Artikel "Komuniti" Terkini
Projek Ikan Keli Basmi Miskin Tegar
BESUT, 3 Mac - Projek penternakan ikan keli dalam tangki simen, di bawah program Basmi Miskin Tegar (BMT) dijangka dapat membantu meningkatkan ekonomi golongan berpendapatan rendah (B40).
Mentor program tersebut, Rohaizat Junaidi Jusoh, 40, berkata program di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu sudah berjaya membantu 13 penduduk dari Kampung Pengkalan Atap untuk menambah pendapatan sampingan.
"Terhasilnya projek penternakan ikan keli ini adalah disebabkan negeri di Pantai Timur, khusunya Terengganu kekurangan bekalan ikan keli. Jadi sebagai salah satu inisiatif, kami cuba untuk jalankan projek penternakan ikan keli ini.
"Hari ini sebagai pelancaran kita masukkan 30 ribu ekor anak ikan keli ke dalam tangki simen dan hasilnya akan mula dikutip setelah empat bulan setengah.
Rohaizat Junaidi Jusoh, Mentor Projek Penternakan Ikan Keli
"Anggaran sasaran pengeluaran paling minima adalah lebih kurang 700 kilogram sehingga 1 tan sebulan, dengan harga pasaran RM6 sekilo. Sekiranyanya sasaran pengeluaran tersebut tercapai, peserta akan mendapat hasil keuntungan hampir RM6 ribu sebulan," katanya ketika ditemui media selepas selesai sesi melepaskan anak ikan keli ke dalam sangkar.
Menurut Rohaizat lagi, dia akan membimbing kesemua peserta dari 'A hingga Z', bermula daripada pengeluaran hasil kepada fasa pemasaran dalam tempoh dua tahun sehingga semua peserta boleh berdikari menguruskan projek tersebut sendiri.
Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh (tengah)
Sementara itu salah seorang peserta program tersebut, Zulkifli Ibrahim, 37, meluahkan rasa syukur kerana terpilih untuk menjadi salah seorang peserta.
"Saya sebagai salah seorang peserta yang terpilih rasa sangat bersyukur dan saya ucap jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat kerana memilih saya sebagai salah seorang peserta program ini. Terutamanya kepada pegawai-pegawai yang terlibat, Azbi dan Mentor program ini," ujarnya dengan penuh rasa terharu.
03 Mar 23
782
PSMZA Hasilkan Produk Inovasi Pembinaan
DUNGUN, 3 Mac- Sekumpulan penyelidik Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menghasilkan produk inovasi pembinaan dengan mencipta produk yang sejajar keperluan teknologi pembinaan terkini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat PSMZA memaklumkan, projek Public Private Research Network (PPRN) itu diketuai oleh Ts Yuzha Usof dengan kerjasama KLV Engineering.
Menurut Ts Yusha, mereka telah mendapat geran PPRN 2022 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menghasilkan produk Flexi Steel Mould for Pre-stressed Half Slab.
"Produk Flexi Steel Mould for Pre-stressed Half Slab ialah merupakan projek inovasi yang boleh dilaras mengikut saiz, tahan lasak dan dilengkapi dengan alat penggetar (vibrator) untuk proses pemadatan konkrit yang mana fungsinya adalah lebih efisyen dan dapat memberi banyak kelebihan berbanding kaedah konvensional,"katanya.
Sementara itu Pengarah PSMZA, Zamra Derahman mengucapkan terima kasih kepada KLV Engineering iaitu pihak industri yang sudi berkongsi kepakaran dan komitmen dalam menjayakan projek tersebut.
"Syabas dan tahniah PSMZA atas kejayaan penghasilan produk yang komprehensif ini.
"Produk ini berjaya dihasilkan mengikut spesifikasi dalam tempoh lima bulan dengan kos keseluruhan sebanyak RM32,340," katanya.
Zamra berkata demikian di Majlis Penyerahan Projek Public Private Research Network (PPRN) Jabatan Kejuruteraan Awam(JKA) PSMZA yang disempurnakan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, JPPKK, Dr Riam A/P Chau Mai yang diadakan di PSMZA di sini baru - baru ini.
