lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Pertandingan Kenderaan Berhias
Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Pertandingan Kenderaan Berhias
KUALA TERENGGANU, 17 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Pertandingan Perarakan Kenderaan Dan Beca Berhias bertempat di Dataran Batu Buruk, semalam. Mengiringi baginda pada upacara itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Pertandingan kenderaan berhias diadakan adalah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Keputeraan baginda. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN), Datuk Yahya Ali, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Kenderaan Berhias, Dr Azman Ibrahim. Sebanyak lapan buah daerah yang menyertai perarakan kenderaan berhias yang terdiri daripada Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kemaman. Manakala bagi perarakan beca berhias pula disertai oleh 16 anak syarikat kerajaan negeri yang terdiri daripada Primula Beach Resort, Duyong Marina Resort dan pelbagai lagi. Perarakan bagi kenderaan dan beca berhias adalah sejauh kira-kira 3.2 kilometer yang bermula daripada Dataran Shah Bandar ke Dataran Batu Buruk.  
17 Sep 22
815
99 Peratus Graduan PSMZA Berjaya Dapat Kerja
99 Peratus Graduan PSMZA Berjaya Dapat Kerja
DUNGUN, 16 September-  Hampir semua graduan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) 2021 berjaya mendapat pekerjaan iaitu samada di sektor kerajaan, swasta dan bekerja sendiri. Ketua Pengarah Jabatan  Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainab Ahmad berkata beliau dimaklumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan institusi pengajian itu untuk tahun 2021 adalah sebanyak 99.27 peratus. "Kadar kebolehpasaran graduan politeknik yang melebih 90 peratus ialah satu indikator latihan teknikal dan vokasional (TVET).  "Ini menandakan graduan TVET berkualiti dimana sentiasa menjadi pilihan majikan meskipun ketika negara dilanda pandemik Covid-19.    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Ke -19 tahun 2022 di Dewan Dagang, PSMZA di sini, baru-baru ini. Pada Majlis Konvokesyen kali ini yang mengangkat tema “Graduan TVET Berkualiti Aspirasi Digitalisasi Negara” berlangsung selama tiga hari berturut- turut bermula 12 September itu seramai 1274 graduan berjaya mendapat penganugerahan Diploma bagi pengajian sesi  Disember 2020 dan Sesi 1 2021/2022. Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengarahnya, Mohd Fikri Ismail.  "Saya difahamkan tema ini dipilih bersempena era digital negara yang semakin berkembang maju selari dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara  berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital, "katanya.   
16 Sep 22
631
218 Peserta RTB DUN Kijal Terima Borang 5A
218 Peserta RTB DUN Kijal Terima Borang 5A
KEMAMAN, 16 September - Seramai 218 Peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB)  di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima dokumen hak milik tanah termasuk Jadual 5A selepas menanti puluhan tahun. Ianya melibatkan tapak kediaman dan pertanian di kawasan Beris Nenas, Bukit Panjang, Bukit Kerdas, Batu 9, Pengkalan Cicar, Jong Belabuh, Lubuk Dalam IV dan Kampung Pondok Pasir. Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh berkata, beliau berharap peserta bersyukur dan berterima kasih kerana apa yang diimpikan selama ini telah menjadi kenyataan.  "Kita mesti sentiasa tunduk dan bersyukur kehadrat Allah S.W.T diatas nikmat yang dikurniakan kepada kita pada hari ini.  "Segala yang sedikit kita ikhtiar dan lakukan samada daripada pihak Pejabat DUN Kijal dan Pejabat Tanah dan Daerah Kemaman ini ianya adalah pertolongan daripada Allah. "Saya melihat ada juga permohonan yang dibuat pada tahun 2002 iaitu 20 tahun yang lalu dan ianya diluluskan dan menerima hak milik mereka pada hari ini," ujarnya ketika berucap di majlis penyerahan tersebut yang diadakan di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal, baru-baru ini.  