Artikel "Komuniti" Terkini
Perintah Khidmat Masyarakat Peluang Baiki Diri
DUNGUN, 14 Ogos- Pesalah muda dibawah Perintah Khidmat Masyarakat masih berpeluang membaiki diri diatas kesilapan masa lalu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun berkata, mereka sepatutnya membuang rasa rendah diri dan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dengan ikhlas.
"Program sebegini diatur oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu anak-anak semua menjadi anggota masyarakat yang berguna dan bermanfaat," katanya.
Alias berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Khidmat Bakti Jabatan Kebajikan Masyarakat Bersama Majlis Perbandaran Dungun dan Komuniti Setempat Tahun 2022 di Pantai Teluk Bidara di sini.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak Dan Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Rodziah Abdol Razak dan Penghulu Mukim Abang, Ahmad Khairullizan Alias.
Sementara itu, Rodziah berkata, seramai 30 orang Pelatih Khidmat Masyarakat daripada seluruh daerah dalam Negeri Terengganu kecuali Besut dan Setiu menyertai program tersebut.
"Perintah Khidmat Masyarakat adalah alternatif pemenjaraan kepada pesalah-pesalah muda yang berumur di bawah 21 tahun dan diklafikasikan kesalahan ringan, jadi untuk mengelakkan mereka di penjara, pesalah - pesalah ini diarahkan untuk mengikuti Khidmat Masyarakat berdasarkan jumlah jam serta tempoh yang ditentu oleh mahkamah.
"Jadi mereka ini perlu menyertai program - program Khidmat Masyarakat seperti gotong royong, menghadiri program yang diadakan di masjid dan pelbagai lagi aktiviti tanpa dikenakan upah dan ianya menjadi satu pengalaman yang berguna supaya berkhidmat kepada masyarakat, " jelasnya lagi.
14 Aug 22
556
RXZ Members : 'Penyu' Paling Laris Terjual
KUALA NERUS, 13 Ogos – Jualan patung penyu mendapat sambutan luar biasa sekali gus menjadi antara yang terlaris dijual dalam kalangan pengunjung.
Peniaga, Aimaluddin Hamid, 31, berkata sempena program RXZ Member 4.0 dia menjual satu patung itu dengan harga RM10.
“Kami membawa patung penyu ini dalam kuantiti 2,000 unit dan kami jangkakan jualan ini akan habis dijual sepanjang program ini berlangsung.
“Kami berharap program seperti ini kerap kali diadakan kerana ianya memberi manfaat kepada peniaga mahupun pengunjung dari pelbagai sudut," jelasnya.
Dia berkata demikian semasa program RXZ Member 4.0 2022 bertempat di Terengganu International Drag Strip, Gong Badak di sini hari ini.
Sementara itu, bagi peniaga kasut, Ab Ghaffar, 37 berkata dia merupakan antara peminat motor RXZ dan sangat teruja diberi peluang untuk berniaga di program itu.
“Program ini sangat menguntungkan para peniaga kerana jualan meningkat luar biasa susulan kehadiran pengunjung yang begitu ramai dari seluruh pelusuk negeri.
“Bagi saya program ini dapat memperkenalkan tarikan yang terdapat di negeri Terengganu kepada pengunjung luar kerana selepas tamatnya program ini mereka akan singgah ke tempat menarik dalam Terengganu ini,” katanya.
13 Aug 22
6146
Pengamal Media Terengganu Konvoi Motosikal Bantu Asnaf
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos- Pengamal media pelbagai agensi seluruh Terengganu berkonvoi motosikal sambil menyantuni asnaf dalam program 'Jelajah Amal Media Merdeka' sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-65.
Penyelaras Program Ghazali Kori berkata, aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan itu adalah sebagai usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan ahli-ahli bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.
"Bertujuan untuk menyemaikan rasa cintakan negara serta menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang pentingnya perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai bangsa.
"Kami telah menyantuni seramai 30 orang golongan asnaf di kampung tersebut dengan kesemua bantuan yang diberikan adalah hasil sumbangan daripada syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Antara sumbangan yang diberikan adalah barangan keperluan di perkampung dekat Sungai Palas, di mana penerima bantuan terdiri daripada golongan yang terjejas teruk dalam situasi pandemik yang melanda negara pada dua tahun lepas," ujarnya selepas selesai menjayakan misi kemasyarakatan itu, di sini, baru-baru ini.
Ghazali berkata aktiviti sedemikian akan terus dilakukan dari semasa ke semasa dan pihaknya kini sedang merancang untuk memperluaskan aktiviti tersebut dalam membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.
