarelawan hadir dalam aktiviti 'plogging' tersebut yang bermula jam 8 pagi. "GPI Besut menyasarkan aktiviti 'plogging' khusus di pantai-pantai dalam daerah Besut. "Dalam perancangan 2022 ini, kami akan bergerak ke tempat-tempat pelancongan lain seperti air, terjun, tasik, lata dan lain-lain", tambahnya lagi. Katanya, GPI Besut juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak seperti JPKK, sekolah, universiti, persatuan atau kelab komuniti untuk penganjuran program kutipan sampah. "Selain tempat perlancongan, lokasi seperti balai raya, kubur, taman permainan dan taman perumahan turut kami lakukan aktiviti ini. "Alhamdulillah, program hari ini mendapat sokongan daripada komuniti setempat, JPKK Benting Lintang, Belia Wawasan Seri Pantai (BWSP), Klinik Perdana Kota Putera, komuniti AAJB (Anak-Anak Jerteh Besut), Majlis Daerah Besut selain daripada ahli berdaftar GPI. "Ini adalah inisiatif kami sendiri untuk menjaga alam sekitar, dan kami berharap semoga inisiatif ini mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat. Yang berminat untuk menyertai GPI Besut boleh mendapatkan maklumat pendaftaran keahlian melalui Penyelaras Daerah di Facebook Page 'Geng Plastik Ija' , juga untuk mendapatkan maklumat aktiviti seterusnya," katanya.
10 Jun 22
488
Jambatan Runtuh Belukar Bukit Siap Digunakan
Jambatan Runtuh Belukar Bukit Siap Digunakan
HULU TERENGGANU, 10 Jun - Pembinaan semula sebahagian jambatan menghubungkan Kampung Belukar Bukit dan Kampung Betong, Ajil yang runtuh akibat bencana banjir pada Februari lalu siap dan boleh digunakan hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, projek bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsesi dapat menyelesaikan ‘embankment’ jambatan sepanjang kira-kira 30 meter. “Satu keputusan telah dibincangkan pagi ini bersama JKR dan JPS antaranya ‘embankment’ kosnya dianggarkan RM500,000 dibahagian hulu jambatan ini. Pihak JKR juga akan membina lapisan struktur kawalan hakisan Flex-slab atau batu (Armour rock) di sekitar jambatan dengan peruntukan yang sedia ada untuk jangka panjang. “Pihak JPS juga memohon peruntukan sebanyak RM7 juta untuk jangka panjang bagi memastikan tidak berlaku lagi hakisan,” katanya. Menurut Dr Mamad, kita mengharapkan peruntukan ini dapat diberikan segera untuk menjaga sungai dari terhakis dan jambatan ini tidak berlaku seperti sedia ada. “Mudah-mudahan kita dapat menyediakan kemudahan tersebut dengan segera,” katanya. Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan di jambatan Belukar Bukit, Ajil semalam. Turut hadir, Mohammad Redzuan Mohammad Mahir,Jurutera Jalan JKR Hulu Terengganu, Pegawai-Pegawai JPS Hulu Terengganu, dan Pegawai Teknikal JKR Hulu Terengganu. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, isu jambatan Kampung Belukar Bukit diberi perhatian serius kerajaan negeri. "Dengan siapnya pembaikian jambatan itu akan memberikan kelegaan kepada penduduk terutamanya pelajar-pelajar sekolah. “Kejadian bencana banjir Februari lalu memusnahkan sebahagian jambatan ini dan memberikan kesan besar kepada kegiatan harian penduduk yang terpaksa menggunakan laluan yang jauh sedikit untuk ke Kampung Betong,” jelas beliau.   
09 Jun 22
708
Menteri Besar Tunaikan Hasrat Ibu Tunggal Miliki Kediaman Sendiri
Menteri Besar Tunaikan Hasrat Ibu Tunggal Miliki Kediaman Sendiri
MARANG, 9 Jun - Tiada kata mampu diungkapkan oleh seorang ibu tunggal selain menzahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menunaikan hajatnya untuk memilki kediamannya sendiri. Pemberian rumah terbabit menamatkan penantian Ramlah Ma'at, 54, beserta tujuh anaknya yang selama ini menyewa dan tinggal di rumah yang kecil dan usang. Kata Ramlah, dia turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan dan bantuan 'one-off' daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM 2,500 setahun. "Daripada duit ini saya menyara kami sekeluarga setelah kehilangan arwah suami pada tahun 2012, saya pada awalnya mengambil upah mengurut namun tidak dapat meneruskannya kerana terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan saya mengalami sakit saraf," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah di Kelulut semalam. Menurutnya, selama ini dia hanya menyimpan hasrat untuk menduduki rumah sendiri ketika membuat permohonan bagi mendapatkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) melalui MB yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang. "Akhirnya impian saya tertunai pada tahun ini. "Lebih membuatkan saya sekeluarga teruja ia diserahkan sendiri oleh MB, detik ini sangat bersejarah bagi kami sekeluarga dapat memiliki rumah yang lebih baik daripada sebelum ini. "Malah kami tidak lagi perlu menyewa sebagaimana sebelum ini, dan tidak perlu lagi berpindah banyak kali, cuma apabila terkenang arwah suami terdetik perasaan sedih, kerana memiliki rumah sendiri merupakan hajat kami bersama suatu ketika dahulu,"ujarnya. Ramlah menerima rumah bernilai RM65,000 yang berkeluasan 600 meter kaki persegi serta mempunyai tiga bilik itu.  
