lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

"Saya Sudah Rasa Akan Kehilangan" - Ibu Mangsa Lemas
"Saya Sudah Rasa Akan Kehilangan" - Ibu Mangsa Lemas
DUNGUN, 27 September - Perasaan akan kehilangan sesuatu pada malam sebelum kejadian akhirnya menjadi mimpi ngeri bagi Almiah Nor Ali, 47, apabila terpaksa reda dengan tragedi anaknya maut lemas ketika mandi di sungai. Dia merupakan ibu kepada mangsa lemas Abdul Rafiuddin Abdul Rashid, 12, pelajar darjah enam Sekolah Kebangsaan Pulau Serai berkata hanya mampu berdoa supaya tabah menerima ujian tersebut. "Pada hari kejadian, kawannya ada datang ke rumah bagi memaklumkan tentang kejadian Rafiudin lemas di sungai. "Perasaan saya mula tak tenteram, awalnya saya tak percaya dia (Rafiuddin) hanyut di sungai sebab setahu saya dia ke klinik gigi dengan ayahnya, tapi apabila melihat basikalnya tiada, kami terus ke tempat kejadian, " katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun, di sini hari ini. Almiah yang lebih mesra dipanggil Mie turut berkata, dia menerima ketentuan takdir dengan penuh tabah dan menzahirkan penghargaan bagi semua pihak sehingga berjaya menemui jasad anaknya. "Saya sudah rasa akan kehilangan" - Almiah Nor Rafiuddin anak keenam daripada tujuh adik-beradik dilaporkan hilang setelah dihanyutkan air deras berjaya ditemui pada jam 2.30 pagi tadi di Sungai Dungun, Kampung Rajawali tidak jauh daripada lokasi lemas. Mangsa ketika itu mandi bersama empat seusianya iaitu Muhammad Qhalish Iman Hazimi, Muhammad Aqil Shafie, Wan Adip Hakimi Wan Ahmad dan Raja Muhammad Anas Raja Ibrahim kira-kira jam 5.30 petang semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menyampaikan sumbangan buat keluarga mangsa serta melahirkan rasa syukur kerana jenazah berjaya ditemui.  "Semoga keluarga mangsa tabah atas kehilangan anaknya dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu berusaha mencari mangsa," katanya. 
27 Sep 22
3048
Pengusaha Aiskrim Terima Peralatan Perniagaan
Pengusaha Aiskrim Terima Peralatan Perniagaan
KUALA TERENGGANU, 26 September – Empat unit peralatan perniagaan dengan anggaran kos RM20,000 telah disumbangkan kepada seorang pengusaha perniagaan aiskrim melalui Geran Agropreneur Muda daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi diiringi oleh Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Nukman Hashim dan Ketua Unit Agropreneur Muda FAMA Negeri Terengganu, Azizie Mohd. Pengusaha Aiskrim Harmoni, Muhammad Mohd Rosle, 24, menzahirkan rasa syukur setelah menerima sumbangan itu kerana ia dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan tersebut.  “Sebelum ini saya hanya menggunakan modal duit sendiri, jadi untuk mengembangkan perniagaan ini agak susah dengan modal yang terhad. “Saya rasa bersyukur dengan sumbangan yang saya terima ini dan insya Allah akan dimanfaatkan sebaiknya,” kata Muhammad ketika ditemui pemberita.  Beliau yang mengusahakan perniagaan aiskrim berjenama Aiskrim Harmoni telah memulakan perniagaan tersebut sejak tahun 2019. Menurutnya lagi, produk aiskrim tersebut setakat ini hanya dipasarkan ke 3 buah kedai dan sebuah pasaraya yang terletak di Losong.  Antara hasil produk Aiskrim Harmoni “Selain itu juga, saya ada menyediakan perkhidmatan katering untuk sebarang majlis seperti majlis perkahwinan dan sebagainya.  “Perancangan saya pada masa akan datang ingin meluaskan lagi pasaran perniagaan ini dan membuka sebuah kafe aiskrim,” katanya. Muhammad menerangkan sebagian proses pembuatan aiskrim  
26 Sep 22
620
ADUN Belia Wanita Santuni Masyarakat, Ibu Bersalin
ADUN Belia Wanita Santuni Masyarakat, Ibu Bersalin
