Artikel "Komuniti" Terkini
PTA Service Tawar Servis Peralatan Elektrik Percuma
BESUT, 25 Disember - PTA Sales & Service Sdn Bhd (PTA Service) cawangan Kampung Raja menawarkan perkhidmatan servis peralatan elektrik percuma buat mangsa banjir.
Pengurus PTA Service, Mohd Azam Ramia berkata tawaran secara percuma ini terbuka buat semua mangsa banjir terpilih sehingga Rabu (28 Disember) ini.
“Misi ini pertama kali diadakan pihak PTA Service melihatkan kepada keadaan bencana teruk kali ini.
“Sebagai tanda keprihatinan PTA Service, kami menawarkan bantuan berupa khidmat servis barangan elektrik secara percuma khas buat mangsa banjir,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
PTA Service menerima apa-apa barangan elektrik dan elektronik ke ousat operasi kami di Besut.
Sebarang persoalan boleh diajukan terus kepada pihak PTA Service di talian 011-51134656.
25 Dec 22
645
Khidmat Malaysia Bantu Mangsa Banjir Dungun
DUNGUN, 22 Disember- Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turun padang membantu meringankan beban mangsa banjir di daerah ini termasuk Pengurusan Kecemasan Dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) kawasan Dungun.
Pengerusinya, Khairul Ismail berkata, Khidmat Malaysia bersama beberapa NGO lain ikhlas menyantuni mangsa banjir dan menghulur bantuan, sama ada sumbangan barangan keperluan atau dalam kerja pembersihan.
“Kami bergerak bersama Jabatan Amal ke Durian Mentangau, Kampung Nyior, dan Pinang Merah untuk memberi bantuan makanan, minyak petrol, dan 'jenset' kerana di Durian Mentangau terputus bekalan api dari semalam lagi.
"Terdapat satu Pusat Pemindahan Sementaraq (PPS) sahaja di Durian Mentangau, ada juga beberapa mangsa di Durian Mentangau terpaksa dialihkan ke PPS lain, cuma kami pihak Khidmat Malaysia bersama-sama dengan Jabatan Amal dan PADAT akan bergerak memberi bantuan sokongan kepada agensi yang terlibat termasuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan sebagainya," ujarnya ketika ditemui di Pejabat PAS Kawasan Dungun, semalam.
Katanya, orang ramai dialu-alukan untuk turut sama membantu mangsa banjir dengan menyediakan barang-barang keperluan untuk dihantar ke PPS.
"Antara yang menjadi keutamaan bagi mangsa banjir ketika berada di PPS adalah makanan, tilam, selimut, tuala wanita, susu dan lampin bayi pakai buang serta lain-lain.
“Kalau ada yang ingin menyalurkan bantuan boleh hubungi terus bilik gerakan kami yang bertempat di Pejabat PAS Kawasan Dungun," katanya
22 Dec 22
749
Penyelamat Mangsa Lemas Terima Anugerah Wira
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Aur, Che Ku Marzuki Che Ku Dalam menerima Anugerah Khas Wira Masyarakat dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan JPKK Daerah Kuala Terengganu yang diadakan baru-baru ini.
Anugerah tersebut telah diberikan sebagai tanda menghargai usaha beliau demi menyelamatkan mangsa lemas di Pantai Pandak Chendering pada 11 Januari 2020 yang lalu dalam satu tragedi melibatkan empat orang mangsa.
Che Ku Marzuki penerima Anugerah Khas Wira Masyarakat
Menceritakan pengalaman tersebut, Che Ku Marzuki berkata pada awalnya beliau menerima satu panggilan sekitar jam 5 petang yang mengatakan ada orang lemas di Pantai Pandak.
“Kemudian saya terus bergegas ke Pelabuhan Chendering dan mengambil bot fiber saya menuju ke tempat kejadian,” kata Che Ku Marzuki ketika menceritakan detik kejadian tersebut kepada pemberita.
Menurut beliau keadaan ombak ketika itu agak besar dan berisiko.
“Setibanya di tempat kejadian, saya lihat mangsa terkapai-kapai lalu saya campakkan pelampung bagi menyelamatkan mangsa.
