lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Kerajaan Terengganu Ingin Rakyat Bahagia Dunia Akhirat
Kerajaan Terengganu Ingin Rakyat Bahagia Dunia Akhirat
Oleh: Fatimah Din  Foto: Wan Noor Afifah Wan Nelang  MARANG, 22 Februari - Hasrat Kerajaan Negeri Terengganu bukan sahaja untuk rakyatnya hidup sejahtera di dunia malah ingin mereka bahagia di dunia dan juga akhirat. Pegawai Khas Pusat Khidmat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Rhu Rendang, Ustaz Fakhruddin Zakaria berkata pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan agar  mereka hidup lebih selesa. "Skim Tabung Usahawan, pengecualian cukai pintu, pencen rakyat, Kad Sejahtera , Lesen Motosikal Percuma antara manifesto yang dijanjikan dan telah dilaksanakan adalah untuk memudahkan kehidupan seharian," jelasnya.  Beliau menjelaskan demikian ketika berucap sempena Kempen Penerangan DUN Rhu Rendang   di Pasar Minggu Gong Mengawan di sini. Turut bersama dalam program ini Ameerah DUN Rhu Rendang, Ameerah cawangan yang membawa kemeriahan dengan agihan belon, tudung, buku yang dibekalkan oleh Didik Ulama' Amilin Terengganu (DUAT) DUN Rhu Rendang. Dalam masa yang sama, katanya kerajaan juga mengadakan Program Penghayatan Ibadah Solat  sempena Isra' Mikraj.  "Dimana menjadi kewajipan ke atas kita semua untuk solat lima waktu yang  menjadi penentu kejayaan dalam kehidupan, "Kerajaan Negeri Terengganu juga turut melakukan operasi bagi lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat yang juga merupakan pencegahan dan tanggungjawab bersama supaya masyarakat patuh akan perintah Allah." ujarnya. Katanya, sepanjang bulan Februari ini, juga diadakan   kempen Hijab Day untuk untuk memberi kesedaran menutup aurat dengan pelbagai pengisian samping adanya dakwah jalanan di setiap Parlimen.  "Berbicara memakai tudung sebenarnya yang lebih besar adalah menutup aurat. "Seluar , baju jangan ketat, begitu juga bila di media sosial seperti tik tok, jangan berjoget, melompat-lompat" tegurnya lagi.    
22 Feb 23
158
60 Kanak-Kanak Seberang Takir Khatan Percuma
60 Kanak-Kanak Seberang Takir Khatan Percuma
KUALA NERUS, 21 Februari - Bersempena musim cuti sekolah, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir sekali lagi mengambil langkah mempermudahkan urusan syariat dengan mengadakan Program Khatan Percuma buat kanak-kanak di kawasan itu. Seramai 60 kanak-kanak yang layak diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir. Para peserta terlebih dahulu dimandikan beramai-ramai dengan semburan air oleh pihak BOMBA bagi meredakan ketakutan di samping mengembirakan kanak-kanak yang terlibat dengan program ini. Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, program tersebut diadakan bagi mengurangkan beban kewangan para penjaga yang kurang berkemampuan. "Kita dimaklumkan, kos berkhatan pada masa kini semakin meningkat kebelakangan ini sehingga ia membebani bagi segelintir ibu-bapa. Alhamdulillah, dengan kerjasama Pusat Khidmat kita buat lagi pada kali ini. "Selama dua tahun berturut-turut kita adakan program di klinik kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kali ini kita kembali buat terbuka dengan mengekalkan elemen tradisi seperti tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini Sementara itu, ibu salah seorang peserta, Norbaizura Zainal Abidin, 42, bersyukur dengan program berkenaan berikutan kos berkhatan turut mengalami kenaikan pada masa kini. "Alhamdullilah dengan urusan perkhidmatan baik dijalankan pusat khidmat serta sambutan yang begitu meriah mengembalikan nostalgia masyarakat kita," jelasnya. Turut senada, Mohd Rizaman Mohd Sukri sempat mengambil peluang menyertakan anaknya walaupun beberapa pihak juga melakukan program yang sama. "Acara ini juga memberikan satu pengalaman baru kepada saya dan perasaan bimbang akan anaknya menangis hilang apabila melihat ramai ibu bapa penjaga bersama anak masing-masing. "Berbezanya disini kerana ada aktiviti tradisi, meriah tak dapat di tempat lain," katanya lagi  
21 Feb 23
271
22 Tahun Menyewa, Suri Rumah Syukur Dapat Tanah
22 Tahun Menyewa, Suri Rumah Syukur Dapat Tanah