MARANG, 25 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Wanita Terengganu mengambil inisiatif menyantuni golongan belia dan masyarakat sekitar DUN Rhu Rendang dalam ziarah ibu bersalin dan 'Street Dakwah'. Pembantu Hal Ehwal Beliawanis Institut Modal Insan Terengganu (i-MiTS) DUN Rhu Rendang, Syarifah Noorsheikha Syed Mahmud memuji usaha yang dianjurkan bagi merapatkan jurang antara komuniti dengan pemimpin muda negeri. "Kita sangat berbesar hati apabila pihak ADUN Belia Wanita menyatakan hasrat ingin bekerjasama dalam menjayakan aktiviti ziarah di sekitar DUN ini. "Tujuh orang pemimpin belia ini telah menyantuni 23 ibu muda yang baru bersalin di perkampungan Sentol Patah, Batangan, Rhu Rendang, Kijing, Bandar Marang, Paya, Darat Pok Chan dan Rhu Muda. Mereka juga turut melakukan aktiviti 'Street Dakwah' di sekitar Pulau Kekabu dalam usaha mendekati anak muda dan masyarakat di samping berkongsi tentang kejayaan manifesto Kerajaan Terengganu. "Ada dalam kalangan mereka yang tahu, malah ada juga yang kurang dan tidak mengambil tahu. Jadi peranan ADUN Belia ini adalah menyampaikan tentang kejayaan serta pelaksanaan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri sehingga ke hari ini. Dalam pada itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Mohd Fahkruddin Zakaria berkata, program ini wajar diteruskan untuk memberi pendedahan kepada anak muda tentang isu semasa di samping mendekati masyarakat setemmpat. "Golongan muda intelektual seperti ini, juga perlu diberi pendedahan untuk berhadapan dengan rakyat lebih awal, malah mendekati kehidupan masyarakat supaya dapat dijadikan pengalaman untuk mereka sendiri kelak," tambahnya lagi.  
26 Sep 22
330
Atlet PSMZA Menyinar Di SUKMA 2022
Atlet PSMZA Menyinar Di SUKMA 2022
DUNGUN, 25 September - Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin ( PSMZA) antara individu yang melakar sejarah tersendiri di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dengan turut menyumbang pingat kepada Kontijen Negeri Terengganu.  Dua pelajar institusi pengajian itu, Ahmad Arif Hakimi Mohd Hanizan dan Muhammad Amir Hilmi Burhan Shahidi dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal telah berjaya menambah pingat emas menerusi acara Petanque Berpasukan Lelaki yang berlangsung di Arena Petanque Pudu Ulu, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pengarah PSMZA Mohd Fikri Ismail berkata, pihak PSMZA merakamkan setinggi penghargaan kepada pelajar terlibat. "Tahniah kerana berjaya menambah pingat emas kontinjen Terengganu setelah empat tahun menjalani latihan, penyertaan SUKMA kali ini merupakan yang terakhir buat mereka berdua bersama PSMZA," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) PSMZA, hari ini.   Menurut kenyataan tersebut, seorang lagi pelajar, Wan Muhammad Sabri Wan Zuki dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik berjaya memungut pingat Perak dalam acara Muaythai bagi kategori 57 kg - 60 kg  yang diadakan di South City Plaza, Seri Kembangan, Kuala Lumpur.  "Tahniah dan sekalung penghargaan daripada pengarah dan seluruh Ahli Mesyuarat Pengurusan serta warga PSMZA kerana pelajar-pelajar ini telah mengharumkan nama PSMZA di persada tanah air," ujar jurucakap UKK dalam kenyataan tersebut.  
25 Sep 22
438
Wanita Marang Banjiri Masjid Rhu Muda
Wanita Marang Banjiri Masjid Rhu Muda
Gambar :  Aslam Wira Oleh : Fatimah Din MARANG, 21 September - Lebih 1,000 wanita daerah Marang membanjiri Masjid Kampung Rhu Muda di sini untuk mendengar kuliah dhuha oleh Pendakwah Selebriti,  Asma Harun. Penolong Pengarah Perancangan Strategik Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mist) Negeri Terengganu, Faridah Omar berkata, kunjungan tersebut adalah kali kedua penceramah terkenal itu ke Marang selepas di Pustaka Marang. "Tahniah saya ucapkan kepada wanita Marang, sambutan begitu mengujakan." katanya yang ditemui selepas program tersebut.   Sementara itu, Ustazah Asma di dalam kuliahnya " Wanita Dambaan Syurga, Wanita Akhir Zaman", berkata bukan ramai yang hendak hadir majlis ilmu sekarang ini, dengan berbagai tuntutan hidup yang menjadi  halangan luaran atau dalaman.   "Sedar kamu wanita sesibuk mana pun kamu dengan tuntutan hidup (kena taat) selepas Allah, Rasulullah, suami dan ibumu, jaga betul-betul. " Wanita, kita perlu redha dengan kekurangan yang banyak, cari contoh yang jelas sayyidatina Khadijah, Sayyidatina Asiah, Sayyidatina Maryam dan Sayyidatina Fatimah," jelasnya lagi.    