Beliau juga mengucap tahniah kepada para peserta dan Kerajaan Negeri Terengganu yang telah berjaya melunaskan janji manifestonya pada pilihanraya yang lalu berkaitan pemberian tanah kepada rakyat Terengganu.  "Jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat terutama kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Kemaman, Biro Tanah Kijal, Kakitangan i-MiTS Kijal dan Pejabat Penyelaras DUN Kijal," tambahnya. -  
16 Sep 22
437
Orang Pekak Ajar OKU Baca Al-Quran
Orang Pekak Ajar OKU Baca Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 8 September - Persatuan Pendidikan dan Pembangunan Islam Orang Pekak Terengganu (PIOPT) membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU)  di negeri ini mempelajari dan memahami al-Quran. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, warga OKU pendengaran mempelajari al-Quran dengan 'Kaedah Kod Tangan Quran' yang dibimbing oleh guru agama berkemahiran bahasa isyarat.  “PIOPT merupakan pusat aktiviti bagi pembangunan asnaf pekak untuk mendidik golongan OKU Pendengaran Terengganu bagi belajar kemahiran pertanian dan kemahiran memasak. “Ia merupakan satu usaha yang sangat baik kerana sepertimana yang kita sedia maklum OKU pendengaran sangat sukar untuk memasuki alam pekerjaan kerana masalah komunikasi,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sijil dan Penutup Kursus Bahasa Isyarat Malaysia Tahap 1 yang betempat di Perpustakaan Awam Terengganu di sini hari ini. Sementara itu, lebih 2,344 orang OKU Pendengaran telah berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu. Katanya, betapa pentingnya Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dipelajari oleh pelbagai pihak dan jabatan jika dihadiri pelanggan dari warga OKU ini. "Kursus Asas Bahasa Isyarat ini telah diadakan selama empat hari bermula 5 hingga 8 September 2022 serta dihadiri oleh tenaga pengajar yang pakar dalam bahasa isyarat," katanya.  
08 Sep 22
750
Kitab Pedoman Solat Berjemaah Berjaya Dikhatam
Kitab Pedoman Solat Berjemaah Berjaya Dikhatam
KUALA NERUS, 8 September - Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) telah menganjur dan mengkhatamkan pengajian Fiqh Solat Berjemaah peringkat DUN Seberang Takir menggunakan Kitab Pedoman Solat Berjemaah karangan Al-Marhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman. Pegawai DUAT DUN Seberang Takir, Syed Zuhairi Tuan Kasmi berkata, bukan sekadar mereka yang bergelar imam perlu mempunyai ilmu dan mahir, bahkan makmum juga perlu ada ilmu tentang solat berjemaah ini.  “Pengajian Fiqh Solat berjemaah cukup penting dalam memudahkan penuntut ilmu yang bakal asatizah khususnya dan masyarakat umumnya faham dan cakna sub-fiqh ini selain mendedahkan umat Islam kepada furu' (permasalahan) fiqh bagi menjawab segala kemusykilan berkaitan solat berjemaah. “Kita juga menyedari hakikat belajar Fiqh Solat Berjemaah adalah wajib bagi lelaki, bagi wanita pula hukumnya sunat namun boleh jadi wajib bagi wanita jika sekiranya wanita tersebut ingin laksanakan solat secara berjemaah," katanya. Menurut beliau lagi, pengajian yang diadakan sekali seminggu setiap hari Rabu bermula 12 Januari lalu telah berakhir khatam pada 31 Ogos 2022. "Kelas pengajian telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Hafiz Ali Makdom Hafizahullah yang dilangsungkan secara bersemuka dan juga di atas talian. "Untuk makluman juga, pengajian kita bukan terhenti di sini, tetapi diteruskan lagi dengan Pengajian Fiqh Nikah "Kitab Tuhfah At-Thullab Sharah Idah Al-Bab" pada hari dan waktu yang sama setiap minggu, mereka yang berminat boleh menghubungi urusetia di talian 0139706069 bagi mendapatkan kitab tersebut", katanya.
