Artikel "Komuniti" Terkini
Tanggungjawab Anak Pastikan Ibu bapa Solat
DUNGUN, 21 Jun - Anak-anak yang menjaga ibu atau bapa sakit dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap solat lima waktu kedua-dua orang tua terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata dalam keadaan yang lemah, ibu atau mereka yang sakit kadang kala tidak perasan waktu solat.
Katanya, oleh kerana itu orang di sekitar perlu mengingatkannya akan kewajipan tersebut.
"Sembahyang perlu dititiberatkan, walaupun mak ayah sakit, bukan bermakna tak payah sembahyang, sekarang ini banyak kemudahan," ujarnya.
Nasihat itu beliau sampaikan ketika menghantar katil wakaf boleh laras untuk kegunaan warga emas, Fatimah Majid, 54 yang menghidap kencing manis kronik di Kampung Paya, Balai Besar di sini baru-baru ini.
Jelas Alias, katil wakaf tersebut dibekalkan oleh Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Rantau Abang.
"Katil tersebut akan digunakan oleh pesakit lain pula, kepada yang berhajat untuk menggunakannya boleh berjumpa dengan JPKK setempat, insya-Allah JPKK akan panjangkan kepada pejabat PKM untuk mendapatkannya jika ada bekalan," katanya lagi.
19 Jun 22
501
1,300 Peserta Meriahkan 'Family Fun Ride'
KUALA TERENGGANU, 18 Jun- Seramai 1,300 peserta melibatkan belia, beliawanis dan keluarga menyertai program 'Family Fun Ride' pagi ini.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyempurnakan majlis pelepasan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Program yang dianjurkan Urus Setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu melibatkan jarak sepanjang 35 kilometer dan menjadikan Muzium Negeri Terengganu sebagai perhentian pertama sebelum kembali semula ke Dataran Awam Batu Burok.
Dalam program itu pihak urus setia turut menyediakan empat buah basikal, dua buah motorsikal 'Honda Beat' kepada peserta bertuah juga pelbagai hadiah lain seperti barangan elektrik dan hamper.
18 Jun 22
600
'Larangan Jual Telur Penyu Tepat Pada Masa'
KEMAMAN, 17 Jun - Langkah kerajaan negeri mengharamkan penjualan telur penyu di Terengganu dianggap tepat pada masanya kerana reptilia itu semakin diancam kepupusan.
Pelajar fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nabilah Abdul Rahim berkata, rata-rata generasi muda pada hari ini tidak tergamak untuk memakan telur penyu kerana bimbang generasi akan datang tidak kenal binatang terbabit.
"Sewajarnya langkah ini disokong oleh semua pihak. Saya rasa pengharaman jualan telur ini tidak akan mendatangkan kerugian sebaliknya kita akan lebih menghargai usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri ini kerana berjaya melindungi haiwan ini daripada mengalami kepupusan.
"Kebanyakkan pelancong yang datang ke negeri ini pun setuju dengan langkah ini kerana mereka datang ke sini untuk melihat penyu ini dan tengok bagaimana ia bertelur," ujarnya yang juga peserta Terengganu Turtle Camp 2022.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program Terengganu Turtle Camp 2022, di Ma'Daerah Santuari Penyu, di sini, pada semalam.
Sementara itu seorang lagi peserta kem berkenaan, Ahmad Arif Aiman Ghazali, 20, berkata kempen yang dijalankan oleh kerajaan negeri sangat wajar dilaksanakan dalam menjaga haiwan ikonik Terengganu itu.
"Ini suatu inisiatif yang baik terhadap membina kesedaran dalam kalangan kami generasi muda ini untuk turut sama berjuang memulihara penyu.
Sementara itu, Pegawai Konservasi Marin Tabung Alam Sedunia (WWF), Nor Azariyah Mohtar, berharap tiada pihak yang menjual telur berkenaan di pasaran gelap.
"Selama ini kita telah berkerja keras dalam memastikan haiwan ini dilindungi dengan sebaiknya-baiknya, kita menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dalam melindungi telur penyu.
"Dengan adanya enakmen mengharamkan penjualan telur penyu ini kita dapat mendidik rakyat agar jangan makan telur penyu dan membelinya secara haram," ujarnya.