09 Jun 22
352
Noor Arfa Batik Sasar 300 Ribu ‘Reseller’ Menjelang 2025
Noor Arfa Batik Sasar 300 Ribu ‘Reseller’ Menjelang 2025
KUALA TERENGGANU, 8 Jun – Noor Arfa Holding Sdn. Bhd. mensasarkan seramai 300,000 orang pengedar rasmi produk berasaskan batik itu menjelang tahun 2025. Menurut Pengarah Noor Arfa, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin setakat ini Noor Arfa mempunyai seramai lebih 4,000 orang pengedar dan menjangkakan akan mencapai 10,000 hingga 15,000 orang pada akhir tahun ini.  “Orang ramai yang ingin menyertai kami boleh mengisi borang di laman sesawang kami dan kami akan memilih mereka yang betul-betul komited untuk berniaga. Barisan penerima anugerah Noor Arfa Stylist “Kita berniat untuk membantu mereka yang berminat untuk menjana pendapatan di samping sama-sama memartabatkan industri batik ini,” kata Wan Mohd Hafiz ketika ditemui pemberita dalam Majlis Anugerah Noor Arfa Stylist yang diadakan di Hotel Permai.  Turut hadir dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. Mengulas berkenaan program tersebut, beliau berkata program tersebut merupakan julung kalinya diadakan bagi meraikan kejayaan para pengedar rasmi Noor Arfa atas jualan yang dilakukan sepanjang tahun 2021 yang lalu. Majlis tersebut juga diisi dengan perkongsian berkenaan sejarah penubuhan syarikat tersebut oleh Pengasas Noor Arfa iaitu Wan Mohd Ariffin Wan Long dan pasangannya, Noor Hijerah Hanafiah. Penerima anugerah utama Master Leader Achiever 2021  
08 Jun 22
815
454 Individu Mendapat Pekerjaan Di Program JAKM
454 Individu Mendapat Pekerjaan Di Program JAKM
KUALA NERUS, 5 Jun- Seramai 454 orang daripada 2,771 rakyat negeri ini yang berjaya ditemuduga mendapat pekerjaan di 89 syarikat berdaftar melalui Program Jamin Kerja sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan. Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahmam berkata, dalam tempoh tiga hari program tersebut diadakan seramai 3,245 orang telah mendaftar untuk ditemuduga. "Ini merupakan satu rekod pencapaian yang sangat baik dicatatkan dalam negara di mana menerusi karnival dianjurkan ini ramai yang berjaya mendapatkan pekerjaan masing-masing. "Ada antara mereka yang hadir baru sahaja diberhentikan kerja dan terus datang ke program ini untuk merebut peluang, jadi saya rasa ini satu mekanisme yang sangat baik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada program JAKM , di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, semalam. Menurutnya, bagi mereka yang masih belum berjaya dinasihatkan agar tidak berputus asa serta sentiasa mendapatkan maklumat semasa di 38 Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) kerana peluang pekerjaan sentiasa dikemaskini. "Sejak kita hebahkan mengenai Pembangunan Sumber Manausia Terengganu (THRDC) bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) ramai syarikat yang menghubungi kita untuk turut berdaftar bagi membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. "Jadi ia bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka yang mencari pekerjaan tetapi untuk majikan yang memerlukan tambahan pekerja,"ujarnya lagi. Dalam pada itu, Ketua Eksekutif PERKESO, Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Dato' Aziz Mohammed berkata, pihaknya sangat menghargai atas kerjasama baik yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri. "Maklumat baik ini telah disalurkan kepada akar umbi untuk memastikan ramai rakyat mengetahui program ini yang merupakan kerjasama diantara Kementerian Sumber Mansusia dan kerajaan negeri. "Pada peralihan fasa pandemik ini makin banyak peluang pekerjaan yang telah didaftarkan melalui portal 'my future job' jadi orang ramai perlu mendaftar dan melihat sendiri akan bidang kerja yang ditawarkan," ujarnya. Salah seorang yang berjaya mendapat kerja, Abdullah Syukri Hassan,22, berkata, dia sangat bersyukur kerana terus mendapat pekerjaan dalam bidang elektrik melalui syarikat Perkem Serumpun (M) Sdn, BHD. "Saya  bersedia untuk pergi ke Subang Selangor, di tempat saya akan memulakan kerja saya setelah tamat pengajian dalam bidang Diploma Komputer di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum Ramadan baru-baru ini. "Keluarga saya turut bersama datang ke program ini serta berkongsi kegembiraan ini, tidak sangka dalam masa tidak sampai satu jam proses ditemuduga saya telah berjaya mendapatkan kerja ini," ujarnya.
