Artikel "Komuniti" Terkini
UPDI Marang Anjur Bengkel 'Microsoft Excel'
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 19 Mac- Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang telah menganjurkan Bengkel 'Microsoft Excel' sebagai usaha untuk mendedahkan peserta terhadap penggunaan aplikasi komputer tersebut dengan lebih mendalam.
Ketua Koordinator UPDI Daerah Marang, Mohd Fauzi Mat Adam berkata, bengkel kali ini dikhususkan kepada tenaga pengajar PASTI di seluruh Daerah Marang.
"Harapan kita untuk melahirkan guru-guru yang berkemahiran dan berinovatif dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak dan ini kursus siri 1, nanti akan ada bengkel Excel Microsoft siri 2 untuk Tahap 2, " katanya ketika dihubungi pemberita.
Sementara itu seorang peserta, Noriah Koter, 60, memuji bengkel yang diadakan dapat memberi pendedahan kepadanya dan rakan-rakan dalam memperkasakan lagi pengajaran di PASTI.
" Memang molek kursus ini diadakan, sikit-sikit sahaja saya boleh buat dulu, tapi masuk kelas dapat ilmu lebih lagi", ujarnya.
Bengkel yang diadakan pada 16 Mac di pejabat PAS Kawasan Marang di sini telah dihadiri seramai 41 orang peserta.
Manakala Zubaidah Ghani yang teruja dengan ilmu baharu yang dipelajari merakamkan ucapan terima kasih kepada mentor yang menunjuk ajar pada hari itu, Supervisor Information Technology Team, Afifah Razak.
"Dari jauh datang, dari Negeri Johor untuk memberi tunjuk ajar kepada kami semua, semoga para peserta dapat mengaplikasikan ilmu ini sebaiknya," katanya.
19 Mar 23
370
PSMZA, Kolej Vokasional Dungun Jayakan Khidmat Komuniti Dabong
DUNGUN, 19 Mac- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) bersama Kolej Vokasional, Dungun bergabung tenaga menjayakan khidmat komuniti di Kampung Dabong, Jeli, Kelantan.
Pengarah Program Khidmat Komuniti (CSR), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET ) PSMZA dan Kolej Vokasional Dungun, Yaswadi Mat Yasim berkata , antara khidmat yang diberikan ialah membaikpulih pendawaian elektrik di rumah-rumah penduduk yang terpilih.
"Program kolaborasi di antara PSMZA dan Kolej Vakasional Dungun yang diadakan selama tiga hari bermula 15 Mac itu telah melibatkan 40 orang pelajar daripada kedua-dua institusi terbabit serta enam orang pensyarah pengiring,"katanya.
Beliau memberitahu demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat PSMZA, semalam.
Beliau yang juga Pengurus Pembangunan Pelajar seterusnya berkata program yang julung - julung kali diadakan itu akan diteruskan di masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman turut merasa bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pasukan tersebut.
"Pihak kami amat menyokong penuh program sebegini diadakan" katanya.
Majlis penutup program disempurnakan oleh ADUN Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Hussin. Hadir sama, Pengarah Kolej Vokasional Dungun, Mohd Nazri Hashim.
18 Mar 23
571
2,502 Terima Pakaian Sekolah Baharu
SETIU, 16 Mac - Seramai 2,502 telah menerima bantuan pakaian sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata bantuan kerajaan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) selama ini sangat ibu bapa mengurangkan perbelanjaan bagi menghadapi sesi pembukaan sekolah pada minggu hadapan.
"Alhamdulillah, melihat reaksi gembira anak-anak yang hadir menerima bantuan pakaian sekolah hari ini diharap memberikan kelegaan kepada semua ibu bapa,insyaa Allah."
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Dewan Terbuka Sungai Tarom, di sini semalam.
Terdahulu Pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu Kawasan Setiu, Zaidah Ahmad@Jusoh berkata, dengan kekuatan tenaga bantu YPK seramai 23 orang telah melancarkan urusan pembahagian dan Permaisuri merupakan lokasi terakhir pengagihan bantuan tersebut.
Qurratul Ain Umairah Abdullah, 11 dan Mursyid El Mukhlisin Abdullah, 8 dua beradik antara penerima bantuan pakaian sekolah ditemui masing-masing gembira dan teruja menerima bantuan tersebut dan bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan nanti.
