lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

125 Sertai Kursus Penyembelihan Patuh Syarak
125 Sertai Kursus Penyembelihan Patuh Syarak
KEMAMAN, 4 Julai- Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal telah menganjurkan Kursus Penyembelihan Patuh Syarak, baru-baru ini. Program yang diadakan di Masjid Meraga Beris itu bertujuan memberi pendedahan ilmu berkaitan kaedah sembelihan yang betul mengikut hukum syarak. Seramai 125 peserta menyertai program tersebut yang memberi ruang dan peluang kepada mereka memahami dengan lebih jelas berkaitan ilmu sembelihan. Program julung kali diadakan itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh. "Syabas dan tahniah diucapkan kepada DUAT Kijal dan semua yang terlibat termasuk Pejabat Perkhidmatan Veterinar Kemaman, Pejabat Agama Kemaman, Masjid Meraga Beris dan JPKK Meraga Beris. "InsyaAllah, di masa akan datang kita cadangkan agar diadakan kursus merebah dan melapahkan lembu pula," katanya. Sementara itu, Pegawai DUAT DUN Kijal, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar berkata, daripada jumlah peserta yang mengambil bahagian, dua darinya adalah wanita. "Di samping teori, kita juga menyediakan sebanyak 54 ekor ayam dan dua ekor kambing bagi melengkapkan program ini yang turut membabitkan slot praktikal di lapangan.  "Terima kasih dengan sokongan daripada kesemua agensi kerajaan yang terlibat," katanya.     
03 Jul 22
1209
Nelayan Tarik Nafas Lega Selepas 27 Tahun
Nelayan Tarik Nafas Lega Selepas 27 Tahun
DUNGUN, 29 Jun - Seorang nelayan yang hidup dalam kebimbangan selama hampir 30 tahun, dengan kemungkinan rumah yang didiaminya bersama keluarga akan dirobohkan pada bila - bila masa, akhirnya  mampu menarik nafas lega setelah menerima Borang 5A. Ab Rashid Jusoh, 50  yang tinggal Kampung Paya, Balai Besar membina rumah di kampung berkenaan secara berdikit - dikit sambil mengemukakan permohonan tanah kepada pihak berwajib.  "Saya mula membina rumah sewaktu anak sulung saya berumur tiga tahun sehinggalah umurnya sekarang 30 tahun.  Ketika itu, saya tidak mampu hendak menyewa dan menggunakan duit yang ada untuk membina rumah tersebut sedikit demi sedikit walaupun dilanda kebimbangan sekiranya rumah tersebut dirobohkan pihak berkuasa. "Saya sangat bersyukur kerana dengan umur saya ini, sebelum saya menutup mata akhirnya hasrat saya untuk menyediakan tempat berteduh yang terjamin untuk keluarga saya tercapai," ceritanya.  Ab Rashid ditemui selepas menerima Borang 5A Tapak Rancangan Tanah Berkelompok(RTB) Tapak Rumah Kampung Paya di Majlis Penyerahan Borang 5A Bagi RTB Tapak Rumah Kampung Paya dan Geran Tanah RTB Dalam DUN Rantau Abang di Dewan Majlis Perbandaran Dungun baru-baru ini.  Pada majlis tersebut, seramai 145 orang telah menerima Borang 5A Tapak RTB Tapak Rumah Kampung Paya , manakala  73 orang penerima geran tanah RTB di pelbagai tempat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.  Majlis tersebut telah dirasmikan oleh ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan turut dihadiri oleh ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shafawi Abdul Rani dan Pegawai Daerah Dungun, Yusman Ibrahim.  Salleh Mohamad  Manakala, Salleh Mohamad, 38 yang juga tinggal di kampung yang sama turut meluahkan rasa syukur kerana penantiannya sejak sekian lama hampir tamat dengan penerimaan Borang 5A.  "Saya telah menghabiskan banyak wang untuk membina rumah ini walaupun tidaklah semewah orang lain tetapi cukup bermakna untuk saya yang bekerja sebagai buruh kasar. Sekiranya dirobohkan, ia memberi kesan yang sangat besar kepada saya dan keluarga." ujar ayah kepada empat orang anak itu.  Sementara itu, Alias di dalam ucapannya berterima kasih kepada pihak yang berusaha keras menyelesaikan masalah tanah rakyat tersebut.  " Walaupun masih ramai yang sebenarnya  layak mendapat geran tersebut tapi belum menerimanya saya mohon agar bersabar kerana pihak kami memang ingin menyelesaikan sesegera yang boleh, tetapi berdepan dengan kekangan-kekangan yang tidak dapat dielakkan," 
29 Jun 22
771
DUAT Pergiat Program Asah Bakat Pendakwah
DUAT Pergiat Program Asah Bakat Pendakwah