07 Sep 22
285
Terengganu Bantu Cari Kerja Untuk Bekas Penagih
Terengganu Bantu Cari Kerja Untuk Bekas Penagih
BESUT, 1 September - Kerajaan negeri melaksanakan satu langkah proaktif dalam membantu bekas penagih untuk mendapatkan pekerjaan bagi menyara kelurga selepas golongan terbabit sentiasa dipinggirkan sebaik keluar dari pusat pemulihan dadah. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nor Khuzaini A. Rahman berkata, pihaknya bekerjasama dengan sebuah syarikat pembuatan di Johor untuk memberi peluang kepada bekas penagih memulakan kehidupan lebih baik. "Pada 30 Ogos kerjasama ini telah terjalin dengan rasmi, dengan dihadiri oleh Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, kita telah panggil semua bekas pelatih pusat serenti, kita akan tawarkan mereka untuk bekerja di Mybrush Group Of Companies di Johor. "Lebih 120 orang bekas-bekas pelatih ini datang apabila mereka mengetahui mengenai tawaran ini.  "Saya rasa apabila golongan ini dibantu ini merupakan suatu usaha baik kerajaan negeri untuk terus membantu semua golongan, bukan hanya penganggur, tetapi golongan 'rentan' ini juga yang selama ini tidak diambil kisah oleh masyarakat kita cuba bantu dan berikan mereka peluang untuk dapatkan kerja," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyantuni lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud sempena kejayaan mereka dalam pertandingan 'The 7th International Invention Innovation Competition In Canada (iCan 2022), di sini baru-baru ini. Mengulas lanjut, katanya syarikat itu beroperasi dengan mengeksport komponen yang digunapakai pada vakum kepada lebih 100 buah negara dan akan mula membuka kilang baru tidak berapa lama lagi. "Sebelum ini kami telah menghantar seramai 20 orang bekas pelatih dari Setiu dan selepas ini akan dikembangkan lagi  melalui AADK di setiap daerah. "Jadi kita mulakan di Besut ini walaupun secara tidak rasminya kita telah mulakan di Setiu dan selepas ini kita akan kembangkan lagi ke seluruh daerah untuk membantu seramai mungkin golongan ini," ujarnya lagi.
01 Sep 22
445
Dari Kerteh ke Kuala Terengganu Rai Ambang Merdeka
Dari Kerteh ke Kuala Terengganu Rai Ambang Merdeka
KUALA TERENGGANU, 1 September – Satu keluarga berbangsa India yang menetap di Kerteh, Paka selama hampir 12 tahun teruja meraikan Sambutan Ambang Kemerdekaan di dataran Muara Utara KTCC, di sini kelmarin. Nicholas Raj A/L Anthony dan isterinya, Jessica Kaur menyatakan kegembiraan dengan membawa tiga anaknya turut menyertai acara itu. “Saya tiba di sini pada jam 11.30 malam, jalan sesak kerana ramai ingin menyambut Ambang Kemerdekaan yang ke-65 ini namun kami ‘happy’ sempat juga raikan. “Kami menetap di sini sejak saya mula bekerja dengan syarikat minyak di Kerteh, Terengganu sebuah negeri yang sejahtera,” katanya Ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Beliau turut berkata, berada dalam komuniti Melayu tidak sedikitpun membuatkan keluarga mereka janggal kerana mendapat layanan yang sama. “Tempat kerja saya, hanya saya sahaja India. Anak saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Rantau juga seorang sahaja India begitu juga di taman perumahan. “Tapi rakyat Terengganu bergaul dengan kami sama saja, bahkan ‘extra care’ terhadap kami. Terengganu sebuah negeri yang aman,” tambahnya lagi. Terdahulu, Sambutan Ambang Kemerdekaan ke-65 bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat.
01 Sep 22
369
Kutip 936 Kilogram Sampah Dalam Masa Dua Jam
Kutip 936 Kilogram Sampah Dalam Masa Dua Jam
DUNGUN, 1 September- Sebanyak 936 kilogram sampah hanyut yang kebanyakannya sisa plastik berjaya dikutip dalam tempoh dua jam menerusi 'Program Pendekar dan Srikandi Merdeka Plogging' sekaligus mencatatkan rekod baru buat Geng Plastik Ija (GPI) Dungun. Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), aktiviti 'plogging' iaitu bersenam sambil mengutip sampah yang diadakan di persisiran Pantai Teluk Bidara kelmarin itu melibatkan 400 orang peserta daripada pelbagai pihak.  "Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke -65 selain GPI Dungun, pelbagai pihak termasuklah UITM Dungun, PSMZA, Pejabat Daerah Dungun, SIG 3rd Hand Uitm Dungun, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 7, SK Batu 48, PERKESO Dungun, Majlis Perbandaran Dungun, Pejabat Tanah & Daerah Dungun, UCTATI, Staf Kolej Vokasional Dungun dan SK Balai Besar mengambil bahagian dalam aktiviti membersih pantai Teluk Bidara," ujarnya.  Katanya, Majlis Menandatangani Jalinan dan Kerjasama antara Sekolah Kebangsaan Batu 7 dengan GPI , SIG 3rd Hand UiTM Cawangan Terengganu serta PSMZA juga diadakan pada hari berkenaan. "Aktiviti 'plogging' adalah gabungan antara 'joging' dan mengutip sampah, sebahagian usaha yang berterusan dalam mewujudkan kerjasama dan penglibatan semua pihak dan masyarakat," ujarnya. .  