DUNGUN, 16 Februari -Seorang suri rumah tidak dapat menceritakan perasaan gembira dan hanya mampu bersyukur apabila menerima surat undian lot tanah setelah 22 tahun tinggal menyewa. Rohana Omar, 48, berkata, pemberian tanah tersebut juga membolehkan dia membina rumah sendiri dan tidak lagi perlu menyewa. "Masa mula-mula menyewa dulu, kadar sewa hanya RM80 sebulan sehinggalah sekarang dengan RM200.  "Tidak sangka apabila menerima panggilan telefon daripada Pengerusi JPKK Batu Tiong, Mohd Ali Muda yang meminta saya hadir ke rumahnya untuk mengambil surat. "Bila saya tengok surat, saya rasa syukur kerana ada juga harta sendiri dan berdoa supaya dapat buat rumah," katanya.  Ibu kepada tiga orang anak itu berkata demikian ketika ditemui di Majlis Undi Lot Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) By pass Batu Tiong yang diadakan di Dewan Al Husna, Darul Ansor, Kampung Alor Mak, semalam.  Pada majlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu, seramai 374 orang terpilih untuk melakukan undian lot tanah.  Sementara jirannya, Nur Farihah  Ali, 30 terkejut menerima surat daripada Mohd Ali untuk panggilan undian lot.  "Semasa terima surat itu saya tidak dapat menahan air mata kesyukuran akhirnya saya dapat tanah dan nanti akan usahakan buat rumah atas tanah sendiri, tak payah menyewa lagi.  " Sewa sekarang RM400 ratus, kalau ada rumah sendiri banyak dapat jimat, "Walaupun kena bayar premium, kira murah doh" katanya.  Sementara itu, Mohd Ali berkata tiada yang menggembirakannya setelah komunitinya berjaya mendapat tanah daripada kerajaan.  "Rezeki itu dari Allah dan kita hanya boleh berusaha, kita 'check' mana - mana yang belum ada tanah, 'check' ibu bapa mereka banyak tanah ke macam mana, jadi bila kita sudah pasti, kita minta mereka memohon," katanya.  Dalam pada itu, ketika berucap merasmikan majlis tersebut Alias mengucapkan tahniah kepada yang berjaya menerima Borang 1A yang menandakan terpilih untuk mengundi lot tanah dan bakal memiliki tanah.  "Untuk Borang 1A ini, tuan puan diminta menyertai salinan kad pengenalan suami isteri, kalau sudah berkahwin, ini adalah untuk memastikan hanya salah seorang yang memiliki tanah supaya seramai mungkin orang yang dapat tanah," ujarnya. 
16 Feb 23
593
'Double Claim' Punca Lewat Agih Bantuan Banjir
'Double Claim' Punca Lewat Agih Bantuan Banjir
MARANG, 15 Februari - Agihan bantuan khas banjir daripada kerajaan negeri masih belum dapat disempurnakan sepenuhnya kerana ada kalangan rakyat yang tidak jujur dalam melakukan tuntutan. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ada pihak melakukan tuntutan dua kali mengakibatkan proses pemutihan senarai nama yang berdaftar sebagai mangsa terpaksa dilakukan agar yang benar-benar layak sahaja menerimanya. "Saya terpaksa jelaskan untuk pengetahuan seluruh rakyat dan setiap anggota masyarakat mengambil cakna dan bersifat amanah di antara satu sama lain supaya yang benar-benar layak sahaja menerimanya. "Masalah timbul apabila ada kalangan mangsa-mangsa ini yang telah membuat 'double claim', isteri mengaku sebagai mangsa banjir di sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala suami pula pergi ke DUN yang satu lagi turut mendaftar nama sebagai mangsa juga, malah ada yang tidak terlibat cuba 'register' sebagai mangsa. "Sebab itu saya menyeru kepada seluruh masyarakat supaya jujur dan beramanah tidak membuat tuntutan dua kali kerana ini merupakan wang negeri juga merupakan wang rakyat untuk diagihkan kepada yang memerlukan serta seharusnya dibantu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menyempurnakan penyampaian bauncer pakaian sekolah kepada 1,950 penerima di DUN Rhu Rendang, di Dewan Komuniti, Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini, semalam. Justeru itu katanya, kerajaan negeri ketika ini sedang berusaha untuk mengesahkan kesemua senarai nama penerima. "Kita sedang menunggu, ada dua daerah lagi yang belum menghantar senarai nama yang telah melalui proses pemutihan, setelah kita menerima kesemua senarai nama yang telah disahkan itu barulah kita akan sampaikan bantuan sebagaimana yang telah dijanjikan. "Saya menyeru kepada seluruh anggita masyarakat pada masa akan datang terutamanya mangsa banjir perlu jujur, tidak melakukan tuntutan dua kali, bersikap benarlah dalam membuat tuntutan ini,"ujarnya.  
