lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Lemang Percuma Sambut Kepulangan Perantau
Lemang Percuma Sambut Kepulangan Perantau
  KEMAMAN, 20 April - Sebanyak 2,000 batang lemang dan keropok lekor diedarkan bagi menyambut kepulangan perantau petang tadi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing.  Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ab.Razak Ibrahim berkata, makanan tersebut diagihkan secara percuma kepada perantau yang pulang sempena sambutan Aidilfitri esok. “Ini adalah kerjasama di antara Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pusat Khidmat Masyarakat Dun Air Putih, Pejabat Daerah Kemaman bersama Syarikat LPT2 Sdn Bhd. "Kita mahu menonjolkan dan memperkenalkan hentian R&R Perasing yang juga dikenali sebagai ‘Mini Kemaman’ di samping kita mempromosikan produk-produk makanan tempatan di Kemaman ini. “Seperti yang kita ketahui, Kemaman terkenal dengan Lemang Kijal yang mempunyai identiti dan rasa tersendiri kerana ia merupakan antara makanan kegemaran ramai dan populariti Lemang Kijal masih tetap bertahan walaupun lebih daripada 20 tahun selain daripada mampu menggamit kunjungan pengguna laluan daripada Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu,” ujarnya. Beliau turut memaklumkan bahawa perbezaan suasana di R&R Perasing berbanding tahun yang lepas di mana lebih ramai pengunjung-pengunjung singgah berehat di sini.  “Gerai-gerai  juga lebih banyak dibuka kerana berlakunya peningkatan pemintaan selepas kejayaan kita mempromosikan R&R Perasing,” tambah beliau. Beliau berkata demikian kepada pemberita selesai agihan tersebut berlangsung. Turut terlibat dalam program antaranya PDRM, APM, JPJ, ARC dan Sukarelawan Kemaman.image widget
20 Apr 23
513
7,000 Rumah di DUN Ladang Terima Kuih Raya Percuma
7,000 Rumah di DUN Ladang Terima Kuih Raya Percuma
KUALA TERENGGANU 19 April - Sebagai tanda ingatan sempena Hari Raya Aidilfitri lebih 7,000 buah rumah akan menerima kuih raya.  ADUN Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata ia melibatkan peruntukan sebanyak RM100, 000.  "Setiap buah rumah akan mendapat sebekas kuih raya tanpa mengira fahaman politik, kita beri belaka, mungkin tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya sebagai tanda ingatan," katanya.Tengku Hassan berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan I-Fitri Peringkat DUN Ladang yang diadakan di Terengganu Equestrian Centre.  Menurutnya, di DUN Ladang seramai 2404 orang layak menerima Bantuan i-Fitri. "Baru-baru ini Kad Sejahtera, hari ini pula i-fitri, ini semua adalah tanda kerajaan yang prihatin untuk membantu rakyat dan meringankan beban rakyat," katanya
20 Apr 23
244
​​​Iftar di Rumah Asnaf Dekatkan Pemimpin Dengan Rakyat
​​​Iftar di Rumah Asnaf Dekatkan Pemimpin Dengan Rakyat
KEMAMAN, 19 April - Aktiviti berbuka puasa di rumah rakyat mampu mendekatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat dengan masyarakat. ADUN Air Putih, Abd Razak Ibrahim berkata, inisiatif itu juga membolehkan pihaknya mengetahui masalah penduduk di sesuatu kawasan dengan lebih cepat. Katanya, iftar di rumah rakyat juga bertujuan menjimatkan perbelanjaan tuan rumah di samping bantuan dapat disalurkan secara terus. “Juadah untuk majlis berbuka yang kita adakan sepanjang ramadan ini disediakan sendiri oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bukannya disediakan oleh tuan rumah. “Menu juadah berbuka untuk keluarga puan Norbee (Othman) hari ini disediakan oleh JPKK Tok Kapor, Binjai,” katanya dalam program berkenaan baru-baru ini. Menurut Abd Razak, pihaknya memilih keluarga keluarga Norbee, 42 kerana dia merupakan ibu tunggal yang mempunyai lima orang cahaya mata. “Dua perempuan, tiga lelaki manakala dia hanya berniaga dengan menjual kuih untuk menyara pendapatan keluarga. “Kami turut menyampaikan sedikit sumbangan dan buah tangan yang disediakan oleh Persatuan Isteri Wakil Rakyat Dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) buat keluarga tersebut,” jelasnya.
