Artikel "Komuniti" Terkini
500 Pelajar PSMZA Sertai Festival Bulan Merdeka
DUNGUN, 30 Ogos - Seramai 500 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah menyertai Festival Bulan Kemerdekaan Malaysia Yang Ke- 65.
Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korperat PSMZA, festival anjuran Jabatan Sukan dan Kebudayaan (JSKK) itu telah dirasmikan oleh Pengarahnya, Mohd Fikri Ismail dan turut dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk senamrobik.
"Perasaan kasih dan sayang kepada tanah air mestilah sentiasa terus kekal di dalam sanubari kita semua," katanya.
Seementara itu, di perkarangan pintu masuk PSMZA dikibarkan jalur gemilang dan dilekatkan di kereta-kereta kakitangan bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan.
"Edaran bendera ini adalah dikelolakan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat (UKK) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua-ketua jabatan akademik dan sukan untuk dikibarkan di jabatan masing-masing, " ujar jurucakap tersebut.
30 Aug 22
617
Fiesta Wau Bulan Tegak Tarik 240 Penyertaan
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 30 Ogos- Fiesta Wau Bulan Tegak yang julung kali diadakan telah berjaya menarik minat seramai 240 orang peserta.
Penghulu Mukim Merchang, Adnan Ibrahim berkata program anjuran Pejabat Daerah Marang itu akan dijadikan sebagai acara tahunan peringkat daerah Marang.
"Wau bulan yang kepopularannya didominasi oleh rakyat Kelantan di Pantai Timur ini turut menarik minat penduduk di sini, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pesta tersebut di Bukit Kecil Durian Pahit, Merchang.
Program yang turut dihadiri Pegawai Daerah Marang, Che Lizan Che Mat dan Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Deris itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
Dalam ucapan, Sulaiman berkata InsyaAllah program kebudayaan seperti ini akan diteruskan lagi supaya seni budaya itu tidak ditelan zaman.
"Lebih-lebih lagi apabila ia disertai oleh ramai golongan belia," ujarnya.
30 Aug 22
790
Institusi Rumah Tangga Faktor Utama Bentuk Masyarakat
BESUT, 29 Ogos – Institusi rumah tangga merupakan faktor utama kepada pembentukan masyarakat yang akan digerakkan dalam persekitaran.
Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, tanpa institusi keluarga yang cemerlang, pembinaan sebuah negara yang stabil dan maju tidak akan tercapai dengan sempurna.
“Gagalnya pembentukan institusi keluarga maka masyarakat kita akan berdepan dengan kegagalan dalam bentuk mewujudkan hubungan harmoni di atara satu sama lain yang mana bertitik tolak daripada keharmonian rumah tangga itu sendiri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program perasmian Jelajah Untukmu Wanita yang diadakan di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh pada Jumaat yang lalu.
Menurutnya, institusi kekeluargaan adalah organisasi yang sangat penting diiktiraf oleh agama sendiri .
“kalau kita lihat perletakkan batu asasnya bagi sebuah keluarga yang dibina itu bermula dengan satu lafaz akad diterima dihadapan seorang iman maka daripada lafaz ringkas tadi mewujudkan satu yang sangat baru dalam dua kehidupan manusia.
“Suatu yang diharamkan tiba-tiba dihalalkan agama tanpa rasa takut, bimbang dan was-was kerana itulah ia jaringan kehidupan muslim yang harus dilihat suatu kesan sangat dalam bagi orang muslim,” ujar beliau.
Beliau menambah, pendekatan dan pengulasan bersahaja ahli panel memberikan satu suntikan yang sangat baik terutama nasihat dalam bentuk bagaimana menjaga kerukunan sebuah rumah tangga.
28 Aug 22
249
Longkang Baharu Bernilai RM200 Ribu Siap Dibina
MARANG, 28 Ogos - Bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di Taman Kalongan Mas, Medan Jaya, pembinaan longkang baharu sepanjang 100 meter dengan kos sebanyak RM200 ribu telah siap dibina baru-baru ini.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Mohd Sabri Zakaria berkata, kerajaan negeri telah bertungkus lumus membina longkang yang lebih besar dan menambah longkang bagi melancarkan saliran air di kawasan taman tersebut.
