lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Remaja Terharu Terima Dana Putera
Remaja Terharu Terima Dana Putera
DUNGUN, 21 Jun- Simpati dengan kesusahan ibunya yang membanting tulang seorang diri menyara hidup mereka sekeluarga, seorang remaja cuba meringankan beban dengan menjadi pembantu gerai minuman selepas waktu sekolah.  Mengimbas kembali, remaja berkenaan Muhammad Ariff Hakimi Shahrizan, 20, berkata, ketika itu dia di tingkatan empat dan dari situlah dia belajar selok belok berniaga.  "Tapak tu asalnya tauke saya dulu tapi setelah dia berpindah ke Kuala Terengganu, saya berbincang dengan ummi saya, Faizal Azlina A. Rahman, 42,  untuk berniaga sendiri," kata anak sulung daripada tiga beradik itu yang merupakan salah seorang penerima Dana Putera ketika ditemui di rumahnya di Gong Pasir di sini.  Muhmaad Ariff yang terharu dengan sumbangan peralatan berniaga, Dana Putera yang diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menganggap ianya sebagai pendorong untuknya berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya dan menggembirakan ibunya.  Sementara itu, Alias menjelaskan, Dana Putera yang diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membuka peluang kepada rakyat untuk membaiki taraf kehidupan.  "Kerajaan Terengganu telah memberi joran kepada rakyatnya, tidak memberi ikan agar mereka mampu berdikari. "Tetapi apapun usaha kita, solat jangan tinggal, walaupun sibuk atau penat macamana sekalipun, solat lima waktu wajib ditunaikan,  " Yang memberikan rezeki itu Allah S.W.T, jika kita tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Tuan punya rezeki, ianya tidak akan membawa apa-apa makna kepada kita" ujarnya. 
21 Jun 23
216
Terengganu Inc Belanja RM11 Juta Bantu Masyarakat
Terengganu Inc Belanja RM11 Juta Bantu Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Sepanjang tahun lalu anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah membelanjakan lebih RM 11 juta untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi manfaat pelbagai anggota masyarakat. Selain memberikan peruntukan kebajikan dan pendidikan rakyat, Terengganu Inc turut aktif menaja Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Terengganu Football Club (TFC), badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain. Presiden dan pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sebagai GLC, pihaknya peka terhadap pembangunan modal insan tempatan. "Inisiatif bersepadu ini telah disertai oleh anak-anak syarikat kumpulan dengan melibatkan semua lapan daerah dalam negeri Terengganu yang telah membantu anak-anak pelajar serta badan pendidikan yang memerlukan dalam bentuk tajaan dan sumbangan pelbagai bentuk. "Antara sumbangan berimpak tinggi dalam kemajuan pendidikan pada tahun 2022 antaranya 'YT-TI Young Talent Scholarship programme' bagi menaja 10 pelajar tempatan yang berkelayakan daripada keluarga B-40 untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi dengan peruntukan sebanyak RM500,000. " Terengganu Inc- UniSZA Islamic Investment Project iaitu pelaburan sebanyak RM300,000 bagi meneroka dan menyelidik panduan syariah dan ekonomi mampan serta memfokuskan penyelidikan, pelantikan profesor pelawat dan program tanggungjawab sosial dan penerbitan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program 'Kick-Off BSAS Aeronautics UAV in School-Programme' kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa, di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Tambah Burhanuddin lagi, antara sumbangan berimpak tinggi dalam membantu kemajuan pendidikan negeri ini diantaranya lagi ialah menyumbang dalam Yayasan Diraja Sultan Mizan untuk program akademik bagi meningkatkan kemahiran dan komuniti setempat melalui peruntukan sebanyak RM200,000 . "Pihak kami turut menyumbang kepada 'National Stem Association Chapter' sebanyak RM110,000 bagi menganjurkan program peningkatan prestasi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik)," ujarnya.  