Turut hadir Pengarah Urusan KLV Engineering, Encik Hasniro Hasbullah.
03 Mar 23
853
7,539 Terima Bantuan Persekolahan Di Dungun
DUNGUN, 1 Mac- Seramai 7,539 orang pelajar menerima bantuan persekolahan hasil sumbangan kerajaan negeri di daerah Dungun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias berkata, daripada jumlah itu seramai 1, 248 penerima dari DUN Bukit Besi, DUN Rantau Abang (2,412), DUN Sura (1,467) dan DUN Paka (2,412).
Katanya, bagi DUN Rantau Abang agihan bantuan dilakukan .selama dua hari.
"Hari ini (semalam) seramai 1, 118 pelajar menerima bantuan dan bakinya seramai 1, 294 akan menerima esok dan nasihat saya janganlah kita memperkecilkan sumbangan ini, tidak banyak mana sedangkan inilah usaha kerajaan untuk membantu ibu bapa menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak dan barangannya pula berkualiti, "katanya.
Alias berkata demikian ketika berucap di Majlis Sumbangan Bantuan Persekolahan Negeri Terengganu Peringkat DUN Rantau Abang di Dewan Futsal Batu 48, semalam.
Sebelum itu, Pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, (YPKT) Daerah Dungun di dalam ucapannya berkata ibu bapa di Terengganu beruntung kerana kerajaan negeri sangat prihatin kepada pendidikan anak-anak mereka.
"Bukan sedikit yang diperuntukkan, setiap seorang akan mendapat lima 'item' iaitu beg, kasut, stoking, baju dan seluar atau kain untuk pelajar perempuan, semuanya berjumlah RM150," katanya lagi.
01 Mar 23
3076
EPIC Anjur Kursus Kulinari Bantu Ibu Tunggal
KUALA TERENGGANU, 1 Mac- Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dengan kerjasama Kolej Komuniti Kuala Terengganu telah menganjurkan Kursus Kulinari bersama ibu tunggal dan suri rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok, baru-baru ini.
Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan Kumpulan EPIC, Rusdi Ngah berkata, kursus dua hari berakhir 27 Februari lalu yang diadakan Kolej Komuniti Kuala Terengganu itu merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah inisiatif ‘EPIC Cakna Prihatin 2023’.
Katanya, kursus tersebut berjaya mengumpulkan 20 peserta yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah berpendapatan rendah dari DUN berkenaan.
“Para peserta diberikan tunjuk ajar secara praktikal bagi penyediaan aneka kuih raya dan kuih talam oleh tenaga pengajar berpengalaman.
“Selain perkongsian tips penyediaan kuih muih, mereka turut diberikan panduan bagi memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,” ujarnya ketika berucap di majlis penutup program tersebut.
Tambah beliau, pihak syarikat sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan perkembangan golongan yang memerlukan, justeru mendorong kepada penganjuran program dengan mekanisma yang boleh memberikan impak jangka panjang terutamanya dalam menjana pendapatan.
“Kami berhasrat untuk menyokong pembangunan ekonomi ibu tunggal dan juga suri rumah dari kalangan keluarga dengan pendapatan isi rumah yang rendah.
“Konsep program kali ini juga agak berbeza dan lebih mampan iaitu dengan meningkatkan kemahiran melalui kursus kulinari sekaligus membuka peluang untuk peserta menjana pendapatan tambahan.
“Semoga penganjuran kursus ini dapat menggalakkan nilai keusahawanan dan memberikan inspirasi kepada peserta untuk mencipta pekerjaan suatu hari nanti, sekaligus memberi sumber pendapatan kepada orang lain,” ujar Rusdi.
Menurut beliau, para peserta akan mendapat khidmat nasihat dan pantauan selama enam bulan setelah kursus berakhir bagi memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan dalam mengaplikasikan ilmu yang dipelajari.
01 Mar 23
277
BISE Angkat Ikon Belia Berjaya
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Program Belia Saing kite (BISE) menampilkan ikon belia berjaya akan didiadakan di setiap daerah di negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tujuan program berkenaan adalah untuk memberi inspirasi kepada belia untuk berjaya sebagaimana ikon-ikon yang ada.