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Kerajaan Negeri menerusi Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) membuat pembaharuan dalam menggilap kemahiran pendakwah dengan menganjurkan Kursus Pembangunan Daie Profesional - Kemahiran Komunikasi Dakwah Efektif selama dua hari satu malam, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah berkata, kursus itu diadakan bagi menambahbaik kualiti para daie dan asatizah sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan seiring dengan peredaran semasa yang penuh cabaran. “Saya optimis Kursus Pembangunan Daie Profesional dapat mempertingkatkan nilai dan kualiti dalam penyampaian dakwah Islamiyyah agar terus membangun secara lebih mampan, barakah dan inklusif ke arah menyebarluaskan kefahaman Islam yang tulen dalam masyarakat negeri Darul Iman.  “Tidak dilupakan, tugas daie bukan sahaja di lapangan, malah jua di alam maya. Kalian mesti proaktif dalam memberi komen-komen kebaikan berunsurkan dakwah di mana-mana platform media sosial bagi menangkis kemungkaran yang berleluasa,” beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian kursus tersebut yang diadakan di Hotel Grand Continental.  Turut hadir, Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu - DUAT, Muhammad Ramlan Hj Mahmood. Tambah beliau, Kursus Pembangunan Daie kali ini yang memasuki siri ke-2 adalah kesinambungan di mana siri sebelum ini ialah Bengkel Pembangunan Kreatif Daie Celik IT seiring dengan belanjawan Terengganu 2022 juga memberi penekanan berkenaan pengembangan dakwah di negeri ini.   Seramai 200 para daie yang terdiri daripada pelabagai latar belakang.     
28 Jun 22
395
Aktifkan Alumni Sekolah
Aktifkan Alumni Sekolah
DUNGUN, 26 Jun- Pihak sekolah termasuk di peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) disaran mengaktifkan alumni masing-masing untuk memperkasa sekolah melalui sumbangan bekas pelajar terutamanya yang terdiri daripada golongan profesional. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata,  penglibatan lepasan pelajar sangat penting supaya kepakaran dan kemahiran mereka dapat dimanfaatkan oleh sekolah serta masyarakat setempat. "Kejayaan yang mereka capai adalah hasil daripada tunjuk ajar guru-guru sejak di bangku sekolah rendah. "Saya yakin bahawa sudah ramai alumni yang berjaya menjadi insan berguna pada masyarakat di luar sana, lahirnya mereka juga hasil didikan guru-guru. "Buktinya hari ini ramai bekas murid yang turut serta dalam Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ini diharapkan lebih ramai lagi dapat melibatkan diri," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Sekolah Kebangsaan Padang Pulut di sini, semalam. Hadir sama dalam majlis tersebut, Guru Besar sekolah, Che Rozali Che Mat dan Pengerusi PIBG, Mohd Yusni Yusof.  Pada masa yang sama, beliau turut menasihati para ibu bapa supaya mengambil berat pengajian Al-Quran anak-anak mereka. "Jangan ada antara anak-anak yang buta Al-Quran kerana biasanya anak-anak yang mahir membaca Al-Quran tidak ketinggalan dalam pelajaran," ujarnya. 
26 Jun 22
345
87 Usahawan Terima Pinjaman Pembiayaan Modal
87 Usahawan Terima Pinjaman Pembiayaan Modal
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Seramai 87 orang usahawan telah menerima pinjaman Pembiayaan Modal Program Jaya Diri yang berjumlah RM795 ribu daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT). Para usahawan tersebut juga akan diberikan kursus sepanjang tempoh pinjaman pembiayaan tersebut bagi meningkatkan kemahiran serta memajukan perniagaan mereka.  Menurut Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, pinjaman pembiayaan tersebut akan sentiasa berjalan dan terbuka kepada semua yang berkelayakan untuk memohon.  “Yayasan Pembangunan Keluarga telah menganjurkan pelbagai program di seluruh Negeri Terengganu bagi membangunkan kehidupan keluarga dan rakyat dengan lebih baik. “Kita sebenarnya telah mengatasi beberapa masalah kekeluargaan di Negeri Terengganu seperti masalah kemiskinan, pendidikan kanak-kanak, kesihatan dan hubungan kekeluargaan,” kata Wan Mohd Zaki dalam ucapannya.  Ucapan perasmian oleh ADUN Batu Buruk Majlis yang diadakan di Kompleks Ibu Tunggal, Chendering itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.  Menurut Ustaz Muhammad Khalil, Islam melihat institusi kekeluargaan adalah satu institusi sangat penting kerana ia merupakan punca kepada pembinaan masyarakat sejagat. “Justeru, kerajaan Negeri Terengganu telah telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif bagi membantu rakyat membina keluarga yang sejahtera,” kata beliau.  Beliau turut berharap agar inisiatif pinjaman pembiayaan ini dapat membantu meningkatkan lagi daya usaha dan kemampuan yang ada pada para usahawan tersebut.   