Terdahulu, sebanyak RM9.46 juta diperuntukkan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan keluarga Terengganu (YPKT) untuk bantuan pakaian sekolah yang memberi manfaat kepada 86,000 pelajar di negeri ini pada tahun ini.
15 Mar 23
383
Angkat Seni Silat, Jangan Sampai Ditelan Zaman
BESUT, 12 Mac - Seni mempertahankan diri tradisional, silat perlu disuburkan khususnya dalam kalangan anak muda supaya tidak dilupakan dan ditelan zaman.
Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, sukan seni silat semakin dilupakan, jadi semua pihak perlu memainkan peranan untuk memartabatkan kembali seni silat yang ada pada hari ini.
Katanya, sekiranya tidak dipupuk, terutama dalam kalangan belia, seni silat ini semakin lama akan dilupakan dan lenyap.
"Saya juga berharap agar seni silat ini akan dapat berkembang lebih jauh dimasa hadapan supaya anak-anak muda dapat terus mendekati seni silat kerana sukan ini merupakan seni warisan dan alat untuk perpaduan bangsa.
"Tahniah saya ucapkan kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Rumah Mampu Milik (RMM) Gong Tengah atas usaha mengadakan program seni silat ini demi menjaga anak-anak muda di perumahan ini.
"Saya akan terus menyokong dan menyumbang setakat mampu mana-mana aktiviti di kawasan perumahan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Seni Silat Tongkat anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman RMM Gong Tengah hari ini.
Azbi Salleh merasmikan Majlis Penutup Program Seni Silat Tongkat
Sementara itu, Pengerusi KRT taman tersebut, Shaharomie Salahuddin berkata, tercetusnya idea untuk mewujudkan program seni silat tersebut adalah apabila melihat ramai anak muda zaman terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.
"Dengan adanya program sebegini anak-anak muda di kawasan perumahan ini boleh mengisi masa lapang dengan perkara yang positif dan dapat menjauhkan belia daripada mendekati masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah dan sebagainya.
"Program Seni Silat ini sudah berjalan sejak pembukaan program ini pada 26 Februari yang lalu dan diadakan latihan pada setiap malam.
"Hari ini merupakan hari terakhir latihan bagi pusingan pertama ini bagi memberi ruang kepada bulan Ramadan. Insya-Allah akan sambung balik selepas Hari Raya Aidilfitri nanti," ujarnya.
Shaharomie Salahuddin, Pengerusi KRT Taman RMM Gong Tengah
Jelas beliau lagi, program silat tersebut mendapat sambutan yang sangat baik daripada penduduk perumahan.
"Setakat ini penyertaan dari anak-anak muda berumur lingkungan 4 hingga 16 tahun sudah mencecah 40 orang. Setiap malam datang latihan ke gelanggang silat. Penduduk taman ini sendiri pun memberi sokongan yang baik kepada program ini.
"Harapan saya, semoga kami dapat menambah baik lagi sebarang kekurangan yang ada dalam menjalankan program ini dan dapat menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk keselesaan dan keselamatan anak-anak muda dalam menjalani latihan.
"Tidak lupa juga saya ucapkan jutaan terima kasih kepada penyumbang utama kami, Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh," ujarnya ketika ditemuramah sewaktu Majlis Penutupan Seni Silat Tongkat.
Pelajar Seni Silat Tongkat melakukan pesembahan.
12 Mar 23
405
'Car Free Hour' Pulihara Alam Sekitar
KUALA NERUS, 12 Mac - Pejabat Daerah Kuala Nerus menganjurkan Program Kuala Nerus Car Free hour hari ini sebagai langkah memulihara alam sekitar dan besar harapan sekurang-kurangnya akan berlaku pengurangan jumlah kenderaan yang ketara pada hari program dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata program itu sebagai satu usaha untuk meningkatkan kesedaran mencintai alam sekitar dalam kalangan penduduk dan juga menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
“Ini bagi menjadikan penjagaan kesihatan dengan beriadah bukan sekadar mengisi masa lapang semata-mata, bahkan menpunyai peranan yang lebih luas. Beriadah dapat meningkatkan semangat muhibah, kesukanan, perpaduan dan keharmonian antara individu,” katanya.
Beliau berkata demkian ketika merasmikan dan melawat aktiviti yang dijalankan pada program Kuala Nerus Car Free di sekitar Taman Bandar Baru Kuala Nerus, di sini semalam.
Turut hadir Pegawai Daerah dan juga Pentadbir Tanah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli.