“Malangnya 3 orang lagi mangsa tidak dapat diselamatkan kerana keadaan ombak yang sangat berisiko pada ketika itu,” jelasnya lagi.
Beliau turut memberikan pesanan agar masyarakat tidak mengadakan sebarang aktiviti di tepi pantai dalam musim tengkujuh ini kerana keadaan yang berbahaya.
Selain itu, beberapa penghargaan lain juga diberikan dalam majlis tersebut antaranya Insentif Penyertaan Pertandingan Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Terengganu yang diberikan kepada JPKK Padang Midin dan Anugerah Kecemerlangan JPKK bagi setiap mukim dalam Daerah Kuala Terengganu.
Turut hadir Ahmad Faris Abd Razak, Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang merasmikan majlis tersebut dan menyampaikan anugerah-anugerah kepada penerima.
Penerima Anugerah Kecemerlangan JPKK dalam Daerah Kuala Terengganu
Penerima Anugerah Kecemerlangan JPKK bagi mukim dalam DUN Batu Buruk
21 Dec 22
363
PKM ADUN Batu Buruk Hantar Bantuan Kepada Mangsa Banjir Telemong
KUALA TERENGGANU, 20 Disember – Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (PKM ADUN) Batu Buruk dengan kerjasama PKM DUN Telemong telah menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di sana, semalam.
Rombongan yang diketuai oleh ADUN Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi telah menghantar kira-kira 250 pek makanan dan 300 pek barang mentah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jenderis dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jenderis.
Selain itu, rombongan misi bantuan tersebut juga menghantar sebahagian bekalan makanan di Politeknik Hulu Terengganu untuk dimanfaatkan oleh warga politeknik tersebut.
bantuan bekalan makanan untuk Politeknik Hulu Terengganu
“Suasana banjir yang berlaku di sini agak luar biasa dan Hulu Terengganu antara daerah yang sangat terkesan pada ketika ini selain Besut dan Kemaman.
“Kita diperingkat Kerajaan Negeri Terengganu dan juga Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan terus menyantuni rakyat yang ditimpa musibah ini untuk membantu mereka,” kata Dr. Muhammad Khalil ketika ditemui pemberita.
Beliau turut menasihatkan agar semua menjaga keselamatan sepanjang tempoh musim tengkujuh ini.
Bantuan bekalan makanan untuk dihantar ke PPS SK Jenderis dan PPS SMK Jenderis
“Bagi yang berpindah ke PPS, matikan suis elektrik utama sebelum meninggalkan rumah dan elakkan bermain air banjir kerana kita bimbang ia akan menjejaskan kesihatan,” katanya lagi.
Terkini, seramai 2,133 keluarga telah ditempatkan di 58 buah PPS dalam Daerah Hulu Terengganu.
20 Dec 22
259
Majlis Khatan Ramai-Ramai Bantu Ringan Kewangan Ibu Bapa
DUNGUN, 18 Disember - Inisiatif mengadakan Majlis Berkhatan Beramai-ramai oleh beberapa JPKK DUN Rantau Abang telah berjaya membantu ibu bapa menunaikan tanggungjawab keatas anak-anak yang hampir cukup umur atau akil baligh sekali gus meringankan beban kewangan mereka.
Seorang ibu muda, Aima Nazuha Ibrahim berkata, memandangkan kos berkhatan yang dikenakan di klinik - klinik swasta adalah tinggi tetapi dengan adanya program yang dianjurkan oleh JPKK sedikit sebanyak menjimatkan perbelanjaan ibu bapa yang berpendapatan rendah sepertinya.
"Saya bersyukur sungguhlah, bila Pok Husnu (Pengerusi JPKK Gong Pasir) telefon tanya anak hendak berkhatan dok, saya terus jawab 'nok', sebab sebenarnya saya sudah telefon macam-macam klinik , nok cari yang bawah RM200, tetapi tidak ada," katanya sambil memberitahu suaminya hanya bekerja sebagai juru kimpal.