23 Jun 22
220
ADUN Chukai Serah Sumbangan Kepada Pelajar Cemerlang SPM
ADUN Chukai Serah Sumbangan Kepada Pelajar Cemerlang SPM
KEMAMAN, 23 Jun – Pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di daerah ini, Alya Sofea Shukor, 18, yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi menerima sumbangan sebanyak RM2,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai. ADUN Chukai, Hanafiah Mat menyampaikan sumbangan berkenaan kepada bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai itu ketika berkunjung ke rumah pelajar terbabit di Kampung Geliga Besar, baru-baru ini. "Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan tahniah kepada adik Alya yang telah mendapat keputusan SPM yang cemerlang ini. Saya mendoakan agar dia akan berjaya dalam apa jua bidang yang akan diceburinya nanti. “Semoga kejayaannya ini menjadi pemangkin semangat untuk pelajar lain berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya pada masa akan datang," ujarnya kepada pemberita. Katanya, diharapkan sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat menampung keperluan pelajar cemerlang terbabit untuk menyambung pelajaran. Sementara itu, Alya Sofea yang mendapat keputusan 9A+ menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan ADUN Chukai itu.  Beliau turut memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas kejayaan keputusan SPM yang diperolehi itu dan turut berkongsi beberapa tips untuk berjaya di dalam peperiksaan. "Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan keputusan ini. Apabila ditanya tips kejayaan, bagi saya yang paling penting kita perlu memberi sepenuh tumpuan ketika guru sedang mengajar di dalam kelas. Selain daripada itu, kita perlu pastikan setiap kerja sekolah yang guru beri disiapkan tepat pada masanya. Dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor turut berkongsi, sebagai seorang pelajar menghormati guru-guru dan rakan di sekolah adalah suatu perbuatan yang mulia.  
23 Jun 22
486
Masalah Air di Marang Bakal Berakhir
Masalah Air di Marang Bakal Berakhir
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Pemasangan saluran paip baharu dari Sungai Rengas ke Tangki Gondang bakal menyelesaikan masalah air di daerah Marang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat , Ariffin Deraman berkata, projek tersebut bakal menyelesaikan masalah air sekitar kawasan Marang termasuk di DUN beliau "Saya amat bersyukur kerana gangguan air yang dihadapi masyarakat setempat bakal pulih dengan projek pemasangan paip baharu ini termasuklah isu tekanan air rendah di DUN Alur Limbat. “Perkara ini mustahil menjadi kenyataan sekiranya tiada kesungguhan dan komitmen yang diusahakan oleh kerajaan negeri," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman. Beliau turut mengingatkan penduduk yang terlibat jajaran Sungai Rengas ke Gondang tentang gangguan bekalan sepanjang pembinaan. “Gangguan seperti bekalan air, debu bertebangan dan trafik bakal berlaku gangguan akibat pemasangan yang berlaku. “Ini adalah makluman awal sebagai persediaan kita menghadapi gangguan tersebut,” ujarnya lagi. Projek di bawah kerajaan ini akan melibatkan pemasangan paip air mentah dan paip air bersih serta ‘retrofitting’ sepanjang 24km dari LRA Kepong 2 ke daerah Marang.