Ujarnya, idea untuk melaksanakan inisiatif tersebut tercetus setelah beliau mengikuti program bersama belia dan mendapati ramai yang berjaya serta berbakat.
"Malahan ada yang turut berjaya mencapai kejayaan dengan pelbagai anugerah serta pencapaian sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Kebolehan serta kejayaan mereka ini perlu dibugarkan serta dikongsikan kepada generasi belia yang lain agar ia dapat dijadikan contoh dan motivasi," ujarnya melalui facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Bise, di sini, hari ini.
Katanya lagi, pelbagai pihak juga akan turut bekerjasama dalam memastikan program yang akan diadakan di setiap daerah itu dapat mencapai matlamatnya dalam memastikan pembangunan belia di negeri ini terus rancak berjalan.
"Terdapat pelbagai agensi kerajaan yang akan turut serta dalam program ini bagi membantu memberikan pencerahan serta penerangan, insya-Allah semoga apa yang direncanakan ini akan berjalan dengan lancar,"ujarnya.
28 Feb 23
421
Maruku Gelang Emas Dapat Sambutan
Oleh: Fatimah
Foto : Abdul Aziz, Mohd Hanafi
MARANG, 27 Februari- Kelainan dalam penyediaan maruku jenama 'Gelang Emas' dengan menambah makanan sunnah, habbatussauda telah menjadikannya mendapat sambutan ramai.
Pengusahanya, Nor Kartini Mohd Lahir, 48, berkata, makanan ringan yang berasal dari India Selatan itu telah diubah suai mengikut citarasa orang Melayu.
Malah, katanya lagi kaum Tionghua juga turut menggemari dengan memborongnya ketika perayaan Tahun Baru Cina.
"Saya juga turut menjual maruku ' Gelang Emas by Tini Lela' ini di laman aplikasi perniagaan Shopee," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Medan Jaya, Rusila oleh Crew TV Marang dalam rancangan Terjah Ekonomi Rakyat.
Menyingkap kembali pengalamannya selama 25 tahun menceburi perniagaan makanan ringan tersebut Nor Kartini berkata, bermacam-macam ramuan yang telah dicuba untuk menjadikan maruku buatannya enak dimakan tetapi berhasil.
"Tetapi saya tidak pernah jemu mencuba, Alhamdulillah selepas berkali-kali mengolah resepi akhirnya menjadi sehingga sekarang," ujarnya.
Menurutnya, kalau dahulu dia hanya menjual maruku dalam bulan Ramadan di pasar malam tetapi sekarang sepanjang masa.
"Maruku ini mempunyai empat pembungkusan seberat 500 gram dan 250 gram yang dijual di talian 01121910585 dan 0176968715," katanya yang memasang cita-cita untuk mengembangkan perniagaannya dengan memiliki sebuah kedai dalam masa yang sama menyediakan peluang pekerjaan kepada orang kampung.
27 Feb 23
348
Bina Islam Dalam Keluarga
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Para Ibu bapa diajak untuk membina Islam di dalam keluarga masing-masing supaya setiap anggota dapat mengenali lebih dekat kehebatan ajaran agama samawi itu.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar menjelaskan ini memandangkan untuk membina sebuah negara Islam adalah sukar.
"Jadi kita cuba dalam lingkungan keluarga kita dulu, suami, isteri dan anak-anak," katanya lagi.
Dato Tengku Hassan berkata demikian ketika berucap di Program Jemputan Hi-Tea Asatizah DUN Ladang yang dianjurkan di sebuah restoran di sini semalam.
Menurutnya, Islam mengajar kita bertimbang rasa dan menghormati setiap anggota keluarga dan masyarakat sekeliling.
"Kalau ikutnya kita hendak parkir kereta pun, kena fikir orang lain, jangan parkir lintang pukang," katanya lagi di program anjuran Urusan Ulama DUN Ladang dengan kerjasama DUAT DUN tersebut.
26 Feb 23
213
Pemuda Palestin Teruja Lihat Semangat Rakyat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Seorang Pemuda Palestin, Anas Kamal Abu Alatta menzahirkan perasaan teruja melihat kesungguhan rakyat Terengganu menyertai Program Kayuhan Basikal 'Family Fun Ride' sempena Minggu Al-quds 2023.