Aima Nazuha
bersama anaknya Adam Mikhail Rizqi
Ibu kepada Adam Mikhail Rizqi Mohd Fairul, 8, yang juga seorang surirumah itu berkata demikian ketika ditemui di Majlis Khatan Beramai-ramai Anjuran JPKK Gong Pasir di Dewan PASTI Gong Pasir di sini baru - baru ini.
Sementara itu bagi, Suliza Salleh, 37, memuji usaha JPKK yang sentiasa memahami masalah ibu bapa yang tidak berkemampuan sepertinya.
"Saya berasa sangat lega, saya lepas tanggungjawab sebab berkhatan ni kan wajib kepada anak lelaki yang hampir akil baligh, mana fikir tidak mampu, sebab suami hanya bekerja sebagai tukang rumah, memang kena banyak berjimatlah," ujarnya.
Daripada tinjauan didapati antara JPKK yang mengada program tersebut ialah JPKK Kampung Paya, Gong Pasir dan Kampung Rantau Abang dimana hanya mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM50 atau RM60 sahaja berbanding bayaran di klinik swasta sekurang-kurangnya RM250.
"Kita hanya mengenakan pendaftaran sebanyak RM60, disamping menyediakan cenderahati kain pelekat serta wang tunai," kata Pengerusi JPKK Gong Pasir, Husnu Hussin.
18 Dec 22
417
PKM Kijal, Ar Rijal Care Rai 120 Kanak-kanak
KEMAMAN, 17 Disember - Seramai 120 orang kanak-kanak diraikan didalam Program Khatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal 2022 yang diadakan Masjid Meraga Beris, Kijal kelmarin.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal dengan kerjasama Ar Rijal Care dan Masjid Meraga Beris dengan mengenakan separuh bayaran mendapat sambutan masyarakat setempat.
Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh berkata ianya salah satu inisiatif serta Corporate Social Responsibility (CSR) daripada pejabat PKM Kijal dalam membantu rakyat kawasan Kijal dimana masalah kewangan kebanyakan keluarganya masih belum pulih sepenuhnya akibat pendemik COVID-19.
Hazri Jusoh (dua dari kiri) menyantuni para petugas.
"Saya mengharapkan dengan program sebegini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan keluarga dalam memastikan ahli keluarga kita dapat meneruskan hidup dengan sempurna," ucapnya.
Beliau hadir merasmikan program tersebut turut menasihati ibubapa agar lebih cakna dan mengambil tahu kemana anak-anak pergi bermain di musim tengkujuh ini.
"Kepada anak-anak yang kini memasuki cuti akhir tahun persekolahan, jangan pergi bermain di paya, sungai atau tali air. Saya juga mengharapkan agar ibubapa mengambil lebih perhatian kemana anak kita pergi bermain di musim hujan begini.
Sebahagian daripada peserta program.
"Dua tiga hari lepas kita mendengar berita seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mati lemas didalam tali air di Kampung Kebor Besar, Manir amat mengharukan semua masyarakat di Terengganu." ujarnya.
Turut hadir, Penyelia IMITS DUN Kijal, Haji Wahab Ahmad, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zawawi Mohamed, Pengerusi Ar Rijal Care, Zulkifli Nara dan Ahli Jawatankuasa JPKK Meraga Beris.
16 Dec 22
224
Tanah Runtuh Disangka Pokok Tumbang
KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Seorang penduduk tidak menyangka bunyi kuat didengarinya sewaktu pulang bekerja yang disangkakan pokok tumbang rupa-rupanya tanah runtuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Kecil, Amran Ali berkata kejadian tanah runtuh di Flat Bukit Kecil 2 itu berlaku lebih kurang 2.40 pagi oleh seorang yang baru pulang bekerja.
"Pada mulanya penduduk itu terdengar bunyi yang sangat kuat dia ingat pokok tumbang, tapi pagi tadi dia bangun, dia tengok tanah runtuh," ceritanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di tempat kejadian di Bukit Kecil dekat sini.
Menurutnya, beliau bersama Penghulu Mukim Besar Shaharuddin Ismail telah meninjau kejadian tersebut untuk mengambil tindakan selanjutnya.