16 Feb 23
1251
1,573 Pelajar B40 Terima Bantuan Persekolahan
1,573 Pelajar B40 Terima Bantuan Persekolahan
KUALA TERENGGANU, 14 Februari – Seramai 1,573 individu daripada keluarga kurang berkemampuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk menerima bantuan awal persekolahan hari ini.  Bantuan tersebut merupakan inisiatif daripada Kerajaan Terengganu bagi meringankan beban rakyat khususnya ibu bapa dalam membuat persiapan buat anak-anak mereka untuk sesi persekolahan akan datang.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi telah hadir bagi menyempurnakan perasmian majlis agihan tersebut yang diadakan di Dewan Kenanga Terengganu Equestarian Resort (TER).  “Agihan bantuan ini merupakan duit rakyat, kita kembalikan kepada rakyat untuk dimanfaatkan oleh mereka yang layak khususnya dalam konteks program hari ini iaitu anak-anak bersekolah. “Tidak dinafikan di sana ada beberapa kelemahan daripada pihak kerajaan, namun kita sentiasa berusaha untuk menambah baik dari semasa ke semasa,” kata Dr. Muhammad Khalil dalam ucapan perasmiannya.  Menurut beliau lagi, inisiatif-inisiatif yang berterusan daripada Kerajaan Negeri Terengganu menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam menjaga kebajikan rakyat.  “Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang telah menguruskan agihan bantuan ini dengan lancar,” tambahnya lagi.  Antara kelengkapan yang diterima ialah sepasang pakaian sekolah, kasut dan beg sekolah.  
14 Feb 23
575
Tabung Haji 'Turun Padang' Santuni Pelanggan
Tabung Haji 'Turun Padang' Santuni Pelanggan
SETIU, 12 Februari -Tabung Haji (TH) Cawangan Setiu 'turun padang' santuni pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan seperti di kaunter. Pegawai Pentadbiran Tabung Haji Cawangan Setiu, Zurina Ismail berkata, usaha berkenaan bagi memudahkan orang ramai terutama yang berada di kampung-kampung untuk berurusan dengan Tabung Haji dan meminimakan kos ke pejabat. "Kita bekerjasama dengan pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam membuat hebahan dan makluman kepada penduduk untuk bersama pada program hari ini," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Balairaya Kampung Mangkok. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah, pembukaan akaun, pendaftaran THiJari (perbankan secara atas talian), simpanan dan kemaskini maklumat. "Kita akan terus adakan program sebegini dari semasa ke semasa dalam memudahkan urusan pelanggan-pelanggan Tabung Haji," tambahnya.
13 Feb 23
269
Kutip 1.6 Tan Sampah Di Muara Kuala Ibai
Kutip 1.6 Tan Sampah Di Muara Kuala Ibai
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Sebanyak 1.6 tan sampah telah dikutip selama tiga jam program 'EPIC Jom Bersih 2023' yang bermula seawal 7 pagi di Muara Kuala Ibai, hari ini.  Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Rusdi Ngah berkata program itu menekankan kepentingan aktiviti pembersihan dalam memupuk kesedaran serta tanggungjawab yang seharusnya digalas bersama oleh semua anggota masyarakat. "Pihak kami menyambut baik kerjasama 140 orang sukarelawan EPIC Hero, Geng Plastik Ija (GPI), 'Green Ranjer' Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan juga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang hadir berganding bahu membersihkan lebih daripada 200 meter kawasan muara dan pesisir pantai di Kuala Ibai,” katanya.  Beliau dipetik berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.  Turut hadir bagi menyokong program ialah Pengurus Besar Sumber Manusia dan Pentadbiran Kumpulan EPIC, Mohd Sukeri Muhammad, Pengurus Besar Strategi Perniagaan, Prestasi, Perancangan dan Penambahbaikan, Mazlina Md Nor, Ketua GPI, Dr. Mohamad Ariff Hafizi Fouzi, Pensyarah Kanan merangkap Penyelaras Pasukan 'Green Ranger' UMT, Dr. Izan Dato’ Jaafar,  Menurut Rusdi lagi, beliau terharu dengan kerjasama yang dijalin kerana ia membuahkan hasil yang baik, dengan kutipan sampah seberat 1.6 tan.  Namun, beliau terkilan kerana masih ramai di luar sana yang tidak mempunyai kesedaran dalam menjaga alam sekitar.  "Pihak syarikat berharap program ini dapat memberi inspirasi kepada semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan masing-masing bagi mewujudkan persekitaran yang sihat dan bersih," yang turut menyampaikan sumbangan RM4, 000 bagi pihak EPIC kepada GPI. Manakala Dr. Mohamad Ariff pula merakamkan ucapan terima kasih kepada EPIC di atas penganjuran program tersebut. "Hasil kutipan hari ini menunjukkan bahawa kita perlu melipat gandakan program kesedaran masyarakat supaya tiada lagi sampah yg terdampar di pantai," ujarnya.