19 Apr 23
104
i-Fiitri Bantu Ibu Bapa Sediakan Kelengkapan Raya Anak
i-Fiitri Bantu Ibu Bapa Sediakan Kelengkapan Raya Anak
DUNGUN - Warga Dungun yang menerima Bantuan i-Fitri melahirkan kesyukuran kerana kerajaan negeri telah meringankan perbelanjaan mereka dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Azizah Mat Salleh, 58 melahirkan rasa syukur diatas keprihatinan kerajaan Terengganu membantu rakyat yang terpaksa berhadapan dengan harga barang yang semuanya meningkat.  "Saya berbangga sangat menjadi rakyat Negeri Terengganu kerana kerajaan sentiasa bantu rakyatnya, hari ni tolong rakyat untuk sambut raya dengan lebih meriah," kata ibu enam orang anak itu.  Azizah adalah salah seorang daripada 5,114 orang penerima Bantuan i-Fitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang menerima wang tunai sebanyak RM300 di Majlis Penyerahan Bantuan i-Fitri Peringkat DUN Rantau Abang di Dewan Arena Merdeka di sini.  Majlis yang disempurnakan oleh ADUN Rantau Abang, Alias Harun itu turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Dungun, Fairul Hisham Mat dan wakil Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) Alif Aiman Mohd Zaki.  Manakala seorang ayah sembilan orang anak, Mohd Riduwan Mamat, 45, berkongsi kegembirannya menerima bantuan tersebut sekurang-kurangnya dapat meringankan kewangan untuk membeli baju raya untuk anak-anaknya. "Syukur Alhamdulillah, dapatlah beli baju raya anak-anak dan buat persiapan raya dalam keadaan harga barang mahal sekarang ni," katanya yang tinggal di Kampung Gong Pasir. Sementara itu, dalam ucapannya Alias mengingatkan orang ramai yang hadir supaya tidak lupa untuk membayar zakat fitrah.  " Jangan sampai luput waktu untuk bayar zakat fitrah iaitu selepas solat hari raya, sediakan satu peruntukan dalam keluarga yang mampu bagi hendak membayar zakat fitrah, mesti ingat tu," ujarnya. 
18 Apr 23
139
6,578 Penduduk di Air Putih Terima I-Fitri
6,578 Penduduk di Air Putih Terima I-Fitri
  KEMAMAN, 18 April - Seramai 6,578 penduduk yang kurang bernasib baik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih menerima bantuan sempena Aidilfitri, i-Fitri semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab.Razak Ibrahim berkata majlis berkenaan terbahagi kepada dua sesi bagi memudahkan proses agihan. “Sesi pertama kita menerima kehadiran seramai 3,203 orang manakala sesi kedua kita menerima peserta seramai 3,384 orang. Bermula jam 9.30 pagi sehingga 5.30 petang. “Sebanyak 10 kaunter telah dibuka bagi melancarkan operasi agihan duit," katanya ketika ditemui media selepas majlis tersebut. Menurut Ab. Razak, penerima tahun ini mencatatkan jumlah paling ramai berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. "Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh pihak yang menjayakan majlis ini terutamanya pihak JPKK, i-MiTS, PKM dan TSIS," jelasnya.   Sementara itu, bagi penerima dari Felda Neram 1, Roslizawati Muhd, dia merasa terharu kerana terpilih menerima bantuan itu. "Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu menyiapkan proses sambutan Aidilfitri bagi keluarga saya," katanya.  
18 Apr 23
201
PSMZA Agih Sumbangan Kepada 150 Golongan B40
PSMZA Agih Sumbangan Kepada 150 Golongan B40
DUNGUN, 18 April- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) mengagihkan sumbangan menerusi Program Bakul Kasih Ramadan kepada 150 kakitangannya serta komuniti setempat di kalangan B40. Pengarahnya, Zamra Derahman berkata, pogram tersebut sedikit sebanyak meringan beban mereka sekaligus mendekatkan hubungan PSMZA dengan masyarakat setempat. "Golongan sasaran penerima bantuan ini terdiri daripada kalangan warga PSMZA, pengawal keselamatan, pekerja am dan komuniti sekitar," katanya. Tambah beliau, Program Bakul Kasih Ramadan merupakan pemberian bantuan berbentuk barangan keperluan dapur bagi meringan beban golongan tersebut.  "Pengagihan di Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Akademik, Mohyiddin Salleh.  " Bakul yang berisi keperluan asas dapur itu adalah hasil daripada sumbangan kakitangan jabatan itu sendiri dan juga staf PSMZA,"ujarnya.
