lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Pelajar Pendidikan Khas Lincah Jual Donat
Pelajar Pendidikan Khas Lincah Jual Donat
Oleh: Muhammad Zamarul Hisyam Mohd Safri HULU TERENGGANU, 18 Januari – Kesungguhan seorang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (pembelajaran) Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong, Muhammad Farish Ikhwan Abdul Razak mengusahakan perniagaan menjual donat menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Maliaman Kassim untuk menghulurkan bantuan. Maliaman berkata, apa yang dilakukan oleh pemuda itu wajar dicontohi oleh golongan belia di luar sana khususnya yang dilahirkan segala sempurna. Katanya, memegang status orang kelainan upaya (OKU) sebenarnya bukanlah satu hal yang mudah kerana perlu berhadapan dengan stigma masyarakat yang meragui keupayaan mereka.  “Ini adalah satu usaha yang sangat bagus ditunjukkan oleh adik Farish kerana mempunyai semangat tinggi untuk menjadi seorang usahawan muda yang berjaya dan terkenal. "Dengan adanya mesin pengadun yang baru ini, Insyaallah ia mampu menyiapkan adunan tepung dalam pembuatan donatnya itu dengan kadar yang cepat dan tidak memerlukan tenaga berat apabila menguli menggunakan mesin ini,” ujarnya selepas menyerahkan mesin pengadun donat kepada remaja itu di gerainya, baru-baru ini. Maliaman berkata, pelbagai bantuan disediakan untuk membantu usahawan muda yang mempunyai kehendak dan kesungguhan yang tinggi dalam mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan. Sementara itu, Farish Ikhwan berkata, walau dilahirkan OKU (pembelajaran), status itu tidak menjadi penghalang untuknya menceburkan diri dalam bidang yang diminati walaupun terpaksa bersengkang mata menyiapkan adunan donat. Katanya, dia kini mampu berbangga kerana berjaya mengusahakan perniagaan menjual donat yang menjadi kegemaran ramai. “‘Hadiah' daripada Ustaz Maliaman ini cukup bermakna kerana dengan adanya mesin pengadun ini dapat memudahkan lagi kerja saya untuk mengadun tepung dalam memproses donat. "Saya hanya manfaatkan hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu untuk menjual donat pelbagai perisa seperti donat susu, red velvet dan yang paling istimewa iaitu donat pandan,” ujar Farish Ikhwan. Gurunya, Suriati Mohamad Nor berkata, berkat sokongan ibu Robiah Salleh perniagaan anak didiknya itu semakin bertambah baik dan sentiasa mendapat permintaan. “Insyaallah dengan bantuan dan sumbangan daripada Ustaz ini, Farish akan berjaya dalam bidang bagi saya dia sendiri sangat minat dan sanggup bangun pada pukul 4 pagi untuk membuat donat untuk jualannya. "Saya sangat bersyukur dengan bantuan mesin pengadun ini. Terima kasih atas keprihatinan Ustaz Maliaman dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini yang sentiasa cakna dan menyokong para peniaga yang memerlukan dorongan dan juga bantuan," katanya.
18 Jan 23
554
6,000 'Walk For Peace' Di Terengganu
6,000 'Walk For Peace' Di Terengganu
KUALA NERUS, 14 Januari - Lebih 6,000 peserta berhimpun di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, sempena Hari Keamanan Bangsa-bangsa Bersatu 2023, hari ini. Para peserta terdiri daripada pelajar lelaki, perempuan dan keluarga itu berjalan sejauh lima kilometer bagi menjayakan program 5km International Fun Walk For Peace yang turut berlangsung di lapan negeri di seluruh Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program anjuran Pengakap Kuala Terengganu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu dan PPD Kuala Nerus itu amat baik dan harus disokong. "Kita boleh lihat penyertaan begitu ramai terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan keluarga. "Ini satu aktiviti bagus bagi keluarga, secara tidak langsung mengeratkan hubungan kekeluargaan dan dapat menjadikan aktiviti sihat ini untuk seisi keluarga," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta ditemani Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail.  