21 Sep 22
1113
212 Pelajar Politeknik Terima Tauliah APM
212 Pelajar Politeknik Terima Tauliah APM
DUNGUN, 21 September - Seramai 212 pelajar daripada 12 buah Politeknik Malaysia telah menerima pertauliahan sebagai Pasukan Institusi Pertahanan Awam Malaysia (PISPA). Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainab Ahmad berkata, latihan dan kursus yang dijalankan bersama pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu mencakupi aspek kognitif serta psikomotor.  katanya, antara objektif PISPA adalah untuk menyebar dan mendidik pelajar mengenai langkah-langkah keselamatan diri dan orang awam serta membentuk keperibadian mereka untuk menjadi seorang individu yang berpengetahuan dalam ilmu Pertahanan Awam. "Kursus yang diadakan terbukti berjaya menaikkan lagi elemen kemahiran insaniah, kepimpinan, tanggungjawab dan disiplin dalam kalangan anggota PISPA," ujarnya ketika berucap di Majlis Pentauliahan PISPA Politeknik Malaysia 2022 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Dagang, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), baru-baru ini. Sementara itu katanya, pihak JPPKK sentiasa membuka ruang dan peluang kepada pihak APM untuk mengadakan kolaborasi berbentuk penyelidikan inovasi secara bersama.  "Kami juga mengalu-alukan dan mempelawa anggota APM untuk mengikuti kursus-kursus Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH) di mana-mana Politeknik atau Kolej Komuniti di seluruh Malaysia.  Katanya, melalui platform tersebut, ianya dapat menjadi salah satu faktor pemangkin kepada pembinaan kredibiliti dan imej Politeknik juga APM.  " Melalui platform ini juga akan mampu menjadikan kedua-dua institusi untuk kekal relevan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik seiring dengan keperluan pembangunan negara kita," katanya lagi  "Besar harapan kami di JPPKK agar pendekatan ini mampu melahirkan graduan holistik seimbang yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kebolehpasaran graduan politeknik saban tahun," ujarnya.  
20 Sep 22
670
10 Ribu Langkah Untuk Gaya Hidup Lebih Sihat
10 Ribu Langkah Untuk Gaya Hidup Lebih Sihat
KUALA TERENGGANU, 19 September – Aktiviti 10 ribu langkah antara yang menarik dalam Karnival Kolam Sejahtera anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kolam baru-baru ini.  Kira-kira 100 orang penduduk Kampung Kolam telah hadir menyertai aktiviti tersebut berjalan mengelilingi kawasan kampung tersebut.  “Banyakkan berjalan perlu dijadikan satu amalan untuk gaya hidup yang lebih sihat. “Saya ucap tahniah kepada JPKK Kolam dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam ucapan perasmiannya.  Karnival Kolam Sejahtera yang diadakan selama dua hari ini turut mengadakan pertandingan bola sepak 8 sebelah, sukan rakyat, pertandingan mewarna dan lain-lain lagi. Turut hadir dalam karnival tersebut ialah Penghulu Mukim Kuala Ibai, Raah @ Razman Ismail. Pelepasan peserta jalan kaki 10 ribu langkah oleh ADUN Batu Buruk  
19 Sep 22
573
Replika Kepala Kereta Api Singkap Sejarah Dungun
Replika Kepala Kereta Api Singkap Sejarah Dungun
DUNGUN, 19 September - Replika kepala kereta api yang dipertaruhkan daerah Dungun pada Pertandingan Kenderaan Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, baru-baru ini bertujuan menyingkap kembali lembaran sejarah yang daerah itu pernah mempunyai perkhidmatan kereta api. Pegawai Daerah Dungun, Yusman Ibrahim berkata, idea tersebut diketengahkan untuk mengembalikan nostalgia bahawa Dungun, daerah yang  sinonim dengan bijih besi dan menjadi tumpuan penduduk seluruh negara satu masa dahulu di mana kereta api menjadi pengangkutan penting kepada pekerja lombong, peniaga serta orang ramai untuk berulang-alik dari Bukit Besi ke pekan Dungun ketika itu. "Replika kita adalah bentuk sebenar kepala kereta api wap yang terakhir digunakan dimana arkitek kita ke Muzium Negeri Terengganu untuk mengambil gambar objek tersebut," katanya.  Beliau berbesar hati kerana Dungun telah diumumkan sebagai Naib Juara  Pertandingan Kenderaan Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.  Dengan kemenangan tersebut pasukan yang disertai oleh Majlis Perbandaran Dungun, Pejabat Daerah Dungun, Jabatan Kerja Raya Daerah Dungun dan KETENGAH telah berjaya membolot hadiah RM 15,000. Menurut Jusman, kerja - kerja menyiapkan kereta berhias itu telah mengambil masa dua minggu.  "Saya ucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dan sanggup bersekang mata hingga lewat malam, dan hari yang terakhir sehingga 5 pagi masih lagi bertungkus lumus semata - mata hendak memastikan lampu - lampu yang menghiasi replika kami itu bercahaya di malam pertandingan, "katanya.  