21 Jun 22
358
Jualan Hari Pertama PJKM Cecah RM82,358.30
Jualan Hari Pertama PJKM Cecah RM82,358.30
Oleh : Mohd Fauzi Mat Adam MARANG, 20 Jun - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM)  mendapat sambutan hangat dengan mencatatkan hasil jualan hampir RM82,358.30 pada hari pertama diadakan disini. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Shaharuddin Mohd Kia berkata, jumlah kehadiran direkodkan ke PJKM semalam pula hampir 1,200 pengunjung. "PJKM ini merupakan satu inisiatif kerajaan menerusi KPDNHEP Terengganu dengan kerjasama Pejabat Daerah Marang, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Pejabat Parlimen Marang untuk membantu pengguna atau rakyat yang berhadapan situasi kenaikkan harga barang, " katanya.  Beliau ditemui oleh wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Parlimen Marang di tapak program yang diadakan di kampung Sena Rendang, Bukit Payong di sini, semalam. Menurutnya, perlaksanaan program ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah yang juga Exco kerajaan Negeri telah memberi sedikit insentif untuk menurunkan lagi sedikit harga terutama barang keperluan permintaan tinggi seperti daging dan ayam. "Jualan ini memfokuskan kepada kegunaan isi rumah sahaja dan bukan untuk golongan peniaga. Justeru, pengguna disaran mengambil peluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka dengan potongan harga sehingga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran biasa," katanya lagi
20 Jun 22
122
PSMZA Bina Jam Matahari Pertama
PSMZA Bina Jam Matahari Pertama
DUNGUN, 20 Jun- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah membina Jam Matahari merupakan instrumen untuk mengukur peredaran masa menerusi pergerakan matahari. Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporatnya, PSMZA merupakan politeknik yang pertama membina jam demikian.  "Projek tersebut adalah  Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini.  Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Presiden Royal Institute of Surveyor Malaysia (RISM), Dato' Sr Dr Azhari Mohamed di perkarangan Dewan Serbaguna PSMZA, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail.  Sementara itu Mohd Fikri berkata, program ini  mendapat kerjasama RISM yang telah lama menjalinkan hubungan kolaborasi bersama PSMZA. Katanya, pembuatan jam matahari adalah secara umumnya menggunakan bayang yang menimpa permukaan rata yang ditandakan dengan jam-jam dalam satu hari.  Tambahnya lagi, pada asasnya, jam matahari dapat dibuat menggunakan segala jenis permukaan yang ditimpa bayang yang dapat tentukan kedudukannya.  "Waktu jam matahari adalah sama dengan jam biasa yang kita gunakan seharian. " Kepentingannya untuk mendidik para pelajar dan juga staf untuk memahami kaedah pengiraan waktu seperti yang digunakan dahulu kala, "jelasnya. 
19 Jun 22
480
Klinik Nur Sejahtera Rintis Khidmat Psikososial Lelaki
Klinik Nur Sejahtera Rintis Khidmat Psikososial Lelaki
DUNGUN, 19 Jun - Klinik Nur Sejahtera (KNS) Dungun menjadi klinik rintis pertama di peringkat negeri yang menawarkan perkhidmatan kesejahteraan dan psikososial khusus bagi kaum lelaki. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun berkata, usaha Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu merupakan tambahan kepada fungsi utama KNS yang sebelum ini lebih kepada kesihatan reproduktif wanita. "Sempena sambutan Hari Bapa yang disambut hari ini, LPPKN turut menawarkan saringan kesihatan percuma kepada 100 lelaki terawal bagi setiap negeri dan sempena pelancaran ini, kita tawarkan perkhidmatan itu bagi 300 lelaki terawal, khusus bagi penduduk sekitar Dungun bermula hari ini sehingga 25 Jun. "Untuk pengetahuan semua, daripada kes kaunseling yang dikendalikan LPPKN sejak 2019 sehingga Jun 2022, sejumlah 22,156 klien lelaki telah menghadiri sesi kaunseling secara individu dan berkelompok. "Paling banyak yang kita terima melibatkan masalah perkahwinan iaitu sebanyak 33 peratus, manakala 20 peratus melibatkan masalah kewangan dan masalah-masalah lain," katanya. Bagaimanapun menurutnya, situasi tersebut dinilai positif kerana perkhidmatan yang fleksibel secara tele-kaunseling, individu dan berkelompok yang ditawarkan menjadikan kaum lelaki lebih terbuka untuk berkongsi masalah dan memohon bantuan khdimat nasihat dengan LPPKN. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Bapa peringkat kebangsaan bertemakan 'Kasih Bapa Pelindung Keluarga' di KNS Dungun, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu; Hanafiah Mat, Ketua Setiausaha KPWKM; Dr. Maziah Che Yusoff, Timbalan Pengerusi  LPPKN; Mastura Mohd Darby dan Ketua Pengarah LPPKN; Abdul Shukur Abdullah. Rina turut memuji tindakan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang mengadakan program 'Second Honeymoon' atau berbulan madu kali kedua yang membantu mengatasi masalah keretakan rumah tangga. "Berdasarkan maklumat dan kerjasama dari kerajaan Terengganu, kita juga turut mengadakan program berbulan madu kali kedua ini untuk menambah baik hubungan kekeluargaan dan kita ingin perluaskannya melalui LPPKN. "Melihatkan kepada keperluan kaum lelaki juga, kita harap dapat memperluaskan projek ini ke seluruh 49 KNS di seluruh negara selain kepada 15 klinik secara 'mobile' selepas melihat sambutan projek rintis ini. "Jadi, kepada kaum lelaki, jangan malu dan segan untuk berkongsi dalam usaha menyelesaikan masalah. Untuk membina keluarga bahagia, ia memerlukan kerjasama seluruh ahli keluarga," katanya.      
19 Jun 22
517