14 Jan 23
503
Usahawan Makanan ‘Frozen’ Teruja Terima Peti Sejuk Beku
Usahawan Makanan ‘Frozen’ Teruja Terima Peti Sejuk Beku
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Seorang usahawan makanan sejuk beku berasa teruja apabila menerima bantuan peti sejuk beku melalui insentif Dana PUTERA oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU). Nur Amalina Nadirah Mohamad, 28, merupakan salah seorang daripada 51 orang penerima dana bantuan tersebut dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.  “Saya rasa macam tidak percaya dapat peti ini pada hari ini sebab saya memang memerlukannya. Nur Amalina (dua dari kanan) sedang menunjukkan antara produk yang dijual “Sebelum ini saya tidak dapat buat produk dengan banyak sebab tidak cukup ruang untuk menyimpan dan kekurangan tenaga kerja. “Alhamdulillah, dengan sumbangan ini akan dapat membantu untuk meningkatkan lagi penghasilan produk saya,” kata Nur Amalina ketika ditemui pemberita.  Peti sejuk beku itu telah diserahkan oleh isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah kepada beliau di premis jualannya di Kg. Kubang Ikan, hari ini. Selain itu, beliau juga memaklumkan sambutan terhadap perniagaan beliau sangat baik. “Perniagaan ini telah dimulakan sejak tahun 2016 dan alhamdulillah setakat ini sentiasa ada pelanggan yang membuat tempahan untuk mendapatkan produk saya. “Selain jualan secara atas talian dan di kedai ini, saya juga ada hantar di beberapa pasaraya di sekitar kawasan ini,” tambah beliau lagi. Antara produk yang dijual ialah popiah satar, karipap, samosa dan lain-lain lagi.  “Harapan saya agar dapat memperluaskan lagi pasaran produk ini pada masa akan datang,” katanya. Beliau juga berharap agar produknya dapat menjadi antara makanan yang di cari oleh pelancong yang datang ke Terengganu suatu hari nanti.  
10 Jan 23
878
Rumah Baharu Mangsa Banjir Siap Bina Tiga Hari
Rumah Baharu Mangsa Banjir Siap Bina Tiga Hari
Oleh : Mohd Fauzi Mat Adam BESUT 10 Januari - Dua buah rumah baharu untuk mangsa banjir di Kampung La, Hulu Besut siap dibina dalam tiga hari oleh hampir 150 sukarelawan Pertubuhan Prihatin Anak Watan Terengganu. Pengerusinya, Asmawi Mukhtar berkata, lebih empat organisasi terlibat dalam pembinaan yang dibuat secara gotong-royong itu. "Rumah ini dibina dengan diberikan tempoh dua hari untuk disiapkan, alhamdulillah kami berjaya selesaikan. "Kami akan cuba sedaya upaya tanpa sebarang upah untuk meringankan tuan rumah supaya ada tempat perlindungan kekal," katanya kepada wartawan UPDI hari ini.  Katanya lagi, bagi memastikan perancangan pembinaan berjalan mengikut masa ditetapkan, beliau mengagihkan tugas mengikut kepakaran sukarelawan masing-masing. "Turut terlibat dalam program bina rumah ini antaranya adalah Pusat Khidmat Masyarakat Hulu Besut, PAS Besut, Hulu Besut Care, Gong Tok Nasek (GTN) Care , Khidmat Malaysia Terengganu, Jabatan Amal, Pasukan Keselamatan Negeri Terengganu, Surau Al-Hikmah, Pemuda PAS Terengganu, Lasak ," ujarnya. Jelasnya, program bina rumah hanyut banjir ini merupakan kali keempat selepas misi yang sama di Pahang dan Hulu Terengganu sebelum ini. "Terima kasih diucapkan kepada semua yang bekerjasama menyahut hasrat kerajaan negeri Terengganu untuk memantu bina baru rumah mangsa banjir," katanya.
10 Jan 23
1511
Tindakan Pantas JPKK Selamatkan Penduduk
Tindakan Pantas JPKK Selamatkan Penduduk
Oleh : Mohd Hanafi Mohd Noor MARANG, 9 Januari - Tindakan pantas Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Surau Haji Daud berjaya menyelamatkan puluhan penduduk di sini daripada terjejas dengan bencana banjir kilat. Pengerusi JPKK, Mohd Nasir Sidek memaklumkan beliau menerima aduan pada waktu pagi hari ini daripada seorang penduduk yang tinggal berhampiran mengenai limpahan banjir tersebut. " Laluan air itu tertimbus kerana jalan terbabit masih  dalam proses pembinaan, jika lambat bertindak boleh mengakibatkan banjir di beberapa rumah dan kandang ternakan yang berada berhampiran," katanya ketika dihubungi UPDI. Menurut Mohd Nasir, pihak JPKK sudah merancang untuk meletakkan culvet di lokasi berkenaan, namun cuaca hujan menyebabkan perancangan tergendala. Kata Mohd Nasir, beliau berterima kasih kepada AJK JPKK yang turut sama turun ke lokasi untuk bersama-sama memasang segera culvet untuk mengelak keadaan bertambah buruk. "Segala kesulitan penduduk yang terlibat amat dikesali,namun pihak JPKK akan sentiasa bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku,"ujarnya.  