18 Apr 23
295
458 Penduduk Alur Limbat Terima Kad Rawatan Percuma
458 Penduduk Alur Limbat Terima Kad Rawatan Percuma
Oleh : Adilatul Akma MARANG, 18 April - Seramai 458 rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat disenaraikan sebagai penerima Kad Sejahtera bagi rawatan kesihatan percuma di klinik swasta terpilih. ADUNnya, Ariffin Deraman berkata, setiap penerima layak menebus rawatan termasuk pembelian ubat berjumlah RM500 setahun. “Seperti  tahun- tahun sebelum ini, had penggunaan Kad Sejahtera ini adalah RM 70 setiap kali transaksi dan maksimum RM 500 setahun di mana-mana klinik swasta yang berkolaborasi dengan pihak kerajaan negeri. “Saya berharap dengan adanya Kad Sejahtera ini, kesihatan rakyat DUN Alur Limbat lebih baik apabila rawatan boleh dilakukan dengan lebih cepat dan mudah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Dewan Binjai Bongkok sempena Program Penyerahan dan Taklimat Kad sejahtera Dun Alur Limbat baru-baru ini. Menurut Ariffin, agihan itu membolehkan semua penerima Kad Sejahtera mendapatkan terus rawatan di klinik swasta terpilih berkuatkuasa pada hari berkenaan. Ariffin juga memaklumkan kepada penerima bahawa pada pertengahan tahun nanti pertemuan dengan penerima kad berkenaan akan diadakan. “Ia bertujuan untuk mendapatkan maklum balas berkenaan Kad Sejahtera terbabit,” tambah beliau.  
18 Apr 23
356
Belajar Al-Quran Sepanjang Hayat
Belajar Al-Quran Sepanjang Hayat
DUNGUN, 17 April - Ibu bapa diseru untuk mengubah mentaliti anak bahawa mempelajari al-Quran adalah sepanjang hayat bukannya berhenti belajar apabila menginjak ke Tingkatan Satu. Teguran itu disuarakan Pengerusi Masjid Al Mustaqim, Wan Mazli Wan Dagang diatas sikap sambil lewa sesetengah ibu bapa kepada pengajian al-Quran anak-anak mereka sehingga akhirnya apabila meningkat dewasa gagal membaca kalamullah.  "Hantar anak belajar mengaji sehingga mereka boleh membacanya sendiri atau sehingga khatam," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pendek sempena Majlis Sumbangan Ramadan Anak Yatim DUN Rantau Abang di Dewan Al Husna, Markas Tarbiah Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah di sini kelmarin. Dalam majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu seramai 300 orang anak yatim menerima sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang. Wan Mazli berharap ibu bapa mengambil iktibar daripada diri sendiri. "Kalau kita pandai mengaji, contohi macam mana ayah dan emak kita buat untuk memastikan kita boleh mengaji, begitu juga sebaliknya, jangan ulangi kesilapan kita dulu," ujarnya. Sementara itu Alias memberitahu program tersebut diadakan setiap tahun sejak 2011. "Tetapi sebelum ini bawa cucu-cucu ini 'shopping' baju raya, tetapi kali ini, dalam bentuk wang tunai, "katanya lagi. 
16 Apr 23
336
Bermodalkan RM300, Air SETIN Kini Jadi Buruan
Bermodalkan RM300, Air SETIN Kini Jadi Buruan
KUALA TERENGGANU, 16 April - Bermodalkan RM300 selepas mencatat kerugian daripada modal awal, RM1,700, air 'SETIN' kini mejadi buruan rakyat Terengganu untuk dijadikan minuman berbuka puasa. 'You Tuber' Malaysia, Sukri Sulaiman berkata, walaupun pada awalnya dia menanggung kerugian yang agak besar, namun niatnya untuk membantu orang tetap diteruskan dan akhirnya membuahkan keuntungan lumayan. "Pada mulanya dengan modal RM1,700 saya guna untuk beli barang-barang untuk buat air setin (satu tin), kemudian agak mengecewakan apabila pada hari pertama saya mencatat kerugian yang agak besar. "Namun begitu, saya tetap meneruskan niat saya untuk bantu orang ramai supaya boleh minum air setin laici ini dan juga kerana saya ingin mencipta 'content' di media sosial. "Alhamdulillah di hari kedua Tuhan gandakan jualan saya dan semakin hari jualan semakin laris serta mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pelanggan. Satu hari boleh cecah sehingga RM10,000 jualan yang diperolehi," jelasnya ketika ditemui pemberita semalam. Suasana penjualan air SETIN di Kuala Terengganu.  