Mengulas lebih lanjut katanya, misi yang dijayakan itu telah disertai oleh 20 ahli media daripada Kelab Aktivis Media Terengganu yang turut melibatkan kelab Media Terengganu.
12 Aug 22
897
Saguhati Cemerlang SPM Motivasi Timba Ilmu
MARANG, 11 Ogos - Saguhati kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diagihkan oleh Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman baru-baru ini mampu memberi motivasi untuk menimba ilmu kepada pelajar pada masa akan datang.
Tuan Faizah berkata, kejayaan pelajar SPM seramai 60 orang bagi tahun 2021 menjadi satu batu loncatan untuk terus bergerak ke hadapan dan seterusnya melangkah membina kejayaan demi kejayaan.
"Jangan lupa, dalam mencipta kejayaan dalam bidang akademik, pasakkan juga pada diri anak-anak untuk menjadi insan yang hidupnya mencari redha Allah SWT.
"Majlis ini juga bertujuan untuk meraikan anak-anak pelajar supaya terus terinspirasi untuk sentiasa menjadi muslim yang cemerlang. Disamping itu, kerajaan negeri juga sentiasa mencari inisiatif lebih-lebih lagi melibatkan isu pendidikan anak-anak Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata selepas menyerahkan sendiri anugerah saguhati kecemerlangan itu kepada pelajar SPM di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang baru-baru ini.
Saguhati kecemerlangan itu diserahkan kepada pelajar di sekitar DUN Rhu Rendang yang mendapat keputusan cemerlang, 6A dan ke atas pada sesi tahun 2021 yang lalu.
Menurutnya lagi, anak-anak yang sudah berjaya dengan cemerlang di peringkat seterusnya agar dapat pulang semula ke negeri ini, menaabur bakti kepada ibu bapa dan Negeri Terengganu yang dicintai ini.
"Tahniah buat para ibu bapa dan guru yang tanpa jemu bersama anak-anak dalam perjuangan mereka menimba ilmu," katanya.
11 Aug 22
377
Dulu Guna Kantin, Sekarang Sudah Ada Dewan
KEMAMAN, 11 Ogos - Penantian selama puluhan tahun warga Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman untuk memiliki dewan akhirnya berakhir apabila sebuah dewan baharu berkapasiti lebih 1,000 orang dengan saiz tiga kali ganda kantin sekolah siap dibina dengan kos pembinaan RM480,000.
Guru Besar SK Seri Iman, Wan Ja’far Wan Muda berkata, jika sebelum ini sebarang majlis dan program menggunakan kantin selepas ini murid dan para guru khususnya boleh menggunakan dewan baru berkenaan.
Tambah beliau lagi, dewan tersebut dikenali sebagai Dewan Haji Abdul Rahman Limbong sempena memperingati pejuang tanah air yang banyak berbakti di daerah Kemaman.
“Dewan ini juga akan diguna pakai oleh mangsa-mangsa banjir sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana kelazimannya ramai mangsa banjir ditempatkan di sini. Justeru mereka akan lebih selesa dengan wujudnya dewan baru ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan dewan tersebut yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, semalam.
Sementara itu, Che Alias menzahirkan kesyukuran dengan pembinaan dewan yang bakal memberikan manfaat kepada warga SK Seri Iman dan penduduk sekitar.
“Saya hadir ke SK Seri Iman pada tahun 2019 untuk program penyampaian hadiah di mana program ini diadakan di kantin. Keadaan ketika itu sesak dengan pelajar dan guru justeru saya telah mencadangkan agar dibina dewan sekolah.
“Sebanyak dua kali saya sebutkan di dalam perbahasan Belanjawan 2020 bagi pembinaan dewan ini dan dewan SMK Badrul Alam Shah. Alhamdulillah, maklum balas yang baik daripada Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri. Hasil daripada berkat doa bersama, impian memiliki dewan di sekolah ini berjaya direalisasikan," ujarnya.
Katanya, soal pendidikan amat penting untuk dititikberatkan bagi membina modal insan seterusnya melahirkan rakyat yang berketerampilan, berilmu, pihak kerajaan perlu melabur dalam pendidikan.
11 Aug 22
715
Tiga Mangsa Bot Karam Ditemui
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Tiga mayat mangsa tragedi bot nelayan tempatan yang karam di Pulau Redang, Isnin lepas berjaya ditemui sekitar jam 11.00 pagi hingga 1.30 tengahari hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Ramli memaklumkan, ketiga-tiga mayat mangsa bot nelayan TF 124 itu ditemui di lokasi yang berbeza sekitar 1.7 batu nautika dari Pulau Redang oleh nelayan setempat.