Hampir 500 pengunjung turut terlibat dalam aktiviti Fun Ride,Fun Walk,Fun Run. Program yang bermula 7 pagi sehingga 11 pagi hari ini menerima sambutan yang baik daripada masyarakat.
12 Mar 23
290
KHIDMAT Dungun Sertai Misi Pasca Banjir Johor
DUNGUN, 11 Mac- Khidmat Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (KHIDMAT Malaysia) Kawasan Dungun turut bersama KHIDMAT Negeri Terengganu menyertai misi pasca banjir ke Johor.
Pengerusinya, Khairul Ismail berkata seramai 25 orang sukarelawan iaitu 19 orang lelaki dan enam orang wanita menyertai misi tersebut.
"Turut menyusul 16 orang lagi sukarelawan dan KHIDMAT Dungun ditugaskan di Segamat," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Perlepasan Misi Bantuan Banjir ke Negeri Johor yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di hadapan pejabat Parlimen Dungun di sini baru - baru ini.
Menurutnya lagi, mereka bertolak dengan lima buah kenderaan iaitu van dan kenderaan pancuan empat roda dimana para sukarelawan turut membawa kelengkapan untuk membersihkan rumah mangsa banjir.
"Misi mereka kali ini untuk membersihkan rumah-rumah dan premis - premis dimana air sudah pun mulai surut di sana," katanya lagi.
11 Mar 23
276
Tawar Biayai Bina Rumah
KEMAMAN, 12 Mac - Bank Muamalat Malaysia Berhad menawarkan pembiayaan membina rumah pertama kepada mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kijal, Ustaz Hazri Jusoh memberitahu sebanyak dua billion diperuntukan oleh Kerajaan Persekutuan pada sesi lepas bagi memberi kemudahan kepada rakyat untuk membina rumah.
"Hari ini kita bawakan bersama Bank Muamalat Cawangan Kemaman kepada mereka yang berminat untuk membina rumah secara kredit di bawah skim kerajaan.
Kaunter Bank Muamalat.
"Kita tahu untuk membuat pinjaman di bank-bank sekarang agak sukar dengan pelbagai prosidur dan dokumen yang di perlukan bagi mengelakkan salah guna kemudahan yang ada," katanya.
Hazri berucap dihadapan 169 penerima dokumen Hakmilik dan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bercampur pada 8 Mac di Kompleks Paya Lasir, Kijal.
Beliau juga menyedari masalah yang timbul setelah masing-masing memiliki tanah tetapi kebanyakannya pula tidak mampu untuk mendirikan rumah.
"Kami, bagi pihak kerajaan cuba mencari jalan penyelesaian bagi mempermudahkan segala urusan berkaitan dengan perumahan untuk rakyat," ujarnya.
Ustaz Hazri Jusoh (empat dari kiri) bersama kakitangan Bank Muamalat dan peserta RTB.
Bank Muamalat menawarkan pembiayaan sehingga RM400,000 melalui skim SMART Mortgage SJKP untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan termasuk pekerja ekonomi gig, peniaga dan usahawan kecil untuk memiliki rumah pertama mereka.
Skim tersebut dijamin oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) untuk membantu mereka yang layak dan tidak mempunyai penyata pendapatan bulanan.
09 Mar 23
475
Lebih 300 Kaum Tionghua Terima Bantuan
DUNGUN, 8 Mac - Lebih 300 orang kaum Tionghua yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) di seluruh Dungun menerima bantuan wang tunai.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun berkata, sumbangan berkenaan disalurkan menerusi portfolionya menandakan kerajaan sangat mengambil berat kebajikan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama mereka.
"Di mana bantuan yang kita agihkan tidak bermusim macam hari ini walaupun Tahun Baharu Cina dan lepas, bila ada peruntukan kita segera agihkan kepada mereka ," ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu berkata demikian ketika ditemui sejurus berakhirnya Majlis Prihatin dan Cakna Warga Emas , OKU dan Ibu Tunggal di Dewan Sivik Batu 5 di sini, semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Seorang penerima, Tan Lee Ngee, 70 terharu dengan kecaknaan kerajaan negeri walaupun Tahun Baharu Cina sudah lama berlalu, kerajaan tetap memberi sumbangan.
"Mana lagi hendak cari kerajaan prihatin macam ni kepada orang cina, duit dapat, makanan pun dapat" katanya.
Sementara itu Lee Ka Yam 78 berterima kasih kepada kerajaan yang tidak pernah lupa golongan warga emas sepertinya.