17 Jun 22
501
'Terengganu Turtle Camp 2022' Didik Pelajar Kepentingan Ekosistem
KEMAMAN, 17 Jun- Program 'Turtle Camp 2022' mampu memupuk kesedaran kalangan pelajar tentang kepentingan menjaga ekosistem marin yang akan memberi manfaat kepada seluruh kehidupan.
Ketua Pegawai Eksekutif WWF, Sophia Lim berkata, di Terengganu acara terbabit melibatkan seramai 30 mahasiswa membabitkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti TATI, Institut Latihan Pendidikan (RANACO) dan Universiti Zainal Abidin (UniSZA).
"Ia telah diadakan sejak tahun 2015 untuk mendidik para pelajar ini bahawa penyu bukan sahaja merupakan warisan semula jadi dan ikon negeri Terengganu tetapi juga mempunyai peranan penting dalam ekosistem marin.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara penutup program berkenaan.
Kem itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar neger, Dr Azman Ibrahim, di Santuari Penyu Ma'daerah sini, pada semalam
Ujar Sophia, pewartaan pantai Ma'daerah sepanjang 1.7 kilometer dan tanah pamah bersebelahan sebagai santuari penyu adalah penting.
"Keunikan yang ada di sini seharusnya dipelihara dan dilindungi, dan kepelbagaian biodiversitinya dihayati melalui program-program strategik seperti 'Terengganu Turtle Camp' ini," katanya.
Dalam pada itu WWF turut mengiktiraf Geng Plastik Ija (GPI) sebagai pejuang baru komuniti di Terengganu dalam kempen mengutamakan kebersihan pantai.
17 Jun 22
661
Keunikan Replika Bot Dengan Alat Kawalan Jauh
KUALA TERENGGANU, 16 Jun- Pemuda ini tidak mempelajari kaedah khusus untuk membuat bot, sebaliknya memperoleh kepakaran melalui pemerhatian bagi menghasilkan pengangkutan air itu dalam saiz mini.
Apa yang menarik, replika bot nelayan yang dibuat Mohd Asrol Gulam Mohd, 36, mempunyai alat kawalan jauh yang mampu berfungsi di dalam air seperti bot nelayan sebenar.
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Surau Panjang di sini, Mohd Asrol berkata, dibesarkan sebagai anak nelayan membuatkan dirinya sudah sebati dengan bot-bot nelayan.
“Sebab minat tengok model bot nelayan yang digunakan untuk menangkap ikan dan selalu tengok abang-abang buat bot masa kecil, saya pun ikut sama buat secara suka-suka dan tidak sangka ianya berhasil,” ujarnya yang serius membuat replika bot nelayan sejak berusia belasan tahun lagi.
Katanya, bot nelayan itu dibuat sebagai replika untuk hiasan pada awalnya sebelum mendapat idea untuk menjadikan ia bot nelayan kawalan jauh.
"Pembuatan bot ini memerlukan penelitian yang tinggi kerana kita mahu memastikan ia dapat terapung di permukaan air dan bergerak dengan baik tanpa sebarang masalah.
"Kos membuat bot nelayan kawalan jauh ini pula tidak terlalu besar, tetapi memandangkan ia sukar dibuat selain dilengkapi enjin dan alat kawalan jauh, ia dijual pada harga RM3,500," katanya yang bekerja sebagai mekanik.
Mohd Asrul mengakui, pembuatan bot nelayan kawalan jauh itu mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan kerana ia rumit dan perlu dibuat dengan penuh ketelitian.
“Nak buat bot nie perlu sabar, tenang, biasanya kalau tumpu betul-betul dalam sebulan dapat siapkan sebiji bot,” ujar bapa kepada tiga anak itu yang ‘menghadiahkan’ sebuah bot buat permata hati setiap kali kelahiran anaknya.
16 Jun 22
1303
Pembentung, Jambatan Atasi Banjir Bakal Dibina Di Teluk Kalong September Ini
Foto oleh : Ahmad Ezani Razali
KEMAMAN, 16 Jun - Pembentung dan jambatan baharu bakal dibina di Telok Kalong September ini bagi mengatasi masalah banjir yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, projek bernilai RM12 juta yang melibatkan pembinaan pembentung dan jambatan itu dibiayai menerusi peruntukan kerajaan Pusat.
“Kita jangka projek ini dapat mengurangkan kesan banjir di kawasan sekitar Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong kerana saliran sedia ada tidak mampu lagi menampung jika berlaku hujan lebat.