09 Jan 23
802
Pembinaan Longkang Selesaikan Masalah Banjir di Dua Lokasi 'Hotspot'
Pembinaan Longkang Selesaikan Masalah Banjir di Dua Lokasi 'Hotspot'
MARANG, 4 Januari - Projek pembinaan longkang bernilai RM550,000 di Marang berjaya mengatasi masalah banjir lumpur serta banjir kilat di lokasi tumpuan di Taman Kalungan Melor, Rhu Rendang dan Taman Kalongan Mas, Medan Jaya. Pegawai Khas Menteri Besar, Mohamad Sabri Zakaria berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Rhu Rendang tidak lagi menerima mangsa daripada dua tempat tumpuan banjir ketika bencana tersebut melanda baru-baru ini. "Projek pembinaan longkang Taman Kalungan Melor menelan belanja sebanyak RM350,000 siap pada akhir tahun 2021 telah berjaya menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu. "Kita bersyukur dan menganggap ia sebagai satu kejayaan kerana kawasan Kalungan Melor terselamat daripada musibah banjr tempoh hari," katanya setelah membuat tinjauan ke lokasi. Taman Kalungan Melor Beliau turut berkata, projek yang dikelola Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya diteruskan walaupun memakan sedikit masa, selain memerlukan kos yang tinggi kerana melibatkan tanah milikan individu serta peribadi. Sementara itu, projek pelebaran longkang sepanjang 200 meter di Taman Kalongan Mas juga siap sepenuhnya pada Ogos lalu dengan kos bernilai RM200,000. "Longkang ini juga berjaya memberikan impak yang besar kepada penduduk sekitar apabila aliran air dapat disalurkan lebih baik dengan pembinaan longkang yang lebih besar. Taman Kalungan Mas  
03 Jan 23
388
51 Usahawan Terima Dana PUTERA
51 Usahawan Terima Dana PUTERA
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Seramai 51 orang usahawan dalam DUN Batu Buruk menerima bantuan Dana PUTERA melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU). Dana tersebut diadakan bagi membantu usahawan yang berkelayakan untuk memohon barangan perniagaan bagi mengembangkan perniagaan mereka.  Sebahagian daripada barangan perniagaan itu telah diserahkan kepada penerima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, semalam.  "Ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri Terengganu bagi membantu memberikan 'kail' kepada rakyat agar ia dapat menjadi punca pendapatan yang berterusan. "Alhamdulillah, hari ini saya turun menyerahkan sebahagian barangan perniagaan yang dimohon oleh para usahawan dalam DUN ini melalui bantuan dana tersebut," kata Dr. Muhammad Khalil ketika ditemui pemberita.  Menurut beliau lagi, terdapat banyak insentif daripada Kerajaan Negeri Terengganu untuk dimanfaatkan oleh para usahawan melalui YPU.  
03 Jan 23
502
Dakwah Jalanan Pilihan Belia Manfaat Cuti
Dakwah Jalanan Pilihan Belia Manfaat Cuti
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Sebahagian belia di negeri ini memanfaatkan malam hujung minggu untuk menjalankan aktiviti dakwah jalanan bagi memenuhi masa lapang. Pengarah Operasi Skuad Amar Makruf Kuala Terengganu, Ahmad Asyraf Mohd berkata, aktiviti tersebut dijalankan bagi membantu penguatkuasa pencegahan jenayah syariah mengawal pelanggaran sosial di lokasi-lokasi tumpuan.  "Kita sekadar membantu untuk mewujudkan suasana, serta menghidupkan rasa ambil cakna dalam diri. "Kita juga mahu menyeru anak-anak muda untuk sama-sama menjalankan aktiviti dakwah, disamping boleh membantu jabatan agama mewujudkan negeri maju berkat sejahtera," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas pelaksanaan program di Pantai Batu Buruk, semalam. Dalam program berkenaan, skuad Amar Makruf Kuala Terengganu menjalankan aktiviti dakwah di sepanjang pantai sambil mengedarkan risalah kesedaran terhadap masalah zina yang berleluasa. Tambahnya, pelanggaran sosial banyak terjadi dan sering meningkatkan terutama di hari-hari perayaan atau sambutan tertentu. "Mewakili skuad amar makruf, kami menyeru rakyat Terengganu mengambil iktibar dari ujian yang ditimpakan kepada kita baru-baru ini iaitu banjir untuk menginsafi bahawa kehidupan ini dikawal oleh Allah SWT," katanya.            
