Artikel "Komuniti" Terkini
10,000 Kunjungi 218 Gerai Bazar Setiap Hari
KUALA NERUS, 29 Mac - Setiap hari di Bazar Ramadan Gong Badak menerima lebih 10,000 pengunjung ke 218 gerai bagi mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ketika menyantuni semua peniaga tersebut semuanya ceria sepanjang melakukan berurus niaga dengan pembeli.
"Semasa menyantuni para peniaga berkenaan, apron dan kurma turut diagihkan kepada semua yang berniaga.
"Ini rutin wajib sepanjang Ramadan untuk menyantuni peniaga dan (juga) pengunjung di Bazar Ramadan Gong Badak ini.
"... (Saya juga) menyampaikan pesanan buat penganjur agar memberikan penekananan buat semua peniaga agar mementingkan aspek kebersihan dan memastikan harga berpatutan buat pengunjung," ujarnya menerusi facebooknya.
Dalam pada itu Hismamuddin berharap agar para peniaga berjaya meraih keuntungan lumayan sepanjang perniagaan di bazar ramadan pada tahun ini.
29 Mar 23
166
Prihatin Ramadan Bersama MB Kukuh Hubungan Rakyat, Pemimpin
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Program Prihatin Ramadan Bersama MB Terengganu yang bermula esok bakal mengukuhkan hubungan antara rakyat dan pemimpin.
Masjid Sentul Patah, Marang dipilih menjadi tuan rumah sebagai permulaan sebelum ia diteruskan di semua daerah sepanjang bulan puasa.
Difahamkan program terbabit bermula sekitar jam 5 petang dengan aktiviti ziarah serta sumbangan di beberapa rumah keluarga terpilih.
Program berkenaan seterusnya disambung di masjid, Menteri Besar (MB), Dato'Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan mengagihkan sumbangan khas Ramadan sebelum berbuka puasa bersama rakyat setempat.
Program berkenaan dilaksanakam bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dan mendekati golongan asnaf serta yang kurang berkemampuan
Di samping mengajak rakyat negeri ini khususnya rakyat setempat untuk berbuka puasa bersama-sama, mengerjakan solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat tarawih selain turut dijangka akan diadakan tazkirah sebagai pengisian rohani.
28 Mar 23
294
Jambatan Angkat Bergelap Sejam Sahut Kempen 'Earth Hour'
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada malam tadi telah bergelap selama satu jam bagi menyahut kempen 'Earth Hour' bertemakan 'Invest On Our Planet'.
Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Awasi Mohamad berkata, lampu yang meneranggi sepanjang jambatan ikonik itu telah dipadamkan bermula jam 8.30 hingga 9.30 malam.
"Dengan mengambil langkah-langkah kecil ini, ia mampu membawa impak besar terhadap bumi kita dan memberi inspirasi kepada semua untuk membuat perubahan ke arah masa depan yang mampan.
"Saya harap kempen ini mendapat sokongan semua pihak dalam mewujudkan dunia yang lebih mampan dan memberi impak positif kepada perubahan iklim negara,"katanya menerusi suatu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya sentiasa menyahut kempen tersebut pada setiap tahun dalam usaha menyokong dan menjayakan pemulihan bumi.
" Ia adalah kempen global yang menyatukan komuniti di seluruh dunia bagi melindungi planet ini dengan menggalakkan orang ramai menutup lampu satu jam sebagai isyarat simbolik perpaduan.
"Bagi meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim dan kesan alam sekitar daripada penggunaan cahaya,"ujarnya.
Menurutnya, antara perkara yang boleh dilakukan oleh orang ramai bagi menyahut kempen berkenaan adalah dengan mencabur soket elektronik apabila tidak digunakan.
"Bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan gunakan mentol lampu serta peralatan yang cekap tenaga bagi penjimatan elektrik,"ujarnya.
26 Mar 23
259
170 Peniaga Bazar Ramadan Disantuni ADUN Manir
HULU TERENGGANU, 26 Mac - Keceriaan jelas terpancar pada raut wajah 170 peniaga Bazar Ramadan Pasar Manir di sini, apabila menerima kunjungan dan sumbangan kurma serta takwim Ramadan daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Manir, semalam.
Selain itu, program yang turut mendapat kerjasama daripada penganjur bazar, Persatuan Kebajikan Dan Rekreasi Pasar Manir juga mengedarkan apron kepada semua peniaga di pasar ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, agihan tersebut bertujuan merapatkan lagi silaturahim antara peniaga dan masyarakat.
"Selain melakukan agihan sumbangan, kita juga turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan peniaga-peniaga di sini yang majoriti daripadanya adalah penduduk di kawasan DUN Manir.