"Semasa tinjauan tersebut, tiba-tiba tanah bukit tersebut jatuh, kejadiannya begitu cepat sekali dalam sekitar pukul 12.05 tengahari," katanya.
Turut sama hadir melakukan tinjauan ialah JKM, Polis, JPAM dan MBKT.
16 Dec 22
256
Kraf Epoxy Rezeki Lumayan Safaridzuan Selepas Hilang Kerja
KUALA TERENGGANU, 11 Disember- Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu, sememangnya memberi kesan besar kepada masyarakat, apatah lagi ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
Bagi anak muda dari Kampung Kota, Manir di sini, Ahmad Safaridzuan Mohamad, 36, berkata dirinya tidak terkecuali apabila terpaksa berhadapan dengan kesan COVID-19.
Impian untuk melebarkan perniagaan perkhidmatan perancang perkahwinan yang diusahakan terkubur apabila industri perkahwinan yang sebelum ini cukup meriah bertukar suram apabila banyak majlis terpaksa dibatalkan atau ditunda disebabkan pandemik.
Bagaimanapun Safaridzuan bersyukur, keputusan berhenti menjalankan perkhidmatan perancang perkahwinan pada tahun 2020 dan beralih kepada membuat barangan kraf epoxy kini menjadi pintu pembuka rezeki baharu buat dirinya apabila seni kraf kayu yang diusahakannya itu kian mendapat sambutan.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa ketika itu, perniagaan tidak boleh dijalankan dan saya tidak mempunyai pendapatan lain dan apa pun terjadi saya tetap perlu mencari rezeki untuk keluarga.
“Kebetulan, saya suka tengok seni kraf epoxy yang ‘mat salleh’ buat, dan lihat tidak ramai orang Malaysia ada kemahiran menghasilkannya jadi cuba belajar cara pembuatannya di Youtube dari luar negara dengan harapan dapat mahir supaya boleh jalankan perniagaan itu," ujarnya ketika ditemui di Bengkel Pembuatan Barangan Kraf Epoxy miliknya, baru-baru ini.
Katanya, dia pernah mengikuti kursus berkaitan epoxy di Pahang pada tahun 2019 dan kerana minat mula mencari ‘trademark’ sendiri untuk mempromosikan hasil kraf yang diusahakan sebaik terbabit secara serius dalam seni pembuatan barangan kraf epoxy itu sejak April 2020.
“Kerana mempunyai nilai estetika tersendiri, saya hanya menggunakan kayu jenis cengal dan merbau sahaja untuk menghasilkan barangan kraf menggunakan teknik epoxy seperti meja, jam dinding dan lain-lain.
"Paling mahal pernah dijual ialah meja kayu merbau epoxy dengan harga RM50,000 di Perak pada Oktober 2021.
"Alatan kraf lain yang juga mendapat sambutan tinggi ialah jam dinding epoxy dengan harga RM400 hingga RM700 setiap satu,” ujarnya.
Ahmad Safaridzuan berkata, disebabkan harga bahan mentah seperti kayu yang digunakan dan alatan termasuk cecair epoxy yang mahal menyebabkan harga barangan kraf yang dihasilkan agak tinggi.
"Biasanya, satu-satu tempahan itu dapat disiapkan dalam tempoh sebulan hingga dua bulan dengan dibantu dua pekerja.
“ Untuk mendapatkan hasil yang berkualiti pula, saya hanya membuat barangan kraf epoxy apabila mendapat tempahan, dan dalam setahun lebih kurang 30 produk dapat dijual,” ujarnya.
11 Dec 22
398
Beruk dan Babi Boleh Ditembak, Tapi..
KUALA TERENGGANU, 29 November- Pekebun-pekebun yang menghadapi ancaman hidupan liar daripada spesies kera dan babi boleh menembak haiwan terbabit sekiranya memiliki lesen senjata api.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kera dan babi merupakan hidupan liar yang tersenarai sebagai spesis dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 176), namun akta berkenaan turut membenarkan pemilik kebun atau pekerjanya yang mempunyai lesen senjata api untuk mengambil tindakan menembak sekiranya hidupan tersebut mengancam nyawa dan merosakkan harta benda.