"Identiti ketiga-tiga mayat mangsa telah disahkan iaitu Saludin Ismail (50 tahun), Mohd Nazri Abu Bakar (48 tahun) dan Zulkifli Umar (48 tahun) serta seorang mangsa selamat iaitu Muhammad Kamaruddin bin Yudi, 31 tahun.
"Ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu oleh KM REDANG sekitar jam 6.30 petang tadi untuk bedah siasat," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini dua lagi mangsa, Ahmad Zamri Ishak dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, masih belum ditemui.
"Sejak awal pagi tadi, sektor pencarian bagi operasi CARILAMAT yang memasuki hari kedua telah diperluaskan hingga 242 batu nautika dengan beberapa aset melibatkan Kapal Maritim (KM) REDANG, pesawat Bombardier CL415 dan dibantu lebih 10 bot nelayan tempatan.
"Selain itu, usaha pencarian kita turut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.
"Usaha pencarian di laut pada hari kedua ditangguhkan sekitar jam 7.00 petang akibat cuaca gelap dan akan disambung esok," katanya.
10 Aug 22
824
1,203 Rumah Lagi Akan Dibina
KUALA TERENGGANU,11 Ogos- Kerajaan Terengganu merancang untuk membina sebanyak 1,203 unit rumah pelbagai jenis di kawasan pentadbiran Kuala Nerus.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pembinaan berkenaan akan dilaksanakan di dua bidang tanah dengan keluasan keseluruhan 46.9 ekar.
"Projek ini akan melibatkan Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Jenis A yang memberi fokus kepada rakyat kumpulan B40, RPMM Jenis B untuk M40 dan seterusnya golongan T20 yang akan ditawarkan perumahan Jenis C.
"Bagi menghargai penjawat awam di negeri Terengganu, projek perumahan ini juga turut akan melibatkan satu lagi kategori iaitu perumahan bagi penjawat awam," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Cadangan Pembangunan Secara Penswastaan di Pusat Pentadbiran Kuala Nerus di Wisma Darul Iman, semalam.
Jelasnya, pembangunan berkenaan merupakan usaha kerajaan negeri dalam memenuhi manifesto membina 20,000 unit rumah sepanjang penggal pertama mentadbir di negeri Terengganu.
"Walau bagaimanapun, jumlah peruntukan tidak mencukupi untuk menampung kesemua jumlah permintaan untuk pembinaan RMM yang tinggi di negeri Terengganu.
"Jadi, ini merupakan kejayaan kepada jentera pentadbiran kerajaan negeri kerana telah berjaya menarik satu lagi pelaburan bagi pembinaan perumahan secara penswastaan yang ke-8 bagi rumah mampu milik, bercampur dan penjawat awam," katanya.
Dalam majlis berkenaan, penyerahan surat tawaran cadangan diserahkan kepada pemaju, Kpower Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Eksekutif, Mustakim Mat Nun yang akan menanggung kos pembinaan tersebut berjumlah RM315 juta dengan tempoh pembinaan dijangka memakan masa selama lima tahun.
Tambah Dr Alias, keutamaan pembinaan akan difokuskan kepada 276 unit RPMM kategori A yang akan dijual pada harga RM 80,000 dan RPMM kategori B iaitu sebanyak 360 unit yang berharga di bawah RM 185 000.
"Besarlah harapan saya yang mewakili kerajaan negeri agar segala perancangan pembangunan ini akan berjalan lancar dan dapat disiapkan sebagaimana jadual.
"Sekiranya terdapat sekatan dan halangan di pertengahan jalan, kerajaan negeri dan juga Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu Bahagian Perumahan sentiasa terbuka untuk bersama-sama membantu bagi memastikan segalanya berjalan lancar dan dapat mencapai matlamat," katanya.
10 Aug 22
593
Program Santuni Rakyat Terus Dapat Sambutan
SETIU, 9 Ogos – Santuni Rakyat, Semarakkan Khidmat yang sebelum ini dinamakan Program Kaunter Aduan Rakyat mendapat sambutan yang mengalakkan serta telah diperkasakan lagi dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang sebelum ini tidak disediakan.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, program ini telah digerakkan bermula tahun 2018 lagi yang pada awalnya dikenali sebagai Program Pejabat Bergerak Ahli Parlimen Setiu.