01 Sep 22
445
Floria Diraja Putrajaya 2022 : Terengganu Raih Tempat Kedua
Floria Diraja Putrajaya 2022 : Terengganu Raih Tempat Kedua
PUTRAJAYA, 31 Ogos - Kerajaan negeri Terengganu berjaya merangkul tempat kedua iaitu Garden Award (Silver) bagi Kategori Taman Agensi Kerajaan dan Korporat dalam Festival Bunga Dan Taman Diraja Putrajaya 2022. Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli dalam program berkenaan. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata semenjak penganjuran festival ini diperkenalkan, kerajaan negeri telah menyertai festival ini sebanyak empat kali iaitu pada kali terakhir tahun 2019 dan berjaya meraih tempat ketiga bagi anugerah Royal Garden Award (Bronze) pada tahun tersebut. “konsep yang diketengahkan pada tahun ini adalah Alam Desa Terengganu, iaitu memfokuskan aspek warisan kebudayaan, sosial, ekonomi dan cara hidup masyarakat tempatan dengan menyelitkan beberapa program dan aktiviti. “Antaranya ialah persembahan tarian kebudayaan Wau Bulan, Ulek Mayang, tarian Sok Sek dan pelbagai lagi,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis perasmian Festival Bunga Dan Taman Diraja Putrajaya 2022 bertempat di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya baru-baru ini. Katanya, program ini berlangsung selama seminggu iaitu bermula 29 Ogos sehingga 4 September 2022. Sementara itu, satu tarikan utama adalah replika Wau Bulan bersaiz gergasi sebagai latar langit secara langsung menaungi tapak pameran yang menggambarkan Terengganu sememangnya negeri yang kaya dengan warisan budaya dan masih diamalkan oleh masyarakat tempatan. “Wau Bulan tersebut dibaluti dengan kain batik yang bermotifkan geometri alam semulajadi yang terdiri dari motif tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan seperti Bunga Raya, Tanjung dan sebagainya. "Untuk makluman, festival ini juga turut mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan di bawah Kerajaan negeri antaranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu," katanya.  
31 Aug 22
607
Taktik Tak Menjadi, Pasangan Dicekup
Taktik Tak Menjadi, Pasangan Dicekup
MARANG, 31 Ogos - Taktik mendaftar masuk hotel menggunakan dua bilik bagi mengaburi mata penguatkuasa tidak menjadi, selepas satu pasangan muda ditahan Pejabat Agama Daerah Marang (PADM) dalam serbuan Operasi Ambang Merdeka di sebuah hotel bajet, di sini pagi tadi. Ketua Unit Penguatkuasa PADM, Sharimah Mamat berkata, serbuan pada jam 4.15 pagi mendapati pasangan masing-masing berusia 25 dan 26 tahun itu berdua-duaan dalam salah sebuah bilik yang mereka tempah. "Kita berjaya menahan satu pasangan yang belum sah taraf nikah selepas lebih empat jam meronda dari Bandar Marang sehinggalah ke Wakaf Tapai bermula 12.00 tengah malam tadi. "Hasil pemeriksaan mendapati pasangan terbabit merupakan rakyat dari luar negeri Terengganu dan memberi alasan untuk melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan ambang kemerdekaan di sini. "Serbuan diadakan di beberapa lokasi terpilih bertujuan membanteras aktiviti tidak bermoral terutama kepada individu yang mengambil kesempatan ketika cuti umum ke hotel tertentu di kawasan ini," katanya selepas Operasi Ambang Merdeka membabitkan anggota PADM dan Skuad AMAR Marang melibatkan seramai 25 orang penguatkuasa serta sukarelawan. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31 (a) (b) EKJS (T) TRG 2001 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Terengganu kerana disyaki berkhalwat yang boleh dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun jika disabitkan kesalahan. Sementara itu, Ketua Skuad AMAR Marang, Nasaruddin Samsudeng berkata, semua pihak termasuk pemilik tempat penginapan perlu bertanggungjawab dalam mengelakkan pelanggaran syariat di negeri ini. "Jangan bermudah-mudah melakukan perkara terkutuk itu di negeri Terengganu kerana kita akan bersama-sama komuniti meningkatkan pemantauan dalam membantu Pejabat Agama Daerah Marang, insya-Allah," katanya.
31 Aug 22
2648