15 Jun 23
389
150 Peserta RTB Terima Geran Tanah
150 Peserta RTB Terima Geran Tanah
DUNGUN, 13 Jun- Seramai 150 peserta dari Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Paya Apek dan RTB Paya Rengit menerima geran tanah. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, penerima geran tersebut merupakan mereka yang telah membuat bayaran premium tanah sebanyak 10 peratus daripada harga asal yang telah diserahkan borang 5A pada pertengahan November tahun lepas. "Apa yang dijanjikan kita dalam menifesto telah kita tunaikan. Dan ia jelas membuktikan PAS Terengganu mampu mentadbir negeri. "Janji sudah kita ditepati. Kita tidak cakap saja bahkan kita telah melunaskan janji manifesto justeru, kepada peserta lain yang sudah terima borang 5A tu, cepat - cepatlah selesaikan bayaran premium tanah, jangan sampai satu masa pihak Pejabat Daerah menarik balik nama peserta," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Serahan Geran RTB Paya Apek dan Paya Rengit DUN Paka 2023 di Dewan Sivik Paka, semalam. Dalam ucapannya, Satiful turut berpesan kepada penerima agar berusaha membuat pembersihan kawasan tanah yang diberikan. "Bincanglah bersama-sama, tubuh satu 'group komuniti' atau 'group whatsapp' dan berpakatlah dengan buat pungutan duit untuk bersih kawasan tanah. "Dan juga diharapkan berusahalah bina rumah, jangan sampai empat, lima tahun akan datang, masih lagi naik semak samun," ujarnya.
13 Jun 23
541
Budaya Hidup Bersyariat Tanggungjawab Bersama
Budaya Hidup Bersyariat Tanggungjawab Bersama
DUNGUN, 12 Jun- Pembudayaan hidup bersyariat  yang  menjadi identiti dan jati diri kepada kerajaan Negeri Terengganu dan seluruh rakyatnya adalah tanggungjawab bersama.  Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, Islam merupakan suatu agama rahmat dan kasih sayang, bukan suatu pendekatan yang berbentuk kekerasan.  "Islam juga sebagai agama yang membawa rahmat seluruh alam bukan sahaja kepada manusia malah juga kepada alam semesta.  "Sistem pemerintahan, perundangan syariah dan permasalahan masyarakat baik orang Islam dan bukan Islam.  "Pemerkasaan Islam merupakan asas  kepada pentadbiran dan pembangunan negeri Terengganu Darul Iman," ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pembudayaan Kehidupan Bersyariat peringkat daerah Dungun 2023M/1444H di Masjid Pak Sabah di sini. Turut hadir, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan Penolong Pegawai Daerah Dungun, Fairul Hisham Mat.  Katanya, beliau difahamkan program yang diadakan selama dua hari itu, sangat berkait rapat dengan tema kerajaan negeri iaitu Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.  "Secara umumnya untuk mencapai sebuah negeri Terengganu yang berkat, maka  seluruh komponen yang ada dalam kerajaan negeri, pentadbiran, jentera-jentera, agensi-agensi dan seluruh rakyatnya mestilah membudayakan syariat Allah SWT," jelasnya lagi. 
12 Jun 23
108
Gotong Royong Berkala Di Tempat Tumpuan Ramai
Gotong Royong Berkala Di Tempat Tumpuan Ramai
Oleh/Foto:  Najwan Asif   MARANG, 8 Jun- Penduduk yang tinggal di kawasan tumpuan ramai digalakkan mengadakan program gotong royong secara berkala untuk memberi keselesaan kepada pengunjung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, selain menarik kedatangan pengunjung secara tidak langsung aktiviti gotong royong juga mampu mengeratkan hubungan di kalangan penduduk setempat. "Seperti di Lubok Batu ini yang menjadi tumpuan orang ramai bagi menjalankan aktiviti mendaki bukit, masyarakat disini perlu bersatu menjaga kebersihan dan keharmonian. ""Apatah lagi di kawasan ini, kami menerima banyak aduan tentang haiwan perosak seperti kera dan tupai yang telah merosak dan memakan tanaman seperti durian yang boleh memberi hasil kepada pekebun," ujarnya ketika ditemui pada program gotong royong itu. Beliau turut memuji usaha penduduk melakukan aktiviti gotong royong tersebut dan diharapkan ia dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan tanaman dapat dipelihara. "Segala aktiviti gotong-royong ini berjalan dengan lancar dan semoga tahun ini para pekebun mendapat hasil yang lumayan sekaligus menjadi pilihan bagi mereka yang sukakan raja buah,"katanya lagi.