Menurut Sukri, idea untuk buat produk minuman berperisa tersebut adalah kerana dia terkilan dengan sebuah kedai "Idea asalnya bermula apabila saya kedai dengan salah sebuah kedai yang saya singgah semasa aktiviti berkhemah, membuat air laici yang hanya diletakkan satu biji sahaja di dalamnya serta laici tersebut pecah, menjadikan saya berniat untuk berniaga buat air sendiri dengan letakkan satu tin laici di dalam air tersebut. "Ramuan untuk buat air ini saya dapat daripada kawan saya yang juga berniaga air di Paka, Dungun," katanya. Tambahnya, beberapa hari yang lepas dia memulakan perniagaan tersebut di Kuala Terangganu dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Orang ramai yang sanggup beratur panjang di tengah panas untuk membeli air SETIN.  "Alhamdulillah sambutan jualan air SETIN di Kuala Terengganu ini sangat luar biasa, sehinggakan kami berjaya menjual air tersebut 400 tin dalam masa 30 minit sahaja. Jualan sangat laju lebih-lebih lagi di hujung minggu. Tambah 'influencer' itu lagi, produk ini bukan sahaja laris dikalangan warga tempatan luar dan dalam negeri malahan juga turut mendapat sambutan daripada negara jiran iaitu Thailand. "Saya pun terkejut apabila ada pelanggan daripada Golok Thailand, Sabah dan Sarawak serta lain-lain negeri lagi yang datang untuk rasa air SETIN ini," katanya. Sukri juga turut merancang untuk mengembangkan perniagaan tersebut dengan bantuan atau sokongan daripada pihak kerajaan. "Harapan dan perancangan saya di masa akan datang, andai kerajaan negeri boleh berunding untuk berikan saya satu tapak untuk berniaga, saya berhasrat untuk membina sebuah cafe atau tempat yang berkonsepkan 'camping' dengan modal yang ada. "Juga disitu saya akan jual air SETIN berserta dengan beberapa produk yang terpilih di Negeri Terengganu iaitu seperti nasi dagang yang paling sedap dalam negeri Terengganu dan lain-lain produk yang menjadi permintaan ramai orang," ujarnya. Sukri Sulaiman yang berjaya menjual air SETIN 400 unit hanya dalam masa 30 minit sahaja. Sukri yang mempunyai 500 ribu lebih pengikut di laman sosial 'facebook' itu juga berharap supaya produk "SETIN" dalam loghat Terengganu itu menjadi ingatan ramai.
16 Apr 23
1849
Jerih Perih Teroka Tanah Terbalas
Jerih Perih Teroka Tanah Terbalas
DUNGUN, 13 April - Jerih perih dan penantian hampir 45 tahun 100 penduduk di daerah ini sama ada tanah yang diteroka menjadi hak milik mereka atau tidak akhirnya terjawab kelmarin. Seorang warga emas, Ahmad Kadir, 72 menceritakan dia bersama ayahnya meneroka tanah yang kini menjadi tapak rumahnya dengan menebang pokok dua pemelok dengan hanya menggunakan kapak dan golok.  "Susahnya masa tu, ada kala datang binatang buas, gajah dan harimau tu perkara biasa. "Tidak mudahnya sebenarnya, banyak terpakai mengalir air mata bila kenang balik kisah-kisah hendak dapat hak milik tanah ni, pernah sepasukan datang  ke rumah hendak halau pak cik sekeluarga sebab susuk atas tanah kerajaan. "Jadi, alhamdulillah hari dapat ada sinarlah untuk tanah tempat kita tinggal dan bercucuk tanam akan jadi milik kita," ceritanya dalam nada sebak. Ahmad berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Borang 5A RTB Pertanian Belakang SMK Padang Pulut Mukim Jerangau/Kumpal Daerah Dungun di Dewan Sivik Bukit Merah di sini baru-baru ini. Turut hadir di majlis itu ialah Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shafawi Abdul Rani.  Azizah (kanan) sedang menunggu giliran untuk mendapatkan Borang 5A  Manakala Azizah Omar, 50, yang melihat kepayahan kedua ibu bapanya dengan tulang empat kerat menebang pokok hutan dan membersihkan hutan untuk dijadikan tapak rumah untuk memulakan kehidupan di situ gembira penat lelah dibayar. "Dengan dapat Borang 5A ni rasa terbayarlah titik peluh emak dan ayah saya serta mereka yang seangkatan yang mula-mula mari meredah hutan untuk bina rumah sambil-sambil bersih hutan untuk bercucuk tanam sebagai punca pendapatan," ceritanya yang menganggap episod duka di zaman kanak-kanak. Sementara itu ketika berucap merasmikan majlis berkenaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata pihak sudah bekerja keras untuk mengadakan infrastruktur kemudahan di tempat tanah mereka terima. "Tetapi itulah ia memerlukan peruntukan yang besar, iaitu peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk menyiapkan prasarana dalam memberi kemudahan kepada rakyat, jadi sama-samalah kita doakan, ia dapat diluluskan," ujarnya. 
13 Apr 23
366