“Tender projek akan dikeluarkan bulan depan disusuli kerja-kerja pembinaan pada September dan siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh bulan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah dan Ladang Kelapa Sawit di Bandar Baru Cheneh, di sini, kelmarin.
Pada majlis tersebut, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyempurnakan penyerahan geran hak milik tanah kepada kepada 543 peneroka FELDA Neram 2 Peringkat 1, 2 & 3, Mukim Bandi dan Hulu Jabor di daerah Kemaman setelah tertangguh selama lebih 30 tahun.
15 Jun 22
1138
ADUN Segera Bantu Mangsa Kebakaran
DUNGUN, 15 Jun- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun turun padang menziarahi mangsa kebakaran rumah dalam kejadian di Kampung Baru, disini, kelmarin.
Dalam lawatannya, Alias turut menyampaikan sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut meminta pihak berkaitan untuk menyegerakan sumbangan bencana kepada keluarga itu.
“Kita akan segera membaik pulih bahagian rumah yang musnah.
"Saya juga telah menghubungi agensi-agensi terlibat untuk membantu," ujarnya kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga mangsa.
Sementara itu, mangsa kebakaran Jaafar Muhammad, 67, berkata kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu hanya disedari isterinya, Zuraini Ismail, 58 yang terhidu bau hangit.
"Masa tu saya berada di dapur, jadi sayapun keluar dapur, nampak api dalam bilik yang berpunca dari papan suis, anak perempuan saya hanya sempat mengambil barang-barang penting," katanya.
Jaafar yang menghidap penyakit buah pinggang bagaimanapun bersyukur mereka empat sekeluarga terselamat dalam bencana tersebut.
"Saya sepatutnya ada temu janji untuk 'cuci buah pinggang' hari ni (kelmarin), tapi nok buah macamana," katanya yang masih terkejut dengan apa yang berlaku.
14 Jun 22
124
Tanah Felda Selasih : Usaha Diplomasi Kerajaan Buahkan Hasil
SETIU, 14 Jun – Penyelesaian isu Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi generasi ke-2 Felda Selasih mempamerkan kredibiliti dan kesungguhan pemimpin negeri terhadap rakyat Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rundingan yang dilakukan bersama kerajaan persekutuan berjaya mengeluarkan tanah tersebut daripada Akta Tanah (Kawasan Penempatan Tanah) 1960 (Akta GSA).
“Walaupun perjanjian ini (Akta GSA) antara Felda dengan kerajaan negeri, sebenarnya ia memberikan kuasa yang besar kepada Felda untuk mempertahan tanah mereka.
“Kita lalui halangan dengan pihak Felda yang secara asasnya tidak meluluskan pemberian tanah ni dengan alasan mereka mempunyai perancangan dan sebagainya, tapi kita berhujah dengan hujah kita,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman selepas merasmikan Majlis Undian Lot RTB Felda Selasih Generasi Ke-2 di Perkarangan Tapak RTB Felda Selasih di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, kejayaan mengeluarkan tanah tersebut menjadi titik permulaan bagi proses RTB seterusnya yang melibatkan tanah Felda.
“Apabila sudah berjaya di peringkat pertama, laluan untuk ke peringkat seterusnya insya-Allah tidak begitu sukar.
“Dulu usaha hanya selesai di atas meja Menteri yang jaga Felda , Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Menteri Di Jabatan Perdana Meeteri), namun proses seterusnya perlu sampai ke meja Perdana Menteri,” ujarnya.
Azman turut menegaskan bahawa hubungan baik antara kerajaan negeri serta persekutuan turut menjadi faktor kelulusan tanah RTB berkenaan.
Terdahulu kerajaan negeri berjaya berunding bagi pengagihan lot RTB kepada 124 anak peneroka Felda Selasih, Jabi dan berjaya memberikan hakmilik geran kepada 543 peneroka Felda Neram 2, Air Putih setelah puluhan tahun penantian memiliki geran.
14 Jun 22
387
Kajian Polisi Awam Mampu Tingkat Inovasi Pentadbiran
KUALA TERENGGANu, 15 Jun- Kajian polisi awam yang dijalankan oleh institusi-institusi penyelidikan berupaya meningkatkan inovasi pemikiran dan kecekapan penyampaian di peringkat pentadbiran kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik serta selaras dengan kehendak rakyat di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (YDP) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, barisan pentadbir di Terengganu perlu sentiasa peka dan bersedia dengan perubahan yang begitu cepat yang berlaku pada dunia hari ini.