05 Jun 22
593
Mursyied Mahu SImpan Duit Bantuan, Berhasrat Jadi Ulama
Mursyied Mahu SImpan Duit Bantuan, Berhasrat Jadi Ulama
KUALA NERUS, 6 Jun- Penerima 'one-off' Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Muhammad Mursyied Islamie Mayuddin, 13, mahu menyimpan bantuan yang diterimanya bagi tujuan pembelajaran demi mencapai cita-cita untuk menjadi seorang ulama. Katanya, duit RM2,500 itu akan dimanfaatkan bagi memenuhi dan mengikuti jejak keluarganya. "Selama ini saya telah mendapat biasiswa sebanyak RM70 sebulan di sekolah, apa yang diterima ini untuk mencapai cita-cita saya ini untuk mengikuti jejak langkah Allahyarham ayah saya yang juga merupakan seorang guru agama,"ujarnya. Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Terengganu, di Komplkes Sukan Gong Badak di sini baru-baru ini. Anak bongsu daripada 10 beradik itu berkata, pemberian berkenaan sangat membantu meringankan bebanan keluarga dalam menguruskan persekolahannya sejak kehilangan bapa akibat Covid-19. "Selain saya, seorang lagi yang masih bersekolah ialah Muhammad Muqtasied Mayuddin, 16, yang mana setelah bapa pergi yang mengambil alih tugas dan tanggungjawab ayah ialah abang saya Muhammad Mujadidul Islam, 28, yang merupakan seorang pendakwah bebas,"ujarnya yang merupakan antara 10 penerima sumbanga daripada Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob. Antara yang turut menerima sumbangan tersebut ialah seorang bayi berusia dua tahun, Aisyah Amani Harun yang menerima sumbangan sebanyak RM 2,000. Menurut ibu kepada bayi berkenaan, Noraziah Adam, 36, bantuan itu akan dimanfaatkan untuk menyara kehidupan mereka tiga beranak selepas kematian suami pada November tahun lalu akibat Covid-19.
05 Jun 22
97
Perkhidmatan Bas Percuma Ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia
Perkhidmatan Bas Percuma Ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Bagi memudahkan rakyat Terengganu berkunjung ke karnival Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM)di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus, pada 2 hingga 4 Jun ini, kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan bas percuma 'ambil dan hantar' di lima lokasi, bermula esok. Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam kenyataan berkata, sebanyak 16 buah bas akan disediakan untuk mengambil dan menghantar orang ramai di Masjid Sultan Muhammad di Bukit Besar untuk komuniti di sekitar Bukit Besar, Pasir Panjang, Sungai Derhaka, Bukit Bayas dan Panji Alam. Selain itu, lokasi lain ialah di Masjid Kampung Tasik di Wakaf Dua untuk komuniti di sekitar Kampung Tasek, Bukit Payung dan Pulau Besar; Pasar Manir (sekitar Manir); Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuroh (sekitar Gemuroh dan Tepoh) dan Masjid Batu Rakit (sekitar Batu Rakit). Pergerakan bas akan bermula pada 8.30 pagi hingga 6.30 petang dengan trip di setiap lokasi ambil dan hantar dianggarkan setiap satu jam sekali bagi kemudahan orang ramai. Pelbagai program menarik akan berlangsung pada Jelajah AKM kali ini antaranya kaunter kementerian dan agensi, karnival kerjaya, Jualan Keluarga Malaysia, Jualan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sukan rakyat, e-sukan dan persembahan kebudayaan negeri.  Pada penganjuran kali ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dipilih sebagai kementerian peneraju bagi pengisian program dengan fokus utama 'Keluarga Malaysia Keluarga Berilmu'.
01 Jun 22
1112