31 Dec 22
193
Millenial Monsoon Camps Manfaatkan Cuti Sekolah Kanak-kanak
Millenial Monsoon Camps Manfaatkan Cuti Sekolah Kanak-kanak
KUALA NERUS, 30 Disember- Jabatan Pembangunan Remaja (Jpr) Dun Bukit Tunggal mengadakan Kem Millennial Monsoon Camps bagi memastikan anak-anak di kawasan Bukit Tunggal memanfaatkan waktu cuti sekolah mereka. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, program itu melibatkan penyertaan seramai 120 kanak-kanak berusia 11 hingga 17 tahun.  "Program tersebut merupakan program tahunan bagi membantu ibu bapa mengisi masa terluang anak-anak mereka pada musim cuti persekolahan. "Terima kasih kepada ibu bapa kerana memberi kerjasama dan keizinan kepada anak-anak menyertai kem yang mana banyak memberi banyak makna dan faedah kepada anak-anak. "Kita sekarang berada dalam zaman langit terbuka yang terdedah dengan pelbagai sumber maklumat baik dan buruk, jadi penting untuk kita memastikan anak-anak kita mendapat pengetahuan benar, program ini mengajar mereka mengenai hal ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis penutup program terbabit di sini semalam. Menurut Dr Alias, kesemua aktiviti yang dilakukan merangkumi aspek kerohanian, latihan kendiri, latihan kemahiran, pengembaraan, kesenian dan kebudayaan serta sukan. "Program ini turut mendapat kerjasama daripada Ameerah Dun Bukit Tunggal, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-Mits) Dun Bukit Tunggal dan Kelab Kebajikan Pendidikan Islam Terengganu (KE-DIDIK)," katanya.
30 Dec 22
301
Permai Hotel Bantu Mangsa Banjir
Permai Hotel Bantu Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Seramai 20 sukarelawan terdiri dari warga kerja Permai Hotel Kuala Terengganu turun padang menyampaikan bantuan kepada komuniti yang terjejas banjir melalui program tanggungjawab sosial korporatnya bertempat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah kebangsaan (SK) Kampung Gemuroh dan SK Bukit Guntong serta penduduk sekitar. Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata, inisiatif tersebut bukan hanya menjadi satu tanggungjawab sosial korporat hotel untuk meringankan beban mangsa banjir, tetapi ia juga merupakan konsep yang diterapkan oleh Permai Hotel sejak azali iaitu mencari keberkatan dengan menjadikan kerja bakti, kebajikan dan sedekah sebagai nilai teras dalam setiap urusniaga yang dijalankan. “Saya percaya bahawa usaha dalam mencari keberkatan di dalam perniagaan bermula dengan bersedekah. “Program ini dilakukan setiap tahun bagi menerapkan sifat empati dan menzahirkan semangat kemanusian dalam kalangan warga kerja Permai Hotel untuk membantu insan-insan yang ditimpa musibah tanpa mengira kaum, jantina dan status," ujarnya dalam satu kenyataan. Noralizan berkata, lebih dari 400 pek makanan yang dimasak dan disediakan secara gotong royong oleh warga kerja hotel diedarkan terus kepada komuniti yang terjejas menerusi misi tersebut. “Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi Permai Hotel, Ustaz Hishamuddin Abd Karim yang juga turut meluangkan masa bagi menyantuni mangsa-mangsa yang ditempatkan di PPS.  “Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir dan sebagai tanda solidariti bersama mangsa banjir yang diuji kehilangan tempat tinggal dan harta benda,” ujarnya. Difahamkan, hujan lebat berterusan sejak awal Isnin minggu lalu telah mengakibatkan penduduk di beberapa kawasan DUN Tepoh cemas apabila kediaman mereka mula ditenggelami air sehingga tiga meter.   
26 Dec 22
343