08 Jun 23
248
Mesti Berani Bersaing Di Media Sosial
Mesti Berani Bersaing Di Media Sosial
DUNGUN, 30 Mei- Untuk  berjaya, usahawan mestilah sanggup  bersaing dan  tidak mudah mengalah di dalam mempromosikan produk menerusi medium media sosial.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, mereka mestilah sentiasa mengikut trend pelanggan secara atas talian.  "Jika kita menceburi bidang ini, ada turun naiknya dan kita mesti sanggup menanggung risiko, produk kita mestilah sentiasa berubah mengikut citarasa pelanggan yang berubah-ubah," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Dana Putera di Balai Raya Kampung Pulau Serai di sini. Di DUN Rantau Abang seramai 42 orang layak menerima bantuan yang dikhususkan oleh kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU) kepada peniaga-peniaga kecil.  Disamping itu, mereka juga mestilah menitik beratkan keberkatan hasil jualan yang diperolehi. "Sebagai seorang Islam janganlah kita mementingkan keuntungan semata-mata kerana kita akan mati, kita akan dihisab dan ada balasan syurga dan neraka," ujarnya lagi. 
03 Jun 23
176
440 Warga Emas Terima Kad Rawatan Kesihatan Percuma
440 Warga Emas Terima Kad Rawatan Kesihatan Percuma
KEMAMAN, 1 Jun - Seramai 440 warga emas di Dewan Undangan Negeri Air Putih di sini mendapat kad sejahtera atau bantuan kesihatan di klinik swasta secara percuma.  Para pemegang Kad Sejahtera layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan sehingga RM500 setahun di mana-mana klinik panel terpilih di Negeri Terengganu dengan penggunaan maksimum RM70 setiap kali mendapat rawatan. ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkata, kerajaan negeri sentiasa komited bagi memastikan setiap rakyat di negeri ini menerima kemudahan untuk mendapatkan rawatan kesihatan terbaik menerusi pelaksanaan kad sejahtera itu. "Mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapat rawatan dengan nilaian RM500 setahun di klinik panel terpilih bagi memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera. "Secara tidak langsung Kad Sejahtera ini mampu memberi pilihan kepada golongan sasar untuk mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik-klinik swasta terpilih sekaligus dapat mengurangkan kesesakan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan. "Diharapkan semua penerima dapat manfaatkan sebaik mungkin kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri ini," katanya yang ditemui dalam Majlis Taklimat dan Penyerahan Kad Sejahtera di Dewan Sri Amar, Kemaman, di sini kelmarin.  Sementara itu, bagi seorang penerima Rokiah Senik, 67, berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan inisiatif kad sejahtera dan juga sentiasa menjaga kebajikan masyarakat setempat. "Golongan yang berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan setiap keluarga antara golongan sasar yang layak menerima bantuan sekali gus membantu penerima untuk mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik swasta (panel yang berdaftar) berhampiran tempat tinggal mereka," katanya.