"Situasi banjir yang sering berlaku telah mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat, dan setelah melalui beberapa siri perbincangan dengan beberapa jabatan terbabit, satu peruntukan melalui Menteri Besar Terengganu yang juga ADUNRhu Rendang telah diluluskan bagi membina longkang tersebut.
"Difahamkan masalah banjir ini telah berlaku sekian lama dan semakin teruk sehingga terjadinya banjir kilat besar melibatkan beberapa buah rumah apabila tibanya musim tengkujuh lebih-lebih lagi mungkin apabila meningkatnya populasi penduduk sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir melawat lokasi longkang bersama-sama Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Mohd Fakhruddin Zakaria dan Penolong Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Mohd Harizuddin Mohamad.
Menurut Sabri lagi, dengan kos yang agak tinggi dan setelah beberapa tinjauan berkaya yang dibuat, pembinaan longkang ini telah bermula pada bulan Jun lalu serta telah siap sepenuhnya baru-baru ini.
"Sebelum ini, pada setiap tahun kita akan membuat operasi pembersihan laluan air untuk memastikan sistem saliran air berjalan dengan lancar, dan tidak tersumbat. Ianya turut melibatkan pihak Pusat Khidmat Parlimen Marang, dan jabatan seperti Pejabat Daerah Marang.
"Kita harap dengan pembinaan longkang ini, masalah banjir tidak lagi terjadi serta mampu menyelesaikan masalah penduduk sekitar ketika musim hujan berlaku," tambahnya lagi.
28 Aug 22
1576
Minum Pagi Dekati Rakyat
Oleh : Suhaimi Taib
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos- Mendekati rakyat dengan minum pagi di kedai makan terpilih adalah salah satu aktiviti dalam diari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.
Sempena Karnival Terengganu, Maju, Berkat dan Sejahtera (TMBS) DUN Bandar yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, Ahmad Shah mengambil peluang beramah mesra dengan penduduk sekitar menerusi aktiviti tersebut.
Beliau bersama beberapa pegawai Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bandar pagi tadi berkunjung ke Kedai Makan milik Mohamad Omar yang dikenali sebagai Mamat Jepun untuk menikmati pelbagai sarapan pagi sambil bertanya khabar penduduk sekitar Kampung Masjid Tok Ku yang berada di kedai tersebut.
Kira-kira sejam Ustaz Ahmad Shah berada di situ sebelum beredar ke Karnival TMBS di Taman Shah Bandar, di sini.
Sempena karnival tersebut, Mazila Mohd diisytiharkan menang seutas gelang emas ditaja Ahmad Shah dalam sesi cabutan bertuah, selesai Forum Suara Hati Wanita bertajuk 'Bawa Aku ke Syurga' pagi tadi.
Hadiah istimewa tersebut disampaikan oleh isteri ADUN Bandar itu, Norizan Ngah.
Dato' Dr Norhafizah Musa menjadi panel forum tersebut.
26 Aug 22
217
KOPERAT Tiup Semangat Rakyat Terengganu Sambut Merdeka
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Anak syarikat kerajaan negeri, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu (KOPERAT) telah mengagihkan 3,000 jalur gemilang kepada rakyat Terengganu bagi meniupkan semangat patriotisme kalangan mereka sempena bulan kemerdekaan pada tahun ini.
Pengurus Besar KOPERAT, Sayed Abdul Rahman Engku Sulong, berkata bendera itu telah diagihkan kepada orang ramai yang melalui Dataran Awam Pantai Batu Burok dengan kenderaan bagi memastikan bendera terbabit berkibar megah di kereta dan motor masing-masing, hari ini
Jelasnya usaha dilakukan itu bertujuan untuk menaikkan semangat patriotik di kalangan rakyat agar cintakan negara dimana kempen mengibarkan bendera 'Jalur Gemilang' itu bertepatan dengan saranan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Sebenarnya ini merupakan salah satu program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) yang tujuan utamanya selain memperkenalkan anak syarikat kerajaan negeri ini kepada orang ramai ia juga bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan.