"Rata-rata peniaga ditemui menyambut baik program dilaksanakan ini kerana dengan cara ini dilihat mampu menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dengan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita.
Hilmi juga berkata, program sebegini merupakan salah satu acara tahunan yang dianjurkan dan akan diteruskan pada masa akan datang.
25 Mar 23
280
‘Jom Ke Masjid’ Ikat Hati Generasi Baharu
KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Masjid Al-Furqan, Chendering telah menganjurkan Program Jom Ke Masjid bagi mengikat hati kanak-kanak serta para remaja untuk solat berjemaah di masjid.
Menurut Pengerusi Masjid Al-Furqan, Abdul Rahman Che Mat, matlamat program tersebut diadakan untuk menanam budaya solat berjemaah di masjid kepada generasi baharu.
“Program ini akan berlangsung sepanjang Bulan Ramadan di mana peserta-peserta berumur 7 hingga 17 tahun, masing-masing akan diberikan kad solat lima waktu.
Abdul Rahman memberikan penerangan tentang program kepada peserta
“Selepas selesai solat fardhu berjemaah, peserta perlu dapatkan cap daripada Ahli Jawatankuasa Masjid,” kata Abdul Rahman ketika ditemui pemberita usai solat tarawih di masjid itu yang diimamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, semalam.
Tambah beliau lagi, peserta yang berjaya mengumpulkan cap terbanyak akan diberikan hadiah.
“Hadiah yang kita tawarkan berupa wang tunai, hamper, sijil penyertaan dan banyak lagi mengikut kepada jumlah cap yang terkumpul.
Peserta-peserta Program Jom Ke Masjid
“Harapan kami agar program ini dapat membentuk para peserta untuk sentiasa solat fardhu berjemaah walaupun di luar Bulan Ramadan,” katanya lagi.
Selain itu, Masjid Al-Furqan juga turut menganjurkan majlis tadarus Al-Quran, Program Sentuhan Kasih Anak Yatim Dan Fakir Miskin, program derma darah dan lain-lain lagi dalam mengimarahkan Bulan Ramadan ini.
Kad solat 5 waktu berjemaah yang diberikan kepada peserta
23 Mar 23
389
ADUN Batu Buruk Agih 7,000 Kotak Kurma
KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk mengagihkan 7000 kotak kurma beserta takwim berbuka puasa, semalam.
Agihan tersebut telah dilakukan melalui 36 buah Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN itu.
Menurut ADUN Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, agihan kurma ini merupakan program tahunan sebagai persiapan untuk menyambut ketibaan Bulan Ramadan.
“Setiap tahun kita akan agihkan kurma kepada warga DUN Batu Buruk diikuti dengan program-program kebajikan lain yang telah dirancang sepanjang Bulan Ramadan ini.
“Antara program yang dirancang ialah agihan lauk berbuka puasa, bakul Ramadan, berbuka bersama anak muda, agihan kuih raya dan lain-lain lagi,” kata Dr. Muhammad Khalil ketika ditemui pemberita.
Beliau turut memberikan pesanan agar masyarakat dapat menjaga kesihatan dengan baik sepanjang bulan ini.
“Saya doakan semoga semua diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan dalam menjalani ibadah puasa,” katanya lagi.
23 Mar 23
406
Lebih 400 Hadir Temuduga Karnival Pemadanan Kerjaya
DUNGUN, 21 Mac- Kira-kira 480 orang menghadiri temuduga di Karnival Pemadanan Kerjaya yang menyediakan 500 peluang kerja yang ditawarkan 10 buah syarikat.
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) berkata, ianya terdiri daripada kalangan pelajar semester lima pusat pengajian itu, alumni PSMZA dan orang ramai yang datang dari seluruh Negeri Terengganu.
"Sebanyak 10 syarikat telah membuka kaunter untuk temuduga secara terbuka yang menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan.
" Antara syarikat yang terlibat ialah SRC Global Resources, TMM Engineering Services, HI-Freeze, Seri Dinamik Enginering, Lezzeti Empire, HRSB Engineering & Construction, Bank Simpanan Nasional, China Communication Construction (ECRL), AMJ Technique dan SIG Tech, daripada 480 orang calon, sembilan orang telah berjaya dan 232 orang lagi berjaya dalam simpanan, " jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Program yang berlangsung di Dewan Dagang, PSMZA merupakan anjuran PSMZA bersama PERKESO dan SRC, diadakan selama sehari pada 20 Mac, bermula 8 pagi hingga 4.30 petang.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah PSMZA. Zamra Derahman dan hadir sama Pengurus PERKESO Dungun, Mohd Sabri Ramli, dan CEO SRC Group, Dato' Norhisham Mohd Arifin.