01 Jun 23
852
Kerajaan Terengganu Terus Bantu Peniaga Kecil
Kerajaan Terengganu Terus Bantu Peniaga Kecil
SETIU, 31 Mei - Kerajaan Terengganu memberi komitmen untuk sentiasa membantu golongan penjaja dan peniaga kecil agar terus menjadi antara penyumbang utama kepada pengukuhan dan kestabilan ekonomi negara. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Dun Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, ramai daripada golongan itu amat memerlukan bantuan kerajaan selepas terkesan dengan penularan Covid-19 dua tahun lepas, terutama mereka yang menjadikan peniagaan sebagai punca utama pendapatan. Katanya, antara usaha yang dilakukan kerajajaan negeri ialah mengekalkan suntikan dana sebanyak RM50,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). "Ini adalah satu peruntukan kerajaan Terengganu berbentuk geran kepada DUN untuk diberikan kepada usahawan yang layak pada kadar RM500 hingga RM1,000 seorang,"ujarnya. Beliau berkata demikian dalam Program Dana Niaga dan Usahawan Negeri Terengganu (PUTERA) yang dibuat di Perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batu Rakit Kampung Bukit Cempaka hari ini. Shafizi berkata, berdasarkan kajian, sebanyak 90 peratus usahawan menyatakan hasrat untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat Covid-19, kajian itu juga mendapati usahawan memerlukan bantuan kerajaan dalam bentuk bantuan geran serta latihan dan bimbingan. Halimatun Mohamad@Naib, 41 atau lebih mesra panggilan “Kak Ani” yang hampir tiga tahun terlibat dalam bisnes pembuatan satay ayam dan satay daging menzahirkan penghargaan terima kasih di atas inisiatif kerajaan negeri dalam memajukan perniagaanya. "Saya banyak terima tempahan melalui kampus, sekolah, orang kampung, kawan-kawan dan saudara mara," katanya ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini.
30 May 23
219
Hanafiah Rai Lebih 10,000 Pengunjung Aidilfitri
Hanafiah Rai Lebih 10,000 Pengunjung Aidilfitri
KEMAMAN, 22 Mei - Seramai lebih 10,000 orang warga Terengganu terutamanya di daerah ini telah diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, semalam. Pengerusinya, Hanafiah Mat melahirkan rasa keterujaannya serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini. "Terima kasih kepada semua pihak samada daripada seluruh agensi kerajaan, mahupun masyarakat terutamanya yang tinggal di daerah ini kerana sentiasa memberikan sokongan yang baik kepada setiap program yang kami anjurkan. "Sepanjang 5 tahun memerintah, kami telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Saya berharap seluruh masyarakat akan sentiasa memberikan sokongan kepada kami untuk terus menerajui pemerintahan di negeri ini," ujarnya ketika ditemui pemberita. Hanafiah juga turut mengharapkan agar seluruh masyarakat di negeri ini mendoakan kebaikan buat seluruh pimpinan pentadbiran kerajaan negeri.  "Semoga ukhwah sesama kita akan terus terjalin erat, Insya-Allah," katanya lagi. Majlis yang diadakan di Kemaman Arena Square itu berlangsung dalam suasana sangat meriah dimana orang ramai mula memenuhi pekarangan bermula jam 11.00 pagi sehinggalah jam 3.00 petang. Majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
22 May 23
412
TDM Bantu 400 Asnaf Marang
TDM Bantu 400 Asnaf Marang
MARANG, 20 Mei- TDM Berhad mengambil kesempatan program TDM Bersama Masyarakat yang berlangsung selama dua hari, berakhir hari ini untuk berkongsi rezeki kepada penduduk setempat. Bertempat di Masjid Padang Mengkuang, agihan bantuan disampaikan kepada 400 keluarga golongan asnaf terpilih dari daerah Marang. Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, pemberian sumbangan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar itu merupakan usaha meringankan beban penerima. "Kami warga TDM, sedar bahawa masih wujud sebilangan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian.  "Kami mengambil peluang berkongsi rezeki kurniaan-Nya dengan harapan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan-golongan yang terkesan dengan konsep, 'Yang sedikit, sama sedikit, Yang banyak, sama banyak' agar semua saling merasa rezeki yang ada," katanya. Tambahnya, penganjuran program berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah itu merupakan sebahagian usaha syarikat untuk mendekati komuniti setempat dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penghayatan Islam. "Pengisian program berbentuk perkongsian ilmu dan penghayatan nilai Islam yang diadakan secara tidak langsung dapat melahirkan masyarakat yang holistik seimbang di antara duniawi dan juga ukhrawi," katanya.
20 May 23
289