11 Feb 23
555
1,690 Pelajar Terima Bantuan Pakaian Sekolah
1,690 Pelajar Terima Bantuan Pakaian Sekolah
Oleh : Nurul Adilatul Akmal Mohd Azaha MARANG, 11 Februari - Seramai 1,690 pelajar menerima bantuan pakaian sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri sangat prihatin terhadap keperluan rakyat memandang harga barang pada hari ini agak membebankan. "Pemberian bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban ketua isi rumah," katanya  Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Agihan Bantuan Pakaian Sekolah Negeri Terengganu 2022/2023 Peringkat DUN Alur Limbat di Dewan Sivik Banggol Tokku di sini semalam. Menurut Ariffin, bantuan yang melibatkan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) itu telah bermula tahun lalu dan mengambil masa beberapa bulan sehingga selesai diagihkan. "Petugas daripada Pusat Khidmat DUN Alur Limbat juga telah dijadualkan untuk turun ke semua komuniti di Alur Limbat untuk melancarkan proses agihan, "katanya.
11 Feb 23
470
Terengganu Konsisten Perkasa Agenda Dakwah
Terengganu Konsisten Perkasa Agenda Dakwah
KEMAMAN, 9 Februari - Kerajaan Negeri konsisten memperkasakan agenda dakwah kepada masyarakat dalam usaha membina rakyat yang berilmu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pelbagai program berbentuk dakwah telah dirangka dan dilaksanakan sama ada di peringkat negeri mahupun daerah sepanjang Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS). “Antara program yang sedang dijalankan sepanjang bulan Februari ialah Terengganu Hijab Day (THD) dan Street Dakwah. “Program sebegini bertujuan untuk memberikan kefahaman dan membangkitkan kesedaran tentang kewajipan menutup aurat dan menunaikan ibadat solat fardu,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Dialog Jelajah Penerangan Peringkat Dun Kemasik semalam di Dewan Sivik Kerteh. Turut hadir, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili.  
09 Feb 23
262
Solat Penyelamat Masyarakat
Solat Penyelamat Masyarakat
Oleh : Aqilah Mohd Jafri MARANG,  9 Februari - Masyarakat diseru supaya mengambil berat persoalan solat kerana rukun Islam kedua itu adalah tiang agama. Timbalan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) Wan Ahmad Zuki Wan Ismail berkata, masyarakat hari ini sedang tenat dengan pelbagai permasalahan sosial.  “Dengan memperbaiki tiang agama iaitu solat dapat menjaga kesejahteraan masyarakat kita,” ujarnya. Beliau bercakap demikian ketika kempen penerangan di Pasar Pekan Bukit Payong bersempena Bulan Penghayatan Ibadah Solat. Menurutnya, Kerajaan Negeri Terengganu telah menjadikan bulan Rejab sebagai Bulan Penghayatan Ibadah Solat bermula 2019 dan diteruskan sehingga kini.  "Sebagai rasional memupuk kesedaran kepada umat Islam khususnya mengenai kepentingan menghayati ibadah solat,  " Peristiwa Israk Mikraj membuktikan tanda kebesaran kuasa Allah SWT dalam pensyariatan ibadah solat yang menghubungkan seorang hamba dan penciptanya," katanya lagi.
08 Feb 23
117