"Tetapi, selepas tembak dilakukan mesti (wajib) lapor kepada Jabatan Perhilitan. Jadi, selepas ini tidak timbul lagi isu kera dan babi yang mengganggu tidak boleh ditembak," katanya ketika menjawab soalan daripada ADUN Air Putih, Abd Razak Ibrahim dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 130 aduan gangguan hidupan liar diterima Perhillitan dari Januari sehingga September 2022.
"Watak utama haiwan perosak tanaman yang direkodkan ialah gajah, beruang, kera, babi hutan dan tapir. Dari tahun 2020 sehingga tahun 2022 nilai kerugian yang dicatatkan di Terengganu angkara makhluk Allah ini ialah RM2,621,130.
"Langkah-langkah yang telah diambil kerajaan ialah operasi pembasmian dengan kerjasama antara Jabatan Pertanian, Jabatan Perhilitan dan pemilik lesen senjata api setempat selain memasang perangkap kera dan babi untuk dipindah alam (dimatikan). Manakala, beruang dan tapir yang ditangkap pula akan dipindahkan ke habitat asal yang jauh dari kawasan konflik.
"Bagi ancaman gajah, tiga kaedah digunakan iaitu pemasangan pagar elektrik, tembak halau dan tangkap pindah," katanya.
Jelasnya, sistem pagar elektrik gajah (SPEG) telah dipasang di Kg. Lawit ke Kg. Belukar Bukit sejauh 29.5 km, Kg Pelong Setiu (35km) dan Kg Payong ke Chalok Barat (25km).
"Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ada empat lokasi baru akan dibangunkan SPEG iaitu Kg Ban Hoo dan Kg Air Putih di Kemaman serta Kg Gerdong dan Kg Lubuk Periuk di Hulu Terengganu.
"Bilangan gajah yang telah ditangkap pindah pula ialah sebanyak empat ekor pada tahun 2019, 2020 (6 ekor), 2021 (8 ekor) dan 2022 (3 ekor). Majoritinya dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum supaya tidak berkonflik dengan manusia di habitat asal," katanya.
29 Nov 22
2089
Dua Kontraktor Sampah Ditamatkan Kontrak
KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan negeri telah menamatkan kontrak dua kontraktor sampah yang didapati tidak mencapai prestasi kerja ditetapkan dalam memastikan tahap kebersihan di zon operasi mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr. Alias Razak berkata, lantikan kontraktor baru juga telah dibuat bagi memastikan kebersihan di negeri Terengganu sentiasa terjaga.
"Kita memang ada pegawai khas yang ditetapkan untuk mengawasi seluruh tapak-tapak ini dalam memastikan kontraktor terlibat menjalankan tugasnya dengan sempurna.
"Tetapi dalam pengawasan kita dan penggunaan 'smart bin' pun masih ada lagi yang cuai dalam menjaga kebersihan. Walaubagaimanapun, pihak MBKT sentiasa membuat pemantauan dan denda sekiranya tapak tersebut tidak diselia dengan baik oleh kontraktor terlibat," katanya ketika menjawab soalan daripada ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.
Tambahnya, bagi tahun 2022 terdapat sebanyak 1,084 lokasi tapak tong sampah melibatkan 583 lokasi di Kuala Terengganu dan 501 lokasi di Kuala Nerus di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Menurutnya lagi, secara purata sebanyak tiga tong sampah ditempatkan di setiap lokasi tapak dengan jumlah keseluruhan tong sampah yang disediakan di dua daerah berkenaan adalah 3,255 unit.
"Tahun lepas, kita telah beri peruntukan tambahan membeli tong sampah tambahan, namun berdepan masalah vandalisme yang masih berlaku menyebabkan tong sampah selalu berkurangan.
"Kita harap disiplin rakyat dan pendidikan tentang pembuangan sampah secara teratur dapat mengurangkan vandalisme,” katanya yang turut menyarankan supaya kesedaran masyarakat terhadap kebersihan masih perlu dipupuk ke tahap lebih tinggi dalam usaha mewujudkan persekitaran bersih di Terengganu.
29 Nov 22
3437