Katanya, pendekatan kerajaan Terengganu itu bukan sahaja berupaya untuk mendidik rakyat agar sentiasa mencaknai konflik yang berlaku secara berterusan di negara tersebut tetapi juga memastikan masyarakat menjalani kehidupan sihat.
"Hari ini saya sangat seronok melihat kesemua mereka yang bersemangat menyertai program ini, jika diberikan kesempatan pada tahun hadapan saya ingin turut bersama menyertainya," ujarnya.
Dia yang juga merupakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) itu, berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada program berkenaan yang diadakan di Dataran Awam Batu Burok yang telah menerima penyertaan seramai 1,000 peserta.
Dalam pada itu dia turut menyifatkan negeri Terengganu memiliki keindahannya yang tersendiri.
"Saya sangat beruntung hadir ke sini, ini merupakan Kali kedua hadir ke sini, dimana Kali pertama adalah pada Oktober tahun lalu.
"Terengganu merupakan sebuah negeri yang sangat menarik, banyak makanan lazat di sini diantaranya saya sangat mengemari 'nasi dagang', "ujarnya yang hadir bersama temannya yang juga merupakan warga Palestin.
26 Feb 23
1027
1000 Sertai Kayuhan Basikal Minggu Al-Quds
KUALA TERENGGANU, 25 Februari- Seramai 1,000 peserta telah menyertai Program Kayuhan Basikal 'Family Fun Ride' sempena Minggu Al-Quds 2023 bagi menunjukkan solidariti terhadap isu berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program itu merupakan salah satu pengisian dalam menyambut Minggu Al-Quds pada tahun ini.
Ujarnya, kesungguhan kerajaan negeri dalam menganjurkannya untuk mengajak seluruh rakyat menzahirkan solidariti terhadap negara seluruh umat Islam itu, serta menanam perasaan untuk membebaskannya daripada cengkaman Zionis Yahudi.
"Sebagaimana kita tahu Palestin merupakan negara yang dimiliki oleh umat Islam, walaupun kita tidak berada di sana, apa-apa yang berlaku kita mesti bertanggungjawab.
"Jadi, ini merupakan inisiatif untuk kita menyampaikan mesej daripada rakyat Terengganu dan seluruh negara untuk sentiasa mempertahankannya daripada sebarang anasir yang ingin menghancur dan memusnahkan bumi umat Islam," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmiaan program berkenaan, di Dataran Awam Batu Burok, di sini, hari ini.
Kesemua peserta telah menyempurnakan kayuhan membabitkan jarak 18 kilometer bermula di Dataran Batu Burok dan melalui Jambatan Angkat ke Masjid Baru Seberang Takir serta kembali semula ke Dataran Batu Burok.
Pada acara yang diadakan itu pelbagai hadiah cabutan bertuah telah disediakan bagi memeriahkan acara yang menerima penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat serta turut disertai kaum cina.
25 Feb 23
628
1,950 Terima Bantuan Persekolahan Di DUN Rhu Rendang
Oleh: Fatimah Din
Foto: Aslam Wira & Tengku Muhamad Zaidi
MARANG, 23 Februari- Seramai 1,950 orang menerima bantuan persekolahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.
Pengarah Pusat Khidmat DUN berkenaan, Hassan Awandi berkata, pemberian bantuan tersebut oleh kerajaan bertujuan meringankan beban ibu bapa.
"Kita beri pada yang layak sahaja untuk menjadi penerima. Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada para pelajar dan ibu bapa penerima," ujarnya.
Sumbangan bantuan tersebut disempurnakan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang di Dewan Komuniti Medan Jaya, disini.
Antara JPKK yang terlibat termasuk JPKK Rusila, JPKK Gong Kapas dan JPKK Medan Jaya dan JPKK Medan Jaya 1.
Sementara itu , seorang bapa penerima Tengku Muhammad Zaidi Tengku Abdul Jalil, 44, menzahirkan kesyukuran atas bantuan tersebut.
"Alhamdulillah, rezeki anak, ujarnya.
23 Feb 23
332