"Jadi ini merupakan inisiatif kita lakukan, untuk memastikan setiap kenderaan dipasang bendera ini di kenderaan masing-masing untuk menzahirkan semangat sayangkan negara, dan sentiasa berusaha untuk saling bersatu agar dapat hidup dalam keadaan aman dan damai tanpa adanya pergolakan dan perpecahan,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Ujarnya lagi, program seumpama itu telah digerakkan sejak tahun 2015 lagi, dan ia tidak dapat diteruskan hanya ketika pandemik melanda negara dimana setiap tahun menjelang bulan kemerdekaan syarikatnya itu akan mengagihkan bendera berkenaan dalam usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan.
25 Aug 22
346
Regu Pelam Galas Cabaran Terengganu Ke Sepak Takraw MSL 2022
DUNGUN, 25 Ogos - Regu sepak takraw Pelam dari Kampung Sura Tengah membawa cabaran Negeri Terengganu ke Pertandingan Sepak Takraw Liga Sukan Malaysia (MSL) 2022 yang berlangsung di Kuala Lumpur selama empat hari bermula hari ini.
Pengurusnya, Azman Senik berkata pasukan itu berjaya mewakili Terengganu setelah mengalahkan regu 'Daddy Cool' di perlawanan akhir sekaligus menjuarai Pertandingan MSL Negeri Terengganu baru - baru ini.
"Harapan kami agar berjaya menempatkan diri ke tempat tertinggi, sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir, memandangkan regu kami masih baharu," katanya ketika dihubungi di sini.
Sebelum itu beliau telah hadir ke Pejabat Parlimen Dungun di sini untuk menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Mengulas lanjut, beliau yang juga pembimbing dan pengerusi Pelam Takraw Club berkata sumbangan tersebut menjadi perangsang untuk pasukannya melakukan yang terbaik di pertandingan tersebut.
"Segala sokongan, kata-kata semangat, doa dan harapan daripada Ustaz serta warga Dungun seboleh-bolehnya tidak akan kami hampakan," ujarnya.
25 Aug 22
470
Lebih 200 Mahasiswa Daki Bukit Maras Sempena Hari Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Seramai lebih 200 orang mahasiswa dan anak muda menyertai Program Lepak Cergas Santai Legasi Belia Darul Iman 1.0 (LEGASI 1.0) di Bukit Maras, Batu Rakit di sini baru-baru ini.
Pegawai Seranta (Unit Belia), Urus Setia Belia Sukan NGO Terengganu (UBSNT), Syed Abdus Salam Syed Nazmi berkata program santai itu mendapat sambutan luar jangkaan.
“Kita sebagai sekretariat yang mengelola lapisan anak muda sentiasa berusaha menawarkan program yang menarik bagi pembinaan modal insan yang holistik.
“Kehadiran yang memberangsangkan ini menjadi satu signal kepada kerajaan negeri bahawa warga belia sentiasa menyokong aspirasi yang dibawa kerajaan terutamanya buat anak muda,” ujarnya.
Pada masa yang sama, turut diadakan pelancaran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Aktivis Alam Negeri Terengganu (HIJAU) oleh Timbalan Ketua Penyelidik Menteri Besar Terengganu, Mohd Harun Esa.
Pengerusi HIJAU, Ahmad Ridha Alias berkata, penubuhan NGO tersebut mampu memberi manfaat terhadap kelestarian alam sekitar di Terengganu.
“Asas kepada penubuhan NGO ini adalah untuk memupuk nilai kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya menjaga alam sekitar di negeri ini.
“Negeri kita kaya dengan aset pelancongan. Maka sektor pelancongan perlu dipelihara sebaiknya bagi menjadikan satu nilai tambah buat kerajaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut menyatakan kesediaan HIJAU bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bagi merealisasikan tujuan utama penubuhan mereka.
Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razab serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu.
24 Aug 22
229
Perkasa Cara Hidup Sihat Dengan Rawatan Awal
KUALA NERUS, 23 Ogos – Kerajaan berusaha memperkasakan masyarakat negeri ini dengan pengetahuan dan kemahiran tentang cara hidup sihat, pencegahan yang kedua penting dan pengesanan rawatan awal kesihatan.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, sebelum sesuatu penyakit tersebut merebak ke arah yang lebih serius yang mana mencegah lebih baik daripada mengubati.
“Program Women’s Health Dan Wellness ini diperkenalkan atas dasar keprihatinan pihak Kementerian Belia Dan Sukan dalam menangani masalah-masalah kesihatan di kalangan rakyat khususnya wanita.