19 Sep 22
1293
Konvoi Kemerdekaan YADIM Terengganu Santuni Masyarakat
Konvoi Kemerdekaan YADIM Terengganu Santuni Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 17 September – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu telah menganjurkan Konvoi Kemerdekaan Keluarga Malaysia 2022 bersempena Hari Malaysia, semalam.  Menurut Penyelaras Program, Nor Mazila Mohd Zin, konvoi tersebut berlangsung secara serentak oleh pihak YADIM di seluruh Malaysia pada hari itu.  “Konvoi kita pada hari ini akan ke Taman Rahmat, Pulau Kerengga untuk menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sana. Rider Grab Food antara yang menyertai Konvoi Kemerdekaan Keluarga Malaysia 2022 “Selain itu, kita juga mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan Surau Taman Rahmat dan ziarah di sekitar kawasan tersebut,” kata Nor Mazila ketika ditemu bual pemberita. Tambahnya lagi, antara kelainan pada program kali ini ialah penglibatan penghantar makanan Grab Food yang dikumpulkan untuk menghantar makanan ke rumah-rumah di taman tersebut.  “Pada sebelah petang pula kita adakan aktiviti ‘street dakwah’ di Pantai Kelulut dan program ini akan berakhir di sana,” katanya lagi.  Pelepasan konvoi tersebut telah dirasmikan dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah.  Kira-kira 80 orang peserta telah menyertai konvoi  ini yang terdiri daripada ‘rider’ Grab Food, Sukarelawan YADIM dan para mahasiswa.  
18 Sep 22
297
Pejabat Agama Daerah Marang Tawar Kursus Mandi Jenazah
Pejabat Agama Daerah Marang Tawar Kursus Mandi Jenazah
MARANG, 18 September - Pejabat Agama Daerah Marang melalui Bahagian Unit Dakwah kini menawarkan khidmat jurumandi jenazah kepada mereka yang berminat melalui kursus yang dianjurkan. Ketua Unit Dakwah, Ahmad Mohsein Zakaria berkata kursus  tersebut merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Daerah Marang untuk membantu masyarakat kampung melalui kefahaman mengenai fardhu kifayah ini.   “Pengurusan jenazah ini mudah dilakukan, tetapi dianggap sukar apabila tidak mempelajarinya. “Peserta yang menyertai kursus ini akan ditawarkan sebagai jurumandi jenazah serta diberikan bimbingan khas oleh pihak jabatan untuk dinilai samada layak atau sebaliknya,” jelasnya.  Beliau berkata demikian selepas Program Kursus Pengurusan Jenazah Siri Kedua bertempat di Dewan Serbaguna Jabatan Kerja Raya (JKR) Marang semalam. Tambah Mohsein, seramai 65 orang peserta terlibat untuk program kali ini dan akan diberikan sijil penyertaan serta tawaran untuk jurumandi jenazah. Katanya, pada siri pertama telah diadakan kursus pengurusan jenazah khas untuk kaum wanita sahaja dan untuk kali ini diadakan pula untuk kaum lelaki. "Kesemua peserta yang terlibat menunjukkan maklum balas positif serta penceramah jemputan adalah daripada mereka yang pakar dalam bidang pengurusan jenazah. "Saya berharap sesetengah masyarakat pada hari ini mengambil cakna terhadap ilmu fardhu kifayah dan sentiasa saling mengingati antara satu sama lain,” katanya. Sementara itu, beliau juga berkata pihaknya akan meneruskan program seperti ini untuk kepentingan masyarakat kampung apabila berlakunya kematian.  
18 Sep 22
556