08 Mar 23
340
1,256 Pelajar Terima Sumbangan Persekolahan
KUALA NERUS, 8 Mac - Seramai 1,256 pelajar kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri Seberang Takir menerima bantuan awal persekolahan hari ini.
Bantuan kelengkapan sekolah seperti tudung dan kasut yang diberikan kepada mereka yang layak itu semestinya melegakan khususnya ibu bapa yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Masrul Azuan, 43, berkata sebagai penjaga, bantuan persekolahan yang diterimanya itu mengurangkan perbelanjaan persekolahan dua anaknya yang masih bersekolah.
“Saya bekerja sebagai buruh binaan, sekarang ramai buruh melayu tiada kerja kerana kebanyakkan kontraktor mengambil pekerja Bangladesh dan Myanmar,” katan beliau ditemui pada program penyampaian bantuan sekolaj di Dewan Serbaguna Tok Jembal di sini
Dalam pada itu, Suri rumah, Alena Ismai, 42, berkata permohonan untuk bantuan ini mudah dan cepat selain tempat yang selesa.
“Suami saya pendapatan tak seberapa, sedikit terbeban dengan kos persekolahan yang semakin meningkat dan anak saya memaklumkan aktiviti kokurikulum dan beruniform juga memerlukan perbelanjaan.
“Tambahan pula anak bongsu yang akan memasuki alam persekolahan tak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, musibah banjir yang berlaku baru-baru ini memang memberi kesan apabila sesi persekolahan pula akan tiba.
“Ramadan dan Aidilfitri pun bakal tiba pastinya menjadi kerisauan ibu-bapa.
“Setiap seorang dapat kasut, bag sekolah dan baju tanda kecaknaan kerajaan negeri dan inisiatif-inisiatif lain dilakukan menandakan kerajaan negeri bersungguh-sungguh menjaga kebajikan rakyat selain menepati janji dalam manifesto lalu
08 Mar 23
333
Tabung Kemanusiaan Turkiye Lepasi Sasaran RM500,000
KUALA NERUS, 6 Mac - Tabung kemanusiaan 'Terengganu For Turkiye' setakat hari ini dijangka akan melebihi sasaran RM500,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan kutipan berkenaan akan terus bertambah.
"Insya-Allah kita akan melihat jumlah sebenarnya selepas 15 Mac nanti, setakat hari ini telah dapat mengumpul lebih daripada setengah juta dan kita mengharapkan dalam beberapa hari lagi yang masih berbaki ini jumlahnya akan terus bertambah.
"Sekarang ini kita masih lagi dalam proses mengutip dana daripada semua pihak termasuk jabatan, agensi kerajaan dan swasta serta anak-anak syarikat kerajaan negeri serta orang ramai.
"Dengan jumlah ini kita telah pun melebihi sasaran yang pada awalnya dianggarkan jumlah kutipan RM500,000 dan kita anggap ini sebagai bonus, menandakan keprihatinan serta solidariti rakyat Terengganu terhadap rakyat Turki yang dilanda gegaran gempa bumi yang dahsyat pada 6 Februari lalu,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melancarkan pasukan ketiga yang ditubuhkan Aid4Turkiye & Syria, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LMTS), di sini hari ini.
Mengulas mengenai delegasi yang diketuai Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah, Wan Sukairi berkata ia akan turut disertai oleh 11 doktor pakar dari Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malysia (PAPISMA), Warga Cakna dan beberapa NGO lain yang akan menghantar misi bantuan perubatan.
"Pasukan ini akan turut dibantu oleh sukarelawan dari Dewan Ulama dan Dewan Muslimat PAS Pusat, Liputan Media pula akan dibantu daripada Kelab Aktivis Media Insipirasi (KAMI) dan Radio Penyiaran Manis FM," ujarnya.
Dalam pada itu menurutnya, delegasi kerajaan negeri akan ke Turkiye pada 17 Mac hadapan yang akan diketuai olehnya sendiri.
"Saya turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan gempa bumi Turkiye-Syria ini untuk terus sama-sama bersolidariti dengan menyumbang ke Tabung bantuan mangsa gempa bumi melalui Sekretariat Aid4Turkiye&Syria ini.
"Segala sumbangan boleh disalurkan ke akaun Sejagat Relief yang bernombor : 12122010040554 (Bank Islam Malaysia Berhad),"ujarnya lagi,
06 Mar 23
311