“Program ini telah memberikan tumpuan utama kepada beberapa perkara dalam kehidupan seharian kita seperti pengamalan pemakanan yang sihat dan seimbang dan gaya hidup aktif dan cergas pada setiap masa tidak kira di mana kita berada,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program “Program Women’s Health Dan Wellness peringkat negeri Terengganu 2022, di Dewan Cenderawasih, Tingkat 2, Pusat Pentadbiran Kuala Nerus, di sini, pada hari ini.
Menurutnya, acara tersebut khusus untuk wanita dalam usaha memperkasakan komuniti dan membudayakan amalan pemakanan seimbang, gaya hidup aktif dan sihat.
“Dengan perubahan dan kemajuan yang dinikmati ini, kita turut menyaksikan satu perubahan trend penyakit iaitu dari penyakit berjangkit kepada penyakit ‘moden’ yang berkait rapat dengan gaya hidup seharian yang tidak sihat.
“Salah satu situasi yang khususnya amat membimbangkan ialah masalah lebihan berat badan dan obesiti yang kini boleh dianggap seperti satu ‘wabak’ di Malaysia.
“Maka tidak hairanlah jika berlaku trend peningkatan dalam penyakit – penyakit tidak berjangkit yang kronik seperti penyakit kardiovaskular, diabetes mellitus dan kanser, di mana umum mengetahui bahawa penyakit-penyakit ini amat berkait rapat dengan obesity,” ujar beliau.
Justeru itu, Kerajaan negeri Terengganu menyokong matlamat pelaksanaan Agenda Nasional Sihat Malaysia (ANMS) dalam menjadikan rakyat malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.
“Semoga inisiatif kerajaan tercapai dalam memastikan kaum wanita sentiasa menjadikan sukan dan aktiviti senaman sebagai satu budaya dalam kehidupan seharian sekaligus membentuk golongan wanita yang aktif dan cergas.
“Program ini dapat memperkasakan komuniti terutamanya golongan wanita dalam membudayakan pengamalangaya hidup aktif, sihat dan pemakanan seimbang.
“Program berbentuk kecergasan ini dapat memberi kesedaran akan kepentingan mengamalkan senaman atau aktiviti sukan di dalam kehidupan bagi mengurangkan peningkatan obesiti di kalangan rakyat malaysia,” tambah Sakinah.
23 Aug 22
172
Sahabat Alam Sejahtera Sumbang Tong Sampah Tambahan
MARANG, 23 Ogos - Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sahabat Alam Sejahtera menyumbangkan 60 tong sampah bagi memenuhi keperluan masyarakat di sekitar Marang.
Pengurus NGO Sahabat Alam Sejahtera, Sabri Zakaria berkata, tong sampah berkenaan turut diletakkan di beberapa lokasi kritikal dan berlaku longgokan sampah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.
"Kira-kira 60 buah tong sampah disumbangkan semuanya dan 20 buah tong sampah akan ditempatkan di sekitar DUN Rhu Rendang mengikut keperluan yang lebih utama berdasarkan permohonan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pihak DUN.
"Di samping penambahan bilangan tong sampah, masyarakat juga perlu mengamalkan budaya menjaga kebersihan dengan baik terutamanya membuang sampah di tempat dan cara yang sepatutnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyerahkan sumbangan tong sampah itu mewakili Pertubuhan Sahabat Alam Sejahtera di Dewan Balairaya JPKK Rhu Rendang pagi ini.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Mohd Fakhruddin Zakaria dan Penolong Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Mohd Harizuddin Mohamad.
Menurutnya lagi, kebiasaannya dengan peningkatan populasi penduduk setempat, masalah sampah ini sering berlaku terutamanya ketika berlaku waktu puncak seperti majlis perayaan, hari cuti dan sebagainya.
"Namun masalah ini juga telah mendapat perhatian pihak kerajaan negeri yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menambah bilangan tong sampah di kawasan masing-masing.
"Selain daripada DUN Rhu Rendang, baki tong sampah ini juga akan diagihkan kepada kawasan DUN yang lain di sekitar Marang di mana terdapat empat dun kesemuanya," tambahnya lagi.
23 Aug 22
793