"Kita perlu lebih mesra dengan kajian-kajian atau penemuan baharu yang dijalankan, dalam masa yang sama kita juga mesti proaktif menjalinkan hubungan dengan institusi penyelidikan untuk penambahbaikan yang berterusan.
"Pelaksanaan penyelidikan dan inovasi tidak semestinya kerana ingin menerokai sesuatu yang 'totally new frontier' yang memungkinkan kita untuk menulis dalam jurnal 'nature', tetapi apa yang lebih utama ialah ahli akademik perlu menjalankan penyelidikan untuk memperkaya kajian berbentuk 'policy recommendation' yang sesuai dengan keperluan dan data kerajaan negeri.
"Ia penting supaya pelaksanaan polisi itu mampu menjejak ke bumi dan dirasai impaknya oleh rakyat," katanya.
Jelasnya, atas dasar itu, geran-geran penyelidikan dikeluarkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) sebagai penganjur dan pemudah cara bagi kajian-kajian yang akan dibentangkan dalam seminar pada hari ini," katanya.
Yahaya Ali berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan perasmian Seminar Polisi Awam 2022, dianjurkan TSIS bertempat di Duyong Marina & Resort, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Ketua Pegawai TSIS, Dr Wan Mat Sulaiman.
Sebanyak tujuh daripada 13 kertas kajian yang dijalankan para pengkaji merangkumi pelbagai bidang membabitkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dibentangkan dalam seminar berkenaan.
Universiti Sains Islam Malysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Universiti Teknologi Mara (UITM), dan Institus Perguruan Guru (IPG) turut terlibat yang mana kesemua institusi ini telah memperolehi geran kerajaan negeri melalui TSIS dan berjaya menyelesaikan kajian yang diharap akan memberi impak serta manfaat yang besar kepada rakyat apabila ia dipolisikan di peringkat pentadbiran sehingga kepada masyarakat awam di negeri ini.
14 Jun 22
296
Tak Sangka YB PAS Penuhi Impian Peneroka Miliki Tanah
SETIU, 14 Jun - 124 anak peneroka Felda Selasih Mukim Jabi tidak menyangka penantian mereka untuk memiliki tanah yang diusahakan keluarga sejak 15 tahun lalu akhirnya ternoktah semalam, selepas kerajaan negeri di bawah PAS menyelesaikan isu tersebut.
Salah seorang penerima, Mohd Ridzuan Kadir sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah merealisasikan impian mereka.
Katanya, tanah tersebut sudah lama diusahakan keluarga mereka namun urusan pemilikan gagal diselesaikan pihak terdahulu.
"Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada pimpinan kerajaan hari ini atas usaha untuk memastikan kami mendapat geran hak milik tanah.
"Peristiwa hari ini sangat bersejarah, kami tidak menyangka penantian selama 15 tahun berakhir juga," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Undian Lot RTB felda terbabit semalam.
Sementara itu, Wan Yahya bin Salleh, 75, yang merupakan peneroka generasi pertama mengakui pemberian itu cukup bermakna.
Dia yang mewakili anaknya berkata, kesabaran selama berpuluh tahun ternyata berbaloi apabila kerajaan Terengganu mengotakan janji mereka.
“Penantian saya selama 38 tahun ini membuahkan hasil kerana pintu untuk dapat hak milik tanah yang selama ini ditunggu-tunggu berakhir.
“Proses untuk mendapatkan tanah ini agak sukar, namun ketua kampung dan pihak yang terlibat bekerja keras memudahkan urusan terutamanya kerajaan negeri sekarang,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kelulusan RTB Felda Selasih merupakan satu kejayaan bagi keluarga peneroka setelah penantian puluhan tahun.
“Hari ini menjadi satu catatan sejarah buat warga Felda Selasih dalam usaha kita menyelesaikan isu tapak rumah bagi generasi kedua Felda setelah melalui satu proses yang agak sukar dengan Akta GSA (Kawasan Penempatan Tanah) sehingga mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri.
“Selepas daripada proses undi lot ini, kita akan agihkan Jadual 5A dalam masa dua minggu insya-Allah sebelum pemilik boleh membuat bayaran premium tanah,” katanya.
14 Jun 22
1068