Diantara programnya ialah lawatan infrastruktur, kaunter aduan rakyat, ziarah mahabbah, santai kedai kopi dan berakhir dengan kuliah maghrib tanpa penyertaan agensi-agensi lain.
"Kemudian ditambah baik dengan program rawatan Islam dan pemeriksaan kesihatan percuma sejak mula diadakan hampir 80 peratus kampung telah melaksanakan program seumpama ini dan sekarang kesemuanya digabungkan dan dinamakan Program Santuni Rakyat, Semarakkan Khidmat,"ujarnya ketika ditemui di perkarangan Masjid Kg merbau Menyusut, semalam.
Mengulas lanjut ujarnya, antara agensi yang turut terlibat ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Kebajikan Masyarakat Setiu dan Tekun Nasional.
"Bermula tiga petang lagi kita telah menerima kehadiran rakyat sekitar untuk mengambil peluang menikmati pelbagai perkhidmatan yang disediakan ini termasuk mengadu pelbagai permasalahan yang dihadapu.
"Semua aduan akan diambil perjalanan segera untuk diselesaikan agar kebajikan serta kesejahteraan rakyat terjamin, insya-Allah kita akan terus mengadakan program ini dengan melibatkan seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Setiu ini," katanya.
09 Aug 22
413
Kejohanan Sirkit Silat 1S1S Cungkil Bakat Baru
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - 'Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya' itulah tema Kejohanan Sirkit Satu Sekolah Satu Silat (1S1S) Peringkat Negeri Terengganu 2022 yang diadakan bagi mencungkil bakat baru dalam dunia seni persilatan tanah air.
Kejohanan yang diadakan selama tiga hari bermula 4 Ogos lalu diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu melibatkan semua sekolah rendah dan menengah seluruh Terengganu termasuk sekolah vokasional dan teknik.
Kejohanan sirkit silat tersebut dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Dan Kecergasan Wilayah Perdana (KRKWP) dengan sokongan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Terengganu, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Mohamad Abdullah, 40 tahun yang ditemui pemberita ditempat kejohanan memberitahu bahawa siri kejohanan seperti ini perlu diperbanyakkan bagi menyemarakkan semangat dan rasa cinta generasi muda terhadap warisan budaya dan bangsa.
"Perlu dibuka ruang dan peluang kepada pesilat yang baru berjinak dalam arena ini jika mahu melihat sukan ini terus maju dan seterusnya menjadi pelapis kepada atlet yang sedia ada," katanya.
Mohamad merupakan salah seorang jurulatih daripada kontinjen SMA Al Falah, Kemaman yang turut menyertai sirkit silat kali ini mengharapkan perkara tersebut mendapat perhatian daripada pihak terlibat.
06 Aug 22
1185
Festival Setiu Wetlands Tingkat Kesedaran Orang Awam
SETIU, 5 Ogos - Penganjuran festival Setiu Wetlands mampu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan alam sekitar selain menjana ekonomi mereka.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keterlibatan komuniti berupaya memupuk sifat kebersamaan untuk menjaga alam sekitar sekali gus merancakkan usaha kerajaan memulihara ekosistem.
"Saya percaya langkah berterusan yang diambil oleh Jabatan Pelancongan negeri bersama dengan Majlis Pengurusan Taman negeri adalah berterusan dengan melibatkan semua pihak yang berhasrat ingin membawa produk pelancongan seperti Setiu Wetlands ini bukan sahaja ke peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa.
"Kita akan terus pertingkatkan program seperti hari ini dengan melibatkan penyertaan daripada komuniti dengan lebih hebat lagi,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Setiu Wetlands 2022,bertempat di Boardwalk Taman Negeri Setiu Wetlands, Kampung Pengkalan Gelap Setiu pada Jumaat.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman negeri, Tengku Mohd Arifin Tengku A.Rahman.
Festival yang dianjurkan itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan berakhir pada Ahad ini tellah menyediakan 24 aktiviti dan program melibatkan komuniti dan pengunjung serta memberika ruang kepada agensi untuk mempamerkan peranan mereka.
Bertemakan 'Seiring Alam & Komuniti' , Dr Ahmad Samsuri mengharapkan agar kesedaran rakyat akan dapat dipertingkatkan bagi menjaga khazanah alam semulajadi yang terdapat di Setiu Wetlands itu.
"Sebagaimana kita sedia maklum bahawa di sini memliki flora dan fauna dengan keunikan 10 ekosistem," ujarnya.
05 Aug 22
225