Di dalam ucapannya Zamra merakamkan ucapan terima kasih kepada majikan dari pelbagai industri yang membuka tapak pameran juga menawarkan sesi temu duga secara bersemuka.
"Besar harapan saya, kolaborasi seperti ini tidak hanya terhenti disini tetapi dapat diteruskan lagi pada masa- masa akan datang.
" Ini kerana, kita sedia maklum peluang sebegini sememangnya amat ditunggu-tunggu para graduan khususnya yang masih lagi belum mendapatkan peluang
pekerjaan," katanya.
21 Mar 23
537
60 Sahabat UPDI Sertai Pemukiman
Oleh: Fatimah Din
Marang 21 Mac-Seramai 60 orang Sahabat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Marang dan Hulu Terengganu menyertai pemukiman yang diadakan selama dua hari di Seberang Marang, baru-baru ini.
Penyelia UPDI Daerah Marang, Mohd Fauzi Mat Adam berkata, Sahabat UPDI merupakan ejen penerangan kerajaan negeri yang membantu menyebarkan pencapaian, inisiatif dan program yang dilaksanakan kerajaan kepada orang ramai.
"Pemukiman ini adalah untuk memberi pendedahan kepada Sahabat UPDI berkaitan tugasan mereka agar dapat dilaksana dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program tersebut.
Menurutnya, pelbagai kemahiran yang dikongsi tenaga pengajar profesional bagi meningkatkan mutu kemahiran dan penyebaran maklumat kepada masyarakat
"Mereka juga diajar cara untuk menggunakan aplikasi Tik Tok, Canva dan banyak lagi" ujarnya.
20 Mar 23
178
Jelaskan Segera Bayaran Premium Tanah
DUNGUN, 20 Mac - Penerima Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dinasihatkan supaya melangsaikan segera bayaran harga premium tanah untuk mengelakkan tanah yang disebut dalam borang itu diambil balik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata kerajaan sudah berusaha menunaikan janji untuk memberi tanah kepada rakyat.
"Jadi sekarang tanggungjawab penerima membayar harga premium tanah, iaitu 10 peratus daripada harga tanah di pasaran, cubalah bayar,
"Kalau rasa tidak boleh bayar dalam tempoh yang ditetapkan, berbincanglah dengan pegawai di pejabat tanah dan daerah, jangan sampai tanah ini diambil balik," katanya lagi.
Rosnani (kanan).
Alias berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Borang 5A RTB ByPass Batu Tiong Mukim Kuala Dungun DUN Rantau Abang di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini semalam.
Sementara itu, seorang suri rumah yang ditemui selepas majlis tersebut, Siti Nor Fasihah Shikh Zahurin, 26, berkata apabila diberitahu surat permohonannya untuk memiliki tanah berjaya, dia mula menyimpan duit.
"Suami bekerja sebagai tukang gunting, jadi memang kena berjimat cermat dan saya sanggup menjual barang kemas yang dipakai semata-mata untuk menjelaskan premium tanah, asalkan dapat geran tanah," ujar yang kini tinggal bersama nenek suaminya di Padang Midin.
Bagi Rosnani Abdullah, 51, hidup menumpang di tanah orang sejak berumur sembilan tahun tidak dapat menggambarkan perasaan gembiranya apabila diberitahu berita gembira itu.
"Memang tidak disangka-sangka akan miliki tanah sendiri, mestilah cuba sungguh untuk cari duit untuk bayar, kena banyak berjimat belanja, tambahan pula suami kerja buruh, harga barang pula mahal sekarang ini," ujarnya lagi.
20 Mar 23
835
Nelayan Dikhuatiri Lemas Ketika Menguji Bot
SETIU, 19 Mac - Seorang nelayan dikhuatiri lemas ketika menguji bot lewat petang semalam.
Mangsa Mahamad Harun, 63 nelayan tempatan dikatakan turun ke pengkalan bot Kampung Baru Penarik untuk memeriksa serta menguji keadaan bot untuk keluar menangkap ikan.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan 9.52 malam tadi.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah bermula malam tadi dan diteruskan pagi ini dengan penglibatan jabatan dan agensi lain dengan melibatkan agensi penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahan Awam, Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).
Serta unit anjing pengesan K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Sementara itu, Isteri mangsa, Kamariah Ali, 65 ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, tiada sebarang petanda pelik ditunjukkan sebelum kejadian dan suaminya turun ke pengkalan bot seperti biasa.
19 Mar 23
360